Pages

Aug 1, 2010

GURU DIBENARKAN BERPOLITIK

MULAI hari ini, 1 Ogos 2010, Pegawai Pendidikan (Guru) Perkhidmatan Siswazah Gred DG 41 hingga DG 48 dibenarkan aktif di dalam parti politik seperti mana yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara. Berbagai pihak menyambut baik arahan tersebut yang berpunca daripada kenyataan Timbalan Pedana Menteri dan Perdana Menteri sebelum itu.

Suatu ketika dahulu, Guru-guru Siswazah pernah dibenarkan aktif berpolitik tetapi kemudiannya arahan dan kebenaran tersebut dibatalkan. Ketika itu banyak pihak tidak senang dengan kegiatan guru di dalam politik kerana terlalu berlebihan sehingga ada sesetengah mereka yang mengabaikan tugas hakiki seorang guru: mendidik anak bangsa.

Tetapi yang hairannya arahan terbaharu ini adalah seperti menghidupkan kembali arahan yang telah dimansuhkan sekian lama, berpatah balik kepada arahan awal-awal dahulu. Dan yang lebih peliknya kenapa arahan membenarkan guru bergiat di dalam parti politik tiba-tiba sahaja kembali dicanangkan? Bukankah sewaktu Kerajaan membuat keputusan menarik balik arahan kebenaran guru-guru bergiat di dalam politik dahulu itu berdasarkan kepada kajian dan pandangan umum tentang ketidakwajarannya para guru berpolitik? Apakah Kerajaan telah membuat kajian serta menerima pandangan umum terlebih dahulu sehingga arahan terbaharu ini perlu dikeluarkan?

Ada beberapa harapan yang perlu ditancapkan kepada arahan ini, iaitu:-
1. Para guru siswazah yang berminat bidang politik tidak boleh sama sekali mengabaikan tugas hakikinya sebagai seorang pendidik;

2. Kegiatan politik mereka nanti tidak mengganggu struktur organisasi jabatan pelajaran sehingga ada para guru yang mengambil kesempatan menjadikan tugas politik sebagai alasan untuk keluar meninggalkan sekolah pada waktu-waktu pengajaran dan pembelajaran;

3. Kerajaan tidak boleh menyekat kebebasan para guru tersebut untuk bergiat di dalam mana-mana parti politik baik parti politik pro-Kerajaan atau pun pro-Pembangkang;

4. Kerajaan tidak akan menganaktirikan para guru yang bergiat di dalam politik pembangkang dengan mendenda mereka contohnya ditukarkan ke kawasan pendalaman, atau dibekukan kenaikan pangkat dan sebagainya;

Jika benarlah arahan ini tidak hanya bermotif politik kepartian yang sempit, tetapi mahu melihat demokrasi di negara kita lebih subur dan mekar, arahan ini tidak boleh berat sebelah dan tidak boleh menjadi alat untuk menghukum para guru yang cenderung kepada parti pembangkang. Pada masa yang sama para guru yang memilih untuk menyokong parti pemerintah pula tidak sepatutnya disanjung, diberi keutamaan, kebebasan yang tanpa batasan atau peluang yang berlebihan. Dengan kata lain mereka itu tidak wajar dijadikan 'anak emas'.

Apa sekalipun, janganlah sampai masa depan pendidikan anak bangsa kita menjadi mangsa dan korban percaturan politik yang sempit.
********************************************************************
"Kalau guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
Kalau guru kencing berlari, murid pasti kencing lebih teruk lagi..."

********************************************************************

Jul 23, 2010

PERJALANAN MALAM (2)

Sambungan ...


DI Stesen Bagan Serai, sewaktu jam hampir 10 malam, seorang pemuda muncul di sisi tempat dudukku sambil melihat-lihat tiket di tangan kanannya. Aku menoleh dan bertanya, "nombor berapa?".

"12B", balas pemuda tersebut.

Tanpa menanti lama dia terus melabuhkan punggungnya di tempat duduk bersebelahanku. Sememangnya kerusi itu kosong dari Stesen Bukit Mertajam lagi. Dan sememangnya itulah tempat duduknya. 12B.

Waktu itu Nurul Atiqah dan abangnya sudah tidak keletah seperti awalnya kerana mereka sudah asyik dengan komputer riba beberapa orang pelajar yang duduk di kerusi bersebelahan. Waktu itu memberikan sedikit ruang untuk berbual dengan pemuda tersebut.

"Nak ke KL ka?", aku memulakan perbualan.

"Ya", balasnya ringkas. Sebuah beg sendeng diletakkan di atas riba, menutupi tangan kirinya. Di tangan kanannya telefon bimbit dipegang dan sesekali dia menjeling ke skrin telefonnya. Mungkin dia sedang menanti balasan s.m.s daripada seseorang. Mungkin daripada ibu atau ayahnya.

