Pages

May 31, 2011

TARIF ELEKTRIK NAIK



KERAJAAN telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik mulai esok, 1 Jun 2011. Kenaikan purata 2.23 sen kilowatt sejam (kW/jam) itu dinyatakan sebagai sebahagian daripada proses meralisasikan subsidi yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan. Mulai esok tarif elektrik yang akan dikenakan ialah sebanyak 33.54 sen kW/jam berbanding 31.31 kW/jam sebelum ini. Namun, mengikut pengumuman itu lagi langkah kenaikan berkenaan tidak akan menjejaskan kira-kira 75% penduduk yang menggunakan kurang daripada 300 kW sebulan.

Melihat kepada kadar kenaikan itu tidaklah terlalu tinggi dan hanya akan dirasai oleh sektor peniaga dan industri. Manakala sektor kediaman, terutama yang menggunakan kurang daripada 300 kW sebulan, tidak terjejas. Walau bagaimanapun ramai berpendapat rakyat secara keseluruhannya akan merasa bahana akibat kenaikan tarif tersebut.


Rakyat berpendapatan rendah dan sederhana adalah golongan yang pasti akan terasa kesan daripada kenaikan itu dalam beberapa bulan akan datang. Akibat kenaikan tarif elektrik adalah sama seperti kenaikan harga petrol yang dilaksanakan baru-baru ini. Rakyat marhaen akan menerima padahnya kerana secara tidak langsung harga barangan keperluan akan turut meningkat dan sekaligus akan menambahkan lagi sengsara rakyat.


Pihak peniaga dan industri yang menerima impak secara langsung akibat kenaikan tarif berkenaan pasti sekali akan mempengaruhi peningkatan harga produk pengeluaran mereka bagi menyerap kos pengeluaran yang ditanggung. Kos tersebut tidak hanya akan diserap oleh pihak pengeluar dan peniaga tetapi akan dibebankan kepada pengguna yang menggunakan barangan keluaran pengeluar-pengeluar terbabit. Harga barangan di pasaran yang dibeli oleh pengguna tidak boleh lagi dikongsi kosnya dengan pihak-pihak lain. Ini jelas bermakna penggunalah yang akan menanggung kesannya.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Baayah Baba, golongan berpendapatan rendah akan merasa kesan kenaikan tarif elektrik itu. "Ini kerana kos pengeluaran oleh pengeluar akan meningkat, terutama di kilang yang menggunakan mesin berteknologi tinggi kerana mereka menggunakan elektrik melebihi 300 kW/jam. Justeru, mereka terpaksa menanggung beban kos pengeluaran yang meningkat dan kemudiannya akan dipindahkan kepada pengguna". (Rujuk: Akhbar Sinar Harian, Selasa 31 Mei 2011).

Di dalam laporan akhbar yang sama, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin pula berkata, beliau khuatir kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan negara berdepan masalah inflasi yang meningkat. "Inflasi adalah isu yang serius hingga boleh menimbulkan krisis jika tidak dibendung. Ini kerana rakyat terpaksa menanggung beban apabila semua barang akan meningkat secara automatik selepas in. Kerajaan tidak sepatutnya menaikkan tarif elektrik sekarang kerana kenaikan harga barang akan memberi tekanan kepada rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah".

Apakah pendapat dan pandangan ahli-ahli ekonomi tidak langsung diminta sebelum sebarang tindakan diambil? Apakah pendapat mereka tidak sesuai? Atau pendapat mereka tidak menyebelahi pihak berkepentingan?

