Pages

Aug 31, 2008

GENAP 51 TAHUN MERDEKA


HARI ini 31 Ogos 2008, genaplah 51 tahun tanah air kita merdeka. Bebas daripada cengkaman penjajah dan bebas memilih hala tuju serta masa depan bangsa. Jika ditamsilkan kepada seorang manusia, usia 51 tahun adalah usia yang sudah cukup matang. Usia yang sudah menjengah ke gerbang usia emas. Tentu sekali pada usia sebegini, seseorang manusia itu sudah banyak berpengalaman, sama ada pengalaman manis ataupun pengalaman pahit.

Seluruh rakyat Malaysia, pada hari ini, menyambut ulang tahun kemerdekaan dengan rasa bangga dan cukup gembira. Masing-masing menyambut dengan gaya dan cara tersendiri. Namun yang amat jelas ialah masing-masing berlumba-lumba mengibarkan Jalur Gemilang, bendera kebanggaan negara Malaysia yang merdeka. Di bangunan-bangunan, gedung-gedung membeli belah, pejabat-pejabat, sekolah-sekolah, malah di rumah-rumah persendirian, berkibaran Jalur Gemilang dengan megahnya. Bukan itu sahaja, di kenderaan-kenderaan juga Jalur Gemilang berkibaran.

Tetapi hakikatnya, apakah itu melambangkan kentalnya semangat cintakan tanah air?

Petang 30 Ogos, 2008, saya dijemput untuk menyampaikan ceramah tentang kemerdekaan kepada peserta-peserta Program Kembara Berbasikal Merdeka anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Baling dan Majlis Belia Daerah Baling, Kedah bertempat di Kampung Pokok Sena, Baling. Sepatutnya para peserta program tersebut terdiri daripada para pelajar dan belia/beliawanis tempatan kerana matlamat program itu adalah untuk menyemai rasa cinta kepada tanah air yang telah merdeka ini ke jiwa generasi muda. Namun, mungkin kerana sebab-sebab tersendiri yang difahami oleh penganjurnya, saya hanya berhadapan dengan sekumpulan peserta muda, dalam lingkungan usia 13 - 16 tahun sahaja, lebih kurang 12 - 18 orang.

Apa pun, saya teruskan juga dengan menceritakan kepada mereka tentang perbezaan di antara zaman saya seusia mereka dahulu dengan zaman kini. Perbezaan yang saya istilahkan sebagai "Merdeka Zaman Susah" dan "Merdeka Zaman Mewah". Pada waktu Merdeka Zaman Susah, remajanya gigih berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja membantu orang tua masing-masing, seperti membuat kerja-kerja sampingan. Pada waktu itu negara kita masih lagi di dalam proses mengisi kemerdekaan dengan perancangan ke arah meningkatkan taraf kehidupan rakyat, termasuklah taraf pendidikan, taraf kesihatan dan sebagainya. Rakyat masih belum dapat menikmati kemewahan dan kesenangan yang diidam-idamkan lagi.

Meskipun sudah mengecap kemerdekaan dan bebas daripada telunjuk penjajah, negara kita pada waktu itu masih belum dapat berdiri teguh dan gagah. Jika diumpamakan sebagai seorang manusia, negara kita pada waktu itu baharu sahaja belajar berdiri dan mengatur tapak untuk berjalan. Waktu itu negara kita masih lagi muda dan mentah.

Tetapi kini setelah melalui berbagai fasa, Malaysia telah muncul sebagai sebuah negara yang dihormati oleh masyarakat dunia. Kemewahan yang dinikmati, kestabilan yang dialami, kedamaian serta ketenangan hidup warganya menjadi tonggak kejayaan yang amat membanggakan. Semua itu adalah berkat kesepakatan dan perpaduan yang diamalkan oleh seluruh warga negara yang berbilang bangsa, berbagai agama, adat resam dan kebudayaan. Rasa saling hormat menghormati dan bertoleransi sesama rakyat telah mengangkat nama Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati.