"Nak pi belajar ka di KL? Atau pi kerja?", sambung aku lagi sengaja mahu mengajaknya berbual kerana mata masih belum mengantuk.

"Nak ke Hospital Universiti Malaya. Nak buat fisioterapi". Sudah terasa sedikit kemesraan timbul dalam suaranya.

Dia kemalangan, motorsikalnya merempuh tiang letrik di tepi jalan setelah dilanggar dari belakang oleh sebuah motorsikal lain yang dipandu dengan laju. Kejadian itu sudah hampir 4 tahun yang lalu. Dia tidak mengalami sebarang luka yang parah. Malah katanya, tiada darah pun yang tumpah.

"Habis tu, apa pasal kena buat fisioterapi pulak?", aku makin ingin tahu.

"Tulang bahu patah dan urat saraf putus. Tangan saya tidak boleh bergerak lagi. Otot makin menyusut. Tidak ada rasa langsung di tangan kiri saya ini".

Aku menyentuh tangan kirinya yang disembunyikan di bawah beg sendeng. Benar, terasa amat longlai tangan itu. Sekarang dia terpaksa melakukan semua kerja hanya dengan menggunakan tangan kanannya sahaja.

Aku segera bersyukur membandingkan keadaan anakku yang juga kemalangan motorsikal hampir 5 tahun lalu. Tulang kakinya patah di dua tempat manakala tempurung lututnya retak teruk. Doktor menjangka dia akan pulih sepenuhnya dalam tempoh 7 hingga 9 bulan. Selepas keluar dari hospital, dia juga perlu mengikuti sesi fisioterapi sehingga beberapa bulan. Kini Alhamdulillah, anakku sudah kembali normal.

"Apa pasal kena pi KL, di Hospital Bagan Serai tak boleh buat fisioterapi ka?".

"Saya sudah cari hospital-hospital berhampiran, tapi tidak ada yang sediakan kemudahan fisioterapi. Terpaksalah ke KL setiap dua minggu sekali".

"Banyak belanja tu. Ayah kerja apa?".


"Ayah petani sahaja. Saya pula sekarang ini sedang menjalani Latihan Industri di Nibung Tebal".

"Susah jugak tu. Kena ambil cuti tiap-tiap minggu. Duit belanja pun banyak jugak".

"Seratus ringgit pergi balik tak cukup lah. Tapi saya terpaksa juga pergi".

"Ada apa-apa kesan selepas jalani fisioterapi ni?".

"Belum ada kesan lagi".

Malam itu fikiranku berfikir tentang anak muda yang hampir sebaya dengan anakku itu. Dia sedang menuntut di sebuah politeknik. Selepas tamat latihan industri dia perlu masuk semula ke politeknik untuk tempoh satu semester lagi. Kemudiannya dia akan keluar dengan mendapat Diploma.

Masa depannya cerah kerana memiliki diploma. Tetapi bagaimana jika tangan kirinya terus tidak dapat berfungsi lagi? Dia akan menjadi seorang OKU. Apakah akan ada majikan yang sanggup menerima dia bekerja dengan keadaannya sebagai OKU?

Alhamdulillah, anakku sudah kembali sembuh seperti sedia kala. Jika tidak dia mungkin menjadi OKU juga. Aku mendoakan agar anak muda itu juga akan segera sembuh.

Jul 19, 2010

PERJALANAN MALAM (1)

TERBACA sebaris pertanyaan dari seorang sahabat maya, "kenapa lama tidak menulis di blog?".

Aku tidak dapat memberi jawapan segera kepada pertanyaan itu. Bukan sebab tiada jawapan, cuma aku khuatir sama ada jawapan itu nanti dapat menjawab pertanyaannya ataupun sebaliknya. Begitulah, aku seperti biasa, lama-lama sekali menambah tulisan di dalam blogku ini. Semuanya kerana satu alasan sahaja, "sibuk".

Tetapi aku pasti jawapanku itu tidak akan memberi sebarang makna kepada sesiapa sahaja. Sibuk, memang semua orang sibuk. Bukan penulis juga sibuk. Pak Kadir penjual mee goreng pun sibuk juga. Harris yang menjual ais kacang di medan selera itu juga sibuk. Mak Minah yang tidak bekerja sejak berkahwin dahulu sibuk juga. Semua orang sibuk.

Guru yang bukan penulis juga sibuk. Guru-guru yang bergiat aktif di dalam NGO juga sibuk. Apatah lagi yang sememangnya sibuk terlibat di dalam politik atau sukan atau gerakan kemasyarakatan. Itulah hakikatnya, semua orang sibuk dengan urusan dan hal masing-masing.

