Pages

Feb 19, 2009

KEJOHANAN OLAHRAYA SAINA KE-13


KELMARIN 18 Februari 2009, saya dijemput merasmikan Kejohanan Olahraga SAINA Kali ke-13 di atas kapasiti sebagai Yang DiPertua PIBG. Acara tahunan itu sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh pelajar, terutama pelajar-pelajar yang memang aktif di dalam sukan olahraga.

Acara dimulai tepat jam 3.30 petang dengan perbarisan masuk pasukan-pasukan rumah sukan serta pasukan berunifom yang segak berbaris. Bermacam gelagat para pelajar dengan beraneka fesyen pakaian dan berwarna warni, berjalan melintasi astaka utama memberi tabik hormat kepada para tetamu yang hadir. Ucapan perasmian menyusul dan ikrar dibacakan selepas bendera kejohanan diarak masuk ke padang. Penuh bersemangat para pelajar melaungkan ikrar secara serentak. Selepas itu acara pertandingan pun dimulakan.

Saya teringat masa zaman persekolahan saya dahulu, saya mengambil bahagian aktif di dalam sukan olahraga mewakili rumah Halliday (hijau) sejak di tingkatan peralihan lagi. Saya ingat di kejohanan olahraga tahun 1969, pertama kali saya mengambil bahagian dalam acara pecut 100 meter berlumba dengan pelari sekolah yang berada di tingkatan 3. Saya masih belum tahu bagaimana membuat pecutan dan mengawal stamina untuk memecut. Dengan berkaki ayam, saya mengambil tempat di garis pemulaan, menanti pistol pelepas melepaskan peserta. Fokus saya hanyalah untuk sampai ke garis penamat sepantas mungkin. Sebaik sahaja bunyi pistol saya membuat pecutan sekuat hati dan tenaga seorang pelajar tingkatan peralihan yang tidak pernah mengalami suasana perlumbaan seperti itu. Akhirnya saya tiba ke garis penamat di tempat ketiga dengan catatan masa 11.65 saat. Itu satu kejayaan yang amat membanggakan saya. Keesokannya saya tidak dapat memakai kasut ke sekolah. Tapak kaki saya melecet akibat berlari tanpa kasut.

Petang kelmarin saya melihat hampir kesemua peserta berlari tanpa memakai kasut. Saya dapat rasakan apa yang akan terjadi kepada pelajar-pelajar tersebut. Dengan keadaan padang yang kering akibat kemarau yang agak panjang, rumput kekuningan dan tanah yang keras, sudah pasti tapak kaki mereka akan melecet. Cuma, pada waktu itu tidak ada rasa sakit atau pedih, kerana masing-masing mahu mencapai kejayaan. Segala rasa itu dianggap sebagai cabaran yang perlu ditempuhi demi sebuah kemenangan.

Begitu jugalah di dalam kehidupan, cabaran yang datang bukanlah satu benteng yang tidak dapat ditembusi. Tetapi ia lebih merupakan halangan sementara kerana pada waktu itu fokus adalah untuk tiba di garis penamat sebagai pemenang. Itulah motivasi yang perlu dimiliki.

Syabas saya ucapkan kepada para pelajar yang memenangi acara-acara yang disertai. Juga syabas kepada Jawatankuasa Pengelola Kejohanan yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang. Acara terakhir iala perlawan tarik tali. Acara ini tidak pernah tidak dipertandingkan di dalam mana-mana kejohanan olahraga di peringkat sekolah. Sejak dahulu lagi acara ini dipertandingkan dan kekal sehingga kini. Semasa saya bersekolah dahulu, saya pernah menjadi salah seorang peserta di dalam acara tarik tali. Ketika itu saya di tingkatan 5.

Perlawan tarik tali bukan hanya memerlukan tenaga yang kuat, tetapi juga strategi dan perancangan yang teratur. Hentakkan tumit ke tanah, tunjalan yang kuat serta merentap tali secara serentak amat perlu jika pasukan itu mahu menang. Semua itu adalah prinsip-prinsip kerja berpasukan (team work) yang perlu dilakukan oleh setiap ahli pasukan. Jika tidak, ia akan mengundang kecundang.

Sekali lagi para pelajar boleh belajar bagaimana membentuk sesebuah pasukan dan bekerja secara berpasukan untuk mencapai kejayaan.

Tahniah kepada para pelajar yang memperolehi kejayaan. Semoga para pelajar mendapat pengajaran daripada kejohanan yang dijalankan itu.
_____________________________________________
Gambar-gambar oleh Cikgu Abd Rashid Othman

"Perlumbaan mencapai kejayaan bermula dengan langkah pertama disusuli pecutan penuh bertenaga yang konsisten"

Feb 14, 2009

TINGGAL DI ASRAMA

SEORANG kawan telefon saya tiga hari lepas bertanya bagaimana untuk menangani masalah anaknya yang tidak mahu tinggal di asrama. Anaknya perempuan itu, anak sulung dalam keluarga, kini berada di tingkatan 1 selepas berjaya cemerlang di dalam UPSR tahun lepas.