Saya ingatkan kepada peserta-peserta muda yang menjadi pendengar ceramah saya petang itu supaya sentiasa menjaga nama baik ibu bapa, keluarga dan bangsa supaya masa depan negara kita yang merdeka ini akan lebih cemerlang lagi. Walau pun mereka hidup di masa "Merdeka Zaman Mewah" ini, mereka harus sedar jika kemerdekaan yang dinikmati selama 51 tahun ini tidak dipelihara dengan sebaik-baiknya, penjajahan baru tidak mungkin akan berulang lagi.

"Anak-anak semua ini adalah pewaris kemerdekaan tanah air kita. Anak-anaklah yang perlu bertanggung jawab untuk mempastikan kemerdekaan ini berterusan dan tanah air kita kekal merdeka selama-lamanya. Jangan sama sekali mempersia-siakan kemerdekaan dan kemewahan yang kita nikmati sekarang ini. Dan yang paling penting, anak-anak sekalian mesti memiliki jiwa merdeka, bukannya jiwa hamba. Biarlah "Merdeka Zaman Susah" menjadi sejarah dan "Merdeka Zaman Mewah" terus kekal untuk dikecapi kemewahannya".

Hujan mencurah-curah sebaik sahaja saya selesai menyampaikan ceramah. Hujan rahmatkah? Atau amaran dari Tuhan?

Aug 23, 2008

SEMANGAT PATRIOTIK GENERASI MUDA MASA KINI


SETIAP kali tibanya hujung bulan Ogos, seluruh rakyat akan mengenang tarikh kemerdekaan tanah air, 31 Ogos 1957. Tahun ini genaplah 51 tahun Malaya (sebelumnya Tanah Melayu dan kini Malaysia) mencapai kemerdekaan daripada Kerajaan Britain yang menjadi penjajah terakhir tanah air kita. Peristiwa bersejarah itu dirakamkan di dalam berbagai media dengan bermacam cara dan kaedah tersendiri.


Zaman saya bersekolah dahulu, rakaman peristiwa mencapai kemerdekaan hanya dapat ditatap melalui buku-buku sejarah. Paparan yang paling canggih pada zaman itu, hanyalah melalui tayangan wayang pacak atau wayang padang yang dibawakan oleh Jabatan Penerangan ke kampung-kampung. Seluruh penduduk kampung akan keluar ke padang atau kawasan lapang selepas maghrib untuk menonton wayang di situ. Sebelum tayangan dimulakan, pegawai dari Jabatan Penerangan akan berucap terlebih dahulu, menyampaikan berita-berita terikini tentang dasar-dasar pembangunan yang diputuskan oleh Kerajaan. Oleh kerana pada waktu itu saya masih lagi seorang anak kecil ucapan-ucapan itu menjadi satu gangguan kerana hasrat saya untuk menonton tayangan wayang gambar itu sahaja. Tambahan pula saya tidak faham apa yang diucapkan itu.

Pada zaman ini, rakaman peristiwa negara mencapai kemerdekaan 51 tahun silam sudah dapat ditatap bukan sahaja melalui buku-buku sejarah, malah di dalam setiap media terpapar catatan bersejarah itu. Media elektronik menyiarkan rakaman gambar-gambar yang menceritakan peristiwa itu dengan jelas ditambah pula dengan penceritaan yang menarik. Disusuli pula dengan berbagai drama yang memaparkan pengkisahan tentang perjuangan mencapai kemerdekaan. Bukan setakat itu sahaja, ada juga badan korporat yang menyelitkan semangat patriotik di dalam iklan-iklan mereka untuk tontonan umum melalui TV dan sebagainya.

Semua itu adalah usaha untuk membangkitkan semangat cintakan tanah air yang merdeka ini supaya generasi muda masa kini dapat menghayatinya dengan lebih mendalam. Namun, apakah segala usaha itu memberi kesan seperti yang diharapkan?

Minggu lepas, sewaktu ke majlis kenduri anak saudara saya di Duyung, Melaka, saya berkesempatan membawa anak-anak dan anak-anak saudara melawat ke Memorial Kemederkaan di Melaka Bandaraya Bersejarah. Sebenarnya kami teruja kerana diberitahu ada gambar arwah datuk di memorial tersebut. Oleh kerana terlalu ingin menatap wajah arwah datuk, yang masing-masing sudah tidak dapat mengingat dengan jelas rupa arwah, saya dan keluarga bersama adik dan keluarganya, singgah ke memorial tersebut walaupun terlalu sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta!

