Pages

Apr 29, 2010

PENGORBANAN SEORANG SAHABAT

HARI ini aku mendengar rancangan Riuh Pagi ERA (RPE) di saluran Radio ERA. Mendengar satu cerita yang diceritakan oleh sorang pemanggil melalui telefon ke studio. Lazimnya aku tidak begitu sangat beri perhatian kepada rancangan RPE itu kerana rancangan itu hanya diisi dengan hal-hal yang kurang menarik. Tetapi hari ini bagai ada sesuatu yang menarik perhatianku apabila pemanggil itu membuat panggilannya dan bercerita tentang suatu perkara. Bagi aku perkara yang diceritakan itu amat menarik meskipun mungkin ramai yang akan mengatakan sebaliknya.

Pemanggil tadi (namanya Rizal) bercerita tentang pengalamannya sewaktu berusia 17 tahun (tidak pula diberitahu usianya sekarang, tetapi aku mengagak usianya sekitar 30-an pada masa ini) sewaktu hampir menduduki SPM. Biasalah, zaman persekolahan semua orang berpengalaman melalui detik-detik manis 'bercinta monyet'. Rizal itupun tidak terkecuali. Dia berkawan rapat dengan seorang pelajar perempuan sebayanya tetapi dari sekolah yang berlainan.

Tiap-tiap hari selepas waktu sekolah mereka akan berjumpa di suatu tempat sebelum pulang ke rumah. Hari demi hari persahabatan mereka menjadi putik-putik cinta. Rizal dan pelajar perempuan itu seperti sudah tidak dapat dipisahkan lagi. Rakan-rakan sekolah mereka tahu hubungan mereka berdua. Suatu hari, seperti biasa selepas waktu sekolah Rizal sampai di tempat pertemuan mereka. Tetapi hari itu kekasihnya tidak muncul. Rizal resah menanti, namun kekasihnya tetap tidak kunjung tiba. Beberapa hari selepas itupun, Rizal masih menanti, tetapi hampa. Perasaannya mula bimbang. Dia bertanya kepada rakan-rakan kekasihnya dan daripada mereka dia dapat tahu kekasihnya itu sakit dan sudah pulang ke kampungnya di Sabah. Kekasihnya itu tinggal bersama emak saudaranya di Kuala Lumpur semasa belajar di sekolah berkenaan.

Atas dasar cinta, Rizal terus pulang dan memecahkan tabung wang simpanannya. Berbekalkan wang tersebut dan maklumat tentang kampung kekasihnya itu, Rizal berlepas ke Sabah dari Lapangan Terbang Subang bersendirian. Setibanya dia di kampung kekasihnya itu baharulah Rizal dapat cerita sebenarnya bahawa kekasihnya itu sedang bergelut dengan hidup akibat menghidap sakit buah pinggang yang sudah sampai ke tahap kronik.

"Pada waktu itu juga saya mengambil keputusan untuk berkorban demi seorang sahabat", suara Rizal yang aku dengar melalui corong radio agak sebak bunyinya.

Kata Rizal dia segera menawarkan diri untuk menyumbang buah pinggangnya. Setelah diperiksa oleh pasukan doktor mereka mendapati buah pinggangnya sesuai untuk didermakan dan jenis darahnya juga sama dengan jenis darah kekasihnya yang sedang bergelut dengan hidup itu! Terus sahaja Rizal memberi tahu emak dan ayahnya di Kuala Lumpur untuk mendapatkan restu dan keizinan mereka. Kedua orang tuanya berlepas segera ke Sabah dan bertemu Rizal serta keluarga kekasihnya di sana.

"Awak dermakan buah pinggang awak, Rizal?", tanya DJ bertugas.

"Ya, saya dermakan buah pinggang saya demi kerana simpati saya terhadap seorang sahabat", balas Rizal, masih kedengaran sebak. "Tetapi usia kekasih saya itu tidak lama. Setahun kemudian, dia dijemput Allah pulang ke pangkuan-Nya". Suara Rizal tersekat di situ.

Aku menganggap kisah ini adalah kisah tentang pengorbanan yang amat luar biasa. Pengorbanan seorang sahabat terhadap sahabatnya yang menderita. Mungkin pada masa itu Rizal mempunyai perasaan cinta terhadap sahabatnya itu, tetapi bagi aku, Rizal sebenarnya adalah seorang sahabat atau kekasih yang berhati mulia. Dia jujur dalam persahabatan (percintaan) kerana itu dia rela berkorban meskipun dia belum pasti sahabatnya itu akan menjadi teman hayatnya.

Mari kita bertanya dan menjawab secara jujur:

i) Berapa ramaikah sahabat yang mempunyai kemuliaan seperti Rizal?
ii) Berapa ramai pula sahabat yang dengan mudah melupakan sahabatnya ketika sahabatnya itu mengalami kesusahan?
iii) Berapa ramaikah sahabat yang tidak mahu meneruskan persahabatan hanya kerana mendengar cerita-cerita fitnah dari orang lain?
iv) Berapa ramaikah sahabat yang bersahabat hanya kerana material serta kedudukan sahabatnya itu sahaja?
v) Berapa ramaikah sahabat yang sanggup memaafkan kesilapan sahabatnya yang berlaku tanpa sengaja?

Marilah sama-sama kita memberi nilai kepada makna persahabatan yang kita jalin dengan sahabat-sahabat kita selama ini. Semoga akan wujudlah kebahagiaan di dalam hati kita bersama.

6 comments:

  1. Begitulah sifat dan sikap manusia, bila senang jadi kawan tapi bila susah kebanyakkan nya mengelak. Cakap masa senang bukan main...tapi cakap masa susah..."ha tulah!!!" begitulah bunyi yang selalu kedengaran. Sahabat ertnya begitu dalam berbeza dari seorang kawan. Sahabat adalah sejati.

    ReplyDelete
  2. t/kasih erwn1405 di atas pandangan/komen sdr itu. memang begitulah lazimnya, tidak ramai yang sudi menjadi sahabat ketika susah.

    ReplyDelete
  3. betullah...ianya terjadi pd sy juga..

    ReplyDelete
  4. Subhanallah amat besar pengorbanan mu semoge Allah membalas jasa baikmu ...InsyaAllah.

    ReplyDelete
  5. ; saya copy ya , saya akan credit .

    ReplyDelete
  6. terharunyew ... Skunk memg payah nk cari seorng sahabt sperti dier,right ?

    ReplyDelete