Pages

Apr 16, 2008

CERIAKAN HARIMU

Keceriaan akan terpancar apabila hati dan perasaan tidak gundah gulana. Belajarlah menerima ketibaan setiap hari dengan perasaan tenang tanpa sebarang prasangka. Setiap pagi sewaktu bangun dari tidur, lapangkan pemikiran anda. Selepas menunaikan solat subuh, teruskan dengan senaman. Jangan tidur lagi kerana itu akan melemahkan tubuh badan anda.

Mulakan kegiatan dengan perasaan gembira. Elakkan daripada memikirkan hal-hal negatif atau jangkaan yang tidak berasas. Senyum adalah senjata paling ampuh untuk menceriakan hari anda. Semasa anda bersenam, mulakan dengan senyuman, baik bersenam bersendirian apatah lagi jika anda bersenam di tempat awam. Senyum di waktu pagi akan mendorong minda anda supaya berfikir hal-hal yang positif dan akan terhindarlah perasaan negatif daripada menguasai perasaan anda.

Bayangkan jika anda senyum kepada setiap orang yang anda jumpa sewaktu bersenam di tempat awam, anda bukan sahaja akan menceriakan diri anda, malah akan membantu menceriakan orang lain. Bayangkan berapa banyak manfaat yang akan anda terima, kerana "senyuman itu adalah sedekah" (mafhum sabda Rasulullah s.a.w).

Sebenarnya anda sedikitpun tidak akan rugi jika memberikan senyuman kepada sesiapa sahaja yang anda temui sepanjang hari ini.

2 comments: