Pages

Dec 27, 2009

KESEDIHAN AKHIR TAHUN

HARI INI kita semua sudah tahu, sama ada melalui TV atau media cetak, berita sedih dan menyayat hati seluruh rakyat Malaysia. Kemalangan di Lebuh raya Utara Selatan berhampiran Ipoh telah meragut 10 nyawa awal pagi semalam. Ia bukanlah kemalangan pertama yang berlaku malah sudah berpuluh kali kemalangan seumpama itu terjadi. Kesedihan amat dirasai oleh ahli keluarga malang tersebut, sama ada anak-anak, saudara mara, bakal tunang, kawan rakan dan sebagainya.

Seingat saya kemalangan di tempat yang sama sudah banyak kali berlaku. Semasa TOL Jelapang masih belum dirobohkan, beberapa kemalangan ngeri telah berlaku, sama ada dari arah selatan atau dari arah utara. Lalu mantan Menteri Kerja Raya menyarankan TOL Jelapang ditutup dan digantikan dengan TOL yang ada pada masa ini. Alasannya kerap sangat berlaku kemalangan di tempat yang sama.

Tetapi setelah TOL tersebut berpindah tempat dengan menelan belanja yang sekian banyak, kemalangan tetap berlaku. Pernah berlaku kejadian malang kenderan berat melanggar pondok TOL berkenaan. Ada juga kemalangan sebelum atau selepas TOL tersebut. Dan yang terkini ialah kemalangan ngeri dua hari lepas. 10 penumpang Sani Express telah meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandunya mengaku terlelap seketika sebelum kejadian ngeri itu berlaku.

Pernah suatu ketika dahulu selepas satu kemalangan ngeri pihak berkuasa telah mengadakan penguatkuasaan di setiap terminal bas sebelum bas bertolak. Anggota penguatkuasa telah ditempatkan di terminal untuk memeriksa dan mempastikan beberapa syarat dipatuhi. Di antaranya ialah setiap bas ekspres mempunyai dua orang pemandu, ujian air kencing dilakukan sebelum perjalanan bermula, pemeriksaan tiket penumpang dan sebagainya. Apakah tindakan tersebut berkesan? Satu persoalan lagi apakah tindakan penguatkuasaan itu masih berterusan hingga kini? Atau sudah diberhentikan kerana berbagai alasan yang tidak dimaklumkan kepada rakyat?

Kemalangan akan terus berlaku kerana ia adalah kemalangan. Sesuatu yang tidak diduga akan berlaku atau ia berlaku di luar jangkauan fikiran dan perkiraan manusia. Namun kemalangan boleh dikurangkan atau dicegah jika sekiranya langkah-langkah awal diambil. Sekiranya berlaku juga itu adalah takdir. Tetapi ikhtiar harus ada, usaha perlu dibuat, tindakan mesti diambil.

Pihak pengusaha bas ekspres perlu memulakan langkah awal. Pendidikan dan ilmu pengatahuan perlu diterapkan ke dalam diri setiap pemandunya. Berikan sedikit sebanyak suntikan kerohanian supaya pemandu-pemandu sentiasa faham peranan dan tugas mereka bukan hanya untuk memandu kenderaan tersebut dari satu terminal ke destinasi yang lain. Mereka juga perlu bertanggung jawab sepenuhnya terhadap keselamatan para penumpang.

Fahamkan para pemandu bahawa mereka perlu sentiasa menggantungkan harapan kepada Allah supaya perjalanan mereka akan selamat. Tiada sebarang kejadian buruk berlaku. Mereka semua perlu diajar beberapa doa sebelum dan semasa perjalanan. Ajarkan mereka supaya berhenti di R&R yang bersesuaian bagi membolehkan para penumpang beragama Islam menunaikan solat. Jangan terlalu mengejar waktu sehingga terlepas solat yang wajib dilakukan.

Saya pernah menaiki bas ekspres ke KL dan tempat-tempat lain. Kerap berlaku pemandu bas tidak berhenti di R&R di sepanjang PLUS, tetapi berhenti di tempat-tempat lain seperti hentian sebelah atau keluar dari lebuh raya untuk berhenti di kedai-kedai makan yang mungkin sudah ditentukan oleh pihak pengurusan. Akibatnya ramai penumpang beragama Islam yang tidak sempat bersolat. Pemandu perlu ditarbiyahkan tentang perkara ini supaya sepanjang perjalanan itu sentiasa di dalam peliharaan Allah s.w.t. Justeru, pemandu itu sendiri mestilah bersolat!

Sikap pemandu yang cuai, memandu melebihi had kelajuan, memandu secara tidak berhemah adalah penyumbang kepada kejadian kemalangan. Lalu pihak pengurusan perlu juga memberi motivasi kepada para pemandu mereka. Ataupun pihak LPKP mesti mewajibkan setiap pemandu mengikuti program motivasi dan kerohanian untuk tempoh masa yang ditetapkan. Wajibkan setiap pengusaha menghantar para pemandu mereka mengikuti program berkenaan.

Setelah segala ikhtiar dijalankan barulah selebihnya kita serahkan kepada Allah s.w.t. Tetapi lazimnya kita berserah tanpa berusaha.
________________________________________________________
"Setiap yang berlaku adalah kehendak Allah, doa dan ikhtiar dapat menghindar petaka yang tidak diingini berlaku"
________________________________________________________


Dec 16, 2009

PENANTIAN SUATU PENYIKSAAN?

BENARKAH penantian itu suatu yang menyiksakan? Tanyalah kepada sesiapa sahaja yang pernah melalui pengalaman menanti seseorang atau sesuatu. Pasti ada perasaan resah, sangsi, curiga, tidak sabar dan sebagainya.

Jarang benar ada orang yang tidak berperasaan sedemikian ketika menanti ketibaan orang atau tarikh dan waktu yang dijanjikan. Selagi tidak bertemu dengan orang atau tiba tarikh dan waktu itu, berbagai perasaan bergelodak di dalam hati. Pada waktu itu timbullah bermacam-macam andaian dan sangkaan yang bukan-bukan.

Jika kita sedang menanti untuk bertemu seseorang, hati akan sentiasa berdegup kerana berbagai persoalan bermain di dalam benak kita. Sama jugalah jika kita sedang menanti untuk mendapatkan sesuatu keputusan, perasaan kita tidak akan merasa tenteram sehinggalah kita mendapat keputusan itu.

Tetapi ada juga orang yang tenang semasa menanti seakan-akan tiada apa yang mengganggu perasaannya. Mungkin orang seperti itu sudah terlalu kerap menanti ataupun sudah dapat menduga apakah kesudahan penantiannya itu. Oleh sebab itu dia tidak perlu resah dan gelisah.

Sebenarnya sama ada penantian itu suatu penyiksaan atau pun tidak adalah bergantung kepada hati dan perasaan kita sendiri. Jika dilayan rasa resah dan gelisah pasti kita akan merasa penantian itu suatu penyiksaan walaupun tempoh menanti itu hanya dalam waktu yang singkat. Tetapi jika kita tenang dan bersifat sabar sudah tentu tidak ada tekanan atau perasaan gelisah yang melanda. Penantian sebegitu tentu sekali bukan suatu penyiksaan.

______________________________________________

"Setiap detik itu akan dirasai teramat panjang jika kita menggantungkan harapan yang terlalu berat pada penantian itu."
______________________________________________

Dec 12, 2009

SERI MUKA PULUT HITAM BAKAR


ENTAH betul atau tidak, saya pun tidak tahu. Tetapi itulah hakikatnya. Kuih yang saya makan sewaktu sarapan pagi tadi begitulah rupanya. Ia sama seperti kuih tradisional 'seri muka' yang biasanya dijual di warung-warung untuk sarapan. Tetapi seri kaya yang saya makan pagi tadi ada kelainannya. Lapisan bawahnya diperbuat daripada pulut hitam manakala lapisan atasnya pula adunan tepung berserta resepinya tersendiri. Manis berlemak rasanya. Kata isteri saya, seri muka itu dimasak dengan cara kukus dan kemudiannya dibakar.

Sebenarnya tiada apa yang pelik atau istimewanya kuih seri muka itu dan pagi tadi bukanlah kali pertama saya menjamah kuih tersebut. Setiap kali bulan Ramadhan kuih ini banyak dijual di pasar Ramadhan dan kami sekeluarga tidak pernah ketinggalan membelinya untuk juadah berbuka puasa. Rasanya yang sedap dan enak itu membuatkan timbul keinginan kami untuk membelinya walaupun bukan di bulan Ramadhan.

Tetapi pagi tadi sewaktu bersarapan, secara tiba-tiba perasaan saya tersentuh apabila menjamah kuih tersebut. Kata isteri saya, "tak lama lagi kita tak boleh nak makan seri muka ni lagi". Saya kehairanan, "kenapa?".

"Ya lah, kata orang yang jual seri muka ni, makcik yang membuat seri muka ni sudah tua. Kalaulah orang tu dah tak ada nanti, siapa yang akan membuatnya? Susahlah nak beli nanti".