"Mula-mula dia setuju untuk belajar di sekolah tu dan tinggal di asrama. Tetapi dua hari lepas dia berontak dan minta keluar daripada asrama". Suara kawan saya memang mengharapkan bantuan atau pertolongan saya. Saya terdiam seketika. Saya tidak ada pengalaman seperti itu sebab anak-anak saya, daripada yang sulung hingga yang bongsu, semuanya tidak ada masalah tinggal di asrama.

"Apa yang patut aku buat?", tanya rakan itu selanjutnya.

Memanglah bagi pelajar-pelajar yang baru melangkah ke sekolah menengah, tidak dapat membuat keputusan dengan tepat. Mereka mudah berubah sikap kerana itulah lumrah bagi seorang kanak-kanak yang mula berubah menjadi awal dewasa. Dalam usia 13 hingga 15 tahun, anak-anak belum dapat mengenal dirinya sendiri secara sepenuhnya. Mereka masih tercari-cari identiti diri dan dalam proses membina jati diri. Itulah sebabnya, mereka tidak dapat membuat keputusan terbaik.

Dalam usia sebegitu, akan-anak perlukan bimbingan. Mereka kerap keliru, tidak tahu memilih yang mana satu yang mereka inginkan. Mereka tidak tahu apakah matlamat dan tujuan tinggal di asrama kerana mereka menyangka tinggal di asrama akan terkongkong oleh peraturan-peraturan ketat yang tidak pernah diamalkan di rumah. Tambahan pula, tinggal di asrama sekolah harian, lebih ramai pelajar yang tinggal di rumah masing-masing daripada yang tinggal di asrama.

Oleh kerana itu mereka yang tinggal di asrama akan merasa tertekan kerana tidak bebas seperti rakan-rakan mereka yang tinggal di rumah masing-masing. Setiap hari rakan-rakan akan bercerita pelbagai kisah terutama cerita-cerita yang mereka tonton di TV. Bagi pelajar yang tinggal di asrama, tentu sekali tidak dapat mengikuti cerita-cerita tersebut. Akibatnya mereka merasa ketinggalan dan sering tidak dapat mengikuti perkembangan semasa. Mungkin juga ada di antara mereka merasa rugi yang amat sangat tidak dapat menonton sesuatu program idaman mereka di TV hanya kerana tinggal di asrama.

"Kau dah cerita kat anak kau tu, kenapa dia perlu tinggal di asrama?". Saya rasa rakan saya mungkin tidak bercerita kepada anaknya itu, kenapa dia perlu tinggal di asrama dan bukan tinggal di rumah.

"Sudah. Aku kata dia kena tinggal di asrama sebab aku tak dapat nak hantar dia ke sekolah tiap-tiap hari. Kau tahulah kerja aku ni", jelas kawan saya bersungguh-sungguh. Saya faham kerjanya sebagai juruteknik ukur tanah dengan syarikat swasta memanglah tidak menentu masa dan tempatnya. Dia terpaksa bekerja mengikut tugasan yang diberikan, sama ada dekat atau pun jauh. Tempohnya juga tidak menentu, ada kalanya beberapa hari malah mungkin beberapa minggu. Isterinya pula tidak pandai memandu untuk menghantar anak ke sekolah.

Saya rasa kawan saya itu tidak beritahu anaknya dengan tepat kenapa dia perlu tinggal di asrama. Kawan saya itu tidak menjelaskan kepada anaknya faedah-faedah dan keistimewaan yang akan diperolehi jika tinggal di asrama. Dia perlu bandingkan kelebihan tinggal di asrama berbanding tinggal di rumah. Dia perlu jelaskan matlamat dan tujuan sebenarnya kenapa dia beria-ia mahu anaknya itu tinggal di asrama.

Alasan tidak dapat menghantarnya ke sekolah setiap hari bukanlah tujuan kenapa anak itu mesti tinggal di asrama. Itu lebih merupakan alasan si ayah untuk menghantar anak tinggal di asrama. Sepatutnya si ayah dan ibu terangkan jika tinggal di asrama, anak akan dapat lebih perhatian daripada guru-guru. Waktu belajar mereka lebih tersusun dan tidak membazir. Selain daripada itu, anak boleh belajar hidup berdikari, belajar mengurus diri sendiri, belajar membuat keputusan sendiri di samping boleh menonjolkan bakat dan kebolehan diri dengan lebih mudah lagi berbanding dengan kawan-kawan yang tinggal di rumah masing-masing berulang alik setiap hari ke sekolah.

Seharusnya kawan saya itu menasihati anaknya supaya berkorban demi masa depannya. Beritahu pada anaknya, dia perlu berkorban dengan meninggalkan keselesaan serta kemesraan keluarga di rumah demi untuk mendapat yang lebih baik pada masa hadapan. Tanpa pengorbanan itu dia mungkin tidak akan dapat yang lebih baik daripada apa yang dia miliki sekarang ini. Kejayaan memerlukan pengorbanan.

