Pages

Jun 2, 2009

SEPULUH SAHAJA

MENGIKUT laporan yang dibaca di akhbar, dan didengar melalui radio dan ditonton di TV, YAB Timbalan Perdana Menteri @ Menteri Pelajaran mengumumkan mulai tahun 2010, kesemua pelajar yang mengambil peperiksaan SPM hanya dibenarkan mengambil sepuluh mata pelajaran sahaja. Anak lelaki bongsu saya tiba-tiba mengeluh sebab dia tidak boleh mengambil lebih daripada jumlah tersebut pada tahun hadapan.

Sebenarnya dia bercadang untuk mengambil mata pelajaran Bahasa Jepun pada SPMnya tahun hadapan. Dia amat yakin dengan kemampuannya memperolehi A di dalam mata pelajaran tersebut. Dengan pengumuman Menteri itu hasratnya sudah pasti terbantut.

Saya segera menjadi hairan, kenapa Menteri tiba-tiba membangkitkan isu ini. Apakah mengambil lebih daripada sepuluh mata pelajaran membebankan pelajar? Atau merugikan mana-mana pihak? Tidakkah selama ini pun ramai pelajar yang mengambil lebih daripada jumlah tersebut? Tahun lalu, pelajar cemerlang SPM mengambil 20 mata pelajaran dan berjaya kesemuanya! Jadi apa masalahnya?

Jika alasannya untuk mengimbangi peluang mendapat biasiswa sekalipun, tidaklah ada cara lain yang boleh dilakukan? Jika ada pelajar yang dapat A di dalam lebih daripada 10 mata pelajaran, itu tidak bermakna secara automatik dia harus mendapat biasiswa. Bukankah biasiswa itu untuk pelajar cemerlang dari keluarga miskin dan memerlukan? Bukannya pelajar cemerlang dari keluarga golongan hartawan dan jutawan!

Secara logiknya berapa ramai sangatlah para pelajar yang mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran selama ini? Baik di Sek Berasrama Penuh atau MRSM atau sekolah bestari atau sekolah cluster sekalipun, rata-ratanya mengambil paling maksima 10 mata pelajaran sahaja. Mungkin sekolah aliran agama atau sekolah Cina mengambil lebih daripada itu. Jadi saya tidak nampak di mana perlunya dihadkan jumlah sepuluh mata pelajaran sahaja!

Walau apa pun keputusan tetap di tangan Menteri dan jemaah Menteri. Yang sedihnya peluang para pelajar untuk mempelajari lebih daripada sepuluh mata pelajaran akan menguncup meskipun ada cadangan supaya para pelajar terus belajar demi untuk mendapat ilmu, bukan untuk lulus peperiksaan.

Seperkara lagi, kedengaran juga mata pelajaran teras akan dikurangkan daripada jumlahnya sekarang ini. Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Pendidikan Agama Islam/Moral adalah mata pelajaran teras di peringkat SPM pada masa ini. Mata pelajaran manakah yang agaknya akan menjadi korban jika jumlahnya akan dikurangkan? Sejarah atau Pendidikan Agama Islam/Moral?

Sudah tentu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains akan tetap menjadi mata pelajaran teras apatah lagi dasar PPSMI masih diteruskan. Jika itu terjadi, bermakna Sejarah dan PAI/Moral akan diketepikan. Dan jika andaian ini berlaku, suatu petaka akan berlaku sekali lagi sama seperti tahun-tahun 1970-an dahulu apabila Kerajaan membenamkan pelajaran tulisan jawi. Akibatnya 10-20 tahun selepas itu, ramai remaja kita tidak tahu menulis dan membaca jawi yang mengakibatkan terjejasnya pembacaan dan penghayatan terhadap Al-Qur'an.

Malanglah sekali lagi warga tanah air ini yang cintakan agamanya, jika mata pelajaran PAI/Moral tidak menjadi mata pelajaran teras di dalam SPM lagi pada tahun hadapan. 10-20 ke hadapan, bagaimana rupa sikap dan jati diri anak cucu kita nanti?

Sewajarnya pada masa ini Menteri berikan perhatian kepada permohonan rakyat agar PPSMI dimansuhkan, tidak perlulah menimbulkan isu baharu pula.

Jika benar-benar mahu menghadkan 10 mata pelajaran sahaja untuk diambil di dalam SPM 2010, saya ingin mengesyorkan supaya mata pelajaran teras seperti berikut : Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, PAI/Moral, Sejarah dan Sastera & Budaya. Lima mata pelajaran lain bolehleh dipilih daripada mata pelajaran-mata pelajaran sedia ada, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi, Kimia, Perdagangan, Akaun, Kemahiran Hidup, Geografi, Seni Lukis dan sebagainya.

Setuju???
___________________________________________

"Bangunan akan kekal beribu tahun jika asas pembinaannya daripada bahan-bahan yang bermutu, kukuh dan tahan uji. Sama seperti membina sebuah bangsa, asas utamanya ialah pendidikan yang dapat membina jati diri warganya"

2 comments:

  1. Saya amat bersetuju dengan pandangan saudara. Mengehadkan jumlah pengambilan subjek dalam peeperiksaan akan menyebabkan kita memadamkam kebolehan anak-anak bangsa. Dalam hal ini pelajar daripada aliran agama yang akan menjadi mangsa kerana mereka tidak berpeluang mengambil mata pelajaran aliran Sains tulen memandangkan subjek aliran agama dan subjek teras telah menckupi 10 subjek. Pihak penggubal dasar bertindak demikian mungkin kerana bimbang pelajar dari aliran agama terus mengungguli dunia pendidikan negara pada peringkat SPM. Hal ini berlaku kerana dua tahun mutakhir ini pelajar aliran agama yang memperoleh keputusan yang membanggakan dengan 20 subjek lebih mendapat A.
    Pembinaan bangsa akan dapat digapai jika kita tidak mudah melatah.

    ReplyDelete
  2. hasunaosama@ymail.comJune 2, 2009 at 7:55 PM

    Sinar mentari yang dipancarkan untuk insan meredah belantara mencari rezeki telah dihalang oleh awan hitam yang tidak pernah memuntahkan hujan rezeki. Itulah yang akan dihadapi oleh pelajar aliran agama lantaran peluang mereka untuk mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran telah disekat. Di mana rasionalnya, di mana iltizam guru untuk merealisasikan tema hari guru 2009 untuk memacukan negara negara bangsa?

    ReplyDelete