Setelah puas mencari satu demi satu gambar-gambar di dalam memorial itu, akhirnya kami berjumpa dengan gambar tersebut yang terletak di tingkat tiga bangunan bersejarah itu. Ia merupakan keratan akhbar Berita Harian bertarikh 11 September 1957 bertempat di Kulim, Kedah. Gambar almarhum Tunku Abd Rahman yang sedang duduk di atas kerusi rotan dengan seorang lelaki yang bertelut di lutut Tunku. Lelaki itulah arwah datuk saya, almarhum Lebai Hussain bin Haji Taib. Menurut 'caption' di bawah gambar itu, arwah datuk serbu bertelut ke kaki almarhum Tunku dan kemudian membasuh kaki Tunku sebagai membayar niat kerana kemerdekaan yang sudah tercapai.

Saya terdiam panjang sewaktu melihat gambar dan keratan akhbar yang diperbesarkan itu. Sepantas kilat saya mensedekahkan Al-fatehan buat arwah datuk dan almarhum Tunku Abd Rahman. Ketika itu saya cuba gambarkan semangat patriotik rakyat Malaya pada waktu itu yang terlalu berkobar riang kerana kemerdekaan sudah tercapai. Maknanya negara sudah bebas dari belenggu penjajahan.

Saya perhatikan di dalam Memorial Kemerdekaan tersebut, melihat dan cuba membilang berapa ramai anak muda dan remaja yang ada di situ pada waktu saya berasa amat teruja itu. Hampa! Selain anak-anak saya dan anak-anak saudara saya, tidak ada remaja lain di situ. Yang ada hanyalah beberapa orang dewasa yang mungkin melangkaui usia 45 tahun serta beberapa rombongan pelancong asing yang begitu ghairah membaca catatan peristiwa bersejarah tanah air kita serta sibuk mengambil gambar di sana sini. Kenapa anak-anak muda dan remaja kita tidak mengunjungi tempat yang penting dan bermakna ini? Apakah mereka sudah faham erti kemerdekaan? Atau apakah mereka sudah dapat merasai perit getir perjuangan menuntut kemerdekaan lebih separuh abad dahulu? Atau apakah kerana semangat cinta kepada tanah air semakin luntur di jiwa mereka?

Di tepi tangga di tingkat tiga Memorial Kemerdekaan itu, terpampang gambar Almarhum Tunku Abd Rahman ketika melaungkan "Merdeka" sewaktu sambutan kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur 31 Ogos 1957 dahulu. Gambar besar anggaran setinggi 8 kaki itu tampak begitu hebat dan megah sekali kerana itulah detik bermulanya kemerdekaan tanah air.

Sebelum turun, tiga orang anak saudara saya sempat bergambar di potret Tunku itu. Sambil mengangkat tangan kanan ke udara, meniru gaya Tunku, mereka serentak melaungkan "Merdeka". Semoga semangat cintakan tanah air akan terus bersemadi di dalam jiwa mereka buat selama-lamanya.

Aug 20, 2008

SIAPAKAH SAHABAT KARIB?

RAMAI orang akan menyebut nama orang lain apabila ditanya, siapakah sahabat karibnya. Sesiapa sahaja akan memberi reaksi yang sama kerana pada tanggapan kita, sahabat karib itu adalah seseorang yang sangat rapat dan sangat dikenali. Selain itu sahabat karib adalah orang yang boleh menjadi tempat untuk kita meluahkan sebarang perasaan dan masalah.

Tetapi ramai yang tidak terfikir bahawa orang yang paling layak menjadi sahabat karib ialah saudaranya sendiri. Di dalam sebuah keluarga, semua adik beradik harus mempunyai sikap dan pegangan hidup bahawa adik beradiknya adalah sahabat paling akrab. Ini bertepatan dengan bidalan orang tua-tua: "Air dicincang tidak akan putus" atau "Sebusuk-busuk daging, dibasuh bersih dimakan juga".

