Pages

Feb 24, 2010

SETELAH 10 TAHUN

TAHUN INI genaplah sepuluh tahun. Sepuluh tahun yang lalu ialah tahun 1999. Sepuluh tahun berlalu terasa amat pantas. Usia yang bertambah juga teramat cepat rasanya.

Tahun 1999 kami datang bersama-sama, menyahut panggilan sebagai Tetamu Allah. Menjejaki tanah para ambiya' yang penuh barakah. Mengunjungi Ka'abah, Rumah Allah yang pertama terbina di bumi oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s

Tiada sedetik waktupun kota Makkah sunyi atau ketiadaan manusia. Setiap detik waktu Ka'abah dikunjungi, Masjidil Haram dipenuhi setiap sudutnya. Hamba-hamba-Nya yang dijemput sebagai Tetamu telah menikmati keindahan setiap detik berada di sana. Segalanya amat mengasyikkan dipenuhi keinsafan yang lahir dari hati nurani. Bukan dibuat-buat atau dipaksa-paksa. Pengalaman yang dilalui terlalu sukar untuk dipadam dari lipatan kenangan.

Ukhuwah semakin erat, meskipun sebelumnya tidak pernah kenal mengenali. Tetapi oleh kerana tinggal sekamar selama hampir 40 hari di tanah suci, keakraban amat terasa. Begitupun singkat waktu berada di Arafah atau Mina, kenangan mesra amat sukar dilupakan.

Tetapi selepas sepuluh tahun, ke mana perginya Haji Mamat (Kemaman, Terengganu), Haji Fauzi (asal Simpang Empat Alor Setar tetapi menetap di Sarawak), Haji Senapi, Hj Zubir @ Pak Lang Zubir (Anak Bukit, Alor Setar) dan yang lain-lainnya?

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
SEJAK beberapa bulan yang lepas isteriku sering bersungut, "apa khabar Kak Zah agaknya. Rindu benar untuk berjumpa semula".

Rupa-rupa rasa rindu itu adalah perkhabaran. Tetapi kelemahan manusia tidak dapat meneka apakah sebenarnya yang muncul di dalam ingatan rindu tersebut.

"Betulkah ini Kampung Chulik?".

"Ya, ini Kampung Chulik", balas mak cik berusia lewat 70-an pemilik kedai runcit yang usang di hujung kampung itu sewaktu kami berhenti bertanya.

"Kami sedang mencari seseorang. Makcik tahu di mana rumah Hajjah Azizah?".

Terkebil-kebil biji mata makcik tersebut memandang ke arah kami. Beberapa ketika dengan nada yang amat berat dia memberitahu, "Hajah Azizah Mat Ali sudah tak ada lagi. Sudah meninggal sehari sebelum Ramadhan dua tahun yang lepas".

Sebak di hati membuak-buak. Isteriku sudah tidak dapat menahan perasaannya lagi, meruntun bahuku dengan esakan yang teramat sangat. Tidak lama terasa bahuku panas oleh air matanya.

Semoga Allah tempatkan roh Kak Zah bersama roh-roh para muslimin dan muslimat yang mendapat keberkatan-Nya.

Al-Fatehah
____________________________________________

"Setiap yang hidup akan merasai mati".
____________________________________________

Feb 18, 2010

MEMINTA, MEMOHON, MERAYU

UNTUK mendapatkan sesuatu yang dihajati kita perlu sama ada meminta, memohon ataupun merayu. Tiada siapa yang akan dapat memenuhi hajat kita jika kita tidak menyatakan permintaan kita itu. Lazimnya kita tidak membezakan di antara ketiga-tiga perkara ini walaupun sebenarnya memang terpadat perbezaan yang jelas. Kemungkinan lain ialah kita tidak faham apakah sebenarnya perbezaan-perbezaan itu.

Pernahkah anda mendengar rungutan seseorang, ataupun anda sendiri berungut, kenapa permintaan anda tidak berjaya? Anda harus menilai kembali di manakah letaknya permintaan anda itu.

Meminta adalah pernyataan yang lahir secara luaran, tidak tercetus dari dalam diri sendiri. Anda meminta sesuatu perkara tidak dengan bersungguh-sungguh. Sambil lewa atau sekadar melafazkannya sahaja. Anda hanya meminta dan tidak begitu mengharapkan permintaan itu diperkenankan.

