Pages

Showing posts with label Merdeka. Show all posts
Showing posts with label Merdeka. Show all posts

Sep 11, 2011

KEJUTAN OGOS 2011



BULAN OGOS 2011 telah ditakdirkan oleh Allah s.w.t kepada negara dan warga Malaysia menyambut dua perayaan yang hampir serentak. Aidilfitri disambut pada tanggal 30 Ogos sementara 31 Ogos pula adalah hari ulang tahun kemerdekaan negara. Kedua-dua sambutan itu sepatutnya membawa makna yang mendalam di dalam setiap jiwa umat merdeka di tanah air tercinta ini.

Aidilfitri adalah hari kemenangan dan kejayaan setelah sebulan melalui Ramadhan, setelah berusaha keras menangkis segala bagai dugaan dan cubaan. Aidilfitri adalah hari kejayaan kerana kita berjaya kembali ke fitrah asal.

Manakala hari kemerdekaan pula adalah hari di mana negara dan bangsa kita terbebas dari belenggu penjajahan. Kita mencapai kemerdekaan pada tarikh keramat itu setelah sekian lama negara dan bangsa dijajah.

Oleh itu wajarlah kita merayakan kedua-dua tarikh itu.

Namun pada bulan Ogos tahun ini telah timbul polimik yang cukup menarik perhatian seluruh warga bangsa Malaysia, iaitu siapakah pejuang dan siapakah petualang bangsa? Isu ini tiba-tiba timbul setelah 54 tahun tanah air kita merdeka. Setelah sekian lama kita diajar melalui buku-buku ilmu sejarah tentang para pejuang kemerdekaan yang hebat dan terbilang. Tersenarai ratusan nama para pejuang yang menggadai nyawa demi mempertahankan tanah air tercinta. Juga turut tersenarai nama-nama mereka yang gugur terkorban. Kesemua mereka itu sudah pasti berjuang dengan jiwa raga dan niat yang satu: menghalau penjajah!

Tetapi siapakah mereka itu? Pejuang atau petualang?

Kemudian di dalam kelocak isu tersebut muncul pula seorang ahli akademik tahap tertinggi, seorang professor mengeluarkan satu kenyataan yang amat mengejutkan: "Malaya Tidak Pernah Dijajah". Lalu berlakulah pertikaman pendapat di kalangan rakyat. Benarkah Malaya tidak pernah dijajah? Lalu masing-masing bertanya, kenapa British memeritah Tanah Melayu kemudiannya Malaya? Selepas Perang Dunia Kedua dan Jepun menyerah kalah, kenapa British kembali ke Tanah Melayu? Kenapa British beria-ia mahu melaksanakan pelan Malayan Union? Kenapa sepanjang British berada di Tanah Melayu (Malaya) segala urusan pentadbiran diuruskan oleh British? Kenapa hasil mahsul negara dikaut pulang ke Britain?

Kalaulah British hanya menjadi penaung atau pelindung Tanah Melayu (Malaya) kenapa kuasa Raja-Raja Melayu disekat? Kenapa anak bangsa tidak diberikan hak dan keistimewaan sewajarnya? Kenapa mata wang pada masa itu masih menggunakan lambang Queen?

Soalan yang berjela-jela makin mencurah-curah. Keliru berada pada tahap tertinggi. Seluruh warga jadi keliru hanya dengan sepotong kalimat: Malaya Tidak Pernah Dijajah!.

Bagaimana agaknya landskap sejarah negara lima puluh tahun dari sekarang jika kenyataan profesor tersebut diterima pakai? Aku tidak dapat bayangkan bagaimana kucar kacirnya kronologi sejarah bangsa yang mendiami Tanah Melayu-Malaya-Malaysia pada ketika itu nanti.

