Pages

May 7, 2008

DI DALAM KELAS

SEKALI lagi saya menyentuh tentang pelajar. Semasa saya memberi ceramah motivasi kepada lebih kurang 56 orang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di Kulim, Kedah minggu lalu, saya menyentuh perkara ini. Saya yakin penceramah motivasi yang lain juga menyentuh perkara yang sama di dalam ceramah-ceramah mereka.
Para pelajar tentu telah dimaklumkan bahawa salah satu kaedah belajar berkesan ialah memberi tumpuan semasa di dalam kelas sewaktu guru mengajar. Saya juga menyentuh hal yang sama di dalam ceramah saya itu. Bukan itu sahaja saya juga bercerita tentang persediaan material belajar yang perlu disediakan oleh para pelajar berdasarkan pengalaman saya di tingkatan lima 34 tahun yang lalu. Di antaranya ialah buku teks, kamus, buku nota serta alat tulis selengkapnya.
Saya teringat seorang guru subjek Fizik di sekolah saya pada waktu itu. Beliau amat serius dan cukup fokus. Setiap pelajar diwajibkan membawa buku teks, kamus dan buku nota setiap kali dia masuk mengajar, walaupun kerap kalinya buku teks dan kamus tidak pernah dibuka di dalam kelas. Tetapi oleh kerana dia terlalu serius, kami semua terpaksa membawa buku teks dan kamus yang cukup tebal itu.

Seorang kawan saya entah kenapa suatu hari terlupa membawa buku teks. Dia pula tidak sempat meminjam daripada rakan-rakan dari kelas lain sebelum guru ini masuk ke kelas kami. Akibatnya, guru ini menghukum rakan saya dengan menyuruhnya berdiri di atas meja. Bayangkan pada waktu saya bersekolah dulu (tahun 1970-an), pakaian seragam sekolah untuk pelajar lelaki masih lagi berseluar pendek!


Hukuman itu bukan sahaja untuk hari berkenaan, tetapi setiap kali guru ini masuk ke kelas kami untuk tempoh setahun! Jadi rakan saya itu akan berdiri di atas meja setiap kali mata pelajaran Fizik sepanjang tahun berkenaan. Akibat hukuman itu, kami semua sentiasa akan berusaha membawa buku teks Fizik setiap kali ada mata pelajaran tersebut.


Saya tidak mampu membeli buku teks yang mahal itu (RM 20.50 pada tahun itu amat mahal bagi pelajar miskin seperti saya). Tetapi setiap kali subjek Fizik, saya akan pastikan buku teks tersebut berada di atas meja saya. Saya terpaksa meminjam secara tetap daripada seorang rakan di kelas lain setiap kali guru berkenaan masuk mengajar subjek Fizik di kelas kami.


Intipati cerita lama ini ialah sebagai pengajaran kepada para pelajar sekarang supaya sentiasa bersiap sedia untuk belajar di dalam kelas. Jangan sekali-kali tidak ambil berat tentang perkara itu kerana persiapan awal akan memudahkan para pelajar mendapat ilmu. Sehingga hari ini saya masih ingat frasa di dalam Archimedes Principle : "weight of an object equals to the volume of liquid".
Thank you Mr Rao.

No comments:

Post a Comment