Pages

Jan 23, 2009

TERBALIKKAN IMPIAN ANDA


BAYANGKAN sesuatu yang anda idamkan. Bukan hanya dengan kata-kata atau mimpi kosong, tetapi bayangkan dengan penuh perasaan sesuatu yang benar-benar anda idamkan, sama ada untuk diri anda sendiri ataupun untuk orang lain.

Apa yang anda bayangkan sekarang?

Hasil kajian para pengkaji mendapati semua orang apabila diminta membayangkan sesuatu yang mereka idamkan, sebenarnya membayangkan matlamat mereka. Lazimnya mereka akan membayangkan mereka telah berjaya mencapai apa yang mereka inginkan. Mereka bayang yang mereka telah berjaya mencapai matlamat itu.

Tetapi apa akan terjadi jika saya minta anda bayangkan dengan jelas di dalam minda anda, segala idea, impian serta matlamat yang anda idam-idamkan itu tidak tercapai sama sekali. Ya, walau apa sekalipun ikhtiar yang anda lakukan, segala matlamat anda itu tidak dapat dicapai. Tidak dapat dilaksanakan. Tidak mungkin!

Bagaimana perasaan anda ketika itu? Pastinya anda akan merasa kecewa, patah semangat kerana semua impian anda tidak tercapai. Hancur berkecai! Hidup anda tidak bermaya lagi!

Sebenarnya, jika anda lakukan kaedah keterbalikan impian dan matlamat secara jujur kepada diri sendiri, anda akan dapati sesuatu perubahan besar akan berlaku di dalam diri anda. Pasti anda tidak dapat berdiam diri lagi, akan pantas bangun bertindak melakukan sesuatu sebelum terlewat. Pada ketika itu anda pasti akan merasa cemas bukan kepalang.

Jangan berselindung daripada kebenaran. Biarkan perasaan cemas itu terpancar di wajah anda dan biarkan keinginan untuk segera bertindak itu pula menumbuk-numbuk perasaan dalaman anda. Percayalah, jika itu berlaku, anda akan rasakan suatu kuasa dalaman yang hebat akan bangkit dan bertindak keluar daripada rutin kebiasaan anda. Anda akan segera bertindak melakukan sesuatu untuk mengubah situasi bagi merealisasikan impian dan matlamat anda yang tidak tercapai tadi itu.

Pada ketika itu, jika anda tidak segera bertindak, anda tidak mungkin akan dapat melakukannya lagi. Selepas itu semuanya adalah mimpi ngeri yang melukakan. Impian dan matlamat anda tidak akan tercapai. Anda akan terus dilanda kecewa.

Itulah kuasa dalaman yang ada di dalam diri anda. Kuasa yang jarang diteroka. Kenapa tidak anda mencubanya?


________________________________________

Setiap yang buruk ada faedahnya, manakala yang baik itu pula ada buruknya. Pilihlah dengan berpandukan ilmu serta jujurlah kepada diri sendiri.

Jan 17, 2009

SALAM DAN BERJABAT SALAM


MEMBERI salam amatlah digalakkan dan sunat di dalam ajaran Islam. Apabila anda bertemu rakan sesama Islam, sunat memberikan salam, iaitu satu ungkapan dan ucapan mengandungi doa semoga orang yang diberi salam itu mendapat rahmat Allah, dengan mengucapkan "Assalamu'alaikum".

Manakala orang yang menerima ucapan salam pula wajib menjawabnya. Juga ungkapan dan ucapan yang mengandungi doa agar rakan yang memberi salam itu sama-sama mendapat rahmat Allah, dengan ucapan, "Wa'alaikum salam".

Amalan memberi salam kepada saudara seIslam sudah menjadi amalan kebanyakan orang dewasa ini. Para pelajar sudah diajar dan dilatih semasa di sekolah apabila bertemu dengan guru-guru beragama Islam hendaklah memberikan salam. Tiada lagi ucapan "Selamat pagi cikgu" seperti saya bersekolah dahulu. Ataupun ucapan, "Good morning Sir".

Begitu juga di kalangan orang dewasa, kakitangan Kerajaan atau pun swasta sekarang ini sudah menjadi kebiasaan memberi salam kepada rakan seIslam apabila bertemu. Di pejabat-pejabat juga sudah menjadi amalan. Lazimnya, selepas memberi dan menjawab salam, kedua-dua sahabat atau rakan itu akan berjabat salam. Pastinya berjabat salam sesama jantina, lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan, bukan sebaliknya.

Namun, saya ingin menyentuh sedikit mengenai amalan tidak baik sesetengah orang ketika berjabat salam. Ada berbagai cara orang berjabat salam. Jika anda rajin memerhati gaya orang berjabat salam, anda akan dapat mengesan berbagai cara orang berjabat salam.

