Pages

Dec 27, 2009

KESEDIHAN AKHIR TAHUN

HARI INI kita semua sudah tahu, sama ada melalui TV atau media cetak, berita sedih dan menyayat hati seluruh rakyat Malaysia. Kemalangan di Lebuh raya Utara Selatan berhampiran Ipoh telah meragut 10 nyawa awal pagi semalam. Ia bukanlah kemalangan pertama yang berlaku malah sudah berpuluh kali kemalangan seumpama itu terjadi. Kesedihan amat dirasai oleh ahli keluarga malang tersebut, sama ada anak-anak, saudara mara, bakal tunang, kawan rakan dan sebagainya.

Seingat saya kemalangan di tempat yang sama sudah banyak kali berlaku. Semasa TOL Jelapang masih belum dirobohkan, beberapa kemalangan ngeri telah berlaku, sama ada dari arah selatan atau dari arah utara. Lalu mantan Menteri Kerja Raya menyarankan TOL Jelapang ditutup dan digantikan dengan TOL yang ada pada masa ini. Alasannya kerap sangat berlaku kemalangan di tempat yang sama.

Tetapi setelah TOL tersebut berpindah tempat dengan menelan belanja yang sekian banyak, kemalangan tetap berlaku. Pernah berlaku kejadian malang kenderan berat melanggar pondok TOL berkenaan. Ada juga kemalangan sebelum atau selepas TOL tersebut. Dan yang terkini ialah kemalangan ngeri dua hari lepas. 10 penumpang Sani Express telah meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandunya mengaku terlelap seketika sebelum kejadian ngeri itu berlaku.

Pernah suatu ketika dahulu selepas satu kemalangan ngeri pihak berkuasa telah mengadakan penguatkuasaan di setiap terminal bas sebelum bas bertolak. Anggota penguatkuasa telah ditempatkan di terminal untuk memeriksa dan mempastikan beberapa syarat dipatuhi. Di antaranya ialah setiap bas ekspres mempunyai dua orang pemandu, ujian air kencing dilakukan sebelum perjalanan bermula, pemeriksaan tiket penumpang dan sebagainya. Apakah tindakan tersebut berkesan? Satu persoalan lagi apakah tindakan penguatkuasaan itu masih berterusan hingga kini? Atau sudah diberhentikan kerana berbagai alasan yang tidak dimaklumkan kepada rakyat?

Kemalangan akan terus berlaku kerana ia adalah kemalangan. Sesuatu yang tidak diduga akan berlaku atau ia berlaku di luar jangkauan fikiran dan perkiraan manusia. Namun kemalangan boleh dikurangkan atau dicegah jika sekiranya langkah-langkah awal diambil. Sekiranya berlaku juga itu adalah takdir. Tetapi ikhtiar harus ada, usaha perlu dibuat, tindakan mesti diambil.

Pihak pengusaha bas ekspres perlu memulakan langkah awal. Pendidikan dan ilmu pengatahuan perlu diterapkan ke dalam diri setiap pemandunya. Berikan sedikit sebanyak suntikan kerohanian supaya pemandu-pemandu sentiasa faham peranan dan tugas mereka bukan hanya untuk memandu kenderaan tersebut dari satu terminal ke destinasi yang lain. Mereka juga perlu bertanggung jawab sepenuhnya terhadap keselamatan para penumpang.

Fahamkan para pemandu bahawa mereka perlu sentiasa menggantungkan harapan kepada Allah supaya perjalanan mereka akan selamat. Tiada sebarang kejadian buruk berlaku. Mereka semua perlu diajar beberapa doa sebelum dan semasa perjalanan. Ajarkan mereka supaya berhenti di R&R yang bersesuaian bagi membolehkan para penumpang beragama Islam menunaikan solat. Jangan terlalu mengejar waktu sehingga terlepas solat yang wajib dilakukan.

Saya pernah menaiki bas ekspres ke KL dan tempat-tempat lain. Kerap berlaku pemandu bas tidak berhenti di R&R di sepanjang PLUS, tetapi berhenti di tempat-tempat lain seperti hentian sebelah atau keluar dari lebuh raya untuk berhenti di kedai-kedai makan yang mungkin sudah ditentukan oleh pihak pengurusan. Akibatnya ramai penumpang beragama Islam yang tidak sempat bersolat. Pemandu perlu ditarbiyahkan tentang perkara ini supaya sepanjang perjalanan itu sentiasa di dalam peliharaan Allah s.w.t. Justeru, pemandu itu sendiri mestilah bersolat!

Sikap pemandu yang cuai, memandu melebihi had kelajuan, memandu secara tidak berhemah adalah penyumbang kepada kejadian kemalangan. Lalu pihak pengurusan perlu juga memberi motivasi kepada para pemandu mereka. Ataupun pihak LPKP mesti mewajibkan setiap pemandu mengikuti program motivasi dan kerohanian untuk tempoh masa yang ditetapkan. Wajibkan setiap pengusaha menghantar para pemandu mereka mengikuti program berkenaan.

Setelah segala ikhtiar dijalankan barulah selebihnya kita serahkan kepada Allah s.w.t. Tetapi lazimnya kita berserah tanpa berusaha.
________________________________________________________
"Setiap yang berlaku adalah kehendak Allah, doa dan ikhtiar dapat menghindar petaka yang tidak diingini berlaku"
________________________________________________________


Dec 16, 2009

PENANTIAN SUATU PENYIKSAAN?

BENARKAH penantian itu suatu yang menyiksakan? Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang pernah melalui pengalaman menanti seseorang atau sesuatu. Pasti ada perasaan resah, sangsi, curiga, tidak sabar dan sebagainya.

Jarang benar ada orang yang tidak berperasaan sedemikian ketika menanti ketibaan orang atau tarikh dan waktu yang dijanjikan. Selagi tidak bertemu dengan orang atau tiba tarikh dan waktu itu, berbagai perasaan bergelodak di dalam hati. Pada waktu itu timbullah bermacam-macam andaian dan sangkaan yang bukan-bukan.

Jika kita sedang menanti untuk bertemu seseorang, hati akan sentiasa berdegup kerana berbagai persoalan bermain di dalam benak kita. Sama jugalah jika kita sedang menanti untuk mendapatkan sesuatu keputusan, perasaan kita tidak akan merasa tenteram sehinggalah kita mendapat keputusan itu.

Tetapi ada juga orang yang tenang semasa menanti seakan-akan tiada apa yang mengganggu perasaannya. Mungkin orang seperti itu sudah terlalu kerap menanti ataupun sudah dapat menduga apakah kesudahan penantiannya itu. Oleh sebab itu dia tidak perlu resah dan gelisah.

Sebenarnya sama ada penantian itu suatu penyiksaan atau pun tidak adalah bergantung kepada hati dan perasaan kita sendiri. Jika dilayan rasa resah dan gelisah pasti kita akan merasa penantian itu suatu penyiksaan walaupun tempoh menanti itu hanya dalam waktu yang singkat. Tetapi jika kita tenang dan bersifat sabar sudah tentu tidak ada tekanan atau perasaan gelisah yang melanda. Penantian sebegitu tentu sekali bukan suatu penyiksaan.

______________________________________________

"Setiap detik itu akan dirasai teramat panjang jika kita menggantungkan harapan yang terlalu berat pada penantian itu."
______________________________________________

Dec 12, 2009

SERI MUKA PULUT HITAM BAKAR


ENTAH betul atau tidak, saya pun tidak tahu. Tetapi itulah hakikatnya. Kuih yang saya makan sewaktu sarapan pagi tadi begitulah rupanya. Ia sama seperti kuih tradisional 'seri muka' yang biasanya dijual di warung-warung untuk sarapan. Tetapi seri kaya yang saya makan pagi tadi ada kelainannya. Lapisan bawahnya diperbuat daripada pulut hitam manakala lapisan atasnya pula adunan tepung berserta resepinya tersendiri. Manis berlemak rasanya. Kata isteri saya, seri muka itu dimasak dengan cara kukus dan kemudiannya dibakar.

Sebenarnya tiada apa yang pelik atau istimewanya kuih seri muka itu dan pagi tadi bukanlah kali pertama saya menjamah kuih tersebut. Setiap kali bulan Ramadhan kuih ini banyak dijual di pasar Ramadhan dan kami sekeluarga tidak pernah ketinggalan membelinya untuk juadah berbuka puasa. Rasanya yang sedap dan enak itu membuatkan timbul keinginan kami untuk membelinya walaupun bukan di bulan Ramadhan.

Tetapi pagi tadi sewaktu bersarapan, secara tiba-tiba perasaan saya tersentuh apabila menjamah kuih tersebut. Kata isteri saya, "tak lama lagi kita tak boleh nak makan seri muka ni lagi". Saya kehairanan, "kenapa?".

"Ya lah, kata orang yang jual seri muka ni, makcik yang membuat seri muka ni sudah tua. Kalaulah orang tu dah tak ada nanti, siapa yang akan membuatnya? Susahlah nak beli nanti".

Saya membuat tafsiran sendiri : Tidak mungkin anak atau cucu makcik pembuat seri muka itu tidak belajar resepinya? Masakan makcik itu tidak memperturunkan kemahirannya kepada anak cucunya? Kalaulah permintaan terhadap seri muka itu cukup tinggi, rugilah kalau anak cucunya tidak terus membuat kuih itu dan menjualnya di pasaran.


Orang zaman sekarang memang gemar membeli makanan segera mungkin kerana kesibukan waktu bekerja. Lebih senang ke warung dan membeli juadah di sana, sama ada untuk sarapan atau minum petang ataupun untuk hidangan tetamu yang datang. Harganya pun bukanlah mahal sangat jika hendak dibandingkan kos untuk memasaknya sendiri di rumah. Selain elemen kos, masa dan tenaga juga perlu diambil kira. Bukankah masa dan tenaga boleh digunakan untuk kerja-kerja rumah lain yang sedia menanti?


Mungkin kerana itulah orang muda zaman sekarang ini kebanyakannya sudah tidak tahu lagi memasak masakan atau kuih muih tradisional. Kalau ada pun hanyalah beberapa jenis yang biasa-biasa sahaja. Kesannya keenakan masakan atau kuih muih tradisional sudah tidak dapat dirasai seenak masakan aslinya.

Mungkin ada kebenarannya kata isteri saya pagi tadi jika pada masa ini anak cucu makcik pembuat seri muka pulut hitam bakar itu tidak belajar resepinya dan cara-cara memasaknya, kemungkinan dalam tempoh 5 - 10 tahun akan datang seri muka pulut hitam bakar yang sedap dan enak itu tidak dapat ditemui lagi. Itu bermakna satu lagi khazanah bangsa akan pupus dan lenyap.

Memikirkan hal itulah saya rasa remaja masa kini perlu mengambil berat dan belajar mulai sekarang segala pengetahuan dan kemahiran orang tua-tua sementara hayat mereka masih ada. Janganlah nanti apabila mereka meninggal dunia kita akan meratapi di mana lagi mahu dicari resepi masakan atau kuih muih seperti itu. Mungkinkah nanti kita akan kehilangan kuih peneram, kuih jawa, karas, dan lain-lain lagi.

_____________________________________________________

"Jika tiada yang tua masakan ada yang muda. Jika tiada yang lama tidak mungkin ada yang baru".
_____________________________________________________

Dec 11, 2009

KAHWIN LARI

SEBENTAR tadi di dalam rancangan di TV9, Semanis Kurma, topik perbincangannya ialah 'Kawin Lari'. Ahli panel telah mengupas dan memberi pendapat tentang topik tersebut mengikut pandangan masing-masing. Walaupun secara keseluruhannya kesemua ahli panel, termasuk peneraju rancangan, mengatakan bahawa perbuatan kahwin lari adalah satu perbuatan yang tidak sewajarnya dilakukan kerana ia bertentangan dengan adat resam dan perintah agama. Namun kerap juga kita masih lagi mendengar cerita kahwin lari masih lagi terjadi. Kenapa?

Lazimnya kejadian kahwin lari terjadi ke atas pasangan yang ingin berumah tangga tetapi tidak mendapat restu sepenuhnya daripada keluarga. Sama ada keluarga perempuan tidak dapat menerima lelaki pilihan anak mereka ataupun sebaliknya. Lantaran tidak mendapat restu keluarga, pasangan tersebut mengambil jalan mudah dengan lari daripada keluarga dan berkahwin secara senyap di tempat lain, contohnya di negara jiran, Thailand.

Setelah berkahwin pasangan muda itu tidak berani untuk pulang ke rumah bertemu dengan keluarga, terutama ayah ibu yang tidak merestui perkahwinan tersebut. Lalu pasangan tersebut akan membawa diri melayari kehidupan mereka sendiri tanpa mengharapkan bantuan keluarga lagi. Akibatnya, ikatan kekeluargaan terputus.

Perbuatan kahwin lari ini tidak sewajarnya berlaku kerana ia bukan sahaja akan merosakkan ikatan kekeluargaan, malah mengundang banyak masalah lain di hari muka. Jika perkahwinan mereka di negara luar tidak didaftarkan semula di Malaysia, ia adalah satu kesalahan yang jika disabitkan di mahkamah, mereka akan dihukum. Tetapi hukuman mahkamah adalah kecil jika dibandingkan dengan hukuman kerana memutuskan hubungan kekeluargaan. Lebih besar lagi hukuman yang akan menimpa mereka jika pasangan tersebut terus menerus tidak memohon maaf daripada kedua orang tua mereka.

Di dalam Semanis Kurma sebentar tadi, seorang pemanggil dari Melaka telah menelefon dan meluahkan perasaannya mengenai topik yang diperbincangkan itu. Dia menceritakan betapa hancur luluh perasaannya apabila anak perempuannya kahwin lari dengan pasangan pilihannya. Setelah anak itu dipelihara 'bagai menatang minyak yang penuh' itukah balasan yang diberikan kepada kedua orang tuanya?

Mengikut pemanggil tersebut, anaknya itu kini sudah tidak dapat dihubungi. Dia sendiri sudah tidak mahu memikirkan perkara itu lagi. Dan apa yang paling menyayat hati ialah si ayah tersebut sudah membuang segala ingatan terhadap anaknya itu, jika ada sekalipun tidak lebih daripada 2% sahaja lagi. Katanya, kini dia dan isterinya sering mendoakan supaya kehidupan anak perempuannya itu akan hacur berkecai! Na'uzubillah....

Hancur luluh perasaan seorang ayah terhadap anak sulungnya itu yang sanggup melarikan diri seolah-olah membuang keluarga sendiri. Puncanya menurut si ayah tadi ialah ketika dia diperkenalkan kepada teman lelaki anaknya itu, si ayah dan si ibu terasa ada gerakan di dalam hati kecil mereka yang menyatakan lelaki itu bukanlah pilihan terbaik untuk menjadi suami anaknya. Sebagai seorang ayah dan ibu, jentikan perasaan sebegitu kerap kalinya ada kebenaran. Mungkin itu anugerah Allah s.w.t kepada insan-insan yang bergelar ayah dan ibu. Lantas si ayah dan ibu tidak bersetuju untuk menerima pinangan lelaki berkenaan. Akibatnya, si ayah dan si ibu itu kini kehilangan seorang anak yang amat mereka sayangi semata-mata kerana perbuatan kahwin lari.

Situasinya kini, perkara itu sudah berlaku kerana sudah ditakdirkan begitu. Si ayah dan si ibu tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka sudah berkahwin, walaupun kahwin lari. Akibat daripada itu wajarkan si ayah dan si ibu tadi mendoakan kehancuran hidup anaknya? Apakah sudah benar-benar tidak wujud lagi rasa kasih dan sayang terhadap anak mereka itu kini? Dan wajarkah pula si anak tadi terus membuang keluarganya, tidak pulang memohon kemaafan daripada kedua ayah dan ibunya?

Lupakah mereka, bahawa 'air dicincang tidak akan putus' dan 'carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum semula'. Pepatah Melayu itu amat dalam maksudnya samalah seperti 'umpama daging, dicincang-cincang dimakan juga'.

Kepada si ayah dan si ibu, janganlah berdoa supaya kehidupan anak mereka itu hancur berkecai tetapi keraplah berdoa supaya hatinya terbuka untuk kembali ke pangkal jalan dan pulang memohon kemaafan. Kepada anaknya pula, segeralah pulang kepada ayah dan ibu serta melutut memohon keampuan mereka sebelum kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Lupakan segala yang telah terlanjur berlaku dan jadikan semua itu sebagai pedoman di dalam kehidupan rumah tangga mereka.
Semoga dengan itu kejernihan akan muncul selepas keruh yang melanda.
_____________________________________________________

"Setiap pembinaan perlukan asas yang kukuh, teguh dan kekal bertahan. Begitu jugalah membina sebuah rumah tangga, asas paling utama ialah restu kedua orang tua"
_____________________________________________________