Di dalam apa juga keadaan, jangan sekali-kali menyisihkan keluarga dan adik beradik sendiri. Pertalian kekeluargaan melalui darah keturunan akan mengikat erat setiap ahli keluarga selama-lamanya. Tetapi bersahabat dengan orang lain, yang tiada ikatan kekeluargaan, tidak akan kekal selama-lamanya. Selagi tidak ada pergeseran dan pertelingkahan dia akan menjadi sahabat karib, tetapi jika berjauhan dan berlaku pertelingkahan, besar kemungkinan persahabatan akan hancur.

Seorang abang sulung harus menjadi sabahat karib kepada adik-adiknya. Bukan sahaja sebagai sahabat karib, dia juga harus menjadi pelindung kepada adik-adiknya. Sebagai adik beradik, banyak persamaan yang ada di dalam diri setiap mereka. Paling jelas ialah persamaan perasaan dan rasa hormat kepada kedua-dua orang tua, ayah dan ibu mereka. Perasaan sedemikian tentu sekali tidak ada di dalam jiwa seorang sahabat karib yang bukan adik beradik sendiri.

Mungkin ada pendapat mengatakan adik beradik sendiri tidak boleh menjadi sahabat karib kerana jarak usia yang berbeza. Mana mungkin adik bongsu menjadi sabahat karib kepada abang/kakak sulung yang tentu sekali usia mereka jauh bezanya.

Walau pun begitu, perasaan dan naluri mereka tetap sama. Perasaan kasih sayang yang suci di antara mereka akan menjadi tali pengikat yang lebih erat jika dibandingkan dengan ikatan persahabatan dengan orang lain. Biar sekalipun usia mereka tidak sebaya, mereka boleh menjadi sahabat karib kerana mereka berkongsi perasaan yang sama, terutama yang melibatkan hal-hal bersangkutan kekeluargaan.

Adik beradik perlu membina dan berkongsi perasaan yang sama, meskipun mempunyai keinginan dan minat yang berbeza. Perasaan hormat menghormati, saling berkasih sayang dan mengasihi di antara satu sama lain, perlu lahir dari hati yang suci bersih atas dasar mereka semua adalah dari satu rumpun keturunan, mempunyai ayah dan ibu yang sama. Seharusnya tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan di antara mereka kerana mereka saling perlu memerlukan di sepanjang masa.

Ikatan kekeluargaan akan menjadi lebih erat dan berpanjangan jika adik beradik menjadi sahabat karib sesama mereka.

Aug 11, 2008

KAU TIBA LAGI OGOS


engkau tiba lagi Ogos
membawa bersamamu kenang silam
perjuangan moyanganda
menebus maruah bumi tercinta
menjadi negara berdaulat
bebas merdeka.

sekian kalinya ketibaanmu
menyulam rindu dan doa
para pejuang mendahului kami
meneruskan perjuangan
sehingga terpancar kemenangan
dari celah-celah kepalsuan.

kami akan terus menantimu, Ogos
untuk kami asah pedang keyakinan
menikam bayang-bayang durjana
sembunyi di sebalik pohon prasangka
semoga nanti anak-anak kami
tidak gentar bermain di taman ini
selamanya.

Pinggiran Alor Setar
11 Ogos 2008



Aug 9, 2008

KAEDAH BELAJAR MENGAJI QUR'AN ZAMAN DAHULU.

TIDAK pernah terlintas di fikiran, siapakah yang mencipta kaedah pengajaran dan pembelajaran itu. Tetapi rata-rata rakan-rakan yang hampir seusia saya, masing-masing terkedu bila saya tanyakan soalan tersebut.

"Entahlah, aku pun tak pernah terfikir", jawab seorang rakan berusia lebih kurang 48 tahun yang pernah saya tanyakan soalan itu di suatu petang. "Seingat aku, kaedah itu digunakan sejak aku kecil dulu lagi", sambungnya.

Arwah datuk dan nenek saya adalah guru qur'an di kampung. Ramai anak muridnya yang bertandang saban malam, kecuali malam Jumaat, untuk belajar membaca Al-Qur'an. Penduduk yang berhampiran semuanya menghantar anak-anak mereka belajar Al-Qur'an daripada datuk dan nenek saya. Seingat saya, arwah datuk dan nenek mengajar semua anak muridnya belajar Al-Qur'an menggunakan kaedah yang sama. Saya sendiri mula belajar membaca Al-Qur'an sewaktu berumur 5 tahun lagi kerana saya dibesarkan oleh kedua-dua mereka.

Sejak sebelum maghrib lagi anak-anak murid sudah datang ke rumah, masing-masing siap membawa muqaddam atau al-qur'an serta pelita minyak. Masa itu, masih belum ramai penduduk kampung yang mempunyai lampu picit berbateri. Pelita minyak itu mempunyai dua peranan, pertama untuk mencerahkan ruang rumah semasa membaca qur'an, dan satu peranan lagi sebagai penyuluh jalan untuk pulang ke rumah masing-masing selepas selesai mengaji.

Setelah selesai solat maghrib yang diimamkan oleh arwah datuk, anak muridnya akan mula mengambil tempat di serambi. Murid-murid perempuan duduk sesama mereka membuat satu lengkongan, meletekkan semua pelita di tengah-tengah lengkongan itu. Murid-murid lelaki pun sama juga. Semua mereka mula dengan sesi 'meneras' sebelum sesi kedua iaitu membaca di hadapan arwah datuk atau arwah nenek saya.

Istilah 'meneras' ini pun saya tidak pasti siapa penciptanya. Tetapi rata-rata rakan-rakan yang pernah mendapat pendidikan al-qur'an secara tradisional di kampung, faham dengan istilah itu. Secara mudahnya ialah membaca ayat-ayat atau surah-surah yang sudah diajar terdahulu dari mula sehingga ke tahap terkini. Contohnya, jika terkini seorang murid itu membaca ayat 112 - 117 surah Al-Baqarah, maka semasa sesi 'meneras', dia harus membaca dari ayat 1 atau dari mana-mana ayat hingga ayat 111 sebelum membaca ayat 112 - 117 di hadapan tok guru selepas 'meneras'.

Saya rasa itulah kaedah ulangkaji yang digunakan di dalam P&P al-qur'an secara tradisional di kampung-kampung pada zaman dahulu. Secara tidak langsung, ia memberi kesan yang kuat kepada murid-murid untuk melancar dan mudah mengingati ayat-ayat yang telah dipelajarinya.

Semasa anak-anak muridnya 'meneras' arwah datuk, arwah nenek dan saya akan menikmati hidangan makan malam di dapur. Namun, semasa sedang makan arwah datuk atau arwah nenek mampu menegur mana-mana anak muridnya yang tidak betul atau tidak lancar bacaannya. Bayangkan di dalam hiruk pikuk anak-anak muridnya yang tidak kurang daripada 20 orang setiap malam sedang 'meneras' arwah datuk dan arwah nenek boleh mengesan kesilapan bacaan anak-anak murid mereka. Saya kagum dengan kelebihan yang mereka miliki.

Selepas itu baharulah sesi kedua dimulakan. Sesi ini ialah membaca secara berhadapan dengan tok guru. Murid-murid lelaki akan membaca di hapadan arwah datuk dan murid-murid perempuan pula di hadapan arwah nenek. Mereka akan membaca ayat-ayat yang di'ubah' malam sebelumnya. 'Ubah' adalah satu lagi istilah yang digunakan, iaitu beralih dari ayat-ayat yang sudah lancar dibaca ke ayat-ayat seterusnya pula. Selagi anak murid itu tidak lancar membaca ayat 112 - 117 surah Al-Baqarah contohnya, dia tidak akan di'ubah' ke ayat 118 dan seterusnya. Ada di antara anak murid arwah datuk dan arwah nenek yang terpaksa mengulang-ulang beberapa malam ayat-ayat tertentu sehingga benar-benar lancar.

