Pages

Dec 26, 2011

SEPAK TAKRAW PERMAINAN RAKYAT - Bhg 1


Gambar hiasan dipetik daripada asubja.wordpress.com



PERMAINAN sepak takraw pada tahun-tahun 1970-an adalah satu permainan yang diminati ramai. Boleh dikatakan di serata kampung ada pasukan sepak takraw masing-masing. Aku masih ingat, di kampung aku pun ada pasukan sepak takraw kami sendiri yang terdiri daripada remaja belasan tahun hingga berusia tiga puluhan. Hampir setiap petang kami akan bermain di gelanggang yang kami buat sendiri.

Sekitar tahun 1969-1970 gelanggang sepak takraw kami terletak di atas tanah rizab jalan, cukup-cukup sahaja luasnya untuk sebuah gelanggang sepak takraw. Kami dengan cara bergotong royong meratakan tanah, memasang tiang jaring serta membuat garisannya. Gelanggang tidak bersimen, hanya tanah merah yang kemudiannya dimampatkan dengan cara menghentakkan dengan batu-batu yang agak berat. Setelah beberapa hari kerja-kerja merata dan memampatkan gelanggang selesai, kami memasang tiang jaring dan membuat garisan di sekeliling gelanggang.

Tiang dibuat daripada kayu terpakai bersaiz 4" x 6" dan 7 kaki panjang. Tiang tersebut ditanam hampir 1 kaki supaya ketinggian tiang bagi memasang jaringnya lebih kurang 5 kaki 6 inci. Sementara garisan tepi gelanggangnya pula diperbuat daripada batang pinang yang dibelah kecil-kecil bersaiz 2" lebar. Batang pinang tersebut kemudiannya dipaku ke dalam tanah dengan cermat supaya batang pinang itu tidak pecah. Akhirnya siaplah sebuah gelanggang sepak takraw tempat kami bermain setiap petang.

Pada masa itu aku berusia lebih kurang 12 tahun, masih di bangku sekolah rendah. Aku bermain di dalam pasukan kedua, yang terdiri daripada rakan-rakanku berusia di antara 12 hingga 16 tahun. Manakala pasukan utama terdiri daripada remaja-remaja berusia melebihi 17 tahun hingga ke usia tiga puluhan seperti Dolah Tok Deris, Pakcik Udi, Daud Tok Man Dagu, Awang Tok Deris, Bakar Tok Leman, Mat Pin, Omar Tok Leman, Pak Ya Cu Che Dah, Pie Long Che'Ah, dan ramai lagi.

Kami bukan hanya bermain di kampung sendiri, malah kami berusaha mencari pasukan-pasukan dari kampung-kampung lain untuk mengadakan perlawanan persahabatan. Pasukan Bagan Sena, Jubai, Padang Bola, Bikan Ulu dan Malau adalah pasukan-pasukan kampung dan estet yang berhampiran dengan kampung kami. Malah pernah kami mengadakan perlawanan dengan pasukan dari Kampung Sedim, Bagan Sena Estet dan Bukit Sedim Estet.

Seronoknya pada masa itu ialah kami tidak pernah ada rasa iri hati antara satu sama lain. Kami bermain sebagai sebuah pasukan tanpa memperduli siapa Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Jurulatih ataupun Ketua Pasukan. Kami bermain sama rata, sama rasa. Kami sama-sama sumbangkan wang semampu mungkin jika ada perlawanan persahabatan, guna untuk membeli bola untuk berlatih sebelum tarikh perlawanan. Selebihnya kami simpan untuk digunakan membeli air minuman semasa perlawanan di adakan.

Meriah sungguh jika ada perlawanan persabahatan di gelanggang kampung kami. Seawal pukul 4.00 petang suasana di gelanggang sudah dipenuhi peminat. Baik tua atau muda pasti akan datang beramai-ramai memberi sokongan. Berbagai gelagat dapat disaksikan. Keadaan di tepi gelanggang dipenuhi 'kenderaan' yang diletakkan di situ. Kenderaan utama pada masa itu ialah basikal manakala motosikal jarang-jarang kelihatan. Pasukan yang datang pun kebanyakkannya dengan menunggang basikal sahaja, sama ada pemain ataupun penyokong.

Pak Su Mat Zin, Tok Haji Yaakob, Pak Long Mat Desa adalah di antara beberapa peminat yang tidak pernah ketinggalan menonton, sama ada semasa kami berlatih ataupun semasa perlawanan berlangsung. Mereka akan menjerit dan melaung memarahi kami di dalam gelanggang sekiranya kami tidak bermain dengan bersungguh-sungguh. Secara tidak langsung mereka memberi perangsang kepada kami dan sekaligus menjadi jurulatih tidak bertauliah!

Cerita ini akan aku sambung di bahagian seterusnya .... Tunggulah kemunculannya nanti.

Dec 23, 2011

PMR 2011 KEJAYAAN TERBAIK DAN ISTIMEWA

Gambar ini ada petikan daripada http://puteraduyong.com/blog


KELMARIN 22 Disember 2011 keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) 2011 yang telah diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud sebagai keputusan terbaik dalam tempoh empat tahun sebelum ini. Seramai 34,271 orang pelajar telah berjaya dengan cemerlang memperoleh A di dalam semua mata pelajaran. Kecemerlangan tersebut adalah suatu kejayaan yang amat membanggakan semua pihak; para pelajar, ibu bapa, guru-guru, masyarakat pendidikan dan seterusnya masyarakat keseluruhannya.

Banyak sekolah yang mencatatkan kejayaan membanggakan dengan bilangan pelajar memperoleh kelulusan minimum semakin meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya. Selayaknya kejayaan tersebut dikongsi bersama oleh semua pihak yang terlibat di dalam proses pendidikan di sekolah-sekolah berkenaan.

Tetapi di celah-celah kejayaan cemerlang yang diraih para pelajar serta kegembiraan ibu bapa dan guru-guru di atas kejayaan tersebut, saya lebih tertarik kepada kejayaan yang dicapai oleh beberapa orang pelajar istimewa. Saya amat terkesan apabila menatap cerita kejayaan yang diraih oleh mereka sehingga mendorong saya untuk mencatatkan sesuatu di dalam blog saya ini.

Apa tidaknya, di dalam serba kekurangan yang ditanggung mereka selama ini, mereka masih mampu bersaing dengan rakan-rakan sekolah mereka sehingga mencapai kejayaan membanggakan semua pihak. Saya menganggap mereka adalah insan-insan yang tidak pernah menganggap kekurangan yang mereka alami sebagai penghalang untuk mengecap kejayaan. Syabas saya ucapkan!

Kisah pelajar Muhammad Hadi bin Darus yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan tetapi mencapai kejayaan cemerlang memperoleh 9A kelmarin amat menyentuh perasaan saya. Betapa di dalam kesukaran untuk memegang, menulis dan sebagainya, dia mampu melakukan sama seperti ramai pelajar sempurna lain dapat lakukan. Muhammad Hadi yang tidak mampu bergerak seperti rakan-rakan sebayanya, menggunakan kerusi roda sepanjang masa serta menggunakan meja khas di dalam kelasnya, memegang buku dan menulis menggunakan kaki. Namun oleh kerana jiwanya yang kental, dia telah mencapai kecemerlangan.

“Saya tidak berasa sebarang kekurangan pada diri dan saya tahu saya boleh berjaya”, ujarnya kepada wartawan. Itulah keyakinan yang ada di dalam dirinya. Dia mempunyai impian yang jelas terpampang di dalam mindanya dan tidak menjadikan kecacatan kekal pada fizikalnya sebagai penghalang mindanya untuk berkembang.

Kejayaan seorang lagi pelajar istimewa yang berjaya memperoleh kejayaan cemerlang ialah Hazman Shahir Shamsul Kamar, pelajar SMK Dol Said, Alor Gajah, Melaka. Kejayaannya mendapat 5A, 3B dan 1C amatlah membanggakan memandangkan keadaan fizikalnya yang jauh lebih tidak sempurna daripada pelajar-pelajar lain. Penyakit ‘spinal muscular atrophy type II yang dihidapinya sejak berusia 8 bulan tidak langsung menghalangnya untuk berusaha mencapai kejayaan.

“Saya hanya mampu berbaring sepanjang masa di atas kerusi roda dan jika di rumah saya mengulang kaji pelajaran dalam keadaan sama serta memperuntukkan tempoh tiga jam untuk itu”, ujar Hazman Sharir kepada wartawan. “Bagi saya kecacatan bukanlah penghalang. Usaha dilakukan ini adalah bagi memberi motivasi kepada rakan lain dengan keadaan fizikal mereka yang normal dan mereka mampu melakukan lebih baik daripada saya”, tambah remaja istimewa dan hebat itu.


Kedua-dua insan ini amat istimewa bukan hanya kerana kejayaan yang mereka raih walaupun di dalam keadaan fizikal yang tidak sempurna, tetapi kerana minda mereka tidak dibelenggu oleh kekurangan dan kecacatan tersebut. Malah mereka sentiasa bersyukur di atas anugerah Allah dan sepanjang masa menginsafi di atas segala nikmat kurniaan-Nya.

Marilah sama-sama kita pelajari sesuatu daripada kejayaan insan-insan istimewa ini.

Dec 15, 2011

SELEPAS DUA TEMU JANJI

Gambar hiasan - Kredit kepada http://www.lifecare.com.my/hp_ExcercisestresstestBM.html


PETANG tadi tidak sempat menulis. Malam sudah larut, baru ada kesempatan untuk menulis.

Rabu 14 Disember 2011 adalah tarikh temu janji di Hospital Sultanah Bahiyah. Temu janji ini adalah kali kedua selepas temu janji pertama pada 1 Disember yang lepas. Pada temu janji pertama itu aku sudah menjalani ECHO, iaitu imbasan jantung (heart scanning). Temu janji kedua ini pula ialah untuk menjalani EST, (ujian senaman stres treadmill) iaitu ujian kemampuan juntung sama ada mampu melepasi beberapa tahap yang ditentukan.

Alhamdulillah, mengikut kata juruteknik ECHO dahulu, jantung aku sudah pulih walaupun kesan serangan yang aku alami enam bulan dahulu masih kelihatan lebam. Ia akan mengambil masa yang agak lama untuk pulih seperti sedia kala, kemungkinan juga tidak akan pulih selamanya. Namun pada ketika ini jantungku berada dalam keadaan sihat.

Semasa ujuan EST pula, aku dipasangkan dengan wayar pada beberapa bahagian di dada. Ia adalah untuk melihat tahap kekuatan jantungku. Kemudiannya aku diarahkan berdiri di atas 'treadmill' iaitu alat larian statik elektronik. Selepas penerangan ringkas oleh pegawai bertugas, akupun mulakan berjalan di atas alat 'tredmill' tersebut.

Pada tahap pertama aku lepasi dengan cemerlang. Tahap kedua juga aku lepasi dengan cemerlang. Tiada sebarang kesakitan atau sesak nafas di dada. Pada tahap ketiga perjalananku menjadi lebih laju. Alhamdulillah, aku lepasi dengan cemerlang juga. Badanku sudah mula berpeluh sama seperti semasa aku berjalan laju di Taman Rimba setiap dua kali seminggu. Dadaku masih tenang, tiada sebarang kesakitan atau rasa mengah. Pandanganku juga tetap sama, tidak ada tanda-tanda kabur atau rasa pening. Alhamdulillah.

Selepas itu kelajuan 'treadmill' itu ditambah kerana aku sudah tiba ke tahap empat. Perjalananku menjadi lebih laju dari tahap tiga. Kakiku tidak lagi berjalan tetapi sudah berlari. Dadaku masih tidak mengalami sebarang rasa sakit. Nafasku juga masih bertahan, tiada rasa tercungap-cungap atap sakit di dada. Tetapi kedua-dua betisku mula terasa sakit. Otot-otot di kaki mula terasa pedih dan membakar. Aku gagahi juga kerana aku pasti yang mahu diuji ialah jantungku, bukannya otot kakiku.

Larianku sudah semakin laju. Tanganku yang memegang pemegang mesin tersebut semakin kuat mencengkam. Nafas mula terasa berat walaupun tidak sesak. Aku pasti aku dapat melepasi tahap empat itu. Namun beberapa detik kemudian, aku tidak dapat bertahan kerana otot-otot di kakiku semakin sakit dan rasa membahang semakin menjalar. Akhirnya aku terpaksa mengalah kerana bimbangkan kesakitan di otot menyebabkan kekejangan pula.