Memohon pula adalah pernyataan yang tercetus dari hati, dilafazkan dengan rasa rendah diri supaya permohonan itu akan diterima, diluluskan atau dimakbulkan.

Merayu adalah tahap yang lebih tinggi kerana pernyataan itu tercetus dari dalam lubuk sanubari, dilafazkan dengan penuh kerendahan dengan meletakkan sepenuh pengharapan semoga rayuan itu dimakbulkan sepenuhnya. Dalam keadaan begini, si perayu lazimnya akan menangis minta dikasihani dan merayu supaya rayuannya ditunaikan.

Kita sering berdoa, setiap kali selepas solat tanpa gagal. Tetapi apakah doa kita itu di dalam kategori meminta atau memohon atau merayu? Kita harus bertanya kepada diri sendiri dan berusaha memperbaikinya dari masa ke semasa supaya doa kita itu dimakbulkan Allah s.w.t

Doa yang dipanjatkan tanpa kesungguhan pastinya tidak mendapat perhatian sewajarnya. Benar, Allah s.w.t akan memakbulkan segala doa hamba-Nya. Tetapi doa yang bagaimanakah yang akan lebih diterima dan dimakbulkan Allah?

Adakah hanya sekadar meminta? Atau memohon? Atau merayu dengan sepenuh jiwa?
__________________________________________________

"Berdoalah dengan penuh pengharapan agar Allah memakbulkan"
__________________________________________________

Feb 16, 2010

SEMUA KEDAI TUTUP

CUTI Tahun Baru Cina secara rasminya selama dua hari sahaja. Semua pejabat Kerajaan, sekolah, institusi kewangan, industri dan semua pejabat swasta bercuti selama dua hari mengikut Akta Pekerjaan yang digunapakai di Malaysia sekarang ini.

Ini bermakna selama dua hari itulah semua kegiatan perniagaan, urusan pentadbiran, persekolahan dan lain-lain tidak berjalan. Penghantar surat khabar pun bercuti. Kalau hendak baca surat khabar kena pergi beli sendirilah jawabnya.

Tetapi yang peliknya, kenapa dua hari cuti Tahun Baru Cina, kedai-kedai milik orang Melayu dan India ikut tutup sama? Sedangkan itu semua perniagaan mereka sendiri, tidak melibatkan kaki tangan atau pekerja yang digaji yang perlu diberi cuti mengikut akta perundangan. Pelik!

Namun itulah kebenarannya. Sampaikan kedai gunting rambut pun tutup! Anak saya mahu menggunting rambut dan saya bawa ke beberapa buah kedai gunting rambut yang lazim saya kunjungi. Satu pun tidak beroperasi. Itu yang menghairankan saya. Puas berpusing di bandar, saya mahu beli sedikit makanan. Sekali lagi saya rasa pelik, warungpun tidak ada yang dibuka!

Sebenarnya siapa yang bercuti? Siapa yang rugi?
_______________________________________________

"Jangan terlalu bergantung harap kepada seseorang atau sekumpulan orang kerana jika mereka itu tidak membantu, kita sendiri yang akan rugi"
_______________________________________________

Feb 14, 2010

DALAM SEMINGGU INI ....

DALAM seminggu ini, berbagai berita terpapar di dalam media. Terpancar melalui kaca TV di rumah kita. Berbagai berita; sedih, pilu, suka, gembira, hampa, kecewa dan macam-macam lagi.

Kejadian jenayah pembuangan bayi semakin menjadi-jadi. Dalam tempoh 4 hari yang lepas sahaja, beberapa kes jenayah tersebut terpampang di akhbar-akhbar. Tergamaknya mereka membuang bayi di dalam semak, di tepi longkang dan di tepi masjid. Kesemua bayi malang itu sudah lahir dengan sifat yang sempurna sebagai seorang manusia. Cuma kesempatan mereka menghirup oksigen terlalu singkat. Nyawa mereka dikorban demi mahu menutup malu dan aib yang dilakukan pasangan-pasangan yang tidak bertanggung jawab.

Namun yang paling menyayat hati ialah kisah pembuangan seorang bayi di dalam tong sampah dan kemudiannya dibakar! Sugguh zalim penjenayah tersebut. Lebih zalim daripada manusia di zaman jahilliyah dahulu kala! Kalau haiwan sayangkan anaknya, manusia jenis ini tentulah hatinya lebih hina daripada hati seekor haiwan!