Kenaikan harga petrol dan harga gula baru-baru ini telah amat membebankan rakyat, tiba-tiba tarif elektrik pula diumumkan, ia pasti menambah beban rakyat selepas ini. Entah kenapa tiba-tiba sahaja kenaikan tarif ini dilaksanakan? Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TNB, struktur tarif baru ini terpaksa dilaksanakan kerana Kerajaan telah mengarahkan Petronas untuk menaikkan harga gas asli kepada pengeluar tenaga pada kadar RM3-00 bagi setiap mmBtu. Kesannya, bil gas TNB akan naik sebanyak RM1.5 billion. Menurutnya lagi, TNB membeli arang batu pada harga purata USD80 setiap tan pada suku pertama tetapi membelanjakan purata USD103.80 setiap tan pada suku kedua 2011. Harga arang batu kini mencecah lebih USD120 setiap tan. TNB tidak dapat menampung kos arang batunya buat masa ini.

Pak Mat di Malau hanya menggelengkan kepala semasa membaca alasan teknikal yang dipaparkan. Pak Mat yang mempunyai seorang isteri tidak bekerja dan enam orang anak yang sedang belajar di sekolah rendah dan menengah hanya bergantung pendapatan sebagai penoreh getah pawah di kampungnya. "Lepas ni harga barang mesti naik", keluh Pak Mat.

Mak Ngah Nab pula tidak dapat berkata apa-apa selain memandang ke awan dengan seribu pertanyaan di dalam hati yang tidak terjawab. "Apa pasal kerap sangat naik harga barang? Gula naik harga, tepung naik harga, beras naik harga. Sampaikan ikan dari laut pun naik harga sama!".

Ah Leong taukeh kedai runcit di Sungai Karangan tentu sekali akan beri jawapan yang sama, "itu halega letrik sudah naik, halega balang pun naik sama loh".

"Kalau macam tu, malam-malam tak payah pasang lampu la. Pasang pelita cukup!", jerkah Tok Ali Pendekar setelah Man Lebai selesai membaca berita utama di dalam surat khabar pagi ini. Beberapa orang kampung yang sedang minum di warung Salleh terkedu seketika.

"Yang aku herannya, bila depa kena tanggung rugi depa beban kat kita semua. Masa depa untung ada depa bagi apa-apa kat kita?", Tok Ali Pendekar melepaskan geramnya lagi sambil melangkah meninggalkan warung Salleh.

May 17, 2011

MEMUASKAN.

PADA 12hb Mei, 2011 satu pemeriksaan ke atas diri sendiri telah dilakukan pada jam lebih kurang pukul 12.45 tengah hari. Pemeriksaan yang tidak mengambil masa yang lama, lebih kurang 15 minit sahaja, telah memberikan bacaan keputusan seperti berikut:-

1) Lemak dalam badan : 20.2% (Piawaian : Lelaki 8 - 20%, Perempuan 17 - 33%))

2) Peratusan air dalam badan : 58.4% (Piawaian : Lelaki 50 - 65%, Perempuan 45 - 60%)

3) Jisim otot : 50.6

4) Tahap fizikal : 5 (Piawaian : 1 - 2 Obses, 3 Mampat, 4 Kurang bersenam, 5 Normal, 6 Lebih otot, 7 Kurus, 8 Kurus & berotot dan 9 Atlet)

5) BMR : 1454 kcal (BMR ialah tahap tenaga yang minimum yang diperlukan ketika sedang rehat. Piawaian : Lelaki 1600 - 1800 kcal, Perempuan 1300 - 1500 kcal)

6) Umur biologi : 36 (Hahahahaha....)

7) Jisim tulang : 2.8 kg (berat tulang dalam badan secara keseluruhan. Bagi lelaki berat badan kurang daripada 65kg = 2.66kg, 65 - 95kg = 3.29kg, lebih 95kg = 3.69kg)

8) Lemak pada abdomen : 12 (Piawaian : 1 - 9 Sihat, 10 - 14 Tinggi dan 15 -39 Sangat tinggi. Ini adalah sukatan lemak yang meliputi organ-organ dalaman dan lebih membahayakan!)

9) Tekanan darah : 135/92 - perlu berhati-hati!

10) Kadar denyutan jantung : 76

11) Paras gula dalam badan : 5.3 mmol/dl (Paras normal ialah 3.9 - 7.8 mmol/dl


Syukur Alhamdulillah, berdasarkan keputusan ujian tersebut segalanya memuaskan kecuali paras lemak pada abdomen agak tinggi

May 16, 2011

TERIMA KASIH CIKGU.