Ada orang berjabat salam dengan sebelah tangan, menggenggam dan mengoncang-goncang tangan rakannya dengan kuat. Ada yang menggunakan kedua-dua belah tangannya menggenggam dan menggoncang-goncang tangan rakannya. Ada juga yang berjabat salam tanpa menggenggam dan menggoncang dengan kuat.

Malah ada juga yang hanya berjabat salam dengan tangan yang seolah-olah enggan memegang tangan rakannya. Tiada genggaman yang kemas dan goncangan yang kuat. Dia hanya menyentuh tangan rakannya, membiarkan rakannya sahaja yang menggenggam atau menggoncang tangannya.

Ada juga yang berjabat salam bukan dengan cara seperti disebutkan itu. Mereka hanya menghulurkan tangan tidak menggenggam tangan rakannya, tetapi sekadar menyentuh di hujung jarinya sahaja.

Selalunya selepas seseorang itu berjabat salam, dia akan meletakkan tangannya itu ke dada. Ini menggambarkan satu penerimaan yang ikhlas akan salam yang dihulurkan rakannya tadi. Jarang sekali kita melihat orang selepas berjabat salam tidak meletakkan tangan ke dada. Perlakuan tersebut sekaligus mengeratkan lagi ikatan ukhuwah sesama Islam.

Seperkara lagi ialah pandangan mata. Mata kedua-dua orang yang berjabat salam itu sepatutnya saling berpandangan. Biar mata bertentang mata. Barulah akan lahir rasa persabahatan yang erat dan penuh kemesraan. Selain daripada menzahirkan rasa ikhlas dan jujur semasa berjabat salam.

Anda tentu pernah mengalami mana-mana satu daripada cara orang berjabat salam seperti yang saya ceritakan. Atau anda sendiri pun pernah berjabat salam dengan salah satu daripada cara-cara tersebut?

Walau bagaimanapun, kita perlu melazimkan diri kita sendiri memberi salam dan berjabat salam setiap kali kita berjumpa dengan rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang beragama Islam. Cuma saya ingin berpesan supaya jika anda memberi salam kemudian menghulurkan tangan berjabat salam, pastikan gaya anda berjabat salam itu hendaklah dengan gaya yang meyakinkan serta dapat mengalirkan rasa ukhuwah berteraskan kejujuran dan keikhlasan. Jangan hanya sekadar menyentuh hujung jari tanpa ada rasa persaudaraan sesama Islam.

Jangan jadi seperti kebanyakan orang-orang besar, berpangkat, berpengaruh dan berkedudukan yang lazimnya berjabat salam dengan mata tidak memandang kepada kita tetapi menoleh kepada orang lain. Saya sering perhatikan gaya sebegini sering dilakukan oleh orang-orang politik.
_________________________________________

Berusahalah mencari seribu sahabat, kerana sebanyak itu sekalipun belum mencukupi. Tetapi jangan mencari walaupun seorang musuh, kerana seorang musuh itu sudah terlalu banyak bilangannya (hukamak)

Jan 15, 2009

MASA DEPAN ANAK-ANAK PALESTIN


SEHINGGA kini setiap hari terpampang di dalam akhbar-akhbar dan tersiar di dalam media elektronik kisah penderitaan rakyat Palestin di Gaza yang dibelasah oleh tentera rejim zionis Israel dengan tanpa rasa perikemanusiaan. Terasa sekali betapa mereka mengalami penderitaan yang tidak dapat diucapkan. Mangsa kekejaman itu terdiri daripada semua lapisan masyarakat, termasuk bayi, kanak-kanak, wanita dan juga warga emas. Betapa angkuhnya Israel tanpa mempedulikan suara penentangan dari seluruh pelosok dunia.

Paling menyayat hati apabila melihat keadaan yang menimpa anak-anak Palestin. Bagaimanakah masa depan mereka? Hari ini mereka dihunjam dengan pelbagai jenis peluru beracun, mortar dan bom. Israel bukan lagi menyerang tentera Hammas yang dianggapnya sebagai pengganas, tetapi lebih kepada usaha jahatnya untuk memusnahkan keseluruhan umat
Palestin.

Lihatlah betapa kanak-kanak Palestin terpaksa menempuh kehidupan perit mereka, tanpa tempat perlindungan, tanpa bantuan dan paling pasti, tanpa tempat untuk belajar mencari ilmu pengetahuan. Mereka akan membesar sebagai manusia yang memiliki rasa dendam dan amarah yang meluap-luap kepada bangsa yang menyerang dan memusnahkan masa depan mereka.

Syukurlah, di Malaysia keadaan sebegini tidak berlaku. Anak-anak dapat hidup dalam pelukan kasih sayang penuh aman damai. Setiap hari dapat ke sekolah, belajar dan bermain tanpa rasa gentar dan terancam. Jauh bezanya dengan anak-anak Palestin, mereka sentiasa diburu bimbang, takut tentera Israel menyerang sekolah mereka. Selain daripada itu, suasana yang tidak aman itu telah memisahkan mereka daripada orang-orang yang tersayang, lantas kasih sayang yang sepatutnya mereka perolehi pada usia muda kini, telah dinafikan.

