Pages

Jun 13, 2009

PENGALAMAN MENDEWASAKAN DIRI

APA sahaja pengalaman yang kita hadapi atau lalui pasti menyumbang kepada proses mendewasakan diri. Menjadikan kita lebih matang, berkeyakinan dan membuat keputusan dengan berhati-hati. Saya tertarik dengan suatu kisah di dalam putaran roda kehidupan seorang pelajar yang melalui pengalaman paling bermakna di dalam hidupnya. Saya namakan watak tersebut sebagai H.

H mendapat keputusan yang agak baik di dalam peperiksaan SPM tahun 2004 yang lalu. Setelah mengemukakan permohonan kepada UPU, H menerima keputusan yang ditunggu-tunggu itu dengan penuh rasa gembira dan bersyukur. H diterima masuk ke Universiti Teknologi MARA di Shah Alam, Selangor.

Sebagai seorang pelajar yang bercita-cita memasuki universiti sejak kecil lagi, peluang itu kini sudah berada di depan mata. H tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu begitu sahaja. Namun dia amat faham bahawa ibunya sudah tentu tidak dapat menampung perbelanjaan yang diperlukan kerana kemiskinan. Sebagai seorang ibu tunggal, ibu H tidak dapat mencari wang untuk membiayai pengajian H di universiti nanti kerana pendapatan sebagai penoreh getah yang tidak seberapa dan tidak menentu. Tambahan pula di rumah, H ada dua orang adik yang masih belajar. Kakaknya sudah berumah tangga dengan seorang Pekerja Am Rendah di pejabat Kerajaan.

H sudah bertekad untuk menyambung pengajiannya. Dia mahu mengubah nasib keluarganya. Dia tidak mahu ibu dan adik-adiknya terus menerus berada di dalam kemiskinan. Oleh sebab itulah, semasa menunggu keputusan SPM dahulu, H bekerja di sebuah kedai perabut sebagai buruh. Pendapatan yang tidak seberapa itu sudah tentu amat bermakna bagi diri dan keluarganya.

Apabila H menerima keputusan UPU dia cukup gembira dan memberitahu ibunya. Namun ada keluhan terluncur dari mulut ibunya. H faham, ibunya mengeluh kerana tidak dapat menyediakan wang untuk perbelanjaannya di universiti nanti. H berfikir bagaimana untuk mendapatkan wang yang diperlukan. Dia mengambil keputusan untuk bekerja lebih masa dengan harapan mendapat wang yang diperlukan itu.

Dua hari sebelum bertolak, dia memberitahu majikannya dia mahu berhenti kerja kerana melanjutkan pelajaran. Harapannya ialah majikannya akan membayar upah kerja lebih masa yang telah dilakukannya itu. H mencongak secara kasar dia boleh mendapat lebih kurang RM150-00. Tetapi majikannya tidak membayar sesen pun upah kerja lebih masa itu sedangkan gajinya untuk bulan tersebut telahpun dilunaskan terlebih dahulu. H merasa amat sedih diperlakukan sedemikian oleh majikan yang tidak berhati perut.

H berfikir pantas, apakah caranya untuk mendapatkan wang perbelanjaan untuk mendaftar di universiti dua hari sahaja lagi. Dia bergegas ke rumah kakaknya di Butterworth dengan harapan dapat meminjam sedikit wang saku. Tetapi dia merasa hampa kerana kakaknya tidak dapat memenuhi permintaannya. Dia faham, kakaknya hanyalah seorang suri rumah yang tidak berpendapatan, semuanya diharapkan suaminya yang berpendapatan rendah itu.

Namun, abang iparnya seorang yang prihatin dan bertanggung jawab. Dia belikan tiket kereta api untuk H ke Kuala Lumpur. Kemudian dihulurkannya RM20-00 sebagai wang saku. H terima dengan hati terbuka walaupun ada sedikit rasa hampa di sudut hati kecilnya. Dia pulang ke rumah bertemu ibunya dan berharap ibu dapat memberikan sedikit lagi sebagai tambahan wang sakunya. Tetapi ibunya sudah tidak mampu. H tidak dapat berbuat apa-apa.

