Pages

Nov 20, 2009

2O TAHUN DIHUKUM PENJARA

TERSIAR sebuah berita di dalam akhbar hari ini tentang keputusan Mahkamah Sesyen Pulau Pinang ke atas seorang ayah yang dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun. Dia dihukum penjara kerana menyebabkan kematian bayi perempuannya, Nurul Ain Amirah berusia 4 bulan, dengan mencampakkan bayi tersebut ke atas tilam sehingga mengakibatkan berlakunya pendarahan pada selaput otak.

Mohamad Nasir Sulaiman, 34 tahun, hanya mampu menundukkan kepala dengan wajah sayu sebaik hukuman dijatuhkan ke atasnya oleh Hakim Rosilah Yop. Nasir juga dihukum penjara empat tahun di atas kesalahan mendera anak kandungnya itu dengan cara memegang kaki mangsa ke atas dan kepala ke bawah sambil berlegar-legar di dalam rumah. Mangsa dicampakkan ke atas katil hanya kerana bayi itu tidak berhenti menangis.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 9.00 malam 7 Mac yang lalu di rumah N0 100A, Blok D, Mukim 12, Kampung Masjid Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Sedih membaca berita ini kerana perbuatan seorang ayah terhadap bayi yang tidak berdosa itu. Walau sekalipun bayi itu menangis tidak berhenti-henti, tindakannya memegang kaki ke atas kepala ke bawah dan mencampakkannya ke atas tilam adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan. Apa pun alasannya, tindakan sedemikian adalah di luar batasan kewarasan seorang manusia, lebih-lebih lagi perbuatan seorang ayah ke atas anak kandungnya sendiri yang masih seorang bayi.

Hilangkah pertimbangannya pada waktu itu atau tidak ada langsungkah perasaan kasihan belas kepada bayinya? Sewajarnya seorang ayah mencari jalan dan berikhtiar untuk menenangkan anak yang sedang menangis itu. Bukannya melakukan sedemikian sehingga menyebabkan kematian.

"Bapa apa kamu ini, Encik Nasir? Kamu sepatutnya menjaga, membentuk, memberi kasih sayang dan melindungi anak kamu! Sebaliknya kamu bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menonggeng dan mencampakkan anak kamu sehingga menyebabkan kematiannya. Ini satu penganiayaan. Mahkamah amat memandang berat perbuatan kamu ini dan kamu dipertanggung jawabkan atas apa yang kamu lakukan".

Mahkamah senyap sepi mendengar 'leteran' Hakim Rosilah Yop sebelum menjatuhkan hukuman itu.

Pengajarannya ialah setiap ayah perlu memiliki sifat sabar dan bertimbang rasa. Bukannya panas baran tidak tentu hala yang akan mengakibatkan kemalangan atau kehilangan nyawa. Bayi yang menangis tidak henti-henti tentu ada sebabnya. Bukan begitu caranya untuk mendiamkannya.

Si ayah perlu berikhtiar mencari punca bayi itu menangis. Laparkah dia? Sakitkah dia? Paling mudah bawa sahaja ke klinik biar doktor yang periksa dan memberi ubat yang sesuai.

Kepada ayah-ayah yang masih muda, ambillah kisah ini sebagai pengajaran yang berguna.

__________________________________________________

"Setiap anak itu adalah amanah Allah s.w.t kepada ayah dan ibu. Merekalah yang akan memikul amanah tersebut dan bertanggung jawab menjawab di hadapan Allah s.w.t di akhirat nanti terhadap apa yang telah mereka lakukan bagi menjaga amanah tersebut"
__________________________________________________

TAHNIAH

TAHNIAH diucapkan kepada lebih 47,000 orang murid sekolah rendah yang berjaya cemerlang di dalam UPSR 2009 yang keputusannya diumumkan kelmarin. Sudah pasti anak-anak, ibu bapa serta guru-guru bergembira serta bersyukur di atas kejayaan tersebut. Ini adalah langkah pertama bagi murid-murid berkenaan di dalam menghadapi dunia pembelajaran yang lebih mencabar apabila menapak ke sekolah menengah tahun hadapan.



Di dalam pelbagai media dihebahkan tentang pencapaian cemerlang tersebut. Pengarah Pelajaran setiap negeri di Malaysia membuat sidang media mengumumkan keputusan di negeri masing-masing. Sekolah-sekolah yang berjaya dengan cemerlang dilawati oleh pemberita dan wartawan untuk membuat liputan berita. Wajah-wajah riang murid-murid yang berjaya terpampang jelas. Seorang demi seorang diwawancara wartawan dengan soalan-soalan yang sudah klise.

"Apa perasaan adik setelah mencapai kejayaan 5A di dalam UPSR tahun ini?".