Namun, kekejaman yang melanda mereka tidak mampu memadamkan impian mereka untuk hidup aman seperti kanak-kanak lain di negara-negara yang aman damai. Tentu sekali mereka ingin menikmati hidup yang selesa, membina impian untuk mencapai kegemilangan serta menjadi insan yang dapat mencurah bakti kepada negara tercinta. Tetapi sehingga kini segala itu tidak mungkin tercapai.

Seharusnya kita bersyukur dengan apa yang kita kecapi kini. Jangan sekali-kali kita mempersesiakan nikmat ini. Belajarlah dengan jujur untuk menjadi manusia yang berjaya di masa hadapan. Tetapi dalam masa yang sama, marilah sama-sama kita mendoakan agar keamanan pulih segera di tanah Gaza, supaya masa depan anak-anak Palestin di sana akan segera terbela.

Jan 9, 2009

PUISIKU

AKU MELIHAT ANAK-ANAKMU

Hari ini masih ada asap hitam
berkepulan di udara wilayahmu
seperti kelmarin dan musim-musim kelam
kau lali dengan desingan peluru
luah mortar dan bom pemusnah
kerana itulah hidangan makanmu
saban hari, saban minggu. Aku hanya
melihat derita perit sengsaramu
di kamar dingin empuk dudukku
meski suara hati mengutuk keras
cakar serigala jalang di laman rumahmu
meratah tubuh-tubuh hijau
menjilat darah syahid yang tidak menangis lagi.

Hari ini aku melihat wajah-wajah suram
berbaris menanti seteguk kasih
secebis kemanusian secawan pengertian
mereka masih mahu hidup
mewarnai masa depan dengan tangan sendiri
menanam benih suci di bumi bergolak
kerana itulah sahaja milik mereka
perjuangan tidak akan mati. Aku tahu
anak-anakmu sudah kehabisan air mata
tangisan tidak akan meredakan api
tanah moyangda terobek tersula
namun batu-batu lontaran lebih mengerti
ruap amarah dengan sejuta benci.

Hari ini anak-anakku, kau bernyanyi riang
di taman beraneka warna kembang
wangi bersilih ganti bertukar musim
tanpa mengerti makna perjuangan
tanpa menilai makna kemakmuran
benar, jika anak-anakku terus leka
menyimpan mimpi di puncak awan
nanti bila hujan mencurah, impianmu basah.

Anak-anakku, benih warisan
penuhkan karung hatimu dengan semangat
isikan batil jiwamu dengan keluhuran cinta
padukan dan adunkan menjadi sebati
semoga tanah moyangmu tidak tersula
darah tidak terpercik dan mayat tidak gelempangan
asap tidak berkepulan menutup ruang
api tidak menyambar pakaian sekolahmu
bunga terus mekar di taman. Ingatlah anak-anakku.

9 Januari 2009

Jan 6, 2009

ALIA SUDAH MASUK TADIKA

KELETAH cucu jiran saya, Alia, yang sudah mula masuk Tadika mulai dua hari lepas, membuatkan saya terpanggil untuk menulis kali ini. Alia yang ceria dan petah bercakap menjadi bahan ketawa kami sekeluarga.

Dua hari lepas Alia mengorak langkah baru memasuki Tadika. Walaupun usianya baru 4 tahun, dia sudah didaftarkan memasuki sebuah Tadika tidak jauh dari kawasan perumahan kami. Saya berjiran dengan datuk Alia, seorang pegawai tinggi dalam perkhidmatan negeri.


Dua hari lepas, sebaik sahaja saya sampai ke rumah jam 6.00 petang, terdengar suara Alia nyaring memanggil saya. Saya selalu mengusiknya bila saya ada di rumah. Alia pun sudah mesra dengan kami sekeluarga.

"Wan Din, Alia dah masuk Tadika (tapi oleh kerana masih muda, sebutannya menjadi Tanika)", girang sekali anak kecil itu bercerita. Dia dapat ramai kawan dan cuba menyebut nama kawan-kawan yang baru sehari dikenalinya itu. "Alia tak nangis pun!".

Saya memujinya. "Alia tak boleh nangis tau, nanti kawan-kawan kata Alia manja. Suka nangis. Malu laah". Dia mengiayakan sahaja.

Keletah Alia itu yang menarik minat saya menulis kerana saya ingin berkongsi bagaimana membentuk keyakinan diri kepada anak-anak kita yang masih kecil. Pembinaan keyakinan diri amat penting supaya anak-anak menjadi lebih berani menghadapi situasi baru dalam kehidupannya. Tidak takut dan pengecut.