Hatinya cekal, dia tetap mahu pergi mendaftar diri di universiti. Keesokan harinya dia bertemu guru kaunseling di sekolah, menceritakan keperitan yang dihadapinya. Tetapi H tidak meminta bantuan wang ringgit, cuma dia meminta guru kaunselingnya itu menunjukkan bagaimana dia boleh sampai ke Shah Alam dari Kuala Lumpur. Itu sahaja.

Malam esoknya H bertolak dari stesen kereta api Butterworth ke Kuala Lumpur dengan berbekalkan wang RM20-00 di dalam kocek seluarnya. Dia membawa sebuah beg berisi tiga helai baju dan sehelai seluar selain seluar yang dipakainya itu. Itukah sahaja pakaian yang dia ada. Sepanjang perjalanan dia tidak makan apa-apa kerana mahu berjimat.

Keesokan harinya dia tiba di Kuala Lumpur tanpa tahu bagaimana ke Shah Alam. H teringat pesan guru kaunselingnya kelmarin, jika menaiki teksi belanjanya mesti mahal, tetapi dengan bas harganya lebih murah. H tidak tahu untuk menaikki LRT kerana sebagai budak kampung itulah pertama kali dia menjejakkan kaki ke bandar raya Kuala Lumpur.

Setelah selesai pendaftaran fakulti dan asrama, H menggalas begnya menuju ke asrama yang ditetapkan. Dia bersama tujuh orang pelajar lain di tempatkan di tingkat tiga salah sebuah asrama di dalam kampus. Dia amat bersyukur kerana dia tidak perlu menyewa rumah di luar.

H hidup di kampus sebagai seorang anak kampung, tidak berbelanja besar, tidak berpakaian hebat dan mewah. H hanya meminjam buku-buku rujukan di perpustakaan tanpa membeli buku-buku lain di luar. Dia belajar sama seperti pelajar-pelajar lain di kampus. H menggunakan kemudahan makmal komputer di kampus tanpa membeli laptopnya sendiri. Dia benar-benar menggunakan segala kemudahan yang disediakan oleh pihak universiti untuk para pelajar.

Tiga tahun berselang, H berjaya membawa pulang segulung ijazah. Tiada siapa yang meraikan kejayaannya sewaktu dia naik ke pentas menerima ijazahnya daripada Canselor universiti pada hari Konvokesyen. Dia hanya bersendirian sahaja. Tetapi itulah saat paling manis di dalam hidupnya kerana dia berjaya melepasi segala cabaran dan dugaan sepanjang tempoh pengajiannya.

Dia datang berjumpa guru kaunselingnya sekali lagi dan menceritakan segala keperitan yang dihadapinya. H tidak menggunakan wang RM20-00 yang dibekalkan oleh abang iparnya, kecuali RM 5-00 sahaja untuk tambang bas dan minum pagi semasa pertama kali dia sampai di Kuala Lumpur. Sepanjang dia belajar di universiti, dia hanya makan di dewan makan. Apa sahaja yang dihidangkan dia makan. Itulah sahaja juadahnya setiap kali waktu makan, baik pagi, tengah hari atau malam.

Begitu juga dengan baju dan seluarnya. Hanya tiga helai baju dan dua helai seluar itu sahajalah yang dia ada. Dia akan segera membasuh baju dan seluarnya setiap hari supaya sentiasa bersih walaupun tidak pernah bertukar. H benar-benar belajar daripada pengalaman yang dilaluinya dan kerana itulah dia cepat menjadi matang dan dewasa.

Kini dengar ceritanya H sedang bergelut dengan pengajian peringkat Sarjana. Dia benar-benar mahu menghapuskan stigma kemiskinan daripada melekat pada keluarganya. Dia mahu ibu dan adik-adiknya merasai nikmat kesenangan apabila dia bekerja nanti. Dia juga tidak akan lupa jasa abang iparnya dahulu.

H adalah contoh untuk para pelajar masa kini yang menghadapi masalah sedemikian. H tidak pernah tunduk kepada tekanan kemiskinan, malah berusaha mengatasinya. Berkat kesungguhannya itulah kini H boleh berbangga menjadi orang pertama di kampungnya yang berjaya belajar hingga ke tahap Sarjana.
___________________________________________

"Tiada yang lebih manis selain kejayaan yang diperolehi setelah berjaya mengatasi segala cabaran dan dugaan hidup"

No comments:

Post a Comment