Pages

Showing posts with label disiplin pelajar. Show all posts
Showing posts with label disiplin pelajar. Show all posts

Mar 8, 2011

BOM SEKOLAH



JIKA kelmarin akhbar Harian Metro Edisi Utara memuatkan kejadian seorang pelajar dibelasah di sekolah ketika sesi pengajaran sedang berjalan, hari ini beritanya lebih mencemaskan. Hari ini 8 Mac 2011, terpampang berita hadapan akhbar tersebut bertajuk 'Bom sekolah' dan di dalam muka 4 pula tajuknya ditulis ''Bom' gegar sekolah'.

Membaca tajuk beritanya sahaja sudah menimbulkan perasaan cemas dan mengharukan. Walaupun tiada sebarang kemalangan nyawa atau harta benda, kejadian seumpama itu tidak seharusnya terjadi di dalam kawasan sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Dua letupan berlaku ketika sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berjalan adalah kejadian yang memerlukan perhatian yang amat serius oleh pihak-pihak berwajib.

Menurut berita yang ditulis di dalam akhbar tersebut menyatakan akibat tidak puas hati dengan guru, dua orang pelajar nekad meletupkan bangunan sekolah dengan 'bom' buatan sendiri, dipercayai diperbuat daripada mercun bola dan lingkaran nyamuk. Lebih berani lagi, ketika polis menggeledah sekolah selepas dua 'bom' diletupkan, mereka meletupkan sebutir lagi bahan itu di padang bola.

Jika berita kelmarin kejadiannya berlaku umpama tindakan kumpulan samseng, berita hari ini pula seperti tindakan pengganas militan. Kedua-duanya berlaku di dalam kawasan sekolah dan dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah itu sendiri.

Walaupun kejadian itu dilakukan hanya segelintir pelajar sahaja, namun kesannya amat besar. Kesan terhadap sekolah tersebut, pengetua serta guru-guru termasuk pelajar-pelajarnya. Bukan itu sahaja, Kementerian Pelajaran turut juga terpalit kesannya.

Membawa bom buatan sendiri ke dalam kawasan sekolah tanpa dapat dikesan dan meletupkannya menandakan kawalan keselamatan perlu diperketatkan. Mungkin sukar untuk dilakukan pengawasan keselamatan yang lebih ketat, tetapi pihak-pihak terlibat perlulah lebih serius tentang kejadian ini.

Saya tidak pasti sama ada kejadian meletupkan bom di kawasan sekolah seperti ini pernah berlaku sebelum ini, tetapi apabila dilaporkan ia amat mengejutkan. Seolah-olah kegiatan keganasan ala militan sudah menjalar masuk ke tempat anak-anak kita mengejar ilmu pengetahuan. Tempat yang sepatutnya bukan sahaja kondusif, malah selamat untuk mereka memburu cita-cita.

Kegiatan segelintir pelajar yang membuat bom sendiri dan meletupkannya kemudian berjaya menyusup keluar dari kawasan sekolah, tidak boleh dipandang ringan. Jika tidak segera dibendung ia akan menular menjadi barah yang nantinya akan sukar diubati lagi.

Kita tidak mahu pelajar-pelajar lain forbia untuk ke sekolah kerana risau kejadian seumpama itu akan berulang. Guru-guru juga tentu sekali merasa cemas dengan keselamatan mereka apatah lagi menurut berita tersebut letupan itu dilakukan akibat tidak puas hati dengan guru mereka sendiri. Ibu bapa juga akan merasa tidak senang untuk melepaskan anak-anak mereka ke sekolah yang tidak terjamin keselamatannya.

Oleh kerana ia baru cebisan, maka tindakan segera amat diperlukan supaya api itu tidak terus merebak dan membakar.

Mar 7, 2011

BUDAYA SAMSENG DI SEKOLAH



SAYA tidak pasti berapa ramai pembaca Harian Metro Edisi Utara Isnin 7 Mac 2011 yang menatap berita di atas dengan perasaan sayu dan hiba bercampur marah serta kesal yang amat sangat. Saya tidak pasti di antara pembaca yang membaca sekalipun, merasai sedemikian. Dan saya juga tidak pasti berapa ramai yang tidak langsung terperasan dengan berita tersebut akibat ditenggelami oleh berita utama BN Menang Besar di Kerdau dan Merlimau!

Tetapi saya amat terasa apabila menatap tajuk hadapan akhbar tersebut apatah lagi bila membaca berita penuhnya di muka 6 dengan tajuk 'Buat baik dapat sakit'. Sekaligus saya membuat kesimpulan bahawa budaya samseng sememangnya telah menjalar ke dalam kawasan sekolah di tanah air kita dewasa ini.

Mungkin ada orang yang tidak bersetuju dengan pendapat yang saya rumuskan itu. Atau mungkin ada yang akan berkata kejadian itu hanyalah satu kejadian terpencil (isolated case) yang jarang-jarang berlaku. Atau mungkin juga ada yang akan mengatakan kenapa difikirkan hal-hal sedemikian sedangkan banyak lagi hal penting dan gah tentang pendidikan yang perlu diheboh-hebohkan.

Saya tidak menyalahkan mereka yang berpendapat sedemikian, tetapi saya amat kecewa dengan tahap pengawasan keselamatan pelajar-pelajar sekolah di dalam kawasan sekolah sendiri. Jika sesuatu kejadian buruk berlaku ke atas mana-mana pelajar sekolah di luar pagar sekolah, sudah pasti pihak sekolah tidak akan bertanggung jawab. Tetapi bagaimana pula dengan kes ini yang berlaku di dalam kawasan sekolah apatah lagi berlaku ketika sesi pengajaran sedang berjalan.

Menurut berita tersebut pelajar berkenaan Mohamad Shahfaly Anoar ditarik keluar oleh seorang pelajar lain dari kelasnya walaupun pada ketika itu guru sedang mengajar. Difahamkan mangsa ditarik keluar dari kelasnya di tingkat satu ke tingkat bawah sebelum dibelasah teruk oleh tiga daripada 10 pelajar tingkatan 3, 4 dan 5 yang menunggu di situ. Dia dibelasah sehingga pitam. Bagaimanapun mereka melarikan diri apabila mendengar jeritan seorang guru yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. Akibatnya pelajar tersebut yang juga ketua kelas mengalami kecederaan teruk iaitu terkehel bahu kirinya, patah tangan kiri dan cedera di kening kirinya.

Perbuatan itu jelas seperti perlakuan samseng yang dengan sewenang-wenangnya menarik sesiapa sahaja yang mereka syak mengganggu mereka dan kemudiannya membelasah orang itu semahu-mahu mereka. Menurut berita itu lagi, Mohd Shahfaly tidak menolak kemungkinan serangan ke atasnya itu bermotifkan dendam kerana dia pernah mencatatkan dilakukan pelajar-pelajar terbabit yang sering tidak mengikuti kelas ketika sesi pengajaran.

Persoalan yang berlegar di fikiran saya sekarang ialah kenapakah begitu mudah seorang pelajar dibelasah pelajar-pelajar lain di dalam kawasan sekolah tanpa dapat dikesan oleh guru-guru di sekolah tersebut? Apatah lagi pelajar yang menjadi mangsa itu ditarik keluar ketika ada guru yang sedang mengajar di dalam kelasnya.

Apa yang lebih mendukacitakan ialah menurut berita itu, bapa pelajar berkenaan mendakwa guru sekolah berkenaan gagal memberi rawatan kecemasan kepada anaknya. Malah lebih memilukan semua guru seperti tidak peduli kejadian anaknya dibelasah dan seolah-olah terkejut apabila dimaklumkan kejadian tersebut semasa dia datang menjemput anaknya kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Apakah tidak ada pengawas atau guru bertugas di sekolah tersebut semasa kejadian malang itu berlaku? Kenapa tidak ada tindakan serta merta untuk menyiasat kejadian tersebut sebaik sahaja mangsa dipapah masuk ke kelasnya dalam keadaan bahunya terkehel dan tangannya patah? Kenapa guru yang mengajar pada masa itu tidak bertanya kenapa pelajar itu ditarik keluar semasa pengajaran sedang berjalan?

Saya tidak bermaksud untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi saya cuba mencari punca kenapa kejadian tersebut berlaku dan apakah tindakan yang diambil supaya kejadian tersebut tidak berlaku lagi serta budaya samseng seperti itu dapat dibendung. Apakah sebahagian pelajar kita sudah menjadi terlalu liar dan dipengaruhi budaya samseng sehingga pihak guru tidak berani menegur perbuatan salah mereka itu? Ataupun guru-guru sudah jemu menegur perbuatan liar mereka kerana takut akibatnya menimpa para guru pula?

Saya yakin jika semua pihak terlibat benar-benar serius mahu mengatasi masalah sebegini, mereka perlu mencari kaedah terbaik dan mengimplimentasikannya dengan segera. Jika lebih lama tertangguh, lagi parah jadinya.

Kini kes tersebut sudah menjadi kes jenayah. Laporan polis sudah dibuat oleh bapa mangsa dan disahkan oleh pihak polis. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas pelajar-pelajar yang melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan pastilah hukuman menanti mereka.

Persoalan yang seterusnya berlegar di minda saya, bagaimana masa depan mereka?

Aug 5, 2008

RASA HORMAT ANTARA GURU DAN PELAJAR

HARIAN METRO Edisi Utara hari ini menyiarkan tulisan Yusri Abdul Malik bertajuk "Rotan Masih Relevan" di muka surat 14. Saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan berhubung isu berkenaan.

Masalah disiplin pelajar sekolah kerap dipaparkan melalui media menjadikan isu ini seakan tidak pernah berkurangan. Saban hari dan minggu tersiar berita-berita di dada akhbar dan media elektronik tentang kisah-kisah membabitkan pelajar yang melanggar disiplin sekolah sehingga ke tahap yang membahayakan, mengugut dan memukul. Pernah tersiar berita pelajar bergaduh di asrama sehingga menyebabkan kecederaan, lumpuh tubuh badan malah kematian. Semua berita itu amat memeritkan perasaan dan menyayat jiwa.

