Pages

Apr 28, 2008

HIDUP BERMATLAMAT

Hidup tanpa matlamat umpama layang-layang tanpa teraju. Bukan sahaja tidak mampu menongkah angin, malah tidak berupaya melambungkan diri ke angin. Akhirnya, layang-layang tanpa teraju itu akan tersadai di atas tanah terdedah kepada hujan dan panas. Kesudahannya layang-layang itu terkoyak, reput dan menjadi sampah.
Tanpa mengira batas usia, setiap manusia wajar hidup bermatlamat. Ramai orang apabila ditanya soalan, apa matlamat hidup anda, akan memberi berbagai-bagai matlamat. Yang paling lazim saya dengar ialah: "Mahu menjadi insan sempurna". "Mahu berjaya di dalam kehidupan" atau "Mahu menjadi hamba Allah yang berjaya dunia dan akhirat". Persoalannya adakah semua itu matlamat yang sebenarnya?
Sebenarnya menetapkan matlamat tidak semudah yang disangka. Pada waktu kita di zaman kanak-kanak, bermacam-macam angan-angan bermain di fikiran kita. Jika kita tanya kepada anak-anak kecil, seawal usia 3 - 4 tahun, mereka sudah tahu menjawab. Tetapi semua yang disebutkan mereka bukanlah matlamat, itu semua hanyalah angan-angan sahaja.
Bila usia meningkat menjejaki alam awal remaja (10 - 13 tahun), kanak-kanak yang sama sudah tidak lagi mempunyai angan-angan yang sama sewaktu dia berusia 3 - 4 tahun dahulu. Mindanya telah mula terbuka, mula berfikir dan mula menyimpan impian. Seterusnya apabila dia meningkat usia (14 - 17 tahun), cita-citanya berubah lagi. Mungkin pada usia ini, remaja itu sudah dapat membuat pertimbangan dengan lebih waras, arah tuju masa depannya terutama di dalam bidah akademik dan kerjaya yang bakal ditempuhinya nanti. Tetapi itu masih belum merupakan matlamat.
Jadi bagaimana sebenarnya menetapkan matlamat? Banyak yang perlu diketahui dan dipelajari. Salah satu yang amat perlu ialah mengenali diri sendiri.

1 comment:

  1. Mengenali diri sendiri ada lah satu proses yang amat panjang, yang juga berkemungkinan tidak ada penghujung nya, selagi kita masih hidup dan masih bernafas.

    ReplyDelete