Pages

Dec 11, 2009

KAHWIN LARI

SEBENTAR tadi di dalam rancangan di TV9, Semanis Kurma, topik perbincangannya ialah 'Kawin Lari'. Ahli panel telah mengupas dan memberi pendapat tentang topik tersebut mengikut pandangan masing-masing. Walaupun secara keseluruhannya kesemua ahli panel, termasuk peneraju rancangan, mengatakan bahawa perbuatan kahwin lari adalah satu perbuatan yang tidak sewajarnya dilakukan kerana ia bertentangan dengan adat resam dan perintah agama. Namun kerap juga kita masih lagi mendengar cerita kahwin lari masih lagi terjadi. Kenapa?

Lazimnya kejadian kahwin lari terjadi ke atas pasangan yang ingin berumah tangga tetapi tidak mendapat restu sepenuhnya daripada keluarga. Sama ada keluarga perempuan tidak dapat menerima lelaki pilihan anak mereka ataupun sebaliknya. Lantaran tidak mendapat restu keluarga, pasangan tersebut mengambil jalan mudah dengan lari daripada keluarga dan berkahwin secara senyap di tempat lain, contohnya di negara jiran, Thailand.

Setelah berkahwin pasangan muda itu tidak berani untuk pulang ke rumah bertemu dengan keluarga, terutama ayah ibu yang tidak merestui perkahwinan tersebut. Lalu pasangan tersebut akan membawa diri melayari kehidupan mereka sendiri tanpa mengharapkan bantuan keluarga lagi. Akibatnya, ikatan kekeluargaan terputus.

Perbuatan kahwin lari ini tidak sewajarnya berlaku kerana ia bukan sahaja akan merosakkan ikatan kekeluargaan, malah mengundang banyak masalah lain di hari muka. Jika perkahwinan mereka di negara luar tidak didaftarkan semula di Malaysia, ia adalah satu kesalahan yang jika disabitkan di mahkamah, mereka akan dihukum. Tetapi hukuman mahkamah adalah kecil jika dibandingkan dengan hukuman kerana memutuskan hubungan kekeluargaan. Lebih besar lagi hukuman yang akan menimpa mereka jika pasangan tersebut terus menerus tidak memohon maaf daripada kedua orang tua mereka.

Di dalam Semanis Kurma sebentar tadi, seorang pemanggil dari Melaka telah menelefon dan meluahkan perasaannya mengenai topik yang diperbincangkan itu. Dia menceritakan betapa hancur luluh perasaannya apabila anak perempuannya kahwin lari dengan pasangan pilihannya. Setelah anak itu dipelihara 'bagai menatang minyak yang penuh' itukah balasan yang diberikan kepada kedua orang tuanya?

Mengikut pemanggil tersebut, anaknya itu kini sudah tidak dapat dihubungi. Dia sendiri sudah tidak mahu memikirkan perkara itu lagi. Dan apa yang paling menyayat hati ialah si ayah tersebut sudah membuang segala ingatan terhadap anaknya itu, jika ada sekalipun tidak lebih daripada 2% sahaja lagi. Katanya, kini dia dan isterinya sering mendoakan supaya kehidupan anak perempuannya itu akan hacur berkecai! Na'uzubillah....

Hancur luluh perasaan seorang ayah terhadap anak sulungnya itu yang sanggup melarikan diri seolah-olah membuang keluarga sendiri. Puncanya menurut si ayah tadi ialah ketika dia diperkenalkan kepada teman lelaki anaknya itu, si ayah dan si ibu terasa ada gerakan di dalam hati kecil mereka yang menyatakan lelaki itu bukanlah pilihan terbaik untuk menjadi suami anaknya. Sebagai seorang ayah dan ibu, jentikan perasaan sebegitu kerap kalinya ada kebenaran. Mungkin itu anugerah Allah s.w.t kepada insan-insan yang bergelar ayah dan ibu. Lantas si ayah dan ibu tidak bersetuju untuk menerima pinangan lelaki berkenaan. Akibatnya, si ayah dan si ibu itu kini kehilangan seorang anak yang amat mereka sayangi semata-mata kerana perbuatan kahwin lari.