Sememangnya pada awalnya anak akan merasa kekok, tidak dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan di asrama. Tetapi lama kelamaan, mereka akan mesra dan dapat hidup sebagai sebuah keluarga besar. Mereka belajar erti kerja sama, bertolak ansur, tidak mementingkan diri sendiri dan tolong menolong. Itu semua mungkin tidak akan diperolehi jika tinggal di rumah.

______________________________________________

"Sinar bulan tidak pernah padam, tetapi mendung yang menghalang menjadikan bulan hilang dari pandangan dan malam lebih kelam"

Feb 3, 2009

TUJUH KAEDAH MENDIDIK ANAK-ANAK

HARI ini saya petik sebuah artikel di dalam Utusan Malaysia online bertarikh 2hb Februari 2009 bertajuk "Tujuh Kaedah Mendidik Anak-anak". Saya percaya artikel ini amat berguna untuk dibaca, difahami dan dipraktikkan oleh ibu bapa ke atas anak-anak masing-masing.

Inilah saya perturunkan kandungan artikel tersebut.

1. Pendidikan Iman.

Iaitu kelahiran anak hendaklah dimulai dengan sebutan nama-nama Allah dan kemudian disusuli dengan mendengarkan kepada anak-anak suatu yang boleh menumbuhkan bibit-bibit iman di dadanya. Ibu bapa tidak seharusnya mencemari sebutan nama Allah melalui azan selepas lahir dengan bunyian lagha dalam proses tumbesarannya.

2. Pendidikan Akhlak.

Anak-anak seharusnya didedahkan dengan amalan-amalan dan nilai-nilai mulia seperti tutur kata sopan, menghormati orang tua, belas kasihan kepada orang susah dan sebagainya. Ini semua boleh diterapkan dengan berkesan melalui contoh tauladan yang dipertontonkan oleh ibu bapa dan ia bermula dari dalam kandungan lagi sehinggalah dilahirkan.

3. Pendidikan Intelektual.

Ibu bapa hendaklah menghidupkan budaya ilmu di rumah agar anak-anak terbiasa dengannya dan lahirnya rasa cintakan ilmu. Ia boleh dipupuk melalui tauladan membaca, berdiskusi dan sebagainya. Di rumah sebaiknya diwujudkan perpustakaan mini atau rak-rak buku yang boleh mencetuskan naluri ingin membaca. Minat membaca harus dipupuk dari kecil kerana membaca adalah jambatan ilmu.

4. Pendidikan Fizikal.

Anak-anak juga perlu didedahkan dengan aktiviti fizikal iaitu melalui riadah dan bersukan. Kerana seperti kata pepatah 'akal yang cerdas dari tubuh badan yang sihat'. Oleh itu ibu bapa wajar membiasakan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti lasak di luar rumah agar mereka menjadi cergas dan mampu melakukan kerja-kerja berat.

5. Pendidikan Psikologi.

Ibu bapa hendaklah memastikan agar anak-anak sentiasa terdidik dengan naluri dan perasaan yang positif kerana ia dapat membantu kematangan mereka. Anak-anak perlu diterapkan dengan sifat berani, kuat semangat, tabah, sabar, benar dan sebagainya. Mereka hendaklah dihindari dari sifat-sifat negatif seperti penakut, panas baran dan sebagainya. Ini boleh diterapkan melalui teguran dan contoh dari ibu bapa.

6. Pendidikan Sosial.

Apa yang dimaksudkan di sini ialah kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling dan pandai menyesuaikan diri. Sikap ini boleh dipupuk melalui pendedahan pergaulan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Ibu bapa boleh menerapkannya dengan membawa anak-anak ke tempat perhimpunan orang rama seperti di majlis-majlis kenduri, gotong royong ataupun solat berjemaah di masjid.

7. Pendidikan Seksual.

Anak-anak juga perlu didedahkan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum hubungan lelaki dan perempuan, batasan aurat, adab pergaulan dengan bukan mahram dan nilai-nilai mulia seperti sifat malu dan sopan dalam membicarakan soal berkaitan dengan seks. Mereka juga hendaklah didedahkan tentang hukum haram berkhalwat dan berzina. Ini dapat memelihara maruah dan nama baik keluarga dan ibu bapa.


Demikianlah kandungan artikel yang saya pilih kali ini.

Jelaslah peranan ibu dan bapa amat penting di dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Pendidikan awal bermula di rumah dan seharusnya ibu bapa memberi pendidikan secara baik dan berkesan sebelum anak-anak melangkah ke alam persekolahan.

Semoga kita semua mendapat sedikit ilmu.

_________________________________________________

"Anak-anak adalah cerminan kedua ayah ibunya"

Jan 28, 2009

BAHASA RINGKAS ATAU EJAAN RINGKAS?