"Siapakah yang mendorong adik sehingga boleh berjaya cemerlang seperti ini?".

"Apa cita-cita adik selepas ini?".

Jawapan-jawapan yang diberikan oleh murid-murid tersebut tentu sudah kita ketahui kerana saban tahun soalan yang sama diajukan kepada murid-murid yang berjaya. "Saya rasa gembira kerana berjaya dapat 5A". "Emak dan ayah saya memberi dorongan yang kuat sehingga saya berjaya". "Saya mahu menjadi seorang doktor". Begitulah lazimnya jawapan-jawapan yang diberikan oleh murid-murid tersebut.

Begitu juga ada wartawan yang menyusuri hingga ke pinggir sawah untuk menemuramah seorang ayah, seorang petani di kampung pendalaman, hanya kerana anak perempuannya berjaya memperolehi keputusan 5A UPSR. Atau bertemu seorang ibu yang hanya bekerja sebagai penoreh getah atau peniaga kecil untuk tujuan yang sama. Anak dan ayah atau ibu itu akan berpeluk kegembiraan di atas kejayaan yang dicapai. Semuanya gembira dan teruja dengan pencapaian tersebut.

Namun jarang sekali wartawan bertemu dan bertanyakan perasaan para guru terhadap pencapaian anak didik mereka. Kalau adapun hanyalah terlalu sedikit bilangannya. Tidak pernah kita dipertontonkan seorang guru yang menangis teresak-esak kerana gembira yang bukan kepalang apabila keputusan sekolahnya meningkat daripada tahun-tahun sebelumnya. Atau seorang guru yang menangis kerana keputusan mata pelajaran yang diajarnya tidak mendapat keputusan yang baik sehingga menyebabkan prestasi sekolah secara keseluruhannya merosot.

Saya mendapat khabar tentang sebuah sekolah di pendalaman yang tidak pernah mencapai kejayaan setiap tahun keputusan UPSR diumumkan. Tetapi pada UPSR 2009 dua orang daripada muridnya berjaya mendapat keputusan 5A! Ia adalah satu sejarah bagi sekolah tersebut. (Saya pernah dijemput menyampaikan ceramah kepada waris-waris sekolah tersebut awal tahun yang lalu). Namun, tidak ada sedikitpun berita tentang kejayaan itu dipaparkan media. Saya tidak menyalahkan media, cuma menyuarakan rasa terkilan sahaja.

Bayangkan, sejak ditubuhkan sekolah itu belum pernah mencapai kejayaan seperti tahun ini. Tentulah semua guru di sekolah tersebut merasa amat gembira dan saya pasti ada di antara guru-guru di sekolah tersebut yang mengalirkan air mata kesyukuran. Apa tidaknya, selama ini guru-guru bertungkus lumus untuk memberikan yang terbaik, tetapi oleh kerana sikap waris yang kebanyakannya pekerja estet getah di situ, kurang berminat untuk bersama-sama membantu sekolah tersebut, kejayaan tidak pernah dapat dikecapi. Semasa saya pergi berceramah dahulupun, hanya ada beberapa orang waris sahaja yang hadir. Selebihnya sibuk dengan urusan kerja masing-masing ataupun semata-mata tidak berminat untuk hadir.

Kegembiraan murid-murid, waris-waris serta para guru di SK Ladang Bukit Sidim itu sewajarnya diketengahkan, kerana kegigihan merekalah kejayaan akhirnya dicapai. Tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga SK Ladang Bukit Sidim.


Di dalam suasana kegembiraan yang dikecapi itu tiba-tiba saya menerima pesanan ringkas daripada seorang rakan. " I sedih sangat hari ni". Saya pun segera membalas, "Kenapa?". Tidak lama selepas itu dia menjawab, "Keputusan subjek English di sekolah I merosot. Semua memandang I dengan pandangan serong".


Saya faham perasaan guru tersebut kerana disebabkan mata pelajaran yang diajarnya mendapat kelulusan yang menurun, itu menjadi penyebab keputusan keseluruhan pencapaian sekolahnya juga merosot. Tentu sahaja Guru Besar bertanyakah soalan demi soalan kenapa perkara itu terjadi? Saya simpati dengan rakan saya itu kerana dia seolah-olah dijadikan kambing hitam di atas kegagalan sekolah mengekalkan prestasi seperti tahun 2008 dahulu. Tetapi apakah wajar seorang guru sahaja yang dipersalahkan?

"You sudah buat yang terbaik, memberi yang terbaik, mengajar yang terbaik kepada murid-murid you. You tidak berkuasa untuk menentukan kejayaan terbaik bagi mereka". Saya sempat memberikan sedikit pandangan dan semangat kepadanya. "Apa yang berlaku tidak mungkin dapat diubah lagi. Ia sudah pun berlaku, sudah menjadi sejarah. Apa yang perlu you buat sekarang ialah mula memikirkan cara-cara terbaik untuk murid-murid yang akan menduduki UPSR tahun 2010 nanti".