Oleh kerana bilangan muridnya yang agak ramai, arwah datuk dan arwah nenek 'mentauliahkan' kepada murid-murid yang lebih tua untuk mengajar murid-murid yang lebih muda daripada mereka. Secara tidak langsung, murid-murid yang tua dan sudah lancar akan dapat melancarkan lagi pembacaan mereka di samping menegur bacaan murid-murid yang muda. Saya rasa ini adalah kaedah Tutor/Pembimbing Rakan Sebaya yang digunakan di sekolah-sekolah pada masa ini.

Apabila semua murid sudah selesai membaca di hadapan tok guru, majlis mengaji pada malam itu pun bersurai. Setiap anak murid akan bersalaman dengan arwah datuk dan arwah nenek sebelum pulang. Bersalaman dengan tok guru adalah amalan murni kerana ia mendidik jiwa anak murid menghormati guru di samping memohon restu dan redha terhadap ilmu yang diajarinya. Seeloknya amalan ini diperbaharui dan diamalkan di sekolah-sekolah pada masa kini. Mungkin amalan ini dapat membentuk pelajar supaya lebih luhur jiwa mereka dan tidak bertindak mengikut emosi semata-mata.

Saya sering teringat kenangan manis itu walaupun kini arwah datuk dan arwah nenek sudah lama meninggal. Biarpun siapa yang mencipta kaedah P&P al-qur'an secara tradisional itu, marilah sama-sama kita hadiahkah Al-Fatehah untuk rohnya.

Amin.

Aug 5, 2008

RASA HORMAT ANTARA GURU DAN PELAJAR

HARIAN METRO Edisi Utara hari ini menyiarkan tulisan Yusri Abdul Malik bertajuk "Rotan Masih Relevan" di muka surat 14. Saya terpanggil untuk memberi sedikit pandangan berhubung isu berkenaan.

Masalah disiplin pelajar sekolah kerap dipaparkan melalui media menjadikan isu ini seakan tidak pernah berkurangan. Saban hari dan minggu tersiar berita-berita di dada akhbar dan media elektronik tentang kisah-kisah membabitkan pelajar yang melanggar disiplin sekolah sehingga ke tahap yang membahayakan, mengugut dan memukul. Pernah tersiar berita pelajar bergaduh di asrama sehingga menyebabkan kecederaan, lumpuh tubuh badan malah kematian. Semua berita itu amat memeritkan perasaan dan menyayat jiwa.

Pelajar hari ini adalah pemimpin di hari depan. Kenyataan ini memang satu kenyataan lumrah yang sering diucapkan segenap lapisan masyarakat. Namun gejala pelajar melanggar disiplin masih belum dapat dibanteraskan.

Ada rakan-rakan dari kalangan guru kerap menceritakan tentang disiplin pelajar di sekolah mereka. Saya seperti tidak percaya pada mulanya, tetapi apabila terlalu kerap cerita sebegini muncul di media massa, saya yakin isu disiplin pelajar sekolah memang suatu isu yang memerlukan pendekatan baru untuk mengurang atau mengatasinya.

Pada zaman 60-an, 70-an dan 80-an, merotan pelajar dibenarkan oleh pihak atasan. Pelajar-pelajar pada zaman itu memang menghormati guru bukan kerana takutkan rotan tetapi takut jika dikenakan hukuman rotan. Saya pernah kena rotan di sekolah akibat melanggar disiplin tetapi saya tidak memberontak. Saya dimaklumkan kesalahan yang saya lakukan sebelum hukuman dikenakan. Saya terima hukuman itu dengan azam untuk tidak mengulanginya lagi. Sepanjang saya bersekolah dahulu, itulah satu-satunya hukuman rotan yang saya terima. Selepas itu saya tidak pernah dirotan lagi.

Saya rasa perbezaan yang ketara di antara pelajar era 60-an, 70-an dan 80-an dengan pelajar zaman kini ialah kurangnya nilai hormat kepada guru. Para pelajar sekarang sudah tidak begitu menghormati guru baik di sekolah apatah lagi di luar sekolah. Jika pada zaman saya bersekolah dahulu (era 70-an), para pelajar memang menghormati para guru. Kami tidak pernah menganggap guru sebagai kawan, tetapi sebagai guru. Sentiasa meletakkan guru di tempat yang sewajarnya dan menghormati mereka. Ketika di sekolah para pelajar menghormati guru sebagai orang yang mengajar mereka, di luar sekolah pula penghormatan adalah kerana mereka orang yang berilmu pengetahuan.