ISU bahasa rojak atau bahasa campuran bukan lagi perkara baharu. Ia sudah menular di kalangan rakyat negara ini sejak beberapa tahun sebelum ini. Penggunaan bahasa rojak atau bahasa campuran ini berlaku kerana struktur kaum di negara kita yang mempunyai bahasa ibunda masing-masing. Kaum Melayu dengan Bahasa Melayunya, kaum Cina dengan Bahasa Mandarin (atau dialek-dialek lain seperti Hokkein, Hakka dan sebagainya), manakala kaum India pula dengan Bahasa Tamilnya. Hasil percantuman kaum-kaum terbesar di Malaysia itulah lahirnya bahasa rojak atau bahasa campuran semasa berkomunikasi antara satu sama lain.

"Kalau lu belum makan, tapau la ini lauk" atau "Waah, itu pamley banyak cantik la aney" atau "Bro, i sudah cakap sama you dulu, you still tak faham lagi ke?" adalah di antara bahasa rojak yang sering kedengaran. Gaya bahasa sebegini sudah menjadi lumrah digunakan di merata tempat, baik di pejabat, di pasar, di warung malah di sekolah sekalipun.

Pakar-pakar bahasa sahaja yang risau dengan penggunaan bahasa rojak sedemikian, namun bagi rakyat kebanyakan, ia bahasa komunikasi seharian apabila seorang dari kaum Cina berbual dengan rakannya dari kaum Melayu atau India. Bahasa yang mereka gunakan ialah bahasa campuran atau bahasa rojak yang berteraskan kepada bahasa Melayu. Tetapi bagaimana caranya untuk menghakis pencemarahan bahasa sebegini daripada terus berleluasa? Ia sudah menjadi bahasa komunikasi yang sudah diterima masyarakat majmuk di Malaysia.

Tetapi kini, isu tentang bahasa menjadi lebih parah daripada isu bahasa rojak atau bahasa campuran. Isunya kini ialah pencemaran tulisan atau ejaan yang digunakan. Jika bahasa rojak hanya melibatkan perbualan lisan, tetapi kini melibatkan penulisan. Jika bahasa rojak digunakan oleh golongan dewasa, pencemaran ejaan pula lebih melibatkan golongan remaja, termasuk para pelajar sekolah dan pencemaran ini berlaku secara berleluasa.

Kenapakah fenomena ini berlaku? Saya lebih gemar mengatakan pencemaran ejaan yang berlaku sekarang ini adalah berpunca daripada penggunaan alat-alat komunikasi yang canggih seperti telefon bimbit dan internet. Melalui sistem pesanan ringkas (SMS) di dalam telefon bimbit, pengguna akan menggunakan ejaan yang paling ringkas asalkan mesej itu sampai dan difahami penerimanya. Lalu muncullah berbagai ejaan ringkas yang digunakan seperti "tk "(tidak/tak), "dpt" (dapat), "ko" (kau), "gi" (pergi) dan sebagainya. Malah lebih ringkas lagi seperti hanya menggunakan huruf "x" bagi membawa maksud 'tidak'.

Oleh kerana pengguna telefon bimbit lebih ramai dari kalangan remaja, maka penularan ejaan ringkas itu lebih banyak digunakan oleh para remaja. Dahulu, saya amat sukar untuk memahami SMS yang dikirimkan anak saya kerana SMSnya ejaannya yang cukup ringkas. Pernah suatu ketika dahulu seorang rakan mengirimkan kepada saya "SHR MZB" beberapa hari sebelum sambutan aidilfitri. Jenuh juga saya mencari maknanya. Tetapi anak saya mudah sahaja menjawab, "Itu maknanya, Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin". Saya hanya menggelengkan kepala.

Di ruang sembang siber juga, fenomena yang sama berlaku. Mereka yang sering bersembang di alam siber melalui ruang-ruang sembang sering menggunakan ejaan ringkas, sama seperti digunakan di dalam SMS. Mungkin kerana mahu menjimatkan masa mengeja sesuatu perkataan mengikut ejaan biasa ataupun kerana malas untuk mengikut kaedah tata bahasa menjadikan para remaja terutamanya, memilih menggunakan ejaan ringkas di dalam urusan mereka. Lebih menyedihkan, bukan sahaja ejaan yang tercemar, tata bahasa juga ikut tercemar.

Fenomena ini amat membimbangkan terutama di kalangan para pelajar. Mereka tentu sekali menggunakan ejaan ringkas seperti itu ketika membuat nota pelajaran. Andainya tindakan itu tidak dicegah daripada berleluasa, kesannya amat menggerunkan kepada jati diri bangsa apabila bahasanya menjadi terlalu tercemar. Para pelajar yang terlalu terdedah kepada penggunaan ejaan ringkas akan terbawa-bawa di dalam penulisannya semasa menjawab peperiksaan yang akan mengakibatkan dia tidak berjaya mendapat markah yang tinggi. Selain daripada itu, para pelajar akan menjadi malas untuk menulis atau mengarang dengan lebih panjang dan terperinci. Lalu akan berlakulah, para pelajar yang tidak pandai menguasai tata bahasa yang betul serta tidak pandai mengembangkan idea ke dalam penulisannya. Alangkah malangnya negara kita nanti jika anak bangsanya sendiri tidak mahir menggunakan tata bahasanya! Oleh itu para pendidik wajiblah memperingatkan para pelajarnya supaya jangan sama sekali menggunakan ejaan ringkas itu semasa menjawab soalan peperiksaan.

