Pages

May 10, 2011

HARGA GULA HARGA SUBSIDI



MULAI hari ini, 10 Mei 2011 tidak disangka-sangka tanpa diduga tiba-tiba sahaja Kerajaan mengumumkan harga gula dinaikkan 20 sen lagi menjadi RM2.30 sekilogram. Kenaikan ini adalah kali kedua sejak Disember 2010 yang lalu.

Alasannya kenaikan harga bahan keperluan ini adalah kerana pelarasan subsidi yang boleh menjimatkan kewangan negara sebanyak hampir RM119 juta! Wah, besarnya jumlah penjimatan itu, tetapi pada masa yang sama rakyat terpaksa menanggung bebannya. Kemanalah agaknya RM119 juta itu akan dibelanjakan nanti?

Tok Esah di Alor Ganu tentu tidak perasan yang harga gula naik 20 sen sekilogram. Esok tentu Tok Esah terkejut bila ke kedai Ah Seong untuk membeli keperluan hariannya. Tok Esah dan semua suri rumah akan berungut pada pekedai di tempat mereka masing-masing tentang harga gula yang tidak semena-mena melambung naik.

"Apa boleh buat, Kelajaan sudah naik halega, gua pun kena naik jugak la...", tentu itulah yang akan dijawab oleh Ah Seong serta seluruh pekedai di Malaysia esok hari jika pelanggan merungut tentang perkara itu.

"Tak sampai setahun sudah naik harga lagi ka? Orang besar, orang kaya tak terasa la. Kita orang kampung, orang miskin ni terasa sangat walaupun naik dua kupang saja!", sahut Mak Cik Besah di Ulu Sedim yang tidak punya pendapatan tetap.

"Pasai apa tiba-tiba saja Kerajaan penaik harga gula??", jerkah Pak Su Leh di Bukit Selambau. "Tak patut betoi, tak kesian ka kat kami orang-orang susah ni?".

"Yang aku paling meluat sekali depa kata harga gula di Malaysia masih rendah. Depa dok banding dengan negara-negara lain macam Singapura, Thailand, Indonesia semua tu. Depa tak tau ka pendapatan kita dengan pendapatan rakyat di sana jauh beza?", rungut Mat Deris Posmen semasa minum pagi di kantin dengan kawan-kawan sejawatannya.

"Tu la, aku pun heran. CEUPACS dulu bukan main lantang desak Kerajaan naik gaji pekerja. Tup-tup kelmarin setuju tak naik gaji pasai kekangan kewangan Kerajaan. Dah tu hari ni Kerajaan penaik harga gula! Sapa yang untung?", suara Man kerani Pejabat Tanah turut melenting.

Rasanya bukan suara-suara itu sahaja yang melenting, ramai lagi yang tidak mungkin terakam ikut merungut dan melenting serupa suara-suara Tok Bedah, Mak Cik Besah, Pak Su Leh, Mat Deris Posmen dan Man Kerani. Malah seluruh rakyat akan meluahkan rasa marah, benci, geram dan sebagainya terhadap tindakan Kerajaan itu. Gula adalah keperluan asas yang diperlukan oleh setiap rakyat. Tentu sekali kenaikan harga gula mulai hari ini akan dirasai oleh seluruh rakyat.

"Aku rasa kenaikan harga gula ni ada kena mengena dengan sambutan ulangtahun UMNO 11 Mei nanti", ujar Pak Ngah Mehat tidak semena-mena. Seluruh mata yang berada di kedai kopi Milah Tembam tertumpu kepada lelaki berusia 68 tahun. Pak Ngah Mehat selamba sahaja menghirup kopi jantan panas yang diletakkan Milah Tembam sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment