Pages

Dec 25, 2008

ANAK-ANAK BELAJAR DARIPADA IBU BAPA

SEMUA sedia maklum bahawa ibu dan bapa adalah guru pertama kepada anak-anak, sebelum mereka dihantar ke pra-sekolah dan seterusnya ke sekolah. Anak-anak menjadikan ibu bapanya sebagai idola pertama mereka. Mereka akan belajar apa sahaja daripada ibu bapa mereka, sama ada yang baik ataupun sebaliknya.

Minggu lepas, anak bongsu saya yang berumur 15 tahun demam. Setelah beberapa hari tidak sembuh, saya membawanya ke klinik berhampiran rumah. Waktu kami sampai di klinik jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Orang agak ramai di dalam klinik tersebut kerana hari itu ialah hari Jumaat dan banyak klinik lain tidak beroperasi kerana cuti hujung minggu. Selepas mendaftar, saya diberikan kad bilangan nombor 21. Kamipun duduk di kerusi tempat menunggu.

Beberapa orang yang berada di klinik itu datang bersama anak-anak mereka. Kebanyakannya berusia di antara 3 - 7 tahun. Bukan anak-anak itu yang sakit, tetapi sama ada ayah atau ibu ataupun anak-anak lain yang lebih tua daripada anak-anak tersebut. Oleh sebab itulah ramai yang tidak dapat duduk di kerusi menunggu kerana kerusi-kerusi itu dipenuhi oleh kanak-kanak yang tidak sakit tadi.

Jika ibu atau ayah bijak mendidik anak-anak mereka, atau sekurang-kurangnya memberi nasihat kepada anak-anak kecil mereka, tentulah tempat duduk yang tidak berapa banyak bilangannya itu diberikan kepada orang-orang tua ataupun mereka yang sakit untuk menunggu berjumpa dengan doktor. Tetapi anak-anak kecil itu terus duduk di kerusi-kerusi itu sedangkan orang sakit yang sepatutnya duduk dibiarkan berdiri.

Sepatutnya ibu atau ayah beritahu secara baik kepada anak-anak mereka, "jangan duduk di kerusi tu, biar pak cik tu duduk". Ataupun beritahu mereka, "tempat duduk tu untuk orang sakit nak berjumpa doktor, adik tak sakit, tak payahlah duduk di situ". Ataupun, pujuk sahaja anak-anak supaya duduk bersama ibu atau ayah sambil itu boleh diajak anak-anak membaca apa-apa sahaja yang ada di dalam klinik itu. Ibu atau ayah boleh ajak anak-anak mereka mengeja atau membaca sebarang poster yang ada di situ.

Itu juga salah satu cara untuk mengajar anak-anak supaya minat membaca selain daripada tidak membiarkan mereka membuat bising yang boleh mengganggu para pesakit.

Dua hari selepas itu, saya ke sebuah bank. Selepas mengisi borang untuk mengeluarkan wang, saya menunggu nombor giliran saya dipanggil. Pada masa itu nombor yang dipanggil ialah 103 sedangkan nombor giliran saya ialah 112. Masih ramai lagi yang sedang menunggu.

Tidak lama masuk seorang wanita bersama seorang anak lelaki dalam lingkungan umur 6 atau 7 tahun. Suara anak lelakinya begitu jelas membaca beberapa poster yang terpampang di dalam bank. Si ibu terus ke kaunter menulis borang, tetapi belum sempat mengambil borang dia berkata kepada anaknya, "Adik tekan butang merah tu..". Dia merujuk kepada butang merah pada mesin mengambil nombor giliran.

Tiba-tiba si anak membaca notis yang tertera di atas mesin tersebut, "Sila tulis borang sebelum mengambil nombor giliran". Kemudia dengan nada yang agak kuat si anak memberitahu ibunya, "Mak kena isi borang dulu, adik tak boleh tekan butang ni lagi".

Aku tersenyum sendirian. Memang sebenarnya anak-anak kecil cepat dan mudah belajar. Hati dan fikiran mereka masih bersih. Kedua-dua ibu bapa merekalah yang mencorakkan hati dan fikiran mereka.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w, "Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi". Marilah sama-sama kita, sebagai ibu bapa, merenung dan menghayati mafhum sabda Rasul itu dan mengajar anak-anak kita perkara-perkara yang elok dan positif.

Dec 24, 2008

BANGGANYA IBU BAPA

SEKARANG ini musim cuti sekolah sudah hampir tamat. Seminggu sahaja lagi sekolah akan dibuka semula. Para pelajar akan kembali semula ke bangku sekolah, berjumpa semula dengan kawan-kawan dan guru-guru yang hampir 2 1/2 bulan tidak berjumpa. Tentulah nanti berbagai pengalaman yang dikutip sepanjang cuti sekolah akan dikongsi bersama rakan-rakan di sekolah.

Ibu bapa juga tentu sekali seronok kerana anak-anak akan kembali ke sekolah, meneruskan pelajaran mereka. Walaupun dari segi kewangan, ramai ibu bapa yang terpaksa berbelanja lebih untuk membeli buku-buku, pakaian dan segala persiapan anak-anak kembali semula ke sekolah nanti.

Dalam pada itu ramai ibu bapa yang berasa bangga kerana anak-anak mereka mencapai kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan umum pada tahun ini. Keputusan UPSR yang telah diketahui tentu sekali menggembirakan sebilangan ibu bapa yang anak-anak mereka memperolehi pencapaian 5A, terutama sekali bagi anak sulung di dalam keluarga. Ibu bapa pasti merasa bangga di atas pencapaian cemerlang pertama kali dicapai anak-anak mereka itu.

Tahniah diucapkan kepada murid-murid yang berjaya mendapat kelulusan 5A di dalam UPSR 2008 baru-baru ini. Tidak lupa juga diucapkan tahniah kepada murid-murid yang mendapat 4A 1B atau 3A 2B dan seterusnya. Murid-murid telah membuktikan kemampuan masing-masing melalui UPSR. Halangan pertama telah dilalui.

Minggu ini, bagi ibu bapa yang anak-anak mereka mendapat 5A, tentu sekali sudah menerima surat tawaran untuk anak-anak mereka menyambung pelajaran ke tingkatan 1 tahun hadapan. Ada yang sudah menerima tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kementerian Pelajaran Malaysia. Ada yag sudah menerima tawaran ke sekolah-sekolah premier di daerah dan negeri masing-masing. Kebanggaan pasti terpancar di wajah ibu bapa dan anak-anak yang telah berjaya itu.

Ibu bapa zaman sekarang bukan seperti ibu bapa zaman dahulu, lebih-lebih lagi ibu bapa di kawasan pendalaman. Ibu bapa zaman dahulu, tidak begitu prihatin dengan peluang-peluang pelajaran anak-anak mereka. Anak-anak yang tamat darjah 6 sekolah rendah di kampung akan hanya meneruskan pelajaran ke sekolah menengah yang berhampiran sahaja. Itupun sudah dikira cukup baik, kerana lebih ramai anak-anak yang tidak menyambung pelajaran ke tingkatan satu di sekolah menengah. Alasan yang paling utama ketika itu ialah faktor kewangan.

Saya sendiri tidak terlepas daripada keadaan itu. Waktu saya belajar di sekolah rendah dahulu, peluang menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh amatlah terhad. Meskipun saya adalah murid cemerlang di sekolah rendah di kampung, namun peluang amat terbatas. Arwah datuk saya tidak banyak mengetahui tentang peluang-peluang yang disediakan oleh Kerajaan untuk murid-murid di kawasan pendalaman. Di sekolah juga guru-guru tidak pernah memberi motivasi kepada kami untuk belajar dengan tekun supaya dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Tinggallah murid-murid cemerlang di sekolah-sekolah pendalaman sebagai mangsa keadaan.

Pada masa saya di darjah lima (tahun 1968) dan tahun-tahun sebelumnya, ada peperiksaan khas untuk memilih calon-calon ke sekolah berasrama penuh. Saya masih ingat, abang sepupu saya berpeluang menyambung persekolahan di Ipoh selepas tamat darjah enam di sekolah kampung. Begitu juga dengan dua orang abang sepupu saya yang lain telah berjaya menyambung pelajaran ke tahap Special Malay di sekolah bandar selepas lulus peperiksaan darjah tiga di sekolah rendah di kampung. Itulah sahaja motivasi yang saya ada pada waktu itu, walaupun saya sendiri tidak faham langsung bagaimana proses pemilihan dilakukan. Arwah datuk tentu sekali lebih tidak faham walaupun ketiga-tiga sepupu saya itu adalah juga cucunya.

Tetapi sekarang jauh berbeza. Ibu bapa terdedah kepada segala macam maklumat tentang peluang untuk anak-anak mereka menyambung pelajaran ke sekolah-sekolah terpilih. Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah-sekolah elit dan premier di daerah dan negeri masing-masing dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) adalah di antara pilihan yang tersedia menanti. Sejak anak-anak mereka berada di darjah tiga atau mungkin lebih awal lagi, ibu bapa sudah menanam cita-cita agar anak-anak mereka dapat meneruskan persekolahan ke sekolah-sekolah terpilih tersebut. Perlumbaan itu menjadi lebih mencabar apabila anak-anak berada di darjah lima dan enam.

Dua hari lepas, saya terima panggilan telefon seorang rakan semasa di sekolah menengah dahulu. Dia minta saya berikan sokongan kepada anak ketiganya yang tidak berjaya menerima tawaran ke SBP walaupun syarat-syarat kemasukan telah dipenuhi, termasuklah kelulusan 5A UPSR. Anak sulungnya berjaya ke SBP (kini sedang menunggu masa untuk menyambung pelajaran ke India di dalam bidang perubatan), anak kedua (akan menduduki PMR tahun 2009) juga berada di SBP yang sama. Kini dia mengharapkan anak ketiganya mengikut jejak kedua-dua anaknya yang dahulu juga.

Dalam situasi rakan saya itu, tentu sekali dia berasa bangga apabila anaknya mendapat kelulusan 5A di dalam UPSR. Harapannya amat tinggi agar anaknya itu diterima memasuki tingkatan satu di SBP. Tetapi apabila tidak ada tawaran yang diterima, dia merasa amat kecewa. Malah saya yakin sebilangan besar lagi ibu bapa yang kecewa kerana anak-anak mereka tidak ditawarkan ke SBP.

"Apa boleh buat pemilihan ke SBP dibuat oleh pihak Kementerian Pelajaran", itu yang dapat saya beritahu rakan saya itu. "Tetapi rasanya masih boleh berpeluang untuk membuat rayuan. Saya cadangakan saudara buat rayuan sebab pemilihan dibuat berperingkat-peringkat sehingga ke peringkat ketiga nanti. Insya Allah jika ada rezeki tak akan kemana". Sekadar itulah sahaja yang dapat saya nyatakan sebagai seorang YDP PIBG sebuah Sekolah Berasrama Penuh. Lebih daripada itu adalah di luar bidang kuasa saya.

Apa pun saya doakan agar anak kawan saya itu serta anak-anak yang lain akan berjaya mendapat tempat di mana-mana SBP. Jika ada tawaran, jangan sekali-kali menolak kerana apabila ditolak, peluang itu akan terus tertutup.

Rasanya tidak berapa hari sahaja lagi keputusan PMR pula akan diumumkan. Ramai lagi ibu bapa yang sedang berdebar menunggu pengumuman keputusan itu, termasuklah saya sendiri. Anak bongsu saya mengambil PMR tahun ini. Pastinya ramai ibu bapa yang akan merasa bangga jika anak-anak mereka memperolehi keputusan cemerlang nanti.

Saya doakan kejayaan kita semua.

Dec 22, 2008

MINDA KELAS PERTAMA - BHG. 2

UNTUK menjadi seorang insan memiliki minda kelas pertama tidaklah sesukar mana. Segalanya berpusat di dalam pemikiran kita sendiri. Di dalam organ yang paling penting, iaitu otak. Di situlah bermula segala-galanya.

Bayangkan kelebihan organ yang dianugerahkan Allah swt ini, terlalu istimewa kerana di dalamnya selain mengandungi beribu juta sel, ia juga memiliki keupayaan menyimpan ingatan yang tidak terhitung banyaknya. Otak juga mempunyai keupayaan untuk menukar persepsi kita terhadap sesuatu perkara, daripada negatif kepada positif atau sebaliknya. Itulah yang membezakan kita, sebagai manusia, daripada makluk-makluk lain yang diciptakan Allah swt di alam ini.

Oleh kerana itulah, sebagai manusia kita boleh memilih untuk menjadi baik atau jahat. Menjadi seorang yang berfikiran positif atau negatif. Tetapi, kita harus ingat kepada matlamat atau tujuan kita dijadikan oleh Allah swt, sebagaimana maksud firman Allah swt: "Sesungguhnya tidak Kami jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk menjadi hambaKu dan beribadat kepadaKu". Jelas, firman Allah di dalam ayat ini memperjelaskan kenapa manusia dilahirkan ke muka bumi ini.

Sudah tentulah sebagai hamba Allah, kita dituntut untuk menuruti perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Kita dituntut supaya menjadi manusia yang sentiasa mengamalkan perbuatan-perbuatan yang baik dan menghindari diri daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Memikirkan perkara-perkara baik dan tidak memikirkan perkara-perkara yang tidak baik. Itu semua adalah perintah Allah swt yang menciptakan kita.

