Pages

Oct 25, 2010

WAJIB LULUS SEJARAH MULAI SPM 2013

TERSENYUM aku menatap tajuk akhbar Mingguan Malaysia 24 Oktober 2010. Hati kecilku berbisik, "akhirnya Kerajaan bersetuju dengan pendapat aku".

Aku pernah menyuarakan pendapat suatu waktu dahulu ketika heboh tentang PPSMI. Aku menentang mata pelajaran Matematik dan Sains diajar menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi aku menyokong sekiranya bahasa Inggeris itu diajar secara lengkapnya melalui mata pelajaran Bahasa dan Sastera Inggeris (English Language & Literature) di sekolah-sekolah.

Tetapi aku mencadangkan bagi memantapkan lagi semangat patriotik di kalangan remaja di negara kita, Kerajaan mesti mewajibkan tiga mata pelajaran, yang mana sekiranya pelajar gagal salah satu daripadanya mereka dikira gagal di dalam SPM mereka. Tiga mata pelajaran tersebut adalah tambahan kepada mata-mata pelajaran wajib sedia ada seperti, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan lain-lain. Aku menyarankan tiga mata pelajaran wajib tambahan tersebut ialah Sejarah, Sastera dan Pendidikan Agama Islam/Moral.

Rasionalnya, remaja masa kini sudah tidak lagi mengenal sejarah bangsanya sendiri. Mereka sudah jauh dihanyutkan oleh berbagai bidang pendidikan yang tidak berteraskan jati diri bangsa Melayu. Lalu remaja kita sudah tidak dapat membezakan yang mana sejarah bangsa yang sebenar dengan sejarah bangsa yang dipinjamkan dari sejarah-sejarah lain. Mereka perlu dikembalikan kepada akar sejarah bangsa yang sebenarnya, sejarah yang menjadi tulang belakang dan tonggak kekuatan bangsa.

Pendidikan Agama Islam pula adalah asas kepada pegangan dan kepercayaan yang utuh yang perlu ada di dalam jiwa setiap remaja supaya dengan itu akidah mereka tidak tergelincir dari landasan sebenarnya. Ajaran agama yang berteraskan Al-Qur'an serta Sunnah Rasulullah s.a.w perlu diterapkan ke dalam jiwa setiap remaja mulai di peringkat persekolahan lagi. Jika pegangan ajaran agama mendarah daging di dalam diri mereka, sudah tentu mereka lebih bijak membuat keputusan dan mencatur kehidupan masa depan mereka supaya tidak terpesong atau dipesongkan oleh anasir-anasir jahat. Bagi remaja bukan Islam pula, mereka perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni yang boleh membina sahsiah diri yang lebih baik. Menghormati kepercayaan dan adat resam orang Islam di negara ini sekaligus akan mengelak sebarang prasangka di kalangan rakyat.

Pelajaran Sastera juga amat penting kerana melaluinya banyak pengajaran yang dapat dikutip untuk dijadikan sendi kehidupan masa hadapan remaja sekalian. Pelajaran sastera akan mengungkap nilai-nilai murni yang diamalkan masyarakat silam yang dizahirkan melalui ungkapan-ungkapan puitis mereka. Di dalam sastera banyak terkandung nasihat dan pedoman yang boleh dijadikan asas membina kehidupan, mengajar remaja berfikir secara kritis dan kreatif untuk menyelesaikan permasaalahan di samping mendidik mereka sifat-sifat luhur yang selari dengan ajaran agama.

Aku rasa Kerajaan masih belum terlewat untuk menjadikan ketiga-tiga mata pelajaran tersebut sebagai mata pelajaran wajib di dalam peperiksaan SPM 2013 nanti. Janganlah apabila keadaan menjadi semakin parah barulah mahu berubah. Sebaik-baiknya mulai dari sekarang, atau secepat mungkin, ketiga-tiga mata pelajaran tersebut diwajibkan supaya parah yang dirasai kini dapat diubati dengan sesegera mungkin. Janganlah ditunggu sehingga nasi menjadi bubur kerana tidak mungkin bubur bertukar menjadi nasi semula.

Kepada penggubal dasar di peringkat Kementerian Pelajaran, aku sarankan supaya anda semua segera memikirkan dengan lebih serius terhadap cadangan aku yang kerdil ini.