Tetapi kali ini aku tidak mahu bercerita tentang alasan sibuk itu. Aku mahu menulis sesuatu. Tetapi bukan kerana pertanyaan seorang rakan maya. Aku mahu menulis kerana aku mahu menulis.

** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** **

SALAH satu komponen sistem pengangkutan awam di Malaysia ialah kereta api. Ia dikendalikan oleh sebuah syarikat, Keretapi Tanah Melayu atau KTM Berhad. KTM sudah lama wujud malah pengangkutan menggunakan kereta api sudah wujud di Malaysia sejak sekian lama dengan adanya rel kereta api pertama yang menghubungkan Taiping dan Port Weld (Kuala Sepetang).

Kali terakhir aku menaiki kereta api ialah sekitar tahun 1976, sewaktu masih bergelar pelajar institut pengajian tinggi. Berebut-rebut membeli tiket di kaunter KTM dan seterusnya berebut-rebut memanjat tangga gerabak kereta api di platformnya adalah gambaran biasa pada waktu itu. Tetapi selepas itu aku tidak lagi menaikki kereta api. Bukan kerana aku tidak suka, cuma aku sudah miliki kenderaan sendiri untuk pergi ke mana-mana.

Tiba-tiba sahaja keingininan untuk menaiki kereta api meruap-ruap. Lalu apabila ada mesyuarat di Ibu Kota pada minggu lalu, aku mengambil keputusan untuk pergi dengan menaiki kereta api. Perubahan sudah banyak berlaku sejak 1976 dahulu. KTM sudah berubah wajah, sudah menjadi dewasa dan berpengalaman. Aku menempah tiket pergi balik dari Alor Setar ke KL Central. Hanya RM78-00 sahaja untuk tempat duduk Kelas 2.

Jam 7.10 malam kereta api tiba di stesen setelah hampir 10 minit pengumuman dibuat melalui alat siaraya di stesen itu. Aku naik ke gerakan Q1 seperti tertera di dalam tiket, mencari tempat duduk bernombor 12A di tepi tingkap. Lima minit kemudian, kereta api mula bergerak meninggalkan stesen yang akan kembali kaku, lengang dan suram sepanjang malam.

Bezanya jika dibandingkan dengan bas ekspres, aku boleh berjalan dari gerabak ke gerabak di dalam kereta api itu. Tetapi di dalam bas, aku hanya duduk di kerusi melayan lenguh sendi sehinggalah bas berhenti di tempat-tempat yang khusus. Aku bangun berjalan ke gerabak-gerabak lain. Melewati gerabak Kelas Ekonomi kemudian ke gerabak Kantin dan gerabak Kelas Pertama yang menyediakan ruang tempat tidur yang selesa.

Aku terjumpa seorang sahabat yang juga seorang penulis puisi, saudara Abdul Rahim Omar. Dia adalah staf KTM yang penuh dedikasi dan komited dengan tugasnya. Namun yang pasti, Rahim adalah seorang penulis puisi yang baik dan sudah tentu pengalaman kerjayanya sedikit sebanyak membantu dia menghasilkan bait-bait puisi yang indah dan menarik.

Kami berbual seketika dan sempat jugalah aku solat maghrib serta solat isya secara qasar dan jamak taqdim di dalam salah sebuah kabin tempat tidur yang masih kosong pada waktu itu. Tidak ada gerabak khas untuk Surau di dalam kereta api yang aku naiki malam itu.

Perjalanan Malam. Tiba-tiba terlintas di fikiranku. Bagus juga judul ini, fikir hati kecilku. Boleh aku tulis sesuatu. Bahan-bahannya banyak yang boleh aku kutip di sepanjang perjalanan itu.

*************************************************************************
NURUL ATIQAH, anak kecil berusia 4 tahun. Comel dan petah berbicara. Sebaik aku kembali duduk di kerusi 12A gerabak Q1 setelah selesai menunaikan solat dan berbual dengan saudara Rahim, Atiqah memandang tepat ke arahku. Kerusi aku betul-betul di belakang kerusinya. Atiqah duduk bersama ibunya manakala ayah dan abangnya di kerusi bersebelahan.

"Pak cik nak pi mana?". Tegur Atiqah dengan senyuman manisnya.

"Bukan Pak cik. Tok Wan", aku membetulkan fakta. Memang benar, usia aku dan usia Atiqah jauh bezanya. Tidak tepat sama sekali memanggilku pak cik.

"Tak mau. Nak panggil pak cik juga", Atiqah bersuara lagi. Aku segera teringat kepada Aliya, cucu jiranku yang tidak mahu memanggil aku Tok Wan, tetapi berkeras mahu memanggil Wan Din yang kekal hingga kini.

