Pages

May 13, 2008

KOMUNIKASI POSITIF

PARA pelajar zaman sekarang terdedah kepada segala kemudahan berbanding dengan pelajar-pelajar seangkatan saya, terutama sekali kemudahan komunikasi. Zaman saya dahulu memang tidak ada langsung berpeluang menikmati kemudahan seperti sekarang. Saya tidak langsung merasai kemudahan seperti itu kerana tinggal di kampung pendalaman. Di kampung tidak ada kemudahan komunikasi, telefon pun tidak ada.


Pada zaman ini, para pelajar memang bertuah kerana segala macam kemudahan komunikasi tersedia. Telefon tangan, MP3, MP4, internet dan lain-lain kemudahan canggih mudah diperolehi. Kemudahan itu bukan sahaja dimiliki pelajar-pelajar di bandar, malah pelajar-pelajar luar bandar juga sudah memilikinya. Begitulah hebatnya kecanggihan sains dan teknologi masa kini.


Tetapi, dalam masa yang sama, para pelajar harus sedar bahawa alat komunikasi tersebut selain memberi manfaat juga membawa mudarat. Betapa tidak, kemudahan canggih itu boleh menyogokkan segala unsur negatif jika tidak bijak menggunakannnya. Kelajuan internet yang merentasi dunia tanpa sempadan memudahkan para pelajar mencapai segala laman sesawang baik yang positif isinya mahupun yang negatif. Telefon tangan berkamera sudah tentu dapat mempotret semua kejadian yang baik atau yang buruk. Begitu juga dengan MP3 atau MP4. Itu belum lagi disebut berbagai kecanggihan alat komunikasi lain yang bersepah di pasaran.


Namun, dalam keadaan kita tidak dapat menolak kemodenan, kita perlu berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi tonggak kehidupan kita. Para pelajar mesti bijak membuat garis pemisah di antara keduanya. Yang positif dan negatif.


Komunikasi positif adalah nilai baik yang harus dipegang dan diamalkan. Berkomunikasi sesama rakan sebaya berbeza cara berkomunikasi dengan ibu bapa atau guru atau orang dewasa yang lain atau tetamu. Komunikasi bukan sahaja cara pertuturan, tetapi meliputi cara gerak tubuh, ekpresi wajah, gerak laku dan nada suara. Hal-hal ini sering kali tidak menjadi fokus utama para pelajar.


Ketika saya tiba di sebuah sekolah di daerah Padang Terap dalam bulan Mac yang lalu untuk sesi ceramah motivasi saya tercari-cari Bilik Muzik, tempat ceramah akan diadakan. Telefon tangan Kaunselor sudah tidak dapat dihubungi kerana kawasan itu di luar liputan. Semasa berjalan menuju ke bangunan utama, saya terserempak seorang pengawas lelaki. Saya rasa dia pelajar tingkatan 4 berdasarkan susuk tubuh dan gayanya. Dia terlebih dahulu memberi salam. Itu adalah budaya di kebanyakan sekolah masa kini.


"Saya nak jumpa dengan Kaunselor. Di mana biliknya?", tanya saya kepada pengawas itu.


"Bilik Kaunselor tidak jauh dari sini. Mari saya tunjukkan kepada tuan". Terasa kemesraan sambutan yang diberikan pengawas tersebut kepada saya. Setelah mendapati bilik Kaunselor kosong, pengawas itu baharu terperasan tentang program motivasi pagi itu. "Mungkin Kaunselor di bilik Muzik. Pagi ini ada sesi ceramah motivasi untuk pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5", jelasnya lebih lanjut.


Dia mengiringi saya ke Bilik Muzik di tingkat empat untuk berjumpa dengan Kaunselor. Sepanjang perjalanan itu saya bertanya itu dan ini. Pengawas tersebut mampu menjawab soalan-soalan saya itu. Dia jelaskan Pengetua sekolah itu baharu bertugas tiga bulan yang lalu bertukar daripada sebuah sekolah di Alor Setar. Bilangan pelajar lebih kurang 850 orang yang kebanyakannya anak-anak petani di beberapa buah kampung berhampiran. Jumlah guru juga diberitahu, malah peratus kelulusan PMR tahun lalu juga diberitahu kepada saya. Saya rasa agak kagum dengan tahap komunikasi pengawas tersebut yang positif dan dia tidak kekok dengan saya. Para pelajar yang lain juga harus pandai berkomunikasi secara positif.


Jangan jadi seperti mereka-mereka yang hanya pandai berkomunikasi secara negatif sahaja. Mereka berkomunikasi dengan nada suara yang tinggi dan terjerit-jerit tidak menentu, gerak tubuh yang ternyata tidak terkawal dan juga dengan kesopanan yang longgar dan tidak mesra.


Hindarilah komunikasi negatif supaya para pelajar akan sentiasa berada di dalam lengkongan gelombang positif sepanjang masa.

No comments:

Post a Comment