Aku tidak sempat menghabisi tiga minit tahap empat tersebut, walaupun aku lihat di paparan mesin itu aku sudah melepasi satu setengah minit. Pegawai bertugas memaklumkan mengikut graf dan carta yang dicatatkan, keadaan jantungku adalah normal dan berada pada tahap sederhana baik. Ini kerana aku tidak dapat menghabiskan tahap empat tadi. Dia kemudiannya mengarahakn aku berjumpa dengan doktor untuk penjelasan lanjut.

Doktor muda berketurunan Cina itu meneliti graf dan carta ujian EST aku yang diserahkan kepadanya. Aku tidak tahu siapa nama doktor tersebut kerana tanda nama di bajunya terlindung oleh tali lehernya yang agak lebar.

"Pakcik, keadaan jantung pakcik 'moderate' saja. Ada beberapa tanda jantung pakcik kurang memuaskan, walaupun secara keseluruhannya adalah baik. Cara terbaik untuk mempastikan keadaan jantung pakcik ialah dengan cara melakukan 'engiogram' supaya kita dapat pastikan sama ada saluran ke jantung pakcik benar-benar lancar". Aku terdiam sejenak.

"Saya akan berikan satu tarikh, enam bulan dari sekarang untuk membuat engiogram tersebut", ujarnya lagi selepas dia menekan membuat semakan di komputernya. Aku akur. Selepas itu aku dibenarkan pulang.

Alhamdulillah, aku rasa tenang. Aku yakin sakit yang aku alami enam bulan dahulu itu kini sudah pulih, walaupun mengikut kata doktor bukan sepenuhnya. Aku berdoa setiap hari agar Allah sembuhkan penyakitku ini kerana masih banyak lagi tugas dan tanggung jawab yang masih belum aku selesaikan.

"Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada rihul ahmar dan penyakit yang besar daripada berada di dalam diri, tubuh, tulang, daging, urat-urat, kulit, bulu dan seluruh jasadku dengan Rahmat-Mu wahai Tuhan yang Maha Penyayang".

Dec 10, 2011

BULAN DI PERMATANG HAYAT.





INI percubaan pertamaku. Memasukkan video puisi yang kubuat sendiri menggunakan perisian Windows Movie Maker. Aku hanya cuba-cuba sendirian. Tidak pasti sama ada berjaya atau pun tidak.

Berikut adalah puisi yang kumuatkan di dalam video ini:



BULAN DI PERMATANG HAYAT


Kudakap samar malam
menanti serpih kasih
di penjuru kamar rindu
antara runtun pilu
dan raung amarah
segalanya tercatat
di watikah usia
bergumpal di apung awan
putih yang kusam.

Di sini penantian makin meletihkan
sergah taufan memintal tali hayat
esok, akan berangkatkah pekat malam?

Di kamar, cerah sinar bulan
tercipta bayang di balik pintu diri
menyapa pertanyaan
tentang kehidupan.

Bulan makin dewasa
mengukir makna pada tanda kehidupan
aku menjadi perenung dan pencatat
kalimat demi kalimat
cinta seorang Adam.

Di permatang hayat ini
aku masih mencari
INA.

9 Disember 2011

Nov 28, 2011

PERHIMPUNAN KELUARGA 2011

AWAL MUHARRAM satu detik penuh makna. Detik penghijrahan Rasulullah s.a.w serta kaum Muslimin dari Kota Makkah ke Yathrib (Madinah) 1433 tahun yang silam. Itulah detik yang membawa kegemilangan Islam sehingga Islam berkembang seleruh pelosok dunia.

Tahun ini ketika umat Islam menyambut detik bermakna itu, kami sekumpulan ahli keluarga telah berkumpul di suatu acara tahunan. Perhimpunan keluarga dari satu rumpun keturunan bagi menghubung serta menjalineratkan talian silaturahmi sesama ahli keluarga. Meskipun bukan kesemua ahli keluarga yang dapat berkumpul, namun kehadiran 96 orang pada perhimpunan tahun ini amat signifikan.


Tiada acara hebat, tiada perasmian berprotokol, tiada penginapan lima bintang serta tiada juadah menarik, namun kesemua itu bukan penghalang pertemuan tersebut. Hanya acara-acara kecil, tempat tidur ala kadar serta makanan sekadar mengalas perut, tetapi suasana mesra tetap terasa. Kesemua yang hadir amat terhibur, bukan dengan hidangan lagu-lagu nyanyian penyanyi jemputan, tetapi terbibur kerana dapat berbual mesra sesama ahli keluarga yang hadir bersama.

Tahun ini perhimpunan dijalankan di sebuah pulau peranginan. Kem Raudah, Pulau Pangkor telah dipilih menjadi destinasi perhimpunan kerana kesesuaian dari segi infrastruktur dan kemudahan yang dirasakan sesuai untuk setiap ahli keluarga yang ikut serta. Meskipun sudah pasti tidak dapat memenuhi keinginan dan kehendak setiap individu, tetapi tentunya yang disediakan di kem tersebut bukanlah yang terburuk.

Pengisian perhimpunan kali ini hampir sama dengan pengisian tahun sebelumnya. Acara sukaneka untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah memeriahkan suasana perhimpunan pada sebelah petang seusai urusan penempatan penginapan. Acara pada awal malam ialah solat berjemaah, bacaan Yassin serta tahlil untuk allahyarham-allahyarham ahli keluarga yang telah lebih dahulu dijemput kembali mengadap Allah s.w.t. dengan doa semoga roh-roh mereka ditempatkan bersama roh-roh para muslimin yang diterima Allah s.w.t

Selepas itu acara pertukaran hadiah diadakan di mana setiap ahli yang hadir bertukar-tukar hadiah sesama sendiri melalui cabutan nama bertuah. Setiap ahli membawa hadiah masing-masing dan pihak urusetia mengagihkannya supaya setiap orang mendapat hadiah. Kemudiannya disusuli pula acara tazkirah serta pengkisahan sejarah keluarga yang mengujakan. Ramai di kalangan ahli keluarga yang hadir tertarik dengan persembahan yang dibentangkan.

Siang keesokkannya dimulai dengan solat subuh berjemaah sebelum acara senaman dijalankan. Selepas sarapan, ahli keluarga semua berkumpul di pantai untuk acara permainan pantai. Selesai sahaja acara tersebut ahli keluarga dibenarkan melakukan aktiviti bebas. Inilah peluang keemasan untuk bermandi manda di laut sambil menikmati angin laut yang segar.

Kem Raudhah ditinggalkan dengan seribu kenangan selepas jamuan makan tengah hari. Masing-masing bersalam-salaman dan bermaaf-maafan dengan harapan akan bertemu semula di perhimpunan akan datang.

Semoga jalinan dan ikatan ukhuwah sesama keluarga sebegini akan terus kekal selama-lamanya.

Nov 22, 2011

TAHNIAH, HARIMAU MUDA

HARI INI 22 November 2011, terpampang di dada-dada akhbar tanah air berita kemenangan pasukan bola sepak negara, Harimau Muda, yang berjaya memenangi pingat emas di Sukan SEA, Jakarta semalam. Sekali gus kemenangan tersebut juga merupakan kemenangan mempertahankan pingat emas yang dimenangi Malaysia di sukan yang sama di Laos dua tahun lalu.

Tahniah diucapkan kepada pasukan Harimau Muda yang rata-rata dibarisi pemain-pemain di bawah usia 23 tahun. Kemenangan tersebut memberi makna yang amat besar kepada perkembangan dan kemajuan bola sepak negara dewasa ini. Setidak-tidaknya 'ranking' Malaysia telah meningkat.

Di dalam masa yang sama, kita dapat perhatikan bagaimana kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap pemain di dalam perlawanan akhir yang getir dan panas itu. Mereka bermain dengan keazaman yang tinggi, tidak mahu memalukan seluruh rakyat Malaysia yang mengharapkan kemenangan berganda tersebut. Meskipun mereka menghadapi berbagai provokasi serta rintangan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta namun berkat keazaman yang kuat akhirnya kemenangan kita miliki.

Syabas juga kepada jurulatih serta pegawai-pegawai yang berada sepanjang masa bersama para pemain di sana. Saya yakin mereka semua telah berusaha bersungguh-sungguh meniupkan semangat juang yang tidak kenal putus asa kepada para pemain. Segala usaha dan penat lelah mereka kini berbaloi dan terbayar.

Bukan sahaja kegembiraan meraikan kemenangan itu terpapar di akhbar-akhbar, malah di dalam laman-laman sosial internet, suasana kemeriahannya juga tiada bezanya. Saya petik beberapa coretan di Facebook seperti berikut:-



"Thanks to most Indonesians for labelling us Malaysians as 'maling'...Now your wishes finally came true when we snatched gold medal right under your nose!"


"Tahniah untuk Harimau Malaya yang mematahkan sayap garuda yang bongkak...jaringan Badrol yang begitu cantik bola meleleh masuk gawang dan kesudahannya 100,000 penyokong Indonesia menangisi jaringan tersebut....inilah masa melihat air mata garuda yang sombong"

"Eyes of a TIGER, Strength of a warrior, Glory of a champion, Heart of a MALAYSIAN'.

"Lenyap sudah Garuda dari dunia nusantara dibaham Harimau Muda"

"You mess with the tigers, you get the claws and fangs! In your face, Indon"

"Inilah negara yang kamu gelar 'Malingsial' memalukan khalayak kamu di tanah kamu sendiri, membenam bongkak dan ego kamu, Indonesia. Tahniah Harimau Muda".

"Syukur Alhamdulillah..Ibu segala pingat emas milik Malaysia. Sang Garuda patah sayapnya dibaham Harimau Malaya. Syabas!!".

"Garuda mungkin menguasai langit. Namun harus diingat, perhitungan kini di atas tanah dan di atas tanah Harimaulah rajanya. MENGAUMLAH HARIMAU MALAYA!!!".

Mungkin ada ribuan lagi coretan seumpama itu di dalam laman-laman sosial internet. Segala coretan itu adalah luahan rasa puas hati, gembira dan bangga di atas kemenangan tersebut. Semua itu adalah sambungan daripada kegigihan dan keazaman yang dipamerkan oleh pemain-pemain pasukan bola sepak negara.

Walau bagaimanapun harus diingat kemenangan ini jangan sekali-kali menjadikan kita lupa kepada hakikat bahawa mempertahankan kemenangan itu terlalu sukar daripada memenangi perlawanan. Lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh lagi berlegar di tahap lama baik dari segi pengurusan, pemilihan pemain, latihan, disiplin dan sebagainya. FAM harus segera berubah, menapak ke tangga yang lebih tinggi daripada sekarang.

Jika FAM masih lagi berleka dan berhibur dengan kemenangan itu, percayalah suatu hari nanti pasukan negara tidak akan maju dan mencapai kejayaan yang lebih besar sepertimana kejayaan-kejayaan di peringkat Piala Asia, Piala Dunia ataupun di Olimpik!

Kini tiba masanya, FAM, Majlis Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan dan lain-lain badan yang terlibat supaya dengan segera merangka strategi untuk mempastikan bola sepak Malaysia terus berkembang dan menapak ke tahap yang lebih tinggi. Jangan lagi berfikiran lapuk yang merugikan diri kita sendiri!

Nov 13, 2011

TELAH TIBA MASANYA

HARI INI, 13 November 2011 tiba-tiba jadualku menjadi tersangat sendat. Walhal sejak kelmarin aku tahu aku hanya ada satu temu janji pada sebelah pagi ini sahaja. Pada sebelah petang aku ada banyak ruang dan masa untuk menyiapkan tugasan yang diamanahkan.


Seawal 8.30 pagi aku sudah tiba di Hospital Sultanah Bahiyah. Hari ini aku perlu mengikuti Program Pemulihan Jantung. Aku sudah dimaklumkan bahawa aku perlu menghadiri program ini semasa aku keluar dari Wad Pemulihan Jantung (CRW) pada bulan Jun yang lalu. Namun dari sehari ke minggu sehingga melangkau bulan, tiada sebarang pemakluman seterusnya tentang tarikh dan masa program tersebut akan diadakan. Sehinggalah dua malam yang lalu lebih kurang pukul 10.30 malam ada panggilan telefon dari jururawat CRW. Dia memaklumkan tentang program tersebut dan aku dikehendaki menghadirinya.

Program pagi ini adalah sesi ceramah mengenai beberapa perkara berkaitan kesihatan jantung termasuklah ceramah relaksasi dan ceramah fisioterapi. Sebelum itu semua pesakit yang hadir diperiksa tekanan darah masing-masing terbelih dahulu. Bacaan tekanan darah aku pagi ini ialah 143/91, bacaan yang memuaskan walaupun bukan bacaan yang 'ideal'.

