Ya sepatutnya kita menyambut ketibaan Ramadhan dengan penuh kesyukuran. Bersyukur kerana Allah s.w.t memanjangkan usia dan mempertemukan kita sekali lagi dengan Ramadhan pada tahun ini. Ada di antara rakan-rakan kita yang sama-sama meraikan Ramadhan pada tahun lalu kini sudah kembali ke rahmatullah.
Bersyukur kerana kita akan dapat melakukan ibadat Ramadhan sekali lagi manakala ada di antara rakan-rakan kita kini menderita berbagai penyakit yang tidak memungkinkan mereka melaksanakan rukun Islam ketiga itu. Malah kita harus bersyukur kerana Allah s.w.t masih sayangkan kita dan memberi kesempatan untuk kita merasai keberkatan yang bakal dicurahkan-Nya sepanjang Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi nanti. Seterusnya melatih kita menjadi seorang hamba yang bertaqwa.
Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa". Ini merupakan perintah Allah s.w.t ke atas kita umat Islam untuk melakukan ibadat puasa semoga kita menjadi orang-orang yang bertaqwa.
Terdapat banyak kelebihan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain, di antaranya ialah:-
- Al-Qur'an diturunkan dalam bulan Ramadhan.
- Ramadhan adalah bulan yang di awalnya rahmat, di tengahnya keampunan dan penghujungnya merdeka daripada api neraka.
- Berpeluang merebut syurga Allah s.w.t berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w, Dari Abu Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w, "Telah datang kepadamu Ramadhan, bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibukak segala pintu syurga, ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan".
- Memohon keampuan Allah s.w.t sebanyak-banyaknya kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda, "Sesiapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan tulus ikhlas, nescaya diampunkan dosanya yang lalu".
- Adanya Lailatul Qadar iaitu satu malam yang amat istimewa yang tiada terdapat dalam mana-mana bulan lain selain Ramadhan sepertimana firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Qadr (ayat 1 - 5) yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah (malam yang berkat itu) hingga terbit fajar".
Justeru, marilah sama-sama kita menyambut ketibaan Ramadhan tahun dengan penuh kesyukuran di samping bersiap sedia untuk merebut peluang keemasan yang disediakan oleh Allah s.w.t untuk melakukan sebanyak-banyak amalan dengan rasa keikhlasan yang sebenar-benarnya.
Rebutlah peluang ini kerana kita tidak pasti sama ada akan bertemu Ramadhan sekali lagi pada tahun hadapan ataupun tidak.
No comments:
Post a Comment