Pages

Nov 22, 2011

TAHNIAH, HARIMAU MUDA

HARI INI 22 November 2011, terpampang di dada-dada akhbar tanah air berita kemenangan pasukan bola sepak negara, Harimau Muda, yang berjaya memenangi pingat emas di Sukan SEA, Jakarta semalam. Sekali gus kemenangan tersebut juga merupakan kemenangan mempertahankan pingat emas yang dimenangi Malaysia di sukan yang sama di Laos dua tahun lalu.

Tahniah diucapkan kepada pasukan Harimau Muda yang rata-rata dibarisi pemain-pemain di bawah usia 23 tahun. Kemenangan tersebut memberi makna yang amat besar kepada perkembangan dan kemajuan bola sepak negara dewasa ini. Setidak-tidaknya 'ranking' Malaysia telah meningkat.

Di dalam masa yang sama, kita dapat perhatikan bagaimana kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap pemain di dalam perlawanan akhir yang getir dan panas itu. Mereka bermain dengan keazaman yang tinggi, tidak mahu memalukan seluruh rakyat Malaysia yang mengharapkan kemenangan berganda tersebut. Meskipun mereka menghadapi berbagai provokasi serta rintangan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta namun berkat keazaman yang kuat akhirnya kemenangan kita miliki.

Syabas juga kepada jurulatih serta pegawai-pegawai yang berada sepanjang masa bersama para pemain di sana. Saya yakin mereka semua telah berusaha bersungguh-sungguh meniupkan semangat juang yang tidak kenal putus asa kepada para pemain. Segala usaha dan penat lelah mereka kini berbaloi dan terbayar.

Bukan sahaja kegembiraan meraikan kemenangan itu terpapar di akhbar-akhbar, malah di dalam laman-laman sosial internet, suasana kemeriahannya juga tiada bezanya. Saya petik beberapa coretan di Facebook seperti berikut:-



"Thanks to most Indonesians for labelling us Malaysians as 'maling'...Now your wishes finally came true when we snatched gold medal right under your nose!"


"Tahniah untuk Harimau Malaya yang mematahkan sayap garuda yang bongkak...jaringan Badrol yang begitu cantik bola meleleh masuk gawang dan kesudahannya 100,000 penyokong Indonesia menangisi jaringan tersebut....inilah masa melihat air mata garuda yang sombong"

"Eyes of a TIGER, Strength of a warrior, Glory of a champion, Heart of a MALAYSIAN'.

"Lenyap sudah Garuda dari dunia nusantara dibaham Harimau Muda"

"You mess with the tigers, you get the claws and fangs! In your face, Indon"

"Inilah negara yang kamu gelar 'Malingsial' memalukan khalayak kamu di tanah kamu sendiri, membenam bongkak dan ego kamu, Indonesia. Tahniah Harimau Muda".

"Syukur Alhamdulillah..Ibu segala pingat emas milik Malaysia. Sang Garuda patah sayapnya dibaham Harimau Malaya. Syabas!!".

"Garuda mungkin menguasai langit. Namun harus diingat, perhitungan kini di atas tanah dan di atas tanah Harimaulah rajanya. MENGAUMLAH HARIMAU MALAYA!!!".

Mungkin ada ribuan lagi coretan seumpama itu di dalam laman-laman sosial internet. Segala coretan itu adalah luahan rasa puas hati, gembira dan bangga di atas kemenangan tersebut. Semua itu adalah sambungan daripada kegigihan dan keazaman yang dipamerkan oleh pemain-pemain pasukan bola sepak negara.

Walau bagaimanapun harus diingat kemenangan ini jangan sekali-kali menjadikan kita lupa kepada hakikat bahawa mempertahankan kemenangan itu terlalu sukar daripada memenangi perlawanan. Lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh lagi berlegar di tahap lama baik dari segi pengurusan, pemilihan pemain, latihan, disiplin dan sebagainya. FAM harus segera berubah, menapak ke tangga yang lebih tinggi daripada sekarang.

Jika FAM masih lagi berleka dan berhibur dengan kemenangan itu, percayalah suatu hari nanti pasukan negara tidak akan maju dan mencapai kejayaan yang lebih besar sepertimana kejayaan-kejayaan di peringkat Piala Asia, Piala Dunia ataupun di Olimpik!

Kini tiba masanya, FAM, Majlis Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan dan lain-lain badan yang terlibat supaya dengan segera merangka strategi untuk mempastikan bola sepak Malaysia terus berkembang dan menapak ke tahap yang lebih tinggi. Jangan lagi berfikiran lapuk yang merugikan diri kita sendiri!

Nov 13, 2011

TELAH TIBA MASANYA

HARI INI, 13 November 2011 tiba-tiba jadualku menjadi tersangat sendat. Walhal sejak kelmarin aku tahu aku hanya ada satu temu janji pada sebelah pagi ini sahaja. Pada sebelah petang aku ada banyak ruang dan masa untuk menyiapkan tugasan yang diamanahkan.