Setelah selesai program berkenaan lebih kurang jam 12.00 tengah hari, aku pulang dan berehat. Sementara menunggu masuk waktu zohor aku terlelap seketika. Waktu aku terjaga lebih kurang jam 1.30 tengah hari, aku melihat telefon tanganku. Terdapat enam 'missed calls' tersenarai serta tiga pesanan ringkas minta dibaca.

Tanpa membaca pesanan ringkas, aku terus mendail salah satu nombor yang terdapat di dalam senarai 'missed calls' iaitu nombor telefon rakanku, Shukri. Suara Shukri di hujung talian bernada rendah dan perlahan. Ada nada sedih kedengaran.

"Pukul berapa jenazah hendak dikebumikan?".


Aku terkejut mendengar soalan itu. Setalah aku bertanya Shukri memaklumkan seorang rakan kami telah kembali ke rahmatullah. Dia ialah Sayed Mahadzir Sayed Omar, rakan yang aku kenali sekian lama dan sama-sama berkecimpung di dalam organisasi penulis, iaitu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).

Aku segera mengucapkan, "innalillahi wa inna ilai hi ro ji'un"....daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita dikembalikan. Aku merasa sebak dan sayu mendengar perkhabaran sedih itu.

Dua hari sebelum Aidil Adha dahulu aku ada menelefonnya dan sempat berbual seketika.

"Apa khabar Sayed?".

"Bengkak di muka aku ni tak hilang lagi. Doktor di Hospital Sutanah Bahiyah merujuk kes aku ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani".

"Doktor kata apa sakitnya?".

"Paru-paru berair. Aku kena ke sana berjumpa doktor pakar pada 9 haribulan. Kalau perlu aku kena menjalani pembedahan".

"Bersabarlah Sayed, semua itu dugaan Allah. Aku doakan engkau selamat dan sihat seperti sedia kala".

"Terima kasihlah. Kirim salam kepada rakan-rakan semua".

Itulah lebih kurang perbualan terakhir aku dengan Allahyarham. Pada hari Sabtu 12hb, kelmarin, sewaktu di dalam program aktiviti ASASI pada sebelah petang dan malamnya, kami berbual tentang Allahyarham Sayed Mahadzir. Cerita Jamaludin D, dia sempat melawat Sayed dan dimaklumkan pembedahan akan dilakukan pada hari ini.

Aku telefon Jamaludin D di Sungai Petani. Suara Jamaludin lebih sebak daripada suara Shukri.

"Saya ada di rumah mayat. Jenazah Sayed dijangka akan dibawa keluar lebih kurang pukul 2.30 petang sekejap lagi. Saya akan ke KL sebentar lagi, tapi sudah sempat ziarah jenazah Allahyarham". Terdengar suara Jamaludin begitu sebak dan terhenti seketika. Aku lekas-lekas menamatkan perbualan.

Aku cuba hubungi nombor telefon Sayed dengan harapan isterinya yang akan menjawab. Malangnya telefon tersebut sudah dimatikan.

Selepas itu aku menghubungi beberapa orang rakan memaklumkan berita sedih tersebut. Anjanglie yang aku hubungi selepas itu setuju untuk menziarahi jenazah Allahyarham. Pukul 4.20 petang aku dan Anjanglie ke Kampong Barokhas, Kuala Nerang, iaitu ke rumah Allahyarham untuk penghormatan terakhir kepada seorang sabahat yang baik dan berhemah tinggi.

Waktu aku dan Anjanglie tiba, di halaman rumah itu sudah dipenuhi ramai pengunjung berbagai lapisan usia, lelaki dan perempuan. Pada masa itu majlis tahlil sedang dilakukan. Kami ikut duduk dan bertahlil bersama-sama. Kemudian barulah kami melawat jenazah.

Tanpa aku sedari air mataku mengalir deras sewaktu menatap wajah Sayed di pembaringan. Wajahnya bersih, mata dan mulut tertutup rapat. Menurut kata abang Allahyarham, jenazah akan disemadikan pukul 10.00 malam ini.

"Sayed, masa engkau sudah sampai. Tapi aku tidak tahu bila pula masa aku akan tiba".

Nov 5, 2011

WUKUF DI ARAFAH DAN SAMBUTAN AIDIL ADHA



HARI ini, 9 Zulhijjah adalah hari terpenting kepada umat Islam yang menunaikan ibadah haji di tanah suci kerana inilah kemuncak ibadah tersebut. Ia dikenali sebagai Hari Wukuf yang merupakan kewajipan yang mesti dilakukan. Gagal berwukuf membatalkan ibadah mereka.

Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi yang utama dari rukun-rukun haji sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Dari Abdul Rahman bin Ya'mur r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh seorang penyeru menyerukan : "Haji itu ialah "Arafah". Barang siapa datang pada malam tanggal sepuluh, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapatkan Arafah" (Riwayat - Ahmad dan Ashabus Sunan)


Padang Arafah dengan keluasan lebih kurang 16,000 kilometer persegi merupakan tempat wukuf. Tahun ini seramai lebih kurang 3.5 juta umat Islam berhimpun di padang pasir tersebut semata-mata untuk bermunajat kepada Allah s.w.t memohon keampunan Yang Maha Pengampun terhadap segala kesalahan yang telah dilakukan di sepanjang hayat mereka.

Masa yang wajib berada atau berwukuf di Arafah ialah di awal waktu Zohor pada 9 Zulhijjah, hingga sebelum fajar 10 Zulhijjah, tetapi tidak semestinya berada di Padang Arafah itu sepanjang masa yang tersebut. Berhenti disitu walaupun sebentar sahaja pada masa di antara Zohor 9 Zulhijjah hingga sebelum fajar 10 Zulhijjah adalah memadai.


Masa yang sebaik-baiknya ialah sebahagian hari kesembilan dan sebahagian malam kesepuluh Zulhijjah, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa dapat berada di Arafah sebelum terbit fajar (pada hari yang kesepuluh Zulhijjah) maka dapatlah haji itu"

Dalam waktu sesingkat itulah, para hujjaj mempunyai kesempatan memohon keampunan daripda Allah s.w.t. Di situlah mereka akan berkomunikasi secara terus dengan Allah s.w.t untuk merayu memohon diampunkan segala dosa dan kesilapan yang telah dilakukan. Pada detik-detik itu mereka tidak memperdulikan sesiapa lagi, malah hanya akan menumpukan kepada permohonan sendiri sahaja. Tangisan dan sedu sedan keinsafan akan memenuhi ruang sepanjang masa wukuf kerana doa semasa wukuf adalah di antara waktu doa dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Bagi umat Islam yang tidak dijemput menjadi tetamu Allah, mereka disunatkan berpuasa sambil memanjatkan doa dan pengharapan agar diampuni segala kesilapan yang telah dilakukan.

10 Zulhijjah adalah Hari Raya Aidil Adha, satu lagi hari penuh bermakna untuk umat Islam. Hari Raya Aidil Adha adalah sinonim dengan ibadat korban sebagai meneruskan ibadat yang disyariatkan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s berkurun yang lalu. Peristiwa di mana Nabi Ibrahim a.s diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s sebagai satu pengorbanan kepada Allah. Oleh kerana keikhlasan Nabi Ibrahim menunaikan perintah Allah, pengorbanan baginda telah diterima malah Allah telah menggantikan korban tersebut dengan seekor kibas. Bermula dari peristiwa itulah, disunatkan ibadah korban ke atas umat Islam, sama ada yang mengerjakan ibadah haji ataupun tidak.

Begitulah istimewanya bulan Zulhijjah yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada umat Islam melakukan ibadah-ibadah khusus. Justeru, umat Islam harus tidak meremehkan peluang dan kesempatan yang terhidang.

Nov 2, 2011

TABUNG DERMA KEBAJIKAN



RAMAI orang jika disoal mahukah anda menderma untuk kebajikan pasti akan menjawab, ya. Jawapan tersebut diucapkan kerana mereka tahu bahawa memberikan derma kebajikan akan mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah s.w.t. Malah Allah dan Rasul-Nya memberikan nilai yang amat tinggi terhadap sebarang derma kebajikan yang diberikan oleh umat Islam.

Justeru berbagai usaha dilakukan untuk menggalakkan orang Islam melakukan kebajikan. Semua usaha tersebut adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada umat Islam menyumbang secara ikhlas untuk sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama. Umpamanya mengutip sumbangan derma kebajikan kepada Rumah Anak-anak Yatim, Pusat Pengajian Tahfiz, Rumah Orang-orang Tua dan sebagainya.

Bagi orang-orang Islam yang faham mengenai nilai dan ganjaran bersedekah untuk kebajikan pasti tidak akan melepaskan peluang yang dihidangkan itu. Namun, bagi mereka yang tidak begitu arif, pasti mereka akan melepaskan sahaja peluang tersebut.

Walau bagaimanapun, di dalam banyak hal dewasa ini, usaha-usaha memungut derma kebajikan sudah dipandang serong oleh masyarakat. Perkara ini berlaku oleh kerana terdapat di kalangan ahli masyarakat yang mengambil kesempatan melakukan sesuatu yang mencurigakan. Lantaran ahli masyarakat secara umumnya memandang usaha-usaha mengutip derma kebajikan itu adalah usaha yang tidak sihat.

Di kalangan sesetengah pihak mereka amat teliti sebelum memberikan derma. Selalunya pemungut derma itu akan menunjukkan sekeping dua dokumen yang mengesahkan siapa mereka serta surat kebenaran untuk mengutip derma yang dikeluarkan oleh pihak-pihak bertanggung jawab. Malangnya, kebanyakan dokumen yang diunjukkan itu adalah tidak sah atau palsu. Jika kita menderma, kemanakah nantinya derma kita itu?

Jika itu yang dirisaukan, kenapa tidak kita cari kaedah lain yang lebih meyakinkan? Saya rasa kita perlu inovatif supaya derma yang dihulurkan itu sampai kepada yang berhak menerimanya serta diterima oleh Allah s.w.t.

Umpamanya di dalam sebuah keluarga, eloklah diwujudkan satu tabung khas yang dinamakan Tabung Derma Kebajikan. Setiap ahli keluarga yang mempunyai pendapatan bolehlah menderma secara tetap ke dalam Tabung tersebut. Salah seorang daripada ahli keluarga bolehlah dilantik menjadi pemegang amanah. Setiap 3 atau 4 bulan sekali, tabung itu dibuka. Wang yang terkumpul dihitung bersama-sama kemudiannya dermakanlah wang tersebut kepada mana-mana pihak yang diingini. Dengan cara itu sahlah wang derma kita itu sampai kepada yang berhak menerimanya dan insya Allah, ganjaran pahala akan dirasai setiap ahli keluarga tersebut.

Pemungut derma yang kerap datang ke rumah-rumah itu bukan kesemuanya tidak jujur atau pemungut derma palsu, tetapi jika kita kurang yakin dengan mereka, kita lakukanlah cara kita sendiri.

Oct 28, 2011

DUGAAN DAN HIKMAH DI SEBALIKNYA


SETIAP manusia pasti menghadapi dugaan dan ujian di dalam kehidupannya. Sama ada dugaan yang besar atau pun kecil. Sama ada secara terang-terangan ataupun secara tanpa disedari.

Petang kelmarin aku menerima satu dugaan secara terang-terangan. Sewaktu turun dari Wad 3A, Hospital Sultanah Bahiyah, lebih kurang jam 3.00 petang, aku benar-benar diduga. Di tempat letak kereta Zon G, tempat aku meletakkan keretaku sekitar pukul 2.15 petang sebelum ke wad, aku amat terkejut apabila mendapati kereta yang aku letakkan di situ, telah tiada. Aku bersama isteri menjadi resah dan panik kerana tidak menduga sama sekali kereta itu telah dicuri.

Aku segera menelefon Polis Hotline memaklumkan kejadian itu. Aku dinasihatkan anggota polis yang bertugas supaya membuat laporan di Balai Polis Langgar sementara dia akan membuat hebahan kepada unit-unit pasukan polis mengenai kecurian tersebut. Di dalam keadaan yang celaru itu, aku teringat seorang rakan baikku dan terus menelefonnya meminta pertolongan untuk datang mengambil aku dan isteri. Kami kemudiannya dengan bantuan rakan tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Langgar dan kemudian ke IPD Kota Setar bertemu dengan Pengawai Penyiasat. Lebih kurang 2 jam segala urusan selesai. Allah telah permudahkan segala urusan kami.