Justeru, untuk memiliki minda kelas pertama, kita wajar menukar persepsi kita tentang kehidupan. Ibarat melontar bola getah dengan kuat ke dinding pejal, pastilah bola itu akan melantun sama kuatnya kembali ke arah kita. Maksudnya, sikap kita terhadap kehidupan menentukan sikap kehidupan terhadap kita. Jika kita memandang kehidupan ini penuh dengan ciri-ciri negatif, kita akan menikmati segala yang negatif sepanjang hidup kita. Begitu jugalah sebaliknya, jika memiliki pandangan positif di dalam kehidupan, kita akan menerima imbuhan positif yang berpanjangan.

"Di dalam diri manusia terdapat satu perbezaan kecil yang menyebabkan perbezaan yang besar. Perbezaan kecil itu adalah sikap, manakala perbezaan besanya ialah sama ada sikap itu positif atau negatif".

Kedua-dua sikap ini saring bertarik-tarikan antara satu sama lain untuk mengusai jiwa dan pemikiran manusia. Jika positif berjaya menguasainya, manusia itu akan tampil bersikap positif, begitu juga sebaliknya. Mengikut satu kajian, 85% daripada kenaikan pangkat di dalam apa jua bidang kerjaya adalah disebabkan oleh SIKAP, baki 15% lagi adalah kerana kebolehan-kebolehan lain. Ini jelas menunjukkan manusia boleh berjaya dengan cemerlang jika memiliki sikap yang betul.

Bersikap positif menjadi pendorong utama mencapai kejayaan di dalam kehidupan. Bersikap positif boleh mengangkat nilai diri seseorang insan dan seterusnya menjadi manusia yang berhemah tinggi. Minda kelas pertama akan hanya tercetus jika minda dipenuhi dengan pemikiran dan sikap positif yang tinggi.

Dec 20, 2008

MINDA KELAS PERTAMA - BHG 1

MEMBINA MINDA KELAS PERTAMA adalah tajuk ceramah saya pada 15 Disember 2008 di Institut Pengurusan dan Integriti Kedah Darul Aman (INSPIN) kepada 46 orang peserta yang terdiri daripada kaki tangan beberapa jabatan Kerajaan Negeri Kedah. Saya teruja sejak awal lagi selepas menerima undangan daripada pegawai INSPIN.

Membina minda kelas pertama merupakan satu proses untuk membangun dan memajukan daya pemikiran seseorang manusia bagi mencapai peringkat terulung. Daya pemikiran atau akal fikiran yang bagaimana yang boleh ditakrifkan sebagai minda kelas pertama? Untuk merungkai persoalan ini memerlukan kupasan yang panjang dan itulah satu proses yang memakan masa. Namun secara mudahnya proses itu bolehlah dibahagikan kepada beberapa bahagian.

Bahagian pertama ialah proses untuk mengenal diri sendiri terlebih dahulu. Seseorang manusia wajar mengenal dirinya sendiri kerana mengenal diri adalah permulaan segala ilmu. Jelasnya, tanpa mengenal diri sendiri, seseorang itu tidak mungkin akan dapat menimba ilmu pengetahuan selanjutnya. Mafhum hadis Rasulullah s.a.w, "Barang siapa yang kenal dirinya, sesungguhnya dia telah kenal Tuhannya" amatlah jelas maksudnya. Oleh kerana segala ilmu berada di dalam penguasaan Allah swt, maka sesiapa yang mengenali Allah pasti akan dapat menimba segala ilmu. Tetapi untuk mengenal Allah, kita perlu kenal diri kita sendiri terlebih dahulu.

Mengenal diri bukan hanya sekadar mengetahui asal usul kejadian dan keistimewaan yang dianugerahkan Allah kepada kita semata-mata. Tetapi harus meliputi maksud mengenali diri dengan lebih meluas lagi. Kita mesti belajar mengenal kehebatan dan kelemahan yang terdapat di dalam diri sendiri. Mengenal kehebatan untuk menggunakan potensi diri ke arah kecemerlangan. Sementara mengenal kelemahan pula adalah untuk mempertingkatkan lagi usaha memperbaikinya.

Ramai manusia yang tidak mengenali dirinya sendiri, malah ramai yang tanpa sedar tidak pernah berusaha untuk mengenal diri sendiri. Ini suatu kerugian besar kerana jika kita masih belum kenal diri sendiri, bermakna kita masih belum tahu kekuatan dan kelemahan yang ada di dalam diri. Malah yang paling menyedihkan, kita masih belum mengenal Tuhan.

Lihat ke dalam diri sendiri, sejauh mana kita mensyukuri nikmat yang Allah berikan semenjak kita lahir sehingga kini? Tentulah tidah terhitung banyaknya, kerana nikmat Allah swt tidak terbatas dan tidak terjumlah. Pernahkah anda sorot kembali menilai tahap syukur yang anda miliki?

Perhatikan maksud ayat 9 Surah Assajadah,
"Kemudian Dia menyempurnakan kejadian-Nya serta meniupkan padanya Roh ciptaan-Nya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), supaya kamu bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur".

Kejadian manusia yang sempurna adalah nikmat yang tidak ternilai harganya. Allah mengurniakan pendengaran, penglihatan dan hati (akal fikiran) yang kesemua itu tidak dianugerahkan kepada makluk lain. Betapa Allah menjadikan manusia dengan segela kesempurnaan supaya manusia bersyukur, tetapi amat sedikit yang mensyukurinya.

Apakah anda termasuk di dalam kelompok manusia yang tidak mensyukuri nikmat Allah swt?

Proses pertama untuk memiliki minda kelas pertama perlu dilalui dan dipenuhi terlebih dahulu. Jika tidak walau setinggi mana sekalipun daya pemikiran anda, masih belum menepati maksud kelas pertama itu sendiri.

Nov 30, 2008

NILAI DAN MARTABAT REMAJA

BERITA muka hadapan sebuah tabloid hari ini amat menyedihkan! Jika boleh ditambah, ia memalukan, meloyakan dan menjijikkan!

Judul berita muka hadapan tabloid tersebut tertulis: Tonik Setan. Berita yang dipaparkan adalah berita yang amat menyedihkan kerana ia berkaitan dengan perangai dan sikap remaja kita pada masa kini. Pengaruh dan gejala tidak bermoral yang melanda remaja kita bagai tidak dapat disekat dan dihindarkan lagi. Meskipun cerita penagihan arak di kalangan remaja Melayu Islam khususnya, sudah lama terbongkar, tetapi berita hari ini amat menyayat hati.

"Harganya murah iaitu hanya RM4-00 sebotol, tetapi kesannya sungguh luar biasa. Ini menjadikan arak ini 'minuman rasmi' mat rempit dan bohsia sebelum beraksi di jalan raya dan melepaskan nafsu di ranjang". Demikian para pertama berita tersebut. Membacanya sahaja sudah terasa jijik, loya, sedih dan memalukan!

Lebih mengejutkan lagi apabila sebuah berita susulan kepada berita utama tersebut, melaporkan "Urusetia Menangani Gejala Sosial Kerajaan Negeri Kedah (Urusetia) menganggarkan 80 peratus remaja yang terbabit dengan penagihan arak murah itu di bangku sekolah tetapi sering ponteng dan tidak berminat meneruskan pelajaran, dengan sebahagian lagi sudah berhenti sekolah". Ini menunjukkan bahawa sudah begitu ramai remaja yang terlibat secara serius di dalam gejala tidak bermoral ini dan lebih menyedihkan mereka inilah yang akan menjadi ketua keluarga pada masa hadapan.

Apakah remaja-remaja ini apabila berumah tangga nanti akan dapat mengemudi bahtera keluarganya ke jalan yang betul dan dapat melahirkan generasi bangsa yang utuh jati diri serta tinggi nilai diri mereka?

Persoalannya, siapakah yang harus melagang langkah untuk menangkis kerakusan gelaja tidak bermoral seperti ini daripada menerjah masuk ke dalam jiwa remaja kita? Jawapan yang paling mudah dan biasa didengar serta disebut-sebut, ialah ibu bapa. Peranan ibu bapa di dalam membimbing anak-anak mereka ditagih sepenuhnya supaya dengan itu gejala-gelaja negatif tidak mudah mempengaruhi jiwa dan perasaan anak-anak mereka.

Institusi keluarga amat penting di dalam membenteras atau mengurangkan berlakukan pelbagai gejala sosial yang membiak dewasa ini. Para remaja tidak mungkin akan terjebak dengan sebegitu mudah ke kancah negatif tersebut jika pada usia-usia awalnya sudah ditanam dengan benih-benih murni dan dibenteng dengan ajaran agama. Ibu bapa adalah peneraju utama di dalam fasa-fasa awal kehidupan seseorang anak, sebelum dihantar ke sekolah untuk dididik selanjutnya oleh para guru dan pendidik.

Jika di rumah sudah diterapkan nilai-nilai murni yang positif anak-anak akan membesar dengan penuh rasa hormat menghormati, kasih sayang, bersikap positif serta menolak nilai-nilai negatif. Ibu bapa harus membentuk jiwa anak-anak supaya tidak membenarkan apa sahaja nilai-nilai tidak bermoral dan negatif daripada menular masuk ke dalam diri anak-anak. Semua ini bermula di rumah mereka sendiri.

Anak-anak yang membesar di persekitaran yang dipenuhi kasih sayang, hormat menghormati dengan nilai-nilai murni serta positif, pasti akan menjadi remaja yang mempunyai nilai dan martabat diri yang tinggi. Mereka sudah tentu akan dapat membentuk rumah tangga mereka sendiri kemudiannya bagi terus mengamalkan nilai-nilai murni tersebut.

Nov 23, 2008

PERKHEMAHAN PELAJAR

SEMPENA cuti persekolahan akhir tahun, banyak program perkhemahan pelajar dianjurkan oleh berbagai pihak, sama ada pihak sekolah mahupun pihak penganjur swasta. Peserta-peserta pula sama ada daripada pelajar sekolah yang sama atau pun terbuka kepada mana-mana pelajar yang ingin menyertainya. Hari Khamis 20 November yang lalu, saya dijemput menyampaikan ceramah kepada sebilangan pelajar Pra-Universiti, SMK Pulau Nyior, Jitra, Kedah. Ia adalah sebahagian daripada aturcara program perkhemahan yang diadakan di Kawasan Perkhemahan Kem Paya Pahlawan, lebih kurang 15 km dari bandar Jitra, Kedah. Ceramah saya bermula jam 9.30 pagi dan berakhir jam 12.30 tengah hari.

Cuaca pagi di kawasan tersebut agak dingin, ditambah pula dengan suasana tasik yang tenang menambahkan lagi kedinginannya. Puncak Bukit Wang yang tersergam bertentangan dengan kem tersebut, dilitupi awan menjadikan suasana di situ cukup suram tetapi nyaman dan tenang.
Saya mengajak para pelajar menghayati seketika suasana tersebut.
"Suasana dingin sememangnya suram. Tetapi kita jangan sekali-kali menjadikan kesuraman itu sebagai alasan untuk tidak menjadi ceria. Sebagai pelajar yang saban hari ke sekolah, mestilah sentiasa ceria sepanjang hari kerana itu akan memudahkan proses penghadaman ilmu pengetahuan yang diberikan oleh guru. Bayangkan jika perasaan kita sentiasa dibungkus rasa suram dan muram, sudah pasti apa yang diajarkan guru tidak dapat diserap dengan baik ke dalam minda kita".

Oleh itu, kita seharusnya menghayati rasa nyaman dan tenang yang terbit daripada suasana dingin di persekitaran ini, kerana nyaman dan tenang akan menjadikan minda kita tenteram dan jasad kita tenang. Lantas apabila minda dan jasad kita di dalam keadaan sedemikian, ia akan memudahkan kita menyerap ilmu yang dicurahkan oleh para guru di sekolah.

Jangan kita mudah mempersalahkan keadaan atau suasana atau orang lain jika kita gagal menjadi orang yang berjaya. Ramai orang mempersalahkan budaya asing yang menular masuk mempengaruhi remaja di negara kita, mempengaruhi jiwa remaja kita sehingga menjadi liar dan tidak bermoral, hilang kesopanan dan kesusilaan.
Siapakah yang bersalah? Budaya barat yang menular masuk ke negara kita atau remaja kita yang tiada jati diri sendiri?

Saya berpendapat jika remaja negara kita dewasa ini memiliki kekuatan dan jati diri yang utuh, tidak mungkin mereka akan mudah terpengaruh kepada gejala-gejala liar yang dibawa masuk melalui budaya-budaya barat tersebut. Umpama ikan yang hidup di dalam laut, meskipun air laut itu masin, namun isi ikan yang ditangkap oleh nelayan dari laut tetap tawar dan sedap dimakan.
Jadi remaja kita harus mempunyai kekuatan diri yang teguh menjadi benteng menangkis serangan budaya-budaya liar yang boleh menjurumuskan mereka ke kancah yang tidak bermoral. Elakkan diri daripada terjebak dengan pelbagai muslihat jahat barat yang ingin memperdaya remaja kita ke lembah kehancuran.

Sentiasalah berdamping dengan orang-orang yang boleh memberi dorongan dan bantuan supaya para remaja sekalian tidak terpesong daripada landasan yang sebenarnya. Orang yang penting di dalam hidup remaja ialah ayah dan ibu. Ayah dan ibu adalah manusia yang dijadikan Allah sebagai pemegang amanah untuk menjaga anak-anak mereka supaya menjadi insan yang berguna.

