Pages

May 13, 2009

SEDIKIT PENDAPAT TENTANG ISU POLITIK

SAYA tidak pernah bercadang untuk menulis tentang politik, tidak berhajat untuk memberi sebarang komentar terhadap apa yang berlaku di dalam arena politik tanah air. Tetapi sebagai rakyat di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan, saya tercuit juga untuk membicarakan sesuatu yang meruntun perasaan pada masa ini.

Kekeruhan suasana politik tanah air khususnya apa yang berlaku di Perak amat memeningkan kepala rakyat. Rakyat memang merasa keliru dengan apa yang berlaku pada masa kini. Membaca, mendengar dan menonton episod demi episod yang berlaku tambah memeningkan kepala, menggusarkan perasaan. Saya bukan warga Perak, tetapi saya rasa kekeruhan dan kekusutan yang berlaku itu tidak akan dapat dirungkai kecuali dengan mengembalikan yang hak kepada empunyanya tanpa banyak mengorbankan masa dan wang ringgit. Saya yakin pendapat ini dipersetujui oleh majoriti rakyat pada masa ini.

Namun, wujudkah keberanian yang luar biasa di dalam diri dan jiwa pihak-pihak yang terlibat menyebabkan kekusutan dan kekeruhan yang terjadi selama ini untuk mengembalikan hak kepada empunyanya? Persoalan ini perlu dijawab hanya oleh mereka yang terlibat sahaja. Ia memerlukan kejujuran dan keikhlasan hati tanpa sedikitpun ada kepentingan diri atau agenda tersirat dari puak-puak tertentu. Keberanian luar biasa itu tidak seharusnya dilihat sebagai usaha untuk menambahkan lagi kekusutan yang sedia kusut pada masa ini, tetapi lebih kepada usaha untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dan berlarutan.

Kejujuran dan keikhlasan itulah yang didambakan oleh seluruh rakyat kerana selama tempoh kekeruhan yang terjadi ini rakyat sudah dibelit rasa cemas dan ketidaktentuan hala. Kemelut yang melanda DUN Perak dan Kerajaan Negeri itulah yang menyebabkan rakyat semakin cemas dan gelabah. Apabila Kerajaan yang memerintah tidak dapat memberi fokus kepada program-program kebajikan dan kepentingan rakyat akibat pergolakan politik yang berterusan keyakinan rakyat semakin luntur. Kewibawaan Kerajaan juga semakin merudum dan kesannya nanti rakyat tidak akan memberi kepercayaan lagi.

Sepatutnya, selepas pilihanraya mana-mana pihak yang tewas menerima dengan sikap terbuka kekalahan mereka dan seterusnya menghormati keputusan pilihanraya. Itu merupakan asas sistem demokrasi yang unggul. Tetapi apabila pihak yang tewas tidak dapat menerima hakikat kehendak rakyat majoriti malah mencuba sedaya upaya untuk merampas kuasa pihak yang menang dengan cara yang tidak demokratik maka berlakulah pencabulan demokrasi. Akibatnya adalah kekusutan dan kekeruhan yang berpanjangan dan merugikan banyak pihak.

Di dalam keadaan yang berlaku di Perak sekarang ini, saya berpendapat rakyat adalah pemegang hak yang sebenarnya dan kuasa yang mutlak. Maka mengembalikan hak kepada empunyanya adalah cara paling manis dan beradab untuk menyelesaikan masalah yang semakin kusut ini. Berikan kembali hak rakyat untuk membuat pilihan secara demokratik berdasarkan kepada sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi amalan demokrasi negara selama ini.

Dan setelah rakyat membuat pilihan mereka, mana-mana pihak yang tewas janganlah pula membuat onar menyembelih dan melapah demokrasi yang unggul itu sesuka hati mereka!
__________________________________________

"Menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat secara demokratik tidak akan merugikan sesiapa, malah masing-masing akan mendapat manfaat bersama. Janganlah lacurkan amanah dan kepercayaan rakyat!".

May 12, 2009

PERCINTAAN YANG BERLEBIHAN

KELMARIN 11 Mei 2009, saya ke Kolej Matrikulasi Arau, Perlis kerana mendaftarkan anak saya yang mengambil keputusan untuk meneruskan pengajiannya di kolej tersebut. Tiba jam 9.00 pagi, kawasan tempat pendaftaran sudah penuh sesak dengan pelajar dan waris-waris yang datang dari jauh dan dekat. Ada yang saya temui datang dari jauh sejauh Pontian, Johor, Melaka dan dari Sepang, Selangor.

Setelah urusan pendaftaran selesai (hanya mengambil masa tidak sampai setengah jam), para waris boleh memasuki kawasan asrama sehingga ke bilik penginapan anak-anak. Masing-masing sibuk mengangkat beg-beg ke bilik penginapan anak masing-masing. Saya juga tidak ketinggalan, walaupun anak saya ditempatkan di tingkat dua asramanya. Penat jugalah saya mendaki tangga ke tingkat dua itu.

Tepat jam 11.00 pagi para waris dipersilakan masuk ke Dewan Seri Kayangan untuk majlis Taklimat Waris oleh Pengetua Kolej, Puan Hajah Azuyah bt Hassan. Di dalam ucapannya, Puan Pengetua telah menceritakan sejarah dan latar belakang Kolej Matrikulasi Arau yang comel dan indah itu. Slaid-slaid yang menunjukkan persekitaran dan prasarana Kolej telah dipaparkan dengan jelas melalui projektor LCD. Semua waris dapat melihatnya dengan penuh kagum.

Namun, seperkara yang menyentuh perasaan saya ialah apabila Puan Pengetua menyentuh hal disiplin pelajar. "Bagi saya soal disiplin tiada kompromi", begitu tegas sekali luahan rasa Puan Pengetua. Dengan nada yang lembut tetapi serius, beliau menekankan berberapa kali tentang gejala yang melanda kebanyakan pelajar matrikulasi yang rata-rata dalam usia 18-20 tahun. "Dalam usia sebegini anak-anak kita ingin mencuba segala yang baharu, termasuklah percintaan yang berlebihan".

Salah seorang waris bangun bertanya semasa sesi soal jawab selepas ucapan Puan Pengetua selesai. "Apakah maksud Puan Pengetua dengan percintaan yang berlebihan dan sehingga tahap manakah yang berlebihan itu?", soal waris yang ingin tahu itu.

"Saya guru biologi, saya boleh ceritakan keseluruhan proses itu kepada tuan-tuan dan puan-puan, tetapi saya rasa kita sama-sama dapat mengagak apa yang saya maksudkan tadi. Namun, kerana ada yang bertanya saya akan ceritakan untuk makluman dan iktibar kepada kita semua. Pada sesi 2007/2008 pihak pengurusan telah menangkap tidak kurang daripada 20 kes percintaan yang berlebihan itu. Ada tangkapan dilakukan di dalam tandas, di belakang blok asrama, di dalam kelas pengajian, malah di belakang tiang pun pernah ditangkap. Setelah kami lakukan berbagai usaha pada sesi 2008/2009 yang baharu lepas, tiada langsung kejadian seumpama itu berlaku sehinggalah 3 minggu sebelum sesi pengajian tamat apabila kami mendapat satu berita yang amat memilukan".

"Suatu hari seorang pelajar keluar dan membeli top-up telefonnya, pada masa itu tanpa pengetahuannya, seorang pemuda telah mencatat nombor telefonnya. Selepas itu berlakulah hantara dan balasan sms di antara keduanya. Dalam tempoh masa seminggu sahaja, pemuda itu berjaya memujuk pelajar perempuan saya untuk keluar bersama. Pertemuan diatur dan mereka bertemu di Alor Setar. Semasa berjumpa pemuda itu siap menunggu dengan sebuah motorsikal dan dua buah topi keledar. Seterusnya pelajar saya ini dibawa ke sebuah motel murah di bandaraya tersebut. Setelah mendaftar mereka masuk ke dalam bilik untuk urusan selanjutnya".

Tetapi mujurlah pihak motel tersebut mengesyakki sesuatu yang tidak kena lalu menghubungi Pejabat Agama. Tidak lama selepas itu pasukan pencegah maksiat tiba dan tangkapan dilakukan. Lebih mujur lagi, tiada sebarang kejadian lebih buruk berlaku. Anak pelajar saya terselamat daripada dinodai. Itulah tahap percintaan yang berlebihan yang saya maksudkan".

Cerita itu memang menggerunkan mana-mana ibu bapa yang mendengarnya. Namun perisai yang amat penting dan berkesan ialah perisai dalaman. Jika jiwa pelajar itu sudah dibentengi kefahaman tentang batas sempadan berkawan antara jantina berbeza, tentu kejadian seumpama itu tidak terjadi. Ibu bapa perlulah sentiasa memperingati anak-anak masing-masing tentang kesan yang akan dihadapi jika anak-anak terlanjur sedemikian.

Kepada anak-anak pula, walaupun sudah memasuki alam remaja, segala pesan ibu ayah jangan dipandang remeh. Ingatlah, tidak ada mana-mana ibu bapa yang mahu anaknya terjebak ke dalam keadaan sebegitu. Segala nasihat dan ingatan ibu bapa semata-mata untuk kepentingan anak-anak sendiri. Ibu bapa lebih berpengalaman dan ambillah pengalaman mereka itu sebagai pedoman dan landasan menuju kecemerlangan.
________________________________________________

"Pesanan dan ingatan berterusan tanpa jemu mampu mencorakkan hati dan perasaan"

May 10, 2009

SELAMAT HARI IBU

HARI INI adalah Hari Ibu. Selamat Hari Ibu diucapkan kepada Ibu saya yang tercinta dan semua para ibu di seluruh dunia. Ibu adalah manusia paling istimewa di dalam hidup setiap insan. Tanpa ibu yang mengandung dan melahirkan kita, tidak mungkin kita dapat menikmati kehidupan seperti hari ini.

Tetapi tanyalah kepada ibu anda, pernahkah ibu minta diberikan penghormatan seperti sambutan Hari Ibu seperti hari ini? Tanyalah kepada setiap ibu, apakah yang paling bermakna sekali di dalam hidup mereka? Tanyalah pada setiap ibu, bilakah saat yang paling bahagia di dalam hidupnya?