Siapakah yang harus dipersalahkan?

Ayuh, jangan lagi kita mencari siapa yang salah, tetapi kita harus sama-sama menangani permasalahan ini secara kolektif. Peranan semua pihak perlu digemblengkan secara paling berkesan untuk memerangi gajala pencemaran bahasa yang berleluasa ini, jika kita benar-benar mencintai bahasa kita yang satu ini!

_____________________________________

"Isikan kotak fikir anda dengan pemikiran positif untuk melahirkan sikap, tindakan dan tabiat yang positif bagi menyumbang kepada kejayaan yang lebih cemerlang"

Jan 23, 2009

TERBALIKKAN IMPIAN ANDA


BAYANGKAN sesuatu yang anda idamkan. Bukan hanya dengan kata-kata atau mimpi kosong, tetapi bayangkan dengan penuh perasaan sesuatu yang benar-benar anda idamkan, sama ada untuk diri anda sendiri ataupun untuk orang lain.

Apa yang anda bayangkan sekarang?

Hasil kajian para pengkaji mendapati semua orang apabila diminta membayangkan sesuatu yang mereka idamkan, sebenarnya membayangkan matlamat mereka. Lazimnya mereka akan membayangkan mereka telah berjaya mencapai apa yang mereka inginkan. Mereka bayang yang mereka telah berjaya mencapai matlamat itu.

Tetapi apa akan terjadi jika saya minta anda bayangkan dengan jelas di dalam minda anda, segala idea, impian serta matlamat yang anda idam-idamkan itu tidak tercapai sama sekali. Ya, walau apa sekalipun ikhtiar yang anda lakukan, segala matlamat anda itu tidak dapat dicapai. Tidak dapat dilaksanakan. Tidak mungkin!

Bagaimana perasaan anda ketika itu? Pastinya anda akan merasa kecewa, patah semangat kerana semua impian anda tidak tercapai. Hancur berkecai! Hidup anda tidak bermaya lagi!

Sebenarnya, jika anda lakukan kaedah keterbalikan impian dan matlamat secara jujur kepada diri sendiri, anda akan dapati sesuatu perubahan besar akan berlaku di dalam diri anda. Pasti anda tidak dapat berdiam diri lagi, akan pantas bangun bertindak melakukan sesuatu sebelum terlewat. Pada ketika itu anda pasti akan merasa cemas bukan kepalang.

Jangan berselindung daripada kebenaran. Biarkan perasaan cemas itu terpancar di wajah anda dan biarkan keinginan untuk segera bertindak itu pula menumbuk-numbuk perasaan dalaman anda. Percayalah, jika itu berlaku, anda akan rasakan suatu kuasa dalaman yang hebat akan bangkit dan bertindak keluar daripada rutin kebiasaan anda. Anda akan segera bertindak melakukan sesuatu untuk mengubah situasi bagi merealisasikan impian dan matlamat anda yang tidak tercapai tadi itu.

Pada ketika itu, jika anda tidak segera bertindak, anda tidak mungkin akan dapat melakukannya lagi. Selepas itu semuanya adalah mimpi ngeri yang melukakan. Impian dan matlamat anda tidak akan tercapai. Anda akan terus dilanda kecewa.

Itulah kuasa dalaman yang ada di dalam diri anda. Kuasa yang jarang diteroka. Kenapa tidak anda mencubanya?


________________________________________

Setiap yang buruk ada faedahnya, manakala yang baik itu pula ada buruknya. Pilihlah dengan berpandukan ilmu serta jujurlah kepada diri sendiri.

Jan 17, 2009

SALAM DAN BERJABAT SALAM


MEMBERI salam amatlah digalakkan dan sunat di dalam ajaran Islam. Apabila anda bertemu rakan sesama Islam, sunat memberikan salam, iaitu satu ungkapan dan ucapan mengandungi doa semoga orang yang diberi salam itu mendapat rahmat Allah, dengan mengucapkan "Assalamu'alaikum".

Manakala orang yang menerima ucapan salam pula wajib menjawabnya. Juga ungkapan dan ucapan yang mengandungi doa agar rakan yang memberi salam itu sama-sama mendapat rahmat Allah, dengan ucapan, "Wa'alaikum salam".

Amalan memberi salam kepada saudara seIslam sudah menjadi amalan kebanyakan orang dewasa ini. Para pelajar sudah diajar dan dilatih semasa di sekolah apabila bertemu dengan guru-guru beragama Islam hendaklah memberikan salam. Tiada lagi ucapan "Selamat pagi cikgu" seperti saya bersekolah dahulu. Ataupun ucapan, "Good morning Sir".

Begitu juga di kalangan orang dewasa, kakitangan Kerajaan atau pun swasta sekarang ini sudah menjadi kebiasaan memberi salam kepada rakan seIslam apabila bertemu. Di pejabat-pejabat juga sudah menjadi amalan. Lazimnya, selepas memberi dan menjawab salam, kedua-dua sahabat atau rakan itu akan berjabat salam. Pastinya berjabat salam sesama jantina, lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan, bukan sebaliknya.