* * * * * * * * * * * * *

SETELAH isu penggunaan perkataan 'ALLAH' yang heboh diperdebatkan tidak lama dahulu, tiba-tiba kita terkejut dengan penangkapan seorang penyebar ajaran sesat bersama beberapa orang pengikutnya di Putrajaya. Sedihnya, penyebar ajaran sesat tersebut adalah seorang berbangsa Melayu dan begitu juga para pengikutnya. Bukankah secara dasarnya di Malaysia ini, Melayu itu beragama Islam? Berpegang dan mengamalkan ajaran-ajaran Islam yang suci? Namun, kenapa masih terdapat ajaran sesat bergerak di sana sini?

Yang lebih aneh dan peliknya, kenapa masih ada yang percaya dengan ajaran-ajaran seperti itu yang jelas terpesong daripada landasan ajaran Islam? Begitulah sifatnya orang Melayu (yang tipis imannya terhadap Islam) mudah sangat menerima bulat-bulat apa sahaja yang diajarkan oleh orang yang membawa sesuatu ajaran baharu. Apakah para pengikut itu tidak mengesyaki tujuan dan matlamat guru mereka itu atau mereka sebenarnya sudah tidak meyakini ajaran Islam yang sebenarnya?

"Ya Allah, jauhkanlah aku, keluargaku, sahabat-sahabatku serta seluruh umat Islam daripada terjebak ke dalam kancah ajaran sesat lagi menyesatkan".

* * * * * * * * * * * * *

KEKECEWAAN terpancar di wajah para pencinta keadilan yang sekian lama mengharapkan keputusan menyebelahi mereka apabila Mahkamah memutuskan sebaliknya. Keputusan yang pahit untuk ditelan itu telahpun dilafaz dan dirakamkan menjadi sejarah. Maka ia akan kekal menjadi sejarah untuk dijadikan rujukan pada masa-masa hadapan. Ia tidak dapat dipadamkan lagi.

Rakyat Perak yang mendoakan supaya YB DS Nizar dinobatkan kembali sebagai Menteri Besar akhirnya terpaksa akur dengan keputusan 5-0 oleh para hakim yang mengadili kes berkenaan. Raung tangis dan rintih pilu kedengaran di merata tempat. Mereka masih mengharapkan ada ruang supaya demokrasi tidak dimatikan. Tetapi keputusan sudah dibuat. Mereka harus membuktikannya dalam Pilihanraya ke 13 nanti.

* * * * * * * * * * * * *

SETIAP kali musim perayaan menjelang, ikut sama diuar-uarkan ialah OP SIKAP yang diadakan bagi mencegah berlakunya kemalangan jalan raya sepanjang sambutan perayaan tersebut. Minggu ini Malaysia bercuti kerana menyambut Tahun Baru Cina. Op Sikap pun dilancarkan seperti lazimnya.

Namun, sama seperti Op Sikap-Op Sikap yang terdahulu sejak lebih 20 kali dilancarkan, bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya tidak pernah tidak berlaku. Malah pada hari pertama Op Sikap dilancarkan kali ini, kemalangan yang meragut nyawa sudah berlaku. Sehingga kini sahaja bilangan kemalangan sudah mencanak naik dan kematian juga semakin bertambah. Apakah malangnya rakyat Malaysia tiada siapa yang tahu.

Lebuh raya, jalan raya persekutuan dan jalan bandaran semuanya dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Kesemua itu untuk keselesaan pengguna jalan raya. Semua rakyat Malaysia! Tetapi yang malangnya ialah bilangan yang menjadi korban jalan raya semakin bertambah. Apakah puncanya yang mengakibatkan kemalangan-kemalangan ngeri seperti yang dilaporkan setiap hari itu?

Berkesankah Op Sikap yang dijalankan setiap musim perayaan itu? Apakah sikap pengguna jalan raya sudah berubah hasil daripada Op Sikap yang diadakan sudah lebih 20 kali itu?

Pagi kelmarin saya memandu Kancil berkunjung ke rumah ibu sempena cuti Tahun Baru Cina. Memandu dengan kelajuan antara 90 - 100 KM/jam di lebuh raya dengan selesa. Tetapi sewaktu tiba di KM 83.5 tiba-tiba sebuah bas ekspres dua tingkat berwarna merah putih dengan laju memotong Kancil EZ850 yang saya pandu. Dengan gaya penuh bangga dan ego, bas itu meluncur laju dan dalam masa tidak sampai 3 minit, bas itu sudah jauh meninggalkan saya yang masih memandu dengan kelajuan 100 KM/jam.