Seawal 8.30 pagi aku sudah tiba di Hospital Sultanah Bahiyah. Hari ini aku perlu mengikuti Program Pemulihan Jantung. Aku sudah dimaklumkan bahawa aku perlu menghadiri program ini semasa aku keluar dari Wad Pemulihan Jantung (CRW) pada bulan Jun yang lalu. Namun dari sehari ke minggu sehingga melangkau bulan, tiada sebarang pemakluman seterusnya tentang tarikh dan masa program tersebut akan diadakan. Sehinggalah dua malam yang lalu lebih kurang pukul 10.30 malam ada panggilan telefon dari jururawat CRW. Dia memaklumkan tentang program tersebut dan aku dikehendaki menghadirinya.

Program pagi ini adalah sesi ceramah mengenai beberapa perkara berkaitan kesihatan jantung termasuklah ceramah relaksasi dan ceramah fisioterapi. Sebelum itu semua pesakit yang hadir diperiksa tekanan darah masing-masing terbelih dahulu. Bacaan tekanan darah aku pagi ini ialah 143/91, bacaan yang memuaskan walaupun bukan bacaan yang 'ideal'.

Setelah selesai program berkenaan lebih kurang jam 12.00 tengah hari, aku pulang dan berehat. Sementara menunggu masuk waktu zohor aku terlelap seketika. Waktu aku terjaga lebih kurang jam 1.30 tengah hari, aku melihat telefon tanganku. Terdapat enam 'missed calls' tersenarai serta tiga pesanan ringkas minta dibaca.

Tanpa membaca pesanan ringkas, aku terus mendail salah satu nombor yang terdapat di dalam senarai 'missed calls' iaitu nombor telefon rakanku, Shukri. Suara Shukri di hujung talian bernada rendah dan perlahan. Ada nada sedih kedengaran.

"Pukul berapa jenazah hendak dikebumikan?".


Aku terkejut mendengar soalan itu. Setalah aku bertanya Shukri memaklumkan seorang rakan kami telah kembali ke rahmatullah. Dia ialah Sayed Mahadzir Sayed Omar, rakan yang aku kenali sekian lama dan sama-sama berkecimpung di dalam organisasi penulis, iaitu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).

Aku segera mengucapkan, "innalillahi wa inna ilai hi ro ji'un"....daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita dikembalikan. Aku merasa sebak dan sayu mendengar perkhabaran sedih itu.

Dua hari sebelum Aidil Adha dahulu aku ada menelefonnya dan sempat berbual seketika.

"Apa khabar Sayed?".

"Bengkak di muka aku ni tak hilang lagi. Doktor di Hospital Sutanah Bahiyah merujuk kes aku ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani".

"Doktor kata apa sakitnya?".

"Paru-paru berair. Aku kena ke sana berjumpa doktor pakar pada 9 haribulan. Kalau perlu aku kena menjalani pembedahan".

"Bersabarlah Sayed, semua itu dugaan Allah. Aku doakan engkau selamat dan sihat seperti sedia kala".

"Terima kasihlah. Kirim salam kepada rakan-rakan semua".

Itulah lebih kurang perbualan terakhir aku dengan Allahyarham. Pada hari Sabtu 12hb, kelmarin, sewaktu di dalam program aktiviti ASASI pada sebelah petang dan malamnya, kami berbual tentang Allahyarham Sayed Mahadzir. Cerita Jamaludin D, dia sempat melawat Sayed dan dimaklumkan pembedahan akan dilakukan pada hari ini.

Aku telefon Jamaludin D di Sungai Petani. Suara Jamaludin lebih sebak daripada suara Shukri.

"Saya ada di rumah mayat. Jenazah Sayed dijangka akan dibawa keluar lebih kurang pukul 2.30 petang sekejap lagi. Saya akan ke KL sebentar lagi, tapi sudah sempat ziarah jenazah Allahyarham". Terdengar suara Jamaludin begitu sebak dan terhenti seketika. Aku lekas-lekas menamatkan perbualan.

Aku cuba hubungi nombor telefon Sayed dengan harapan isterinya yang akan menjawab. Malangnya telefon tersebut sudah dimatikan.

Selepas itu aku menghubungi beberapa orang rakan memaklumkan berita sedih tersebut. Anjanglie yang aku hubungi selepas itu setuju untuk menziarahi jenazah Allahyarham. Pukul 4.20 petang aku dan Anjanglie ke Kampong Barokhas, Kuala Nerang, iaitu ke rumah Allahyarham untuk penghormatan terakhir kepada seorang sabahat yang baik dan berhemah tinggi.

Waktu aku dan Anjanglie tiba, di halaman rumah itu sudah dipenuhi ramai pengunjung berbagai lapisan usia, lelaki dan perempuan. Pada masa itu majlis tahlil sedang dilakukan. Kami ikut duduk dan bertahlil bersama-sama. Kemudian barulah kami melawat jenazah.

Tanpa aku sedari air mataku mengalir deras sewaktu menatap wajah Sayed di pembaringan. Wajahnya bersih, mata dan mulut tertutup rapat. Menurut kata abang Allahyarham, jenazah akan disemadikan pukul 10.00 malam ini.