Para pelajar mempunyai guru-guru yang sentiasa akan membantu membentuk pelajarnya menjadi manusia berjaya dari pelbagai aspek; akademik,sukan, siasah dan akhlak. Sentiasalah berdamping dengan guru-guru di sekolah untuk mendapatkan pedoman yang baik.

Tetapi, walau apapun, jiwa dan naluri diri sendiri perlu mantap dan dipenuhi dengan ajaran agama yang diamalkan sepenuhnya. Ini kerana ajaran agama adalah benteng terbaik untuk menangkis segala macam terjahan yang tidak diingini.

Nov 19, 2008

CABARAN REMAJA

SUDAH bersiap sediakah remaja kita masa kini untuk menghadapi cabaran di hari muka? Kenyataan bahawa remaja masa kini adalah pemimpin masa depan bangsa tidak dapat disangkal lagi. Namun sejauh manakah para remaja kita mempersiapkan diri mereka?

Hidup pada zaman remaja amat indah, dipenuhi dengan pelbagai ragam yang menyeronokkan. Dan keindahan itu tidak akan berulang lagi apabila seseorang itu sudah melewati zaman remajanya. Hakikat ini juga tidak dapat disangkal oleh sesiapa sahaja yang sudah melepasi zaman tersebut. Segala keindahan dan kenikmatan dikecapi sepanjang zaman itu dan tidak mungkin dapat dilupakan.

Remaja hari ini tidak akan dapat menilai zaman remajanya hinggalah remaja itu melangkah ke alam dewasa, meninggalkan keremajaannya. Waktu itu dia akan tersedar betapa dia sudah tidak mungkin dapat berpatah balik semula memasuki alam remaja yang telah ditinggalkannya. Lantaran itu, para remaja hari ini harus mula menilai dan memberi nilai kepada zaman dan keremajaan yang sedang mereka lalui kini.

Remaja yang akan menanjak naik ke tangga kehidupan dengan lebih baik dan sempurna adalah remaja yang menghargai keremajaan mereka masa kini. Mereka perlu sedar bahawa mereka tidak mungkin akan mengecapi hidup yang baik pada masa hadapan jika di usia remaja mereka terlalu berseronok suka sehingga tidak mempunyai arah tuju yang jelas. Tanpa hala tuju para remaja itu akan tersasar di dalam mengejar impian mereka.

Kebanyakan remaja yang kita temui hari ini terdiri daripada mereka yang berusia di antara 13 - 20 tahun. Dalam usia-usia ini para remaja kerap diperangkap oleh impian mereka yang tidak berpijak di bumi nyata. Pelbagai unsur dan pengaruhi terlalu mudah menerobos ke dalam jiwa mereka. Lalu lahirkan berbagai budaya kurang sopan di kalangan remaja masa kini. Tidak perlulah disebut satu persatu budaya kurang sopan itu di sini. Cukuplah jika kita menyedari bahawa remaja kita sekarang terlalu mudah ditembusi pengaruh-pengaruh luar yang negatif dan merosakkan.

Justeru, bagaimana akan jadi masa depan bangsa dan negara jika remaja kita masa kini terus membiarkan diri, jasad dan minda mereka dipengaruhi pengaruh-pengaruh liar serta budaya tidak sopan itu? Kita pasti dapat menelah bagaimana akan jadinya 20 atau 50 tahun akan datang kepada bangsa dan negara kita.

Remaja harus sedar, walaupun zaman remaja hanya sekali, tetapi jika zaman itu tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya, zaman dewasa nanti akan lebih hitam dan menyukarkan. Belajarlah untuk menjadi remaja yang berwawasan tinggi, berdaya saing, kreatif dan inovatif serta sentiasa memiliki semangat cintakan bangsa dan negara sepanjang masa.

Elakkan daripada terjerumus ke dalam budaya kurang sopan dengan memperkasakan benteng jati diri sendiri. Amalkan ajaran agama, berpegang kukuh pada budaya bangsa serta sentiasa ingat siapa diri kita dan jangan sekali-kali membelakangi kedua ibu bapa. Inilah teras yang akan memperkukuhkan jati diri remaja masa kini hinggalah ke alam dewasanya nanti.

Penting sekali remaja masa kini memiliki ilmu pengetahuan, kerana tanpa ilmu pengetahuan kehidupan masa depan amat perit dan memilukan. Apabila tiba ke tahap itu, penyesalan sudah tidak bermakna apa-apa lagi.

Nov 13, 2008

PENGISIAN MUSIM CUTI SEKOLAH

HARI ini hari terakhir sesi persekolahan tahun 2008 bagi negeri-negeri Kedah, Kelantan danTerengganu, manakala bagi negeri-negeri lain hari terakhirnya ialah esok 14hb November, 2008. Ini bermakna para pelajar sekalian akan bercuti panjang hujung tahun sehingga menjelang tahun 2009 nanti untuk kembali ke sekolah semula.

Lazimnya sempena musim cuti persekolahan hujung tahun, ramai yang mengambil kesempatan sama ada pergi bercuti atau pun berehat bersama keluarga masing-masing. Tetapi satu lagi kelaziman di musim cuti persekolahan ialah majlis kenduri kahwin. Selalunya bakal pengantin dan keluarga masing-masing akan memilih musim cuti persekolahan untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Apa yang ingin saya sentuh kali ini ialah bukan tentang percutian atau majlis perkahwinan tetapi pengisian masa cuti persekolahan sebegini untuk para pelajar sekalian. Saya percaya kebanyakan pelajar menganggap musim cuti persekolahan adalah musim rehat daripada belenggu pembelajaran di sekolah. Justeru itu ramai dari kalangan pelajar akan 'bercuti panjang' dengan meletakkan buku-buku ke satu sudut bilik dan melupakannya sehinggalah tiba pula musim persekolahan tahun hadapan.

Para pelajar akan mengosongkan otak masing-masing daripada memikirkan tentang pelajaran sehingga tidak lagi mahu menyentuh buku apatah lagi membaca. Ini suatu amalan yang tidak baik malah tidak sewajarnya diamalkan. Para pelajar sepatutnya sentiasa belajar walaupun bukan secara sistematik seperti di sekolah, tetapi perlu mencari masa untuk terus belajar kerana belajar atau menuntut ilmu itu bukan sahaja di sekolah.

Belajar boleh sahaja dengan cara membaca, mengarang, berinteraksi dengan orang lain, mengikuti program-program kecemerlangan diri dan sebagainya. Melalui pembacaan banyak pengetahuan dapat diperolehi. Bacalah apa sahaja buku ia pasti memberikan pengalaman baru kepada kita. Begitu juga dengan cara mengarang, iaitu melahirkan cetusan pemikiran atau perasaan ke atas kertas. Mengarang boleh membantu seseorang mempertajamkan minda, lebih berfikiran positif dan lebih kritis.

Melalui interaksi dengan orang lain atau ahli masyarakat, seseorang itu dapat mempelajari banyak perkara. Selain daripada mendapat maklumat tentang perkara-perkara semasa, kita akan dapat mempelajari dan memahami sikap dan pandangan orang lain. Di samping itu kita akan cepat belajar bagaimana menyesuaikan diri di dalam masyarakat. Proses pembentukan siasah diri dapat diperkembangkan melalui interaksi aktif dan positif.

Mengikuti program-program kecemerlangan diri yang dianjurkan banyak pihak akan dapat membantu para pelajar sekalian di dalam banyak perkara. Inilah di antara peluang untuk mendapat pendedahan dan bimbingan untuk meningkatkan kecemerlangan diri para pelajar sekalian. Oleh itu, jika berkesempatan dan berkemampuan, cubalah ikuti program-program sedemikian. Ia tidak akan merugikan.

Semoga para pelajar akan mengisi musim cuti persekolahan ini dengan aktiviti-aktiviti berfaedah.

Nov 11, 2008

BERMULALAH SEBUAH PERTARUNGAN

BERMULALAH sebuah pertarungan, sebuah pertempura, sebuah peperangan. Hari ini para pelajar Tingkatan 5 di seluruh Malaysia mula menduduki peperiksaan SPM. Manakala pelajar Tingkatan 6 sudah pun mula menduduki STPM beberapa hari sebelum ini.

Malam semalam, anak saya mengirimkan SMS, "ayah, doakan kakak di dalam SPM esok". Sebaik membaca mesej itu, saya segera telefon anak saya itu. Saya berikan kata-kata semangat kepadanya di samping mengingatkan dia, "kakak jangan risau kerana kakak sudah bersiap sedia menghadapi peperiksaan ini. Ayah harap kakak tenang dan tidak tertekan semasa menjawab soalan peperiksaan nanti. Ayah yakin kakak boleh menjawab semua soalan dengan mudah".

Itulah di antara rangsangan yang boleh diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka yang sedang menghadapi peperiksaan. Malah bukan sahaja semasa menghadapi peperiksaan, tetapi di dalam menghadapi apa sahaja situasi. Anak-anak perlukan semangat, mereka perlukan dorongan serta perangsang. Sokonglah mereka dengan bersungguh-sungguh.

"Kakak buat yang terbaik, ada sahaja keputusannya nanti, kita serahkan kepada Allah dan yang paling penting kita mesti reda dengan ketentuan Allah terhadap kita", ibunya pula memberikan perangsang.

Kepada semua pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6, saya doakan kejayaan anda semua.


Nov 4, 2008

KECEMERLANGAN DIRI

ANTARA kejayaan akademik dan kejayaan siasah, sudah jelas yang menjadi pilihan ibu bapa dan para pelajar ialah kejayaan akademik. Itu merupakan ukuran kejayaan seseorang pelajar sekolah atau anak di dalam keluarga. Ibu bapa pasti akan merasa bangga dengan kecemerlangan akademik anak-anak mereka.

Kejayaan akademik dinilai melalui peperiksaan yang diadakan sepanjang persekolahan atau pengajian seseorang pelajar. UPSR menjadi penilai kejayaan akademik anak-anak di peringkat sekolah rendah. PMR pula adalah garis penilaian kejayaan pelajar-pelajar di peringkat menengah rendah, manakala SPM pula tahap yang menilai kejayaan pelajar peringkat menengah tinggi. Begitu juga dengan STPM.

Namun tidak ramai yang memberi nilai tinggi terhadap perkembangan siasah atau harga diri seseorang anak atau pelajar. Mungkin pihak sekolah, terutama sekolah berasrama penuh, memberikan sedikit penekanan kepada aspek pembinaan insan dan harga diri. Tetapi majoritinya tidak ramai yang memberi perhatian mendalam di dalam aspek berkenaan.

Seseorang anak yang cemerlang akademiknya belum pasti menjamin kecemerlangan siasah serta memiliki harga diri yang tinggi. Justeru itu semua pihak terutama ibu bapa, perlu mengambil peranan untuk membimbing anak-anak supaya turut cemerlang sebagai seorang insan yang mempunyai harga diri yang tinggi. Latih anak-anak supaya pandai menghormati orang yang lebih tua daripada mereka. Menghomati ibu bapa, sanak saudara, guru-guru dan sesiapa sahaja yang lebih berusia. Tanamkan di dalam diri anak-anak sifat-sifat mulia yang akan membantu meningkatkan harga diri mereka.

Semasa saya di bangku sekolah dahulu (tahun-tahun 1960-an dan 1970-an), saya didedahkan dengan cara menghormati orang tua. Setiap kali saya mengikuti arwah datuk saya ke majlis-majlis kenduri umpamanya, saya dilatih menghormati orang-orang tua yang hadir di majlis itu. Bersalaman dengan mereka sebelum duduk, duduk dengan sopan iaitu bersila dengan kain menutup kaki. Pantang berlunjur walaupun kaki merasa lenguh dan kebas. Makan dengan tertib dan mengambil hidangan yang di hadapan terlebih dahulu. Semasa makan, pastikan nasi tidak melekat pada jari. Menyuap nasi dengan cermat supaya tidak ada nasi atau lauk yang tumpah.

Latihan sebegini nampak seperti remeh, tetapi itu merupakan satu latihan membentuk disiplin diri seseorang anak. Selain daripada itu, ia akan mencerminkan ketinggian sikap dan pekerti anak tersebut. Sekaligus ia membantu meningkatkan harga diri di mata umum. Lantas ia dapat membantu meningkatkan keyakinan dirinya sendiri.

Bercakap dengan orang yang lebih tua memerlukan cara yang betul. Saya perhatikan kanak-kanak dan remaja masa kini kurang bijak bercakap dengan orang dewasa. Pernah berlaku seorang remaja belasan tahun membahasakan 'awak' kepada seorang dewasa. Saya rasa remaja tersebut tidak diajar dan dilatih menggunakan istilah yang betul bila bercakap dengan orang dewasa. Bukankah lebih manis dan sopan jika dia membahasakan 'pak cik' atau 'encik'? Remaja itu mungkin tidak menyedari istilah yang digunakannya itu tidak tepat, tetapi yang lebih jelas ialah dia tidak belajar untuk memiliki harga diri yang sewajarnya.

Sekalipun tahap pencapaian akademiknya rendah, tetapi jika seseorang pelajar itu memiliki cerminan diri yang tinggi dengan nilai sopan santunnya, budi bahasanya, saya yakin dia akan menjadi seorang insan yang lebih berjaya. Namun, kita semua amat mengharapkan supaya anak-anak kita cemerlang di dalam akademik serta memiliki harga diri yang tinggi. Itulah tanda kecemerlangan diri.