Namun, saya ingin menyentuh sedikit mengenai amalan tidak baik sesetengah orang ketika berjabat salam. Ada berbagai cara orang berjabat salam. Jika anda rajin memerhati gaya orang berjabat salam, anda akan dapat mengesan berbagai cara orang berjabat salam.

Ada orang berjabat salam dengan sebelah tangan, menggenggam dan mengoncang-goncang tangan rakannya dengan kuat. Ada yang menggunakan kedua-dua belah tangannya menggenggam dan menggoncang-goncang tangan rakannya. Ada juga yang berjabat salam tanpa menggenggam dan menggoncang dengan kuat.

Malah ada juga yang hanya berjabat salam dengan tangan yang seolah-olah enggan memegang tangan rakannya. Tiada genggaman yang kemas dan goncangan yang kuat. Dia hanya menyentuh tangan rakannya, membiarkan rakannya sahaja yang menggenggam atau menggoncang tangannya.

Ada juga yang berjabat salam bukan dengan cara seperti disebutkan itu. Mereka hanya menghulurkan tangan tidak menggenggam tangan rakannya, tetapi sekadar menyentuh di hujung jarinya sahaja.

Selalunya selepas seseorang itu berjabat salam, dia akan meletakkan tangannya itu ke dada. Ini menggambarkan satu penerimaan yang ikhlas akan salam yang dihulurkan rakannya tadi. Jarang sekali kita melihat orang selepas berjabat salam tidak meletakkan tangan ke dada. Perlakuan tersebut sekaligus mengeratkan lagi ikatan ukhuwah sesama Islam.

Seperkara lagi ialah pandangan mata. Mata kedua-dua orang yang berjabat salam itu sepatutnya saling berpandangan. Biar mata bertentang mata. Barulah akan lahir rasa persabahatan yang erat dan penuh kemesraan. Selain daripada menzahirkan rasa ikhlas dan jujur semasa berjabat salam.

Anda tentu pernah mengalami mana-mana satu daripada cara orang berjabat salam seperti yang saya ceritakan. Atau anda sendiri pun pernah berjabat salam dengan salah satu daripada cara-cara tersebut?

Walau bagaimanapun, kita perlu melazimkan diri kita sendiri memberi salam dan berjabat salam setiap kali kita berjumpa dengan rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang beragama Islam. Cuma saya ingin berpesan supaya jika anda memberi salam kemudian menghulurkan tangan berjabat salam, pastikan gaya anda berjabat salam itu hendaklah dengan gaya yang meyakinkan serta dapat mengalirkan rasa ukhuwah berteraskan kejujuran dan keikhlasan. Jangan hanya sekadar menyentuh hujung jari tanpa ada rasa persaudaraan sesama Islam.

Jangan jadi seperti kebanyakan orang-orang besar, berpangkat, berpengaruh dan berkedudukan yang lazimnya berjabat salam dengan mata tidak memandang kepada kita tetapi menoleh kepada orang lain. Saya sering perhatikan gaya sebegini sering dilakukan oleh orang-orang politik.
_________________________________________

Berusahalah mencari seribu sahabat, kerana sebanyak itu sekalipun belum mencukupi. Tetapi jangan mencari walaupun seorang musuh, kerana seorang musuh itu sudah terlalu banyak bilangannya (hukamak)

Jan 15, 2009

MASA DEPAN ANAK-ANAK PALESTIN


SEHINGGA kini setiap hari terpampang di dalam akhbar-akhbar dan tersiar di dalam media elektronik kisah penderitaan rakyat Palestin di Gaza yang dibelasah oleh tentera rejim zionis Israel dengan tanpa rasa perikemanusiaan. Terasa sekali betapa mereka mengalami penderitaan yang tidak dapat diucapkan. Mangsa kekejaman itu terdiri daripada semua lapisan masyarakat, termasuk bayi, kanak-kanak, wanita dan juga warga emas. Betapa angkuhnya Israel tanpa mempedulikan suara penentangan dari seluruh pelosok dunia.

Paling menyayat hati apabila melihat keadaan yang menimpa anak-anak Palestin. Bagaimanakah masa depan mereka? Hari ini mereka dihunjam dengan pelbagai jenis peluru beracun, mortar dan bom. Israel bukan lagi menyerang tentera Hammas yang dianggapnya sebagai pengganas, tetapi lebih kepada usaha jahatnya untuk memusnahkan keseluruhan umat
Palestin.

Lihatlah betapa kanak-kanak Palestin terpaksa menempuh kehidupan perit mereka, tanpa tempat perlindungan, tanpa bantuan dan paling pasti, tanpa tempat untuk belajar mencari ilmu pengetahuan. Mereka akan membesar sebagai manusia yang memiliki rasa dendam dan amarah yang meluap-luap kepada bangsa yang menyerang dan memusnahkan masa depan mereka.