____________________________________________________________

"Sejarah adalah pengalaman. Sastera membentuk jati diri bangsa. Agama penegak keutuhan iman"
____________________________________________________________

Oct 3, 2010

BENGKEL APRESIASI PUISI LANGKAWI 2010

JAM 7.30 pagi aku tersedar selepas tidur semula sebaik selesai solat subuh jam 6.30 tadi. Bergegas ke bilik air, gosok gigi dan terus mandi. Kemudian bersiap-siap untuk ke tempat bengkel diadakan. Tidak lama kemudian, telefon tanganku bergegar, ada panggilan. Aku kenal pemanggilnya, cikgu Bahari.

"Saya pi ambil abang Din di hotel jam 8.20 sat lagi", suara cikgu Bahari jelas kedengaran di hujung talian. Aku bersetuju. Cikgu Bahari adalah fasilitator PPSB yang bersama-samaku dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mengendalikan Program Penghayatan Sastera dan Budaya di kem-kem PLKN. Memang kami sudah saling kenal mengenali sejak tahun 2009 dahulu lagi.

Tepat 8.30 pagi aku dan cikgu Bahari tiba di Sekolah Menengah Mahsuri. Aku dibawa ke kantin untuk bersarapan. Nasi ayam lagi!. Kemudiannya tepat 9.00 pagi aku dibawa cikgu Bahari ke Dewan Pandak Mayah, Sekolah Menengah Mahsuri untuk memulakan acara bengkel tersebut.

Sewaktu aku tiba, para peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar beberapa buah sekolah menengah di sekitar Langkawi sudah memenuhi separuh dewan. Beberapa orang guru juga berada di dalam dewan itu. Cikgu Hizam diperkenalkan kepada aku oleh cikgu Bahari. Beliau adalah guru yang bertanggung jawab mengendalikan program pada hari ini dengan mendapat kerja sama DBP Wilayah Utara.

Selepas ucapan aluan oleh cikgu Bahari selaku Guru Kanan Bahasa di SMK Mahsuri, aku dijemput memulakan bengkel.

Di hadapanku 120 orang pelajar yang sedang menanti untuk aku luahkan pengalamanku. Aku bahagikan bengkel tersebut kepada dua bahagian. Pertama tentang teknik penulisan puisi dan kedua tentang apresiasi puisi melalui deklamasi.

Pada peringkat awal nampak seperti aku keseorangan di dalam dewan yang luas itu. Para pelajar seperti tidak dapat mengikuti ceramah yang aku sampaikan. Mereka seperti takut-takut dan tidak membuka minda menerima penerangan yang aku sampaikan itu. Namun perlahan-lahan setelah beberapa ketika, aku dapat kesan mereka sudah dapat menerimanya. Syukurlah.

Selepas satu jam berceramah, aku pecahkan para peserta ke dalam 10 kumpulan kecil seramai 10 - 12 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar mewakili berbagai sekolah. Tugas ini aku serahkan kepada cikgu Hizam, ketua urusetia bengkel. Tugasan yang aku berikan ialah setiap peserta dikehendaki menghasilkan sebuah puisi.

Selesai rehat dan minum ringan, bengkel diteruskan jam 11.00 pagi dengan bahagian kedua iaitu apresiasi puisi melalui deklamasi. Sekali lagi aku persembahkan kepada para peserta perkara-perkara penting untuk mendeklamasikan sesebuah puisi. Beberapa contoh aku sampaikan termasuk juga teknik pengawalan pernafasan yang betul supaya tekanan suara menjadi lebih menarik. Para peserta memberikan perhatian dan melibatkan diri sepenuhnya pada peringkat ini.

Kemudiannya, setiap kumpulan dikehendaki berbincang sesama ahli kumpulan untuk merangka satu persembahan berdasarkan puisi yang telah mereka hasilkan sebelum itu. Perbincangan itu berjalan sehingga waktu rehat dan diteruskan sehingga jam 3.00 petang. Komitmen yang ditunjukkan amat memberangsangkan dengan turut disertai oleh guru-guru yang terlibat.

Mulai jam 3.30 petang, persembahan kumpulan dimulakan. Pengacara majlis mempersilakan setiap kumpulan membuat persembahan masing-masing. Memang di luar dugaan aku sama sekali. Para peserta yang pada awalnya agak kurang berminat, tetapi apabila diberi peluang naik ke pentas sikap mereka berubah. Mereka cuba memberikan persembahan yang terbaik.