Saya pasti setiap ibu akan mengatakan bahawa yang paling bermakna di dalam hidup mereka ialah melihat anak-anak beroleh kejayaan dan menjadi manusia yang berguna. Para ibu terlalu ikhlas di dalam mendidik anak-anak tanpa membezakan rasa kasih sayang di antara seorang anak dengan anak yang lain, meskipun anaknya itu seorang anak istimewa atau kurang upaya. Begitulah ikhlasnya kasih sayang seorang ibu. Meraka akan merasa teramat bahagia apabila anak-anak mereka membesar dan dewasa menjadi orang yang tahu menilai dan menghargai kasih sayang.

Setiap anak yang diberikan kasih sayang oleh ibu pasti suatu hari nanti akan menjadi seorang ibu atau ayah. Pada ketika itu nanti baharulah mereka tahu makna kasih sayang seorang ibu dan ayah yang sejati.

Kepada sesiapa yang masih punya ibu dan ayah, tentulah merasa bahagia kerana masih dapat mencurahkan bakti kepada mereka dalam usia emas mereka kini. Masih dapat mengunjungi ibu sekerap mungkin serta masih dapat bersalam dan mencium tangan ibu masing-masing. Itulah detik yang amat membahagiakan ibu dan juga ayah. Detik waktu mereka memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang anak-anaknya.

Tetapi kepada anda yang sudah kematian ibu dan ayah, jadilah anak-anak yang soleh/solehah dengan sentiasa mendoakan supaya roh-roh mereka sentiasa berada di dalam peliharaan Alla SWT di alam barzah. Sentiasalah membaca dan menghadiahkan Fatehah, Yassin kepada mereka supaya perjalanan mereka sentiasa bahagia dan aman.

"Sesungguhnya apabila mati seorang anak Adam, terputuslah segala amal ibadatnya kecuali tiga perkara; sedekah yang ikhlas, ilmu yang dimanfaatkan serta anak-anak yang soleh". Mafhum Hadis Rasulullah SAW ini amat penting diperhatikan dan dijadikan pedoman apabila anda menjadi ayah dan ibu kelak. Berikan didikan kepada anak-anak supaya menjadi insan kamil yang soleh/solehah untuk menjamin supaya amalan anda tidak terputus setelah anda mati nanti.

Tugas melahirkan anak-anak yang soleh inilah yang amat perlu diusahakan, seperti ayah dan ibu kita yang telah mendidik kita menjadi seorang insan yang tahu menghargai jasa dan pengorbanan mereka, meskipun tanpa sebarang upacara dan perayaan seperti hari ini.

Dua minggu lepas saya terima pesanan ringkas daripada abang ipar saya, "Malam ini mari sama-sama kita baca Yassin dan hadiahkan pahalanya kepada arwah emak yang telah lama meninggalkan kita. Ajak anak-anak ikut bersama".

Saya kira ini adalah salah satu daripada sifat soleh/solehah yang perlu ditanam di dalam jiwa anak-anak supaya tidak terus melupakan ibu atau ayah setelah mereka meninggal dunia.
_____________________________________________

"Sesungguhnya Islam meletakkan martabat seorang ibu amat tinggi, maka sewajarnya ibu berada di tempat teristimewa di dalam kehidupan setiap anak".

May 3, 2009

SAMPAH DI BANK

SAYA terkejut melihat keadaan di kawasan mesin autoteller sebuah bank tengah hari ini.

Hari ini bank-bank ditutup kerana hujung minggu mereka sama dengan ibu pejabat di Kuala Lumpur. Tambahan pula sempena cuti awam, Hari Pekerja 1hb Mei kelmarin.

Apa yang membuatkan saya terkejut ialah keadaan di lantai mesin autotellernya, bersepah dengan kertas-kertas warna putih. Tong sampah yang disediakan seperti tidak dapat menampung sampah-sampah tersebut. Saya hairan dan amat terkejut.

Beginikah sikap rakyat negara kita yang tidak peka dengan kebersihan, melemparkan slip bank masing-masing begitu sahaja tanpa ada rasa kesedaran tentang kebersihan sekitar? Walaupun tong sampah yang disediakan itu kecil dan sudah dipenuhi, kenapa perlu dicampakkan begitu sahaja kertas-kertas itu di situ? Berat sangatkah secebis kertas sebesar 8cm x 11cm yang nipis itu untuk dimasukkan ke dalam poket baju dan dibawa keluar bersama-sama? Sebenarnya, slip bank itu perlu disimpan bagi mengetahui jumlah pengeluaran dan baki di bank. Bukannya untuk dicampakkan merata-rata sehingga mengotorkan suasana!

Semua ini menjelaskan betapa tahap sivik dan kesedaran yang rendah di kalangan rakyat. Bagaimana lagi harus dididik supaya tahap itu meningkat? Meskipun di sekolah-sekolah para pelajar diajar mata pelajaran sivik, tetapi dari segi amalannya masih jauh di bawah tahap memuaskan!