Apabila rasa hormat terhadap guru itu tinggi para pelajar tidak berani melakukan sesuatu yang melanggar disiplin sekolah. Bukan sahaja Pengetua atau Guru Disiplin yang perlu dihormati, malah semua guru wajar dihormati selayaknya. Dewasa ini saya pernah terjumpa para pelajar yang langsung tidak menghormati guru mereka berdasarkan lagak para pelajar itu sendiri. Saya perhatikan gelagat mereka setiap kali berkesempatan berceramah di mana-mana sekolah. Ada di antara pelajar yang tidak mengendahkan guru-guru, tanpa menunjukkan rasa hormat langsung. Contohnya sekumpulan pelajar yang membuat bising akan terus bising walaupun ada guru yang berjalan di hadapan mereka. Bagi mereka kehadiran guru itu tidak memberi sebarang rasa gerun sedikit pun kerana rasa hormat yang tidak tersemat di hati mereka.

Walau bagaimanapun, saya rasa para guru juga harus mempunyai sikap yang tinggi nilainya. Nilai-nilai murni sebagai seorang guru haruslah terpancar di sepanjang masa. Bukan sahaja semasa di dalam kelas malah di mana-mana sekalipun. Cara berkomunikasi dan tutur kata para guru harus mencerminkan ketinggian ilmu yang dimiliki. Sewajarnya para guru bijak berkomunikasi dengan pelajar supaya tidak membuatkan pelajar mengandaikan guru sebagai kawan biasanya sahaja. Tetapi guru sebagai sorang guru yang perlu dihormati.

Anak bongsu saya (tingkatan 3) pernah merungut tentang gurunya yang membahasakan diri sebagai "aku" bila bercakap di dalam kelas. Anak saya merasa janggal dan tidak dapat menerima sebutan "aku" dari mulut seorang guru. Pernah juga saya mendengar seorang guru mengungkapkan kata "pengkhianat bangsa jika tidak mendapat kelulusan cemerlang di dalam peperiksaan" di dalam perjumpaan pelajar dan waris di sekolah. Itu hanyalah contoh-contoh kecil sahaja. Mungkin ada lagi pengucapan tidak sewajarnya terbit dari mulu guru yang membuatkan para pelajar kurang senang. Lantas saya pasti anak saya sudah kurang rasa hormatnya kepada guru tersebut walaupun saya cuba membetulkan persepsinya.

Saya lebih gemar membuat kesimpulan bahawa para guru harus terlebih dahulu menunjukkan sikap positif terhadap pelajar mereka dengan menampilkan diri sebagai seorang yang berwibawa dan berhemah tinggi yang sewajarnya dihormati. Para pelajar bukan sahaja memerlukan bimbingan tetapi juga ingin mencari 'role model' yang boleh dijadikan ikutan.

Aug 2, 2008

MENCARI TEMAN RAPAT

DI KALANGAN remaja, khususnya pelajar, mencari teman rapat kadang kala menjadi satu masalah yang membebankan. Ramai yang keliru dengan istilah teman rapat (best friend) kerana kebanyakan pelajar kurang mengambil berat untuk menilai ciri-ciri yang perlu ada kepada seseorang sebelum boleh dijadikan teman rapat.

Lazimnya para pelajar, terutama pelajar perempuan, dalam usia antara 13 - 17 tahun, mempunyai teman rapat masing-masing, sama ada rakan sekelas, rakan sekamar di asrama atau rakan sepermainan. Teman rapat ini akan menjadi tempat mencurah rasa, perasaan gembira atau sebaliknya. Malah hal-hal yang rahsia sekalipun, sanggup diceritakan kepada teman rapat itu.

