Pages

Aug 9, 2008

KAEDAH BELAJAR MENGAJI QUR'AN ZAMAN DAHULU.

TIDAK pernah terlintas di fikiran, siapakah yang mencipta kaedah pengajaran dan pembelajaran itu. Tetapi rata-rata rakan-rakan yang hampir seusia saya, masing-masing terkedu bila saya tanyakan soalan tersebut.

"Entahlah, aku pun tak pernah terfikir", jawab seorang rakan berusia lebih kurang 48 tahun yang pernah saya tanyakan soalan itu di suatu petang. "Seingat aku, kaedah itu digunakan sejak aku kecil dulu lagi", sambungnya.

Arwah datuk dan nenek saya adalah guru qur'an di kampung. Ramai anak muridnya yang bertandang saban malam, kecuali malam Jumaat, untuk belajar membaca Al-Qur'an. Penduduk yang berhampiran semuanya menghantar anak-anak mereka belajar Al-Qur'an daripada datuk dan nenek saya. Seingat saya, arwah datuk dan nenek mengajar semua anak muridnya belajar Al-Qur'an menggunakan kaedah yang sama. Saya sendiri mula belajar membaca Al-Qur'an sewaktu berumur 5 tahun lagi kerana saya dibesarkan oleh kedua-dua mereka.

Sejak sebelum maghrib lagi anak-anak murid sudah datang ke rumah, masing-masing siap membawa muqaddam atau al-qur'an serta pelita minyak. Masa itu, masih belum ramai penduduk kampung yang mempunyai lampu picit berbateri. Pelita minyak itu mempunyai dua peranan, pertama untuk mencerahkan ruang rumah semasa membaca qur'an, dan satu peranan lagi sebagai penyuluh jalan untuk pulang ke rumah masing-masing selepas selesai mengaji.

Setelah selesai solat maghrib yang diimamkan oleh arwah datuk, anak muridnya akan mula mengambil tempat di serambi. Murid-murid perempuan duduk sesama mereka membuat satu lengkongan, meletekkan semua pelita di tengah-tengah lengkongan itu. Murid-murid lelaki pun sama juga. Semua mereka mula dengan sesi 'meneras' sebelum sesi kedua iaitu membaca di hadapan arwah datuk atau arwah nenek saya.

Istilah 'meneras' ini pun saya tidak pasti siapa penciptanya. Tetapi rata-rata rakan-rakan yang pernah mendapat pendidikan al-qur'an secara tradisional di kampung, faham dengan istilah itu. Secara mudahnya ialah membaca ayat-ayat atau surah-surah yang sudah diajar terdahulu dari mula sehingga ke tahap terkini. Contohnya, jika terkini seorang murid itu membaca ayat 112 - 117 surah Al-Baqarah, maka semasa sesi 'meneras', dia harus membaca dari ayat 1 atau dari mana-mana ayat hingga ayat 111 sebelum membaca ayat 112 - 117 di hadapan tok guru selepas 'meneras'.

Saya rasa itulah kaedah ulangkaji yang digunakan di dalam P&P al-qur'an secara tradisional di kampung-kampung pada zaman dahulu. Secara tidak langsung, ia memberi kesan yang kuat kepada murid-murid untuk melancar dan mudah mengingati ayat-ayat yang telah dipelajarinya.

Semasa anak-anak muridnya 'meneras' arwah datuk, arwah nenek dan saya akan menikmati hidangan makan malam di dapur. Namun, semasa sedang makan arwah datuk atau arwah nenek mampu menegur mana-mana anak muridnya yang tidak betul atau tidak lancar bacaannya. Bayangkan di dalam hiruk pikuk anak-anak muridnya yang tidak kurang daripada 20 orang setiap malam sedang 'meneras' arwah datuk dan arwah nenek boleh mengesan kesilapan bacaan anak-anak murid mereka. Saya kagum dengan kelebihan yang mereka miliki.

Selepas itu baharulah sesi kedua dimulakan. Sesi ini ialah membaca secara berhadapan dengan tok guru. Murid-murid lelaki akan membaca di hapadan arwah datuk dan murid-murid perempuan pula di hadapan arwah nenek. Mereka akan membaca ayat-ayat yang di'ubah' malam sebelumnya. 'Ubah' adalah satu lagi istilah yang digunakan, iaitu beralih dari ayat-ayat yang sudah lancar dibaca ke ayat-ayat seterusnya pula. Selagi anak murid itu tidak lancar membaca ayat 112 - 117 surah Al-Baqarah contohnya, dia tidak akan di'ubah' ke ayat 118 dan seterusnya. Ada di antara anak murid arwah datuk dan arwah nenek yang terpaksa mengulang-ulang beberapa malam ayat-ayat tertentu sehingga benar-benar lancar.

Oleh kerana bilangan muridnya yang agak ramai, arwah datuk dan arwah nenek 'mentauliahkan' kepada murid-murid yang lebih tua untuk mengajar murid-murid yang lebih muda daripada mereka. Secara tidak langsung, murid-murid yang tua dan sudah lancar akan dapat melancarkan lagi pembacaan mereka di samping menegur bacaan murid-murid yang muda. Saya rasa ini adalah kaedah Tutor/Pembimbing Rakan Sebaya yang digunakan di sekolah-sekolah pada masa ini.

Apabila semua murid sudah selesai membaca di hadapan tok guru, majlis mengaji pada malam itu pun bersurai. Setiap anak murid akan bersalaman dengan arwah datuk dan arwah nenek sebelum pulang. Bersalaman dengan tok guru adalah amalan murni kerana ia mendidik jiwa anak murid menghormati guru di samping memohon restu dan redha terhadap ilmu yang diajarinya. Seeloknya amalan ini diperbaharui dan diamalkan di sekolah-sekolah pada masa kini. Mungkin amalan ini dapat membentuk pelajar supaya lebih luhur jiwa mereka dan tidak bertindak mengikut emosi semata-mata.

Saya sering teringat kenangan manis itu walaupun kini arwah datuk dan arwah nenek sudah lama meninggal. Biarpun siapa yang mencipta kaedah P&P al-qur'an secara tradisional itu, marilah sama-sama kita hadiahkah Al-Fatehah untuk rohnya.

Amin.

No comments:

Post a Comment