Saya berharap rakan saya itu tidak akan terus bermuram durja kerana kemerosotan keputusan mata pelajaran yang diajarnya itu. Juga saya berharap agar Guru Besar tidak akan meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada rakan saya itu. Saya berdoa agar tahun hadapan pada hari keputusan UPSR diumumkan, rakan saya ini akan menghantar pesanan ringkas kepada saya seperti ini: "Hari ini I terlalu gembira. Semua murid I mendapat A di dalam subjek yang I ajar!".

___________________________________________________

"Kejayaan atau kegagalan di dalam sesebuah organisasi harus dikongsi bersama. Kegembiraan kerana berjaya perlu dinikmati bersama dan kesedihan akibat kegagalan juga perlu dirasai pahitnya bersama-sama".
___________________________________________________

Nov 19, 2009

MENJANA KECEMERLANGAN

KECEMERLANGAN boleh dijana sesiapa sahaja, berseorangan ataupun secara berpasukan. Setiap orang yang menggunakan kekuatan, kebolehan, kemahiran, bakat yang dimilikinya berserta dengan kesungguhan dan iltizam yang tinggi, pasti akan mengecap kecemerlangan, di dalam apa sahaja bidang kehidupan.

Kekuatan, kebolehan, kemahiran serta bakat individu jika digemblengkan secara berpasukan tentu sahaja akan menjana kecemerlangan yang lebih cemerlang. Di dalam sesebuah organisasi, baik di jabatan atau di syarikat, kerja berpasukan amat penting ke arah merealisasikan misi dan visi organisasi tersebut. Setiap kaki tangan perlu mempunyai sikap positif bagi mencapai kejayaan secara bersama.

Dua hari lepas saya menyampaikan ceramah Menjana Kecemerlangan Melalui Kerja Berpasukan kepada pegawai dan kaki tangan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Negeri Kedah di dalam program Team Building - Menjana Kecemerlangan. Seramai 21 orang peserta mengikuti program tersebut yang berlangsung sehingga hari ini.

Setiap kaki tangan atau ahli kumpulan mesti memahami matlamat yang ditetapkan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat tersebut. Namun untuk mencapai matlamat yang ditetapkan beberapa faktor penting haruslah dipatuhi oleh setiap ahli kumpulan, di antaranya:-

  1. mengenal diri sendiri dan diri setiap ahli kumpulan,
  2. menghormati di antara satu sama lain,
  3. saling percaya mempercayai secara jujur dan ikhlas,
  4. mengikuti arahan ketua di samping memberi sumbangan idea bernas,
  5. memiliki sikap setia kawan yang tinggi dan saling bantu membantu,
  6. yakin kebolehan diri dan kebolehan ahli-ahli kumpulan,
  7. bangga menjadi ahli kumpulan,
  8. berusaha sebaik mungkin untuk mencapai matlamat kumpulan.

Apabila semua ahli kumpulan memainkan peranan serta tanggung jawab masing-masing dengan sepenuhnya, tidak ada sebarang halangan lagi yang boleh menghalang kecemerlangan kumpulan berkenaan. Nikmat kejayaan akan dapat dikongsi oleh semua ahli kumpulan. Pada ketika itu pastinya rasa kepuasan akan terpancar di setiap wajah ahli kumpulan kerana telah berjaya dengan cemerlang.

Justeru, setiap ahli kumpulan perlu mengikis sikap dan perasaan negatif yang bersarang di hati masing-masing selain meletakkan status dan darjat yang dimilikinya ke tempat lain, tanpa membawa bersama semasa berada di dalam kumpulan. Semua ahli kumpulan adalah setaraf, masing-masing mesti berusaha gigih tanpa mengharapkan layanan istimewa daripada rakan-rakan lain.

Percaya kepada sesama ahli dengan jujur dan menghormati sesama sendiri adalah sendi kepada pencapaian cemerlang. Tetapi yang lebih penting ialah sikap jujur dan ikhlas perlu lebih dititik beratkan.
___________________________________________

"Kenali diri sendiri sebelum anda dapat mengenali orang lain"
___________________________________________

Nov 15, 2009

PENYAKIT HATI


PAGI
ini saya kembali menulis setelah hampir setengah bulan tidak menulis di sini. Terasa janggal pula kerana tidak menulis di dalam blog sendiri sekian lama. Walau apa pun alasannya, biarlah saya sendiri yang tahu. Saya cuma berharap agar apa yang dipaparkan di sini dapat menjadi pedoman dan iktibar kepada sekalian yang membacanya.