"Sayed, masa engkau sudah sampai. Tapi aku tidak tahu bila pula masa aku akan tiba".

Nov 5, 2011

WUKUF DI ARAFAH DAN SAMBUTAN AIDIL ADHA



HARI ini, 9 Zulhijjah adalah hari terpenting kepada umat Islam yang menunaikan ibadah haji di tanah suci kerana inilah kemuncak ibadah tersebut. Ia dikenali sebagai Hari Wukuf yang merupakan kewajipan yang mesti dilakukan. Gagal berwukuf membatalkan ibadah mereka.

Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi yang utama dari rukun-rukun haji sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Dari Abdul Rahman bin Ya'mur r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh seorang penyeru menyerukan : "Haji itu ialah "Arafah". Barang siapa datang pada malam tanggal sepuluh, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapatkan Arafah" (Riwayat - Ahmad dan Ashabus Sunan)


Padang Arafah dengan keluasan lebih kurang 16,000 kilometer persegi merupakan tempat wukuf. Tahun ini seramai lebih kurang 3.5 juta umat Islam berhimpun di padang pasir tersebut semata-mata untuk bermunajat kepada Allah s.w.t memohon keampunan Yang Maha Pengampun terhadap segala kesalahan yang telah dilakukan di sepanjang hayat mereka.

Masa yang wajib berada atau berwukuf di Arafah ialah di awal waktu Zohor pada 9 Zulhijjah, hingga sebelum fajar 10 Zulhijjah, tetapi tidak semestinya berada di Padang Arafah itu sepanjang masa yang tersebut. Berhenti disitu walaupun sebentar sahaja pada masa di antara Zohor 9 Zulhijjah hingga sebelum fajar 10 Zulhijjah adalah memadai.


Masa yang sebaik-baiknya ialah sebahagian hari kesembilan dan sebahagian malam kesepuluh Zulhijjah, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa dapat berada di Arafah sebelum terbit fajar (pada hari yang kesepuluh Zulhijjah) maka dapatlah haji itu"

Dalam waktu sesingkat itulah, para hujjaj mempunyai kesempatan memohon keampunan daripda Allah s.w.t. Di situlah mereka akan berkomunikasi secara terus dengan Allah s.w.t untuk merayu memohon diampunkan segala dosa dan kesilapan yang telah dilakukan. Pada detik-detik itu mereka tidak memperdulikan sesiapa lagi, malah hanya akan menumpukan kepada permohonan sendiri sahaja. Tangisan dan sedu sedan keinsafan akan memenuhi ruang sepanjang masa wukuf kerana doa semasa wukuf adalah di antara waktu doa dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Bagi umat Islam yang tidak dijemput menjadi tetamu Allah, mereka disunatkan berpuasa sambil memanjatkan doa dan pengharapan agar diampuni segala kesilapan yang telah dilakukan.

10 Zulhijjah adalah Hari Raya Aidil Adha, satu lagi hari penuh bermakna untuk umat Islam. Hari Raya Aidil Adha adalah sinonim dengan ibadat korban sebagai meneruskan ibadat yang disyariatkan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s berkurun yang lalu. Peristiwa di mana Nabi Ibrahim a.s diperintahkan oleh Allah s.w.t untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s sebagai satu pengorbanan kepada Allah. Oleh kerana keikhlasan Nabi Ibrahim menunaikan perintah Allah, pengorbanan baginda telah diterima malah Allah telah menggantikan korban tersebut dengan seekor kibas. Bermula dari peristiwa itulah, disunatkan ibadah korban ke atas umat Islam, sama ada yang mengerjakan ibadah haji ataupun tidak.

Begitulah istimewanya bulan Zulhijjah yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada umat Islam melakukan ibadah-ibadah khusus. Justeru, umat Islam harus tidak meremehkan peluang dan kesempatan yang terhidang.

Nov 2, 2011

TABUNG DERMA KEBAJIKAN



RAMAI orang jika disoal mahukah anda menderma untuk kebajikan pasti akan menjawab, ya. Jawapan tersebut diucapkan kerana mereka tahu bahawa memberikan derma kebajikan akan mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah s.w.t. Malah Allah dan Rasul-Nya memberikan nilai yang amat tinggi terhadap sebarang derma kebajikan yang diberikan oleh umat Islam.

Justeru berbagai usaha dilakukan untuk menggalakkan orang Islam melakukan kebajikan. Semua usaha tersebut adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada umat Islam menyumbang secara ikhlas untuk sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama. Umpamanya mengutip sumbangan derma kebajikan kepada Rumah Anak-anak Yatim, Pusat Pengajian Tahfiz, Rumah Orang-orang Tua dan sebagainya.

Bagi orang-orang Islam yang faham mengenai nilai dan ganjaran bersedekah untuk kebajikan pasti tidak akan melepaskan peluang yang dihidangkan itu. Namun, bagi mereka yang tidak begitu arif, pasti mereka akan melepaskan sahaja peluang tersebut.