Oct 22, 2008

SENYUM ITU SUATU SEDEKAH

SEMUA orang seperti memahami mafhum sabda Rasulullah s.a.w, "senyuman itu adalah sedekah". Tetapi berapa ramai yang benar-benar menghayati dan mengamalkannya?

Kita senyum setiap hari terutama dalam keadaan gembira. Setiap kali kita melihat situasi yang menggembirakan atau membaca cerita yang menggembirakan, pasti kita akan tersenyum. Kita tersenyum kepada situasi atau cerita yang kita hayati itu. Tetapi adakah senyuman sebegitu menjadi sedekah?

Cuba tanya pada diri sendiri, sepanjang hari ni, semenjak awal pagi hingga lewat malam, berapa kali kita senyum pada orang lain? Awal-awal pagi adakah kita senyum pada ibu bapa kita? Adakah suami senyum pada isteri dan isteri senyum pada suami? Adakah adik senyum pada abang/kakak? Kakak senyum pada adik/abang? Dan abang/kakak senyum pada adik-adik?

Di sekolah atau di tempat kerja, adakah kita senyum pada rakan-rakan sekelas, guru-guru atau rakan setugas? Adakah anda senyum kepada bos anda pagi tadi? Begitu juga pada waktu tengah hari atau petang atau malam tadi. Tanyalah pada diri anda dengan jujur dan ikhlas.

Sebenarnya sangat mudah untuk kita mengumpul pahala. Luahkan senyuman kepada ibu bapa, guru-guru, sahabat, kawan rakan dan sesiapa sahaja. Tapi dengan syarat senyuman itu hendaklah ikhlas lahir dari hati yang bersih, tanpa sebarang prasangka buruk. Sewajarnya senyuman yang diberikan itu dapat menyentuh perasaan orang bahawa kita benar-benar ikhlas memberikan senyuman kepada mereka. Hakikatnya, senyuman itu biarlah senyuman yang bernilai.

Dua minggu lepas saya ke restoran makanan segera di sebuah pasar raya besar. Semasa menanti pesanan sampai, mata saya tiba-tiba terpandang sebuah poster berhampiran kaunter persediaan pesanan. Ada gambar tiga wajah. Wajah 1 tertulis NEUTRAL, wajah 2 tertulis SENYUM dan wajah 3 tertulis TIDAK SENYUM. Saya bertanya kepada salah seorang pekerja di restoran itu, kenapa poster itu diletakkan di tempat itu? Jawab remaja itu, semua kaki tangan dimestikan senyum seperti wajah 2 di dalam poster berkenaan.

Restoran itu bukanlah restoran milik orang Islam atau organisasi Islam. Tetapi di dalamnya ada terdapat ajakan untuk mengamalkan salah satu ajaran Islam yang murni. Walaupun cuma ajakan bagaimana untuk senyum, ia sudah menggambarkan betapa pentingnya dan bernilainya senyuman kepada perniagaan mereka.

Persoalannya, kenapa perlu ada 'orang lain' yang mengajar orang Islam untuk mencari pahala?


Oct 19, 2008

SPM SUDAH TERLALU HAMPIR

PARA pelajar Tingkatan 3 yang menduduki peperiksaan PMR sudah boleh menarik nafas lega. Kini mereka sudah selesai menghadapi 'peperangan'. Kemungkinan semua mereka pada masa ini sedang bergembira dengan rakan-rakan sambil menunggu sebulan setengah lagi untuk mendapat tahu keputusan.

Namun bagi para pelajar Tingkatan 5 pula, sekarang ini sedang bergelut dengan masa kerana SPM akan bermula lebih kurang 2 1/2 minggu sahaja lagi. Dalam tempoh penantian ini, sudah pasti para pelajar berasa amat berdebar dan gementar.

Walau bagaimanapun, para pelajar sekalian harus tenang dan terus mengulang kaji pelajaran seperti biasa. Jangan terlalu resah dan memikirkan perkara-perkara yang tidak sewajarnya difikirkan. Cuba elakkan perkara tersebut kerana dibimbangi para pelajar akan terkena tekanan perasaan yang mungkin mengakibatkan keadaan yang lebih menyukarkan.

Dalam tempoh waktu yang semakin hampir sebegini, apa yang paling penting para pelajar berikan perhatian ialah tentang kesihatan. Jaga pemakanan di samping membuat riadah ringan sekadar mengeluarkan peluh. Tidur mestilah cukup, tidak perlu lagi berjaga sehingga larut malam kerana itu boleh mengganggu kesihatan para pelajar sekalian.

Kepada para pelajar yang tinggal di asrama, pastikan para pelajar sentiasa bekerja sama dan saling bantu membantu. Elakkan daripada pergeseran pendapat atau perbalahan sesama sendiri. Semua itu akan mengakibatkan gangguan fikiran dan tumpuan terhadap peperiksaan nanti. Jika ada sedikit sebanyak rasa tidak puas hati sesama rakan, eloklah cepat-cepat bermaaf-maafan dan segera melupakan perkara tersebut. Mesti sentiasa berlapang dada dan tenang menghadapi SPM yang semakin dekat itu.

Manakala kepada para pelajar yang tinggal di rumah bersama ibu bapa, jangan sekali-kali bermasam muka dengan adik beradik atau membantah cakap kedua ibu bapa. Sepatutnya dalam masa yang semakin singkat ini, para pelajar sekalian harus semakin mesra dengan ibu bapa dan memohon restu serta doa kedua mereka. Alangkah baiknya jika setiap malam selepas solat maghrib, semua ahli keluarga berkumpul membaca surah Yassin bersama-sama mendoakan kejayaan kepada anda.

Untuk para pelajar lelaki, cuba kurangkan kegiatan luar rumah, seperti keluar bersama-sama rakan-rakan bermotorsikal sambil pergi minum-minum di kedai atau restoran. Bersabarlah sehingga tamat SPM nanti kerana jika dilakukan kegiatan sedemikian, rasanya banyak risiko yang bakal ditanggung nanti. Habiskan masa di rumah bersama keluarga lebih elok dan boleh mengelakkan daripada sebarang kecelakaan.

Kepada ibu bapa pula, perlulah sentiasa memberi perangsang kepada anak-anak yang akan menduduki SPM nanti. Berikan kata-kata semangat kepada mereka, jangan dibangkitkan sebarang keadaan yang boleh mencalarkan perasaan anak berkenaan. Jiwa anak-anak perlu sentiasa tenang dan bersedia menghadapi peperiksaan itu nanti.

Saya kirimkan doa untuk para pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM 2008 nanti dengan doa semoga para pelajar beroleh kejayaan yang cemerlang, terutama para pelajar di sekolah-sekolah yang pernah saya hadir memberi ceramah, seperti berikut :-
  1. SM Sains Pokok Sena, Kedah
  2. MRSM Kubang Pasu, Kedah
  3. SMK Air Merah, Kulim, Kedah
  4. SMK Pedu, Kuala Nerang, Kedah
  5. SMK Dato' Syed Ahmad, Kuala Nerang, Kedah
  6. SMK Jitra, Kedah
  7. SMK Batu 17, Guar Chempedak, Kedah
  8. SMK Seberang Perak, Alor Setar, Kedah
  9. SMK Jeneri, Sik, Kedah
  10. SMK Siong, Baling, Kedah
  11. SMK Pulau Nyior, Jitra, Kedah
  12. SMK Tunku Bendahara, Kodiang, Kedah
  13. SMK Kulim, Kedah

Oct 6, 2008

PEPERIKSAAN SEBENAR

MULAI Isnin 13 Oktober hingga Jumaat 17 Oktober, para pelajar tingkatan tiga akan berhadapan dengan peperiksaan PMR yang sebenarnya. Suatu peperiksaan peringkat menengah rendah bagi menilai tahap pencapaian para pelajar setelah tiga tahun berada di sekolah menengah. Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah merupakan cabaran pertama yang perlu ditempuhi semua pelajar sekolah menengah di Malaysia. Sukalah saya berikan sedikit petua atau tip bagaimana untuk para pelajar menghadapinya nanti.

  1. Bersiap sedia sejak dari malamnya lagi. Siapkan segala keperluan alat tulis. Tetapi jangan lupa kad pengenalan.
  2. Buat ulang kaji subjek yang terlibat pada malamnya. Tidak perlu terlalu serius memadai dengan cara sepintas lalu sahaja tetapi berikan perhatian kepada topik-topik yang kurang difahami secara mendalam.
  3. Baca surah Yasiin sebelum tidur. Berdoa kepada Allah s.w.t mohon dipermudahkan untuk menjawab ketika peperiksaan esok hari.
  4. Tidur awal, setelah semua persiapan disiapkan. Niat di dalam hati untuk bangun awal esok pagi.
  5. Bangun awal, solat hajat terlebih dahulu sebelum solat Subuh. Berdoa mohon Allah s.w.t berikan ketenangan semasa menjawab soalan peperiksaan nanti.
  6. Mandi, berpakaian kemas, pastikan alat tulis dan kad pengenalan dibawa bersama.
  7. Jangan bersarapan terlalu banyak supaya mengelakkan daripada sakit perut.
  8. Melangkah ke dewan peperiksaan dengan penuh yakin.
  9. Membaca doa sebelum melangkah masuk ke dalam dewan peperiksaan. Mohon Allah s.w.t memudahkan menjawab soalan-soalan peperiksaan nanti.
  10. Mulakan dengan membaca Bismillahirrohma nirrohim sebelum menjawab soalan pertama.
  11. Sentiasa memohon agar Allah s.w.t memberi ketenangan dan mengilhamkan jawapan yang tepat kepada setiap soalan.
  12. Menulis jawapan dengan tulisan yang jelas dan terang. Sentiasa membaca semula jawapan yang telah ditulis. Jangan gopoh dan perlu berhati-hati.
  13. Periksa setiap jawapan sebelum diserahkan kertas jawapan itu kepada pengawas peperiksaan.
  14. Pastikan tiada apa yang tertinggal di dalam dewan semasa melangkah keluar.
Itu di antara petua yang dapat saya kongsi dengan para pelajar sekalian. Itulah yang saya lakukan semasa saya menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) semasa saya di tingkatan 3 dahulu. Insya Allah, para pelajar semua mampu melakukannya.

Akhirnya, saya doakan para pelajar sekalian beroleh kejayaan cemerlang.



Sep 28, 2008

KAD UCAPAN SELAMAT HARI RAYA

ZAMAN saya remaja dahulu, kad ucapan selamat hari raya memang tidak banyak diterima. Maklumlah tidak ramai kenalan yang tinggal di tempat-tempat yang jauh. Tambahan pula pada zaman sekolah menengah, saya tidak mempunyai ramai kawan. Yang ada hanyalah kawan-kawan sekolah sahaja.

Kad ucapan selamat hari raya yang diterimapun hanyalah daripada sepupu-sepupu saya yang tinggal di tempat lain. Kad itupun sebenarnya bukan untuk saya, tetapi untuk arwah nenek. Oleh kerana arwah nenek tidak tahu membaca, kad-kad itu sayalah yang tolong bacakan untuk arwah nenek.

Pada zaman belajar di universitipun, saya tidak terima banyak kad selamat hari raya. Cuma semasa saya bekerja sahajalah, saban tahun saya menerima antara 30 hingga 50 kad selamat hari raya. Itupun daripada kenalan dan rakan-rakan sekerja termasuklah pihak bank dan jabatan-jabatan kerajaan.

Tetapi sekarang ini dengan kecanggihan multi media, kad ucapan yang saya terima semakin kurang. Rakan-rakan yang mempunyai email, sudah kirimkan kad ucapan melalui email. Saya hargai kiriman mereka semua itu.

Selain daripada itu, kiriman ucap selamat hari raya melalui sistem pesanan ringkas (sms) juga banyak yang diterima. Ini suatu lagi kecanggihan teknologi multimedia dan komunikasi. Anak-anak saya sekarang sudah tidak lagi membeli kad selamat hari raya untuk kawan-kawan mereka, tetapi mengirimkannya melalui sms ataupun email sahaja.

Apakah fenomena ini akan mengatasi kaedah kiriman kad ucapan secara konvensyenal??

Sep 27, 2008

SAMBUTAN AIDILFITRI

INSYA ALLAH, umat Islam akan sama-sama menyambut 1 Syawal tidak lama lagi. Setelah sebulan menjalani ibadah puasa, kita semua akan menyambut ketibaa hari raya Aidilfitri, pastinya dengan penuh rasa riang gembira. Gembira kerana kita telah sama-sama berjaya menjalani satu ibadah yang diperintahkan oleh Allah s.w.t


Namun di dalam kegembiraan di hari mulia nanti, umat Islam adalah amat digalakkan untuk melakukan beberapa amalan baik yang dituntut, di antaranya :-

  1. Mandi sunat hari raya: Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : “Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu anataranya: mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.

  2. Menjamah makanan sebelum keluar: Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya Aidil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…”

  3. Memperbanyakkan Takbir. Umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa fapabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

  4. Mengucapkan salam dan mendoakan antara satu sama lain: Berilah salam kepada saudara-saudara kita yang kita temui dengan penuh mesra dan silaturrahmi. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman Baginda s.a.aw adalah “Taqabbalahhu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

  5. Memakai pakaian terbaik: Pakai pakaian yang paling cantik yang kita miliki. Bagaimanapun, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Demikian juga, tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal, melainkan jika orang itu memakai pakaian yang diharamkan di dalam Islam.