Jika waris-waris anggota polis, tentera dan pasukan keselamatan yang terkorban sejak sebelum 31 Ogos 1957 amat marah kerana kenyataan bahawa datuk, nenek dan ayah bonda mereka bukan pejuang kemerdekaan bagaimana pula agaknya reaksi waris-waris mereka yang selama 54 tahun ini telah dinobatkan sebagai pejuang kemerdekaan?

Jika Malaya tidak pernah dijajah, wujudkah pejuang kemerdekaan?

Aug 31, 2008

GENAP 51 TAHUN MERDEKA


HARI ini 31 Ogos 2008, genaplah 51 tahun tanah air kita merdeka. Bebas daripada cengkaman penjajah dan bebas memilih hala tuju serta masa depan bangsa. Jika ditamsilkan kepada seorang manusia, usia 51 tahun adalah usia yang sudah cukup matang. Usia yang sudah menjengah ke gerbang usia emas. Tentu sekali pada usia sebegini, seseorang manusia itu sudah banyak berpengalaman, sama ada pengalaman manis ataupun pengalaman pahit.

Seluruh rakyat Malaysia, pada hari ini, menyambut ulang tahun kemerdekaan dengan rasa bangga dan cukup gembira. Masing-masing menyambut dengan gaya dan cara tersendiri. Namun yang amat jelas ialah masing-masing berlumba-lumba mengibarkan Jalur Gemilang, bendera kebanggaan negara Malaysia yang merdeka. Di bangunan-bangunan, gedung-gedung membeli belah, pejabat-pejabat, sekolah-sekolah, malah di rumah-rumah persendirian, berkibaran Jalur Gemilang dengan megahnya. Bukan itu sahaja, di kenderaan-kenderaan juga Jalur Gemilang berkibaran.

Tetapi hakikatnya, apakah itu melambangkan kentalnya semangat cintakan tanah air?

Petang 30 Ogos, 2008, saya dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang kemerdekaan kepada peserta-peserta Program Kembara Berbasikal Merdeka anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Baling dan Majlis Belia Daerah Baling, Kedah bertempat di Kampung Pokok Sena, Baling. Sepatutnya para peserta program tersebut terdiri daripada para pelajar dan belia/beliawanis tempatan kerana matlamat program itu adalah untuk menyemai rasa cinta kepada tanah air yang telah merdeka ini ke jiwa generasi muda. Namun, mungkin kerana sebab-sebab tersendiri yang difahami oleh penganjurnya, saya hanya berhadapan dengan sekumpulan peserta muda, dalam lingkungan usia 13 - 16 tahun sahaja, lebih kurang 12 - 18 orang.

Apa pun, saya teruskan juga dengan menceritakan kepada mereka tentang perbezaan di antara zaman saya seusia mereka dahulu dengan zaman kini. Perbezaan yang saya istilahkan sebagai "Merdeka Zaman Susah" dan "Merdeka Zaman Mewah". Pada waktu Merdeka Zaman Susah, remajanya gigih berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja membantu orang tua masing-masing, seperti membuat kerja-kerja sampingan. Pada waktu itu negara kita masih lagi di dalam proses mengisi kemerdekaan dengan perancangan ke arah meningkatkan taraf kehidupan rakyat, termasuklah taraf pendidikan, taraf kesihatan dan sebagainya. Rakyat masih belum dapat menikmati kemewahan dan kesenangan yang diidam-idamkan lagi.

Meskipun sudah mengecap kemerdekaan dan bebas daripada telunjuk penjajah, negara kita pada waktu itu masih belum dapat berdiri teguh dan gagah. Jika diumpamakan sebagai seorang manusia, negara kita pada waktu itu baharu sahaja belajar berdiri dan mengatur tapak untuk berjalan. Waktu itu negara kita masih lagi muda dan mentah.

