Pages

Showing posts with label Kekeluargaan. Show all posts
Showing posts with label Kekeluargaan. Show all posts

Mar 5, 2011

SATU PERCERAIAN SETIAP 15 MINIT!

Gambar Hiasan.
Keluarga yang bahagia adalah keluarga yang tidak ada percerian dan hidup dalam kebahagiaan.

MEMBACA berita yang disiarkan Malaysiakini bertarikh 4 Mac 2011, yang dipetik daripada Bernama amat mencemaskan perasaan. Satu kajian yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Mashitah Ibrahim tentang peerceraian di Malaysia.

Menurut laporan JAKIM pada tahun 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian setiap 15 minit di kalangan umat Islam. Beliau berkata jumlah itu meningkat dari tahun ke tahun akibat daripada kurangnya penghayatan agama di kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.

Pernyataan tersebut jika dihayati amat mencemaskan sekali kerana ia boleh menggugat keutuhan umah pada masa hadapan. Bayangkan jika setiap 15 minit berlaku satu percerian di kalangan orang Islam, berapakah jumlah perceraian yang berlaku dalam tempoh 10 tahun dari sekarang? Secara congaknya, jika setiap 15 minit satu perceraian berlaku, dalam tempoh 1 jam 4 perceraian berlaku dan dalam tempoh satu hari (24 jam) sebanyak 96 perceraian berlaku. Dalam setahun (96 x 365 hari) berjumlah 35,040 perceraian berlaku.

Sepuluh tahun akan datang, jika kadar perceraian masih tidak berubah, seramai 350,400 orang janda dan duda akan mucul di dalam masyarakat! Jumlah ini amat-amat menggerunkan!

Cuba kita bayangkan pula, apabila berlakunya perceraian anak-anaklah yang menjadi mangsa. Anak-anak menjadi rebutan kedua-dua ayah dan ibu mereka yang menuntut hak penjagaan. Anak-anak itu yang akan menanggung sengsara kehidupan dari aspek kasih sayang yang tidak seimbang. Jika hak penjagaan diberikan kepada ibu, anak-anak akan kehilangan kasih sayang ayah dan begitu jugalah sebaliknya.

Kanak-kanak yang mendapat kasih sayang seimbang di antara ayah dan ibu mereka akan membesar dengan lebih seimbang, dari segi lahiriah, emosi, minda serta rohaniahnya. Tetapi bagi anak-anak yang tidak mendapat kasih sayang seimbang akan terencat perkembangannya, terutama dari segi emosi.

Oleh kerana institusi kekeluargaan itu menjadi tonggak kekuatan ummah, perceraian yang begitu banyak jumlahlah sudah pasti akan memberi kesan kepada pembangunan dan kekuatan umah itu sendiri, secara langsung ataupun tidak langsung.

Usaha pihak JAKIM yang disebut oleh Timbalan Menteri berkenaan seperti yang dilaporkan iaitu memperbanyakkan program-program pemantapan keluarga bagi menerapkan kesedaran terhadap peranan suami isteri, kemahiran keibubapaan, pendidikan serta pengurusan ekonomi keluarga amatlah dialu-alukan. Walau bagaimanapun, suatu hal yang perlu diberi perhatian iaitu bagaimanakah program tersebut dapat membendung berlakunya perceraian? Mampukah hanya dengan program-program sedemikian akan dapat mencegah perceraian daripada belaku pada kadar satu percerian setiap 15 minit?

Saya yakin JAKIM sudah mempunyai modul program yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri itu. JAKIM sudah pasti sudah bersiap sedia untuk melancarkan program tersebut dalam waktu terdekat. Sama-samalah kita tunggu.

Aug 20, 2008

SIAPAKAH SAHABAT KARIB?

RAMAI orang akan menyebut nama orang lain apabila ditanya, siapakah sahabat karibnya. Sesiapa sahaja akan memberi reaksi yang sama kerana pada tanggapan kita, sahabat karib itu adalah seseorang yang sangat rapat dan sangat dikenali. Selain itu sahabat karib adalah orang yang boleh menjadi tempat untuk kita meluahkan sebarang perasaan dan masalah.

Tetapi ramai yang tidak terfikir bahawa orang yang paling layak menjadi sahabat karib ialah saudaranya sendiri. Di dalam sebuah keluarga, semua adik beradik harus mempunyai sikap dan pegangan hidup bahawa adik beradiknya adalah sahabat paling akrab. Ini bertepatan dengan bidalan orang tua-tua: "Air dicincang tidak akan putus" atau "Sebusuk-busuk daging, dibasuh bersih dimakan juga".

Di dalam apa juga keadaan, jangan sekali-kali menyisihkan keluarga dan adik beradik sendiri. Pertalian kekeluargaan melalui darah keturunan akan mengikat erat setiap ahli keluarga selama-lamanya. Tetapi bersahabat dengan orang lain, yang tiada ikatan kekeluargaan, tidak akan kekal selama-lamanya. Selagi tidak ada pergeseran dan pertelingkahan dia akan menjadi sahabat karib, tetapi jika berjauhan dan berlaku pertelingkahan, besar kemungkinan persahabatan akan hancur.

Seorang abang sulung harus menjadi sabahat karib kepada adik-adiknya. Bukan sahaja sebagai sahabat karib, dia juga harus menjadi pelindung kepada adik-adiknya. Sebagai adik beradik, banyak persamaan yang ada di dalam diri setiap mereka. Paling jelas ialah persamaan perasaan dan rasa hormat kepada kedua-dua orang tua, ayah dan ibu mereka. Perasaan sedemikian tentu sekali tidak ada di dalam jiwa seorang sahabat karib yang bukan adik beradik sendiri.

Mungkin ada pendapat mengatakan adik beradik sendiri tidak boleh menjadi sahabat karib kerana jarak usia yang berbeza. Mana mungkin adik bongsu menjadi sabahat karib kepada abang/kakak sulung yang tentu sekali usia mereka jauh bezanya.

Walau pun begitu, perasaan dan naluri mereka tetap sama. Perasaan kasih sayang yang suci di antara mereka akan menjadi tali pengikat yang lebih erat jika dibandingkan dengan ikatan persahabatan dengan orang lain. Biar sekalipun usia mereka tidak sebaya, mereka boleh menjadi sahabat karib kerana mereka berkongsi perasaan yang sama, terutama yang melibatkan hal-hal bersangkutan kekeluargaan.

Adik beradik perlu membina dan berkongsi perasaan yang sama, meskipun mempunyai keinginan dan minat yang berbeza. Perasaan hormat menghormati, saling berkasih sayang dan mengasihi di antara satu sama lain, perlu lahir dari hati yang suci bersih atas dasar mereka semua adalah dari satu rumpun keturunan, mempunyai ayah dan ibu yang sama. Seharusnya tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan di antara mereka kerana mereka saling perlu memerlukan di sepanjang masa.

Ikatan kekeluargaan akan menjadi lebih erat dan berpanjangan jika adik beradik menjadi sahabat karib sesama mereka.