  6. Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi): Berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari)

  7. Berziarah dan merapatkan silaturahmi sesama Muslim: Kunjung mengunjungi sesama kita bagi merapatkan silaturrahmi amatlah digalakkan, terutama sempena musim cuti perayaan sebegini.
Semasa Aidilfitri nanti, marilah sama-sama kita mengambil kesempatan untuk meraikan 1 Syawal dengan membesarkan keAgungan Allah s.w.t. Para remaja janganlah terlalu leka dengan acara-acara makan-minum atau berhibur semata-mata, tetapi perbanyakkanlah ucapan tasbih dan tahmid, memuji kebesaran Allah s.w.t kerana dengan cara itu kita akan berada di landasan yang diredhai Allah s.w.t dan Rasul-Nya s.a.w

Namun bagi para pelajar Tingkatan 3, sambutlah hari raya nanti berpada-pada kerana PMR akan bermula selepas 10 hari kita menyambut Aidilfitri. Jaga makan minum supaya tidak berlebihan sehingga memudaratkan kesihatan.


Sep 23, 2008

SALAM DARI PERANTAUAN

MENATAP akhbar setiap hari seawal Ramadhan hinggalah ke penghujungnya, ada sesuatu yang menarik perhatian saya. Satu ruangan khusus disediakan oleh akhbar-akhbar arus perdana bagi menyiarkan ucapan selamat hari raya oleh para pelajar kita di luar negara. Saya amat teruja setiap kali menatap ruangan tersebut.

Saban tahun begitu ramai pelajar kita telah dihantar ke luar negara sama ada melalui tajaan JPA, MARA, Petronas atau pihak-pihak lain. Mereka itu merupakan para pelajar terpilih yang memperolehi kejayaan cermerlang yang dihantar mengikuti kursus-kursus di universiti-universiti terpilih dan tersohor.

Melihat wajah-wajah mereka melalui gambar-gambar serta ungkapan ucapan yang dititipkan mereka, jelas menggambarkan betapa gembiranya mereka di sana, dapat menuntut pelajaran mengikut bidang pilihan masing-masing. Saya menurutinya satu persatu. Ada yang sedang menuntut di United Kingdom, Russia, Australia, New Zealand, Jepun, Korea, Mesir dan sebagainya. Rata-ratanya amat bersyukur dan gembira sekali, meskipun tidak dapat merayakan hari lebaran yang akan datang bersama keluarga di tanah air.

Terpancar di wajah-wajah para pelajar itu rasa kepuasan yang teramat sangat kerana dapat menunaikan hasrat dan impian ibu bapa masing-masing. Lantaran itulah, di dalam bingkisan ucapan mereka, ucapan ditujukan kepada ibu bapa masing-masing. Di samping itu ada juga yang memberikan ucapan kepada para guru di sekolah dahulu selain kepada rakan-rakan mereka.

Alangkah baiknya jika para pelajar yang sedang bergelut dengan buku bagi persiapan menghadapi PMR, SPM atau STPM tahun ini, dapat menjadikannya sebagai motivasi untuk mencapai kecemerlangan. Bayangkan, pada tahun hadapan, gambar anda pula menghiasi dada akhbar apabila menjelangnya Ramadhan. Tentu sekali ibu, ayah, guru-guru serta rakan-rakan akan membacanya di tanah air, sedang pada waktu yang sama, anda berada di menara gading di luar negara. Tentulah hebat rasanya, bukan?

Para pelajar perlu mempunyai impian yang tinggi dan memiliki matlamat yang jelas untuk menggenggam kejayaan terbaik bagi melayakkan dipilih dan dihantar belajar di luar negara seperti para pelajar yang terpampang wajah mereka di dalam akhbar setiap hari sepanjang bulan Ramadhan tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya.

Ingatlah, anda berhak untuk sama ada MENCIPTA KEJAYAAN atau MENEMPA KEGAGALAN. Apabila anda mencipta kejayaan anda menggembirakan hati orang-orang tersayang, tetapi jika anda menempa kegagalan, anda memilukan hati orang-orang yang menyayangi anda.

Sep 18, 2008

SELAMAT HARI RAYA

SABAN tahun apabila tiba bulan Ramadhan umat Islam memulakan ibadah puasa yang diwajibkan sebagai rukun Islam yang ketiga. Ia merupakan ibadah khusus yang difardukan ke atas umat Islam sebagaimana yang difardukan kepada umat-umat sebelumnya. Lazimnya pada awal-awal Ramadhan, suasana agak tenang, kegiatan-kegiatan harian juga seakan perlahan daripada kebiasaan. Jadual waktu pengajaran di sekolah-sekolah juga dipendekkan bagi memberi ruang waktu rehat yang lebih kepada para pelajar dan juga guru-guru. Di pejabat-pejabat juga keadaan hampir sama.

Tetapi apabila memasuki separuh bulan Ramadhan, suasana mula bertukar. Sudah terasa suasana sambutan Aidilfitri yang bakal disambut. Kegiatan harian mula rancak dengan munculnya gerai-gerai menjual pakaian dan keperluan raya. Pasaraya-pasaraya dan gedung-gedung membeli belah semakin rancak mempamerkan promosi jualannya. Orang ramai makin berpusu-pusu ke sana.

Namun suatu hal yang amat menjentik perasaan saya ialah kejadian-kejadian buruk yang menimpa para remaja kita. Kejadian-kejadian itu berulang kali berlaku setiap bulan Ramadhan, seakan-akan para remaja tidak langsung mengambil iktibar dan pengajaran. Meskipun dipaparkan di dalam media namun kejadian seumpama itu tetap berlaku apabila Ramadhan seterusnya menjelang.

Tahun ini juga tiada terkecuali. Pada hari kedua Ramadhan sudah berlaku kejadian buruk itu. Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun cedera parah akibat letupan mercun. Tangan kanannya cedera dan jari-jarinya putus. Kemudiannya, pada hari ketujuh Ramadhan, kejadian yang sama berlaku lagi ke atas seorang lagi pelajar lelaki berusia 11 tahun pula. Kejadian buruk akibat bermain mercun tidak berhenti setakat itu. Seorang demi seorang remaja kita menjadi mangsa. Kesemuanya di antara usia 11 hingga 17 tahun, iaitu di kalangan pelajar sekolah.

Kejadian-kejadian ini mengundang persoalan di dalam jiwa saya. Apakah punca berlakunya kemalangan-kemalangan seumpama itu? Kenapakah hanya semasa menyambut ketibaan Aidil fitri sahaja kejadian itu berlaku? Siapakah yang memberi kelulusan mengimport mercun-mercun yang merbahaya itu? Kenapa diberikan lesen untuk mengimportnya jika rakyat sendiri yang akan menanggung musibah?

Selanjutnya saya juga bertanya, apakah para remaja kita (pelajar-pelajar) tidak pernah membaca peristiwa kejadian-kejadian malang yang sering kali disiarkan di dalam akhbar atau media elektronik? Apakah mereka menganggap bermain mercun itu suatu budaya masyarakat kita setiap kali menyambut Aidilfitri? Di mana silapnya?

Mengimbau kembali zaman remaja saya dahulu, tidak ada kejadian seumpama itu berlaku. Malah pada waktu itu mercun, bunga api dan seumpamanya dijual di merata kedai, seperti sekarang ini juga. Kami juga bukan sahaja bermain mercun dan bunga api yang dibeli, tetapi bermain meriam buluh yang dibuat sendiri. Dentumannya jauh lebih kuat dan menggegarkan! Tetapi kemalangan tidak sampai mengakibatkan kecederaan kekal seperti putus jari, putus tangan, buta mata malah sehingga merenggut nyawa. Di mana silapnya?

Ibu bapa dan para guru perlu lebih berperanan menghindarkan kejadian-kejadian malang itu daripada berterusan. Anak-anak perlu diberi pengetahuan dan diingatkan sentiasa terhadap bahayanya bermain mercun. Bukan sahaja merugikan wang ringgit, malah mengundang padah yang bukan kepalang. Bayangkan jika jari-jari dan tangan putus atau mata tercedera, bagaimanakah masa depan mereka? Kesedaran harus dipupuk sedari awal, di dalam rumah tangga itu sendiri. Kemudian diperkukuhkan lagi di dalam kelas di sekolah-sekolah. Paparkan berita-berita yang disiarkan dan ceritakan tentang penderitaan yang akan ditanggung sepanjang hayat oleh mangsa tersebut. Moga-moga tumbuh benih keinsafan di dalam hati-hati para pelajar kita dewasa ini supaya pada tahun-tahun akan datang kita tidak akan dihidangkan dengan kejadian-kejadian malang seumpama itu lagi.

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog ini, semoga kita semua dilimpahi rahmat oleh Allah s.w.t. Maaf zahir dan batin.

Sep 9, 2008

NILAI SEBUAH KEJUJURAN

TERAMAT besar nilai sebuah kejujuran. Tidak ternilai oleh wang ringgit atau emas permata. Namun oleh kerana ia tidak dapat dilihat dengan material, maka orang jarang menilainya. Malah ada orang yang tidak langsung memperdulikan kejujuran di dalam kehidupannya.

Zaman kini yang terdedah kepada nilai-nilai material melebihi nilai-nilai murni yang luhur menjadikan manusia tidak lagi menitik beratkan nilai kejujuran. Seakan terhakis di jiwa manusia masa kini tentang kepentingan sebuah kejujuran itu.

Apa tidaknya, ada cerita yang pernah dipaparkan di dalam media, betapa ada rakan yang sanggup menipu, malah ada yang sanggup merompak rakan sendiri. Di manakah letaknya nilai kejujuran di dalam persahabatan di hati mereka itu? Ada juga anak muda yang sanggup berkasar dengan orang yang lebih tua, malah ada juga anak-anak yang berkasar dengan ibu dan ayah sendiri.

Begitu juga nilai kejujuran di antara para pelajar dengan guru-guru. Jika dibandingkan pelajar-pelajar zaman dahulu, rata-rata kurang cemerlang akademiknya tetapi terserlah siasah dan nilai-nilai murni di dalam diri mereka. Hal ini berlaku, pada pendapat saya, ialah kerana wujudnya nilai kejujuran di dalam hati para pelajar dengan para guru masing-masing.

Mereka jujur semasa belajar dan jujur menerima ajaran guru. Justeru itu, ilmu yang mereka perolehi daripada guru-guru secara jujur itu memberi kesan mendalam di dalam jiwa mereka sehingga mereka menjadi manusia yang cemerlang. Tetapi masa kini ternyata berbeza.

Saya perhatikan tingkah laku kebanyakan pelajar dewasa ini yang tidak menghormati guru, masyarakat sekeliling, malah ibu bapa sendiri. Alangkah sedihnya fenomena ini begitu keras melanda para pelajar kita. Pernah saya terjumpa, ada pelajar yang dengan tanpa segan silu tidak masuk ke dalam kawasan sekolah walaupun waktu persekolahan telah lama bermula. Mereka masih mundar mandir di kedai-kedai dengan rokok di tangan, bersuka ria tanpa menghiraukan beratus mata yang memandang mereka.

Saya sedih memikirkan apalah nasib ibu ayah yang mempunyai anak-anak sedemikian perilakunya. Ibu dan ayah mereka tentu sahaja menyangka anak-anak mereka pergi ke sekolah, tapi tanpa disedari anak-anak mereka masih berkeliaran di luar pagar sekolah. Malah ada yang pernah saya temui, pelajar lelaki dan perempuan di taman permainan di kawasan perumahan pada waktu pembelajaran di sekolah rancak berjalan.

Apabila nilai kejujuran tidak dihayati di dalam diri, maka bermacam-macam gejala mudah melanda. Para pelajar yang sedemikian perilaku itu jelas tidak jujur sama sekali. Mereka keluar dari rumah bukan dengan rasa jujur untuk ke sekolah. Kalau ke sekolahpun, mereka tidak jujur untuk menuntut ilmu.

Dalam masa yang sama, para guru juga perlu bertanya diri sendiri, "jujurkah aku mengajar murid-muridku?" Ada bezanya di antara seorang guru yang berjiwa pendidik dengan seorang guru yang hanya berjiwa pengajar. Nilai kejujuranlah yang membezakan di antara keduanya.

Saya percaya dan yakin, jika para pelajar jujur di dalam menuntut ilmu, nescaya ilmu yang diperolehi dapat menghindarkan diri daripada jebak petaka. Juga jika para guru jujur mendidik anak didiknya, pastilah ilmu yang dicurahkan itu menjadi jariah yang berkekalan bila anak-anak didik mengamalkannya di dalam hidup mereka di hari depan.

Sep 6, 2008

PERTARUNGAN BAHARU BERMULA

YA ini adalah satu pertarungan.

Kepada para pelajar Tingkatan 5 sekalian, sekarang ini Peperiksaan Percubaan SPM sedang berlangsung. Ia adalah permulaan sebuah pertarungan yang menduga kekuatan dan kecekapan para pelajar sebagai persediaan menghadapi pertarungan yang sebenarnya di dalam peperiksaan SPM sebenarnya nanti.

Sementelah pula sekarang ini di bulan Ramadhan, para pelajar menghadapi dua pertarungan serentak. Pertarungan melawan hawa nafsu kerana berpuasa dan pertarungan menjawab soalan peperiksaan percubaan. Walau apapun, saya mendoakan para pelajar sekalian boleh menempuh kedua-dua pertarungan itu dengan jayanya.