Saya membuat tafsiran sendiri : Tidak mungkin anak atau cucu makcik pembuat seri muka itu tidak belajar resepinya? Masakan makcik itu tidak memperturunkan kemahirannya kepada anak cucunya? Kalaulah permintaan terhadap seri muka itu cukup tinggi, rugilah kalau anak cucunya tidak terus membuat kuih itu dan menjualnya di pasaran.


Orang zaman sekarang memang gemar membeli makanan segera mungkin kerana kesibukan waktu bekerja. Lebih senang ke warung dan membeli juadah di sana, sama ada untuk sarapan atau minum petang ataupun untuk hidangan tetamu yang datang. Harganya pun bukanlah mahal sangat jika hendak dibandingkan kos untuk memasaknya sendiri di rumah. Selain elemen kos, masa dan tenaga juga perlu diambil kira. Bukankah masa dan tenaga boleh digunakan untuk kerja-kerja rumah lain yang sedia menanti?


Mungkin kerana itulah orang muda zaman sekarang ini kebanyakannya sudah tidak tahu lagi memasak masakan atau kuih muih tradisional. Kalau ada pun hanyalah beberapa jenis yang biasa-biasa sahaja. Kesannya keenakan masakan atau kuih muih tradisional sudah tidak dapat dirasai seenak masakan aslinya.

Mungkin ada kebenarannya kata isteri saya pagi tadi jika pada masa ini anak cucu makcik pembuat seri muka pulut hitam bakar itu tidak belajar resepinya dan cara-cara memasaknya, kemungkinan dalam tempoh 5 - 10 tahun akan datang seri muka pulut hitam bakar yang sedap dan enak itu tidak dapat ditemui lagi. Itu bermakna satu lagi khazanah bangsa akan pupus dan lenyap.

Memikirkan hal itulah saya rasa remaja masa kini perlu mengambil berat dan belajar mulai sekarang segala pengetahuan dan kemahiran orang tua-tua sementara hayat mereka masih ada. Janganlah nanti apabila mereka meninggal dunia kita akan meratapi di mana lagi mahu dicari resepi masakan atau kuih muih seperti itu. Mungkinkah nanti kita akan kehilangan kuih peneram, kuih jawa, karas, dan lain-lain lagi.

_____________________________________________________

"Jika tiada yang tua masakan ada yang muda. Jika tiada yang lama tidak mungkin ada yang baru".
_____________________________________________________

Dec 11, 2009

KAHWIN LARI

SEBENTAR tadi di dalam rancangan di TV9, Semanis Kurma, topik perbincangannya ialah 'Kawin Lari'. Ahli panel telah mengupas dan memberi pendapat tentang topik tersebut mengikut pandangan masing-masing. Walaupun secara keseluruhannya kesemua ahli panel, termasuk peneraju rancangan, mengatakan bahawa perbuatan kahwin lari adalah satu perbuatan yang tidak sewajarnya dilakukan kerana ia bertentangan dengan adat resam dan perintah agama. Namun kerap juga kita masih lagi mendengar cerita kahwin lari masih lagi terjadi. Kenapa?

Lazimnya kejadian kahwin lari terjadi ke atas pasangan yang ingin berumah tangga tetapi tidak mendapat restu sepenuhnya daripada keluarga. Sama ada keluarga perempuan tidak dapat menerima lelaki pilihan anak mereka ataupun sebaliknya. Lantaran tidak mendapat restu keluarga, pasangan tersebut mengambil jalan mudah dengan lari daripada keluarga dan berkahwin secara senyap di tempat lain, contohnya di negara jiran, Thailand.

Setelah berkahwin pasangan muda itu tidak berani untuk pulang ke rumah bertemu dengan keluarga, terutama ayah ibu yang tidak merestui perkahwinan tersebut. Lalu pasangan tersebut akan membawa diri melayari kehidupan mereka sendiri tanpa mengharapkan bantuan keluarga lagi. Akibatnya, ikatan kekeluargaan terputus.

Perbuatan kahwin lari ini tidak sewajarnya berlaku kerana ia bukan sahaja akan merosakkan ikatan kekeluargaan, malah mengundang banyak masalah lain di hari muka. Jika perkahwinan mereka di negara luar tidak didaftarkan semula di Malaysia, ia adalah satu kesalahan yang jika disabitkan di mahkamah, mereka akan dihukum. Tetapi hukuman mahkamah adalah kecil jika dibandingkan dengan hukuman kerana memutuskan hubungan kekeluargaan. Lebih besar lagi hukuman yang akan menimpa mereka jika pasangan tersebut terus menerus tidak memohon maaf daripada kedua orang tua mereka.

Di dalam Semanis Kurma sebentar tadi, seorang pemanggil dari Melaka telah menelefon dan meluahkan perasaannya mengenai topik yang diperbincangkan itu. Dia menceritakan betapa hancur luluh perasaannya apabila anak perempuannya kahwin lari dengan pasangan pilihannya. Setelah anak itu dipelihara 'bagai menatang minyak yang penuh' itukah balasan yang diberikan kepada kedua orang tuanya?