Anak-anak harus ditanam sejak awal lagi dengan nilai-nilai murni. Ajar mereka mengenali keluarga terdekat dengan memanggil mengikut peringkat dalam keluarga. Datuk, nenek, ibu, ayah, mak long, ayah ngah dan sebagainya. Begitu juga dengan adik-beradik mereka. Kak Long, Abang Ngah, Kak Lang dan seterusnya. Elakkan daripada memanggil dengan nama seperti kakak memanggil adiknya dengan nama sahaja, dan begitu juga adik memanngil abang dengan namanya sahaja. Itu kurang manis.

Apabila usia mereka meningkat, lazimkan mereka bercakap hal-hal yang baik dan murni. Latih mereka menyebut perkataan-perkataan yang manis dan sopan. Jangan biasakan mereka menggunakan kata-kata kasar, kesat apatah lagi yang lucah.

Bina rasa keyakinan dalam diri mereka dengan melatih mereka membuat sesuatu perkara tanpa banyak dibantu. Menyusun kasut di rak setiap kali masuk ke dalam rumah contohnya. Selain melatih mereka membuat kerja itu, ia juga dapat mendisiplinkan anak-anak supaya tidak menanggalkan kasut mereka di merata tempat. Latih mereka memakai pakaian sendiri supaya mereka yakin dengan kebolehan mereka.

"Alia simpan buku dalam beg Alia", ngomel Alia selanjutnya. "Cikgu kata beg Alia cantik".

Petang kelmarin, Alia bercerita lagi tentang pengalaman hari keduanya di Tadika. Rasanya dia semakin yakin terhadap dirinya sendiri. Tetapi saya terpandang ada kesan di pipi montelnya. Saya bertanya Alia, "kenapa dengan pipi Alia ni?".

Alia bercerita ada kawan yang cubit pipinya semasa di Tadika. Katanya kawannya itu garang dan suka mencubit. Apakah ini kesan pengajaran awal di rumah? Mungkin juga kanak-kanak tersebut pernah atau kerap dicubit ibunya di rumah sehingga dia pula ingin melakukan perkara itu kepada kawan-kawannya di tadika.

Apapun, saya berpendapt, ibu adalah guru pertama setiap anak.

Jan 3, 2009

SEGALANYA PERLU BERUBAH

INI adalah tulisan pertama saya dalam tahun baru. Kerja menulis di dalam blog tergendala akibat gangguan dan kerosakan talian streamyx beberapa hari yang lalu.

Sebelum saya teruskan, saya ucapkan Selamat Tahun Baru kepada pembaca budiman.

Tahun ini sambutan tahun baru Hijriah dan Masehi hampir serentak. Tetapi bagi saya kedua-duanya tidak memberi sebarang makna besar sekiranya kita tidak berubah. Berubah daripada yang baik kepada yang lebih baik. Itulah sebenarnya makna yang mesti diterapkan di dalam jiwa kita semua.

Namun perubahan itu tidak mungkin dapat dilakukan dalam masa sehari atau sebulan. Ia memerlukan tempoh masa dan kesungguhan kita sendiri untuk berubah. Matlamat harus jelas dan besar, perancangan mencapai matlamat itu harus diperkemaskan, disusun supaya lebih berkesan.

Andai kita masih belum menetapkan matlamat, saya seru supaya tetapkan matlamat itu sekarang juga. Andai matlamat tahun lepas masih belum tercapai, eloklah diusahakan supaya matlamat tersebut dapat direalisasikan pada tahun baru ini.

Kepada para pelajar sekalian, di dalam tahun baru ini, janganlah berlenggah lagi. Mulakan langkah secepat mungkin. Kepada para pelajar yang baru melangkah ke sekolah menengah, tinggallah sikap lama semasa di sekolah rendah. Belajar berdikari, tanpa banyak bergantung kepada orang lain. Para pelajar sekarang sudah berada di tahap pembelajaran yang berbeza daripada semasa di sekolah rendah dahulu. Sekarang persaingan menjadi lebih sengit. Para pelajar mesti bersedia lebih awal. Fokus utama ialah Peperiksaan PMR pada tahun 2011 nanti.

Kepada para pelajar yang lulus cemerlang di dalam PMR 2008 baru-baru ini saya ucapkan TAHNIAH. Tahun ini anda melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat. Tahun hadapan anda akan menghadapi SPM. Bina matlamat mulai hari ini. Jangan tunggu minggu hadapan atau tahun hadapan. Bayangkan anda menjadi pelajar cemerlang SPM 2010 nanti dan mendapat tawaran demi tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti.

Buangkan sikap dan tanggapan tahun ini adalah tahun bulan madu (honeymoon year). Anda silap jika beranggapan sedemikian. Jadi, mulai hari pertama masuk ke kelas tingkatan empat, anda mesti menetapkan matlamat anda untuk memperolehi kejayaan di dalam SPM 2010 nanti. Jangan berlengah lagi.

Mulai sekarang segalanya perlu berubah.

