Pages

May 10, 2008

KISAH PENGAWAL KESELAMATAN

CERITA ini sudah agak lama. Cerita tentang seorang Pengawal Keselamatan ini berlaku dalam bulan Disember 2007 yang lalu. Cerita ini adalah pengalaman yang saya alami sendiri. Ada sesuatu yang menarik di dalam cerita ini. Rasanya rugi jika tidak berkongsi pengalaman ini.

Pada penghujung Disember 2007 yang lalu saya diundang mengendalikan seminar motivasi sehari suntuk untuk 45 orang kaki tangan sebuah organisasi. Tempatnya di sebuah kem di Seberang Prai. Melalui surat yang saya terima, alamat kem itu tidak dinyatakan dengan tepat. Cuma alamat pejabat pengurusan sahaja. Oleh kerana itu setelah bertanya rakan-rakan yang tahu tentang kem itu, saya pun pergi sehari lebih awal untuk memastikan lokasi kem berkenaan.
Sampai di pintu kem tersebut jam 6.30 petang. Saya berhenti, menghampiri pondok pengawal keselamatan dan bertanya adakah ini kem yang dimaksudkan di dalam surat jemputan itu. Seorang pengawal keselamatan, seorang lelaki berusia lingkungan 62 tahun, berbadan tegap memakai pakaian seragam dan bersongkok putih, melayan pertanyaan saya. "Ya betullah, ini kem yang dimaksudkan itu, tuan". Saya tersenyum dan merasa puas kerana bertemu juga dengan kem itu setelah memandu hampir dua setengah jam!

"Tuan nak bermalam di sini?", soal pengawal keselamatan itu dengan mesra.

"Tidak. Saya akan beri ceramah dalam seminar pagi esok", jelas saya.
Setelah dia tahu tujuan kedatangan saya pada waktu hampir maghrib itu, dia terus mempelawa saya untuk melihat ke dewan seminar yang telah disediakan. Dia membawa saya masuk ke dalam kem dengan motorsikalnya. Sepanjang perjalanan itu, dia begitu ghairah bercerita tentang kem tersebut kepada saya. Dia beritahu siapa pengusaha kem itu, bila dibangunkan, berapa jumlah bilik penginapan, berapa ramai peserta boleh menghuni kem itu pada satu-satu masa dan bermacam-macam lagi. Saya nampak dia terlalu faham tentang kem itu.

"Sudah berapa lama encik bekerja di kem ini?", tanya saya setelah melihat persiapan di dalam dewan seminar tempat saya akan beri ceramah keesokannya.

"Baru 3 bulan saja tuan", dia menjawab dengan penuh bangga. "Tuan tahu, batu ukiran landskap ini dibina oleh seorang bekas banduan. Dia anak jati kampung ini. Setelah dia dibebaskan daripada penjara, dia insaf dan menjalankan perniagaan sendiri. Dia yang bina batu ukiran ini. Tuan tengok, perasmian kem ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah. Kenyataannya terpampang di sini". Lancar dia bercerita kepada saya.

Tiada apa yang menariknya cerita ini jika kita hanya mendengar dengan telinga sahaja. Tetapi jika kita mendengar dengan hati, tentu ada sesuatu yang menarik. Bagi saya, cerita ini amat menarik kerana ia melibatkan hati dan perasaan. Nilai baik ini harus diterapkan di dalam hati setiap orang, terutama mereka yang berhadapan dengan orang ramai sebagai pelanggan.

Keghairahan pengawal keselamatan itu bercerita kepada saya, seolah-soalah dia cukup faham dan mengenali setiap sudut kem tempat dia bertugas itu. Bukan itu sahaja, dia juga kenal siapa majikannya serta tahu visi dan misi organisasinya. Ditambah pula sikap mesra yang dipertontonkan kepada saya, menjadikan saya seorang pelanggan paling istimewa buatnya. Perasaan saya tertarik dengan sikap dan layanan mesra pengawal keselamatan tersebut. Dia bertindak bukan sahaja sebagai pengawal keselamatan, tetapi juga penyambut tetamu yang cukup mesra dan memiliki informasi secukupnya.

Jauh bezanya dengan pengalaman saya ke sebuah jabatan kerajaan di tengah bandaraya. Pondok pengawal keselamatannya bercermin gelap. Saya tidak dapat melihat dengan jelas sama ada pengawal keselamatan yang bertugas ada atau tidak di dalam pondok tersebut. Semua orang yang melintasi pondok pengawal itu seakan tertanya-tanya perlukah kami melapor diri terlebih dahulu sebelum masuk? Mungkin pengawal keselamatan yang bertugas di situ hanya pengawas keselamatan sahaja!

Tiada apa yang membezakan mereka kecuali sikap. Pengawal keselamatan di kem tersebut memiliki sikap positif yang tinggi dan tidak menganggap dirinya hanya seorang pengawal keselamatan yang biasa, tetapi sebahagian daripada organisasi tempat kerjanya itu. Manakala pengawal di pondok pengawal jabatan kerajaan itu pula hanyalah seorang pengawal keselamatan semata-mata. Dia bukan sebahagian daripada organisasi jabatan berkenaan. Barangkali!

No comments:

Post a Comment