Pelajar hari ini adalah pemimpin di hari depan. Kenyataan ini memang satu kenyataan lumrah yang sering diucapkan segenap lapisan masyarakat. Namun gejala pelajar melanggar disiplin masih belum dapat dibanteraskan.

Ada rakan-rakan dari kalangan guru kerap menceritakan tentang disiplin pelajar di sekolah mereka. Saya seperti tidak percaya pada mulanya, tetapi apabila terlalu kerap cerita sebegini muncul di media massa, saya yakin isu disiplin pelajar sekolah memang suatu isu yang memerlukan pendekatan baru untuk mengurang atau mengatasinya.

Pada zaman 60-an, 70-an dan 80-an, merotan pelajar dibenarkan oleh pihak atasan. Pelajar-pelajar pada zaman itu memang menghormati guru bukan kerana takutkan rotan tetapi takut jika dikenakan hukuman rotan. Saya pernah kena rotan di sekolah akibat melanggar disiplin tetapi saya tidak memberontak. Saya dimaklumkan kesalahan yang saya lakukan sebelum hukuman dikenakan. Saya terima hukuman itu dengan azam untuk tidak mengulanginya lagi. Sepanjang saya bersekolah dahulu, itulah satu-satunya hukuman rotan yang saya terima. Selepas itu saya tidak pernah dirotan lagi.

Saya rasa perbezaan yang ketara di antara pelajar era 60-an, 70-an dan 80-an dengan pelajar zaman kini ialah kurangnya nilai hormat kepada guru. Para pelajar sekarang sudah tidak begitu menghormati guru baik di sekolah apatah lagi di luar sekolah. Jika pada zaman saya bersekolah dahulu (era 70-an), para pelajar memang menghormati para guru. Kami tidak pernah menganggap guru sebagai kawan, tetapi sebagai guru. Sentiasa meletakkan guru di tempat yang sewajarnya dan menghormati mereka. Ketika di sekolah para pelajar menghormati guru sebagai orang yang mengajar mereka, di luar sekolah pula penghormatan adalah kerana mereka orang yang berilmu pengetahuan.

Apabila rasa hormat terhadap guru itu tinggi para pelajar tidak berani melakukan sesuatu yang melanggar disiplin sekolah. Bukan sahaja Pengetua atau Guru Disiplin yang perlu dihormati, malah semua guru wajar dihormati selayaknya. Dewasa ini saya pernah terjumpa para pelajar yang langsung tidak menghormati guru mereka berdasarkan lagak para pelajar itu sendiri. Saya perhatikan gelagat mereka setiap kali berkesempatan berceramah di mana-mana sekolah. Ada di antara pelajar yang tidak mengendahkan guru-guru, tanpa menunjukkan rasa hormat langsung. Contohnya sekumpulan pelajar yang membuat bising akan terus bising walaupun ada guru yang berjalan di hadapan mereka. Bagi mereka kehadiran guru itu tidak memberi sebarang rasa gerun sedikit pun kerana rasa hormat yang tidak tersemat di hati mereka.

Walau bagaimanapun, saya rasa para guru juga harus mempunyai sikap yang tinggi nilainya. Nilai-nilai murni sebagai seorang guru haruslah terpancar di sepanjang masa. Bukan sahaja semasa di dalam kelas malah di mana-mana sekalipun. Cara berkomunikasi dan tutur kata para guru harus mencerminkan ketinggian ilmu yang dimiliki. Sewajarnya para guru bijak berkomunikasi dengan pelajar supaya tidak membuatkan pelajar mengandaikan guru sebagai kawan biasanya sahaja. Tetapi guru sebagai sorang guru yang perlu dihormati.

Anak bongsu saya (tingkatan 3) pernah merungut tentang gurunya yang membahasakan diri sebagai "aku" bila bercakap di dalam kelas. Anak saya merasa janggal dan tidak dapat menerima sebutan "aku" dari mulut seorang guru. Pernah juga saya mendengar seorang guru mengungkapkan kata "pengkhianat bangsa jika tidak mendapat kelulusan cemerlang di dalam peperiksaan" di dalam perjumpaan pelajar dan waris di sekolah. Itu hanyalah contoh-contoh kecil sahaja. Mungkin ada lagi pengucapan tidak sewajarnya terbit dari mulu guru yang membuatkan para pelajar kurang senang. Lantas saya pasti anak saya sudah kurang rasa hormatnya kepada guru tersebut walaupun saya cuba membetulkan persepsinya.

Saya lebih gemar membuat kesimpulan bahawa para guru harus terlebih dahulu menunjukkan sikap positif terhadap pelajar mereka dengan menampilkan diri sebagai seorang yang berwibawa dan berhemah tinggi yang sewajarnya dihormati. Para pelajar bukan sahaja memerlukan bimbingan tetapi juga ingin mencari 'role model' yang boleh dijadikan ikutan.