Dec 25, 2008

ANAK-ANAK BELAJAR DARIPADA IBU BAPA

SEMUA sedia maklum bahawa ibu dan bapa adalah guru pertama kepada anak-anak, sebelum mereka dihantar ke pra-sekolah dan seterusnya ke sekolah. Anak-anak menjadikan ibu bapanya sebagai idola pertama mereka. Mereka akan belajar apa sahaja daripada ibu bapa mereka, sama ada yang baik ataupun sebaliknya.

Minggu lepas, anak bongsu saya yang berumur 15 tahun demam. Setelah beberapa hari tidak sembuh, saya membawanya ke klinik berhampiran rumah. Waktu kami sampai di klinik jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Orang agak ramai di dalam klinik tersebut kerana hari itu ialah hari Jumaat dan banyak klinik lain tidak beroperasi kerana cuti hujung minggu. Selepas mendaftar, saya diberikan kad bilangan nombor 21. Kamipun duduk di kerusi tempat menunggu.

Beberapa orang yang berada di klinik itu datang bersama anak-anak mereka. Kebanyakannya berusia di antara 3 - 7 tahun. Bukan anak-anak itu yang sakit, tetapi sama ada ayah atau ibu ataupun anak-anak lain yang lebih tua daripada anak-anak tersebut. Oleh sebab itulah ramai yang tidak dapat duduk di kerusi menunggu kerana kerusi-kerusi itu dipenuhi oleh kanak-kanak yang tidak sakit tadi.

Jika ibu atau ayah bijak mendidik anak-anak mereka, atau sekurang-kurangnya memberi nasihat kepada anak-anak kecil mereka, tentulah tempat duduk yang tidak berapa banyak bilangannya itu diberikan kepada orang-orang tua ataupun mereka yang sakit untuk menunggu berjumpa dengan doktor. Tetapi anak-anak kecil itu terus duduk di kerusi-kerusi itu sedangkan orang sakit yang sepatutnya duduk dibiarkan berdiri.

Sepatutnya ibu atau ayah beritahu secara baik kepada anak-anak mereka, "jangan duduk di kerusi tu, biar pak cik tu duduk". Ataupun beritahu mereka, "tempat duduk tu untuk orang sakit nak berjumpa doktor, adik tak sakit, tak payahlah duduk di situ". Ataupun, pujuk sahaja anak-anak supaya duduk bersama ibu atau ayah sambil itu boleh diajak anak-anak membaca apa-apa sahaja yang ada di dalam klinik itu. Ibu atau ayah boleh ajak anak-anak mereka mengeja atau membaca sebarang poster yang ada di situ.

Itu juga salah satu cara untuk mengajar anak-anak supaya minat membaca selain daripada tidak membiarkan mereka membuat bising yang boleh mengganggu para pesakit.

Dua hari selepas itu, saya ke sebuah bank. Selepas mengisi borang untuk mengeluarkan wang, saya menunggu nombor giliran saya dipanggil. Pada masa itu nombor yang dipanggil ialah 103 sedangkan nombor giliran saya ialah 112. Masih ramai lagi yang sedang menunggu.

Tidak lama masuk seorang wanita bersama seorang anak lelaki dalam lingkungan umur 6 atau 7 tahun. Suara anak lelakinya begitu jelas membaca beberapa poster yang terpampang di dalam bank. Si ibu terus ke kaunter menulis borang, tetapi belum sempat mengambil borang dia berkata kepada anaknya, "Adik tekan butang merah tu..". Dia merujuk kepada butang merah pada mesin mengambil nombor giliran.

Tiba-tiba si anak membaca notis yang tertera di atas mesin tersebut, "Sila tulis borang sebelum mengambil nombor giliran". Kemudia dengan nada yang agak kuat si anak memberitahu ibunya, "Mak kena isi borang dulu, adik tak boleh tekan butang ni lagi".

Aku tersenyum sendirian. Memang sebenarnya anak-anak kecil cepat dan mudah belajar. Hati dan fikiran mereka masih bersih. Kedua-dua ibu bapa merekalah yang mencorakkan hati dan fikiran mereka.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w, "Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi". Marilah sama-sama kita, sebagai ibu bapa, merenung dan menghayati mafhum sabda Rasul itu dan mengajar anak-anak kita perkara-perkara yang elok dan positif.

Dec 24, 2008

BANGGANYA IBU BAPA

SEKARANG ini musim cuti sekolah sudah hampir tamat. Seminggu sahaja lagi sekolah akan dibuka semula. Para pelajar akan kembali semula ke bangku sekolah, berjumpa semula dengan kawan-kawan dan guru-guru yang hampir 2 1/2 bulan tidak berjumpa. Tentulah nanti berbagai pengalaman yang dikutip sepanjang cuti sekolah akan dikongsi bersama rakan-rakan di sekolah.