Pagi ini saya menerima satu email daripada kenalan yang tidak saya kenali tetapi kerap mengirimkan email kepada saya. Setelah membuat beberapa kali penapisan, akhirnya saya memetik sebahagian daripada isi emailnya itu untuk dipaparkan di sini dengan harapan semoga menjadi pedoman yang berguna.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

The Most Important Things...And YOU Can Control Them

Think seriously about this...

Anxiety and fear strips away courage and makes great performances impossible.

Doubt makes even the best decisions feel difficult and causes procrastination.

Anger rips your focus away from your goals.

Frustration can only serve to make you quit.

Guilt makes it impossible to enjoy any successes you achieve.

Jealousy and envy create dishonesty, hate and corruption. Your thoughts and emotions are the only things that can truly stop you.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Saya meneliti dan membacanya berulang kali, cuba untuk mengaitkannya dengan diri saya sendiri. Semua yang tertulis di dalam email itu adalah penyakit hati yang ada pada diri kita. Saya, anda dan semua manusia. Rasa gusar dan takut tidak pernah terpisah daripada diri manusia. Begitu juga dengan rasa sangsi, amarah, kecewa, bersalah, cemburu dan hasat pasti ada di dalam diri setiap insan bernama manusia.

Persoalannya ialah apakah kita perlu ikut dan tunduk kepada semua perasaan itu? Saya berpendapat jika kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menghindarkan semua perasaan itu daripada menguasai pemikiran kita akhirnya kita akan terjebak di dalam satu situasi kehidupan yang amat rugi.

Justeru, marilah sama-sama kita hindarkan segala perasaan negatif itu daripada pemikiran, jiwa dan perasaan kita.
__________________________________________
"Jiwa yang tenang adalah jiwa yang sentiasa ingat dan tidak putus-putus mengharapkan petunjuk serta bimbingan daripada Allah s.w.t" __________________________________________

Oct 31, 2009

SEJAUH MANA KEBERKESANANNYA?


BULAN
Oktober telah diiktiraf sebagai bulan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan di seluruh negara. Di antara matlamatnya termasuklah untuk memantapkan, memperkukuhkan dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera kebangsaan, memperkuat kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa dan sastera kebangsaan, mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan; dan menjadikan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai salah satu asas pembinaan tamaduan bangsa dan negara.

Terlalu murni bunyinya. Jika terlaksana semua matlamat yang digariskan pastinya seluruh warga Malaysia akan menjadi bangsa yang amat menyanjung tinggi bahasanya sendiri (saya lebih gemar menyebut bahasa Melayu).

Tetapi sejauh mana keberkenasannya Bulan Bahasa Kebangsaan yang disambut itu?

Sehari selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di Kuching, Sarawak saya entah bagaimana tertonton berita di TV. Di dalam salah satu berita yang dipaparkan, menteri bertanggung jawab sedang menjawab soalan wartawan di dalam sesi sidang akhbarnya. Pada mulanya dia menjawab dalam bahasa Melayu tetapi selang beberapa patah dia menukar menjawab di dalam bahasa Inggeris. Saya hairan apakah menteri berkenaan telah lupa bahawa sehari sebelum itu dia sendiri yang melancarkan BBK 2009?

Saya semakin merasa hairan, apakah beliau tidak merasa cinta serta megah bertutur dalam bahasa ibundanya sendiri?

Anak-anak remaja di peringkat sekolah rendah dan menengah yang menonton berita itu tentulah merasa kehairanan. Mereka akan keliru lantas akan menganggap kempen BBK itu hanyalah satu gimik yang menelan belanja sahaja tanpa meninggalkan kesan mendalam. Jika menteri sendiri begitu sikapnya, tidak hairanlah jika rakyat tidak menghormatinya.

Sedih sekali kerana dalam keghairan seluruh rakyat mula menganggap tindakan mengembalikan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik adalah satu tindakan yang bijak, tiba-tiba kebanyakan pemimpin masih ragu-ragu menggunakan bahasa ibunda sendiri di dalam majlis-majlis bertaraf dunia.

Apa salahnya jika menteri menggunakan bahasa Melayu semasa berucap meraikan ketibaan dif-dif asing atau semasa menghadiri mesyuarat dan persidangan antara bangsa. Biarlah seluruh pemimpin dunia mendengar sendiri bahasa Melayu diucapkan para pemimpin negara semasa berada di luar negara. Biarlah kita menjadi rakyat Malaysia yang benar-benar cintakan bahasa kebangsaan kita sendiri.

Dalam konteks ini seharusnya pemimpin mendahuluinya.

