Pages

Mar 17, 2012

RM700 UNTUK SATU TUGAS?

TERKEDU saya mendengar berita terkini tentang tuntutan bayaran gaji minima RM700 sebulan untuk pembantu rumah warga Indonesia yang mahu diambil bekerja di Malaysia. Tambahan pulan jumlah tersebut hanya untuk satu tugasan sahaja!

Maknanya, jika pembantu rumah tersebut diambil sebagai tukang masak, dia hanya akan memasak sahaja, tugas-tugas lain di rumah majikannya tidak akan dilakukan. Begitulah juga jika dia diambil bekerja sebagai penjaga bayi, anak-anak lain di dalam rumah majikannya tidak akan dijaganya. Kalau dia hanya ditugaskan sebagai pembasuh pakaian, pasti nanti kebersihan pakaian sahajalah yang akan dijaga, tempat-tempat lain tidak akan dibersihkannya.

Nampaknya sehingga kini pembantu rumah Indonesia sudah mula 'meletakkan harga' dan 'meletak syarat' kepada warga Malaysia yang terdesak dan amat memerlukan khidmat mereka. Ini sudah keterlaluan kerana 'harga' tersebut amatlah tinggi kerana kebanyakan warga Malaysia yang memerlukan khidmat 'bibik' adalah dari kalangan mereka yang berpendapatan sederhana. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi mungkin itu tidak menjadi masalah, kerana mereka berkemampuan menggaji beberapa orang 'bibik' pada satu-satu masa.

Bagi sepasang penjawat awam yang jumlah pendapatan bersama suami isteri lebih kurang RM7,000 sebulan misalnya, untuk membayar 10% daripada pendapatan mereka kepada seorang 'bibik' untuk satu tugasan sahaja, amatlah besar jumlahnya. Mereka sudah tentu tidak mampu menggaji seorang 'bibik' lain untuk menguruskan anak-anak mereka yang berkemungkinan di antara 3-4 orang ramainya.

'Harga' yang diletakkan oleh pihak berkuasa Indonesia itu terlalu tinggi dan perlu dikaji semula. Pihak Kementerian Sumber Manusia Malaysia juga perlu benar-benar mengkaji perkara ini dengan memikirkan bebanan yang akan ditanggung oleh rakyat jika 'harga' tersebut diterima pakai. Bukan itu sahaja, warga Malaysia juga perlu mengkaji semula menggaji 'bibik' dari Indonesia jika tawaran sedemikian tidak dapat dikompromikan.

Jika pada tahun-tahun 70-an dahulu, isu pembantu rumah tidak timbul malah tidak sesukar sekarang. Dahulu rata-rata pembantu rumah terdiri daripada rakyat tempatan dengan bayaran yang mengikut kesesuaian dan persetujuan bersama di antara majikan dan pekerja. Tidak ada sebarang cerita negatif tentang pembantu rumah ketika itu, sama ada kisah pembantu rumah melarikan diri, mencuri dan melarikan hakmilik majikan, melarikan anak majikan dan sebagainya. Kenapa sejak kebelakangan ini perkara-perkara sedemikan makin menjadi-jadi?

Serupa juga dengan kisah-kisah penderaan majikan ke atas pembantu rumah. Jika dahulu kisah-kisah sedemikan tidak kedengaran, kini kerap timbul laporan-laporan seumpama itu. Di mana silapnya? Siapa yang perlu disalahkan?

Mungkin kerana beberapa kes penderaan oleh majikan ke atas pembantu rumah yang berlaku dan telah dibesar-besarkan, ia menyebabkan pihak sebelah sana terpaksa 'meletakkan harga' sedemikian bagi menjaga kebajikan warga mereka yang bakal bekerja di sini. Sebenarnya semua pihak mengecam tindakan kejam segelintir majikan berhati binatang seperti itu. Tetapi dengan 'harga' sedemikian pasti akan membebankan majikan di sini yang benar-benar jujur memerlukan khidmat 'bibik'.

Walau bagaimanapun menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia pihak Kementerian masih belum menerima secara rasmi sebarang usul Kerajaan Indonesia berhubung gaji minima RM700 tersebut. Sehingga kini terma-terma di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua Kerajaan masih belum ada sebarang pindaan dan semua terma seperti yang dipersetujui pada bulan November tahun lepas masih kekal.

Bagi mengurangkan bebanan rakyat yang memerlukan pembantu rumah warga asing, rasanya sudah sampai masa dan ketikanya, Kerajaan menyediakan pusat asuhan bayi dan kanak-kanak di setiap pejabat kerajaan. Ini akan memudahkan penjawat awam mendapatkan khidmat penjagaan bayi dan kanak-kanak di tempat kerja masing-masing. Bagi mendapatkan kaki tangan berkelayakan mungkin tidak menjadi masalah lagi kerana dewasa ini sudah banyak institusi pengajian yang menyediakan kursus-kursus berkaitan seperti Diploma Penjagaan Awal Kanak-kanak atau Diploma Penjagaan Kanak-kanak. Bilangan pemegang sijil dan diploma sudah mula memenuhi pasaran tenaga kerja.

Kenapa tidak ditawarkan kerja kepada pemegang-pemegang sijil atau diploma berkenaan? Mereka semua adalah warga negara kita sendiri. Di samping memberikan peluang pekerjaan kepada mereka, ibu bapa yang merupakan penjawat awam juga akan lebih tenang bekerja kerana masalah penjagaan bayi dan anak-anak mereka lebih terjamin.

Perkara utamanya sekarang ialah kerajaan perlu menyediakan pusat penjagaan bayi dan asuhan kanak-kanak di setiap pejabat dengan segera.