Tetapi kini setelah melalui berbagai fasa, Malaysia telah muncul sebagai sebuah negara yang dihormati oleh masyarakat dunia. Kemewahan yang dinikmati, kestabilan yang dialami, kedamaian serta ketenangan hidup warganya menjadi tonggak kejayaan yang amat membanggakan. Semua itu adalah berkat kesepakatan dan perpaduan yang diamalkan oleh seluruh warga negara yang berbilang bangsa, berbagai agama, adat resam dan kebudayaan. Rasa saling hormat menghormati dan bertoleransi sesama rakyat telah mengangkat nama Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati.

Saya ingatkan kepada peserta-peserta muda yang menjadi pendengar ceramah saya petang itu supaya sentiasa menjaga nama baik ibu bapa, keluarga dan bangsa supaya masa depan negara kita yang merdeka ini akan lebih cemerlang lagi. Walau pun mereka hidup di masa "Merdeka Zaman Mewah" ini, mereka harus sedar jika kemerdekaan yang dinikmati selama 51 tahun ini tidak dipelihara dengan sebaik-baiknya, penjajahan baru tidak mungkin akan berulang lagi.

"Anak-anak semua ini adalah pewaris kemerdekaan tanah air kita. Anak-anaklah yang perlu bertanggung jawab untuk mempastikan kemerdekaan ini berterusan dan tanah air kita kekal merdeka selama-lamanya. Jangan sama sekali mempersia-siakan kemerdekaan dan kemewahan yang kita nikmati sekarang ini. Dan yang paling penting, anak-anak sekalian mesti memiliki jiwa merdeka, bukannya jiwa hamba. Biarlah "Merdeka Zaman Susah" menjadi sejarah dan "Merdeka Zaman Mewah" terus kekal untuk dikecapi kemewahannya".

Hujan mencurah-curah sebaik sahaja saya selesai menyampaikan ceramah. Hujan rahmatkah? Atau amaran dari Tuhan?

Aug 23, 2008

SEMANGAT PATRIOTIK GENERASI MUDA MASA KINI


SETIAP kali tibanya hujung bulan Ogos, seluruh rakyat akan mengenang tarikh kemerdekaan tanah air, 31 Ogos 1957. Tahun ini genaplah 51 tahun Malaya (sebelumnya Tanah Melayu dan kini Malaysia) mencapai kemerdekaan daripada Kerajaan Britain yang menjadi penjajah terakhir tanah air kita. Peristiwa bersejarah itu dirakamkan di dalam berbagai media dengan bermacam cara dan kaedah tersendiri.


Zaman saya bersekolah dahulu, rakaman peristiwa mencapai kemerdekaan hanya dapat ditatap melalui buku-buku sejarah. Paparan yang paling canggih pada zaman itu, hanyalah melalui tayangan wayang pacak atau wayang padang yang dibawakan oleh Jabatan Penerangan ke kampung-kampung. Seluruh penduduk kampung akan keluar ke padang atau kawasan lapang selepas maghrib untuk menonton wayang di situ. Sebelum tayangan dimulakan, pegawai dari Jabatan Penerangan akan berucap terlebih dahulu, menyampaikan berita-berita terikini tentang dasar-dasar pembangunan yang diputuskan oleh Kerajaan. Oleh kerana pada waktu itu saya masih lagi seorang anak kecil ucapan-ucapan itu menjadi satu gangguan kerana hasrat saya untuk menonton tayangan wayang gambar itu sahaja. Tambahan pula saya tidak faham apa yang diucapkan itu.

Pada zaman ini, rakaman peristiwa negara mencapai kemerdekaan 51 tahun silam sudah dapat ditatap bukan sahaja melalui buku-buku sejarah, malah di dalam setiap media terpapar catatan bersejarah itu. Media elektronik menyiarkan rakaman gambar-gambar yang menceritakan peristiwa itu dengan jelas ditambah pula dengan penceritaan yang menarik. Disusuli pula dengan berbagai drama yang memaparkan pengkisahan tentang perjuangan mencapai kemerdekaan. Bukan setakat itu sahaja, ada juga badan korporat yang menyelitkan semangat patriotik di dalam iklan-iklan mereka untuk tontonan umum melalui TV dan sebagainya.

