Pages

May 13, 2009

SEDIKIT PENDAPAT TENTANG ISU POLITIK

SAYA tidak pernah bercadang untuk menulis tentang politik, tidak berhajat untuk memberi sebarang komentar terhadap apa yang berlaku di dalam arena politik tanah air. Tetapi sebagai rakyat di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan, saya tercuit juga untuk membicarakan sesuatu yang meruntun perasaan pada masa ini.

Kekeruhan suasana politik tanah air khususnya apa yang berlaku di Perak amat memeningkan kepala rakyat. Rakyat memang merasa keliru dengan apa yang berlaku pada masa kini. Membaca, mendengar dan menonton episod demi episod yang berlaku tambah memeningkan kepala, menggusarkan perasaan. Saya bukan warga Perak, tetapi saya rasa kekeruhan dan kekusutan yang berlaku itu tidak akan dapat dirungkai kecuali dengan mengembalikan yang hak kepada empunyanya tanpa banyak mengorbankan masa dan wang ringgit. Saya yakin pendapat ini dipersetujui oleh majoriti rakyat pada masa ini.

Namun, wujudkah keberanian yang luar biasa di dalam diri dan jiwa pihak-pihak yang terlibat menyebabkan kekusutan dan kekeruhan yang terjadi selama ini untuk mengembalikan hak kepada empunyanya? Persoalan ini perlu dijawab hanya oleh mereka yang terlibat sahaja. Ia memerlukan kejujuran dan keikhlasan hati tanpa sedikitpun ada kepentingan diri atau agenda tersirat dari puak-puak tertentu. Keberanian luar biasa itu tidak seharusnya dilihat sebagai usaha untuk menambahkan lagi kekusutan yang sedia kusut pada masa ini, tetapi lebih kepada usaha untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dan berlarutan.

Kejujuran dan keikhlasan itulah yang didambakan oleh seluruh rakyat kerana selama tempoh kekeruhan yang terjadi ini rakyat sudah dibelit rasa cemas dan ketidaktentuan hala. Kemelut yang melanda DUN Perak dan Kerajaan Negeri itulah yang menyebabkan rakyat semakin cemas dan gelabah. Apabila Kerajaan yang memerintah tidak dapat memberi fokus kepada program-program kebajikan dan kepentingan rakyat akibat pergolakan politik yang berterusan keyakinan rakyat semakin luntur. Kewibawaan Kerajaan juga semakin merudum dan kesannya nanti rakyat tidak akan memberi kepercayaan lagi.

Sepatutnya, selepas pilihanraya mana-mana pihak yang tewas menerima dengan sikap terbuka kekalahan mereka dan seterusnya menghormati keputusan pilihanraya. Itu merupakan asas sistem demokrasi yang unggul. Tetapi apabila pihak yang tewas tidak dapat menerima hakikat kehendak rakyat majoriti malah mencuba sedaya upaya untuk merampas kuasa pihak yang menang dengan cara yang tidak demokratik maka berlakulah pencabulan demokrasi. Akibatnya adalah kekusutan dan kekeruhan yang berpanjangan dan merugikan banyak pihak.

Di dalam keadaan yang berlaku di Perak sekarang ini, saya berpendapat rakyat adalah pemegang hak yang sebenarnya dan kuasa yang mutlak. Maka mengembalikan hak kepada empunyanya adalah cara paling manis dan beradab untuk menyelesaikan masalah yang semakin kusut ini. Berikan kembali hak rakyat untuk membuat pilihan secara demokratik berdasarkan kepada sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi amalan demokrasi negara selama ini.

Dan setelah rakyat membuat pilihan mereka, mana-mana pihak yang tewas janganlah pula membuat onar menyembelih dan melapah demokrasi yang unggul itu sesuka hati mereka!
__________________________________________

"Menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat secara demokratik tidak akan merugikan sesiapa, malah masing-masing akan mendapat manfaat bersama. Janganlah lacurkan amanah dan kepercayaan rakyat!".

No comments:

Post a Comment