Walau bagaimanapun, di dalam banyak hal dewasa ini, usaha-usaha memungut derma kebajikan sudah dipandang serong oleh masyarakat. Perkara ini berlaku oleh kerana terdapat di kalangan ahli masyarakat yang mengambil kesempatan melakukan sesuatu yang mencurigakan. Lantaran ahli masyarakat secara umumnya memandang usaha-usaha mengutip derma kebajikan itu adalah usaha yang tidak sihat.

Di kalangan sesetengah pihak mereka amat teliti sebelum memberikan derma. Selalunya pemungut derma itu akan menunjukkan sekeping dua dokumen yang mengesahkan siapa mereka serta surat kebenaran untuk mengutip derma yang dikeluarkan oleh pihak-pihak bertanggung jawab. Malangnya, kebanyakan dokumen yang diunjukkan itu adalah tidak sah atau palsu. Jika kita menderma, kemanakah nantinya derma kita itu?

Jika itu yang dirisaukan, kenapa tidak kita cari kaedah lain yang lebih meyakinkan? Saya rasa kita perlu inovatif supaya derma yang dihulurkan itu sampai kepada yang berhak menerimanya serta diterima oleh Allah s.w.t.

Umpamanya di dalam sebuah keluarga, eloklah diwujudkan satu tabung khas yang dinamakan Tabung Derma Kebajikan. Setiap ahli keluarga yang mempunyai pendapatan bolehlah menderma secara tetap ke dalam Tabung tersebut. Salah seorang daripada ahli keluarga bolehlah dilantik menjadi pemegang amanah. Setiap 3 atau 4 bulan sekali, tabung itu dibuka. Wang yang terkumpul dihitung bersama-sama kemudiannya dermakanlah wang tersebut kepada mana-mana pihak yang diingini. Dengan cara itu sahlah wang derma kita itu sampai kepada yang berhak menerimanya dan insya Allah, ganjaran pahala akan dirasai setiap ahli keluarga tersebut.

Pemungut derma yang kerap datang ke rumah-rumah itu bukan kesemuanya tidak jujur atau pemungut derma palsu, tetapi jika kita kurang yakin dengan mereka, kita lakukanlah cara kita sendiri.

Oct 28, 2011

DUGAAN DAN HIKMAH DI SEBALIKNYA


SETIAP manusia pasti menghadapi dugaan dan ujian di dalam kehidupannya. Sama ada dugaan yang besar atau pun kecil. Sama ada secara terang-terangan ataupun secara tanpa disedari.

Petang kelmarin aku menerima satu dugaan secara terang-terangan. Sewaktu turun dari Wad 3A, Hospital Sultanah Bahiyah, lebih kurang jam 3.00 petang, aku benar-benar diduga. Di tempat letak kereta Zon G, tempat aku meletakkan keretaku sekitar pukul 2.15 petang sebelum ke wad, aku amat terkejut apabila mendapati kereta yang aku letakkan di situ, telah tiada. Aku bersama isteri menjadi resah dan panik kerana tidak menduga sama sekali kereta itu telah dicuri.

Aku segera menelefon Polis Hotline memaklumkan kejadian itu. Aku dinasihatkan anggota polis yang bertugas supaya membuat laporan di Balai Polis Langgar sementara dia akan membuat hebahan kepada unit-unit pasukan polis mengenai kecurian tersebut. Di dalam keadaan yang celaru itu, aku teringat seorang rakan baikku dan terus menelefonnya meminta pertolongan untuk datang mengambil aku dan isteri. Kami kemudiannya dengan bantuan rakan tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Langgar dan kemudian ke IPD Kota Setar bertemu dengan Pengawai Penyiasat. Lebih kurang 2 jam segala urusan selesai. Allah telah permudahkan segala urusan kami.

Malamnya kami tiga beranak (kebetulan anak keduaku pulang dari Shah Alam kerana bercuti empat hari) bersama-sama membaca surah Yassin beramai-ramai. Isteriku juga telah menelefon anak sulung kami memintanya sama-sama membaca surah tersebut selepas solat maghrib. Kami sama-sama memohon kepada Allah s.w.t. jika masih ada rezeki kami memiliki kereta tersebut, kembalikanlah kepada kami. Sepanjang malam itu kami resah kerana di dalam kereta yang dicuri itu ada segugus kunci rumah berserta kunci 'remote' pagar rumah kami. Aku berjaga hingga lewat 3.00 pagi!

Alhamdulillah, petang tadi lebih kurang jam 4.10 petang, telefon tanganku berbunyi. Nombor yang tertera di skrin ialah nombor Polis Hotline. Anggota polis yang membuat panggil memaklumkan kereta kami yang hilang itu sudah ditemui. Aku diminta mengambil kereta tersebut di tempat yang diletakkan pencuri itu.

"Di Lorong Malinja, belakang Pasaraya Mydin", beritahu anggota berkenaan. "Encik kena bawa bersama bateri kereta".

Sewaktu aku, isteri dan anakku sampai di lokasi, kereta kami tersadai di situ. Mengikut cerita beberapa orang yang berniaga di gerai-gerai berdekatan, kereta itu berada di situ sejak petang kelmarin lagi. Mujurlah tidak berlaku kerosakan teruk. Hanya keempat-empat tayar dan rim telah ditukar dengan tayar dan rim yang lebih buruk selain bateri kereta yang turut hilang.