Mengikut pemanggil tersebut, anaknya itu kini sudah tidak dapat dihubungi. Dia sendiri sudah tidak mahu memikirkan perkara itu lagi. Dan apa yang paling menyayat hati ialah si ayah tersebut sudah membuang segala ingatan terhadap anaknya itu, jika ada sekalipun tidak lebih daripada 2% sahaja lagi. Katanya, kini dia dan isterinya sering mendoakan supaya kehidupan anak perempuannya itu akan hacur berkecai! Na'uzubillah....

Hancur luluh perasaan seorang ayah terhadap anak sulungnya itu yang sanggup melarikan diri seolah-olah membuang keluarga sendiri. Puncanya menurut si ayah tadi ialah ketika dia diperkenalkan kepada teman lelaki anaknya itu, si ayah dan si ibu terasa ada gerakan di dalam hati kecil mereka yang menyatakan lelaki itu bukanlah pilihan terbaik untuk menjadi suami anaknya. Sebagai seorang ayah dan ibu, jentikan perasaan sebegitu kerap kalinya ada kebenaran. Mungkin itu anugerah Allah s.w.t kepada insan-insan yang bergelar ayah dan ibu. Lantas si ayah dan ibu tidak bersetuju untuk menerima pinangan lelaki berkenaan. Akibatnya, si ayah dan si ibu itu kini kehilangan seorang anak yang amat mereka sayangi semata-mata kerana perbuatan kahwin lari.

Situasinya kini, perkara itu sudah berlaku kerana sudah ditakdirkan begitu. Si ayah dan si ibu tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka sudah berkahwin, walaupun kahwin lari. Akibat daripada itu wajarkan si ayah dan si ibu tadi mendoakan kehancuran hidup anaknya? Apakah sudah benar-benar tidak wujud lagi rasa kasih dan sayang terhadap anak mereka itu kini? Dan wajarkah pula si anak tadi terus membuang keluarganya, tidak pulang memohon kemaafan daripada kedua ayah dan ibunya?

Lupakah mereka, bahawa 'air dicincang tidak akan putus' dan 'carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum semula'. Pepatah Melayu itu amat dalam maksudnya samalah seperti 'umpama daging, dicincang-cincang dimakan juga'.

Kepada si ayah dan si ibu, janganlah berdoa supaya kehidupan anak mereka itu hancur berkecai tetapi keraplah berdoa supaya hatinya terbuka untuk kembali ke pangkal jalan dan pulang memohon kemaafan. Kepada anaknya pula, segeralah pulang kepada ayah dan ibu serta melutut memohon keampuan mereka sebelum kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Lupakan segala yang telah terlanjur berlaku dan jadikan semua itu sebagai pedoman di dalam kehidupan rumah tangga mereka.
Semoga dengan itu kejernihan akan muncul selepas keruh yang melanda.
_____________________________________________________

"Setiap pembinaan perlukan asas yang kukuh, teguh dan kekal bertahan. Begitu jugalah membina sebuah rumah tangga, asas paling utama ialah restu kedua orang tua"
_____________________________________________________

Nov 26, 2009

SELAMAT MENYAMBUT EIDUL ADHA


SAYA mengucapkan Selamat Menyambut Eidul Adha kepada semua pembaca budiman.

Nov 24, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA

10 DZULHIJJAH 1430 = 27 November 2009 telah diisytiharkan sebagai Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini. Seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan menyambutnya dengan penuh kesyukuran.
Pada hari kita di Malaysia merayakannya, seluruh umat Islam yang mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci akan berkumpul dan bermalam di Mina selama tiga hari bagi memenuhi kewajiban di dalam ibadah tersebut. Selama di Mina jemaah haji akan melakukan kerja-kerja wajib haji iaitu melontar di ketiga-tiga jamrah sebelum berangkat semula ke Mekah bagi menyempurnakan rukun-rukun haji yang selebihnya. Semasa di Mina inilah jemaah haji akan mengambil kesempatan melakukan ibadat qurban, satu daripada syariat Islam yang disunatkan.

Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakkadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka. Menurut Mazhab Syafie, ibadah ini disunatkan kepada mereka yang mempunyai harta yang melebihi keperluan diri dan tanggungannya pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) termasuklah orang yang sedang mengerjakan haji. Ibadah Qurban ini adalah untuk memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibarahim Alaihissalam yang sangup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam.