__________________________________________________________________
Tiada bangsa di dunia ini yang tidak mempunyai bahasanya sendiri. Jika lenyap bahasa bererti bangsa itu juga ikut lenyap bersama. Benarkah tidak Melayu hilang di dunia jika bahasanya makin kurang digunakan.
__________________________________________________________________

Oct 26, 2009

BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2009

HARI INI, Majlis Perasmian Bulan Kebangsaan 2009 Peringkat Negeri Kedah telah dilangsungkan bertempat di Dewan Besar, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman, Jitra, Kedah. Majlis yang disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak, Menteri Besar Kedah telah dihadiri lebih kurang 500 orang jemputan dan tetamu bermula seawal jam 8.30 pagi.

Sekali imbas majlis tersebut tidak memberi sebarang makna besar kerana majlis seumpama itu sering diadakan saban tahun. Bulan Bahasa Kebangsaan adalah salah satu kempen yang ditunjangi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebuah organisasi yang diamanahkan untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Lantas Bulan Bahasa Kebangsaan adalah satu cara memaklumkan kepada seluruh warga negara bahawa kita perlu memelihara martabat bahasa kebangsaan sejajar dengan kedudukannya di dalam Perlembagaan Negara.

Setakat manakah keberkesanannya kempen yang menelan belanja bukan sedikit ini perlulah diperhatikan. Sejauh manakah rakyat menggunakan bahasa Melayu secara yang betul, tepat dan menyeluruh? Berkesankah penggunaan bahasa Melayu di dalam bidang pendidikan, ekonomi, siasah, kesenian, perundangan dan kehakiman, sains dan teknologi, dan lain-lain bidang kehidupan rakyat di negara ini? Adakah seluruh rakyat sudah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya? Adakah jabatan dan agensi Kerajaan mematuhi perundangan yang memaktubkan penggunaan bahasa Melayu di dalam setiap urusan? Bagaimana pula penerimaan dan penggunaan di kalangan swasta dan korporat?

Pertanyaan itu mungkin akan bertali temali jika disusun atur satu persatu. Mungkin tidak berkesudahan. Namun, apa yang perlu diperhatikan ialah bagaimana bahasa Melayu itu digunakan pada masa kini. Betulkah cara penggunaannya atau perlu diperbaiki lagi?

Rakyat rasanya kerap terkeliru tentang bagaimana menggunakan bahasa Melayu yang betul, sesuai dengan tata bahasanya. Bagi rakyat yang mengikuti pengajian ilmu bahasa di pusat-pusat pengajian tinggi tentu tidak menghadapi banyak masalah, namun bilangan mereka tidaklah ramai. Selebihnya adalah sebilangan besar rakyat yang hanya menjadi pengikut tanpa faham dengan mendalam bagaimana penggunaan bahasa Melayu yang sebetulnya, termasuklah orang Melayu sendiri! Lalu, berlakulah berbagai tafsiran dan penggunaan bahasa Melayu di dalam masyarakat. Saya tiak merujuk kepada loghat daerah yang berbeza sebutannya di antara satu daerah dengan daerah yang lain.

Kecelaruan penggunaan bahasa Melayu yang betul tidak harus dipandang ringan. Ia memerlukan usaha bersungguh-sungguh untuk menanganinya supaya tidak menjadi wabak yang sukar dihapuskan. DBP perlulah memikirkan cara-cara lain yang lebih mudah untuk menghebahkan kepada rakyat bagaimana penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat supaya seluruh lapisan masyarakat tidak akan terkeliru selama-lamanya.

Seminar dan kursus tidak dapat sampai kepada seluruh masyarakat. Ia hanya terhad kepada sebilangan mereka sahaja. Para sarjana, pengkaji atau penulis mungkin berminat untuk berseminar dan berkursus mengenai bahasa. Bagaimana dengan ahli korporat, peniaga-peniaga kecil, pegawai bank, kaki tangan Kerajaan, jurujual, petugas-petugas badan bukan kerajaan serta para ibu bapa sekelian? Mereka itu tentu sekali tidak berminat atau tidak berkesempatan untuk menyertai seminar dan kursus sedemikian.

Apa salahnya jika DBP menyalurkan maklumat tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat melalui TV yang hampir 95% rakyat memilikinya di setiap rumah dan pejabat. Adakan satu rancangan khas 'Belajar Bahasa Kebangsaan' di setiap saluran TV (baik TV milik Kerajaan atau swasta) yang khusus memperbetulkan sebarang salah guna bahasa. Seorang munsyi perlu membuat pembetulan terhadap setiap kesalahan yang dilakukan. Siarkan petikan-petikan kesilapan penggunaan bahasa Melayu yang lazim berlaku dan diperbetulkan dengan secara jelas. Dengan cara itu, lebih ramai lagi rakyat yang akan dapat memahaminya. Cuma janganlah pula rancangan ini disiarkan pada waktu-waktu yang tidak munasabah, umpamanya selepas pukul 11.30 malam!