Berapakah kelajuan bas tersebut? Bukankah terpampang di bontot bas itu tanda had laju yang diizinkan? Tetapi apakah pemandu bas tersebut mematuhinya? Itulah sikap namanya. Sikap yang tidak mengendahkan langsung peraturan yang ditetapkan. Telah banyak kali berlaku kemalangan di lebuh raya yang menyebabkan kematian para penumpang bas ekspres yang dipandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan. Sudah ramai pemandu disaman, syarikat bas diberi amaran dan dilarang meneruskan perjalanan bas-bas mereka. Namun, kenapa keadaan seperti di lebuh raya pagi tadi masih terus berlaku?

Semuanya adalah kerana SIKAP yang tidak berubah!

* * * * * * * * * * * * *

SAMA jugalah dengan kisah penangkapan oleh Jabatan Agama Islam terhadap pasangan-pasangan yang tidak mengendahkan segala pemberitahuan serta hebahan yang dilakukan pihak berwajib. Sambutan Valentine Day 14 Februari adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Sudah beratus kali hebahan itu dipaparkan. Sudah berbuih mulut para pendakwah menyampaikannya, memberi amaran supaya umat Islam tidak menyambut hari tersebut sepertimana disambut oleh penganut Kristian.

Tetapi di dalam sebuan ke hotel-hotel murah di berapa buah bandar, ternyata yang ditangkap adalah remaja Melayu (Islam). Amat memalukan! Amat dikesalkan kerana mereka seperti tidak mengendahkan langsung segala maklumat yang disampaikan. Atau mungkinkah mereka tidak percaya bahawa Valentine Day itu tidak boleh disambut oleh umat Islam.

Itu di hotel-hotel murahan. Bagaimana agaknya di hotel-hotel berstatus bintang? Di rumah-rumah penginapan eksklusif? Di Kelab-kelab berprestij? Wallahu'alam.

Namun, semua yang berlaku itu adalah berpunca daripada SIKAP manusia yang tidak mahu berubah!

_______________________________________________________

"Sikap bukanlah seperti ukiran di batu yang kekal selama-lamanya. Sikap boleh berubah dan yang dapat mengubahnya adalah diri manusia itu sendiri"
_______________________________________________________

Feb 1, 2010

SETELAH SEBULAN BERLALU

HARI ini, 1 Februari 2010. Sudah sebulan masa berlalu meninggalkan kita semua di dalam tahun 2010 yang baru sahaja kita sambut ketibaannya. Sebulan bulan Januari ialah 31 hari atau 744 jam lamanya. Ertinya kita sudah kehilangan 744 jam daripada keseluruhan usia kita. Berapa jam lagi berbaki? Tiada siapa yang tahu atau dapat memberikan jawapannya.

Merenung kembali 744 jam yang telah berlalu itu, berapa jamkah yang kita pergunakan dengan sebaik-baiknya. Berapa jamkah pula yang sudah kita bazirkan tanpa sebarang usaha bermanfaat? Ramai yang mengeluh, "Cepatnya masa berlalu. Tidak sedarpun sudah sebulan hilang". Saya yakin saudara juga sedemikian.

Kenapa terjadi begitu? Sedangkan ada orang yang dapat memanfaatkan hampir 80% daripada 744 jam itu dengan cara yang sihat. Atau mungkin ada yang memanfaatkan 100% masa tersebut. Tanya pada diri sendiri kemanakah kita habiskan 744 jam itu? Selain bekerja 8 jam sehari selama 21 hari sepanjang Januari dan 10 hari hujung minggu kemana lagi baki masa itu dihabiskan? Tolak waktu rehat (makan, mandi, tidur) berapa lagi bakinya?

Saya pasti jika dihitung dengan teliti, saudara akan dapati banyak lagi masa yang berbaki, tetapi tidak diketahui untuk apa masa itu telah dipergunakan? Jika diandaikan setiap satu jam yang digunakan dengan bermanfaat itu bernilai RM100, manakala setiap satu jam yang tidak tahu kemana hilangnya itu dipotong RM50 daripada jumlah yang diperolehi, hitunglah berapakah keuntungan saudara. Dan berapakah pula kerugian yang saudara alami?