Syukurlah, di Malaysia keadaan sebegini tidak berlaku. Anak-anak dapat hidup dalam pelukan kasih sayang penuh aman damai. Setiap hari dapat ke sekolah, belajar dan bermain tanpa rasa gentar dan terancam. Jauh bezanya dengan anak-anak Palestin, mereka sentiasa diburu bimbang, takut tentera Israel menyerang sekolah mereka. Selain daripada itu, suasana yang tidak aman itu telah memisahkan mereka daripada orang-orang yang tersayang, lantas kasih sayang yang sepatutnya mereka perolehi pada usia muda kini, telah dinafikan.

Namun, kekejaman yang melanda mereka tidak mampu memadamkan impian mereka untuk hidup aman seperti kanak-kanak lain di negara-negara yang aman damai. Tentu sekali mereka ingin menikmati hidup yang selesa, membina impian untuk mencapai kegemilangan serta menjadi insan yang dapat mencurah bakti kepada negara tercinta. Tetapi sehingga kini segala itu tidak mungkin tercapai.

Seharusnya kita bersyukur dengan apa yang kita kecapi kini. Jangan sekali-kali kita mempersesiakan nikmat ini. Belajarlah dengan jujur untuk menjadi manusia yang berjaya di masa hadapan. Tetapi dalam masa yang sama, marilah sama-sama kita mendoakan agar keamanan pulih segera di tanah Gaza, supaya masa depan anak-anak Palestin di sana akan segera terbela.

Jan 9, 2009

PUISIKU

AKU MELIHAT ANAK-ANAKMU

Hari ini masih ada asap hitam
berkepulan di udara wilayahmu
seperti kelmarin dan musim-musim kelam
kau lali dengan desingan peluru
luah mortar dan bom pemusnah
kerana itulah hidangan makanmu
saban hari, saban minggu. Aku hanya
melihat derita perit sengsaramu
di kamar dingin empuk dudukku
meski suara hati mengutuk keras
cakar serigala jalang di laman rumahmu
meratah tubuh-tubuh hijau
menjilat darah syahid yang tidak menangis lagi.

Hari ini aku melihat wajah-wajah suram
berbaris menanti seteguk kasih
secebis kemanusian secawan pengertian
mereka masih mahu hidup
mewarnai masa depan dengan tangan sendiri
menanam benih suci di bumi bergolak
kerana itulah sahaja milik mereka
perjuangan tidak akan mati. Aku tahu
anak-anakmu sudah kehabisan air mata
tangisan tidak akan meredakan api
tanah moyangda terobek tersula
namun batu-batu lontaran lebih mengerti
ruap amarah dengan sejuta benci.

Hari ini anak-anakku, kau bernyanyi riang
di taman beraneka warna kembang
wangi bersilih ganti bertukar musim
tanpa mengerti makna perjuangan
tanpa menilai makna kemakmuran
benar, jika anak-anakku terus leka
menyimpan mimpi di puncak awan
nanti bila hujan mencurah, impianmu basah.

Anak-anakku, benih warisan
penuhkan karung hatimu dengan semangat
isikan batil jiwamu dengan keluhuran cinta
padukan dan adunkan menjadi sebati
semoga tanah moyangmu tidak tersula
darah tidak terpercik dan mayat tidak gelempangan
asap tidak berkepulan menutup ruang
api tidak menyambar pakaian sekolahmu
bunga terus mekar di taman. Ingatlah anak-anakku.

9 Januari 2009

Jan 6, 2009

ALIA SUDAH MASUK TADIKA

KELETAH cucu jiran saya, Alia, yang sudah mula masuk Tadika mulai dua hari lepas, membuatkan saya terpanggil untuk menulis kali ini. Alia yang ceria dan petah bercakap menjadi bahan ketawa kami sekeluarga.

Dua hari lepas Alia mengorak langkah baru memasuki Tadika. Walaupun usianya baru 4 tahun, dia sudah didaftarkan memasuki sebuah Tadika tidak jauh dari kawasan perumahan kami. Saya berjiran dengan datuk Alia, seorang pegawai tinggi dalam perkhidmatan negeri.


Dua hari lepas, sebaik sahaja saya sampai ke rumah jam 6.00 petang, terdengar suara Alia nyaring memanggil saya. Saya selalu mengusiknya bila saya ada di rumah. Alia pun sudah mesra dengan kami sekeluarga.

"Wan Din, Alia dah masuk Tadika (tapi oleh kerana masih muda, sebutannya menjadi Tanika)", girang sekali anak kecil itu bercerita. Dia dapat ramai kawan dan cuba menyebut nama kawan-kawan yang baru sehari dikenalinya itu. "Alia tak nangis pun!".

Saya memujinya. "Alia tak boleh nangis tau, nanti kawan-kawan kata Alia manja. Suka nangis. Malu laah". Dia mengiayakan sahaja.

Keletah Alia itu yang menarik minat saya menulis kerana saya ingin berkongsi bagaimana membentuk keyakinan diri kepada anak-anak kita yang masih kecil. Pembinaan keyakinan diri amat penting supaya anak-anak menjadi lebih berani menghadapi situasi baru dalam kehidupannya. Tidak takut dan pengecut.