Media harus menyokong usaha ini. Rakyat perlu diberikan pendidikan berterusan. Bahasa Kebangsaan adalah bahasa kita. Jangan dirosakkan! Perpaduan tidak akan terhasil jika rakyat tidak mampu menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul dan tepat.
__________________________________________________
Bahasa cerminan bangsa
Bahasa jiwa bangsa
Bahasa membentuk ketamadunan bangsa

__________________________________________________

Sep 24, 2009

AL-FATEHAH BUAT DUA ORANG SAHABAT


SEPATUTNYA
saya menulis pada hari Jumaat 18 September tetapi oleh kerana terlalu kesuntukan masa, saya tulis pada hari ini.

Selepas solat Jumaat 18 September 2009 (28 Ramadhan 1430) saya diberitahu oleh isteri sebaik sahaja saya sampai di muka pintu. "Kita tangguhkan dulu perjalanan balik kampung. Kita kena pergi menziarahi jenazah sahabat baik abang".

"Siapa?".

"Yusof Ahmad", balas isteri saya. Saya amat terkejut kerana dua tiga hari sebelum itu saya teringat untuk menghubungi Yusuf bertanya khabar serta mahu mengucapkan selamat menyambut Idulfitri. Tetapi niat saya tidak kesampaian.

Kami lantas bergegas untuk ke rumahnya di Taman Nuri. Tiba-tiba telefon tangan saya berdering. Pantas saya menjawab walaupun nombor yang tertera bukan nombor yang tersimpan di dalam senarai kenalan saya. "Assalamu'alaikum. Saya Wan Nordin.....", suara di hujung talian kedengaran.

"Sasarah classmate you dulu kan? I dapat berita dia meninggal dunia sebentar tadi di Kuantan, Pahang". Sasarah (lelaki) adalah rakan sekelas saya semasa menuntut di ITM, Shah Alam (1975-1978) dahulu. Dia adalah class representative kami. Saya kehilangan dua orang sahabat dalam masa sehari pada waktu yang hampir sama.

Selepas itu saya menghidupkan enjin Kancil saya dan mula bergerak untuk ke rumah Yusof. Tetapi belum pun sempat sampai ke jalan utama, telefon saya berdering sekali lagi.

"Nadzir ni....", suara Nadzir kedengaran cemas. "Dah tahu belum tentang Yusof?". Nadzir seorang pegawai KEDA rakan sekerja Yusof. Saya mengenali Nadzir sejak 1988 semasa kami sama-sama menubuhkan Kelab Puisi Pinggiran.

"Laa....tak tahu ka? Bukan dia sorang, empat beranak!". Saya jadi gementar tiba-tiba dan terus memberhentikan kereta di tepi jalan. Air mata saya mengalir tanpa dapat disekat. Saya beristighfar panjang berulang kali. Sangkaan saya dan isteri hanya Yusof seorang yang meninggal rupanya tersasar. Sebenarnya Yusof meninggal bersama-sama isteri dan dua orang anaknya. Keretanya kemalangan di Lebuh raya Utara Selatan, tersepit dan terus terbakar. Mereka berempat tidak dapat diselamatkan. Mereka meninggal di tempat kejadian di dalam marak api yang membakar kereta mereka.

"Innalilla hi wa inna ilai hiro ji'un...". Hanya itu yang dapat saya ucapkan berulang kali. Saya sebak dan menangis tanpa rasa segan silu lagi. Saya amat sedih kerana tidak sempat berjumpa Allahyarham sebelum peristiwa malang itu berlaku. Saya tidak sempat bersalaman dengannya dan bermaaf-maafan sempena Ramadhan dan Syawal yang hanya dua hari sahaja lagi akan menjelma.

Ikut kata Nadzir jenazah masih di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Proses bedah siasat tentu akan memakan masa yang lama. Jenazah mereka akan dikebumikan di Kampung Malau, Jitra. Lantas saya mengambil keputusan untuk ke Kampung Malau, bertemu dengan mentuanya, ayah dan ibu Allahyarhamah Hasnah, isteri Yusof. Kami tiba lebih kurang 2.30 petang.

Semasa di dalam perjalanan, saya menghubungi seorang lagi sahabat karib saya semasa di ITM dahulu, Nordin Ahmad yang dalam perjalanan pulang bercuti sempena Idulfitri di kampungnya, di Bandar Baharu. Apabila saya beritahu Nordin berita sedih itu, suara Nordin tiba-tiba kedengaran sebak. Saya faham perasaan Nordin ketika itu. Kami memang akrab semasa menuntut di ITM dahulu. Allahyarham Yusof, Nordin dan saya pernah tinggal sebilik di asrama. Kami memang mengenali hati budi masing-masing sekian lama dan sering berhubungan mengeratkan silaturrahim.