______________________________________________

"Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian....."
______________________________________________

Jan 30, 2010

CERAMAH DI MERDEKA BEACH RESORT

27 & 28hb Januari, 2010 - bertempat di Merdeka Beach Resort, Pantai Merdeka, Kedah Darul Aman, saya hadir menyampaikan ceramah kepada pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah. Dua slot ceramah di dalam dewan telah memberi kesempatan kepada saya mencurahkan sedikit sebanyak pengalaman kepada para peserta. Rata-rata semua peserta berusia di dalam lingkungan 28 - 40 tahun, kecuali seorang sahaja yang mengaku berusia lebih 50 tahun.

Budaya Kerja Sihat dan Menjana Kecemerlangan Melalui Kerja Berpasukan adalah dua topik yang saya sampaikan. Pada 27hb, bermula 9.00 malam saya sampaikan topik pertama. Saya menilai penerimaan peserta sekadar lingkungan 50 - 60% sahaja. Kemungkinan faktor keletihan minda menyebabkan penerimaan sedemikian. Hampir kesemua peserta kurang memberikan respons sehinggalah saya mendera mereka dengan permainan 'baling membaling' surat khabar lama. Selepas itu nampaklah sedikit respons. Alhamdulillah.

Esoknya, selepas sesi senamrobik, para peserta sekali lagi berhadapan dengan saya di dalam topik kedua mulai 9.00 pagi hingga 11.45 pagi. Saya mulakan dengan menarik perhatian mereka tentang pentingnya fokus terhadap sesuatu perkara, baik dalam kerjaya mahupun di dalam kehidupan sehari-hari. Tanpa fokus, tidak mungkin sesuatu kerja itu dapat dilaksanakan dengan cemerlang. Saya tekankan tentang pentingnya setiap orang memberi fokus sepenuhnya terhadap apa sahaja yang dilakukan, lebih-lebih lagi jika melibatkan kerja berpasukan.

Saya tegaskan, "there is no I or U in a TEAM. I and U are eliminated in a TEAM. There is only WE in a TEAM". Para peserta faham maksud yang saya sampaikan. Akhir sekali saya berikan satu permainan berpasukan (team building game) untuk menilai setakat mana nilai-nilai kerja berpasukan dilaksanakan oleh para peserta. Dari penilaian saya, hampir 85% unsur-unsur kerja berpasukan telah diaplikasikan oleh para peserta. Akhirnya Kumpulan 1 telah berjaya melaksanakan tugasan yang diberikan dengan jayanya. Tahniah kepada Kumpulan 1!

Sayangnya saya tidak dapat menyertakan gambar di sini kerana masih menunggu kiriman email daripada En Othman atau mana-mana peserta.

Walau bagaimanapun, sebagai kesimpulannya, saya tegaskan terdapat tiga kelompok manusia di dalam mana-mana kumpulan, iaitu Leader (Pemimpin), Followers (Pengikut) dan Passengers (Penumpang). Cubalah sedaya upaya jangan menjadi penumpang di dalam sesebuah pasukan kerana penumpang hanya membebankan. Penumpang tidak memberi apa-apa sumbangan melainkan hanya mahu sampai ke tempat tujuannya sahaja. Penumpang hanya mengharapkan orang lain menyelesaikan masalah untuknya. Ini adalah sikap yang amat tidak sesuai di dalam sesuatu kumpulan.

_______________________________________________________________

"Elakkan diri anda daripada menjadi penumpang yang tidak memberi sebarang makna kepada kecemerlangan pasukan".
_______________________________________________________________

Jan 17, 2010

MURNI KASIH


SEPANJANG seminggu berbagai berita terpapar di media. Berbagai cerita suka dan duka disiarkan. Berita-berita setempat, sedaerah dan senegeri hinggalah berita sedunia telah dipaparkan sama ada melalui akhbar-akhbar arus perdana ataupun melalui media elektronik. Semuanya telah kita baca dan kita tonton.

Daripada kesemua berita tersebut tentu ada suatu atau dua berita yang menyentuh perasaan kita. Sama ada berita tentang kemalangan negeri di waktu subuh atau berita tentang seorang ibu yang sanggup membakar dirinya sendiri akibat sikap anak gadisnya yang degil. Mungkin juga berita tentang gempa bumi di Haiti yang mengorbankan puluhan ribu penduduknya atau mungkin juga peristiwa gerhana matahari yang berlaku 15 Januari lepas genap 15 hari selepas berlakunya gerhana bulan pada 1 Januari dahulu.

