REMAJA masa kini adalah bakal pemimpin masa hadapan. Kenyataan ini kerap benar kita dengar diucapkan oleh ramai orang, sama ada pemimpin atasan, pemimpin pertengahan atau pemimpin bawahan. Remaja sendiri pun mungkin pernah mengucapkan kalimat ini.
Tetapi malangnya, apakah majoriti remaja masa kini sudah dipersiapkan dengan ciri-ciri tulen menjadi pemimpin? Apakah minda mereka sudah ditanam dengan kesedaran bahawa merekalah yang akan mencorakkan masa hadapan bangsa dan negara?
Berhadapan dengan remaja dan menilai pemikiran mereka masa kini, tentu sekali akan dapat kita temui beberapa perkara yang wajar diperbincangkan bersama. Perkara-perkara yang bersangkut paut dengan kenyataan di atas.
Ramai yang akan mengeluh apabila melihat gelagat remaja kita sekarang. Berbagai gejala negatif melingkari kehidupan mereka. Sikap dan tingkah laku mereka sudah tentu merunsingkan orang dewasa. Amalan kehidupan mereka juga semakin membingungkan.
Persoalannya, siapakah yang perlu menukar situasi itu kepada satu situasi yang lebih menyenangkan semua pihak? Kerajaan harus lebih serius menangani masalah ini. Tidak cukup dengan hanya menganjurkan program-program yang lebih bersifat hiburan bagi tujuan mengumpulkan remaja, tetapi pengisiannya masih di tahap kosong. Pengisian yang jauh lebih mendalam amat perlu difikirkan secara amat serius oleh pihak-pihak bertanggung jawab. Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi wajar memainkan peranan utama.
- Jadikan subjek Pendidikan Agama Islam atau Moral (untuk pelajar bukan Islam), Sejarah Tanahair dan Pengajian Sastera dan Budaya sebagai subjek-subjek teras di dalam peperiksaan umum (PMR, SPM dan STPM) di samping subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Apabila subjek-subjek ini dijadikan subjek teras ia akan secara automatik menjadi kewajipan para pelajar mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh. Dengan itu para pelajar akan lebih mengenali agama, sejarah, sastera serta budaya bangsa sendiri. Diharapkan generasi masa hadapan akan lebih mempunyai keutuhan jati diri mereka; faham tentang agama dan mengamalkan ajaran-ajarannya, faham sejarah perjuangan bangsa dan menginsafinya serta faham tentang sastera dan budaya yang membentuk keperibadian yang unggul. - Pelajar-pelajar IPTA & IPTS juga diwajibkan mengambil subjek Sejarah Tanahair, Pendidikan Agama Islam serta Pengajian Sastera dan Budaya sekurang-kurangnya untuk dua tahun pengajian.
Hal yang sama, apabila pelajar melangkah ke peringkat IPT, dan terus mendalami ketiga-tiga subjek tersebut, pastinya kefahaman mereka akan lebih mendalam dan kecintaan mereka akan lebih subur. Jiwa mereka tidak akan kosong lagi dan dengan itu ia akan menjadi benteng kukuh menghalang pencerobohan minda oleh unsur-unsur luar yang ganas dan menanti ruang.
Sepanjang saya menggauli para pelajar sekolah (golong awal remaja), saya dapati mereka memerlukan bimbingan orang dewasa yang benar-benar boleh menunaikan maksud kata-kata "Remaja masa kini adalah bakal pemimpin masa hadapan".
tuan, pd pendapat saya, semuanya terletak pada penggubal dasar, utk memberikan pendidikan yg tuan sebutkan tu secara formal, sebagaimana mereka telah menukar pengajaran & pembelajaran subjek sc & math dlm B.Inggeris, kalau nak harapkan kudrat & usaha kita yg tak seberapa ni, susah jugak ler..
ReplyDelete