Malu!!!!
________________________________________

"Sesungguhnya kebersihan itu sebahagian daripada iman"

FESTIVAL NASYID DAN PERTANDINGAN PIDATO

DUNIA hiburan sememangnya digemari para remaja, biar apa juga genre hiburan tersebut. Kelmarin, 2hb Mei 2009 Jabatan Belia dan Sukan Negeri dengan kerja sama Majlis Belia Negeri Kedah telah menganjurkan Festival Nasyid dan Pertandingan Pidato Sempena Sambutan Hari Belia 2009, bertempat di Dewan IKBN, Jitra, Kedah. Saya secara kebetulannya sahaja ikut sama berada di dalam dewan tersebut seawal jam 9.30 pagi.

Sebelum masuk ke dewan, saya berlegar-legar beberapa kali mencari ruang kosong tempat letak kereta. Beberapa kumpulan nasyid terdiri daripada remaja lelaki dan perempuan sedang membuat latihan dan persiapan terakhir. Daripada raut wajah dan gelagat mereka, saya pasti kesemua kumpulan tersebut adalah terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah. Telahan saya tepat kerana di dalam kumpulan-kumpulan tersebut terdapat seorang atau dua guru pengiring dan juru latih.

Para penonton di dalam dewan pula terdiri daripada para belia di dalam lingkungan usia 15-40 tahun, kecuali sebilangan kecil yang melewati usia 40 tahun. Mereka ini adalah sama ada ibu bapa atau guru-guru sekolah yang mengambil bahagian. Setelah mengambil aturcara majlis saya duduk di salah sebuah kerusi yang kosong. Waktu itu pertandingan pidato sudah dimulakan. Daripada gaya penyampaian beberapa orang pemidato di atas pentas itu, saya boleh membuat rumusan bahawa setiap mereka tidak bersedia untuk acara ini. Mereka tidak menghafal teks pidato, masing-masing melihat dan membaca teks yang disediakan. Justeru penghayatan dan gaya yang sewajarnya tidak tertonjol, lantas pidato mereka menjadi hambar dan tawar, meskipun isi pidato mereka amat baik dan bernas.

Setelah lima orang pemidato selesai menyampaikan pidato mereka, tiba pula giliran peserta nasyid membuat persembahan. Sebaik sahaja kumpulan pertama memulakan persembahan, saya lihat dewan sesak dengan penonton. Seperti ada tarikan yang menarik penonton memasuki dewan. Jelaslah, sebarang acara berunsur hiburan, lebih-lebih lagi nyanyian, pasti dapat menarik penonton. Tetapi malangnya apabila acara-acara yang lebih mencabar minda, seperti pidato, bahas dan seumpamanya, tidak menarik perhatian penonton, terutamanya para belia.

Para belia tidak seharusnya hanya memilih hiburan semata-mata, tetapi perlu juga hadir di dalam acara-acara yang lebih mencabar minda. Di dalam pidato-pidato yang sempat saya ikut saya dapat kesani banyak pengetahuan dan ilmu yang terkandung di dalam pidato-pidato itu. Pedoman dan panduan yang boleh diambil oleh para belia sekalian di dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Atau menjadi pedoman di hari muka. Tetapi oleh kerana pada waktu pidato-pidato itu disampaikan, dewan sudah melebihi separuh kosong, maka isi pidato yang bernas itu tidak sampai kepada sasarannya, iaitu para belia sekalian.

Seperkara yang saya amati ialah tentang pengendalian program tersebut. Seharusnya pihak penganjur memisahkan kedua-dua pertandingan itu, sama ada diadakan di tempat yang berlainan pada hari yang sama, atau di tempat yang sama pada hari yang berbeza. Apabila diadakan serentak, perhatian sudah berpecah, sudah tidak ada fokus yang khusus. Mana satu yang mahu diutamakan? Nasyid atau pidato? Akibatnya, majlis sedikit kelam kabut dan kucar kacir. Pengurusan dan pengendalian menjadi agak rumit dan kurang berkesan.

Walau apapun, tahniah diucapkan kepada para pemenang yang akan mewakili negeri Kedah ke Festival Nasyid dan Pertandingan Pidato Belia peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Air Keroh, Melaka pada 14-15 Mei nanti. Keputusan penuh adalah seperti berikut :-

Nasyid Lelaki
Johan : Kumpulan Khairan (Sek Berasrama Penuh Integrasi Bukit Kayu Hitam)
Kedua : Kumpulan Faradis (Sek Men Keb Agama Kedah)
Ketiga : Kumpulan Hamsyari

Nasyid Perempuan
Johan : Kumpulan Asmal Amany (Sek Men Keb Sultanah Asma, Alor Setar)
Kedua : Kumpulan Al-Hidayah (Sek Men Kuala Nerang)
Ketiga : - tiada -

Pidato :
Johan : Nurussakinah bt Melih
Kedua : Hisyamudin bin Harun
Ketiga : Nur Syazmira bt Khalid

Kumpulan Khairan, johan Festival Nasyid
Sempena Sambutan Hari Belia, 2009 peringkat negeri Kedah.