Ibu bapa juga tentu sekali seronok kerana anak-anak akan kembali ke sekolah, meneruskan pelajaran mereka. Walaupun dari segi kewangan, ramai ibu bapa yang terpaksa berbelanja lebih untuk membeli buku-buku, pakaian dan segala persiapan anak-anak kembali semula ke sekolah nanti.

Dalam pada itu ramai ibu bapa yang berasa bangga kerana anak-anak mereka mencapai kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan umum pada tahun ini. Keputusan UPSR yang telah diketahui tentu sekali menggembirakan sebilangan ibu bapa yang anak-anak mereka memperolehi pencapaian 5A, terutama sekali bagi anak sulung di dalam keluarga. Ibu bapa pasti merasa bangga di atas pencapaian cemerlang pertama kali dicapai anak-anak mereka itu.

Tahniah diucapkan kepada murid-murid yang berjaya mendapat kelulusan 5A di dalam UPSR 2008 baru-baru ini. Tidak lupa juga diucapkan tahniah kepada murid-murid yang mendapat 4A 1B atau 3A 2B dan seterusnya. Murid-murid telah membuktikan kemampuan masing-masing melalui UPSR. Halangan pertama telah dilalui.

Minggu ini, bagi ibu bapa yang anak-anak mereka mendapat 5A, tentu sekali sudah menerima surat tawaran untuk anak-anak mereka menyambung pelajaran ke tingkatan 1 tahun hadapan. Ada yang sudah menerima tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kementerian Pelajaran Malaysia. Ada yag sudah menerima tawaran ke sekolah-sekolah premier di daerah dan negeri masing-masing. Kebanggaan pasti terpancar di wajah ibu bapa dan anak-anak yang telah berjaya itu.

Ibu bapa zaman sekarang bukan seperti ibu bapa zaman dahulu, lebih-lebih lagi ibu bapa di kawasan pendalaman. Ibu bapa zaman dahulu, tidak begitu prihatin dengan peluang-peluang pelajaran anak-anak mereka. Anak-anak yang tamat darjah 6 sekolah rendah di kampung akan hanya meneruskan pelajaran ke sekolah menengah yang berhampiran sahaja. Itupun sudah dikira cukup baik, kerana lebih ramai anak-anak yang tidak menyambung pelajaran ke tingkatan satu di sekolah menengah. Alasan yang paling utama ketika itu ialah faktor kewangan.

Saya sendiri tidak terlepas daripada keadaan itu. Waktu saya belajar di sekolah rendah dahulu, peluang menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh amatlah terhad. Meskipun saya adalah murid cemerlang di sekolah rendah di kampung, namun peluang amat terbatas. Arwah datuk saya tidak banyak mengetahui tentang peluang-peluang yang disediakan oleh Kerajaan untuk murid-murid di kawasan pendalaman. Di sekolah juga guru-guru tidak pernah memberi motivasi kepada kami untuk belajar dengan tekun supaya dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Tinggallah murid-murid cemerlang di sekolah-sekolah pendalaman sebagai mangsa keadaan.

Pada masa saya di darjah lima (tahun 1968) dan tahun-tahun sebelumnya, ada peperiksaan khas untuk memilih calon-calon ke sekolah berasrama penuh. Saya masih ingat, abang sepupu saya berpeluang menyambung persekolahan di Ipoh selepas tamat darjah enam di sekolah kampung. Begitu juga dengan dua orang abang sepupu saya yang lain telah berjaya menyambung pelajaran ke tahap Special Malay di sekolah bandar selepas lulus peperiksaan darjah tiga di sekolah rendah di kampung. Itulah sahaja motivasi yang saya ada pada waktu itu, walaupun saya sendiri tidak faham langsung bagaimana proses pemilihan dilakukan. Arwah datuk tentu sekali lebih tidak faham walaupun ketiga-tiga sepupu saya itu adalah juga cucunya.

Tetapi sekarang jauh berbeza. Ibu bapa terdedah kepada segala macam maklumat tentang peluang untuk anak-anak mereka menyambung pelajaran ke sekolah-sekolah terpilih. Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah-sekolah elit dan premier di daerah dan negeri masing-masing dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) adalah di antara pilihan yang tersedia menanti. Sejak anak-anak mereka berada di darjah tiga atau mungkin lebih awal lagi, ibu bapa sudah menanam cita-cita agar anak-anak mereka dapat meneruskan persekolahan ke sekolah-sekolah terpilih tersebut. Perlumbaan itu menjadi lebih mencabar apabila anak-anak berada di darjah lima dan enam.

Dua hari lepas, saya terima panggilan telefon seorang rakan semasa di sekolah menengah dahulu. Dia minta saya berikan sokongan kepada anak ketiganya yang tidak berjaya menerima tawaran ke SBP walaupun syarat-syarat kemasukan telah dipenuhi, termasuklah kelulusan 5A UPSR. Anak sulungnya berjaya ke SBP (kini sedang menunggu masa untuk menyambung pelajaran ke India di dalam bidang perubatan), anak kedua (akan menduduki PMR tahun 2009) juga berada di SBP yang sama. Kini dia mengharapkan anak ketiganya mengikut jejak kedua-dua anaknya yang dahulu juga.

