Pages

Jun 15, 2009

LUAHAN PERASAAN

SAYA bertemu dengan anak muda ini di kaunter sebuah jabatan Kerajaan. Mula-mulanya dia tidak perasan saya di kaunter sebelahnya kerana dia bersama tiga orang lagi rakannya sibuk berurusan di kaunter bersebelahan. Saya sudah mengecamnya sejak awal lagi tetapi sengaja tidak menegurnya terlebih dahulu.

Selesai berurusan, anak muda itu, biar saya namakan dia B, menoleh ke arah saya di kaunter sebelahnya. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk mengenali saya kerana sememangnya dia mengenali saya sejak dia kanak-kanak lagi. Terus sahaja dia datang kepada saya menghulur tangan bersalaman dan menyapa saya dengan penuh sopan santun. Jika melihatkan tubuh badannya yang sasa dengan fesyen pakaian remaja masa kini, orang tidak kan menjangka begitu bersopannya dia dengan orang tua seperti saya. Sudah tentu anak muda ini mendapat didikan yang sempurna daripada kedua orang tuanya, mungkin itu yang difikirkan sesiapa sahaja yang melihat nilai kesopanan yang ditunjukkan sebentar tadi.

B berbual dengan saya, bertanya khabar anak-anak saya yang hampir sebaya dengannya. Saya juga bertanya khabar tentang dia yang sudah lama saya tidak temui. Juga bertanya tentang ayah dan emak serta adik beradiknya yang lain. Perbualan itu membawa kami hingga ke kantin dan kami duduk untuk memesan minuman.

"Cik Din sihat lagi sekarang ni ya?".

"Alhamdulillah, masih ok lagi la sampai hari ni. Esok lusa tak tau macam mana lagi", saya membalas sebaik kami memesan minuman kepada pelayan kantin itu.

B anak jiran lama saya dahulu sewaktu saya menetap di sebuah taman perumahan tidak jauh dari bandar Alor Setar. Waktu itu B baharu berumur 5 tahun dan dia membesar di persekitaran kawasan perumahan kos rendah bersama anak-anak sebaya dengannya. Dua orang anak saya juga membesar bersama-sama B kerana usia mereka hampir sebaya. Ayahnya adalah kaki tangan sebuah badan berkanun kerajaan yang kini sudah dikorporatkan. Kini ayahnya sudah lama bersara. Manakala emak B seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Pasangan ini mempunyai tiga orang anak lelaki. B adalah anak kedua mereka.

Kehidupan B di zaman awal remajanya diadun dengan kenakalannya yang agak ekstrim. Caci maki menjadi bahasa hariannya bukan sahaja kepada abang dan adiknya, malah kepada emak dan ayahnya sendiri. Tiada hari tanpa maki hamun yang terhambur dari mulutnya. Tetapi yang menghairankan jiran-jiran sekeliling ialah sikap emak dan ayahnya terhadap B. Emaknya tidak pernah berlembut dengannya, jauh sekali memanjainya. Tutur katanya kepada B hanya cacian dan makian sahaja.

Pernah ayahnya mendenda B kerana merokok. Waktu itu B di dalam tingkatan 3 kalau tidak silap saya. Semua jiran tahu bagaimana teruknya B dibelasah ayahnya. Tali pinggang membelit tubuhnya dan selepas itu diikuti pula sesi denda menghisap rokok. Ayahnya memasukkan beberapa batang rokok ke dalam mulut dan memaksa B menghisapnya. B tidak melawan sedikit pun, mungkin dia tahu dia bersalah. Dia menerima deraan itu sehingga mulutnya berbuih dan dia menjadi pening. Malam itu B tidur awal sehingga tengah hari keesokannya baharu dia sedar sepenuhnya. Jiran-jiran tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu adalah urusan ayah dan anaknya sendiri, urusan rumah tangga.

Bukan itu sahaja, setiap kali dia membuat kesalahan, B pasti dibelasah dengan teruk sekali. B tidak cemerlang di dalam peperiksaan. Keputusan PMRnya pun tidak memberangsangkan langsung dan dua tahun kemudian B gagal di dalam semua mata pelajaran SPMnya. Masa depannya amat gelap.

Dia tiada pilihan melainkan mencari pekerjaan yang sesuai dengan tahap pendidikannya. B bekerja di beberapa tempat hingga akhirnya dia bekerja sebagai 'caddie' di sebuah Kelab Golf. B tidak berkira tenaga dan bekerja dengan bersungguh-sungguh. Di Kelab Golf tersebut B memang disenangi oleh kebanyakan pemain golf di situ. B mengambil kesempatan untuk berkenalan dengan ramai pemain golf yang terdiri daripada berbagai jawatan termasuklah ahli-ahli perniagaan.

Semasa dia bekerja B jarang pulang awal ke rumah, paling awal jam 12.00 tengah malam. Tiada siapa yang tahu aktivitinya selepas Kelab Golf itu ditutup operasinya jam 7.00 malam. Ayah dan ibunya juga tidak pernah mengambil tahu ke mana B pergi dan dengan siapa dia berkawan. Bila ditanya, emak atau ayahnya cepat-cepat mengalih topik perbualan seperti tidak mahu bercakap tentang anak kedua mereka itu. Kalau ada yang diceritakannya sekalipun adalah cerita-cerita yang tidak baik tentang B.

