KALI ini saya ingin menyentuh tentang motivasi pelajar. Di dalam beberapa siri ceramah yang saya kendalikan untuk para pelajar sekolah menengah, beberapa perkara telah saya temui. Para pelajar menganggap ceramah motivasi hanyalah satu sesi yang tidak menyumbang kepada kecemerlangan mereka. Walaupun saya tidak membuat sebarang soal selidik tentang perkara ini, namun daripada reaksi yang dapat saya lihat, kebanyakan pelajar mempunyai anggapan sedemikian.
Malangnya, tiada kaedah tunggal dan tersendiri yang dapat memotivasikan para pelajar. Banyak faktor yang mempengaruhi dan menyumbang supaya mereka lebih bermotivasi untuk belajar. Minat terhadap pelajaran, persepsi mereka terhadap kepentingan menuntut ilmu, keinginan yang tinggi untuk berjaya cemerlang, keyakinan dan nilai diri, sabar dan istiqamah adalah di antara faktor-faktornya. Tetapi bukan semua pelajar akan bermotivasi berdasarkan nilai-nilai yang lumrah iaitu keperluan, keinginan dan kemahuan sahaja.
Bagi menggalakkan para pelajar supaya mempunyai keyakinan diri dan bermotivasi serta menjadi pelajar yang cemerlang, saya sarankan beberapa saranan berikut :-
- Berikan dorongan positif seawal mungkin - pelajar sekolah rendah seawal tahun 1 dan pelajar sekolah menengah seawal tingkatan 1 lagi - dengan membina keyakinan terhadap potensi diri mereka.
- Memberi peluang kejayaan kepada mereka secara saksama dengan memberi soalan yang tidak terlalu mudah dan tidak terlalu sukar.
- Bantu pelajar mencari diri serta makna sebuah kecemerlangan.
- Bentuk suasana ceria, terbuka dan positif sepanjang masa.
- Bantu pelajar supaya mereka turut sama merasai mereka dihargai sebagai sebahagian daripada komuniti pendidikan di sekolah.
Mungkin para pendidik dapat memberi pandangan lain atau berkongsi pengalaman. Pelajar hari ini adalah tunjang kecemerlangan bangsa pada masa hadapan.
No comments:
Post a Comment