__________________________________________________

"Berikan aku 100 pemuda pasti akan aku goncang dunia, tetapi jika aku diberikan 1,000 orang tua, tidak mungkin aku dapat berbuat apa-apa" - Soekarno

May 1, 2009

KEPUTUSAN U.P.U

HARI ini, 1hb Mei 2009 adalah cuti umum, Hari Pekerja. Semua pejabat di seluruh negara bercuti pada hari ini. Tetapi mengikut permakluman yang diuar-uarkan beberapa hari sebelum ini, keputusan permohonan ke IPTA boleh diperolehi oleh semua pemohon pada hari ini selepas jam 12.30 tengah hari. Nasib internetlah, tidak dapat cuti walaupun seluruh pekerja bercuti!

Tentulah tepat jam 12.30 tengah hari tadi semua pemohon ke IPTA bersiap sedia di hadapan komputer masing-masing atau di internet cafe, untuk menyelusuri laman web http://upu.mohe.gov.my bagi mendapatkan keputusan permohonan masing-masing. Ada hati yang berdegup kencang, ada pula yang tenang dan penuh keyakinan. Walau apa sekalipun perasaan yang melanda, harapan masing-masing tetap sama, iaitu permohonan untuk melanjutkan pengajian di dalam bidang-bidang pilihan diterima oleh pihak UPU. Ibu bapa juga menyimpan harapan yang sama seperti anak-anak mereka juga.

Sekarang ini jam 4.39 petang, saya berada di hadapan komputer riba saya untuk melihat keputusan permohonan anak saya. Sudah hampir satu jam setengah saya masih belum dapat jawapannya. Laman web yang dimaksudkan itu sudah dapat saya tembusi. Di ruangan Informasi Semasa, tertulis "Keputusan Permohonan Kemasukan ke IPTA Lepasan SPM/Setaraf Sesi Akademik 2009/2010" terpampang di atas sekali. Dengan sekali klik sahaja saya sepatutnya dibawa ke paparan berkenaan. Tetapi sehingga 1 jam setengah, sesudah banyak kali mencuba, namun paparan yang dimaksudkan tidak kunjung muncul. Apa yang terpapar ialah "Page Load Error" dengan kenyataan berikut :-

Network Time Out!
The server www.mohe.gov.my is taking too long to respond


Saya cuba bayangkan bagaimana perasaan seorang pelajar lepasan SPM yang mendapat kelulusan yang memuaskan tetapi tinggal di kampung yang tiada kemudahan talian internet. Kemudahan tersebut hanya terdapat di internet cafe di bandar yang terletak lebih kurang 25km dari kampungnya. Untuk mengetahui keputusan permohonannya ke IPTA, dia terpaksa seawal jam 10.30 pagi menaiki bas ke bandar, mencari internet cafe dan membayar harga menggunakan kemudahan internet sebanyak RM2-00 sejam. Dengan keadaan seperti yang saya alami kini, pelajar tersebut terpaksa menunggu beberapa jam, bermakna dia terpaksa menambah bayaran penggunaan internet tersebut.

Sekiranya, setelah beberapa jam menunggu keadaan masih tetap sama, degupan jantungnya akan bertambah kencang, bukan kerana cemas menunggu untuk mendapat keputusan permohonannya, tetapi kerana menahan rasa kecewa dan marah yang pasti menyelubunginya pada masa ini. Saya bayangkan lagi, jika dia tidak dapat menerobos laman web tersebut setelah terpaksa membelanjakan hampir RM20-00 pada hari ini, bermakna esoknya dia terpaksa datang sekali lagi ke bandar untuk tujuan yang sama. Sekali lagi dia terpaksa membelanjakan wang yang hampir sama jumlahnya. Bebanan mengeluarkan wang sejumlah itu tentu sekali terpikul di bahu ayah atau ibunya. Jika orang tuanya hanyalah seorang penoreh atau petani di kampung, RM20-00 memang besar nilainya untuk menyara kehidupan.

Kecanggihan komunikasi langit terbuka memang diperlukan dan memang banyak membantu kemajuan negara. Tetapi jika kecanggihan itu tidak dapat membantu meringankan bebanan rakyat miskin, saya rasa, ia masih belum dapat dinobatkan sebagai alat komunikasi canggih dan berkesan. Pelajar-pelajar luar bandar sudah pasti akan merasai bebanan tersebut. Saya dapat bayangkan kerana saya berasal dari kampung pendalaman dan sehingga kini di kampung saya masih belum ada kemudahan internet untuk anak-anak kampung belajar menjelajah langit terbuka! Malangnya anak-anak orang kampung di pendalaman!

Tidak bolehkah pihak berwajib memikirkan cara alternatif untuk memudahkan semua pihak?

Walau apapun, saya ucapkan TAHNIAH kepada para pelajar yang telah mendapat keputusan tawaran melanjutkan pengajian masing-masing ke IPTA. Titik mula anda untuk menapak ke anak tangga lebih tinggi bermula di sini. Lipat gandakan usaha demi kejayaan pada masa hadapan.

______________________________________

"Tiada ada yang lebih menggembirakan hati seseorang itu melainkan dia berjaya mendapat apa yang dihajatinya"

Apr 29, 2009

PERTANDINGAN SYARAHAN BAHASA JEPUN

AHAD 26 April 2009 bertempat di Japan Club of Kuala Lumpur telah berlangsung acara 6th Japanese Speech Contest for Secondary School yang melibatkan 14 orang peserta terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah berasrama penuh dan sekolah menengah harian di Malaysia. Mereka semua adalah merupakan pemenang di dalam suatu peraduan mengarang di dalam bahasa Jepun yang dijalankan terlebih dahulu. Di dalam Speech Contest itu, para peserta tersebut dikehendaki menyampaikan ucapan berdasarkan hasil karangan mereka yang menang itu di samping menjawab beberapa soalan secara lisan di dalam Bahasa Jepun.