Justeru kepada yang berkemampuan, rebutlah peluang untuk melakukan ibadah Qurban ini sempena ketibaan Hari Raya Aidil Adha nanti. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 : Maksudnya : "Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".

Seterusnya Allah S.W.T. telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 : Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu". Manakala Rasulullah s.a.w. pula bersabda, maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadis riwayat At-Tirmidzi). Sabda Rasullah s.a.w lagi, yang bermaksud: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan". (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Di dalam sebuah hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Hadis riwayat Thabrani)

Sempena ketibaan Aidil Adha ini, saya mengambil kesempatan memohon kemaafaan daripada rakan-rakan pembaca sekalian. Semoga kita sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan peliharaan Allah s.w.t.
__________________________________________
"Memohon kemaafan adalah sifat yang mulia, namum orang yang memaafkan orang lain jauh lebih mulia sifatnya"
__________________________________________

Nov 22, 2009

KISAH MASYARAKAT


SAYA
ingin berkongsi suatu kisah masyarakat yang berlaku ke atas seorang kenalan lama saya yang pernah berjiran. Dia seorang duda kematian isteri hampir 2 tahun yang lalu. Saya namakan dia sebagai D.

D seorang pesara jabatan Kerajaan, berusia 60 tahun, masih tegap, walaupun pernah mengalami sakit teruk dan berada di ICU selama 44 hari. Sejak kematian isterinya, D tinggal di rumahnya seorang diri. Tetapi sejak enam bulan yang lalu anak ketiganya (lelaki) pulang tinggal bersama-samanya setelah rumah tangganya berkecai oleh kerana perceraian. Manakala empat orang anaknya yang sudah berumah tangga masing-masing tinggal di tempat berlainan.

D menjalani hidupnya seperti biasa, melakukan kerja rumah bersendirian. Membasuh, membersih rumah, memasak dan lain-lain kerja yang biasa dilakukan allahyarhamah isterinya dahulu. Setiap pagi dia akan pergi bersenam di satu kawasan riadah yang disediakan oleh Majlis Bandaraya untuk warganya. Di situlah D berkesempatan bertemu rakan-rakan lamanya sambil berbual-bual mengenang kembali nostalgia zaman bekerja dahulu.

Y pula adalah seorang balu (bukan janda) yang sudah kematian suami sejak lebih 3 tahun yang lalu. Allahyarham suami Y meninggal dunia akibat penyakit misteri yang tidak dapat diubati oleh para doktor. Y memelihara 3 orang anak yang masih bersekolah. Untuk menampung keperluan keluarganya, Y bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah restoran. Rumah Y dan rumah D tidak jauh, malah di dalam satu kawasan perumahan, hanya dipisahkan oleh beberapa blok rumah sahaja.

Ada beberapa orang duda di kawasan perumahan itu yang menaruh hati kepada Y, termasuklah D sendiri. Namun D tidak pernah menyuarakan perasaannya melainkan dipendamkan sahaja. Namun, pada suatu hari pecah cerita, D dan Y memadu cinta! Akibatnya anak-anak D menyerang Y bertalu-talu dengan pelbagai cemuhan dan amaran!

D teramat sedih kerana anak-anaknya sanggup bertindak melulu tanpa usul periksa terlebih dahulu. Semuanya hanya kerana fitnah semata-mata. Anak-anak perempuannya begitu lantang sekali memarahi Y malah bukan itu sahaja, mereka turut memarahi D yang dituduh sudah tidak sayang lagi kepada allahyarham ibu mereka. D menerangkan segala-galanya kepada anak-anaknya. Dia memang suka pada Y tetapi Y tidak pernah tahu perasaan hatinya selama ini. D sendiri tidak pernah meluahkan perasaannya kepada Y. D hairan bagaimana cerita dia bercinta dengan Y itu tersebar sehingga anak-anaknya dapat tahu? Bukan itu sahaja, yang peliknya ada cerita yang D selalu menghantar Y ke tempat kerjanya setiap pagi dia pergi bersenam. Malah ada juga cerita Y menghantar makanan ke rumah D.

Itulah fitnah namanya. Fitnah mengakibatkan banyak perkara buruk, pecah belah di dalam keluarga dan di kalangan masyarakat. Apa faedah yang diperolehi mereka-mereka yang suka menabur fitnah sebegitu? Puaskah hati mereka melihat D dan anak-anaknya bertegang leher dan bermasam muka? Anak-anak sudah tidak menghormati ayah mereka sehingga sanggup meninggikan suara terhadap orang yang banyak berjasa di dalam hidup mereka selama ini.