Namun bagi saya ada satu berita yang amat berkesan di jiwa saya. Di dalam sebuah akhbar tabloid saya terbaca kisah seorang ayah yang ditinggalkan anak kandungnya sendiri di perhentian bas berhadapan sebuah sekolah di Kangar, Perlis. Perbuatan anak tersebut ternyata perbuatan yang tidak berhati perut dan tidak mengenang budi. Ayahnya yang baru selesai menjalani pembedahan jantung serta masih lagi menderita kesakitan ditinggalkan begitu sahaja. Alasannya, ayahnya itu menyusahkan hidup dia dan keluarganya.

Bayangkanlah, betapa lunturnya rasa hormat dan kasih seorang anak terhadap ayah kandungnya yang sudah tua dan tidak berdaya. Siapakah yang bersalah di dalam soal ini? Anak atau ayah?

Dalam isu yang sama iaitu isu kasih sayang anak terhadap ayah dan ibu kandung sekali lagi menggegar perasaan saya apabila tersiar di dalam TV kisah seorang ayah yang ditinggalkan di pusat hemodelisis dan tidak diambil pulang oleh anak lelaki yang menghantarnya ke situ. Esak tangis ayah yang sudah tua itu terpampang di dalam TV sewaktu Jabatan Kebajikan Masyarakat datang untuk membawanya ke rumah kebajikan. Bayangkan betapa hancurnya perasaan si ayah tersebut akibat perbuatan anak lelakinya itu.

Saya semakin tersentuh lagi apabila di dalam rancangan Semanis Kurma yang lepas kisah yang hampir sama, malah lebih tragis lagi, telah berlaku di dalam masyarakat kita. Kisah seorang ibu yang diundang ke studio membicarakan tajuk 'Air mata ibu' telah menceritakan bagaimana perasaan rindunya kepada anak-anaknya yang terpisah setelah dia diceraikan bekas suaminya 18 tahun yang lalu. Dia yang teramat merindui anak-anaknya tidak putus-putus berdoa ke hadrat Allah s.w.t supaya dipertemukan dengan mereka.

Akhirnya apabila dipertemukan, perkara yang amat tidak diduga telah berlaku ke atas dirinya akibat perbuatan anak kandungnya sendiri. Dengan esak tangis penuh duka nestapa, si ibu menceritakan peristiwa malang yang menimpa dirinya. Dia dirogol anak lelakinya sendiri! Na'uzubillah...

Sudah hilangkah pertimbangan di hati anaknya itu bahawa perempuan yang didurjanainya itu adalah perempuan yang telah mengandung dan melahirkannya? Apakah dia sudah tidak punya sekelumit kasih terhadap ibunya itu lagi? Apakah puncanya sehingga tergamak dia melakukan perbuatan sekeji itu terhadap insan yang telah melahirkannya ke dunia fana ini?

"Ya Allah, peliharakanlah zuraitku dan keluargaku daripada perbuatan-perbuatan yang engkau benci yang menyebabkan kami terhumban ke neraka-Mu. Ya Allah, berikan petunjuk yang jelas dan nyata untuk kami melalui jalan-Mu sehingga kami temui makna kasih sayang yang sejati".


_______________________________________________________________

"Kasih sayang seorang ibu atau ayah tidak pernah dapat dinilai kemurniaannya oleh anak-anak sehinggalah ibu atau ayah itu meninggal dunia. Ketika itu baharulah anak-anak akan mengenangkan segala kebaikan mereka namun pada waktu itu segalanya sudah terlambat"
_______________________________________________________________

Jan 13, 2010

PETAKA AWAL TAHUN

SUDAH dua minggu kita berada di tahun baru, 2010. Ini kali pertama saya menulis di blog ini. Bukannya tidak ada idea untuk menulis, cuma kesuntukan masa untuk mengarang. Ah, terpulanglah sama ada percaya atau pun tidak.

Petaka Awal Tahun. Tiba-tiba sahaja judul ini menerpa ke minda. Ya, rasanya judul ini sesuai sekali kerana sememangnya awal 2010 ini dimulai dengan petaka yang menimpa akibat daripada keputusan hari terakhir 2009 di Mahkamah.

Setelah sekian lama kita menghirup udara muhibbah yang nyaman tanpa sebarang kejadian buruk yang tidak diingini. Setelah sekian lama benih-benih perpaduan yang ditanam, dibaja dan disiram mula tumbuh segar, tiba-tiba awal tahun ini terasa ada api yang mula membakar. Dan api ini terlalu bahaya jika dibiarkan maraknya terus membakar! Mungkin seluruh ladang akan menjadi padang arang dan debu! Terlalu ngeri jika cuba dibayangkan.