Sepanjang perjalanan dari Alor Setar hinggalah Kuala Kangsar, Atiqah tidak duduk diam. Dia begitu petah bercakap dan bernyanyi dengan riang sekali. Apatah lagi ada beberapa orang remaja (aku pasti pelajar-pelajar IPT) yang duduk di kerusi-kerusi berhampiran, melayan keletahnya. Atiqah semakin manja dan rapat dengan mereka apabila salah seorang daripadanya membuka komputer riba miliknya. Tiba di stesen Kuala Kangsar, Atiqah bersama ayah, ibu dan abangnya turun kerana mahu pulang ke rumah Opah mereka di Kuala Kangsar. Gerabak itu serta merta sunyi dari keletah Atiqah yang pastinya amat teruja mengharungi perjalanan malam dengan kereta api.

Aku berhenti di sini seketika untuk kusambung kembali nanti.

Jun 22, 2010

MANSUH ATAU KEKAL ?


TIGA hari lepas, di dada akhbar-akhbar tempatan tempampang berita tentang hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memansuhkan dua peperiksaan awam iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Cadangan memansuhkan kedua-dua peperiksaan awam ini adalah bertujuan untuk mengubah corak pendidikan di negara ini yang terlalu berorientasikan peperiksaan (examination oriented). Dalam masa yang sama ia diharap dapat menseimbangkan penglibatan pelajar di dalam bidang ko-kurikulum dan sukan serta tidak hanya tertumpu kepada bidang akademik semata-mata.

Sejak kelmarin beberapa pihak telah memberikan buah fikiran dan pendapat masing-masing mengenai cadangan tersebut. Ada pihak yang menyokong dan ada yang tidak bersetuju. Cadangan-cadangan dari pihak guru dan ibu bapa telah tersiar di dalam media serta melalui tulisan di dalam blog-blog tertentu.

Sebagai seorang bapa, YDP PIBG dan juga bekas pelajar, saya lebih cenderung untuk bersetuju supaya salah satu daripada peperiksaan awam tersebut dimansuhkan, bukan kedua-duanya sekali gus. Saya berpendapat UPSR perlu dikekalkan tetapi PMR boleh dimansuhkan dengan alasan-alasan berikut:-

UPSR Perlu Dikekalkan, kerana:-
  1. UPSR adalah kayu ukur menentukan kemampuan murid-murid sekolah rendah menguasai kemahiran belajar sebelum memasuki sekolah menengah, seperti kemahiran membaca, menulis dan mengira.
  2. UPSR adalah penapis untuk memilih dan menyalurkan murid-murid yang berkebolehan bagi memasuki sekolah-sekolah menengah berbagai aliran yang sedia ada, seperti Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Integrasi, Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Klaster dan sebagainya selain sekolah-sekolah aliran teknikal dan vokasional.
  3. UPSR adalah pemangkin kepada taraf pendidikan di peringkat sekolah menengah melalui sistem yang terarah kepada pembentukan modal insan dan pengenalan bakat serta kemahiran sejak berusia muda (7 - 12 tahun), tambahan pula Kementerian Pelajaran berhasrat untuk mewajibkan pendidikan awal sekolah (pra-sekolah) ke atas kanak-kanak berusia seawal 5 tahun.
  4. UPSR adalah satu cara untuk mengenal pasti pada peringkat rendah lagi tentang kecenderungan murid-murid sama ada ke arah akademik, kemahiran, kesenian, sukan dan sebagainya. Ini akan memudahkan lagi proses pengembangan bakat mereka di peringkat seterusnya.


PMR Perlu Dimansuhkan, kerana:-

  1. PMR pada masa ini lebih terarah semata-mata untuk menentukan aliran pendidikan para pelajar semata-mata tetapi tidak menitik beratkan kepada kebolehan, kecenderungan serta kemahiran yang dimiliki para pelajar. Mereka dibebankan dengan sistem pembelajaran yang tidak banyak menyokong kematangan pemikiran mereka dan mengakibatkan tidak semua yang lulus PMR mendapat kejayaan cemerlang di peringkat SPM.
  2. PMR tidak memberikan gambaran sebenar tentang potensi para pelajar kerana tempoh pembelajaran tiga tahun (Tingkatan 1 hingga 3) tidak dapat mencungkil sepenuhnya potensi mereka. Justeru, PMR bukanlah satu pentas untuk mengukur kemampuan pelajar secara menyeluruh.
  3. Kematangan para pelajar tidak terserlah kerana selepas PMR mereka hanya disalurkan ke bidang-bidang yang tersedia sama ada bidang sains atau sastera, tanpa memperdulikan kecenderungan mereka. Dengan kata lain, para pelajar lepasan PMR tidak boleh membuat pilihan mereka sendiri dan ini menjadikan mereka tidak dapat memenuhi keinginan dan kemampuan diri sendiri.
  4. Proses pembelajaran perlu berterusan tanpa diganggu oleh peperiksaan di separuh jalan, seperti PMR di peringkat menengah rendah yang diamalkan selama ini. Tempoh selama lima tahun proses pembelajaran (Tingkatan 1 hingga 5) adalah satu tempoh yang cukup sesuai untuk membentuk seseorang pelajar supaya seimbang dari segala aspek seperti fizikal, minda, emosi dan kerohanian mereka. Sekaligus dapat mencorakkan pemikiran mereka menjadi lebih positif.