Apa yang menariknya ialah, para peserta yang mengambil bahagian dapat berucap dan menjawab soalan-soalan yang diajukan dengan lancar dan fasih. Para juri terdiri daripada lima orang Jepun dan seorang orang Melayu yang fasih berbahasa Jepun. Kebolehan para pelajar amat mengagumkan dan sekaligus menunjukkan mereka semua mampu menguasai bahasa asing dengan baik jika diberi kesempatan mempelajarinya dengan sistematik.

Seramai 7 orang peserta adalah pelajar Melayu sementara bakinya pelajar keturunan Cina, masing-masing mewakili Sekolah Tun Fatimah, Johor, Sek Men Sains Pokok Sena, Kedah, SMJK Sam Tet, Ipoh, Perak, Sek Men Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Pulau Pinang, SMK Mengelembu, Ipoh, Perak, SMK Sulaiman, Bentong, Pahang, SMK (P) Methodist, Ipoh, Perak, Sek Men Sains Sultan Iskandar, Mersing, Johor, SMK Ibrahim, Sungai Petani, Kedah, SMK Raja Chulan, Ipoh, Perak, Sek Men Sains Muzaffar Shah, Melaka, Sek Men Alam Shah, Putrajaya, Sek Men Sains Labuan dan SMK (P) Methodist, Klang, Selangor. Empat orang peserta lelaki dan bakinya peserta perempuan. Hampir kesemua mereka adalah pelajar tingkatan empat.

Para peserta yang mengambil bahagian ini merupakan pelajar-pelajar yang mengambil Bahasa Jepun sebagai mata pelajaran bahasa asing di sekolah masing-masing. Mereka mula mempelajari bahasa ini semenjak di tingkatan satu lagi. Mengenal huruf, bunyi, sebutan, nada serta intonasi yang betul. Selain daripada itu tentunya mereka belajar membina ayat, membentuk perkataan dan mengarang di dalam bahasa tersebut. Seterusnya membaca dan bertutur di dalam bahasa Jepun dengan betul dan lancar. Itulah kaedah yang betul untuk belajar mendalami sesuatu bahasa asing dan pasti sekali mereka tidak belajar bahasa Jepun melalui subjek-subjek Sains dan Matematik!

Pertandingan yang dimulakan tepat jam 1.00 tengah hari berjalan dengan lancar dan mengikut atur cara majlis yang ditetapkan dan berakhir tepat jam 5.00 petang. Sementara menunggu keputusan panel juri, para penonton telah dihidangkan dengan jamuan ringan, sudah pasti makanan Jepun. Tidak ada mee atau bihun goreng, karipap atau cucur badak dan teh serta kopi. Ada di antara penonton yang pertama kali merasai makanan Jepun, sudah tentu tekak tidak dapat menerimanya.

Hadiah-hadiah yang disediakan dibahagika kepada 3 kategori, Hadiah Sakura, Hadiah Osaka dan Hadiah Tokyo. Hadiah Sakura merupakan hadiah ketiga yang menerima hadiah barangan elektrik sumbangan penaja. Manakala Hadiah Osaka adalah hadiah kedua yang selain menerima barangan elektrik, hadiah berupa lawatan sambil belajar ke Osaka, Jepun selama 14 hari. Sementara Hadiah Tokyo adalah johan yang menerima hadiah barangan elektrik serta mewakili Malaysia ke pertandingan yang sama di Tokyo di samping lawatan selama 14 hari juga. Semua kos ditanggung oleh Japan Foundation.

Keputusan penuh 6th Japanese Speech Contest for Secondary School tahun 2009 adalah seperti berikut :-

Hadiah Tokyo : Lee Yen Yen, SMK (P) Methodist, Klang, Selangor
Hadiah Osaka : Mohamad Afnan Haziq, SM Sains Pokok Sena, Kedah
Wong May-Tze, SMK Mengelembu, Ipoh, Perak
Hadiah Sakura : Woo Mun Ee, SMK Raja Chulan, Ipoh, Perak
Che Ku Ashraf Helmi, Sek Sultan Alam Shah, Putrajaya
Alyya Syahirah Roszelan, SM Sains Muzafar Shah, Melaka.

Tahniah diucapkan kepada para pemenang. Tahniah kepada semua yang mengambil bahagian. Tahniah kepada guru-guru pengiring. Tahniah kepada Japan Club of Kuala Lumpur serta tahniah kepada para penonton yang memenuhi dewan pertandingan pada petang itu.