Walau bagaimanapun, pelajar-pelajar Tahun 6 di sekolah kebangsaan akan terlebih dahulu memasuki gelanggang pertarungan mulai 9 September nanti, iaitu menghadapi UPSR. Pelajar-pelajar tahun inilah merupaka kelompok pertama yang akan menghadapi UPSR di dalam Bahasa Inggeris bagi subjek Matematik dan Sains. Didoakan semoga mereka akan dapat menjawab dengan baik dan berjaya dengan cemerlang.

Bagi pelajar-pelajar Tingkatan 3 yang akan menduduki PMR nanti, anda semua masih ada masa untuk mengulangkaji mata pelajaran. Jangan dipersia-siakan masa yang hanya tinggal hampir sebulan sahaja lagi ini. Inilah masa yang perlu dipergunakan sepenuhnya dan sebaik-baiknya. Tambahan pula dalam bulan Ramadhan, masa lebih banyak boleh dimanfaatkan.

Kepada semua pelajar yang terlibat, saya doakan semoga berjaya.

Sep 2, 2008

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN

HARI INI seluruh umat Islam memulakan ibadah puasa sekali lagi. Setelah setahun berselang, Ramadhan kembali lagi, membawa rahmat kepada umat Islam seluruhnya.

Puasa adalah rukun Islam ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan solat lima waktu sehari semalam. Puasa adalah ibadah khusus yang difardukan kepada umat Islam sepertimana difardukan ke atas umat-umat terdahulu. Puasa melatih kita untuk mengenal makna pengorbanan, makna kesabaran dan makna menahan hawa nafsu daripada menguasai diri dan jiwa kita.

Mengikut pengertiannya, puasa ialah menahan diri daripada makan, minum dan bersetubuh mulai dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, yang dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t. Bukan setakat itu sahaja, puasa juga menahan daripada mengucapkan kata-kata yang sia-sia, kata-kata yang menimbulkan syahwat serta kata-kata yang makruh dan diharamkan.

Rukun puasa ialah berniat di waktu malam untuk mengerjakan puasa esok harinya kemudian seterusnya menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dinyatakan di atas.

Di antara perkara-perkara yang membatalkan puasa termasuklah :-
  1. Berniat untuk berbuka puasa.
  2. Makan, minum dan bersetubuh di siang hari dengan sengaja.
  3. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka seperti hidung, telinga dan mulut walaupun tidak mengenyangkan.
  4. Muntah dengan sengaja.
  5. Perempuan yang keluar haid.
  6. Mengeluarkan air mani dengan sengaja pada siang hari, tetapi jika keluar semasa bermimpi tidak batal puasa.
  7. Perempuan yang bersalin.
  8. Hilang akal disebabkan gila atau mabuk pada siang hari.
  9. Melihat anak bulan Syawal.
  10. Murtad.

Marilah kita sama-sama melakukan ibadat puasa pada tahun ini dengan lebih sempurna daripada tahun-tahun sebelumnya. Semoga Allah s.w.t menerima ibadat kita.

Aug 31, 2008

GENAP 51 TAHUN MERDEKA


HARI ini 31 Ogos 2008, genaplah 51 tahun tanah air kita merdeka. Bebas daripada cengkaman penjajah dan bebas memilih hala tuju serta masa depan bangsa. Jika ditamsilkan kepada seorang manusia, usia 51 tahun adalah usia yang sudah cukup matang. Usia yang sudah menjengah ke gerbang usia emas. Tentu sekali pada usia sebegini, seseorang manusia itu sudah banyak berpengalaman, sama ada pengalaman manis ataupun pengalaman pahit.

Seluruh rakyat Malaysia, pada hari ini, menyambut ulang tahun kemerdekaan dengan rasa bangga dan cukup gembira. Masing-masing menyambut dengan gaya dan cara tersendiri. Namun yang amat jelas ialah masing-masing berlumba-lumba mengibarkan Jalur Gemilang, bendera kebanggaan negara Malaysia yang merdeka. Di bangunan-bangunan, gedung-gedung membeli belah, pejabat-pejabat, sekolah-sekolah, malah di rumah-rumah persendirian, berkibaran Jalur Gemilang dengan megahnya. Bukan itu sahaja, di kenderaan-kenderaan juga Jalur Gemilang berkibaran.

Tetapi hakikatnya, apakah itu melambangkan kentalnya semangat cintakan tanah air?

Petang 30 Ogos, 2008, saya dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang kemerdekaan kepada peserta-peserta Program Kembara Berbasikal Merdeka anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Baling dan Majlis Belia Daerah Baling, Kedah bertempat di Kampung Pokok Sena, Baling. Sepatutnya para peserta program tersebut terdiri daripada para pelajar dan belia/beliawanis tempatan kerana matlamat program itu adalah untuk menyemai rasa cinta kepada tanah air yang telah merdeka ini ke jiwa generasi muda. Namun, mungkin kerana sebab-sebab tersendiri yang difahami oleh penganjurnya, saya hanya berhadapan dengan sekumpulan peserta muda, dalam lingkungan usia 13 - 16 tahun sahaja, lebih kurang 12 - 18 orang.

Apa pun, saya teruskan juga dengan menceritakan kepada mereka tentang perbezaan di antara zaman saya seusia mereka dahulu dengan zaman kini. Perbezaan yang saya istilahkan sebagai "Merdeka Zaman Susah" dan "Merdeka Zaman Mewah". Pada waktu Merdeka Zaman Susah, remajanya gigih berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja membantu orang tua masing-masing, seperti membuat kerja-kerja sampingan. Pada waktu itu negara kita masih lagi di dalam proses mengisi kemerdekaan dengan perancangan ke arah meningkatkan taraf kehidupan rakyat, termasuklah taraf pendidikan, taraf kesihatan dan sebagainya. Rakyat masih belum dapat menikmati kemewahan dan kesenangan yang diidam-idamkan lagi.

Meskipun sudah mengecap kemerdekaan dan bebas daripada telunjuk penjajah, negara kita pada waktu itu masih belum dapat berdiri teguh dan gagah. Jika diumpamakan sebagai seorang manusia, negara kita pada waktu itu baharu sahaja belajar berdiri dan mengatur tapak untuk berjalan. Waktu itu negara kita masih lagi muda dan mentah.

Tetapi kini setelah melalui berbagai fasa, Malaysia telah muncul sebagai sebuah negara yang dihormati oleh masyarakat dunia. Kemewahan yang dinikmati, kestabilan yang dialami, kedamaian serta ketenangan hidup warganya menjadi tonggak kejayaan yang amat membanggakan. Semua itu adalah berkat kesepakatan dan perpaduan yang diamalkan oleh seluruh warga negara yang berbilang bangsa, berbagai agama, adat resam dan kebudayaan. Rasa saling hormat menghormati dan bertoleransi sesama rakyat telah mengangkat nama Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati.

Saya ingatkan kepada peserta-peserta muda yang menjadi pendengar ceramah saya petang itu supaya sentiasa menjaga nama baik ibu bapa, keluarga dan bangsa supaya masa depan negara kita yang merdeka ini akan lebih cemerlang lagi. Walau pun mereka hidup di masa "Merdeka Zaman Mewah" ini, mereka harus sedar jika kemerdekaan yang dinikmati selama 51 tahun ini tidak dipelihara dengan sebaik-baiknya, penjajahan baru tidak mungkin akan berulang lagi.

"Anak-anak semua ini adalah pewaris kemerdekaan tanah air kita. Anak-anaklah yang perlu bertanggung jawab untuk mempastikan kemerdekaan ini berterusan dan tanah air kita kekal merdeka selama-lamanya. Jangan sama sekali mempersia-siakan kemerdekaan dan kemewahan yang kita nikmati sekarang ini. Dan yang paling penting, anak-anak sekalian mesti memiliki jiwa merdeka, bukannya jiwa hamba. Biarlah "Merdeka Zaman Susah" menjadi sejarah dan "Merdeka Zaman Mewah" terus kekal untuk dikecapi kemewahannya".

Hujan mencurah-curah sebaik sahaja saya selesai menyampaikan ceramah. Hujan rahmatkah? Atau amaran dari Tuhan?

Aug 23, 2008

SEMANGAT PATRIOTIK GENERASI MUDA MASA KINI


SETIAP kali tibanya hujung bulan Ogos, seluruh rakyat akan mengenang tarikh kemerdekaan tanah air, 31 Ogos 1957. Tahun ini genaplah 51 tahun Malaya (sebelumnya Tanah Melayu dan kini Malaysia) mencapai kemerdekaan daripada Kerajaan Britain yang menjadi penjajah terakhir tanah air kita. Peristiwa bersejarah itu dirakamkan di dalam berbagai media dengan bermacam cara dan kaedah tersendiri.


Zaman saya bersekolah dahulu, rakaman peristiwa mencapai kemerdekaan hanya dapat ditatap melalui buku-buku sejarah. Paparan yang paling canggih pada zaman itu, hanyalah melalui tayangan wayang pacak atau wayang padang yang dibawakan oleh Jabatan Penerangan ke kampung-kampung. Seluruh penduduk kampung akan keluar ke padang atau kawasan lapang selepas maghrib untuk menonton wayang di situ. Sebelum tayangan dimulakan, pegawai dari Jabatan Penerangan akan berucap terlebih dahulu, menyampaikan berita-berita terikini tentang dasar-dasar pembangunan yang diputuskan oleh Kerajaan. Oleh kerana pada waktu itu saya masih lagi seorang anak kecil ucapan-ucapan itu menjadi satu gangguan kerana hasrat saya untuk menonton tayangan wayang gambar itu sahaja. Tambahan pula saya tidak faham apa yang diucapkan itu.

Pada zaman ini, rakaman peristiwa negara mencapai kemerdekaan 51 tahun silam sudah dapat ditatap bukan sahaja melalui buku-buku sejarah, malah di dalam setiap media terpapar catatan bersejarah itu. Media elektronik menyiarkan rakaman gambar-gambar yang menceritakan peristiwa itu dengan jelas ditambah pula dengan penceritaan yang menarik. Disusuli pula dengan berbagai drama yang memaparkan pengkisahan tentang perjuangan mencapai kemerdekaan. Bukan setakat itu sahaja, ada juga badan korporat yang menyelitkan semangat patriotik di dalam iklan-iklan mereka untuk tontonan umum melalui TV dan sebagainya.

Semua itu adalah usaha untuk membangkitkan semangat cintakan tanah air yang merdeka ini supaya generasi muda masa kini dapat menghayatinya dengan lebih mendalam. Namun, apakah segala usaha itu memberi kesan seperti yang diharapkan?

Minggu lepas, sewaktu ke majlis kenduri anak saudara saya di Duyung, Melaka, saya berkesempatan membawa anak-anak dan anak-anak saudara melawat ke Memorial Kemederkaan di Melaka Bandaraya Bersejarah. Sebenarnya kami teruja kerana diberitahu ada gambar arwah datuk di memorial tersebut. Oleh kerana terlalu ingin menatap wajah arwah datuk, yang masing-masing sudah tidak dapat mengingat dengan jelas rupa arwah, saya dan keluarga bersama adik dan keluarganya, singgah ke memorial tersebut walaupun terlalu sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta!

Setelah puas mencari satu demi satu gambar-gambar di dalam memorial itu, akhirnya kami berjumpa dengan gambar tersebut yang terletak di tingkat tiga bangunan bersejarah itu. Ia merupakan keratan akhbar Berita Harian bertarikh 11 September 1957 bertempat di Kulim, Kedah. Gambar almarhum Tunku Abd Rahman yang sedang duduk di atas kerusi rotan dengan seorang lelaki yang bertelut di lutut Tunku. Lelaki itulah arwah datuk saya, almarhum Lebai Hussain bin Haji Taib. Menurut 'caption' di bawah gambar itu, arwah datuk serbu bertelut ke kaki almarhum Tunku dan kemudian membasuh kaki Tunku sebagai membayar niat kerana kemerdekaan yang sudah tercapai.

Saya terdiam panjang sewaktu melihat gambar dan keratan akhbar yang diperbesarkan itu. Sepantas kilat saya mensedekahkan Al-fatehan buat arwah datuk dan almarhum Tunku Abd Rahman. Ketika itu saya cuba gambarkan semangat patriotik rakyat Malaya pada waktu itu yang terlalu berkobar riang kerana kemerdekaan sudah tercapai. Maknanya negara sudah bebas dari belenggu penjajahan.

Saya perhatikan di dalam Memorial Kemerdekaan tersebut, melihat dan cuba membilang berapa ramai anak muda dan remaja yang ada di situ pada waktu saya berasa amat teruja itu. Hampa! Selain anak-anak saya dan anak-anak saudara saya, tidak ada remaja lain di situ. Yang ada hanyalah beberapa orang dewasa yang mungkin melangkaui usia 45 tahun serta beberapa rombongan pelancong asing yang begitu ghairah membaca catatan peristiwa bersejarah tanah air kita serta sibuk mengambil gambar di sana sini. Kenapa anak-anak muda dan remaja kita tidak mengunjungi tempat yang penting dan bermakna ini? Apakah mereka sudah faham erti kemerdekaan? Atau apakah mereka sudah dapat merasai perit getir perjuangan menuntut kemerdekaan lebih separuh abad dahulu? Atau apakah kerana semangat cinta kepada tanah air semakin luntur di jiwa mereka?

Di tepi tangga di tingkat tiga Memorial Kemerdekaan itu, terpampang gambar Almarhum Tunku Abd Rahman ketika melaungkan "Merdeka" sewaktu sambutan kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur 31 Ogos 1957 dahulu. Gambar besar anggaran setinggi 8 kaki itu tampak begitu hebat dan megah sekali kerana itulah detik bermulanya kemerdekaan tanah air.