Semua itu adalah usaha untuk membangkitkan semangat cintakan tanah air yang merdeka ini supaya generasi muda masa kini dapat menghayatinya dengan lebih mendalam. Namun, apakah segala usaha itu memberi kesan seperti yang diharapkan?

Minggu lepas, sewaktu ke majlis kenduri anak saudara saya di Duyung, Melaka, saya berkesempatan membawa anak-anak dan anak-anak saudara melawat ke Memorial Kemederkaan di Melaka Bandaraya Bersejarah. Sebenarnya kami teruja kerana diberitahu ada gambar arwah datuk di memorial tersebut. Oleh kerana terlalu ingin menatap wajah arwah datuk, yang masing-masing sudah tidak dapat mengingat dengan jelas rupa arwah, saya dan keluarga bersama adik dan keluarganya, singgah ke memorial tersebut walaupun terlalu sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta!

Setelah puas mencari satu demi satu gambar-gambar di dalam memorial itu, akhirnya kami berjumpa dengan gambar tersebut yang terletak di tingkat tiga bangunan bersejarah itu. Ia merupakan keratan akhbar Berita Harian bertarikh 11 September 1957 bertempat di Kulim, Kedah. Gambar almarhum Tunku Abd Rahman yang sedang duduk di atas kerusi rotan dengan seorang lelaki yang bertelut di lutut Tunku. Lelaki itulah arwah datuk saya, almarhum Lebai Hussain bin Haji Taib. Menurut 'caption' di bawah gambar itu, arwah datuk serbu bertelut ke kaki almarhum Tunku dan kemudian membasuh kaki Tunku sebagai membayar niat kerana kemerdekaan yang sudah tercapai.

Saya terdiam panjang sewaktu melihat gambar dan keratan akhbar yang diperbesarkan itu. Sepantas kilat saya mensedekahkan Al-fatehan buat arwah datuk dan almarhum Tunku Abd Rahman. Ketika itu saya cuba gambarkan semangat patriotik rakyat Malaya pada waktu itu yang terlalu berkobar riang kerana kemerdekaan sudah tercapai. Maknanya negara sudah bebas dari belenggu penjajahan.

Saya perhatikan di dalam Memorial Kemerdekaan tersebut, melihat dan cuba membilang berapa ramai anak muda dan remaja yang ada di situ pada waktu saya berasa amat teruja itu. Hampa! Selain anak-anak saya dan anak-anak saudara saya, tidak ada remaja lain di situ. Yang ada hanyalah beberapa orang dewasa yang mungkin melangkaui usia 45 tahun serta beberapa rombongan pelancong asing yang begitu ghairah membaca catatan peristiwa bersejarah tanah air kita serta sibuk mengambil gambar di sana sini. Kenapa anak-anak muda dan remaja kita tidak mengunjungi tempat yang penting dan bermakna ini? Apakah mereka sudah faham erti kemerdekaan? Atau apakah mereka sudah dapat merasai perit getir perjuangan menuntut kemerdekaan lebih separuh abad dahulu? Atau apakah kerana semangat cinta kepada tanah air semakin luntur di jiwa mereka?

Di tepi tangga di tingkat tiga Memorial Kemerdekaan itu, terpampang gambar Almarhum Tunku Abd Rahman ketika melaungkan "Merdeka" sewaktu sambutan kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur 31 Ogos 1957 dahulu. Gambar besar anggaran setinggi 8 kaki itu tampak begitu hebat dan megah sekali kerana itulah detik bermulanya kemerdekaan tanah air.

Sebelum turun, tiga orang anak saudara saya sempat bergambar di potret Tunku itu. Sambil mengangkat tangan kanan ke udara, meniru gaya Tunku, mereka serentak melaungkan "Merdeka". Semoga semangat cintakan tanah air akan terus bersemadi di dalam jiwa mereka buat selama-lamanya.