D dan Y adalah mangsa perbuatan manusia yang tidak beriman. Melempar fitnah demi untuk memuaskan nafsunya sahaja. Kepada D diharap akan sentiasa bersabar menghadapi dugaan itu. Begitu juga dengan Y. Biarlah Allah sahaja yang memberikan pembalasannya nanti.
____________________________________________

"Elakkan diri daripada menabur fitnah kerana perbuatan itu dimurkai Allah s.w.t.
____________________________________________

Nov 20, 2009

2O TAHUN DIHUKUM PENJARA

TERSIAR sebuah berita di dalam akhbar hari ini tentang keputusan Mahkamah Sesyen Pulau Pinang ke atas seorang ayah yang dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun. Dia dihukum penjara kerana menyebabkan kematian bayi perempuannya, Nurul Ain Amirah berusia 4 bulan, dengan mencampakkan bayi tersebut ke atas tilam sehingga mengakibatkan berlakunya pendarahan pada selaput otak.

Mohamad Nasir Sulaiman, 34 tahun, hanya mampu menundukkan kepala dengan wajah sayu sebaik hukuman dijatuhkan ke atasnya oleh Hakim Rosilah Yop. Nasir juga dihukum penjara empat tahun di atas kesalahan mendera anak kandungnya itu dengan cara memegang kaki mangsa ke atas dan kepala ke bawah sambil berlegar-legar di dalam rumah. Mangsa dicampakkan ke atas katil hanya kerana bayi itu tidak berhenti menangis.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 9.00 malam 7 Mac yang lalu di rumah N0 100A, Blok D, Mukim 12, Kampung Masjid Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Sedih membaca berita ini kerana perbuatan seorang ayah terhadap bayi yang tidak berdosa itu. Walau sekalipun bayi itu menangis tidak berhenti-henti, tindakannya memegang kaki ke atas kepala ke bawah dan mencampakkannya ke atas tilam adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan. Apa pun alasannya, tindakan sedemikian adalah di luar batasan kewarasan seorang manusia, lebih-lebih lagi perbuatan seorang ayah ke atas anak kandungnya sendiri yang masih seorang bayi.

Hilangkah pertimbangannya pada waktu itu atau tidak ada langsungkah perasaan kasihan belas kepada bayinya? Sewajarnya seorang ayah mencari jalan dan berikhtiar untuk menenangkan anak yang sedang menangis itu. Bukannya melakukan sedemikian sehingga menyebabkan kematian.

"Bapa apa kamu ini, Encik Nasir? Kamu sepatutnya menjaga, membentuk, memberi kasih sayang dan melindungi anak kamu! Sebaliknya kamu bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menonggeng dan mencampakkan anak kamu sehingga menyebabkan kematiannya. Ini satu penganiayaan. Mahkamah amat memandang berat perbuatan kamu ini dan kamu dipertanggung jawabkan atas apa yang kamu lakukan".

Mahkamah senyap sepi mendengar 'leteran' Hakim Rosilah Yop sebelum menjatuhkan hukuman itu.

Pengajarannya ialah setiap ayah perlu memiliki sifat sabar dan bertimbang rasa. Bukannya panas baran tidak tentu hala yang akan mengakibatkan kemalangan atau kehilangan nyawa. Bayi yang menangis tidak henti-henti tentu ada sebabnya. Bukan begitu caranya untuk mendiamkannya.

Si ayah perlu berikhtiar mencari punca bayi itu menangis. Laparkah dia? Sakitkah dia? Paling mudah bawa sahaja ke klinik biar doktor yang periksa dan memberi ubat yang sesuai.

Kepada ayah-ayah yang masih muda, ambillah kisah ini sebagai pengajaran yang berguna.

__________________________________________________

"Setiap anak itu adalah amanah Allah s.w.t kepada ayah dan ibu. Merekalah yang akan memikul amanah tersebut dan bertanggung jawab menjawab di hadapan Allah s.w.t di akhirat nanti terhadap apa yang telah mereka lakukan bagi menjaga amanah tersebut"
__________________________________________________

TAHNIAH

TAHNIAH diucapkan kepada lebih 47,000 orang murid sekolah rendah yang berjaya cemerlang di dalam UPSR 2009 yang keputusannya diumumkan kelmarin. Sudah pasti anak-anak, ibu bapa serta guru-guru bergembira serta bersyukur di atas kejayaan tersebut. Ini adalah langkah pertama bagi murid-murid berkenaan di dalam menghadapi dunia pembelajaran yang lebih mencabar apabila menapak ke sekolah menengah tahun hadapan.



Di dalam pelbagai media dihebahkan tentang pencapaian cemerlang tersebut. Pengarah Pelajaran setiap negeri di Malaysia membuat sidang media mengumumkan keputusan di negeri masing-masing. Sekolah-sekolah yang berjaya dengan cemerlang dilawati oleh pemberita dan wartawan untuk membuat liputan berita. Wajah-wajah riang murid-murid yang berjaya terpampang jelas. Seorang demi seorang diwawancara wartawan dengan soalan-soalan yang sudah klise.

