Pages

Sep 17, 2009

SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI


DUA hari lagi 1 Syawal akan menjelang. Bererti Ramadhan akan meninggalkan kita. Insya Allah kita akan sama-sama menyambut ketibaan Syawal, jika usia kita masih ada sehingga tibanya detik itu.

Seperti lazimnya, malah seperti sudah menjadi adat, setiap kali menjelang Syawal kita sering berkirim kad ucapan selamat menyambut Syawal. Berbagai bentuk, rupa dan warna kad yang dikirimkan kepada ayah bonda, sanak keluarga, sahabat handai dan kenalan semata-mata untuk melafazkan kata-kata "maaf zahir dan batin" suatu pernyataan yang mesti diucapkan setiap tahun.

Pada sebelum era kecanggihan teknologi maklumat, kita hanya berutus kad ucapan secara pos. Bagi mempastikan kad yang dikirim tiba ke tangan penerima tepat pada masanya, pengirim perlu mengirim kad tersebut lebih awal. Itupun ada kalanya kad diterima selepas sambutan Aidilfitri.

Tetapi pada masa ini dengan kecanggihan yang ada, ucapan selamat menyambut Aidilfitri itu dapat dikirimkan dengan begitu pantas sekali. Segalanya hanya di hujung jari sahaja. Sama ada dikirim melalui sistem pesanan ringkas (sms), atau multi media system (mms) atau melalui kiriman maya (emel) dan sebagainya. Malam tadi di tunjukkan di dalam TV bagaimana beberapa orang pelajar Malaysia di luar negara membuat ucapan selamat hari raya kepada keluarga mereka melalui perbualan telefon bergambar seperti Skype atau Yahoo. Alangkah mudahnya membuat ucapan di zaman serba canggih kini.

Entah bagaimana pula mudahnya nanti pada zaman-zaman akan datang apabila kecanggihan masa kini ditambah baikkan lagi. Jika kita berkesempatan hidup pada zaman itu dapatlah kita saksikan sendiri.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada semua kenalan dan pembaca blog saya yang tidak sepertinya ini. Saya mohon kemaafan daripada semua dengan doa dan harapan semoga hidup kita akan sentiasa dirahmati Allah s.w.t hendaknya.
_________________________________________
"Memohon maaf daripada orang lain adalah sifat mulia, tetapi memberi maaf kepada orang lain adalah lebih mulia"
_________________________________________


No comments:

Post a Comment