Namun, kerap yang berlaku, para pelajar tidak tahu apakah ciri-ciri yang perlu ada sebelum seseorang rakan itu boleh dianggap sebagai teman rapat (best friend). Kebiasaannya seseorang rakan yang dikenali sejak beberapa lama akan dianggap sebagai teman rapat. Jika rakan itu sudah dikenali sejak di sekolah rendah dahulu lagi, kemudian ke sekolah menengah yang sama, persahabatan itu akan diteruskan. Apatah lagi jika mereka berada di dalam kelas yang sama.

Mungkin persahabatan itu kemudiannya berpanjangan sehingga ke universiti, jika mereka belajar di universiti yang sama. Tetapi apakah semua itu melayakkan seseorang rakan itu dianggap teman rapat? Apakah hanya kerana mereka sudah saling kenal mengenali dan bersahabat sejak sekolah rendah lagi, mereka boleh menjadi teman rapat?

Hal inilah yang jarang diperhatikan secara mendalam oleh para pelajar. Mereka mengambil jalan mudah, sesiapa yang baik dengan mereka itulah teman rapat. Sebenarnya memilih teman rapat (best friend) bukanlah satu perkara mudah. Ia memerlukan penelitian yang mendalam, bukan hanya sekadar baik dan rapat sejak zaman sekolah rendah, kemudian ke sekolah menengah mereka itu boleh mejadi teman setia (best friend). Banyak lagi ciri-ciri yang perlu diteliti dengan mendalam.

Memilih teman rapat memerlukan masa untuk menilai dari beberapa segi. Sikap seseorang rakan memainkan peranan penting. Adakah sikapnya sesuai dengan jiwa dan perasaan kita? Adakah sikapnya sering menyenangkan hati kita? Jika rakan itu memiliki sikap yang baik dan positif sekalipun, belum tentu dia boleh menjadi teman rapat kita jika aspek-aspek lain tidak menyenangkan perasaan kita.

Perwatakan rakan itu perlu diperhatikan dengan mendalam. Mungkin dia seorang yang lemah lembut, berbudi bahasa, sopan dan tidak menyakiti hati kita, tetapi dalam masa yang sama dia seorang yang suka mengadu domba. Dia mungkin suka bercerita kepada rakan-rakan lain tentang rahsia peribadi kita. Mungkin juga dia suka menyampaikan sesuatu cerita berlebih-lebihan sehingga menimbulkan fitnah dan sebagainya.

Ada juga rakan yang suka mengambil kesempatan di atas sikap kita yang menganggapnya teman rapat. Dia tidak berniat ikhlas malah sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan yang boleh menguntungkan dirinya sahaja. Umpamanya dia akan berkawan rapat dengan kita sebab memerlukan kita untuk sentiasa membantunya mengatasi pelajarannya yang lemah. Atau kerana dia boleh dapatkan keuntungan material seperti wang ringgit, peralatan dan keperluan-keperluan lain. Rakan sebegini akan menjauhkan diri jika kita tidak lagi dapat memberi keuntungan kepadanya atau setelah dia mendapat rakan lain yang boleh memenuhi kehendaknya.

Begitu juga ada di antara rakan yang terlalu sensitif dan cepat memutuskan persahabatan hanya kerana hal-hal remeh. Umpamanya, dia seorang yang tidak boleh ditegur jika dia melakukan kesilapan. Atau dia hanya menganggap dia seorang sahaja yang betul dan baik dalam semua hal. Dan yang lebih teruk lagi jika dia seorang rakan yang suka mengongkong dan mengawal orang lain supaya berkawan dengannya sahaja.

Semua ini berlaku di alam remaja, khususnya di alam persekolahan. Saya telah menempuhi semua itu. Lalu saya mengambil sikap berhati-hati memilih teman rapat (best friend) dan tidak sewenang-wenangnya mengakui seseorang rakan itu sebagai teman rapat saya. Sewaktu saya di sekolah menengah malah di universiti sekali pun, saya tidak mempunyai seorang pun teman rapat (best friend). Bagi saya semua rakan yang saya kenali adalah rakan saya. Saya lebih suka mempunyai ramai rakan daripada mempunyai seorang teman rapat sahaja.

Memilih teman rapat yang sebenarnya amat sukar. Tetapi nilai persahabatan seorang teman yang jujur tiada tolok bandingnya. Oleh itu carilah teman rapat yang jujur.