"Apa perasaan adik setelah mencapai kejayaan 5A di dalam UPSR tahun ini?".

"Siapakah yang mendorong adik sehingga boleh berjaya cemerlang seperti ini?".

"Apa cita-cita adik selepas ini?".

Jawapan-jawapan yang diberikan oleh murid-murid tersebut tentu sudah kita ketahui kerana saban tahun soalan yang sama diajukan kepada murid-murid yang berjaya. "Saya rasa gembira kerana berjaya dapat 5A". "Emak dan ayah saya memberi dorongan yang kuat sehingga saya berjaya". "Saya mahu menjadi seorang doktor". Begitulah lazimnya jawapan-jawapan yang diberikan oleh murid-murid tersebut.

Begitu juga ada wartawan yang menyusuri hingga ke pinggir sawah untuk menemuramah seorang ayah, seorang petani di kampung pendalaman, hanya kerana anak perempuannya berjaya memperolehi keputusan 5A UPSR. Atau bertemu seorang ibu yang hanya bekerja sebagai penoreh getah atau peniaga kecil untuk tujuan yang sama. Anak dan ayah atau ibu itu akan berpeluk kegembiraan di atas kejayaan yang dicapai. Semuanya gembira dan teruja dengan pencapaian tersebut.

Namun jarang sekali wartawan bertemu dan bertanyakan perasaan para guru terhadap pencapaian anak didik mereka. Kalau adapun hanyalah terlalu sedikit bilangannya. Tidak pernah kita dipertontonkan seorang guru yang menangis teresak-esak kerana gembira yang bukan kepalang apabila keputusan sekolahnya meningkat daripada tahun-tahun sebelumnya. Atau seorang guru yang menangis kerana keputusan mata pelajaran yang diajarnya tidak mendapat keputusan yang baik sehingga menyebabkan prestasi sekolah secara keseluruhannya merosot.

Saya mendapat khabar tentang sebuah sekolah di pendalaman yang tidak pernah mencapai kejayaan setiap tahun keputusan UPSR diumumkan. Tetapi pada UPSR 2009 dua orang daripada muridnya berjaya mendapat keputusan 5A! Ia adalah satu sejarah bagi sekolah tersebut. (Saya pernah dijemput menyampaikan ceramah kepada waris-waris sekolah tersebut awal tahun yang lalu). Namun, tidak ada sedikitpun berita tentang kejayaan itu dipaparkan media. Saya tidak menyalahkan media, cuma menyuarakan rasa terkilan sahaja.

Bayangkan, sejak ditubuhkan sekolah itu belum pernah mencapai kejayaan seperti tahun ini. Tentulah semua guru di sekolah tersebut merasa amat gembira dan saya pasti ada di antara guru-guru di sekolah tersebut yang mengalirkan air mata kesyukuran. Apa tidaknya, selama ini guru-guru bertungkus lumus untuk memberikan yang terbaik, tetapi oleh kerana sikap waris yang kebanyakannya pekerja estet getah di situ, kurang berminat untuk bersama-sama membantu sekolah tersebut, kejayaan tidak pernah dapat dikecapi. Semasa saya pergi berceramah dahulupun, hanya ada beberapa orang waris sahaja yang hadir. Selebihnya sibuk dengan urusan kerja masing-masing ataupun semata-mata tidak berminat untuk hadir.

Kegembiraan murid-murid, waris-waris serta para guru di SK Ladang Bukit Sidim itu sewajarnya diketengahkan, kerana kegigihan merekalah kejayaan akhirnya dicapai. Tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga SK Ladang Bukit Sidim.


Di dalam suasana kegembiraan yang dikecapi itu tiba-tiba saya menerima pesanan ringkas daripada seorang rakan. " I sedih sangat hari ni". Saya pun segera membalas, "Kenapa?". Tidak lama selepas itu dia menjawab, "Keputusan subjek English di sekolah I merosot. Semua memandang I dengan pandangan serong".


Saya faham perasaan guru tersebut kerana disebabkan mata pelajaran yang diajarnya mendapat kelulusan yang menurun, itu menjadi penyebab keputusan keseluruhan pencapaian sekolahnya juga merosot. Tentu sahaja Guru Besar bertanyakah soalan demi soalan kenapa perkara itu terjadi? Saya simpati dengan rakan saya itu kerana dia seolah-olah dijadikan kambing hitam di atas kegagalan sekolah mengekalkan prestasi seperti tahun 2008 dahulu. Tetapi apakah wajar seorang guru sahaja yang dipersalahkan?