Apabila PMR dimansuhkan, sistem pendidikan negara akan hanya mempunyai dua peperiksaan awam sahaja, UPSR dan SPM. Ini akan melenyapkan sistem pendidikan berorientasi peperiksaan yang agak membebankan seperti yang diamalkan pada masa ini. Pendidikan akan lebih terarah kepada pembinaan insan yang mampu memiliki jati diri dan keunggulan secara menyeluruh. Kejayaan akademik semata-mata tidak menjamin kecemerlangan insan pada masa hadapan jika tidak diadun dengan aspek-aspek penting yang lain di dalam proses pembentukan insan cemerlang.

Kementerian Pelajaran perlu membuat sedikit ubah suai dan pembaikan kepada sistem pendidikan dengan memberi perhatian kepada pengembangan potensi diri para pelajar melalui Kecerdasan Emosi (Emotional Quotient = EQ) dan Kecerdasan Kerohanian (Spiritual Quotient = SQ) dan tidak hanya menumpukan kepada Kecerdasan Intelektual (Intelectual Quotient = IQ) semata-mata. Ini akan dapat melahirkan insan-insan yang seimbang kecemerlangannya dan dapat menyumbang kepada kecemerlangan agama, bangsa dan negara.
__________________________________________

"Nilai diri manusia bukan hanya terletak kepada kepandaiannya menyelesaikan satu masalah semata-mata tetapi juga bergantung kepada kebijaksanaannya menangani sebarang permasaalahan di dalam kehidupan"
___________________________________________

Jun 16, 2010

NILAI SEDETIK WAKTU


SETIAP detik waktu amat bernilai, namun tidak mungkin dapat ditaksirkan berapa nilainya. Sedetik waktu berlalu tidak mungkin dapat dimiliki kembali.

Mungkinkah itu nilai sedetik waktu?

Biar apa sekalipun, detik-detik waktu akan terus meninggalkan kita. Selamanya tidak akan kembali lagi. Detik-detik waktu yang berlalu itu sebenarnya telah memendekkan waktu yang kita miliki.

_________________________________
Setiap manusia hanya diberikan 24 jam sehari semalam....
_________________________________________________

May 29, 2010

BENGKEL PUISI

PADA 18 Mei yang lalu, saya menyampaikan ceramah di Bengkel Puisi di SMK Merbok. Para peserta adalah pelajar-pelajar tingkatan-tingkatan satu, tiga, empat, lima dan enam, seramai 35 orang semuanya.

Saya memberi bimbingan kepada mereka tentang beberapa aspek penting untuk menghasilkan sesebuah karya puisi yang baik. Aspek utama ialah pemilihan tema dan gaya bahasa di dalam karya puisi yang mahu dihasilkan itu. Tema yang mahu diangkat seharusnya sesuai dengan persekitaran dan pengalaman seseorang penulis yang baharu berjinak-jinak di dalam bidang ini. Jangan terlalu ghairah mengangkat tema-tema berat yang tidak termampu dikupas atau diolah. Ini akan mengakibatkan puisi itu menjadi lemah.

Bahasa adalah medium utama dan amat penting yang perlu dipergunakan sebaik-baiknya kerana puisi yang baik mestilah mengandungi ayat-ayat puisi yang penuh nilai estetikanya. Bukan menggunakan ayat-ayat prosaik yang mendatar serta tidak mempunyai makna di sebalik kata. Lalu, para penulis muda perlu rajin mencipta ayat-ayat puisi supaya apabila berkarya ia akan dapat membantu sepenuhnya.

Saya lanjutkan juga di dalam Bengkel tersebut dengan menyampaikan beberapa kaedah untuk menghayati puisi. Di antaranya termasuklah baca puisi, deklamasi puisi serta lagu puisi. Tetapi dalam waktu yang terbatas (2 jam) saya hanya tumpukan kepada deklamasi puisi. Memberikan sedikit petua bagaimana untuk melontarkan suara, memantapkan pengucapan, memahami dan menyampaikan makna puisi melalui tekanan dan nada suara yang betul serta berkesan.

Ramai di antara peserta yang sudi mendeklamasikan puisi sebagai acara praktikalnya, termasuklah guru-guru yang ikut serta memantau program tersebut.