16 MEI telah diisytiharkan sebagai Hari Guru di negara kita sejak tahun 1972. Tarikh tersebut dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tahun 1956 Majlis Undang-undang Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Laporan tersebut lebih dikenali sebagai Laporan Razak yang kemudiannya diangkat menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan sehingga ke hari ini.

Lalu setiap 16hb Mei setiap tahun, warga pendidik di negara kita menyambutnya dengan berbagai acara, baik di peringkat sekolah, daerah atau negeri. Manakala sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan diadakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi meraikan para guru sekalian. Acara di peringkat kebangsaan lazimnya diadakan pada tarikh lain yang lebih sesuai dengan tema yang berbeza-beza pada setiap tahun. Tema-tema yang pernah dipakai adalah seperti berikut:-
1972 : Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

1973 : Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan

1974 : Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi

1975 : Guru dan Pembangunan Negara

1976 : Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan

1977 : Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan

1978 : Guru Pembentuk Generasi Akan Datang

1979 : Murid Sejahtera Negara Jaya

1980 : Pendidikan Teras Perpaduan Negara

1981 : Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat

1982 : Ke Arah Kecekapan Guru dan Pendidikan Bermutu

1983 : Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan

1984 : Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan

1985 : Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan

1986 : Pendidikan Teras Nasionalisme

1987 : Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan

1988 : Guru Pengasas Budaya Membaca

1989 : Guru Pembinan Budaya Ilmu

1990 : Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera

1991 : Ke Arah Pendidikan Cemerlang

1992 : Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan

1993 : Guru Inovatif dan Kreatif Menajayakan Wawasan

1994 : Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan

1995 : Permuafakatan dan Perpaduan Menajayakan Wawasan

1996 : Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia

1997 : Guru Bestari Sekolah Bestari

1998 : Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama

1999 : Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang

2000 : Bersatu Memartabatkan Profesion Perguruan

2001 : Memartabatkan Profesion Perguruan Tanggungjawab Bersama

2002 : Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2003 : Guru Berkualiti Aspirasi Negara

2004 : Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2005 : Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan

2006 : Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan

2007 : Guru Penjana Modal Insan Cemerlang

2008 : Guru Cemerlang Negara Terbilang

2009 : Guru Pembina Negara Bangsa

2010 : Guru Pembina Negara Bangsa
Dalam tema pada tahun ini ialah Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Melihat kepada senarai panjang berbagai tema yang digunakan pada sambutan Hari Guru saban tahun sejak 1972 hinggalah pada tahun ini, saya tidak dapat mengesan satu pun tema yang benar-benar menggambarkan apresiasi terhadap sumbangan para guru kepada pembangunan agama, bangsa dan negara. Cuba perhatikan tema-tema yang disenaraikan, kesemuanya menuntut para guru memberikan segala macam sumbangan kepada negara, tetapi tiada satu pun yang menghargai sumbangan para guru.

Mungkin ada orang yang berkata, tema itu hanyalah slogan sahaja. Tetapi saya rasa apabila slogan tersebut dijadikan tema, maka ia sewajarnya menjadi satu pendorong yang amat bermakna kepada para guru sekalian. Sebagai contoh, tema tahun 2011 kali ini iaitu Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara jelas menggambarkan para guru berperanan penting di dalam proses perubahan pendidikan negara. Ia secara tidak langsung memberi petunjuk bahawa Kerajaan menggantungkan harapan kepada para guru untuk melakukan transformasi pendidikan negara. Dalam erti kata lain, para guru mestilah melakukan dan melaksanakan segala tugas serta peranan bagi menjayakan proses transformasi tersebut. Begitu jugalah dengan tema-tema yang digunakan pada tahun-tahun sebelumnya semuanya membawak maksud menuntut para guru untuk menyumbang bakti sepenuh jiwa dan raga mereka.