"You sudah buat yang terbaik, memberi yang terbaik, mengajar yang terbaik kepada murid-murid you. You tidak berkuasa untuk menentukan kejayaan terbaik bagi mereka". Saya sempat memberikan sedikit pandangan dan semangat kepadanya. "Apa yang berlaku tidak mungkin dapat diubah lagi. Ia sudah pun berlaku, sudah menjadi sejarah. Apa yang perlu you buat sekarang ialah mula memikirkan cara-cara terbaik untuk murid-murid yang akan menduduki UPSR tahun 2010 nanti".

Saya berharap rakan saya itu tidak akan terus bermuram durja kerana kemerosotan keputusan mata pelajaran yang diajarnya itu. Juga saya berharap agar Guru Besar tidak akan meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada rakan saya itu. Saya berdoa agar tahun hadapan pada hari keputusan UPSR diumumkan, rakan saya ini akan menghantar pesanan ringkas kepada saya seperti ini: "Hari ini I terlalu gembira. Semua murid I mendapat A di dalam subjek yang I ajar!".

___________________________________________________

"Kejayaan atau kegagalan di dalam sesebuah organisasi harus dikongsi bersama. Kegembiraan kerana berjaya perlu dinikmati bersama dan kesedihan akibat kegagalan juga perlu dirasai pahitnya bersama-sama".
___________________________________________________

Nov 19, 2009

MENJANA KECEMERLANGAN

KECEMERLANGAN boleh dijana sesiapa sahaja, berseorangan ataupun secara berpasukan. Setiap orang yang menggunakan kekuatan, kebolehan, kemahiran, bakat yang dimilikinya berserta dengan kesungguhan dan iltizam yang tinggi, pasti akan mengecap kecemerlangan, di dalam apa sahaja bidang kehidupan.

Kekuatan, kebolehan, kemahiran serta bakat individu jika digemblengkan secara berpasukan tentu sahaja akan menjana kecemerlangan yang lebih cemerlang. Di dalam sesebuah organisasi, baik di jabatan atau di syarikat, kerja berpasukan amat penting ke arah merealisasikan misi dan visi organisasi tersebut. Setiap kaki tangan perlu mempunyai sikap positif bagi mencapai kejayaan secara bersama.

Dua hari lepas saya menyampaikan ceramah Menjana Kecemerlangan Melalui Kerja Berpasukan kepada pegawai dan kaki tangan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Negeri Kedah di dalam program Team Building - Menjana Kecemerlangan. Seramai 21 orang peserta mengikuti program tersebut yang berlangsung sehingga hari ini.

Setiap kaki tangan atau ahli kumpulan mesti memahami matlamat yang ditetapkan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat tersebut. Namun untuk mencapai matlamat yang ditetapkan beberapa faktor penting haruslah dipatuhi oleh setiap ahli kumpulan, di antaranya:-

  1. mengenal diri sendiri dan diri setiap ahli kumpulan,
  2. menghormati di antara satu sama lain,
  3. saling percaya mempercayai secara jujur dan ikhlas,
  4. mengikuti arahan ketua di samping memberi sumbangan idea bernas,
  5. memiliki sikap setia kawan yang tinggi dan saling bantu membantu,
  6. yakin kebolehan diri dan kebolehan ahli-ahli kumpulan,
  7. bangga menjadi ahli kumpulan,
  8. berusaha sebaik mungkin untuk mencapai matlamat kumpulan.

Apabila semua ahli kumpulan memainkan peranan serta tanggung jawab masing-masing dengan sepenuhnya, tidak ada sebarang halangan lagi yang boleh menghalang kecemerlangan kumpulan berkenaan. Nikmat kejayaan akan dapat dikongsi oleh semua ahli kumpulan. Pada ketika itu pastinya rasa kepuasan akan terpancar di setiap wajah ahli kumpulan kerana telah berjaya dengan cemerlang.

Justeru, setiap ahli kumpulan perlu mengikis sikap dan perasaan negatif yang bersarang di hati masing-masing selain meletakkan status dan darjat yang dimilikinya ke tempat lain, tanpa membawa bersama semasa berada di dalam kumpulan. Semua ahli kumpulan adalah setaraf, masing-masing mesti berusaha gigih tanpa mengharapkan layanan istimewa daripada rakan-rakan lain.

Percaya kepada sesama ahli dengan jujur dan menghormati sesama sendiri adalah sendi kepada pencapaian cemerlang. Tetapi yang lebih penting ialah sikap jujur dan ikhlas perlu lebih dititik beratkan.
___________________________________________

"Kenali diri sendiri sebelum anda dapat mengenali orang lain"
___________________________________________