Malamnya kami tiga beranak (kebetulan anak keduaku pulang dari Shah Alam kerana bercuti empat hari) bersama-sama membaca surah Yassin beramai-ramai. Isteriku juga telah menelefon anak sulung kami memintanya sama-sama membaca surah tersebut selepas solat maghrib. Kami sama-sama memohon kepada Allah s.w.t. jika masih ada rezeki kami memiliki kereta tersebut, kembalikanlah kepada kami. Sepanjang malam itu kami resah kerana di dalam kereta yang dicuri itu ada segugus kunci rumah berserta kunci 'remote' pagar rumah kami. Aku berjaga hingga lewat 3.00 pagi!

Alhamdulillah, petang tadi lebih kurang jam 4.10 petang, telefon tanganku berbunyi. Nombor yang tertera di skrin ialah nombor Polis Hotline. Anggota polis yang membuat panggil memaklumkan kereta kami yang hilang itu sudah ditemui. Aku diminta mengambil kereta tersebut di tempat yang diletakkan pencuri itu.

"Di Lorong Malinja, belakang Pasaraya Mydin", beritahu anggota berkenaan. "Encik kena bawa bersama bateri kereta".

Sewaktu aku, isteri dan anakku sampai di lokasi, kereta kami tersadai di situ. Mengikut cerita beberapa orang yang berniaga di gerai-gerai berdekatan, kereta itu berada di situ sejak petang kelmarin lagi. Mujurlah tidak berlaku kerosakan teruk. Hanya keempat-empat tayar dan rim telah ditukar dengan tayar dan rim yang lebih buruk selain bateri kereta yang turut hilang.

Syukurlah kerana barang-barang keperluan yang kami beli sebelum ke hospital petang kelmarin semuanya berada di dalam kereta tanpa disentuh. Barang-barang itu masih menjadi rezeki kami rupanya. Alhamdulillah. Tetapi yang merunsingkan kami ialah segugus kunci yang ditinggalkan di dalam kereta itu telah hilang.

Selesai berurusan dengan pihak polis, tidak sampai 30 minit, kami membawa pulang kereta tersebut ke rumah dengan rasa syukur yang bukan kepalang. Alhamdulillah, dugaan tersebut dapat kami lalui dengan tabah dan bersabar.

Setiap dugaan yang didatangi Allah s.w.t pasti mempunyai hikmah di sebaliknya. Kami tidak tahu apakah hikmahnya lagi sehingga kini kerana hikmah itu juga adalah kerja Allah s.w.t. Aku berdoa semoga dugaan itu tidak berulang lagi. Pada masa yang sama aku amat bersyukur kerana Allah s.w.t telah memperkenankan doa dan permintaan kami.

Aku yakin ada hikmah di sebalik musibah tersebut.

Sep 28, 2011

SEKALI MELANGKAH




"AKU tidak akan putus asa. Biar apa sekalipun yang akan berlaku, aku tetap dengan keputusan ini!", nada suaranya penuh ketegasan bersulam keyakinan diri yang amat tinggi. "Aku pantang berundur!!".

Bola matanya merenung tepat ke arah situ. Tidak berkelip langsung. Dengus nafasnya jelas kedengaran kerana dia sedang melawan segala hasutan yang menerpa bagai taufan. Kesemua jari di tangannya tergenggam erat, mengepal tinju bagai pendekar yang bersiap siaga berhadapan musuh durjana. Kakinya tegap berdiri tanpa ragu-ragu.

"Kau boleh bersuara segegar halilintar! Aku tidak akan gentar!!". Suaranya terpancul lagi menendang hasutan yang tidak henti melanda perasaannya. Dia makin tegap berpijak di situ.

Darah panasnya mengalir lancar ke segenap urat nadi dan saraf dirinya, menderu bagai jeram tinggi di tengah belantara. Wajahnya tidak terusik langsung oleh taufan hasutan yang semakin kuat melanda. Malah kepanasan dari darah yang mengalir dalam tubuh terpancar di wajahnya. Panas dan kemerah-merahan. Ada percikan penuh di dahinya.

"Kau jangan sangka aku akan tunduk menyerah kalah!!". Dia terus bersuara perkasa. Suaranya terlontar menerobos ruang yang penuh dengan hasutan, igauan, fitnah dan segalanya. Genggam tinjunya tetap kemas, kakinya masih utuh pada tempat pijak yang asal, tidak berganjak walaupun seinci.

Sejak sekian lama dia berdiri melawan segala terjahan yang menerpa mahu menggoyah pendiriannya. Namun dia masih tetap berdiri segagah awalnya tanpa sedikitpun ada tanda-tanda untuk undur atau beredar. Dia pasti keputusannya adalah tepat!

Biar hari berganti minggu beredar ke bulan, hatta ke tahun yang akan datang, dia pasti tidak akan berundur ke belakang. Malah dia mensasarkan untuk berganjak ke hadapan, menghampiri tempat yang dihajatinya. Dia tidak akan pulang sebelum tiba ke tempat itu sepertimana yang diidamkannya selama ini.

"Kau tidak mungkin dapat menewaskan aku!!". Jeritannya bersiponggang melantun di dalam ruang itu. Berulang kali ucap kata itu menendang anak telinganya sendiri dan itu membuatkan dirinya semakin yakin untuk menghadapi segala yang menghalang perjalanannya.

Angin semakin kasar. Taufan semakin ganas. Ribut merembas deras. Kesemuanya bagai berpadu menghalangnya untuk melangkah ke hadapan. Namun dia tetap bertahan. Kakinya bagai terpaku kemas ke tanah. Tubuhnya menahan segala sergahan. Pandangannya tidak sedetikpun berpindah dari arah tumpuannya. Dia tidak mahu segala itu memadamkan impiannya.

Dia mahu tiba ke puncak itu biarpun terpaksa melawan terpaan duga ini sekian lama. Puncak itu adalah impiannya. Dia mahu berdiri di puncak itu sebagai seorang lelaki perkasa yang berjaya. Dia tidak mahu menjadi seorang lelaki yang tewas di tengah perjalanan.

"Sekali melangkah ke hadapan, aku tidak akan berundur". Kekuatan azam itulah yang menjadi pembakar semangatnya. Dia berpegang kepada kata-kata, 'orang yang kecewa adalah orang yang berhenti berusaha'.

Sep 11, 2011

KEJUTAN OGOS 2011



BULAN OGOS 2011 telah ditakdirkan oleh Allah s.w.t kepada negara dan warga Malaysia menyambut dua perayaan yang hampir serentak. Aidilfitri disambut pada tanggal 30 Ogos sementara 31 Ogos pula adalah hari ulang tahun kemerdekaan negara. Kedua-dua sambutan itu sepatutnya membawa makna yang mendalam di dalam setiap jiwa umat merdeka di tanah air tercinta ini.

Aidilfitri adalah hari kemenangan dan kejayaan setelah sebulan melalui Ramadhan, setelah berusaha keras menangkis segala bagai dugaan dan cubaan. Aidilfitri adalah hari kejayaan kerana kita berjaya kembali ke fitrah asal.

Manakala hari kemerdekaan pula adalah hari di mana negara dan bangsa kita terbebas dari belenggu penjajahan. Kita mencapai kemerdekaan pada tarikh keramat itu setelah sekian lama negara dan bangsa dijajah.

Oleh itu wajarlah kita merayakan kedua-dua tarikh itu.

Namun pada bulan Ogos tahun ini telah timbul polimik yang cukup menarik perhatian seluruh warga bangsa Malaysia, iaitu siapakah pejuang dan siapakah petualang bangsa? Isu ini tiba-tiba timbul setelah 54 tahun tanah air kita merdeka. Setelah sekian lama kita diajar melalui buku-buku ilmu sejarah tentang para pejuang kemerdekaan yang hebat dan terbilang. Tersenarai ratusan nama para pejuang yang menggadai nyawa demi mempertahankan tanah air tercinta. Juga turut tersenarai nama-nama mereka yang gugur terkorban. Kesemua mereka itu sudah pasti berjuang dengan jiwa raga dan niat yang satu: menghalau penjajah!

Tetapi siapakah mereka itu? Pejuang atau petualang?

Kemudian di dalam kelocak isu tersebut muncul pula seorang ahli akademik tahap tertinggi, seorang professor mengeluarkan satu kenyataan yang amat mengejutkan: "Malaya Tidak Pernah Dijajah". Lalu berlakulah pertikaman pendapat di kalangan rakyat. Benarkah Malaya tidak pernah dijajah? Lalu masing-masing bertanya, kenapa British memeritah Tanah Melayu kemudiannya Malaya? Selepas Perang Dunia Kedua dan Jepun menyerah kalah, kenapa British kembali ke Tanah Melayu? Kenapa British beria-ia mahu melaksanakan pelan Malayan Union? Kenapa sepanjang British berada di Tanah Melayu (Malaya) segala urusan pentadbiran diuruskan oleh British? Kenapa hasil mahsul negara dikaut pulang ke Britain?

Kalaulah British hanya menjadi penaung atau pelindung Tanah Melayu (Malaya) kenapa kuasa Raja-Raja Melayu disekat? Kenapa anak bangsa tidak diberikan hak dan keistimewaan sewajarnya? Kenapa mata wang pada masa itu masih menggunakan lambang Queen?

Soalan yang berjela-jela makin mencurah-curah. Keliru berada pada tahap tertinggi. Seluruh warga jadi keliru hanya dengan sepotong kalimat: Malaya Tidak Pernah Dijajah!.

Bagaimana agaknya landskap sejarah negara lima puluh tahun dari sekarang jika kenyataan profesor tersebut diterima pakai? Aku tidak dapat bayangkan bagaimana kucar kacirnya kronologi sejarah bangsa yang mendiami Tanah Melayu-Malaya-Malaysia pada ketika itu nanti.

Jika waris-waris anggota polis, tentera dan pasukan keselamatan yang terkorban sejak sebelum 31 Ogos 1957 amat marah kerana kenyataan bahawa datuk, nenek dan ayah bonda mereka bukan pejuang kemerdekaan bagaimana pula agaknya reaksi waris-waris mereka yang selama 54 tahun ini telah dinobatkan sebagai pejuang kemerdekaan?

Jika Malaya tidak pernah dijajah, wujudkah pejuang kemerdekaan?

Aug 27, 2011

SELAMAT DATANG SYAWAL




RAMADHAN akan meninggalkan kita beberapa hari sahaja lagi. Ramadhan telah hampir menggenapi pusingannya untuk tahun ini dan akan bertandang lagi di tahun hadapan dan tahun-tahun selepasnya. Itu adalah ketentuan yang ditentukan oleh Maha Pencipta, Allah Yang Maha Agung.

Pemergiaan Ramadhan akan disusuli Syawal. Hari-hari Syawal adalah tanda kemenangan kepada orang-orang yang telah berjaya melepasi ujian Ramadhan. Syawal membawa erti kemenangan dan kejayaan. Lalu sambutan kemenangan dan kejayaan itu akan berlarutan selama sebulan!

Apakah wajar sambutan itu berlarutan begitu lama? Benarkan kita akan menyambut kemenangan dan kejayaan? Atau hanya mahu membalas dendam terhadap ujian sepanjang Ramadhan?

Tidak salah kita menyambut Syawal, tetapi biarlah berpada-pada. Jangan keterlaluan sehingga menimbulkan pelbagai kemurkaan Allah s.w.t. Persiapan menyambut Hari Raya lazimnya mengalahkan persiapan menanti ketibaan Ramadhan, bulan penuh keberkatan. Lihat sahajalah berbagai iklan pemasaran mula tersebar sebaik sahaja kita memulakan ibadah puasa. Tetapi jarang pula kedapatan iklan-iklan membesarkan kelebihan Ramadhan.

Marilah kita menyambut ketibaan Syawal nanti dengan sambutan penuh keinsafan. Sambutan yang diisi dengan memuji kebesaran dan keagungan Allah s.w.t melalui takbir dan tahmid. Di samping itu jauhilah daripada menunjuk-nunjuk serta bermegah-megah dengan segala keindahan dan kemewahan. Hindarkan rasa angkuh serta sombong daripada merajai jiwa. Pohon keampunan Allah s.w.t dan kemaafan sesama manusia.

Jangan lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Si fakir, si miskin serta mereka yang lemah dan tidak upaya termasuk juga mereka yang hatinya gundah gulana, sedih nestapa. Ingatlah bahawa mereka adalah sebahagian daripada kemanusiaan!

Di dalam rezeki yang kita perolehi sebenarnya ada hak dan bahagian insan-insan tersebut. Hulurkan hak itu kepada mereka supaya Syawal ini juga memberi makna kepada mereka. Yakinlah jika kita menghulurkan hak kepada yang empunya haknya, Allah s.w.t akan menggandakan lagi rezeki kepada kita semua.