Syukurlah kerana barang-barang keperluan yang kami beli sebelum ke hospital petang kelmarin semuanya berada di dalam kereta tanpa disentuh. Barang-barang itu masih menjadi rezeki kami rupanya. Alhamdulillah. Tetapi yang merunsingkan kami ialah segugus kunci yang ditinggalkan di dalam kereta itu telah hilang.

Selesai berurusan dengan pihak polis, tidak sampai 30 minit, kami membawa pulang kereta tersebut ke rumah dengan rasa syukur yang bukan kepalang. Alhamdulillah, dugaan tersebut dapat kami lalui dengan tabah dan bersabar.

Setiap dugaan yang didatangi Allah s.w.t pasti mempunyai hikmah di sebaliknya. Kami tidak tahu apakah hikmahnya lagi sehingga kini kerana hikmah itu juga adalah kerja Allah s.w.t. Aku berdoa semoga dugaan itu tidak berulang lagi. Pada masa yang sama aku amat bersyukur kerana Allah s.w.t telah memperkenankan doa dan permintaan kami.

Aku yakin ada hikmah di sebalik musibah tersebut.

Sep 28, 2011

SEKALI MELANGKAH




"AKU tidak akan putus asa. Biar apa sekalipun yang akan berlaku, aku tetap dengan keputusan ini!", nada suaranya penuh ketegasan bersulam keyakinan diri yang amat tinggi. "Aku pantang berundur!!".

Bola matanya merenung tepat ke arah situ. Tidak berkelip langsung. Dengus nafasnya jelas kedengaran kerana dia sedang melawan segala hasutan yang menerpa bagai taufan. Kesemua jari di tangannya tergenggam erat, mengepal tinju bagai pendekar yang bersiap siaga berhadapan musuh durjana. Kakinya tegap berdiri tanpa ragu-ragu.

"Kau boleh bersuara segegar halilintar! Aku tidak akan gentar!!". Suaranya terpancul lagi menendang hasutan yang tidak henti melanda perasaannya. Dia makin tegap berpijak di situ.

Darah panasnya mengalir lancar ke segenap urat nadi dan saraf dirinya, menderu bagai jeram tinggi di tengah belantara. Wajahnya tidak terusik langsung oleh taufan hasutan yang semakin kuat melanda. Malah kepanasan dari darah yang mengalir dalam tubuh terpancar di wajahnya. Panas dan kemerah-merahan. Ada percikan penuh di dahinya.

"Kau jangan sangka aku akan tunduk menyerah kalah!!". Dia terus bersuara perkasa. Suaranya terlontar menerobos ruang yang penuh dengan hasutan, igauan, fitnah dan segalanya. Genggam tinjunya tetap kemas, kakinya masih utuh pada tempat pijak yang asal, tidak berganjak walaupun seinci.

Sejak sekian lama dia berdiri melawan segala terjahan yang menerpa mahu menggoyah pendiriannya. Namun dia masih tetap berdiri segagah awalnya tanpa sedikitpun ada tanda-tanda untuk undur atau beredar. Dia pasti keputusannya adalah tepat!

Biar hari berganti minggu beredar ke bulan, hatta ke tahun yang akan datang, dia pasti tidak akan berundur ke belakang. Malah dia mensasarkan untuk berganjak ke hadapan, menghampiri tempat yang dihajatinya. Dia tidak akan pulang sebelum tiba ke tempat itu sepertimana yang diidamkannya selama ini.

"Kau tidak mungkin dapat menewaskan aku!!". Jeritannya bersiponggang melantun di dalam ruang itu. Berulang kali ucap kata itu menendang anak telinganya sendiri dan itu membuatkan dirinya semakin yakin untuk menghadapi segala yang menghalang perjalanannya.

Angin semakin kasar. Taufan semakin ganas. Ribut merembas deras. Kesemuanya bagai berpadu menghalangnya untuk melangkah ke hadapan. Namun dia tetap bertahan. Kakinya bagai terpaku kemas ke tanah. Tubuhnya menahan segala sergahan. Pandangannya tidak sedetikpun berpindah dari arah tumpuannya. Dia tidak mahu segala itu memadamkan impiannya.

Dia mahu tiba ke puncak itu biarpun terpaksa melawan terpaan duga ini sekian lama. Puncak itu adalah impiannya. Dia mahu berdiri di puncak itu sebagai seorang lelaki perkasa yang berjaya. Dia tidak mahu menjadi seorang lelaki yang tewas di tengah perjalanan.

"Sekali melangkah ke hadapan, aku tidak akan berundur". Kekuatan azam itulah yang menjadi pembakar semangatnya. Dia berpegang kepada kata-kata, 'orang yang kecewa adalah orang yang berhenti berusaha'.