Jika lebih banyak sekolah yang terlibat tentu akan lebih ramai lagi penyertaan di kalangan para pelajar kita. Sudah tentu akhirnya akan menambahkan lagi bilangan para pelajar yang mahir dan dapat menguasai bahasa asing, seperti Bahasa Jepun, salah satu bahasa yang luas penggunaannya di dunia. Nasib Bahasa Melayu juga boleh ditingkatkan menjadi bahasa dunia melalui aktiviti-aktiviti seperti ini di sekolah-sekolah di negara-negara yang ada hubungan diplomatik dengan Malaysia. Kelab Bahasa Melayu boleh ditubuhkan di negara-negara berkenaan dan setahun sekali pertandingan seperti ini boleh diadakan, dengan hadiah-hadiah melancong sambil belajar ke Malaysia.

Saya yakin, Bahasa Melayu punya masa depan yang cemerlang!
__________________________________________

"Kita pasti akan merasa bangga jika mendengar orang asing bertutur menggunakan bahasa kita, walaupun sebutannya kurang jelas dan tepat"

Apr 20, 2009

TRANSFORMASI IMEJ TINGKATAN ENAM

PELAJAR era tahun-tahun 70-an dan 80-an pasti akan merasa bangga jika terpilih menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam selepas tamat SPM masing-masing kerana itu bermakna mereka sudah menghampiri tangga ke menara gading. Ini adalah kerana belajar di tingkatan enam dan lulus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah merupakan tiket paling berharga untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Pada zaman tersebut, bilangan universiti tidak seberapa, sekitar 4 atau 5 buah universiti sahaja. Persaingan tidak begitu sengit, namun jika seseorang pelajar tamat pelajaran sehingga STPM maka dia berkelayakan untuk dipilih ke universiti terutama sekali yang memilih bidang sastera, sosiologi antropologi, sais politik dan seumpamanya.

Namun kegemilangan tingkatan enam pada masa ini sudah malap dan hampir tidak bercahaya lagi. Para pelajar lepasan SPM sudah tidak berminat menyambung belajar ke tingkatan enam kerana mereka sudah boleh memohon memasuki IPTA atau IPTS ke peringkat diploma. Sudah ada puluhan buah IPTA dan IPTS yang menyenaraikan kursus-kurus peringkat diploma kepada pelajar-pelajar lepasan SPM. Sekaligus persaingan ke tingkatan enam sudah hampir tiada lagi, malahan pada para pelajar dewasa ini, menyambung pelajaran ke tingkatan enam itu adalah pilihan tercorot setelah tidak mendapat tawaran daripada mana-mana IPTA atau IPTS pilihan masing-masing.

Di dalam usaha Kementerian Pelajaran untuk menanjakkan semula kegemilangan tingkatan enam, ada terdengar ura-ura tidak lama dahulu Kementerian akan mengujudkan sekolah khas untuk tingkatan enam sahaja. Pengetua serta guru-guru yang akan mengajar di sekolah tersebut adalah daripada kalangan mereka yang berpengalaman mengajar untuk tempoh tahun yang ditetapkan. Dengan kata lain, akan dilakukan satu transformasi imej tingkatan enam untuk menggalakkan para pelajar menyambung pelajaran mereka setelah lulus SPM.

Usaha transformasi tersebut dilihat sebagai satu usaha yang murni dan amat wajar. Memisahkan pelajar-pelajar tingkatan enam daripada pelajar-pelajar lain amat sesuai sekali. Selain daripada itu kaedah pengajaran dan pembelajaran juga perlu diubah sejajar dengan kaedah yang diamalkan di peringkat universiti masa kini. Para pelajar perlu didedahkan dengan kaedah tersebut dengan menggalakkan mereka belajar tanpa kebergantungan sepenuhnya kepada para guru. Di peringkat tingkatan enam sepatutnya para guru hanya akan menjadi pembimbing atau fasilitator sahaja, bukan lagi guru. Justeru, pelajar-pelajar tingkatan enam tidak perlu lagi bercampur gaul dengan para pelajar lain di dalam persekitaran sekolah yang sama. Sekolah berasingan perlu dibangunkan.

Dalam masa yang sama, para pelajar tingkatan enam tidak perlu lagi terikat dengan sistem dan disiplin yang diamalkan di sekolah biasa. Mereka perlu dilihat sebagai calon-calon mahasiswa yang akan memasuki menara gading selepas dua tahun di tingkatan enam. Kegiatan-kegiatan ko-kurikulum harus tidak lagi sama seperti pelajar-pelajar di tingkatan 1 hingga 5. Mereka tidak perlu lagi menyertai pasukan beruniform atau dilantik sebagai pengawas sekolah dan sebagainya. Sewajarnya mereka didedahkan dengan keadaan dan persekitaran yang hampir sama dengan di universiti.

Perkara sebegini akan sedikit sebanyak dapat membuka minda mereka menjadi seorang dewasa yang lebih matang dan berdikari. Transformasi imej tingkatan enam bukan sahaja dari segi kurikulum, insfrastuktur dan keperluan pengajian serta tenaga pengajarnya sahaja, malah transformasi tersebut mestilah dilakukan secara menyeluruh, termasuk mentransformasikan imej, personaliti serta minda para pelajar itu sendiri.