Selamat berpisah wahai Ramadhan. Semoga Allah sw.t panjangkan usia kita untuk bertemu lagi di tahun hadapan, untuk merasai sekali lagi keberkatan yang disediakan oleh Allah s.w.t buat hamba-hamba-Nya yang mengerti kelebihan Ramadhan.

Selamat datang Syawal.

Aug 3, 2011

SOSEJ PULUT ADA DNA BABI

AHKBAR Harian Metro (Edisi Utara) terbitan hari ini, 3 Ogos 2011, di muka surat 8 telah memuatkan satu berita yang mengejutkan. Saya menatap tajuknya dan membaca beberapa kali sehingga saya yakin saya tidak tersilap. "Kesan DNA babi", begitulah tajuk berita tersebut.


KANGAR : Sosej pulut dan kepingan ayam (chicken cake) yang dijual di beberapa bazar Ramadhan di sini dan digemari ramai penduduk tempatan, disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Perkara ini disahkan Jabatan Kesihatan Perlis semalam selepas memperoleh keputusan analisis ke atas tujuh sampel awal yang dikumpulkan pihaknya di sekitar Sungai Bahru di sini dan daripada jumlah itu, dua disahkan mengandungi DNA babi.

Timbalan Pengarah (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) jabatan itu, Mahamad Sukor Senapi ketika dihubungi berkata, dua produk yang dijual tanpa jenama itu mengandungi DNA babi.

"Sejak tempoh dua minggu lalu, sekurang-kurangnya 16 sampel dikumpulkan di sekitar kawasan berkenaan susulan aduan orang ramai yang khuatir dengan status halal produk berkenaan yang dikatakan dibawa masuk secara haram dari Thailand.

"Buat masa sekarang, hanya dua daripada tujuh sampel awal disahkan mengandungi DNA babi dan kita masih menunggu hasil analisis baki sembilan lagi sampel yang dihantar bagi tujuan berkenaan", katanya.

Tinjauan Harian Metro di beberapa bazar Ramadhan di sini, semalam mendapati sosej yang murah dan mudah diperoleh itu menjadi pilihan segelintir peniaga di sini yang mendapatkannya daripada pengimport makanan sejuk beku dari Thailand.

Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, makanan itu mudah dimasak dan mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

"Ia boleh disediakan dalam bentuk bakar atau kukus. Di Perlis, ia mudah didapati di kedai tepi jalan sekitar pesisir pantai dan pasar malam", katanya.

Sementara itu jurucakap Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) ketika dihubungi mengesahkan pihaknya kini memantau jualan produk sejuk beku berkenaan bersama Jabatan Kesihatan untuk memastikan peniaga benar-benar mematuhi dan menepati piawaian halal yang ditetapkan.

Katanya, dua sampel sudah disahkan mengandungi DNA babi dan ini bukan satu perkara kecil, lebih-lebih lagi makanan itu dijual kepada masyarakat Islam.

"Kita akan kumpul lebih banyak sampel untuk pastikan pemantauan yang lebih menyeluruh dan hasilnya akan dimaklumkan kepada umum untuk kepentingan ramai", katanya.

Membaca berita itu membuatkan saya tiba-tiba timbul rasa loya yang teramat sangat. Makanan seperti itu memang menjadi kegemaran orang ramai, terutama kanak-kanak. Tetapi kini orang ramai terutama masyarakat Islam bagai tertipu dengan perbuatan segelintir peniaga yang mementingkan keuntungan semata-mata. Walaupun para peniaga boleh mendakwa mereka tidak tahu makanan itu mengandungi DNA babi seperti hasil analisis Jabatan Kesihatan Perlis itu, namun mereka seharusnya berwaspada semasa mendapatkan bekalan. Para peniaga wajar meneliti dengan cermat sama ada bekalan makanan itu dari sumber yang halal atau sebaliknya.

Janganlah kerana hanya mengejar keuntungan, sanggup menjual produk haram kepada masyarakat Islam sendiri. Para peniaga mesti sedar tanggung jawab dan amanah yang dipikul supaya hasil pendapatan jualan mereka mendapat keberkatan Allah s.w.t. lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya yakin dan amat pasti, hasil pendapatan kerana menjual barangan haram adalah haram juga hukumnya.

Seperkara lagi yang amat merunsingkan saya ialah pihak bertanggung jawab jarang mahu menamakan jenama produk atau pengeluar serta pengedar produk-produk yang didapati haram kandungannya atau tidak mendapat kelulusan HALAL. Jika tidak disebut secara jelas jenama produk-produk tersebut, masyarakat Islam akan terus keliru. Maklumat itu adalah penting supaya umat Islam tidak terus menerus membeli dan menggunakan produk-produk tersebut.

Apa salahnya jika pihak berkuasa menyebut dengan terang dan nyata jenama produk-produk yang didapati mengandungi bahan-bahan haram di dalamnya. Ia merupakan maklumat penting untuk umat Islam supaya mereka sentiasa beringat dan mengelak daripada memberi produk-produk tersebut. Manakala pihak media pula perlulah dengan berani, apabila disahkan oleh pihak berwajib, mendedahkan berita produk-produk haram dengan tepat dan jelas serta mempamerkan jenama produk-produk terbabit termasuk pengeluar dan pembekalnya sekali.

Di muka surat yang sama, terdapat satu lagi berita bertajuk, "Dilema pengusaha kek lapis Sarawak', yang mengatakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengesahkan mentega berjenama terkenal dalam pembuatan bahan makanan tersebut tidak halal selepas dikesan mengandungi DNA babi.

Sekali lagi pihak berkuasa tidak menamakan jenama produk tenusu yang dimaksudkan itu. Ini akan menimbulkan berbagai kekeliruan di kalangan umat Islam keseluruhannya. Jika produk tersebut disahkan haram, pihak berkuasa perlulah dengan segera memaklumkan kepada pengguna jenama produk berkenaan. Kenapa masih perlu disembunyikan lagi?

Jul 22, 2011

SELAMAT DATANG RAMADHAN

REJAB telah berlalu, Syaban pula menghampiri hari-hari akhirnya. Menyusul selepas itu ialah Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan itu akan muncul lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Namun, bagaimanakah kita menyambut ketibaan bulan yang dijanjikan segala keberkatan oleh Allah s.w.t itu?

Ya sepatutnya kita menyambut ketibaan Ramadhan dengan penuh kesyukuran. Bersyukur kerana Allah s.w.t memanjangkan usia dan mempertemukan kita sekali lagi dengan Ramadhan pada tahun ini. Ada di antara rakan-rakan kita yang sama-sama meraikan Ramadhan pada tahun lalu kini sudah kembali ke rahmatullah.

Bersyukur kerana kita akan dapat melakukan ibadat Ramadhan sekali lagi manakala ada di antara rakan-rakan kita kini menderita berbagai penyakit yang tidak memungkinkan mereka melaksanakan rukun Islam ketiga itu. Malah kita harus bersyukur kerana Allah s.w.t masih sayangkan kita dan memberi kesempatan untuk kita merasai keberkatan yang bakal dicurahkan-Nya sepanjang Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi nanti. Seterusnya melatih kita menjadi seorang hamba yang bertaqwa.

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa". Ini merupakan perintah Allah s.w.t ke atas kita umat Islam untuk melakukan ibadat puasa semoga kita menjadi orang-orang yang bertaqwa.

Terdapat banyak kelebihan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain, di antaranya ialah:-


  1. Al-Qur'an diturunkan dalam bulan Ramadhan.

  2. Ramadhan adalah bulan yang di awalnya rahmat, di tengahnya keampunan dan penghujungnya merdeka daripada api neraka.

  3. Berpeluang merebut syurga Allah s.w.t berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w, Dari Abu Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w, "Telah datang kepadamu Ramadhan, bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibukak segala pintu syurga, ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan".

  4. Memohon keampuan Allah s.w.t sebanyak-banyaknya kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda, "Sesiapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan tulus ikhlas, nescaya diampunkan dosanya yang lalu".

  5. Adanya Lailatul Qadar iaitu satu malam yang amat istimewa yang tiada terdapat dalam mana-mana bulan lain selain Ramadhan sepertimana firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Qadr (ayat 1 - 5) yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah (malam yang berkat itu) hingga terbit fajar".

Justeru, marilah sama-sama kita menyambut ketibaan Ramadhan tahun dengan penuh kesyukuran di samping bersiap sedia untuk merebut peluang keemasan yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk melakukan sebanyak-banyak amalan dengan rasa keikhlasan yang sebenar-benarnya.

Rebutlah peluang ini kerana kita tidak pasti sama ada akan bertemu Ramadhan sekali lagi pada tahun hadapan ataupun tidak.

Jul 2, 2011

SEMAKIN BERSEMANGAT



HARI ini sudah lebih dua minggu saya keluar dari hospital. Alhamdulillah, Allah telah perkenankan permintaan saya supaya kesihatan saya kembali pulih seperti sedia kala. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa menyembuhkan segala penyakit. Walaupun kini saya terpaksa makan ubat-ubat seperti yang diarahkan doktor, mengikut waktu-waktu tertentu, namun saya yakin sepenuhnya bukan ubat itu yang menyembuhkan penyakit, melainkan Allah jualah yang menyembuhkannya.

Sejak empat hari yang lalu saya sudah mula bersenam; berjalan di sekeliling padang permainan di hadapan rumah yang berukuran lebih kurang 120' x 80'. Padang permainan itu sudah tidak becak macam dahulu lagi kerana sudah ditimbus tanah dan pasir sejak bulan November yang lepas. Kini rumput sudah mula tumbuh kembali walau tidak sepenuhnya.

Saya mula berjalan mengelilingi padang tersebut seawal 7.15 pagi dan berhenti sekitar 8.00 pagi. Terasa badan semakin ringan dan berpeluh. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana tiada sebarang masalah yang timbul selepas itu. Pernafasan saya terasa kembali normal, tiada rasa sakit atau sendat di dada. Saya yakin kesan serangan jantung yang saya alami itu kini semakin pulih. Mengikut kata doktor sehari sebelum saya keluar daripada hospital tempoh hari, hanya 2.6% sahaja daripada jantung saya yang mengalami kesannya. Ia tidak membimbangkan, cuma saya dinasihatkan supaya mengawal pemakanan, bersenam serta mengamalkan kehidupan sihat. Insya Allah, saya akan ikuti pesanan doktor itu.

Kini saya semakin bersemangat untuk meneruskan kehidupan; menjalankan rutin kerja dan kehidupan saya seperti dahulu walaupun doktor memberi pelepasan sehingga 10 Julai untuk saya berehat sepenuhnya. Malah saya sudah menerima jemputan menyampaikan ceramah sejak minggu lepas lagi. Saya tidak mahu minda saya terbeku oleh kerana terlalu lama berehat.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan serta sahabat handai terutama kaum keluarga saya yahg tidak henti-henti mendoakan kesihatan saya kembali pulih, sama ada melalui panggilan telefon, sms, email dan sebagainya. Saya mendoakan anda semua sentiasa sihat dan dipelihara Allah sepanjang masa.

Jun 18, 2011

TERIMA KASIH



SECARA peribadi, saya dan isteri, ingin mengucapkan jutaan terimakasih kepada para doktor, jururawat, kakitangan dan pekerja di CCU (Coronary Care Unit) dan CRW (Coronary Recovery Ward), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah sepanjang saya menjalani pemeriksaan dan pemantauan akibat serangan jantung, mulai 11 - 15hb Jun, 2011 yang lalu.

Sepanjang tempoh tersebut saya menerima rawatan yang memuaskan di samping layanan yang amat mesra dan cukup profesional. Saya tidak menghadapi sebarang masalah semasa berada di CCU dan CRW hospital berkenaan. Malah saya merasa amat berpuas hati terhadap sikap serta tutur kata kesemua mereka yang terlibat memberikan rawatan dan penjagaan terhadap saya.

Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para doktor, jururawat serta kakitangan di Unit Kecemasan (Rescue Team - Red Zone) yang bertugas semasa saya dibawa dengan ambulan pada jam lebih kurang 2.30 pagi 11hb Jun, 2011 sebelum dipindahkan ke CCU. Tindakan pantas serta sikap mesra mereka telah membuatkan isteri saya tidak merasa tertekan semasa menguruskan kemasukan saya ke hospital.

Dengan sikap yang ditunjukkan itu membuatkan sepanjang 5 hari saya berada di CCU dan CRW tidak langsung tertekan dan membebankan. Malah kakitangan yang menghantar makanan, kakitangan pencuci serta pengawal keselamatan telah menunjukkan sikap yang cukup mesra dan memuaskan. Saya amat berpuas hati dengan sikap mereka itu.

Saya menyangkal sama sekali segala pandangan dan pendapat yang mengatakan sikap dan layanan jururawat serta kakitangan hospital kerajaan tidak baik berbanding dengan hospital swasta. Melalui pengalaman yang saya lalui itu, saya mengatakan sikap dan layanan mereka jauh lebih baik dari yang dijangkakan. Syabas saya ucapkan kepada kesemua yang terlibat dan teruskan kecemerlangan itu sepanjang masa.

Jun 17, 2011

PENGALAMAN DI HOSPITAL SULTANAH BAHIYAH - Bahagian 2



PETANG 13 Jun, semasa waktu lawatan, saya amat teruja bila melihat wajah Khalid Shariff (rakan sekelas saya Form 5 Science SM Sultan Badlishah, Kulim 1974) datang melawat saya yang terkedang di atas katil nombor 1 CCU, Hospital Sultanah Bahiyah. Khalid datang bersama-sama dengan Mohd Nasir Md Isa, yang juga rakan sekolah yang sama. Nasir adalah setahun 'junior' daripada saya. Tetapi abangnya, Mohd Noor adalah rakan sebaya sama sekolah dan rakan sepasukan dalam acara lari berganti-ganti 4x100 meter.

Mula-mula saya hairan juga macam mana Khalid dan Nasir tahu yang saya masuk hospital. Saya tidak mengirimkan SMS kepada sesiapa pun. Cuma isteri saya yang beritahu saudara mara dan jiran-jiran.

"Aku dapat tahu dari cik Lah (bekas Presiden Persatuan Bekas Pelajar SM Badlishah - OBA). Dia kata dia dapat maklumat dari cik Rus (bekas Setiausaha OBA). Aku terus called cik Rus. Dia ada di Sarawak la ni. Cik Rus kata dia dapat tahu dari jiran hang", jelas Khalid.

Saya segera tahu siapa yang menghebahkan maklumat. Apa pun saya amat terima kasih kerana perhubungan yang canggih menjadikan kita lebih mudah mendapat maklumat terkini. Juga dengan adanya hubungan dan kasih sayang sesama kita.

Nasir cerita semasa dia dapat call daripada Khalid, dia cemas seketika. Cepat-cepat dia capai motosikal dan terus ke hospital. Saya pula risau dengar cerita Nasir kerana dia sendiripun tidak begitu sihat sepenuhnya. Namun saya amat berterima kasih kepada mereka. Isteri saya beritahu, Nasir dan Khalid beria-ia benar suruh hubungi mereka jika ada apa-apa yang tidak elok berlaku ke atas saya.

Jam 5.30 petang, barulah saya dimaklumkan edgiogram tidak dapat dilakukan ke atas saya pada hari ini. Ramai pesakit yang menjalani ujian tersebut pada hari ini. "Mungkin tidak perlu", kata Dr. Leng. Lepas itu baharulah saya menjamah makanan yang dihantar ke katil saya. Malam itu saya hanya berehat dan tidur dengan nyenyak sekali.

14 Jun : Rutin harian seperti biasa. Cuma bezanya pagi ini saya diarahkan turun dari katil untuk membasuh muka dan berkumur di sinki. Alhamdulillah saya lakukan tanpa masalah. Selepas sarapan, Dr Siti datang membuat pemantauan dan sekali lagi memberitahu, "kalau sempat lusa kita buat engiogram". Saya akur.

Tetapi saya terdengar daripada percakapan doktor dengan jururawat, ada kemungkinan saya akan dipindahkan ke wad lain. Saya tidak pasti. Selepas itu saya hanya tidur sahaja hinggalah tiba pukul 12.30 tengah hari, iaitu waktu lawatan.

Saya hanya terkejut jaga apabila mendengar suara orang memberi salam. Isteri saya dan Ammar sudah sampai selepas mereka selesai membayar beberapa bil seperti yang saya arahkan kelmarin. Juga kelihatan beberapa orang jururawat sedang berbincang sesuatu. Tidak lama kemudian, dua orang jiran lama di Taman Aman datang melawat saya, iaitu Puan Liza (isteri Sobri MBAS yang juga pekerja syarikat pengurusan hospital) bersama dengan Kak Mah (isteri Ustaz Ahmad, Imam Masjid Taman Aman).

Selepas itu abang Fadzil (dua pupu saya) bersama isterinya Kak Hamisah pula datang. Ammar terpaksa keluar kerana bilangan pelawat tidak boleh lebih dari dua orang. Belum sempat berbual panjang, dua orang jururawat masuk dan dengan tersenyum memberitahu, "Pakcik akan pindah ke CRW (Coronary Recovery Ward). Di sana pakcik akan duduk berempat orang dalam satu cubicle. Adalah juga jiran boleh sembang-sembang, dan ada tandas". Tidak lama kemudian saya ditolak di atas kerusi roda ke CRW. Isteri saya, abang Fadzil, Kak Hamisah dan Ammar ikut sama. Di CRW saya ditempatkan seorang diri di dalam bilik No. 2.

Saya diberi taklimat oleh jururawat pelatih yang bertugas. Wayar-wayar di tubuh dan tangan saya sudah ditanggalkan. Kemudian saya hanya berehat. Tidak lama saya tersedar kerana terasa seperti ada orang masuk ke dalam bilik saya. Saya membuka mata. Terpandang dua orang wanita yang saya tidak kenali. Mereka memberi salam dan saya menjawabnya, tetapi masih belum dalam mengecam siapa mereka.

"Ni Siti Aishah, adik cikgu Faridah. Ni Habibah", jelas mereka. Saya amat terperanjat kerana tidak langsung menyangka mereka akan datang melawat saya. Kedua-duanya adalah junior saya semasa di SM Badlishah dahulu. Kami berjumpa semula melalui Facebook dan perjumpaan sempena hari raya tahun lepas. Petang itu kami berbual panjang dengan segala kisah lama terbongkar kembali sehingga hampir 4.30 petang apabila isteri saya datang semula. Selepas berkenalan perbualan kami semakin rancak. Hampi 5.30 petang Habibah dan Siti Aishah beredar pulang ke Kulim. Terima kasih kawan.

Lebih kurang 6.30 petang Ar. Sobri bersama Rahim (stafnya) yang baru sampai dari Kuala Lumpur, bergegas melawat saya. "Saya dapat tahu masa di Putrajaya pagi tadi. Lepas meeting terus balik", Sobri beritahu. Saya berterima kasih atas ingatannya. Lama juga kami bersembang hingga hampir 7.15 malam sebelum dia dan Rahim beredar pulang.

Malam itu saya berehat sambil membaca buku 'Jangan Takut' susunan Ahmad Safuan Al-Karami yang dibawa oleh isteri saya petang itu.

15 Jun : Pagi ini saya dimaklumkan untuk berpuasa sebagai persiapan ujian engiogram. Saya akur dan hanya berehat sahaja. Tiub yang dipasang untuk memudahkan saya membuang air kecil akan dibuka hari ini. Akibatnya lena saya hari ini dihambati berbagai perasaan.

Isteri saya sampai jam 12.30 tengah hari seperti biasa. Kami berbual dan bercerita. Saya membaca akhbar yang dibawanya. Kemudian isteri saya minta izin untuk pergi makan tengah hari dengan Kak Mah, isteri Ustaz Ahmad yang sudah beberapa bulan menunggu suaminya di wad 7B. Saya izinkan.

Jam 1.30 petang isteri saya datang semula dan tidak lama Ar. Mazlan Jaafar muncul. Dia minta maaf sebab tak dapat datang kelmarin. Saya berterima kasih kerana dia sudi datang. Kami bertiga berbual panjang sehingga lebih kurang 2.15 petang. Kemudian datang pula Haji Nawawi dan isterinya Puan Zawiyah Sharif. Ar Mazlan memohon diri dan beredar.

Haji Nawawi adalah bekas Pegawai Akhbar bekas Menteri Besar Kedah Dato' Syed razak dahulu. Dia sudah bersara. Isterinya ialah kakak kepada kawan saya, Khalid Sharif. Kami berbual mesra hingga pukul 3.40 petang. Isteri saya kemudiannya minta izin untuk balik ke rumah kerana dia belum solat zohor. Lepas itu saya terlena.

Lebih kurang jam 4.15 petang Dr Ch'ng datang memberitahu, engiogram tidak perlu dilakukan lagi ke atas saya. "Kesan sakit encik sudah nampak pulih. Cuma 2.6% daripada jantung encik sahaja yang effected. Encik boleh balik. Saya akan berikan ubat-ubat yang perlu".

Saya terus telefon isteri dan maklumkan perkembangan terbaru itu. Tidak lama isteri saya tiba di wad dan kamipun bersiap. Jururawat menyediakan prosidur untuk membolehkan saya keluar dari wad tersebut.

Setelah isteri saya selesai segala urusan pembayaran dan mengambil ubat di farmasi, jururawat bertugas menyerahkan dokumen-dokumen perlu kepada kami di kaunter. Jam 6.45 petang isteri saya menyorong saya di atas kerusi roda ke lif untuk ke tingkat bawah. Jam 7.00 petang dalam hujan renyai-renyai saya tiba di rumah dengan selamat.

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Terutama sekali kepada isteri tersayang yang telah banyak berkorban. Hanya Allah yang membalas segalanya nanti.

Jun 16, 2011

PENGALAMAN DI HOSPITAL SULTANAH BAHIYAH



PERTAMA sekali saya mengucap syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana saya telah dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Bahiyah, petang kelmarin 15 Jun 2011 setelah doktor mengesahkan penyakit yang menyerang saya sejak 10 Jun telah pulih. Doktor arahkan saya berehat selama 30 hari lagi. Juga saya bersyukur kerana isteri saya telah membuat keputusan yang tepat untuk memindahkan saya yang sedang sakit dari sebuah hospital swasta ke hospital kerajaan. Tindakan pantas isteri saya itu telah memungkinkan rawatan yang segera diberikan sehingga penyakit saya dapat dikesan dan diberi rawatan sewajarnya.

Mulai jam 11.15 malam, dada saya tiba-tiba terasa panas membahang. Badan tiba-tiba berpeluh dengan banyak. Pandangan menjadi kabur. Sempat lagi saya solat isyak. Selepas solat saya mahu terus tidur, tetapi rasa panas di dada tidak berhenti dan peluh terus sahaja keluar dengan banyaknya. Lantas ambil keputusan untuk berjumpa dengan doktor. Yang terbayang di fikiran pada waktu itu ialah hospital swasta.

Sesampai di hospital swasta berkenaan, saya mendaftar di kaunter dan menunggu untuk berjumpa doktor. Lebih kurang 15 minit menunggu (walaupun tiada pesakit lain kelihatan), saya didatangi seorang kakitangan lelaki mengambil tekanan darah di sebuah meja berhadapan kaunter pendaftaran. Bacaan tekanan darah saya pada waktu ialah 97/54 (jika tidak silap ingatan saya). Kemudiannya saya dibawa masuk ke bilik kecemasan dan diarah berbaring di atas sebuah katil pesakit. Dua orang jururawat datang memasang wayar di dada saya, katanya untuk pemeriksaan ECG. Setelah bacaan dicetak, mereka hilang dari pandangan saya. Seorang lagi datang untuk mengambil darah dari tangan kanan saya. Lama juga dia mencari urat yang sesuai. Setelah selesai tugasannya, jururawat itu pun berlalu pergi.

Tidak lama kemudian seorang doktor lelaki muncul. Saya kenal wajah doktor tersebut dan saya yakin dia juga tidak mungkin melupai siapa saya. Beliau menjelaskan kepada saya bahawa saya terkena serangan jantung. Waktu itu apa yang tergambar difikiran saya ialah untuk segera mendapat rawatan. Doktor itu memberikan beberapa penjelasan. Waktu itu jam sudah hampir 1.00 pagi. Saya katakan padanya, "Sir, can you please discuss it with my wife?". Dia segera beredar.

Seorang jururawat muncul membawa segelas air dan memberikan 4 biji ubat kepada saya. Katanya ubat itu bagi mencairkan darah. Serentak itu dia melekatkan sekeping 'patch' di dada kiri saya. Tidak lama kemudian isteri saya datang dan berbisik kepada saya, "depa nak deposit RM5,000 malam ni juga. mana kita nak cekau?. Paling lewat 7.15 pagi esok kena jelaskan. Dah tu kena duduk di wad 5 hari. Kosnya mungkin sampai RM10,000. Kalau macam tu, kita pi GH sajalah". Aku akur kerana pedih di dada masih belum reda sepenuhnya. "Sewa ambulan RM55 saja".