Sep 11, 2011

KEJUTAN OGOS 2011



BULAN OGOS 2011 telah ditakdirkan oleh Allah s.w.t kepada negara dan warga Malaysia menyambut dua perayaan yang hampir serentak. Aidilfitri disambut pada tanggal 30 Ogos sementara 31 Ogos pula adalah hari ulang tahun kemerdekaan negara. Kedua-dua sambutan itu sepatutnya membawa makna yang mendalam di dalam setiap jiwa umat merdeka di tanah air tercinta ini.

Aidilfitri adalah hari kemenangan dan kejayaan setelah sebulan melalui Ramadhan, setelah berusaha keras menangkis segala bagai dugaan dan cubaan. Aidilfitri adalah hari kejayaan kerana kita berjaya kembali ke fitrah asal.

Manakala hari kemerdekaan pula adalah hari di mana negara dan bangsa kita terbebas dari belenggu penjajahan. Kita mencapai kemerdekaan pada tarikh keramat itu setelah sekian lama negara dan bangsa dijajah.

Oleh itu wajarlah kita merayakan kedua-dua tarikh itu.

Namun pada bulan Ogos tahun ini telah timbul polimik yang cukup menarik perhatian seluruh warga bangsa Malaysia, iaitu siapakah pejuang dan siapakah petualang bangsa? Isu ini tiba-tiba timbul setelah 54 tahun tanah air kita merdeka. Setelah sekian lama kita diajar melalui buku-buku ilmu sejarah tentang para pejuang kemerdekaan yang hebat dan terbilang. Tersenarai ratusan nama para pejuang yang menggadai nyawa demi mempertahankan tanah air tercinta. Juga turut tersenarai nama-nama mereka yang gugur terkorban. Kesemua mereka itu sudah pasti berjuang dengan jiwa raga dan niat yang satu: menghalau penjajah!

Tetapi siapakah mereka itu? Pejuang atau petualang?

Kemudian di dalam kelocak isu tersebut muncul pula seorang ahli akademik tahap tertinggi, seorang professor mengeluarkan satu kenyataan yang amat mengejutkan: "Malaya Tidak Pernah Dijajah". Lalu berlakulah pertikaman pendapat di kalangan rakyat. Benarkah Malaya tidak pernah dijajah? Lalu masing-masing bertanya, kenapa British memeritah Tanah Melayu kemudiannya Malaya? Selepas Perang Dunia Kedua dan Jepun menyerah kalah, kenapa British kembali ke Tanah Melayu? Kenapa British beria-ia mahu melaksanakan pelan Malayan Union? Kenapa sepanjang British berada di Tanah Melayu (Malaya) segala urusan pentadbiran diuruskan oleh British? Kenapa hasil mahsul negara dikaut pulang ke Britain?

Kalaulah British hanya menjadi penaung atau pelindung Tanah Melayu (Malaya) kenapa kuasa Raja-Raja Melayu disekat? Kenapa anak bangsa tidak diberikan hak dan keistimewaan sewajarnya? Kenapa mata wang pada masa itu masih menggunakan lambang Queen?

Soalan yang berjela-jela makin mencurah-curah. Keliru berada pada tahap tertinggi. Seluruh warga jadi keliru hanya dengan sepotong kalimat: Malaya Tidak Pernah Dijajah!.

Bagaimana agaknya landskap sejarah negara lima puluh tahun dari sekarang jika kenyataan profesor tersebut diterima pakai? Aku tidak dapat bayangkan bagaimana kucar kacirnya kronologi sejarah bangsa yang mendiami Tanah Melayu-Malaya-Malaysia pada ketika itu nanti.

Jika waris-waris anggota polis, tentera dan pasukan keselamatan yang terkorban sejak sebelum 31 Ogos 1957 amat marah kerana kenyataan bahawa datuk, nenek dan ayah bonda mereka bukan pejuang kemerdekaan bagaimana pula agaknya reaksi waris-waris mereka yang selama 54 tahun ini telah dinobatkan sebagai pejuang kemerdekaan?

Jika Malaya tidak pernah dijajah, wujudkah pejuang kemerdekaan?

Aug 27, 2011

SELAMAT DATANG SYAWAL




RAMADHAN akan meninggalkan kita beberapa hari sahaja lagi. Ramadhan telah hampir menggenapi pusingannya untuk tahun ini dan akan bertandang lagi di tahun hadapan dan tahun-tahun selepasnya. Itu adalah ketentuan yang ditentukan oleh Maha Pencipta, Allah Yang Maha Agung.

Pemergiaan Ramadhan akan disusuli Syawal. Hari-hari Syawal adalah tanda kemenangan kepada orang-orang yang telah berjaya melepasi ujian Ramadhan. Syawal membawa erti kemenangan dan kejayaan. Lalu sambutan kemenangan dan kejayaan itu akan berlarutan selama sebulan!

Apakah wajar sambutan itu berlarutan begitu lama? Benarkan kita akan menyambut kemenangan dan kejayaan? Atau hanya mahu membalas dendam terhadap ujian sepanjang Ramadhan?