Tetapi pada masa yang sama kenapa tidak ada langsung tema yang menzahirkan perasaan terima kasih atau penghargaan terhadap segala sumbangan para guru dari segala segi sehingga taraf pendidikan negara kita berada pada tahap sekarang ini. Apakah Kerajaan tidak terpanggil untuk menyatakan rasa terima kasih kepada golongan yang terlalu banyak menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan pendidikan bangsa selama ini?

Saya rasa mulai tahun hadapan, Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menggunakan tema yang lebih berupa penghargaan kepada guru apabila tibanya sambutan Hari Guru 2012. Cukuplah menggunakan tema-tema yang berupa desakan supaya para guru terus menerus 'menyumbang' semata-mata. Rasa-rasanya sudah sampai masanya Kerajaan dan Rakyat seluruhnya memberi sanjungan kepada para guru sempena Hari Guru yang akan datang.

Saya ingin mencadangkan pada sambutan Hari Guru 2012 nanti, temanya ialah TERIMA KASIH CIKGU.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Sempena Hari Guru tahun ini saya mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru Malaysia khususnya guru-guru saya yang pernah mendidik saya semenjak 1963 hingga 1974. Sesungguhnya tidak terhitung jasa pengorbanan cikgu-cikgu semua kepada saya. Tanpa tunjuk ajar, didikan dan bimbingan cikgu semua, saya tidak mungkin menjadi seperti saya sekarang ini.

Malam kelmarin saya sangat gembira kerana mendapat tahu Guru Besar pertama saya dahulu (1963-1969) iaitu Cikgu Haji Sham bin Kadim, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Labu Besar, kini berusia 87 tahun masih lagi mampu memandu kereta dan membaca tanpa cermin mata. Begitu juga saya mendapat tahu bekas guru Fizik saya di Sekolah Sultan Badlishah (1973-1974) iaitu Mr P.S Rou kini masih aktif di dalam kegiatan kemasyarakatan melalui NGO. Beliau kini menetap di tanah airnya, India. Pada awal bulan Mei 2011 beliau berada di Malaysia dan beberapa acara tidak formal pertemuan di antara guru dan bekas pelajar telah diadakan di Kuala Lumpur dan Kulim.

TERIMA KASIH CIKGU dan THANK YOU TEACHER kepada semua yang bergelar Guru.

May 14, 2011

TAHNIAH, ADIK.


SETELAH hampir sebulan menanti, akhirnya tika dinihari 14 Mei 2011 penantian itu berakhir juga, walaupun rasa cemas mula memuncak sejak jam 5.00 petang kelmarin lagi. Berbagai ikhtiar dilakukan namun, segalanya gagal. Laman sesawang e-sila tidak berfungsi. Mungkin terlalu ramai yang memasukinya pada waktu yang sama. Penantian semakin menyakitkan.

Tetapi ketika detik jam menghampir 1.30 pagi, penantian itu berakhir. Terlerailah segala persoalan yang bersarang di hati dan perasaan masing-masing.

"Dah dapat?".

"Dah".

"Keputusannya?".

"Dapat".

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah. Akhirnya tertunai juga hasrat dan permintaan".

Semua teruja setelah berita gembira itu diketahui. Ibu yang sudah lena sebentar tadi terbangun apabila terdengar suara orang berbual kuat. Ibu ternyata teramat bahagia.

"Syukurlah, tercapai hasrat Adik".

"Tapi kena daftar 19hb, sama sehari dengan Majlis Konvokesyen Abang".

"Tak apa lah, Adik daftar pagi, konvo Abang tengah hari".

Pendaftaran di Ambang Asuhan Jepun, Universiti Malaya pukul 9.00 pagi. Terpaksalah kena bahagi tenaga. Ayah pergi urus pendaftaran Adik. Ibu dengan Kakak pergi konvo Abang.

Tidak ada ucapan yang teramat gembira yang terbit melainkan syukur. Hasrat dan cita-cita Adik makin jelas terlaksana. Dua tahun Adik perlu bergelut di tanah air sebelum melanjutkan pelajarannya ke Jepun dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia.