Jam 2.00 pagi saya dihantar dengan ambulan ke Hospital Sultanah Bahiyah. Setelah menjelaskan bil RM234-00 isteri saya memandu sendirian meredah malam menuju ke hospital. Sesampai di Unit Kecemasan HSB, 'Rescue Team' segera bertindak menyambut pesakit barunya. Saya disorong terus ke katil dan diberi rawatan kecemasan. Wayar-wayar dipasang berselirat di dada saya. Saya pejamkan mata sambil hati saya setiap detik hanya menyebut nama Allah. Saya gantungkan harapan saya sepenuhnya agar Allah selamatkan saya. Waktu itu jam sudah 2.30 pagi. Alat bantuan pernafan dipasang ke hidung saya. Sejuk rasanya aliran oksigen memasuki rongga dada setiap kali saya menghela nafas. Tidak lama selepas itu sakit dada saya semakin berkurangan.

Setelah beberapa lama di katil itu, doktor membuat keputusan untuk memasukkan saya ke CCU (Coronory Care Unit) di tingkat tiga. Isteri saya dipanggil untuk sama-sama menghantar saya ke CCU, tetapi tidak dibenarkan masuk sehingga ke dalam bilik. Jururawat-jururawat yang menerima ketibaan saya bertindak cukup profesional, menyediakan katil, perlatan-peralatan yang diperlukan serta memberi taklimat unit tersebut kepada saya.

"Di CCU ni, semua pesakit dirawat di atas katil. Pesakit ditempatkan berseorangan di setiap bilik dan tidak dibenarkan turun dari katil masing-masing. Tidak ada bilik air. Jika mahu membuang air kecil atau air besar, pesakit hanya perlu menekan butang kecemasan ini". Pakaian saya dilondeh dan disalin dengan pakaian pesakit berwarna hijau. Saya dibaringkan di atas katil yang boleh digerak-gerakkan mengikut kesesuaian. Saya hanya mengikut tanpa banyak kerenah. Malam itu saya bermalam di katil nombor 1, CCU. Tidak lama kemudian suhu di dalam bilik itu menjadi terlalu sejuk sehingga saya terpaksa meminta bantuan jururawat. Dia memasang 'hot-air bed' dan menyelimuti tubuh saya. Barulah hilang kesejukan yang mencengkam itu. Alhamdulillah.

11 Jun : seawal 6.00 pagi saya sudah dikejutkan oleh beberapa orang jururawat yang menjalankan tugasan mereka. Ada yang mengambil darah, ada yang memeriksa tekanan darah, ada yang membuat pemeriksaan ECG dan sebagainya. Pagi itu tekanan darah saya sudah menjadi 109/68 dan denyutan nadi ialah 72. Selepas semua itu selesai, saya terlelap seketika tetapi kemudiannya dikejutkan oleh suara lelaki, "Minum pagi, encik". Saya membuka mata dan mendapati segelas air serta dua keping roti terhidang di atas troli di sebelah saya. Saya menjamah sarapan tersebut. Rasanya bukanlah seperti sarapan saya setiap hari di rumah. Selepas itu saya diarahkan memakan dua jenis ubat. Sepanjang pagi itu saya hanya berehat dan tidur. Tetapi setiap jam saya pasti tersedar kerana ada sahaja orang yang datang sama ada doktor atau jururawat, memantau keadaan saya termasuklah tekanan darah.

Waktu melawat mulai jam 12.30 hari. Tetapi sebelum itu makan tengah hari dihantar kepada setiap pesakit. Pelawat pertama yang datang ialah Haji Mazlan Itam, jiran saya, selepas beberapa minit isteri saya sampai membawa makanan dari rumah. Kemudiannya beberapa orang jiran lain ikut datang melawat. Cuma dua orang sahaja dibenarkan memasuki bilik pada satu-satu masa. Kemudian muncul Hj Mahmud Alias, Haji Rushdi & isteri, Dato' Md Nor & Datin, Cikgu Mokhtar dan isteri serta Puzi Hadi & isteri. Seronok rasanya menerima lawatan mereka. Terima kasih saya ucapkan.

Malam itu saya minta doktor memasukan wayar untuk memudahkan saya membuang air kecil. Saya tidak pandai kencing sambil tidur! Hahahaha.

12 Jun : Rutin seperti kelmarin. Doktor melawat. Jururawat suruh makan ubat. Ambil darah. Periksa tekanan darah. Periksa tahap gula dalam darah dan sebagainya. Wayar masih berselirat di dada. Wayar oksigen juga masih melekat di hidung. Tetapi hari ini Dr. Siti memberitahu penyakit yang saya hadapi. "Encik kena serangan jantung. Kami suspek saluran darah ke sebelah kanan jantung encik terdapat gangguan kolestrol. Kami sudah berikan ubat mencairkan darah dan memecah kolestrol. Pemantauan akan dilakukan setiap jam. Encik jangan risau". Saya mengangguk faham.

Pukul 12.30 tengah hari adik ipar saya Baharom datang melawat bersama abang Tamarun. Terperanjat juga kerana tidak menyangka abang Tamarun boleh datang melawat saya dari Pelabuhan Kelang. Rupa-rupanya dia balik ke kampung dan Baharom ceritakan apa yang berlaku. Kemudian diikuti oleh Kak Ani dan Latifah, Aliya, anak sulung abang Tamarun dan adiknya Atikah serta Ammar anak ketiga Baharom. "Ammar nak temankan Mak Teh", jelas Ammar.

Petang itu saya hanya tidur dan berehat sehingga malamnya. Sebelum lampu dipadamkan, jururawat memaklumkan saya perlu berpuasa esok kerana doktor akan melakukan ujian engiogram ke atas saya di dalam bilik pembedahan (OT).

13 Jun : Rutin awal pagi seperti kelmarin juga. Saya hairan kerana diberikan sarapan. Tetapi jururawat beritahu sarapan ringan begitu tidak mengapa. Cuma makan tengah hari tidak akan diberikan nanti. Badan saya dilap dan dibersihkan tanpa turun dari katil. Jururawat tukarkan cadar dan selimut, kain dan baju saya. Saya berehat sahaja. Tidak lama datang seorang petugas lelaki. Dia ditugaskan mencukur bulu-bulu badan saya di pangkal paha sebagai persiapan untuk menjalani engiogram nanti. Pakaian saya digantikan dengan pakaian warna putih dan kepala saya dipakaikan dengan penutup rambut. Saya sudah siap untuk ke OT!

Waktu saya terkejut jaga terpampang wajah Nur Azreen (anak abang Salleh & Kak Faridah) dari Kelang bersama-sama ibu mentuanya berdiri di sisi katil. Rupa-rupanya sudah sampai waktu melawat. Nur Azreen bersama-sama suaminya Zulkhairi dan ayah ibu mentuanya singgah ke rumah dalam perjalanan percutian mereka ke Langkawi. Terimakasih semuanya.

Sehingga waktu melawat waktu petang, saya masih dalam pakaian untuk ke OT. Kak Aishah bersama Zarina (isteri Romli Ghani), jiran-jiran di Taman Aman datang melawat. Kemudiannya diikuti oleh dua orang rakan sekolah dulu, Khalid Sharif dan Mohd Nasir Md Isa.

Jun 9, 2011

SAYANGILAH BAHASA KITA.



KERAJAAN, melaui Kementerian Pelajaran akan merangka garis panduan bahasa singkatan bagi membantu pelajar dalam penulisan karangan Bahasa Melayu ekoran penggunaan singkatan bahasa SMS yang begitu mempengaruhi para pelajar dan golongan remaja masa kini. Demikian dilaporkan Berita Harian hari ini, 9 Jun 2011.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Fuad Zarkashi dilaporkan berkata fenomena pelajar termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah menggunakan bahasa singkatan SMS di dalam peperiksaan perlu dibendung sebelum menjadi lebih berleluasa.

Memang, pada masa ini penggunaan singkatan ejaan amat berleluasa sekali di kalangan para remaja, termasuk pelajar-pelajar IPT di seluruh negara. Mereka tentunya merasa amat mudah mengeja menggunakan singkatan, seperti 'tidak mahu' menjadi 'xmau', 'hendak' menjadi 'nak' dan sebagainya. Malah jika kita membaca teks SMS anak-anak remaja ataupun apa yang ditulis di dalam laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter juga di dalam blog-blog mereka, pasti sekali terdapat begitu banyak perkataan yang dieja menggunakan ejaan-ejaan singkatan sedemikian. Perkara ini akan mempengaruhi para pelajar terutamanya semasa mereka menjawab soalan peperiksaan ataupun semasa mereka mengarang.

Mereka tentu sekali tidak menyedari bahawa itu adalah satu kesalahan paling besar yang akan mengakibatkan mereka gagal di dalam peperiksaan kerana tidak menggunakan ejaan dengan betul. Itu tidak lagi diambil kira kesalahan penggunaan tata bahasa. Perkembangan dan kecanggihan ICT tidak boleh dijadikan alasan untuk menukar sistem ejaan dan tata bahasa.

Saya tidak dapat meramal bagaimana bentuk garis panduan yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran kelak bagi menangani isu ini. Tetapi saya berpendapat perkara ini tidak boleh dipandang ringan atau tidak boleh ada kompromi sama sekali. Kementerian perlu bertindak tegas mempertahankan sistem ejaan dan tata bahasa yang sedia ada. Tidak boleh sama sekali membuat garis panduan bagi membolehkan sesetengah perkataan atau frasa itu disingkatkan ejaannya. Kementerian perlu berusaha lebih keras 'memerangi' dan 'membanteras' salah guna tata bahasa dan ejaan di kalangan para pelajar, baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat IPT.

Jika diberi kelonggaran ia akan merosakkan struktur bahasa dan ejaan Bahasa Melayu yang sedia ada. Dalam tempoh yang singkat kemudiaanya Bahasa Melayu akan hilang teras dan keasliannya. Malah, Kementerian Pelajaran perlu menggembleng tenaga dan pemikiran bersama dengan kementerian-kementerian lain melalui kepakaran yang dimiliki oleh Dewan Bahasa dan Pustaka supaya Bahasa Melayu terus diperkukuhkan penggunaannya, baik dari segi tata bahasa ataupun ejaannya.


Semalam semasa menonton cerekarama di salah satu saluran TV, Pak Jusoh terperanjat mendengar dialog salah seorang daripada pelakon wanita di dalam cerekarama tersebut yang lebih kurang begini bunyinya:

Anis : "Awak, kalau awak sayangkan saya, tolong jangan beritahu emak saya, ye".

Jo : "Kenapa awak tak mau emak awak tahu perkara itu?".


Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu membuka telinga mendengar dialog-dialog sebegini yang kini semakin menjadi-jadi di dalam drama-drama Melayu tempatan. Rasanya garis panduan yang lebih jelas dan tepat perlu diberikan kepada stesen-stesen TV tempatan supaya membuat penilaian terhadap skrip-skrip drama yang mahu diterbitkan bagi mengelak penggunaan Bahasa Melayu yang salah dan tidak tepat.

Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi yang begitu petah berucap menggunakan ungkapan-ungkapan Bahasa Melayu yang indah-indah itu, perlulah segera bertindak. Buka telinga dan dengarlah kesalahan-kesalahan bahasa yang berlaku pada masa ini.

Sayangilah Bahasa Kita. Jika bukan kita, siapa lagi?

May 31, 2011

TARIF ELEKTRIK NAIK



KERAJAAN telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik mulai esok, 1 Jun 2011. Kenaikan purata 2.23 sen kilowatt sejam (kW/jam) itu dinyatakan sebagai sebahagian daripada proses meralisasikan subsidi yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan. Mulai esok tarif elektrik yang akan dikenakan ialah sebanyak 33.54 sen kW/jam berbanding 31.31 kW/jam sebelum ini. Namun, mengikut pengumuman itu lagi langkah kenaikan berkenaan tidak akan menjejaskan kira-kira 75% penduduk yang menggunakan kurang daripada 300 kW sebulan.

Melihat kepada kadar kenaikan itu tidaklah terlalu tinggi dan hanya akan dirasai oleh sektor peniaga dan industri. Manakala sektor kediaman, terutama yang menggunakan kurang daripada 300 kW sebulan, tidak terjejas. Walau bagaimanapun ramai berpendapat rakyat secara keseluruhannya akan merasa bahana akibat kenaikan tarif tersebut.