Tidak salah kita menyambut Syawal, tetapi biarlah berpada-pada. Jangan keterlaluan sehingga menimbulkan pelbagai kemurkaan Allah s.w.t. Persiapan menyambut Hari Raya lazimnya mengalahkan persiapan menanti ketibaan Ramadhan, bulan penuh keberkatan. Lihat sahajalah berbagai iklan pemasaran mula tersebar sebaik sahaja kita memulakan ibadah puasa. Tetapi jarang pula kedapatan iklan-iklan membesarkan kelebihan Ramadhan.

Marilah kita menyambut ketibaan Syawal nanti dengan sambutan penuh keinsafan. Sambutan yang diisi dengan memuji kebesaran dan keagungan Allah s.w.t melalui takbir dan tahmid. Di samping itu jauhilah daripada menunjuk-nunjuk serta bermegah-megah dengan segala keindahan dan kemewahan. Hindarkan rasa angkuh serta sombong daripada merajai jiwa. Pohon keampunan Allah s.w.t dan kemaafan sesama manusia.

Jangan lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Si fakir, si miskin serta mereka yang lemah dan tidak upaya termasuk juga mereka yang hatinya gundah gulana, sedih nestapa. Ingatlah bahawa mereka adalah sebahagian daripada kemanusiaan!

Di dalam rezeki yang kita perolehi sebenarnya ada hak dan bahagian insan-insan tersebut. Hulurkan hak itu kepada mereka supaya Syawal ini juga memberi makna kepada mereka. Yakinlah jika kita menghulurkan hak kepada yang empunya haknya, Allah s.w.t akan menggandakan lagi rezeki kepada kita semua.

Selamat berpisah wahai Ramadhan. Semoga Allah sw.t panjangkan usia kita untuk bertemu lagi di tahun hadapan, untuk merasai sekali lagi keberkatan yang disediakan oleh Allah s.w.t buat hamba-hamba-Nya yang mengerti kelebihan Ramadhan.

Selamat datang Syawal.

Aug 3, 2011

SOSEJ PULUT ADA DNA BABI

AHKBAR Harian Metro (Edisi Utara) terbitan hari ini, 3 Ogos 2011, di muka surat 8 telah memuatkan satu berita yang mengejutkan. Saya menatap tajuknya dan membaca beberapa kali sehingga saya yakin saya tidak tersilap. "Kesan DNA babi", begitulah tajuk berita tersebut.


KANGAR : Sosej pulut dan kepingan ayam (chicken cake) yang dijual di beberapa bazar Ramadhan di sini dan digemari ramai penduduk tempatan, disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.

Perkara ini disahkan Jabatan Kesihatan Perlis semalam selepas memperoleh keputusan analisis ke atas tujuh sampel awal yang dikumpulkan pihaknya di sekitar Sungai Bahru di sini dan daripada jumlah itu, dua disahkan mengandungi DNA babi.

Timbalan Pengarah (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) jabatan itu, Mahamad Sukor Senapi ketika dihubungi berkata, dua produk yang dijual tanpa jenama itu mengandungi DNA babi.

"Sejak tempoh dua minggu lalu, sekurang-kurangnya 16 sampel dikumpulkan di sekitar kawasan berkenaan susulan aduan orang ramai yang khuatir dengan status halal produk berkenaan yang dikatakan dibawa masuk secara haram dari Thailand.

"Buat masa sekarang, hanya dua daripada tujuh sampel awal disahkan mengandungi DNA babi dan kita masih menunggu hasil analisis baki sembilan lagi sampel yang dihantar bagi tujuan berkenaan", katanya.

Tinjauan Harian Metro di beberapa bazar Ramadhan di sini, semalam mendapati sosej yang murah dan mudah diperoleh itu menjadi pilihan segelintir peniaga di sini yang mendapatkannya daripada pengimport makanan sejuk beku dari Thailand.

Seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, makanan itu mudah dimasak dan mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

"Ia boleh disediakan dalam bentuk bakar atau kukus. Di Perlis, ia mudah didapati di kedai tepi jalan sekitar pesisir pantai dan pasar malam", katanya.

Sementara itu jurucakap Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) ketika dihubungi mengesahkan pihaknya kini memantau jualan produk sejuk beku berkenaan bersama Jabatan Kesihatan untuk memastikan peniaga benar-benar mematuhi dan menepati piawaian halal yang ditetapkan.

Katanya, dua sampel sudah disahkan mengandungi DNA babi dan ini bukan satu perkara kecil, lebih-lebih lagi makanan itu dijual kepada masyarakat Islam.

"Kita akan kumpul lebih banyak sampel untuk pastikan pemantauan yang lebih menyeluruh dan hasilnya akan dimaklumkan kepada umum untuk kepentingan ramai", katanya.

Membaca berita itu membuatkan saya tiba-tiba timbul rasa loya yang teramat sangat. Makanan seperti itu memang menjadi kegemaran orang ramai, terutama kanak-kanak. Tetapi kini orang ramai terutama masyarakat Islam bagai tertipu dengan perbuatan segelintir peniaga yang mementingkan keuntungan semata-mata. Walaupun para peniaga boleh mendakwa mereka tidak tahu makanan itu mengandungi DNA babi seperti hasil analisis Jabatan Kesihatan Perlis itu, namun mereka seharusnya berwaspada semasa mendapatkan bekalan. Para peniaga wajar meneliti dengan cermat sama ada bekalan makanan itu dari sumber yang halal atau sebaliknya.