Ayah mendoakan kejayaan Adik. Ibu mendoakan kejayaan Adik. Abang, Abang Cik dan Kakak mendoakan kejayaan Adik. Malah seluruh keluarga turut mendoakan kejayaan Adik.

May 10, 2011

HARGA GULA HARGA SUBSIDI



MULAI hari ini, 10 Mei 2011 tidak disangka-sangka tanpa diduga tiba-tiba sahaja Kerajaan mengumumkan harga gula dinaikkan 20 sen lagi menjadi RM2.30 sekilogram. Kenaikan ini adalah kali kedua sejak Disember 2010 yang lalu.

Alasannya kenaikan harga bahan keperluan ini adalah kerana pelarasan subsidi yang boleh menjimatkan kewangan negara sebanyak hampir RM119 juta! Wah, besarnya jumlah penjimatan itu, tetapi pada masa yang sama rakyat terpaksa menanggung bebannya. Kemanalah agaknya RM119 juta itu akan dibelanjakan nanti?

Tok Esah di Alor Ganu tentu tidak perasan yang harga gula naik 20 sen sekilogram. Esok tentu Tok Esah terkejut bila ke kedai Ah Seong untuk membeli keperluan hariannya. Tok Esah dan semua suri rumah akan berungut pada pekedai di tempat mereka masing-masing tentang harga gula yang tidak semena-mena melambung naik.

"Apa boleh buat, Kelajaan sudah naik halega, gua pun kena naik jugak la...", tentu itulah yang akan dijawab oleh Ah Seong serta seluruh pekedai di Malaysia esok hari jika pelanggan merungut tentang perkara itu.

"Tak sampai setahun sudah naik harga lagi ka? Orang besar, orang kaya tak terasa la. Kita orang kampung, orang miskin ni terasa sangat walaupun naik dua kupang saja!", sahut Mak Cik Besah di Ulu Sedim yang tidak punya pendapatan tetap.

"Pasai apa tiba-tiba saja Kerajaan penaik harga gula??", jerkah Pak Su Leh di Bukit Selambau. "Tak patut betoi, tak kesian ka kat kami orang-orang susah ni?".

"Yang aku paling meluat sekali depa kata harga gula di Malaysia masih rendah. Depa dok banding dengan negara-negara lain macam Singapura, Thailand, Indonesia semua tu. Depa tak tau ka pendapatan kita dengan pendapatan rakyat di sana jauh beza?", rungut Mat Deris Posmen semasa minum pagi di kantin dengan kawan-kawan sejawatannya.

"Tu la, aku pun heran. CEUPACS dulu bukan main lantang desak Kerajaan naik gaji pekerja. Tup-tup kelmarin setuju tak naik gaji pasai kekangan kewangan Kerajaan. Dah tu hari ni Kerajaan penaik harga gula! Sapa yang untung?", suara Man kerani Pejabat Tanah turut melenting.

Rasanya bukan suara-suara itu sahaja yang melenting, ramai lagi yang tidak mungkin terakam ikut merungut dan melenting serupa suara-suara Tok Bedah, Mak Cik Besah, Pak Su Leh, Mat Deris Posmen dan Man Kerani. Malah seluruh rakyat akan meluahkan rasa marah, benci, geram dan sebagainya terhadap tindakan Kerajaan itu. Gula adalah keperluan asas yang diperlukan oleh setiap rakyat. Tentu sekali kenaikan harga gula mulai hari ini akan dirasai oleh seluruh rakyat.

"Aku rasa kenaikan harga gula ni ada kena mengena dengan sambutan ulangtahun UMNO 11 Mei nanti", ujar Pak Ngah Mehat tidak semena-mena. Seluruh mata yang berada di kedai kopi Milah Tembam tertumpu kepada lelaki berusia 68 tahun. Pak Ngah Mehat selamba sahaja menghirup kopi jantan panas yang diletakkan Milah Tembam sebentar tadi.

