Pages

Mar 7, 2011

BUDAYA SAMSENG DI SEKOLAH



SAYA tidak pasti berapa ramai pembaca Harian Metro Edisi Utara Isnin 7 Mac 2011 yang menatap berita di atas dengan perasaan sayu dan hiba bercampur marah serta kesal yang amat sangat. Saya tidak pasti di antara pembaca yang membaca sekalipun, merasai sedemikian. Dan saya juga tidak pasti berapa ramai yang tidak langsung terperasan dengan berita tersebut akibat ditenggelami oleh berita utama BN Menang Besar di Kerdau dan Merlimau!

Tetapi saya amat terasa apabila menatap tajuk hadapan akhbar tersebut apatah lagi bila membaca berita penuhnya di muka 6 dengan tajuk 'Buat baik dapat sakit'. Sekaligus saya membuat kesimpulan bahawa budaya samseng sememangnya telah menjalar ke dalam kawasan sekolah di tanah air kita dewasa ini.

Mungkin ada orang yang tidak bersetuju dengan pendapat yang saya rumuskan itu. Atau mungkin ada yang akan berkata kejadian itu hanyalah satu kejadian terpencil (isolated case) yang jarang-jarang berlaku. Atau mungkin juga ada yang akan mengatakan kenapa difikirkan hal-hal sedemikian sedangkan banyak lagi hal penting dan gah tentang pendidikan yang perlu diheboh-hebohkan.

Saya tidak menyalahkan mereka yang berpendapat sedemikian, tetapi saya amat kecewa dengan tahap pengawasan keselamatan pelajar-pelajar sekolah di dalam kawasan sekolah sendiri. Jika sesuatu kejadian buruk berlaku ke atas mana-mana pelajar sekolah di luar pagar sekolah, sudah pasti pihak sekolah tidak akan bertanggung jawab. Tetapi bagaimana pula dengan kes ini yang berlaku di dalam kawasan sekolah apatah lagi berlaku ketika sesi pengajaran sedang berjalan.

Menurut berita tersebut pelajar berkenaan Mohamad Shahfaly Anoar ditarik keluar oleh seorang pelajar lain dari kelasnya walaupun pada ketika itu guru sedang mengajar. Difahamkan mangsa ditarik keluar dari kelasnya di tingkat satu ke tingkat bawah sebelum dibelasah teruk oleh tiga daripada 10 pelajar tingkatan 3, 4 dan 5 yang menunggu di situ. Dia dibelasah sehingga pitam. Bagaimanapun mereka melarikan diri apabila mendengar jeritan seorang guru yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. Akibatnya pelajar tersebut yang juga ketua kelas mengalami kecederaan teruk iaitu terkehel bahu kirinya, patah tangan kiri dan cedera di kening kirinya.

Perbuatan itu jelas seperti perlakuan samseng yang dengan sewenang-wenangnya menarik sesiapa sahaja yang mereka syak mengganggu mereka dan kemudiannya membelasah orang itu semahu-mahu mereka. Menurut berita itu lagi, Mohd Shahfaly tidak menolak kemungkinan serangan ke atasnya itu bermotifkan dendam kerana dia pernah mencatatkan dilakukan pelajar-pelajar terbabit yang sering tidak mengikuti kelas ketika sesi pengajaran.

Persoalan yang berlegar di fikiran saya sekarang ialah kenapakah begitu mudah seorang pelajar dibelasah pelajar-pelajar lain di dalam kawasan sekolah tanpa dapat dikesan oleh guru-guru di sekolah tersebut? Apatah lagi pelajar yang menjadi mangsa itu ditarik keluar ketika ada guru yang sedang mengajar di dalam kelasnya.

Apa yang lebih mendukacitakan ialah menurut berita itu, bapa pelajar berkenaan mendakwa guru sekolah berkenaan gagal memberi rawatan kecemasan kepada anaknya. Malah lebih memilukan semua guru seperti tidak peduli kejadian anaknya dibelasah dan seolah-olah terkejut apabila dimaklumkan kejadian tersebut semasa dia datang menjemput anaknya kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Apakah tidak ada pengawas atau guru bertugas di sekolah tersebut semasa kejadian malang itu berlaku? Kenapa tidak ada tindakan serta merta untuk menyiasat kejadian tersebut sebaik sahaja mangsa dipapah masuk ke kelasnya dalam keadaan bahunya terkehel dan tangannya patah? Kenapa guru yang mengajar pada masa itu tidak bertanya kenapa pelajar itu ditarik keluar semasa pengajaran sedang berjalan?

Saya tidak bermaksud untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi saya cuba mencari punca kenapa kejadian tersebut berlaku dan apakah tindakan yang diambil supaya kejadian tersebut tidak berlaku lagi serta budaya samseng seperti itu dapat dibendung. Apakah sebahagian pelajar kita sudah menjadi terlalu liar dan dipengaruhi budaya samseng sehingga pihak guru tidak berani menegur perbuatan salah mereka itu? Ataupun guru-guru sudah jemu menegur perbuatan liar mereka kerana takut akibatnya menimpa para guru pula?

Saya yakin jika semua pihak terlibat benar-benar serius mahu mengatasi masalah sebegini, mereka perlu mencari kaedah terbaik dan mengimplimentasikannya dengan segera. Jika lebih lama tertangguh, lagi parah jadinya.

Kini kes tersebut sudah menjadi kes jenayah. Laporan polis sudah dibuat oleh bapa mangsa dan disahkan oleh pihak polis. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas pelajar-pelajar yang melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan pastilah hukuman menanti mereka.

Persoalan yang seterusnya berlegar di minda saya, bagaimana masa depan mereka?

1 comment:

  1. Malang sungguh nasib simangsa...tapi lebih malang bagi mereka yg menjadi pemangsa..tidakkah mereka sedar bahawa tindakan mereka bakal membawa padah?? Persoalannya sekarang apakah BENAR segala yg dimadah...kadangkala wartawan ni lebih sudu dari kuah...

    ReplyDelete