Situasinya kini, perkara itu sudah berlaku kerana sudah ditakdirkan begitu. Si ayah dan si ibu tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka sudah berkahwin, walaupun kahwin lari. Akibat daripada itu wajarkan si ayah dan si ibu tadi mendoakan kehancuran hidup anaknya? Apakah sudah benar-benar tidak wujud lagi rasa kasih dan sayang terhadap anak mereka itu kini? Dan wajarkah pula si anak tadi terus membuang keluarganya, tidak pulang memohon kemaafan daripada kedua ayah dan ibunya?

Lupakah mereka, bahawa 'air dicincang tidak akan putus' dan 'carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum semula'. Pepatah Melayu itu amat dalam maksudnya samalah seperti 'umpama daging, dicincang-cincang dimakan juga'.

Kepada si ayah dan si ibu, janganlah berdoa supaya kehidupan anak mereka itu hancur berkecai tetapi keraplah berdoa supaya hatinya terbuka untuk kembali ke pangkal jalan dan pulang memohon kemaafan. Kepada anaknya pula, segeralah pulang kepada ayah dan ibu serta melutut memohon keampuan mereka sebelum kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Lupakan segala yang telah terlanjur berlaku dan jadikan semua itu sebagai pedoman di dalam kehidupan rumah tangga mereka.
Semoga dengan itu kejernihan akan muncul selepas keruh yang melanda.
_____________________________________________________

"Setiap pembinaan perlukan asas yang kukuh, teguh dan kekal bertahan. Begitu jugalah membina sebuah rumah tangga, asas paling utama ialah restu kedua orang tua"
_____________________________________________________

2 comments:

  1. saya rasa kebanyakan orang memperkatakan isu kahwin lari dari satu sudut sahaja dan pendapat yang diberikan kerapkali berat sebelah. kita hanya memperkatakan hancur luluh hati ibu dan bapa kerana anak kahwin lari. Pernahkah kita bincangkan apa yang berlaku sebelum peristiwa kahwin lari itu? tidak hancur luluhkah hati seorang anak yang dianggap bukan anak lagi oleh keluarga hanya kerana bernikah dengan pilihan hatinya? banyak kes yang berlaku di mana calon suami masuk merisik dan meminang dengan cara yang baik tetapi ditolak oleh ibubapa perempuan dengan pelbagai alasan. ada kalanya dipengaruhi sikap tamak dan mendengar hasutan ahli keluarga terdekat. banyak lagi kes yang berlaku di manacalon suami itu memang seorang yang layak tetapi ibubapa mempunyai citarasa sendiri dan anak dikehendaki memenuhi citarasa ibubapa. Saya tidak menyebelahi anak-anak yang membelakangkan keluarga kerana saya pun tidak mahu anak saya suatu hari nanti membelakngkan saya, tetapi marilah kita tengok isu ini dari segenap sudut dan mencari puncanya. Seterusnya sama-samalah kita fikirkan kaedah menyelesaikannya. Ibubapa, anak-anak malahan sesiapa sahaja harus meletakkan soal jodoh sebagai urusan Allah. Mesti dipinta petunjuk dari Allah, bukannya mengikut nafsu dan hasutan sesiapapun. serahkan urusan hidup sebulat-bulatnya kepada Allah Taala setelah kita memohon petunjukNya dan hendaklah yakin 100%. Apa sahaja yang berlaku ada hikmahnya. Mendoakan kecelakaan anak tidak menjadikan kita ibubapa yang bertakwa. Malahan ia mempamerkan lemahnya iman kita sebagai hamba. Ingat, semua orang diuji oleh Allah. Bukan anak-anak sahaja diuji, ibubapa juga menjalani ujian di dunia ini. Hadapilah ujian ini dan serahkan segalanya kepada Allah.

    ReplyDelete
  2. Pandangan sdr amat bernas dan harus dilihat dari aspek positifnya. Isu ini bukan perkara baru. Sudah berlaku sejak zaman dahulu lagi sehingga terpentasnya sebuah drama 'Atap Genting Atap Rembia', kisah berbezaan status keluarga. Tetapi apa sahaja yang berlaku adalah dugaan.

    ReplyDelete