May 4, 2011

SASTERAWAN NEGARA MALAYSIA





KELMARIN YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Mahyuddin Yassin telah mengumumkan Sasterawan Negara Ke-11 setelah panel pemilih membuat keputusan mereka. Khabarnya panel pemilih memilih Sasterawan Negara Ke-11 berdasarkan kepada pencalonan tahun 2010 dan juga pencalonan tahun sebelumnya, 2009.


TAHNIAH diucapkan kepada Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya, Kemala kerana telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara Ke-11. Beliau adalah seorang penyair prolifik yang telah banyak menghasilkan 11 buah kumpulan puisi, 25 buah antologi puisi, 10 buah buku kajian sastera, 4 buah drama, 3 buah buku cerita kanak-kanak dan lebih 50 buah esei sastera dan kritikan sastera.




Sebelum ini sudah 10 orang Sasterawan Negera dinobatkan iaitu Allahyarham Dr. Kamaludin Muhamad (Keris Mas), Prof Emeritus Dato' Dr. Shahnon Ahmad, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang, Datuk Dr. A Samad Said, Allahyarham Dr. Muhamad Dahlan Abdul Biang (Arenawati), Prof Dr. Muhamad Hj Salleh, Datuk Nordin Hassan, Dato' Abdullah Hussein, Allahyarham Prof Madya Dr. Syed Othman Syed Omar (S Othman Kelantan) dan Datuk Dr. Anwar Ridhwan.



Dengan pengumuman Kemala sebagai Sasterawan Negara Ke-11 bermakna sudah sebelas orang sasterawan yang diiktiraf pihak Kerajaan sebagai orang-orang yang layak menerima berbagai kemudahan yang setimpal dengan kejayaan mereka di dalam bidang sastera. Kerajaan menghargai jasa dan perjuangan mereka melalui hasil karya-karya mereka baik dalam bentuk puisi, cerpen, novel, drama dan sebagainya.

Namun, setakat manakah pengiktirafan tersebut boleh menjadi pendorong kepada generasi muda mencintai dan menghayati sastera Melayu? Apakah dengan anugerah setinggi itu dapat menimbulkan minat mendalam di hati rakyat untuk mengagungkan karya-karya sastera Melayu? Apakah subjek Sastera Melayu di sekolah-sekolah menengah akan menjadi satu subjek penting untuk diajar kepada para pelajar?

Mana mungkin kesemua Sasterawan Negara yang telah dinobatkan itu begitu meminati, menghayati, mengagumi dan menghasilkan karya-karya sastera jika tidak pada zaman sekolah mereka dahulu mereka telah diulit dengan karya-karya sastera! Saya yakin proses membentuk jati diri mereka sebagai sasterawan Melayu telah dipupuk sejak zaman sekolah mereka dahulu lagi. Tetapi, apakah setelah sekian ramai dikalungkan gelaran Sasterawan Negara subjek Sastera Melayu akan terus dipinggirkan?

Bukan itu sahaja, apakah peranan Sasterawan Negara sebenarnya? Apakah suara, pendapat serta pandangan mereka diambil kira oleh berbagai pihak demi mendaulatkan bahasa dan sastera Melayu? Atau apakah nanti suara-suara mereka hanya dipandang sinis atau tidak langsung singgah ke telinga pihak-pihak tersebut?

Semoga bahasa dan sastera Melayu benar-benar dimartabatkan!
SN 3 - Datuk Dr. Usman Awang (Allahyarham)

SN 4 - Datuk Dr. A Samad Said

SN 5 - Dr. Arenawati

SN 6 - Prof Dr. Muhamad Haji Salleh SN 7 - Datuk Dr. Nordin Hassan

SN8 - Datuk Abdullah Hussein

SN9 - Prof Madya Dr Syed Othman Syed Omar (Allahyarham)

SN10 - Datuk Dr. Anwar Ridhwan