Dalam situasi rakan saya itu, tentu sekali dia berasa bangga apabila anaknya mendapat kelulusan 5A di dalam UPSR. Harapannya amat tinggi agar anaknya itu diterima memasuki tingkatan satu di SBP. Tetapi apabila tidak ada tawaran yang diterima, dia merasa amat kecewa. Malah saya yakin sebilangan besar lagi ibu bapa yang kecewa kerana anak-anak mereka tidak ditawarkan ke SBP.

"Apa boleh buat pemilihan ke SBP dibuat oleh pihak Kementerian Pelajaran", itu yang dapat saya beritahu rakan saya itu. "Tetapi rasanya masih boleh berpeluang untuk membuat rayuan. Saya cadangakan saudara buat rayuan sebab pemilihan dibuat berperingkat-peringkat sehingga ke peringkat ketiga nanti. Insya Allah jika ada rezeki tak akan kemana". Sekadar itulah sahaja yang dapat saya nyatakan sebagai seorang YDP PIBG sebuah Sekolah Berasrama Penuh. Lebih daripada itu adalah di luar bidang kuasa saya.

Apa pun saya doakan agar anak kawan saya itu serta anak-anak yang lain akan berjaya mendapat tempat di mana-mana SBP. Jika ada tawaran, jangan sekali-kali menolak kerana apabila ditolak, peluang itu akan terus tertutup.

Rasanya tidak berapa hari sahaja lagi keputusan PMR pula akan diumumkan. Ramai lagi ibu bapa yang sedang berdebar menunggu pengumuman keputusan itu, termasuklah saya sendiri. Anak bongsu saya mengambil PMR tahun ini. Pastinya ramai ibu bapa yang akan merasa bangga jika anak-anak mereka memperolehi keputusan cemerlang nanti.

Saya doakan kejayaan kita semua.

Dec 22, 2008

MINDA KELAS PERTAMA - BHG. 2

UNTUK menjadi seorang insan memiliki minda kelas pertama tidaklah sesukar mana. Segalanya berpusat di dalam pemikiran kita sendiri. Di dalam organ yang paling penting, iaitu otak. Di situlah bermula segala-galanya.

Bayangkan kelebihan organ yang dianugerahkan Allah swt ini, terlalu istimewa kerana di dalamnya selain mengandungi beribu juta sel, ia juga memiliki keupayaan menyimpan ingatan yang tidak terhitung banyaknya. Otak juga mempunyai keupayaan untuk menukar persepsi kita terhadap sesuatu perkara, daripada negatif kepada positif atau sebaliknya. Itulah yang membezakan kita, sebagai manusia, daripada makluk-makluk lain yang diciptakan Allah swt di alam ini.

Oleh kerana itulah, sebagai manusia kita boleh memilih untuk menjadi baik atau jahat. Menjadi seorang yang berfikiran positif atau negatif. Tetapi, kita harus ingat kepada matlamat atau tujuan kita dijadikan oleh Allah swt, sebagaimana maksud firman Allah swt: "Sesungguhnya tidak Kami jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk menjadi hambaKu dan beribadat kepadaKu". Jelas, firman Allah di dalam ayat ini memperjelaskan kenapa manusia dilahirkan ke muka bumi ini.

Sudah tentulah sebagai hamba Allah, kita dituntut untuk menuruti perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Kita dituntut supaya menjadi manusia yang sentiasa mengamalkan perbuatan-perbuatan yang baik dan menghindari diri daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Memikirkan perkara-perkara baik dan tidak memikirkan perkara-perkara yang tidak baik. Itu semua adalah perintah Allah swt yang menciptakan kita.

Justeru, untuk memiliki minda kelas pertama, kita wajar menukar persepsi kita tentang kehidupan. Ibarat melontar bola getah dengan kuat ke dinding pejal, pastilah bola itu akan melantun sama kuatnya kembali ke arah kita. Maksudnya, sikap kita terhadap kehidupan menentukan sikap kehidupan terhadap kita. Jika kita memandang kehidupan ini penuh dengan ciri-ciri negatif, kita akan menikmati segala yang negatif sepanjang hidup kita. Begitu jugalah sebaliknya, jika memiliki pandangan positif di dalam kehidupan, kita akan menerima imbuhan positif yang berpanjangan.

"Di dalam diri manusia terdapat satu perbezaan kecil yang menyebabkan perbezaan yang besar. Perbezaan kecil itu adalah sikap, manakala perbezaan besanya ialah sama ada sikap itu positif atau negatif".