Janganlah kerana hanya mengejar keuntungan, sanggup menjual produk haram kepada masyarakat Islam sendiri. Para peniaga mesti sedar tanggung jawab dan amanah yang dipikul supaya hasil pendapatan jualan mereka mendapat keberkatan Allah s.w.t. lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya yakin dan amat pasti, hasil pendapatan kerana menjual barangan haram adalah haram juga hukumnya.

Seperkara lagi yang amat merunsingkan saya ialah pihak bertanggung jawab jarang mahu menamakan jenama produk atau pengeluar serta pengedar produk-produk yang didapati haram kandungannya atau tidak mendapat kelulusan HALAL. Jika tidak disebut secara jelas jenama produk-produk tersebut, masyarakat Islam akan terus keliru. Maklumat itu adalah penting supaya umat Islam tidak terus menerus membeli dan menggunakan produk-produk tersebut.

Apa salahnya jika pihak berkuasa menyebut dengan terang dan nyata jenama produk-produk yang didapati mengandungi bahan-bahan haram di dalamnya. Ia merupakan maklumat penting untuk umat Islam supaya mereka sentiasa beringat dan mengelak daripada memberi produk-produk tersebut. Manakala pihak media pula perlulah dengan berani, apabila disahkan oleh pihak berwajib, mendedahkan berita produk-produk haram dengan tepat dan jelas serta mempamerkan jenama produk-produk terbabit termasuk pengeluar dan pembekalnya sekali.

Di muka surat yang sama, terdapat satu lagi berita bertajuk, "Dilema pengusaha kek lapis Sarawak', yang mengatakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengesahkan mentega berjenama terkenal dalam pembuatan bahan makanan tersebut tidak halal selepas dikesan mengandungi DNA babi.

Sekali lagi pihak berkuasa tidak menamakan jenama produk tenusu yang dimaksudkan itu. Ini akan menimbulkan berbagai kekeliruan di kalangan umat Islam keseluruhannya. Jika produk tersebut disahkan haram, pihak berkuasa perlulah dengan segera memaklumkan kepada pengguna jenama produk berkenaan. Kenapa masih perlu disembunyikan lagi?

Jul 22, 2011

SELAMAT DATANG RAMADHAN

REJAB telah berlalu, Syaban pula menghampiri hari-hari akhirnya. Menyusul selepas itu ialah Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan itu akan muncul lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Namun, bagaimanakah kita menyambut ketibaan bulan yang dijanjikan segala keberkatan oleh Allah s.w.t itu?

Ya sepatutnya kita menyambut ketibaan Ramadhan dengan penuh kesyukuran. Bersyukur kerana Allah s.w.t memanjangkan usia dan mempertemukan kita sekali lagi dengan Ramadhan pada tahun ini. Ada di antara rakan-rakan kita yang sama-sama meraikan Ramadhan pada tahun lalu kini sudah kembali ke rahmatullah.

Bersyukur kerana kita akan dapat melakukan ibadat Ramadhan sekali lagi manakala ada di antara rakan-rakan kita kini menderita berbagai penyakit yang tidak memungkinkan mereka melaksanakan rukun Islam ketiga itu. Malah kita harus bersyukur kerana Allah s.w.t masih sayangkan kita dan memberi kesempatan untuk kita merasai keberkatan yang bakal dicurahkan-Nya sepanjang Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi nanti. Seterusnya melatih kita menjadi seorang hamba yang bertaqwa.

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa". Ini merupakan perintah Allah s.w.t ke atas kita umat Islam untuk melakukan ibadat puasa semoga kita menjadi orang-orang yang bertaqwa.

Terdapat banyak kelebihan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain, di antaranya ialah:-


  1. Al-Qur'an diturunkan dalam bulan Ramadhan.

  2. Ramadhan adalah bulan yang di awalnya rahmat, di tengahnya keampunan dan penghujungnya merdeka daripada api neraka.

  3. Berpeluang merebut syurga Allah s.w.t berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w, Dari Abu Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w, "Telah datang kepadamu Ramadhan, bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibukak segala pintu syurga, ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan".

  4. Memohon keampuan Allah s.w.t sebanyak-banyaknya kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda, "Sesiapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan tulus ikhlas, nescaya diampunkan dosanya yang lalu".

  5. Adanya Lailatul Qadar iaitu satu malam yang amat istimewa yang tiada terdapat dalam mana-mana bulan lain selain Ramadhan sepertimana firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Qadr (ayat 1 - 5) yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah (malam yang berkat itu) hingga terbit fajar".

Justeru, marilah sama-sama kita menyambut ketibaan Ramadhan tahun dengan penuh kesyukuran di samping bersiap sedia untuk merebut peluang keemasan yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk melakukan sebanyak-banyak amalan dengan rasa keikhlasan yang sebenar-benarnya.

Rebutlah peluang ini kerana kita tidak pasti sama ada akan bertemu Ramadhan sekali lagi pada tahun hadapan ataupun tidak.