Kisah tentang B yang saya dengar sebelum saya berpindah keluar dari taman perumahan itu ialah B mahu belajar dan mengambil SPM secara persendirian. Isteri saya bercerita kepada saya suatu hari dan saya katakan kepadanya, kalau B belajar bersungguh-sungguh tidak mustahil dia boleh berjaya lebih baik daripada abangnya yang kini hanya bekerja di sebuah kilang sahaja.

"Cik Din dengar cerita hang ambil SPM secara persendirian, betul ka?".

"Betul, saya belajar bersendirian. Tidak masuk sekolah mana-mana. Saya daftar di Pejabat Pelajaran dan terus belajar sendiri-sendiri sahaja. Tak ada siapa yang bantu saya. Dan yang paling sedih sekali ayah dan emak sikit pun tak bagi semangat. Duit bantuan untuk beli buku tidak pernah dilanting sesen pun! Saya macam anak terbuang di rumah sendiri". Saya nampak wajah B muram dan ada air bergenang di matanya. Teh di hadapannya masih belum dijamah. "Emak dan ayah memang bencikan saya".

"Tapi hang lulus SPM tu kan?". B mengangguk sahaja sambil menahan sebak yang mula membuak. Dia mengesat matanya yang sudah berair.

"Hang patut bersyukur, hang sedar awal. Lepas tu belajar sungguh-sungguh sampai lulus SPM walaupun tidak belajar di sekolah macam orang lain".

"Saya memang bersyukur cik Din. Sangat-sangat bersyukur bukan sebab ayah dan emak saya yang mengajar saya bersyukur, tetapi orang lain. Orang asing yang bukan darah daging saya".

B ceritakan selepas dia lulus SPM dia dapat kerja di Pulau Pinang dengan sebuah syarikat milik seorang Cina. Hampir dua tahun dia bekerja di Pulau Pinang dengan pendapatan yang cukup menampung keperluannya seorang diri. Selama tempoh itu dia jarang balik ke rumah emak dan ayahnya. Mereka juga tidak pernah menjenguknya walaupun sekali.

Setelah hampir dua tahun bekerja di situ, dia mendapat tawaran bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan tambang murah di Kuala Lumpur. B amat teruja mendapat tawaran kerja tersebut dan dia benar-benar mahu menerima tawaran itu demi untuk mengubah masa depannya. B pulang bertemu ayah dan emaknya membawa berita gembira itu dan mahu berkongsi kegembiraannya dengan kedua orang tuanya. Tetapi B tidak mendapat apa yang diharapkan. Ayah dan emaknya tidak sedikitpun menunjukkan rasa gembira. B kecewa dan terus berangkat ke Kuala Lumpur.

Oleh kerana tiada wang untuk menampung keperluannya di Kuala Lumpur nanti, B berjumpa dengan bekas majikannya di Pulau Pinang dan menceritakan kesusahannya. Dia minta bekas majikannya meminjamkan RM 2,000-00 untuk keperluannya di Kuala Lumpur. Mujurlah atas dasar belas kasihan dan simpati, bekas majikannya itu meminjamkan RM2,000 yang dimintanya.

Di tempat kerja di Kuala Lumpur, sekali lagi dia menebalkan muka berjumpa ketua jabatannya. B ceritakan kisah pedih hidupnya sehingga ketua jabatannya menawarkan B tinggal di rumahnya yang masih belum dihuni tidak jauh dari tempat kerjanya. B memulakan kehidupannya di atas belas kasihan orang lain, bukan emak dan ayahnya sendiri.

"Saya baru 13 hari bertukar kerja di Alor Setar dan tinggal serumah dengan emak dan ayah. Tapi sepanjang 13 hari ini, sekali pun saya tak tengok muka ayah. Tak pernah lagi bercakap dengannya. Sepanjang masa di rumah saya mengunci di dalam bilik sahaja. Bercakap dengan emak jika perlu sahaja".

"Cubalah lupakan semua kisah lama tu. Berbaiklah dengan emak dan ayah. Jangan sekali-kali memarahi atau memusuhi mereka berdua", saya memberi pendapat.

"Tapi cik Din, hati saya memang terlalu sakit. Saya kecewa dengan sikap emak dan ayah. Dulu saya ni macam bukan anak mereka. Tidak langsung keluar dari mulut mereka kata-kata perangsang atau pujukan. Semua hanya cacian dan makian. Saya membesar dengan cacian mereka sahaja. Saya amat kecewa".

Kami berpisah lebih kurang 45 minit kemudian. Saya sekali lagi berpesan kepada B supaya banyak bersabar, berdoa kepada Allah supaya hati emak dan ayahnya berubah. Malah dia sendiri perlu berubah. Tiada siapa yang dapat merubah dirinya melainkan dia sendiri. Saya mendoakan semoga B beroleh ketenangan di dalam hidupnya yang masih jauh ini.

1 comment:

  1. Anak itu adalah amanah dr Allah. Berdosa pada mak ayah yg mengabaikan tanggungjawab mendidik dan memberi kasih syg kepada anaknya. Saya amat bersimpati dgn nasib anak ini. Hargai anak2 dgn memberi kasih syg dan didikan agama secukupnya. Anak yg soleh adalah aset ibu ayah tatkala dlm kubur nanti. Mungkin mak ayah budak ni tak belajar agama kot? Jika zaman Syaidina Umar pastinya ayah budak ini kena sebat dgn Umar kerana menzalimi anaknya.

    ReplyDelete