Terima kasih kepada pelajar-pelajar serta guru-guru yang terlibat. Saya berharap ceramah singkat saya itu memberi manfaat dan saya amat menantikan akan tumbuh pohon-pohon muda daripada benih yang saya cambahkan itu.

Saya menanti hasil karya para peserta sekalian. Saya juga berharap akan dapat melihat salah seorang atau beberapa orang deklamator akan muncul dari kalangan peserta bengkel ini.

May 13, 2010

CINTA SELUAS LANGIT TUHAN



DI SAAT-SAAT kehidupan anda dipenuhi kebahagiaan, tiba-tiba dihempas oleh peristiwa yang mengejutkan, sama ada anda kehilangan orang yang dicintai atau kehilangan barang-barang yang berharga atau kehilangan punca rezeki ataupun kehilangan jawatan dan kedudukan. Lantas berbagai rasa memenuhi perasaan dan kebencian serta kemarahan tidak dapat dielakkan. Dendam pun menguat di dalam hati.

Tetapi pernahkah anda sedar bahawa peristiwa sebegitu sesungguhnya telah menghantarkan jiwa anda ke gerbang kemuliaan?. Dengan melalui berbagai penderitaan, ujian, kecemasan dan kesedihan sesungguhnya Allah telah meletakkan diri anda sebagai hamba-Nya yang memahami makna cinta dan kasih sayang.

Kebencian pada dasarnya wujud pada diri anda ketika anda sedang ditimpa ujian dan penderitaan. Membiarkan diri penuh kebencian akan menambahkan lagi penderitaan bagai menyiram luka dengan air garam. Menambah perih dengan keperihan yang lebih dalam. Air mata menetes tanpa muara.

Kebencian hasrus diolah menjadi cinta, dengan memahami sepenuhnya bahwa setiap peristiwa apapun yang terjadi pada diri kita adalah sebagai perwujudan kita sebagai seorang Mukmin. Nabi Muhammad s.a.w menyebutkan sebagai sesuatu yang menakjubkan pada diri seorang mukmin sebab peristiwa apapun yang terjadi pada dirinya semuanya terasa indah. Mendapat nikmat dia bersyukur, ditimpa musibah dia bersabar.

"Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Bila mendapatkan nikmat, ia bersyukur dan syukur itu baik baginya. Bila mendapatkan dugaan, ia bersabar dan sabar itu baik baginya". (Hadis Riwayat Muslim).

Tidak perlu ada kebencian. Tidak perlu ada kemarahan. Tidak perlu ada dendam kerana setiap orang mukmin wajib menyakini bahwa semua itu wujud kasih sayang Allah s.w.t. Lantas kenapa kita harus membenci sesama makhluk? Cinta itu adalah manifestasi wujud kasih sayang Allah kepada diri kita.

* * * * * * * * * * * * * * * * * *

Terima kasih kepada pengirim email ini. Aku masih tidak mengenali siapa dia. Tetapi dia kerap mengirimkan email sebegini. Syukur kepada Allah s.w.t kerana telah mengirimkan cebisan Cinta-Nya.

Ayuh, hindarkan perasaan benci terhadap orang lain jika hanya kerana musibah yang kita lalui. Sebaliknya tukar kebencian itu menjadi cinta yang akan membawa berjuta ketenangan kerana CINTA itu seluas langit Tuhan.
_____________________________________________

"Cintailah kerana Allah dan bencilah kerana Allah. Sesungguhnya hal itu adalah merupakan ikatan iman yang paling kuat"
_____________________________________________

Apr 29, 2010

PENGORBANAN SEORANG SAHABAT

HARI ini aku mendengar rancangan Riuh Pagi ERA (RPE) di saluran Radio ERA. Mendengar satu cerita yang diceritakan oleh sorang pemanggil melalui telefon ke studio. Lazimnya aku tidak begitu sangat beri perhatian kepada rancangan RPE itu kerana rancangan itu hanya diisi dengan hal-hal yang kurang menarik. Tetapi hari ini bagai ada sesuatu yang menarik perhatianku apabila pemanggil itu membuat panggilannya dan bercerita tentang suatu perkara. Bagi aku perkara yang diceritakan itu amat menarik meskipun mungkin ramai yang akan mengatakan sebaliknya.

Pemanggil tadi (namanya Rizal) bercerita tentang pengalamannya sewaktu berusia 17 tahun (tidak pula diberitahu usianya sekarang, tetapi aku mengagak usianya sekitar 30-an pada masa ini) sewaktu hampir menduduki SPM. Biasalah, zaman persekolahan semua orang berpengalaman melalui detik-detik manis 'bercinta monyet'. Rizal itupun tidak terkecuali. Dia berkawan rapat dengan seorang pelajar perempuan sebayanya tetapi dari sekolah yang berlainan.