Jika petaka yang tercetus itu hanyalah kerana sepatah kalimat, apakah tiada jalan lain untuk meluahkan kata-kata di tempat yang sesuai? Di dalam suasana yang harmoni dan nyaman? Di antara semua pihak dan semua yang berkepentingan? Bukankah muzakarah itu lebih baik dan murni sifatnya daripada melaung serta menjerit tidak tentu pasal yang belum tentu untung dan ruginya?

Nanti di meja muzakarah, tanyalah kepada mereka yang terlalu inginkan sepatah kalimat itu. Jika ikhlas ingin menggunakan kalimat tersebut, nilaikan kembali harga kalimat itu. Jika benar kalimat itu kalimat agung, maka mereka perlu menganggap Keagungan itu hanyalah milik Yang Satu. Buangkan Yang Tiga Bertiga itu. Akuilah sahaja Kebenaran Yang Maha Benar. Mahukah mereka mengakui kesilapan yang mereka anuti dan perjuangkan selama ini?

Itulah perlunya muzakarah. Itulah perlunya persefahaman. Semoga petaka awal tahun ini tidak berlarutan dan berpanjangan.

Wallahu 'alam.

Dec 27, 2009

KESEDIHAN AKHIR TAHUN

HARI INI kita semua sudah tahu, sama ada melalui TV atau media cetak, berita sedih dan menyayat hati seluruh rakyat Malaysia. Kemalangan di Lebuh raya Utara Selatan berhampiran Ipoh telah meragut 10 nyawa awal pagi semalam. Ia bukanlah kemalangan pertama yang berlaku malah sudah berpuluh kali kemalangan seumpama itu terjadi. Kesedihan amat dirasai oleh ahli keluarga malang tersebut, sama ada anak-anak, saudara mara, bakal tunang, kawan rakan dan sebagainya.

Seingat saya kemalangan di tempat yang sama sudah banyak kali berlaku. Semasa TOL Jelapang masih belum dirobohkan, beberapa kemalangan ngeri telah berlaku, sama ada dari arah selatan atau dari arah utara. Lalu mantan Menteri Kerja Raya menyarankan TOL Jelapang ditutup dan digantikan dengan TOL yang ada pada masa ini. Alasannya kerap sangat berlaku kemalangan di tempat yang sama.

Tetapi setelah TOL tersebut berpindah tempat dengan menelan belanja yang sekian banyak, kemalangan tetap berlaku. Pernah berlaku kejadian malang kenderan berat melanggar pondok TOL berkenaan. Ada juga kemalangan sebelum atau selepas TOL tersebut. Dan yang terkini ialah kemalangan ngeri dua hari lepas. 10 penumpang Sani Express telah meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandunya mengaku terlelap seketika sebelum kejadian ngeri itu berlaku.

Pernah suatu ketika dahulu selepas satu kemalangan ngeri pihak berkuasa telah mengadakan penguatkuasaan di setiap terminal bas sebelum bas bertolak. Anggota penguatkuasa telah ditempatkan di terminal untuk memeriksa dan mempastikan beberapa syarat dipatuhi. Di antaranya ialah setiap bas ekspres mempunyai dua orang pemandu, ujian air kencing dilakukan sebelum perjalanan bermula, pemeriksaan tiket penumpang dan sebagainya. Apakah tindakan tersebut berkesan? Satu persoalan lagi apakah tindakan penguatkuasaan itu masih berterusan hingga kini? Atau sudah diberhentikan kerana berbagai alasan yang tidak dimaklumkan kepada rakyat?

Kemalangan akan terus berlaku kerana ia adalah kemalangan. Sesuatu yang tidak diduga akan berlaku atau ia berlaku di luar jangkauan fikiran dan perkiraan manusia. Namun kemalangan boleh dikurangkan atau dicegah jika sekiranya langkah-langkah awal diambil. Sekiranya berlaku juga itu adalah takdir. Tetapi ikhtiar harus ada, usaha perlu dibuat, tindakan mesti diambil.

