BULAN Oktober telah diiktiraf sebagai bulan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan di seluruh negara. Di antara matlamatnya termasuklah untuk memantapkan, memperkukuhkan dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia melalui bahasa dan sastera kebangsaan, memperkuat kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa dan sastera kebangsaan, mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan; dan menjadikan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai salah satu asas pembinaan tamaduan bangsa dan negara.
Terlalu murni bunyinya. Jika terlaksana semua matlamat yang digariskan pastinya seluruh warga Malaysia akan menjadi bangsa yang amat menyanjung tinggi bahasanya sendiri (saya lebih gemar menyebut bahasa Melayu).
Tetapi sejauh mana keberkenasannya Bulan Bahasa Kebangsaan yang disambut itu?
Sehari selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 di Kuching, Sarawak saya entah bagaimana tertonton berita di TV. Di dalam salah satu berita yang dipaparkan, menteri bertanggung jawab sedang menjawab soalan wartawan di dalam sesi sidang akhbarnya. Pada mulanya dia menjawab dalam bahasa Melayu tetapi selang beberapa patah dia menukar menjawab di dalam bahasa Inggeris. Saya hairan apakah menteri berkenaan telah lupa bahawa sehari sebelum itu dia sendiri yang melancarkan BBK 2009?
Saya semakin merasa hairan, apakah beliau tidak merasa cinta serta megah bertutur dalam bahasa ibundanya sendiri?
Anak-anak remaja di peringkat sekolah rendah dan menengah yang menonton berita itu tentulah merasa kehairanan. Mereka akan keliru lantas akan menganggap kempen BBK itu hanyalah satu gimik yang menelan belanja sahaja tanpa meninggalkan kesan mendalam. Jika menteri sendiri begitu sikapnya, tidak hairanlah jika rakyat tidak menghormatinya.
Sedih sekali kerana dalam keghairan seluruh rakyat mula menganggap tindakan mengembalikan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik adalah satu tindakan yang bijak, tiba-tiba kebanyakan pemimpin masih ragu-ragu menggunakan bahasa ibunda sendiri di dalam majlis-majlis bertaraf dunia.
Apa salahnya jika menteri menggunakan bahasa Melayu semasa berucap meraikan ketibaan dif-dif asing atau semasa menghadiri mesyuarat dan persidangan antara bangsa. Biarlah seluruh pemimpin dunia mendengar sendiri bahasa Melayu diucapkan para pemimpin negara semasa berada di luar negara. Biarlah kita menjadi rakyat Malaysia yang benar-benar cintakan bahasa kebangsaan kita sendiri.
Dalam konteks ini seharusnya pemimpin mendahuluinya.
__________________________________________________________________
Tiada bangsa di dunia ini yang tidak mempunyai bahasanya sendiri. Jika lenyap bahasa bererti bangsa itu juga ikut lenyap bersama. Benarkah tidak Melayu hilang di dunia jika bahasanya makin kurang digunakan.
__________________________________________________________________
__________________________________________________________________
No comments:
Post a Comment