Tiap-tiap hari selepas waktu sekolah mereka akan berjumpa di suatu tempat sebelum pulang ke rumah. Hari demi hari persahabatan mereka menjadi putik-putik cinta. Rizal dan pelajar perempuan itu seperti sudah tidak dapat dipisahkan lagi. Rakan-rakan sekolah mereka tahu hubungan mereka berdua. Suatu hari, seperti biasa selepas waktu sekolah Rizal sampai di tempat pertemuan mereka. Tetapi hari itu kekasihnya tidak muncul. Rizal resah menanti, namun kekasihnya tetap tidak kunjung tiba. Beberapa hari selepas itupun, Rizal masih menanti, tetapi hampa. Perasaannya mula bimbang. Dia bertanya kepada rakan-rakan kekasihnya dan daripada mereka dia dapat tahu kekasihnya itu sakit dan sudah pulang ke kampungnya di Sabah. Kekasihnya itu tinggal bersama emak saudaranya di Kuala Lumpur semasa belajar di sekolah berkenaan.

Atas dasar cinta, Rizal terus pulang dan memecahkan tabung wang simpanannya. Berbekalkan wang tersebut dan maklumat tentang kampung kekasihnya itu, Rizal berlepas ke Sabah dari Lapangan Terbang Subang bersendirian. Setibanya dia di kampung kekasihnya itu baharulah Rizal dapat cerita sebenarnya bahawa kekasihnya itu sedang bergelut dengan hidup akibat menghidap sakit buah pinggang yang sudah sampai ke tahap kronik.

"Pada waktu itu juga saya mengambil keputusan untuk berkorban demi seorang sahabat", suara Rizal yang aku dengar melalui corong radio agak sebak bunyinya.

Kata Rizal dia segera menawarkan diri untuk menyumbang buah pinggangnya. Setelah diperiksa oleh pasukan doktor mereka mendapati buah pinggangnya sesuai untuk didermakan dan jenis darahnya juga sama dengan jenis darah kekasihnya yang sedang bergelut dengan hidup itu! Terus sahaja Rizal memberi tahu emak dan ayahnya di Kuala Lumpur untuk mendapatkan restu dan keizinan mereka. Kedua orang tuanya berlepas segera ke Sabah dan bertemu Rizal serta keluarga kekasihnya di sana.

"Awak dermakan buah pinggang awak, Rizal?", tanya DJ bertugas.

"Ya, saya dermakan buah pinggang saya demi kerana simpati saya terhadap seorang sahabat", balas Rizal, masih kedengaran sebak. "Tetapi usia kekasih saya itu tidak lama. Setahun kemudian, dia dijemput Allah pulang ke pangkuan-Nya". Suara Rizal tersekat di situ.

Aku menganggap kisah ini adalah kisah tentang pengorbanan yang amat luar biasa. Pengorbanan seorang sahabat terhadap sahabatnya yang menderita. Mungkin pada masa itu Rizal mempunyai perasaan cinta terhadap sahabatnya itu, tetapi bagi aku, Rizal sebenarnya adalah seorang sahabat atau kekasih yang berhati mulia. Dia jujur dalam persahabatan (percintaan) kerana itu dia rela berkorban meskipun dia belum pasti sahabatnya itu akan menjadi teman hayatnya.

Mari kita bertanya dan menjawab secara jujur:

i) Berapa ramaikah sahabat yang mempunyai kemuliaan seperti Rizal?
ii) Berapa ramai pula sahabat yang dengan mudah melupakan sahabatnya ketika sahabatnya itu mengalami kesusahan?
iii) Berapa ramaikah sahabat yang tidak mahu meneruskan persahabatan hanya kerana mendengar cerita-cerita fitnah dari orang lain?
iv) Berapa ramaikah sahabat yang bersahabat hanya kerana material serta kedudukan sahabatnya itu sahaja?
v) Berapa ramaikah sahabat yang sanggup memaafkan kesilapan sahabatnya yang berlaku tanpa sengaja?

Marilah sama-sama kita memberi nilai kepada makna persahabatan yang kita jalin dengan sahabat-sahabat kita selama ini. Semoga akan wujudlah kebahagiaan di dalam hati kita bersama.

Apr 20, 2010

SUARA HATI

MUNGKIN tidak ramai di antara kita yang menyedarinya, kadang-kadang ada suara halus dari dalam diri kita sendiri. Bisikan yang tidak semena-mena terjelma, seperti terucap tetapi bukan melalui lidah. Itulah suara hati.

Suara hati kita sama seperti sikap kita. Ada yang bernada positif dan ada yang bernada negatif. Suara hati positif menjadi pendorong dan yang bernada negatif sebaliknya. Begitu jugalah dengan sikap kita sendiri, ada yang positif dan ada yang negatif.