Sebelum turun, tiga orang anak saudara saya sempat bergambar di potret Tunku itu. Sambil mengangkat tangan kanan ke udara, meniru gaya Tunku, mereka serentak melaungkan "Merdeka". Semoga semangat cintakan tanah air akan terus bersemadi di dalam jiwa mereka buat selama-lamanya.

Aug 20, 2008

SIAPAKAH SAHABAT KARIB?

RAMAI orang akan menyebut nama orang lain apabila ditanya, siapakah sahabat karibnya. Sesiapa sahaja akan memberi reaksi yang sama kerana pada tanggapan kita, sahabat karib itu adalah seseorang yang sangat rapat dan sangat dikenali. Selain itu sahabat karib adalah orang yang boleh menjadi tempat untuk kita meluahkan sebarang perasaan dan masalah.

Tetapi ramai yang tidak terfikir bahawa orang yang paling layak menjadi sahabat karib ialah saudaranya sendiri. Di dalam sebuah keluarga, semua adik beradik harus mempunyai sikap dan pegangan hidup bahawa adik beradiknya adalah sahabat paling akrab. Ini bertepatan dengan bidalan orang tua-tua: "Air dicincang tidak akan putus" atau "Sebusuk-busuk daging, dibasuh bersih dimakan juga".

Di dalam apa juga keadaan, jangan sekali-kali menyisihkan keluarga dan adik beradik sendiri. Pertalian kekeluargaan melalui darah keturunan akan mengikat erat setiap ahli keluarga selama-lamanya. Tetapi bersahabat dengan orang lain, yang tiada ikatan kekeluargaan, tidak akan kekal selama-lamanya. Selagi tidak ada pergeseran dan pertelingkahan dia akan menjadi sahabat karib, tetapi jika berjauhan dan berlaku pertelingkahan, besar kemungkinan persahabatan akan hancur.

Seorang abang sulung harus menjadi sabahat karib kepada adik-adiknya. Bukan sahaja sebagai sahabat karib, dia juga harus menjadi pelindung kepada adik-adiknya. Sebagai adik beradik, banyak persamaan yang ada di dalam diri setiap mereka. Paling jelas ialah persamaan perasaan dan rasa hormat kepada kedua-dua orang tua, ayah dan ibu mereka. Perasaan sedemikian tentu sekali tidak ada di dalam jiwa seorang sahabat karib yang bukan adik beradik sendiri.

Mungkin ada pendapat mengatakan adik beradik sendiri tidak boleh menjadi sahabat karib kerana jarak usia yang berbeza. Mana mungkin adik bongsu menjadi sabahat karib kepada abang/kakak sulung yang tentu sekali usia mereka jauh bezanya.

Walau pun begitu, perasaan dan naluri mereka tetap sama. Perasaan kasih sayang yang suci di antara mereka akan menjadi tali pengikat yang lebih erat jika dibandingkan dengan ikatan persahabatan dengan orang lain. Biar sekalipun usia mereka tidak sebaya, mereka boleh menjadi sahabat karib kerana mereka berkongsi perasaan yang sama, terutama yang melibatkan hal-hal bersangkutan kekeluargaan.

Adik beradik perlu membina dan berkongsi perasaan yang sama, meskipun mempunyai keinginan dan minat yang berbeza. Perasaan hormat menghormati, saling berkasih sayang dan mengasihi di antara satu sama lain, perlu lahir dari hati yang suci bersih atas dasar mereka semua adalah dari satu rumpun keturunan, mempunyai ayah dan ibu yang sama. Seharusnya tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan di antara mereka kerana mereka saling perlu memerlukan di sepanjang masa.

Ikatan kekeluargaan akan menjadi lebih erat dan berpanjangan jika adik beradik menjadi sahabat karib sesama mereka.

Aug 11, 2008

KAU TIBA LAGI OGOS


engkau tiba lagi Ogos
membawa bersamamu kenang silam
perjuangan moyanganda
menebus maruah bumi tercinta
menjadi negara berdaulat
bebas merdeka.

sekian kalinya ketibaanmu
menyulam rindu dan doa
para pejuang mendahului kami
meneruskan perjuangan
sehingga terpancar kemenangan
dari celah-celah kepalsuan.

kami akan terus menantimu, Ogos
untuk kami asah pedang keyakinan
menikam bayang-bayang durjana
sembunyi di sebalik pohon prasangka
semoga nanti anak-anak kami
tidak gentar bermain di taman ini
selamanya.

Pinggiran Alor Setar
11 Ogos 2008



Aug 9, 2008

KAEDAH BELAJAR MENGAJI QUR'AN ZAMAN DAHULU.

TIDAK pernah terlintas di fikiran, siapakah yang mencipta kaedah pengajaran dan pembelajaran itu. Tetapi rata-rata rakan-rakan yang hampir seusia saya, masing-masing terkedu bila saya tanyakan soalan tersebut.

"Entahlah, aku pun tak pernah terfikir", jawab seorang rakan berusia lebih kurang 48 tahun yang pernah saya tanyakan soalan itu di suatu petang. "Seingat aku, kaedah itu digunakan sejak aku kecil dulu lagi", sambungnya.

Arwah datuk dan nenek saya adalah guru qur'an di kampung. Ramai anak muridnya yang bertandang saban malam, kecuali malam Jumaat, untuk belajar membaca Al-Qur'an. Penduduk yang berhampiran semuanya menghantar anak-anak mereka belajar Al-Qur'an daripada datuk dan nenek saya. Seingat saya, arwah datuk dan nenek mengajar semua anak muridnya belajar Al-Qur'an menggunakan kaedah yang sama. Saya sendiri mula belajar membaca Al-Qur'an sewaktu berumur 5 tahun lagi kerana saya dibesarkan oleh kedua-dua mereka.

Sejak sebelum maghrib lagi anak-anak murid sudah datang ke rumah, masing-masing siap membawa muqaddam atau al-qur'an serta pelita minyak. Masa itu, masih belum ramai penduduk kampung yang mempunyai lampu picit berbateri. Pelita minyak itu mempunyai dua peranan, pertama untuk mencerahkan ruang rumah semasa membaca qur'an, dan satu peranan lagi sebagai penyuluh jalan untuk pulang ke rumah masing-masing selepas selesai mengaji.

Setelah selesai solat maghrib yang diimamkan oleh arwah datuk, anak muridnya akan mula mengambil tempat di serambi. Murid-murid perempuan duduk sesama mereka membuat satu lengkongan, meletekkan semua pelita di tengah-tengah lengkongan itu. Murid-murid lelaki pun sama juga. Semua mereka mula dengan sesi 'meneras' sebelum sesi kedua iaitu membaca di hadapan arwah datuk atau arwah nenek saya.

Istilah 'meneras' ini pun saya tidak pasti siapa penciptanya. Tetapi rata-rata rakan-rakan yang pernah mendapat pendidikan al-qur'an secara tradisional di kampung, faham dengan istilah itu. Secara mudahnya ialah membaca ayat-ayat atau surah-surah yang sudah diajar terdahulu dari mula sehingga ke tahap terkini. Contohnya, jika terkini seorang murid itu membaca ayat 112 - 117 surah Al-Baqarah, maka semasa sesi 'meneras', dia harus membaca dari ayat 1 atau dari mana-mana ayat hingga ayat 111 sebelum membaca ayat 112 - 117 di hadapan tok guru selepas 'meneras'.

Saya rasa itulah kaedah ulangkaji yang digunakan di dalam P&P al-qur'an secara tradisional di kampung-kampung pada zaman dahulu. Secara tidak langsung, ia memberi kesan yang kuat kepada murid-murid untuk melancar dan mudah mengingati ayat-ayat yang telah dipelajarinya.

Semasa anak-anak muridnya 'meneras' arwah datuk, arwah nenek dan saya akan menikmati hidangan makan malam di dapur. Namun, semasa sedang makan arwah datuk atau arwah nenek mampu menegur mana-mana anak muridnya yang tidak betul atau tidak lancar bacaannya. Bayangkan di dalam hiruk pikuk anak-anak muridnya yang tidak kurang daripada 20 orang setiap malam sedang 'meneras' arwah datuk dan arwah nenek boleh mengesan kesilapan bacaan anak-anak murid mereka. Saya kagum dengan kelebihan yang mereka miliki.

Selepas itu baharulah sesi kedua dimulakan. Sesi ini ialah membaca secara berhadapan dengan tok guru. Murid-murid lelaki akan membaca di hapadan arwah datuk dan murid-murid perempuan pula di hadapan arwah nenek. Mereka akan membaca ayat-ayat yang di'ubah' malam sebelumnya. 'Ubah' adalah satu lagi istilah yang digunakan, iaitu beralih dari ayat-ayat yang sudah lancar dibaca ke ayat-ayat seterusnya pula. Selagi anak murid itu tidak lancar membaca ayat 112 - 117 surah Al-Baqarah contohnya, dia tidak akan di'ubah' ke ayat 118 dan seterusnya. Ada di antara anak murid arwah datuk dan arwah nenek yang terpaksa mengulang-ulang beberapa malam ayat-ayat tertentu sehingga benar-benar lancar.

Oleh kerana bilangan muridnya yang agak ramai, arwah datuk dan arwah nenek 'mentauliahkan' kepada murid-murid yang lebih tua untuk mengajar murid-murid yang lebih muda daripada mereka. Secara tidak langsung, murid-murid yang tua dan sudah lancar akan dapat melancarkan lagi pembacaan mereka di samping menegur bacaan murid-murid yang muda. Saya rasa ini adalah kaedah Tutor/Pembimbing Rakan Sebaya yang digunakan di sekolah-sekolah pada masa ini.

Apabila semua murid sudah selesai membaca di hadapan tok guru, majlis mengaji pada malam itu pun bersurai. Setiap anak murid akan bersalaman dengan arwah datuk dan arwah nenek sebelum pulang. Bersalaman dengan tok guru adalah amalan murni kerana ia mendidik jiwa anak murid menghormati guru di samping memohon restu dan redha terhadap ilmu yang diajarinya. Seeloknya amalan ini diperbaharui dan diamalkan di sekolah-sekolah pada masa kini. Mungkin amalan ini dapat membentuk pelajar supaya lebih luhur jiwa mereka dan tidak bertindak mengikut emosi semata-mata.

Saya sering teringat kenangan manis itu walaupun kini arwah datuk dan arwah nenek sudah lama meninggal. Biarpun siapa yang mencipta kaedah P&P al-qur'an secara tradisional itu, marilah sama-sama kita hadiahkah Al-Fatehah untuk rohnya.

Amin.

Aug 5, 2008

RASA HORMAT ANTARA GURU DAN PELAJAR

HARIAN METRO Edisi Utara hari ini menyiarkan tulisan Yusri Abdul Malik bertajuk "Rotan Masih Relevan" di muka surat 14. Saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan berhubung isu berkenaan.

Masalah disiplin pelajar sekolah kerap dipaparkan melalui media menjadikan isu ini seakan tidak pernah berkurangan. Saban hari dan minggu tersiar berita-berita di dada akhbar dan media elektronik tentang kisah-kisah membabitkan pelajar yang melanggar disiplin sekolah sehingga ke tahap yang membahayakan, mengugut dan memukul. Pernah tersiar berita pelajar bergaduh di asrama sehingga menyebabkan kecederaan, lumpuh tubuh badan malah kematian. Semua berita itu amat memeritkan perasaan dan menyayat jiwa.

Pelajar hari ini adalah pemimpin di hari depan. Kenyataan ini memang satu kenyataan lumrah yang sering diucapkan segenap lapisan masyarakat. Namun gejala pelajar melanggar disiplin masih belum dapat dibanteraskan.

Ada rakan-rakan dari kalangan guru kerap menceritakan tentang disiplin pelajar di sekolah mereka. Saya seperti tidak percaya pada mulanya, tetapi apabila terlalu kerap cerita sebegini muncul di media massa, saya yakin isu disiplin pelajar sekolah memang suatu isu yang memerlukan pendekatan baru untuk mengurang atau mengatasinya.

Pada zaman 60-an, 70-an dan 80-an, merotan pelajar dibenarkan oleh pihak atasan. Pelajar-pelajar pada zaman itu memang menghormati guru bukan kerana takutkan rotan tetapi takut jika dikenakan hukuman rotan. Saya pernah kena rotan di sekolah akibat melanggar disiplin tetapi saya tidak memberontak. Saya dimaklumkan kesalahan yang saya lakukan sebelum hukuman dikenakan. Saya terima hukuman itu dengan azam untuk tidak mengulanginya lagi. Sepanjang saya bersekolah dahulu, itulah satu-satunya hukuman rotan yang saya terima. Selepas itu saya tidak pernah dirotan lagi.

Saya rasa perbezaan yang ketara di antara pelajar era 60-an, 70-an dan 80-an dengan pelajar zaman kini ialah kurangnya nilai hormat kepada guru. Para pelajar sekarang sudah tidak begitu menghormati guru baik di sekolah apatah lagi di luar sekolah. Jika pada zaman saya bersekolah dahulu (era 70-an), para pelajar memang menghormati para guru. Kami tidak pernah menganggap guru sebagai kawan, tetapi sebagai guru. Sentiasa meletakkan guru di tempat yang sewajarnya dan menghormati mereka. Ketika di sekolah para pelajar menghormati guru sebagai orang yang mengajar mereka, di luar sekolah pula penghormatan adalah kerana mereka orang yang berilmu pengetahuan.