Kemudian saya teringat seorang lagi rakan sekelas dahulu. Saya hubungi Nasir Kassim di Muar, Johor dan beritahu kejadian malang itu. Dia juga tersentak sejenak, kemudian suaranya menjadi sebak. Melalui perbualan itu baharulah saya tahu bahawa kemalangan itu berlaku awal pagi hari dan telah pun tersiar beritanya di dalam TV sejak pagi lagi. Saya tidak menonton TV dan itulah sebabnya saya tidak tahu berita malang itu.

Saya bertolak pulang ke kampung selepas solat asar. Sewaktu melintasi tempat kejadian ngeri itu, trailer yang bertembung dengan kereta Allahyarham Yusof masih tersadai di tepi lebuh raya. Kesan jelaga api jelas pada dinding kontena yang dibawanya. Cebisan arang berselerak di tempat itu. Saya jadi sedih semula dan lantas bertahlil ringkas khas untuk sahabat saya Allahyarham Haji Mohd Yusof bin Ahmad, isterinya Hajah Hasnah serta dua orang anaknya.

Kemudian sewaktu melintasi Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani hati saya sekali lagi sayu dan hiba. Jenazah mereka berempat masih ada di bilik bedah.

Malam itu barulah saya dapat menonton kejadian malang itu melalui berita di TV. Air mata saya mengalir sekali lagi tanpa dapat disekat-sekat. Hati saya teramat pilu.

Pada 18hb September 2009 saya kehilangan dua orang sahabat sekali gus. Kedua-dua mereka telah sampai detik ketika kembali mengadap Allah s.w.t. Hanya doa yang dapat dikirimkan semoga roh mereka di tempatkan bersama roh-roh orang yang beriman di sini Allah s.w.t
__________________________________________________

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati apabila tiba masanya. Tidak sesaatpun terlewat atau tercepat kerana semua itu sudah tertulis sejak azzali lagi".
__________________________________________________

Sep 17, 2009

SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI


DUA hari lagi 1 Syawal akan menjelang. Bererti Ramadhan akan meninggalkan kita. Insya Allah kita akan sama-sama menyambut ketibaan Syawal, jika usia kita masih ada sehingga tibanya detik itu.

Seperti lazimnya, malah seperti sudah menjadi adat, setiap kali menjelang Syawal kita sering berkirim kad ucapan selamat menyambut Syawal. Berbagai bentuk, rupa dan warna kad yang dikirimkan kepada ayah bonda, sanak keluarga, sahabat handai dan kenalan semata-mata untuk melafazkan kata-kata "maaf zahir dan batin" suatu pernyataan yang mesti diucapkan setiap tahun.

Pada sebelum era kecanggihan teknologi maklumat, kita hanya berutus kad ucapan secara pos. Bagi mempastikan kad yang dikirim tiba ke tangan penerima tepat pada masanya, pengirim perlu mengirim kad tersebut lebih awal. Itupun ada kalanya kad diterima selepas sambutan Aidilfitri.

Tetapi pada masa ini dengan kecanggihan yang ada, ucapan selamat menyambut Aidilfitri itu dapat dikirimkan dengan begitu pantas sekali. Segalanya hanya di hujung jari sahaja. Sama ada dikirim melalui sistem pesanan ringkas (sms), atau multi media system (mms) atau melalui kiriman maya (emel) dan sebagainya. Malam tadi di tunjukkan di dalam TV bagaimana beberapa orang pelajar Malaysia di luar negara membuat ucapan selamat hari raya kepada keluarga mereka melalui perbualan telefon bergambar seperti Skype atau Yahoo. Alangkah mudahnya membuat ucapan di zaman serba canggih kini.

Entah bagaimana pula mudahnya nanti pada zaman-zaman akan datang apabila kecanggihan masa kini ditambah baikkan lagi. Jika kita berkesempatan hidup pada zaman itu dapatlah kita saksikan sendiri.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada semua kenalan dan pembaca blog saya yang tidak sepertinya ini. Saya mohon kemaafan daripada semua dengan doa dan harapan semoga hidup kita akan sentiasa dirahmati Allah s.w.t hendaknya.
_________________________________________
"Memohon maaf daripada orang lain adalah sifat mulia, tetapi memberi maaf kepada orang lain adalah lebih mulia"
_________________________________________


Sep 6, 2009

LIMA CARA UNTUK MERASA HEBAT

HARI ini saya terima lagi satu emel daripada seorang sahabat yang pernah memanjangkan email daripada rakannya. Sahabat ini jarang menulis sendiri apa yang ingin disampaikannya tetapi kerap memanjangkan emai-email yang diterimanya kepada saya.