Jika diamati, suara hati yang positif jarang kedengaran berbanding yang negatif. Suara hati negatif lebih mudah tercetus kerana di dalam diri kita 75% hingga 85% dipenuhi rasa negatif. Ditambah pula negatif itu diwarisi sejak kita masih kecil lagi dan ditimbun saban tahun sehingga kita dewasa lalu ia menjadi sebati di dalam diri kita. Akibatnya kita menjadi sukar membezakan antara negatif dan positif.

Suara hati negatif sering membisikkan apa sahaja. Tetapi setiap kali ia berbisik kita yang sukar mengatakan bisikan itu negatif. Dan apabila orang lain menegur dengan mengatakan itu adalah negatif, kita sukar menerimanya kerana sekian lama ia bersemadi di dalam diri kita tanpa kita ketahui ia adalah negatif. Lalu yang sering tercetus adalah berbagai rasa seperti kurang senang, marah, cemburu, tidak puas hati dan sebagainya. Bukankah itu semua suara-suara negatif?

Jarang terpancar di dalam hati kita suara puji-pujian, rasa syukur, terima kasih atau kasihan belas. Simpati dan dorogan juga kurang kedengaran. Oleh sebab itu lebih ramai di antara manusia lebih senang bertindak mengikut nafsu daripada melakukan sesuatu mengikut hati dan perasaan positif.

Lalu, seharusnya kita belajar melatih diri kita berbicara dengan suara hati positif dengan mengungkapkan kata-kata semangat, dorongan, kasih sayang, puji-pujian, mesra dan lain-lain lagi yang dapat menimbulkan rasa positif. Supaya dengan itu segala gerak laku dan tutur kata kita akan bertukar menjadi positif dan lebih memberi kesan baik di dalam kehidupan.

Prosesnya mungkin agak sukar dan mengambil masa, tetapi kita harus bermula segera. Jangan tunggu sehingga segala negatif itu terus sebati dengan darah daging kita. Waktu itu kita akan menjadi manusia yang memandang sesuatu perkara atau kejadian itu dengan pandangan negatif semata-mata, tanpa sekelumit rasa positif. Kita akan tenggelam di dalam kerugian walaupun kita merasai kita sudah terlalu untung!

Ayuh, mulakan segera! Sekaranglah masanya!

_______________________________________________________

"Sesungguhnya di dalam hati anak Adam itu ada seketul daging, apabila baik daging itu baiklah dirinya dan apabila busuk daging itu busuklah dia. Daging itu adalah hati".
_______________________________________________________

Apr 11, 2010

PRASANGKA

ADA pepatah Inggeris berbunyi: "Don't judge a book by its cover". Ia membawa maksud jangan menilai seseorang itu hanya melalui luaran sahaja. Ini disebabkan apa yang dapat dilihat dan dipandang orang ialah sifat luaran. Tiada siapa yang dapat melihat ke dalam diri orang lain dan melihat apa yang difikirkan oleh orang itu.

Maksudnya pepatah itu adalah suatu pesanan supaya di dalam kita menilai kejujuran seseorang, jangan hanya melihat kepada sifat lahiriahnya sahaja. Seperti buku itu sendiri, jika hanya melihat gambar atau lakaran di kulitnya sahaja kita tidak akan dapat mengetahui apa yang terkandung di dalamnya. Mungkin di dalam buku itu tersisip pelbagai maklumat, petua atau pemikiran yang bermanfaat. Tetapi oleh kerana kita hanya melihat kulitnya yang tidak menarik itu kita tidak membacanya. Lalu kita tidak mungkin memperolehi segala kebaikan dan manfaat yang terdapat di dalam buku itu.

Sama juga apabila kita menilai seseorang manusia. Contohnya seorang Pengurus adalah tidak wajar memberikan penilaian yang rendah kepada pegawai dan staf bawahannya semata-mata berdasarkan kepada sifat luarannya yang kurang menarik atau tidak kemas. Sewajarnya sang Pengurus tersebut juga turut menilai pemikiran, idea, sikap serta semangat pegawai atau staf berkenaan. Semua yang berada di dalam diri pegawai atau staf tersebut tidak dapat dibaca oleh Pengurus tadi tanpa diajak berbual, berbincang dan berdiskusi dengan cara yang penuh hikmah.

Seorang guru umpamanya juga tidak wajar menilai kebolehan seseorang pelajarnya hanya melihat sifat luarannya sahaja. Begitu juga seorang ayah dan anaknya. Elakkan prasangka.

Sebenarnya apabila kita hanya menilai seseorang itu melalui luarannya sahaja, sebenarnya kita melakukan penilaian tersebut dengan seribu prasangka yang sememangnya tidak tepat sama sekali.

__________________________________________________

"Apa yang terpancar di luaran seseorang itu bukan sepenuhnya seperti apa yang terkandung di dalam dirinya".
__________________________________________________