Apabila rasa hormat terhadap guru itu tinggi para pelajar tidak berani melakukan sesuatu yang melanggar disiplin sekolah. Bukan sahaja Pengetua atau Guru Disiplin yang perlu dihormati, malah semua guru wajar dihormati selayaknya. Dewasa ini saya pernah terjumpa para pelajar yang langsung tidak menghormati guru mereka berdasarkan lagak para pelajar itu sendiri. Saya perhatikan gelagat mereka setiap kali berkesempatan berceramah di mana-mana sekolah. Ada di antara pelajar yang tidak mengendahkan guru-guru, tanpa menunjukkan rasa hormat langsung. Contohnya sekumpulan pelajar yang membuat bising akan terus bising walaupun ada guru yang berjalan di hadapan mereka. Bagi mereka kehadiran guru itu tidak memberi sebarang rasa gerun sedikit pun kerana rasa hormat yang tidak tersemat di hati mereka.

Walau bagaimanapun, saya rasa para guru juga harus mempunyai sikap yang tinggi nilainya. Nilai-nilai murni sebagai seorang guru haruslah terpancar di sepanjang masa. Bukan sahaja semasa di dalam kelas malah di mana-mana sekalipun. Cara berkomunikasi dan tutur kata para guru harus mencerminkan ketinggian ilmu yang dimiliki. Sewajarnya para guru bijak berkomunikasi dengan pelajar supaya tidak membuatkan pelajar mengandaikan guru sebagai kawan biasanya sahaja. Tetapi guru sebagai sorang guru yang perlu dihormati.

Anak bongsu saya (tingkatan 3) pernah merungut tentang gurunya yang membahasakan diri sebagai "aku" bila bercakap di dalam kelas. Anak saya merasa janggal dan tidak dapat menerima sebutan "aku" dari mulut seorang guru. Pernah juga saya mendengar seorang guru mengungkapkan kata "pengkhianat bangsa jika tidak mendapat kelulusan cemerlang di dalam peperiksaan" di dalam perjumpaan pelajar dan waris di sekolah. Itu hanyalah contoh-contoh kecil sahaja. Mungkin ada lagi pengucapan tidak sewajarnya terbit dari mulu guru yang membuatkan para pelajar kurang senang. Lantas saya pasti anak saya sudah kurang rasa hormatnya kepada guru tersebut walaupun saya cuba membetulkan persepsinya.

Saya lebih gemar membuat kesimpulan bahawa para guru harus terlebih dahulu menunjukkan sikap positif terhadap pelajar mereka dengan menampilkan diri sebagai seorang yang berwibawa dan berhemah tinggi yang sewajarnya dihormati. Para pelajar bukan sahaja memerlukan bimbingan tetapi juga ingin mencari 'role model' yang boleh dijadikan ikutan.

Aug 2, 2008

MENCARI TEMAN RAPAT

DI KALANGAN remaja, khususnya pelajar, mencari teman rapat kadang kala menjadi satu masalah yang membebankan. Ramai yang keliru dengan istilah teman rapat (best friend) kerana kebanyakan pelajar kurang mengambil berat untuk menilai ciri-ciri yang perlu ada kepada seseorang sebelum boleh dijadikan teman rapat.

Lazimnya para pelajar, terutama pelajar perempuan, dalam usia antara 13 - 17 tahun, mempunyai teman rapat masing-masing, sama ada rakan sekelas, rakan sekamar di asrama atau rakan sepermainan. Teman rapat ini akan menjadi tempat mencurah rasa, perasaan gembira atau sebaliknya. Malah hal-hal yang rahsia sekalipun, sanggup diceritakan kepada teman rapat itu.

Namun, kerap yang berlaku, para pelajar tidak tahu apakah ciri-ciri yang perlu ada sebelum seseorang rakan itu boleh dianggap sebagai teman rapat (best friend). Kebiasaannya seseorang rakan yang dikenali sejak beberapa lama akan dianggap sebagai teman rapat. Jika rakan itu sudah dikenali sejak di sekolah rendah dahulu lagi, kemudian ke sekolah menengah yang sama, persahabatan itu akan diteruskan. Apatah lagi jika mereka berada di dalam kelas yang sama.

Mungkin persahabatan itu kemudiannya berpanjangan sehingga ke universiti, jika mereka belajar di universiti yang sama. Tetapi apakah semua itu melayakkan seseorang rakan itu dianggap teman rapat? Apakah hanya kerana mereka sudah saling kenal mengenali dan bersahabat sejak sekolah rendah lagi, mereka boleh menjadi teman rapat?

Hal inilah yang jarang diperhatikan secara mendalam oleh para pelajar. Mereka mengambil jalan mudah, sesiapa yang baik dengan mereka itulah teman rapat. Sebenarnya memilih teman rapat (best friend) bukanlah satu perkara mudah. Ia memerlukan penelitian yang mendalam, bukan hanya sekadar baik dan rapat sejak zaman sekolah rendah, kemudian ke sekolah menengah mereka itu boleh mejadi teman setia (best friend). Banyak lagi ciri-ciri yang perlu diteliti dengan mendalam.

Memilih teman rapat memerlukan masa untuk menilai dari beberapa segi. Sikap seseorang rakan memainkan peranan penting. Adakah sikapnya sesuai dengan jiwa dan perasaan kita? Adakah sikapnya sering menyenangkan hati kita? Jika rakan itu memiliki sikap yang baik dan positif sekalipun, belum tentu dia boleh menjadi teman rapat kita jika aspek-aspek lain tidak menyenangkan perasaan kita.

Perwatakan rakan itu perlu diperhatikan dengan mendalam. Mungkin dia seorang yang lemah lembut, berbudi bahasa, sopan dan tidak menyakiti hati kita, tetapi dalam masa yang sama dia seorang yang suka mengadu domba. Dia mungkin suka bercerita kepada rakan-rakan lain tentang rahsia peribadi kita. Mungkin juga dia suka menyampaikan sesuatu cerita berlebih-lebihan sehingga menimbulkan fitnah dan sebagainya.

Ada juga rakan yang suka mengambil kesempatan di atas sikap kita yang menganggapnya teman rapat. Dia tidak berniat ikhlas malah sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan yang boleh menguntungkan dirinya sahaja. Umpamanya dia akan berkawan rapat dengan kita sebab memerlukan kita untuk sentiasa membantunya mengatasi pelajarannya yang lemah. Atau kerana dia boleh dapatkan keuntungan material seperti wang ringgit, peralatan dan keperluan-keperluan lain. Rakan sebegini akan menjauhkan diri jika kita tidak lagi dapat memberi keuntungan kepadanya atau setelah dia mendapat rakan lain yang boleh memenuhi kehendaknya.

Begitu juga ada di antara rakan yang terlalu sensitif dan cepat memutuskan persahabatan hanya kerana hal-hal remeh. Umpamanya, dia seorang yang tidak boleh ditegur jika dia melakukan kesilapan. Atau dia hanya menganggap dia seorang sahaja yang betul dan baik dalam semua hal. Dan yang lebih teruk lagi jika dia seorang rakan yang suka mengongkong dan mengawal orang lain supaya berkawan dengannya sahaja.

Semua ini berlaku di alam remaja, khususnya di alam persekolahan. Saya telah menempuhi semua itu. Lalu saya mengambil sikap berhati-hati memilih teman rapat (best friend) dan tidak sewenang-wenangnya mengakui seseorang rakan itu sebagai teman rapat saya. Sewaktu saya di sekolah menengah malah di universiti sekali pun, saya tidak mempunyai seorang pun teman rapat (best friend). Bagi saya semua rakan yang saya kenali adalah rakan saya. Saya lebih suka mempunyai ramai rakan daripada mempunyai seorang teman rapat sahaja.

Memilih teman rapat yang sebenarnya amat sukar. Tetapi nilai persahabatan seorang teman yang jujur tiada tolok bandingnya. Oleh itu carilah teman rapat yang jujur.

Jul 29, 2008

MENGHADAPI TEMUDUGA

DUA hari lepas, anak perempuan saya telefon. Di maktabnya akan diadakan sesi Latihan Menghadapi Temuduga (Mock-up Interview). Saya terkejut juga kerana tidak pernah mendengar latihan seumpama itu diadakan di sekolah sebelum ini. Atau mungkin kerana saya tidak pernah ada anak yang belajar di maktab seperti anak perempuan saya sekarang ini. Itu yang membuatkan saya terpinga-pinga beberapa ketika.

Rasa terpinga-pinga itu ialah kerana saya tidak dapat memberi jawapan sebaiknya bila anak saya bertanya, "Apa soalan yang selalu ditanya semasa temuduga, ayah?"

Tanpa mengetahui latar belakang dan matlamat mock-up interview yang akan diadakan itu, saya tidak dapat memberi jawapan yang tepat kepada anak saya. Menurutnya, mock-up interview itu nanti berupa latihan menghadapi temuduga di mana ada beberapa orang penemuduga yang akan mengendalikan sesi tersebut. Oleh sebab itulah, anak saya merasa risau apakah bentuk soalan yang akan diajukan nanti.

Saya pernah bertugas sebagai Pengurus Pentadbiran dan Sumber Manusia selama hampir 3 tahun dengan sebuah syarikat korporat sekitar tahun-tahun 1997-1999. Salah satu daripada tugas saya ialah mengenal pasti keperluan sumber manusia untuk mengisi mana-mana kekosongan di dalam bahagian-bahagian tertentu di dalam organisasi. Setelah itu saya perlu menjalankan sesi temuduga calon-calon yang disenaraipendekkan untuk sebarang jawatan.

Pengalaman saya menemuduga calon-calon yang dipanggil untuk temuduga banyak mengajar saya mengenali kewibawaan seseorang calon. Lazimnya setiap calon yang datang untuk ditemuduga akan bersiap sedia dengan sijil-sijil akademik, sijil kokurikulum dan segala macam sijil lain yang diperolehi sepanjang masa pengajian mereka. Sijil kelahiran dan kad pengenalan tidak pernah dilupakan kerana itulah dua dokumen peribadi yang amat penting.

Calon-calon itu juga bersiap sedia dengan maklumat-maklumat tentang organisasi serta bidang tugasan yang akan dipikul nanti, jika berjaya di dalam temuduga. Masing-masing akan memberikan maklumat-maklumat tersebut sebaik mungkin, walaupun ramai yang kurang mengerti apa yang mereka sampaikan. Manakala aspek tugasan pula, rata-rata calon hanya mampu bercerita tentang bidang pekerjaan itu berdasarkan pendapat serta pengalaman orang lain, sama ada ayah, ibu atau ahli keluarga mereka.

Saya kurang memberi perhatian serius kepada aspek itu. Saya lebih menumpukan kepada tiga perkara lain yang jarang diberi perhatian oleh calon-calon. Pertama ialah gaya dan penampilan diri mereka. Lazimnya calon-calon akan datang dengan berpakaian sebaik mungkin. Calon-calon lelaki akan memakai baju kemeja lengan panjang bertali leher serta berseluar panjang. Calon-calon perempuan pula akan memakai baju kurung atau kebaya atau pakaian yang sesuai. Saya tidak gemar jika ada calon perempuan yang berpakain berlebihan dengan fesyen keterlaluan. Gaya pemakaian mencerminkan keperibadian mereka sama ada mereka itu bersikap positif atau sebaliknya.

Memakai baju berwarna cerah dan lembut dengan tali leher berwarna gelap akan lebih menonjolkan keterampilan positif calon itu berbanding berbaju belang atau jalur dengan tali leher berwarna lembut. Saya juga perhatikan warna seluar yang dipakai sama ada warna cerah atau gelap, sama ada sepadan dengan warna baju atau pun tidak. Malah bukan itu sahaja, warna stokin dan kasut juga saya berikan tumpuan. Semua itu menggambarkan keperibadian seseorang.

Keduanya, saya perhatikan gaya calon berkomunikasi sama ada secara tertekan atau secara kebiasaannya. Boleh berhujjah jika diprovokasi atau tidak dapat mempertahankan pendapat apabila dihujani soalan-soalan. Selain daripada itu saya juga bertanya soalan-soalan bersifat peribadi kerana itu akan memberi gambaran kejujuran calon itu. Kadang-kadang soalan yang telalu peribadi. Ada juga ketikanya saya sengaja menyoal calon-calon dengan soalan-soalan sindiran yang tajam bagi menduga ketabahan mereka.

Akhir sekali soalan yang sering saya tanya kepada calon-calon sepanjang tugas sebagai Pengurus Pentadbiran dan Sumber Manusia, ialah soalan yang membuat ramai calon terkedu.

"Berikan saya lima kelemahan diri anda".

Ramai calon yang gagal menjawab. Tetapi ada juga yang menjawab, "sukar untuk saya mengetahui kelemahan diri kecuali orang lain yang memberitahu saya".

Saya akan segera membalas, "Maaf, anda tidak layak bekerja dengan saya di dalam organisasi ini kerana anda tidak kenal diri anda sendiri".

Jika seseorang itu tidak tahu kelemahan dirinya, dia sebenarnya belum mengenali dirinya sendiri. Dia tidak akan dapat mengubah atau memperbaiki sikapnya dan selama itulah dia akan terus menjadi seorang yang tidak kenal dirinya siapa. Oleh itu bagaimana mungkin dia dapat memberikan khidmat terbaik kepada organisasi?