Pada awal dahulu saya jarang memberi perhatian terhadap emel-emel yang diperpanjangkannya kepada saya. Tetapi apabila ada emel-emel yang agak menarik disebarkannya kepada saya, kini saya suka membaca emel-emel yang diperpanjangkan kepada saya oleh sahabat tersebut.

Hari ini saya mahu berkongsi emel di bawah ini dengan pembaca sekalian.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Five Ways to Feel Great

Studies prove that if you want to feel good, make someone feel better.

Here are five steps to make that happen.

1. Bake cookies for your neighbor.
We've heard this one a thousand times, but how much neighborly baking have you actually done? Me either. Make it a family activity: shop for ingredients with the kids, let them help you bake the goods, and visit your favorite neighbor together to make the delivery (without letting the others see). Your kids will love it and for a few dollars you'll feel like a million bucks.

2. Tape exact change to a vending machine for a stranger.
I read this idea online the other day and loved it. It's simple, cheap, and effective.

3. Bring a treat for your co-workers next week.
Who doesn't like to waltz into the office and see a heap of fattening...I mean delicious treats staring back at them? (You could always go healthy, too.) You'll be the hero of the office and turn just another day into a day to remember.

4. Save money for a major tip.
Starting today put aside your loose change in a tip jar. The tip isn't for you or that piano player in the corner, it's for the next waiter or waitress who does a good job. After you have a sizable sum, head out to dinner with the family and, when the moment is right, which is usually after eating, surprise your host with the day- making gift.

5. Tell someone they're doing a good job.
This one couldn't be easier. It takes just a few movements of the mouth, a few moments of speech. But it can make someone feel special for the rest of the day. I can still remember a wise old lady who, after bumping into me on a New York side street at midnight, commented on what a handsome man I was. Perhaps it was too dark, perhaps she was crazy, but I still remember it.

When you make others happy, you can't help but feel better yourself. And when you feel good, the motivation you need to do whatever you want is much easier to find.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Saya tidak pasti sejauh mana keberkesanannya ke atas diri anda. Tetapi jika ada dapat membuat orang lain gembira sudah pasti anda sendiri akan merasa lebih gembira.

Marilah di dalam bulan yang mulia ini kita berusaha menggembirakan orang lain semoga kita sendiri akan merasa lebih bahagia dari kebiasaannya.
________________________________________

"Tidak rugi jika anda berkongsi kegembiraan dengan orang lain kerana arus rasa gembira itu akan mengalir ke dalam diri anda dan membina rasa gembira yang jauh lebih besar dan hebat"
________________________________________

Sep 2, 2009

KELEBIHAN PUASA

RASULULLAH s.a.w bersabda yang maksudnya: "Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.” Riwayat Ibnu Majah.

Pengajaran Hadis:

i) Setiap muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah
puasanya itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia-sia.

ii) Berpuasa mengikut perspektif Islam ialah menahan diri dari makan dan
minum serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

iii) Selain itu puasa juga bermakna menahan diri daripada perkara-perkara
berikut iaitu:
a) Menundukkan pandangan mata serta mengatasinya daripada tertuju
kepada segala yang tercela.
b) Menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang sia-sia, dusta, fitnah,
caci maki dan menyinggung perasaan orang lain.
c) Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang ditegah agama
di mana perkara yang haram diucap adalah juga haram didengar seperti mengumpat dan sebagainya.
d) Mencegah tangan, kaki dan perut serta semua anggota badan daripada
melakukan atau mengambil perkara yang haram.

iv) Seorang muslim hanya akan terbentuk melalui ibadah puasa yang ditunaikan
dengan penuh penghayatan di mana bagi mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya yang dituntut oleh agama maka mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa tersebut malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung.

v) Bulan Ramadhan adalah bulan di mana pada awalnya dijanjikan keampunan
(maghfirah), pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka.

Oleh itu setiap daripada kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati-Nya dengan melakukan amalan-amalan baik di samping menjauhi segala sifat-sifat yang keji dan mungkar.
(dipetik dari laman web JAKIM, www.islam.gov.my)

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
HARI ini sudah dua belas hari kita berada di bulan Ramadhan yang mulia ini. Kita sudah melepasi sepertiga awal Ramadhan yang dijanjikan keampunan (maghrifah) oleh Allah s.w.t dan akan memasuki sepertiga keduanya. Allah s.w.t menjanjikan Rahmat dan pada sepertiga akhir Ramadhan pula dijauhi api neraka untuk mereka yang berpuasa.

Marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan di bulan yang lebih dari seribu bulan. Rebutlah peluang yang disediakan untuk kita untuk sama-sama mendapat keredaan dan keampunan Allah s.w.t

__________________________________________

"Tiada janji yang paling tepat dan akan ditepati melainkan janji Allah s.w.t"
__________________________________________