Selagi para pelajar tingkatan enam masih terikat dan terikut dengan sistem persekolahan biasa seperti masa kini, kemungkinan para pelajar memasuki tingkatan enam akan terhakis tidak lama lagi. Usaha segera dan pantas perlu dilakukan!
___________________________________________________

"Perubahan tidak hanya dari segi lahiran semata-mata, tetapi perlu merangkumi keseluruhannya supaya kejayaan yang akan dikecapi nanti adalah satu kejayaan yang paling manis dan amat berharga"

RESTU AYAH IBU

DUA hari sudah, anak saya yang sedang tunggu keputusan permohonan ke IPT beritahu satu berita, "Ayah, kakak diterima belajar di matrikulasi Arau. Buat Accounting".

Saya kurang beri perhatian kerana masa itu saya sedang memandu. Malam itu semasa berehat kami berbual anak beranak. Anak saya ini sejak di tingkatan lima dahulu lagi sudah menyatakan kepada saya dan ibunya, "Kakak tak nak masuk matric. Kakak nak apply UPU terus buat diploma". Malah bukannya dia seorang sahaja yang membuat keputusan begitu, abang-abangnya dahulu pun berpendirian yang sama. Mungkin dia terikut-ikut dengan keputusan abang-abangnya dahulu.

Tetapi pada malam itu, pendiriannya agak berubah. Dia seperti mahu menyatakan kepada kami bahawa dia ingin belajar di kolej matrikulasi. Kami berhujjah dan berbincang dalam suasana harmoni bagi mencari jalan penyelesaian terbaik. "Ayah rasa kakak tak perlu ambik risiko. Setahun di matric belum menjamin kakak boleh masuk IPTA kalau keputusan kakak nanti tidak sampai tahap cemerlang. Kakak akan rugi setahun daripada kawan-kawan kakak yang terus menyambung pelajaran ke peringkat diploma". Ibunya juga bersetuju dengan pendapat saya. Itulah pendapat kami sewaktu berbincang dengan anak-anak lelaki yang dua orang dahulu.

Setelah beberapa lama perbincangan kami tidak memuaskan hatinya, dia menelefon bapa saudaranya, seorang kaunselor sekolah menengah. Saya dan ibunya hanya melihat dan mendengar perbualannya dengan Pak Ciknya itu. Apabila dia meletakkan ganggang telefon, ibunya dengan tidak sabar bertanya, "Pak Cik kata apa?".

Anak saya bercerita panjang lebar hasil perbualannya dengan Pak Ciknya sebentar tadi.

Mengikut peratus pelajar yang diterima masuk ke IPTA sejak beberapa tahun yang lepas, bekas pelajar matrikulasi lebih berpeluang memasuki IPTA terkemuka jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar yang tidak memasuki matrikulasi. Tambahan pula, bidang yang ditawarkan ialah Accounting bukannya Science. Peluang untuk terpilih menyambung pengajian di IPTA tersohor adalah lebih baik. Tambahan pula tempoh masa satu tahun itu bukannya lama. Melihat kepada kelulusan cemerlang di dalam SPM 2008 yang lalu, tidak mustahil dia akan mengulangi kejayaan di Kolej Matrikulasi nanti.

Keesokannya, anak saya masih lagi bertanya, bolehkah dia menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi itu? Setelah memikirkan sedalam-dalamnya, saya mengatakan kepadanya, "Ayah akan turut keputusan kakak. Jika kakak rasa ke Kolej Matrikulasi itu baik, ayah setuju. Jika kakak berpendapat sebaliknya, ayah tidak membantah".

Ibunya juga seperti memberi restu kerana semasa bersarapan dia memberitahu, "Dulu ibu kurang faham dengan sistem pengajian di Kolej Matrikulasi. Ibu ingatkan di situ hanya untuk pelajar-pelajar aliran sains tulen semata-mata yang memilih untuk menyambung pengajian di dalam bidang kedoktoran dan perubatan".

Saya dapat melihat cahaya gembira di dalam mata anak saya pagi ini. Saya berdoa semoga dia memperolehi kejayaan di dalam apa juga bidang yang dipilihnya.

_________________________________________________

"Restu ayah ibu amat penting di dalam menentukan hala tuju masa depan anak-anak. Jangan biarkan anak-anak terkontang kanting membuat keputusan sendiri, tanpa bantuan dan dorongan".

Apr 19, 2009

BICARA SI LEKAKI ITU

Lalu berbicaralah si lelaki itu
melontarkan suaranya ke persada angin
bagai mahu disergah awan nipis
berselerak tidak memayunginya lagi
tika mentari tidak meredupkan teriknya,
dia menjerit dan melolong
tanpa jeda pada baris-baris ucap kata
dalam sesak nafas berbaur benci
amarah pun kian meninggi.

Siapakah yang kau marahi?
Sahabat yang menegur dengan ikhlas
atau musuh yang bermuka manis
sambil mencurah cuka ke gelasmu,
atau sang perempuan montok
saban waktu menjerut lehermu,
atau sang pemuja yang sering meracau
waktu engkau enak di peraduan.

Lelaki itu, dalam keliru
keluh kesah dan amarah bergumpal
memuntahkan sehutan kata-kata
yang sudah tidak lagi mampu
menjadi penawar kesakitan maha dahsyat.

Biarkanlah begitu, biarkan
biarkan dia berkata-kata dalam nadanya
sendiri mencipta lirik dan irama
meskipun yang terhibur nanti
bukanlah kita!



Pinggiran Taman Bayu
20 April 2009