Rakyat berpendapatan rendah dan sederhana adalah golongan yang pasti akan terasa kesan daripada kenaikan itu dalam beberapa bulan akan datang. Akibat kenaikan tarif elektrik adalah sama seperti kenaikan harga petrol yang dilaksanakan baru-baru ini. Rakyat marhaen akan menerima padahnya kerana secara tidak langsung harga barangan keperluan akan turut meningkat dan sekaligus akan menambahkan lagi sengsara rakyat.


Pihak peniaga dan industri yang menerima impak secara langsung akibat kenaikan tarif berkenaan pasti sekali akan mempengaruhi peningkatan harga produk pengeluaran mereka bagi menyerap kos pengeluaran yang ditanggung. Kos tersebut tidak hanya akan diserap oleh pihak pengeluar dan peniaga tetapi akan dibebankan kepada pengguna yang menggunakan barangan keluaran pengeluar-pengeluar terbabit. Harga barangan di pasaran yang dibeli oleh pengguna tidak boleh lagi dikongsi kosnya dengan pihak-pihak lain. Ini jelas bermakna penggunalah yang akan menanggung kesannya.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Baayah Baba, golongan berpendapatan rendah akan merasa kesan kenaikan tarif elektrik itu. "Ini kerana kos pengeluaran oleh pengeluar akan meningkat, terutama di kilang yang menggunakan mesin berteknologi tinggi kerana mereka menggunakan elektrik melebihi 300 kW/jam. Justeru, mereka terpaksa menanggung beban kos pengeluaran yang meningkat dan kemudiannya akan dipindahkan kepada pengguna". (Rujuk: Akhbar Sinar Harian, Selasa 31 Mei 2011).

Di dalam laporan akhbar yang sama, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin pula berkata, beliau khuatir kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan negara berdepan masalah inflasi yang meningkat. "Inflasi adalah isu yang serius hingga boleh menimbulkan krisis jika tidak dibendung. Ini kerana rakyat terpaksa menanggung beban apabila semua barang akan meningkat secara automatik selepas in. Kerajaan tidak sepatutnya menaikkan tarif elektrik sekarang kerana kenaikan harga barang akan memberi tekanan kepada rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah".

Apakah pendapat dan pandangan ahli-ahli ekonomi tidak langsung diminta sebelum sebarang tindakan diambil? Apakah pendapat mereka tidak sesuai? Atau pendapat mereka tidak menyebelahi pihak berkepentingan?

Kenaikan harga petrol dan harga gula baru-baru ini telah amat membebankan rakyat, tiba-tiba tarif elektrik pula diumumkan, ia pasti menambah beban rakyat selepas ini. Entah kenapa tiba-tiba sahaja kenaikan tarif ini dilaksanakan? Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TNB, struktur tarif baru ini terpaksa dilaksanakan kerana Kerajaan telah mengarahkan Petronas untuk menaikkan harga gas asli kepada pengeluar tenaga pada kadar RM3-00 bagi setiap mmBtu. Kesannya, bil gas TNB akan naik sebanyak RM1.5 billion. Menurutnya lagi, TNB membeli arang batu pada harga purata USD80 setiap tan pada suku pertama tetapi membelanjakan purata USD103.80 setiap tan pada suku kedua 2011. Harga arang batu kini mencecah lebih USD120 setiap tan. TNB tidak dapat menampung kos arang batunya buat masa ini.

Pak Mat di Malau hanya menggelengkan kepala semasa membaca alasan teknikal yang dipaparkan. Pak Mat yang mempunyai seorang isteri tidak bekerja dan enam orang anak yang sedang belajar di sekolah rendah dan menengah hanya bergantung pendapatan sebagai penoreh getah pawah di kampungnya. "Lepas ni harga barang mesti naik", keluh Pak Mat.

Mak Ngah Nab pula tidak dapat berkata apa-apa selain memandang ke awan dengan seribu pertanyaan di dalam hati yang tidak terjawab. "Apa pasal kerap sangat naik harga barang? Gula naik harga, tepung naik harga, beras naik harga. Sampaikan ikan dari laut pun naik harga sama!".

Ah Leong taukeh kedai runcit di Sungai Karangan tentu sekali akan beri jawapan yang sama, "itu halega letrik sudah naik, halega balang pun naik sama loh".

"Kalau macam tu, malam-malam tak payah pasang lampu la. Pasang pelita cukup!", jerkah Tok Ali Pendekar setelah Man Lebai selesai membaca berita utama di dalam surat khabar pagi ini. Beberapa orang kampung yang sedang minum di warung Salleh terkedu seketika.

"Yang aku herannya, bila depa kena tanggung rugi depa beban kat kita semua. Masa depa untung ada depa bagi apa-apa kat kita?", Tok Ali Pendekar melepaskan geramnya lagi sambil melangkah meninggalkan warung Salleh.

May 17, 2011

MEMUASKAN.

PADA 12hb Mei, 2011 satu pemeriksaan ke atas diri sendiri telah dilakukan pada jam lebih kurang pukul 12.45 tengah hari. Pemeriksaan yang tidak mengambil masa yang lama, lebih kurang 15 minit sahaja, telah memberikan bacaan keputusan seperti berikut:-

1) Lemak dalam badan : 20.2% (Piawaian : Lelaki 8 - 20%, Perempuan 17 - 33%))

2) Peratusan air dalam badan : 58.4% (Piawaian : Lelaki 50 - 65%, Perempuan 45 - 60%)

3) Jisim otot : 50.6

4) Tahap fizikal : 5 (Piawaian : 1 - 2 Obses, 3 Mampat, 4 Kurang bersenam, 5 Normal, 6 Lebih otot, 7 Kurus, 8 Kurus & berotot dan 9 Atlet)

5) BMR : 1454 kcal (BMR ialah tahap tenaga yang minimum yang diperlukan ketika sedang rehat. Piawaian : Lelaki 1600 - 1800 kcal, Perempuan 1300 - 1500 kcal)

6) Umur biologi : 36 (Hahahahaha....)

7) Jisim tulang : 2.8 kg (berat tulang dalam badan secara keseluruhan. Bagi lelaki berat badan kurang daripada 65kg = 2.66kg, 65 - 95kg = 3.29kg, lebih 95kg = 3.69kg)

8) Lemak pada abdomen : 12 (Piawaian : 1 - 9 Sihat, 10 - 14 Tinggi dan 15 -39 Sangat tinggi. Ini adalah sukatan lemak yang meliputi organ-organ dalaman dan lebih membahayakan!)

9) Tekanan darah : 135/92 - perlu berhati-hati!

10) Kadar denyutan jantung : 76

11) Paras gula dalam badan : 5.3 mmol/dl (Paras normal ialah 3.9 - 7.8 mmol/dl


Syukur Alhamdulillah, berdasarkan keputusan ujian tersebut segalanya memuaskan kecuali paras lemak pada abdomen agak tinggi

May 16, 2011

TERIMA KASIH CIKGU.



16 MEI telah diisytiharkan sebagai Hari Guru di negara kita sejak tahun 1972. Tarikh tersebut dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tahun 1956 Majlis Undang-undang Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Laporan tersebut lebih dikenali sebagai Laporan Razak yang kemudiannya diangkat menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan sehingga ke hari ini.

Lalu setiap 16hb Mei setiap tahun, warga pendidik di negara kita menyambutnya dengan berbagai acara, baik di peringkat sekolah, daerah atau negeri. Manakala sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan diadakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi meraikan para guru sekalian. Acara di peringkat kebangsaan lazimnya diadakan pada tarikh lain yang lebih sesuai dengan tema yang berbeza-beza pada setiap tahun. Tema-tema yang pernah dipakai adalah seperti berikut:-
1972 : Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

1973 : Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan

1974 : Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi

1975 : Guru dan Pembangunan Negara

1976 : Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan

1977 : Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan

1978 : Guru Pembentuk Generasi Akan Datang

1979 : Murid Sejahtera Negara Jaya

1980 : Pendidikan Teras Perpaduan Negara

1981 : Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat

1982 : Ke Arah Kecekapan Guru dan Pendidikan Bermutu

1983 : Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan

1984 : Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan

1985 : Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan

1986 : Pendidikan Teras Nasionalisme

1987 : Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan

1988 : Guru Pengasas Budaya Membaca

1989 : Guru Pembinan Budaya Ilmu

1990 : Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera

1991 : Ke Arah Pendidikan Cemerlang

1992 : Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan

1993 : Guru Inovatif dan Kreatif Menajayakan Wawasan

1994 : Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1995 : Permuafakatan dan Perpaduan Menajayakan Wawasan

1996 : Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia

1997 : Guru Bestari Sekolah Bestari

1998 : Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama

1999 : Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang

2000 : Bersatu Memartabatkan Profesion Perguruan

2001 : Memartabatkan Profesion Perguruan Tanggungjawab Bersama

2002 : Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2003 : Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2004 : Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2005 : Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2006 : Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan

2007 : Guru Penjana Modal Insan Cemerlang

2008 : Guru Cemerlang Negara Terbilang

2009 : Guru Pembina Negara Bangsa

2010 : Guru Pembina Negara Bangsa
Dalam tema pada tahun ini ialah Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Melihat kepada senarai panjang berbagai tema yang digunakan pada sambutan Hari Guru saban tahun sejak 1972 hinggalah pada tahun ini, saya tidak dapat mengesan satu pun tema yang benar-benar menggambarkan apresiasi terhadap sumbangan para guru kepada pembangunan agama, bangsa dan negara. Cuba perhatikan tema-tema yang disenaraikan, kesemuanya menuntut para guru memberikan segala macam sumbangan kepada negara, tetapi tiada satu pun yang menghargai sumbangan para guru.

Mungkin ada orang yang berkata, tema itu hanyalah slogan sahaja. Tetapi saya rasa apabila slogan tersebut dijadikan tema, maka ia sewajarnya menjadi satu pendorong yang amat bermakna kepada para guru sekalian. Sebagai contoh, tema tahun 2011 kali ini iaitu Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara jelas menggambarkan para guru berperanan penting di dalam proses perubahan pendidikan negara. Ia secara tidak langsung memberi petunjuk bahawa Kerajaan menggantungkan harapan kepada para guru untuk melakukan transformasi pendidikan negara. Dalam erti kata lain, para guru mestilah melakukan dan melaksanakan segala tugas serta peranan bagi menjayakan proses transformasi tersebut. Begitu jugalah dengan tema-tema yang digunakan pada tahun-tahun sebelumnya semuanya membawak maksud menuntut para guru untuk menyumbang bakti sepenuh jiwa dan raga mereka.

Tetapi pada masa yang sama kenapa tidak ada langsung tema yang menzahirkan perasaan terima kasih atau penghargaan terhadap segala sumbangan para guru dari segala segi sehingga taraf pendidikan negara kita berada pada tahap sekarang ini. Apakah Kerajaan tidak terpanggil untuk menyatakan rasa terima kasih kepada golongan yang terlalu banyak menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan pendidikan bangsa selama ini?

Saya rasa mulai tahun hadapan, Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menggunakan tema yang lebih berupa penghargaan kepada guru apabila tibanya sambutan Hari Guru 2012. Cukuplah menggunakan tema-tema yang berupa desakan supaya para guru terus menerus 'menyumbang' semata-mata. Rasa-rasanya sudah sampai masanya Kerajaan dan Rakyat seluruhnya memberi sanjungan kepada para guru sempena Hari Guru yang akan datang.

Saya ingin mencadangkan pada sambutan Hari Guru 2012 nanti, temanya ialah TERIMA KASIH CIKGU.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Sempena Hari Guru tahun ini saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru Malaysia khususnya guru-guru saya yang pernah mendidik saya semenjak 1963 hingga 1974. Sesungguhnya tidak terhitung jasa pengorbanan cikgu-cikgu semua kepada saya. Tanpa tunjuk ajar, didikan dan bimbingan cikgu semua, saya tidak mungkin menjadi seperti saya sekarang ini.

Malam kelmarin saya sangat gembira kerana mendapat tahu Guru Besar pertama saya dahulu (1963-1969) iaitu Cikgu Haji Sham bin Kadim, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Labu Besar, kini berusia 87 tahun masih lagi mampu memandu kereta dan membaca tanpa cermin mata. Begitu juga saya mendapat tahu bekas guru Fizik saya di Sekolah Sultan Badlishah (1973-1974) iaitu Mr P.S Rou kini masih aktif di dalam kegiatan kemasyarakatan melalui NGO. Beliau kini menetap di tanah airnya, India. Pada awal bulan Mei 2011 beliau berada di Malaysia dan beberapa acara tidak formal pertemuan di antara guru dan bekas pelajar telah diadakan di Kuala Lumpur dan Kulim.

TERIMA KASIH CIKGU dan THANK YOU TEACHER kepada semua yang bergelar Guru.