Pages

May 25, 2008

SAYA MAHU KASIH SAYANG

DALAM usia 9 tahun, seorang murid perempuan bangun menjawab soalan saya, "Apa yang kamu mahu?" di dalam sesi ceramah saya kelmarin.

Dengan tegas dia menjawab "Saya mahu kasih sayang".

Saya cuba menyelami jawapan murid perempuan itu. Satu jawapan yang tidak terbit daripada mulut rakan-rakan seusianya yang lain. Murid-murid yang lain memberikan jawapan yang jauh berbeza daripadanya. Ada yang mahukan pakaian baru. Ada yang inginkan permainan dan ada juga yang mahukan buku cerita. Tetapi jawapannya sedikit membuatkan saya terkedu.

Jika dalam usia semuda itu dia sudah pandai meminta kasih sayang, tentulah ada sesuatu yang terbuku di dalam hatinya. Mengikut gurunya, murid itu bukanlah anak yatim piatu. Tidak juga dipelihara oleh datuk dan neneknya. Tetapi tinggal bersama-sama ibu bapanya sendiri.

Lantas kenapa dia menjawab sedemikian? Sepanjang malam saya memikirkan jawapan murid tersebut. Berbagai persoalan berlegar di dalam benak saya. Lalu saya membuat dua rumusan ringkas:-
  1. Murid itu tidak faham apa yang dijawabnya dan hanya menjawab mengikut apa yang terkeluar daripada mulutnya, bukan daripada hati dan perasaannya sendiri.
  2. Murid itu memang mengharapkan kasih sayang ibu bapanya yang tidak memberikan sepenuh kasih sayang mereka kepadanya.

Jika rumusan pertama saya itu betul, saya tidak perlu runsing lagi. Kanak-kanak seusia 9 tahun memang tidak mampu berfikir secara matang sebelum meluahkan kata-kata. Mungkin kerana mahu dianggap lebih cerdik daripada rakan-rakannya, dia memberikan jawapan tersebut. Atau mungkin kerana dia mahu menarik perhatian saya di dalam ceramah petang kelmarin itu.

Tetapi bagaimana pula jika jawapannya itu betul-betul terbit daripada hati sanubarinya sendiri? Dia tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapanya telah membuatkan dia terasa tersisih dan tidak dipedulikan. Lalu timbul rasa tidak puas hati dan marah di dalam hatinya. Akibatnya jiwanya memberontak. Dan kebetulan soalan itu timbul di dalam suasana yang difikirkannya sesuai untuk dijawab sedemikian.

Apapun, anak itu berhak menyuarakan isi hatinya. Jika benar dia menagih kasih sayang, ibu bapanya harus segera memenuhi kehendak anak mereka. Kasih sayang kepada anak-anak tidak boleh diabaikan ibu bapa. Anak-anak seharusnya dibelai dan dimanja dengan penuh rasa mesra, bukannya dibiarkan tanpa belaian. Jangan dibiarkan mereka mencari kasih sayang, tetapi berikanlah kepada mereka kasih sayang itu supaya jiwa mereka membesar dengan penuh keriangan dan kemesaraan.

Ibu bapa perlu menjaga perasaan hati kecil anak-anak, walaupun anak-anak masih lagi seorang anak kecil yang belum matang.

1 comment:

  1. ya, saya sangat setuju dgn kata2 tuan di para akhir. Kalau anak2 bersama dengan kita, jangan sekali2merendahkan/menjatuhkan maruah anak di depan org ramai... dan juga jangan 'terlalu' memuji anak2 di depan org ramai, berpada2 lah... wallahua'lam

    ReplyDelete