Pages

May 5, 2008

MELIHAT KE DALAM DIRI

Di dalam diri kita terdapat berbagai keistimewaan, kebolehan, potensi dan kekuatan yang di anugerahkan Allah s.w.t. Malah setiap manusia memiliki keunikan yang tidak sama dengan manusia lain, biar pun dengan kembar seirasnya. Justeru, kita adalah makhluk istimewa yang diciptakan Allah s.w.t berbanding dengan makhluk-makhluk lain di alam ini.
Namun, tidak ramai di antara kita yang menyedari keunikan itu. Tidak ramai yang mengetahui keistimewaan, kebolehan dan kekuatan yang dianugerahkan. Malah tidak ramai yang mengenal pasti potensi dirinya sendiri. Lantas, apa yang kerap ditemui di dalam beberapa sesi motivasi, ramai di antara peserta yang kebingungan apabila diajukan soalan, "apakah keunikan dan potensi diri anda?".
Walau bagaimanapun, ada sebilangan kecil daripada mereka yang memberikan jawapan, atau setidak-tidaknya cuba memberi jawapan. Ada yang menjawab "keunikan saya ialah pada ketahan mental ketika menghadapi sebarang dugaan". Ada yang menjawab, "saya berpotensi menjadi seorang pegawai tinggi di jabatan saya" dan ada juga yang menjawab, "saya mempunyai kebolehan untuk mempengaruhi orang lain supaya mengikut arahan saya".
Semua jawapan itu tidak salah. Itulah persepsi mereka terhadap diri mereka sendiri. Saya sanjung pendapat mereka kerana setidak-tidaknya mereka memberikan reaksi kepada soalan saya. Betul atau tidak jawapan itu tidak dapat saya pastikan. Hanya mereka yang tahu kebenarannya. Saya yakin mereka yang memberikan jawapan-jawapan sedemikian pada waktu itu tidak sempat melihat ke dalam diri mereka sendiri secara mendalam.
Lazimnya begitulah yang berlaku. Kita cepat memberikan reaksi dan jawapan kepada soalan yang dikemukakan dengan secara tergesa-gesa. Kadang kala tanpa sempat memahami soalan itu terlebih dahulu. Akibatnya jawapan yang diberikan tidak tepat atau menyeleweng daripada soalan. Itu adalah lumrah dalam kehidupan manusia yang bersifat tergesa-gesa di dalam membuat sebarang tindakan.

Tetapi, setelah memberikan jawapan, baharulah kita menyedari kesilapan. Pada waktu itu kita sudah tidak dapat memutarkan masa ke belakang semula untuk memperbetulkan jawapan kita. Maka jawapan yang kita berikan itu akan menjadi jawapan yang diterima oleh orang ramai. Walaupun jawapan kita itu salah pada pendapat kita, namun orang ramai sudah menerimanya sebagai jawapan yang betul.

Lantaran itu, sebelum kita memberikan sebarang jawapan, sewajarnya kita melihat ke dalam diri kita terlebih dahulu. Merenung sejenak tentang diri kita, tentang potensi diri, keunikan, kebolehan dan kekuatan yang kita miliki. Hanya dengan itu sahaja, kita akan merasa puas dengan jawapan yang kita berikan kepada sebarang soalan yang dikemukakan sesiapa sekalipun.
Lihatlah ke dalam diri untuk mengenali diri sendiri.

No comments:

Post a Comment