Pihak pengusaha bas ekspres perlu memulakan langkah awal. Pendidikan dan ilmu pengatahuan perlu diterapkan ke dalam diri setiap pemandunya. Berikan sedikit sebanyak suntikan kerohanian supaya pemandu-pemandu sentiasa faham peranan dan tugas mereka bukan hanya untuk memandu kenderaan tersebut dari satu terminal ke destinasi yang lain. Mereka juga perlu bertanggung jawab sepenuhnya terhadap keselamatan para penumpang.

Fahamkan para pemandu bahawa mereka perlu sentiasa menggantungkan harapan kepada Allah supaya perjalanan mereka akan selamat. Tiada sebarang kejadian buruk berlaku. Mereka semua perlu diajar beberapa doa sebelum dan semasa perjalanan. Ajarkan mereka supaya berhenti di R&R yang bersesuaian bagi membolehkan para penumpang beragama Islam menunaikan solat. Jangan terlalu mengejar waktu sehingga terlepas solat yang wajib dilakukan.

Saya pernah menaiki bas ekspres ke KL dan tempat-tempat lain. Kerap berlaku pemandu bas tidak berhenti di R&R di sepanjang PLUS, tetapi berhenti di tempat-tempat lain seperti hentian sebelah atau keluar dari lebuh raya untuk berhenti di kedai-kedai makan yang mungkin sudah ditentukan oleh pihak pengurusan. Akibatnya ramai penumpang beragama Islam yang tidak sempat bersolat. Pemandu perlu ditarbiyahkan tentang perkara ini supaya sepanjang perjalanan itu sentiasa di dalam peliharaan Allah s.w.t. Justeru, pemandu itu sendiri mestilah bersolat!

Sikap pemandu yang cuai, memandu melebihi had kelajuan, memandu secara tidak berhemah adalah penyumbang kepada kejadian kemalangan. Lalu pihak pengurusan perlu juga memberi motivasi kepada para pemandu mereka. Ataupun pihak LPKP mesti mewajibkan setiap pemandu mengikuti program motivasi dan kerohanian untuk tempoh masa yang ditetapkan. Wajibkan setiap pengusaha menghantar para pemandu mereka mengikuti program berkenaan.

Setelah segala ikhtiar dijalankan barulah selebihnya kita serahkan kepada Allah s.w.t. Tetapi lazimnya kita berserah tanpa berusaha.
________________________________________________________
"Setiap yang berlaku adalah kehendak Allah, doa dan ikhtiar dapat menghindar petaka yang tidak diingini berlaku"
________________________________________________________


Dec 16, 2009

PENANTIAN SUATU PENYIKSAAN?

BENARKAH penantian itu suatu yang menyiksakan? Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang pernah melalui pengalaman menanti seseorang atau sesuatu. Pasti ada perasaan resah, sangsi, curiga, tidak sabar dan sebagainya.

Jarang benar ada orang yang tidak berperasaan sedemikian ketika menanti ketibaan orang atau tarikh dan waktu yang dijanjikan. Selagi tidak bertemu dengan orang atau tiba tarikh dan waktu itu, berbagai perasaan bergelodak di dalam hati. Pada waktu itu timbullah bermacam-macam andaian dan sangkaan yang bukan-bukan.

Jika kita sedang menanti untuk bertemu seseorang, hati akan sentiasa berdegup kerana berbagai persoalan bermain di dalam benak kita. Sama jugalah jika kita sedang menanti untuk mendapatkan sesuatu keputusan, perasaan kita tidak akan merasa tenteram sehinggalah kita mendapat keputusan itu.

Tetapi ada juga orang yang tenang semasa menanti seakan-akan tiada apa yang mengganggu perasaannya. Mungkin orang seperti itu sudah terlalu kerap menanti ataupun sudah dapat menduga apakah kesudahan penantiannya itu. Oleh sebab itu dia tidak perlu resah dan gelisah.

Sebenarnya sama ada penantian itu suatu penyiksaan atau pun tidak adalah bergantung kepada hati dan perasaan kita sendiri. Jika dilayan rasa resah dan gelisah pasti kita akan merasa penantian itu suatu penyiksaan walaupun tempoh menanti itu hanya dalam waktu yang singkat. Tetapi jika kita tenang dan bersifat sabar sudah tentu tidak ada tekanan atau perasaan gelisah yang melanda. Penantian sebegitu tentu sekali bukan suatu penyiksaan.

______________________________________________

"Setiap detik itu akan dirasai teramat panjang jika kita menggantungkan harapan yang terlalu berat pada penantian itu."
______________________________________________