Minggu lepas, anak bongsu saya yang berumur 15 tahun demam. Setelah beberapa hari tidak sembuh, saya membawanya ke klinik berhampiran rumah. Waktu kami sampai di klinik jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Orang agak ramai di dalam klinik tersebut kerana hari itu ialah hari Jumaat dan banyak klinik lain tidak beroperasi kerana cuti hujung minggu. Selepas mendaftar, saya diberikan kad bilangan nombor 21. Kamipun duduk di kerusi tempat menunggu.
Beberapa orang yang berada di klinik itu datang bersama anak-anak mereka. Kebanyakannya berusia di antara 3 - 7 tahun. Bukan anak-anak itu yang sakit, tetapi sama ada ayah atau ibu ataupun anak-anak lain yang lebih tua daripada anak-anak tersebut. Oleh sebab itulah ramai yang tidak dapat duduk di kerusi menunggu kerana kerusi-kerusi itu dipenuhi oleh kanak-kanak yang tidak sakit tadi.
Jika ibu atau ayah bijak mendidik anak-anak mereka, atau sekurang-kurangnya memberi nasihat kepada anak-anak kecil mereka, tentulah tempat duduk yang tidak berapa banyak bilangannya itu diberikan kepada orang-orang tua ataupun mereka yang sakit untuk menunggu berjumpa dengan doktor. Tetapi anak-anak kecil itu terus duduk di kerusi-kerusi itu sedangkan orang sakit yang sepatutnya duduk dibiarkan berdiri.
Sepatutnya ibu atau ayah beritahu secara baik kepada anak-anak mereka, "jangan duduk di kerusi tu, biar pak cik tu duduk". Ataupun beritahu mereka, "tempat duduk tu untuk orang sakit nak berjumpa doktor, adik tak sakit, tak payahlah duduk di situ". Ataupun, pujuk sahaja anak-anak supaya duduk bersama ibu atau ayah sambil itu boleh diajak anak-anak membaca apa-apa sahaja yang ada di dalam klinik itu. Ibu atau ayah boleh ajak anak-anak mereka mengeja atau membaca sebarang poster yang ada di situ.
Itu juga salah satu cara untuk mengajar anak-anak supaya minat membaca selain daripada tidak membiarkan mereka membuat bising yang boleh mengganggu para pesakit.
Dua hari selepas itu, saya ke sebuah bank. Selepas mengisi borang untuk mengeluarkan wang, saya menunggu nombor giliran saya dipanggil. Pada masa itu nombor yang dipanggil ialah 103 sedangkan nombor giliran saya ialah 112. Masih ramai lagi yang sedang menunggu.
Tidak lama masuk seorang wanita bersama seorang anak lelaki dalam lingkungan umur 6 atau 7 tahun. Suara anak lelakinya begitu jelas membaca beberapa poster yang terpampang di dalam bank. Si ibu terus ke kaunter menulis borang, tetapi belum sempat mengambil borang dia berkata kepada anaknya, "Adik tekan butang merah tu..". Dia merujuk kepada butang merah pada mesin mengambil nombor giliran.
Tiba-tiba si anak membaca notis yang tertera di atas mesin tersebut, "Sila tulis borang sebelum mengambil nombor giliran". Kemudia dengan nada yang agak kuat si anak memberitahu ibunya, "Mak kena isi borang dulu, adik tak boleh tekan butang ni lagi".
Aku tersenyum sendirian. Memang sebenarnya anak-anak kecil cepat dan mudah belajar. Hati dan fikiran mereka masih bersih. Kedua-dua ibu bapa merekalah yang mencorakkan hati dan fikiran mereka.
Benarlah sabda Rasulullah s.a.w, "Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi". Marilah sama-sama kita, sebagai ibu bapa, merenung dan menghayati mafhum sabda Rasul itu dan mengajar anak-anak kita perkara-perkara yang elok dan positif.