SEJAK akhir-akhir ini boleh dikatakan setiap hari kita didedahkan dengan berita kekejaman yang berlaku di tanah air kita. Jika dua puluh tahun yang lalu, kita tidak kerap mendengar kisah-kisah sedemikian terpampang di media massa, tetapi kini ia sebagai satu wabak yang sedang menular. Kenapa semua ini berlaku?
Apakah ini harga yang perlu dibayar oleh manusia yang semakin menanjak ke era kemodenan sehingga terabai nilai-nilai kemanusiaan?
Kisah yang menggemparkan negara tentang beberapa orang peminjam wang daripada ceti haram yang diculik dan dikurung seperti hamba amatlah memalukan semua pihak. Di manakah nilai kemanusiaan sehingga sanggup diperlakukan terhadap manusia lain seperti seekor haiwan? Mereka dirantai dengan rantai besi seberat 5 kilogram pada tengkok, kaki dan tangan. Hanya dibekalkan sebungkus roti dan sebotol air untuk seminggu lamanya. Ini adalah kekejaman yang berlaku di negara kita.
Semua itu adalah semata-mata kerana wang. Wang sudah mendominasi hidup manusia masa kini sehingga segala nilai-nilai murni dikesampingkan sama sekali. Kekejaman sedemikian bukan hanya dilakukan ke atas peminjam lelaki, malah peminjam wanita juga pernah mengalaminya. Di dalam akhbar Harian Metro Edisi Utara pada hari ini di muka surat 10 turut dipaparkan pengalaman seorang suri rumah yang pernah disumbat ke dalam 'neraka' itu selama tiga hari.
Setelah kisah-kisah kejam sebegini dipaparkan pelbagai pihak masih belum dapat mencari kaedah terbaik untuk membanteras gejala pemberi pinjaman haram ini (ah long). Kumpulan ini seperti tidak menghiraukan sesiapa, malah undang-undang sekalipun, demi menjalankan operasi mereka. Mangsanya ialah para peminjam yang benar-benar memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan.
Patutkah kita menuding jari mencari siapakah yang patut dikambing hitamkan? Sewajarnya kita sama-sama kembali ke pangkal permasalahan mencari jalan dan cara supaya tabiat meminjam wang daripada ahlong tidak diteruskan. Dalam masa yang sama ditingkatkan lagi secara bersungguh-sungguh membanteras kegiatan haram tersebut.
Peminjam wang daripada ahlong kebanyakannya terdiri daripada mereka yang kesempitan wang untuk pelbagai keperluan yang mendesak. Alasan yang kerap didengar ialah untuk mendapatkan pinjaman daripada agensi-agensi yang 'halal' terlalu lambat, melibatkan karenah birokrasi, memerlukan cagaran, penjamin dan sebagainya. Akibatnya mereka yang terdesak itu tiada pilihan lain untuk meminjam daripada ahlong yang tidak perlukan semua ragam birokrasi untuk meluluskan permohonan pinjaman mereka.
Apakah pihak berwajib tidak memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah birokrasi tersebut supaya lebih ramai warga yang memerlukan bantuan kewangan boleh mendapatkannya dengan lebih mudah dan selesa? Jika di Bangladesh pinjaman untuk orang miskin dipelopori oleh Bank Grameen yang banyak membantu golongan tersebut mengubah kehidupan mereka, kenapa tidak boleh berlaku di Malaysia?
Mengikut laporan, Bank Grameen telah meluluskan pinjaman RM21 billion sehingga kini yang mana 97% daripada peminjamnya adalah golongan termiskin dari 70,000 desa di seluruh Bangladesh!
Kini di negara kita sudah ada beberapa agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Yayasan Tekun Malaysia (Tekun), namun kedua-dua agensi ini masih belum berjaya menandingi ahlong-ahlong yang berleluasa mencari pelanggan mereka.
Kini wajarlah, pihak berwajib di peringkat teratas merenung kembali dan menggubal dasar yang lebih komprehensif untuk benar-benar membantu golongan termiskin dan tidak berkemampuan di dalam negara kita supaya dapat meneruskan kehidupan mereka dengan lebih terjamin.
Mungkin mulai sekarang AIM dan Tekun dapat memperbanyakkan iklan-iklan mereka dan lekatkan di merata-merata tempat supaya lebih mudah golongan yang memerlukan berurusan dengan agensi tersebut. Pihak berkuasa tempatan perlu mencegah secara tuntas iklan-iklan para ahlong yang bersepah di seluruh kawasan. Jangan dibenarkan sama sekali sebarang iklan atau pelekat tentang pinjaman wang oleh ahlong dipasang dan dilekatkan di mana-mana di dalam bandar-bandar kita.
Akhbar-akhbar juga jangan lagi memberi ruang kepada golongan ini membuat iklan mereka. Yang sudah itu sudahlah. Jangan dibajailah nilai-nilai kekejaman untuk terus tumbuh dan membesar di negara kita. Sebaliknya sama-sama kita tanam nilai-nilai murni yang harus diamalkan bersama perlu dihebahkan seluas-luasnya.
_____________________________________________
"Dengan mengamalkan nilai-nilai mulia akan dapat menghindarkan kekejaman sesama manusia"
No comments:
Post a Comment