Kedua-dua sikap ini saring bertarik-tarikan antara satu sama lain untuk mengusai jiwa dan pemikiran manusia. Jika positif berjaya menguasainya, manusia itu akan tampil bersikap positif, begitu juga sebaliknya. Mengikut satu kajian, 85% daripada kenaikan pangkat di dalam apa jua bidang kerjaya adalah disebabkan oleh SIKAP, baki 15% lagi adalah kerana kebolehan-kebolehan lain. Ini jelas menunjukkan manusia boleh berjaya dengan cemerlang jika memiliki sikap yang betul.

Bersikap positif menjadi pendorong utama mencapai kejayaan di dalam kehidupan. Bersikap positif boleh mengangkat nilai diri seseorang insan dan seterusnya menjadi manusia yang berhemah tinggi. Minda kelas pertama akan hanya tercetus jika minda dipenuhi dengan pemikiran dan sikap positif yang tinggi.

Dec 20, 2008

MINDA KELAS PERTAMA - BHG 1

MEMBINA MINDA KELAS PERTAMA adalah tajuk ceramah saya pada 15 Disember 2008 di Institut Pengurusan dan Integriti Kedah Darul Aman (INSPIN) kepada 46 orang peserta yang terdiri daripada kaki tangan beberapa jabatan Kerajaan Negeri Kedah. Saya teruja sejak awal lagi selepas menerima undangan daripada pegawai INSPIN.

Membina minda kelas pertama merupakan satu proses untuk membangun dan memajukan daya pemikiran seseorang manusia bagi mencapai peringkat terulung. Daya pemikiran atau akal fikiran yang bagaimana yang boleh ditakrifkan sebagai minda kelas pertama? Untuk merungkai persoalan ini memerlukan kupasan yang panjang dan itulah satu proses yang memakan masa. Namun secara mudahnya proses itu bolehlah dibahagikan kepada beberapa bahagian.

Bahagian pertama ialah proses untuk mengenal diri sendiri terlebih dahulu. Seseorang manusia wajar mengenal dirinya sendiri kerana mengenal diri adalah permulaan segala ilmu. Jelasnya, tanpa mengenal diri sendiri, seseorang itu tidak mungkin akan dapat menimba ilmu pengetahuan selanjutnya. Mafhum hadis Rasulullah s.a.w, "Barang siapa yang kenal dirinya, sesungguhnya dia telah kenal Tuhannya" amatlah jelas maksudnya. Oleh kerana segala ilmu berada di dalam penguasaan Allah swt, maka sesiapa yang mengenali Allah pasti akan dapat menimba segala ilmu. Tetapi untuk mengenal Allah, kita perlu kenal diri kita sendiri terlebih dahulu.

Mengenal diri bukan hanya sekadar mengetahui asal usul kejadian dan keistimewaan yang dianugerahkan Allah kepada kita semata-mata. Tetapi harus meliputi maksud mengenali diri dengan lebih meluas lagi. Kita mesti belajar mengenal kehebatan dan kelemahan yang terdapat di dalam diri sendiri. Mengenal kehebatan untuk menggunakan potensi diri ke arah kecemerlangan. Sementara mengenal kelemahan pula adalah untuk mempertingkatkan lagi usaha memperbaikinya.

Ramai manusia yang tidak mengenali dirinya sendiri, malah ramai yang tanpa sedar tidak pernah berusaha untuk mengenal diri sendiri. Ini suatu kerugian besar kerana jika kita masih belum kenal diri sendiri, bermakna kita masih belum tahu kekuatan dan kelemahan yang ada di dalam diri. Malah yang paling menyedihkan, kita masih belum mengenal Tuhan.

Lihat ke dalam diri sendiri, sejauh mana kita mensyukuri nikmat yang Allah berikan semenjak kita lahir sehingga kini? Tentulah tidah terhitung banyaknya, kerana nikmat Allah swt tidak terbatas dan tidak terjumlah. Pernahkah anda sorot kembali menilai tahap syukur yang anda miliki?

Perhatikan maksud ayat 9 Surah Assajadah,
"Kemudian Dia menyempurnakan kejadian-Nya serta meniupkan padanya Roh ciptaan-Nya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), supaya kamu bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur".

Kejadian manusia yang sempurna adalah nikmat yang tidak ternilai harganya. Allah mengurniakan pendengaran, penglihatan dan hati (akal fikiran) yang kesemua itu tidak dianugerahkan kepada makluk lain. Betapa Allah menjadikan manusia dengan segela kesempurnaan supaya manusia bersyukur, tetapi amat sedikit yang mensyukurinya.

Apakah anda termasuk di dalam kelompok manusia yang tidak mensyukuri nikmat Allah swt?

Proses pertama untuk memiliki minda kelas pertama perlu dilalui dan dipenuhi terlebih dahulu. Jika tidak walau setinggi mana sekalipun daya pemikiran anda, masih belum menepati maksud kelas pertama itu sendiri.