Anak-anak harus ditanam sejak awal lagi dengan nilai-nilai murni. Ajar mereka mengenali keluarga terdekat dengan memanggil mengikut peringkat dalam keluarga. Datuk, nenek, ibu, ayah, mak long, ayah ngah dan sebagainya. Begitu juga dengan adik-beradik mereka. Kak Long, Abang Ngah, Kak Lang dan seterusnya. Elakkan daripada memanggil dengan nama seperti kakak memanggil adiknya dengan nama sahaja, dan begitu juga adik memanngil abang dengan namanya sahaja. Itu kurang manis.

Apabila usia mereka meningkat, lazimkan mereka bercakap hal-hal yang baik dan murni. Latih mereka menyebut perkataan-perkataan yang manis dan sopan. Jangan biasakan mereka menggunakan kata-kata kasar, kesat apatah lagi yang lucah.

Bina rasa keyakinan dalam diri mereka dengan melatih mereka membuat sesuatu perkara tanpa banyak dibantu. Menyusun kasut di rak setiap kali masuk ke dalam rumah contohnya. Selain melatih mereka membuat kerja itu, ia juga dapat mendisiplinkan anak-anak supaya tidak menanggalkan kasut mereka di merata tempat. Latih mereka memakai pakaian sendiri supaya mereka yakin dengan kebolehan mereka.

"Alia simpan buku dalam beg Alia", ngomel Alia selanjutnya. "Cikgu kata beg Alia cantik".

Petang kelmarin, Alia bercerita lagi tentang pengalaman hari keduanya di Tadika. Rasanya dia semakin yakin terhadap dirinya sendiri. Tetapi saya terpandang ada kesan di pipi montelnya. Saya bertanya Alia, "kenapa dengan pipi Alia ni?".

Alia bercerita ada kawan yang cubit pipinya semasa di Tadika. Katanya kawannya itu garang dan suka mencubit. Apakah ini kesan pengajaran awal di rumah? Mungkin juga kanak-kanak tersebut pernah atau kerap dicubit ibunya di rumah sehingga dia pula ingin melakukan perkara itu kepada kawan-kawannya di tadika.

Apapun, saya berpendapt, ibu adalah guru pertama setiap anak.

Jan 3, 2009

SEGALANYA PERLU BERUBAH

INI adalah tulisan pertama saya dalam tahun baru. Kerja menulis di dalam blog tergendala akibat gangguan dan kerosakan talian streamyx beberapa hari yang lalu.

Sebelum saya teruskan, saya ucapkan Selamat Tahun Baru kepada pembaca budiman.

Tahun ini sambutan tahun baru Hijriah dan Masehi hampir serentak. Tetapi bagi saya kedua-duanya tidak memberi sebarang makna besar sekiranya kita tidak berubah. Berubah daripada yang baik kepada yang lebih baik. Itulah sebenarnya makna yang mesti diterapkan di dalam jiwa kita semua.

Namun perubahan itu tidak mungkin dapat dilakukan dalam masa sehari atau sebulan. Ia memerlukan tempoh masa dan kesungguhan kita sendiri untuk berubah. Matlamat harus jelas dan besar, perancangan mencapai matlamat itu harus diperkemaskan, disusun supaya lebih berkesan.

Andai kita masih belum menetapkan matlamat, saya seru supaya tetapkan matlamat itu sekarang juga. Andai matlamat tahun lepas masih belum tercapai, eloklah diusahakan supaya matlamat tersebut dapat direalisasikan pada tahun baru ini.

Kepada para pelajar sekalian, di dalam tahun baru ini, janganlah berlenggah lagi. Mulakan langkah secepat mungkin. Kepada para pelajar yang baru melangkah ke sekolah menengah, tinggallah sikap lama semasa di sekolah rendah. Belajar berdikari, tanpa banyak bergantung kepada orang lain. Para pelajar sekarang sudah berada di tahap pembelajaran yang berbeza daripada semasa di sekolah rendah dahulu. Sekarang persaingan menjadi lebih sengit. Para pelajar mesti bersedia lebih awal. Fokus utama ialah Peperiksaan PMR pada tahun 2011 nanti.

Kepada para pelajar yang lulus cemerlang di dalam PMR 2008 baru-baru ini saya ucapkan TAHNIAH. Tahun ini anda melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat. Tahun hadapan anda akan menghadapi SPM. Bina matlamat mulai hari ini. Jangan tunggu minggu hadapan atau tahun hadapan. Bayangkan anda menjadi pelajar cemerlang SPM 2010 nanti dan mendapat tawaran demi tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti.

Buangkan sikap dan tanggapan tahun ini adalah tahun bulan madu (honeymoon year). Anda silap jika beranggapan sedemikian. Jadi, mulai hari pertama masuk ke kelas tingkatan empat, anda mesti menetapkan matlamat anda untuk memperolehi kejayaan di dalam SPM 2010 nanti. Jangan berlengah lagi.

Mulai sekarang segalanya perlu berubah.