Pada jam lebih kurang 3.45 petang, Tuan Hj Marzukhi Hj Daud, Timbalan PPD Langkawi tiba untuk majlis penutup program. Beliau di dalam ucapannya selepas itu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kerana DBPWU telah sudi bekerja sama untuk menjadikan bengkel pada hari ini suatu kenyataan.

Akhir sekali aku ucapkan jutaan terima kasih kepada DBP Wilayah Utara, PPD Langkawi, Pengetua dan guru-guru SMK Mahsuri dan seluruh AJK yang telibat kerana telah memberikan peluang kepada aku untuk menyampai ceramah dan membimbing bengkel yang dijalankan. Paling tidak lupa ucapan terima kasih tidak terhingga kepada para peserta bengkel yang telah mengikutinya dengan sabar dan penuh komitmen. Semoga anda semua diberi kejayaan di dalam kehidupan oleh Allah s.w.t.

Semoga ada lagi pertemuan selepas ini.

Oct 2, 2010

DI SEBUAH HOTEL BAHARU DI LANGKAWI

TEPAT jam 7.15 malam 29 September 2010 aku tiba di jeti Kuah, Langkawi setelah hampir dua jam merentasi lautan dari jeti Kuala Kedah. Sudah agak lama aku tidak mengunjungi Langkawi, Pulau Seri Negeri, Pulau Lagenda Mahsuri. Dari jeti aku terus ke tempat penginapan yang sudah ditempah awal oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara untuk aku sebagai penceramah jemputan bagi mengendalikan Bengkel Apresiasi Puisi Langkawi 2010 yang bakal berlangsung keesokkannya.

Oleh kerana sudah masuk waktu maghrib, aku bergegas ke kaunter teksi. Seorang pemandu dengan pakaian seragam berbaju putih berseluar warna gelap, sudah siap menanti. Aku mengikutinya ke tempat letak kereta dan terus masuk ke dalam perut teksinya. Destinasi aku ialah ke MyHotel.

"Hotel ni hotel baru", jelas pemandu teksi berusia hampir sebaya dengan aku apabila aku bertanya tentang hotel tersebut.

"Patutlah saya tak dapat bayangkan di mana letaknya hotel tu", aku memberitahunya.

Tidak sampai 10 minit teksi itu sampai ke halaman MyHotel. Sebuah bangunan baru setinggi 13 tingkat terletak di tengah pekan Kuah bersebelah hotel Baron. Bangunannya tidaklah seindah mana dari segi reka bentuk dan nilai estetikanya. Dari luar tiada ada apa yang istimewa tentang bangunannya.

Aku terus mendaftar dan diberikan bilik 913 terletak di tingkat 9.

"Ada kemudahan internet dak di hotel ni?", aku bertanya kepada staf di kaunter. Dia mengaku ada kemudahan itu dan memberitahu tidak perlukan password untuk login. Sewaktu aku memasuki bilik 913 itu aku dapati bilik itu agak luas daripada kebanyak hotel yang pernah aku huni sebelum ini. Sebuah katil besar di tengahnya dengan meja tulis, televisyen, meja sisi dan sebuah kerusi tersusun kemas. Di antara katil dan tingkap gelungsur masih ada ruang untuk sebuah katil. Aku mengagak, bilik itu agak selesa untuk dihuni sebuah keluarga seramai enam orang. Lantainya tidak berkarpet, tetapi dipasang dengan tiles berwarna putih berlorek-lorek. Sejuk tapak kaki bila lama memijak lantai. Bagi orang-orang yang berumur dan ada masalah kesihatan, lantai sebegini tentulah kurang sesuai.

Setelah mengamati seluruh bilik itu termasuk bilik airnya, mataku segera melilau mencari soket punca elektrik di dinding. Cuma ada tiga sahaja, satu di tepi meja tulis, satu di tempat memasak air dan satu lagi di bawah meja TV. Aku amat-amatinya berkali-kali.

"Cisss....apa pasal macam ni?", aku melepaskan rasa kecewa yang segera mematikan rasa seronok sewaktu mula-mula memasuki bilik itu sebentar tadi. Aku segera ke meja telefon, mengangkat gagangnya dan menekan butang 1. Suara telefonis kedengaran dari hujung sana. "Boleh saya bantu, encik?".

"Di hotel ini tak ada plug jenis yang diluluskan SIRIM ka? Saya tengok semuanya seperti plug di Thailand saja?. Boleh tak you hantarkan satu plug buatan Malaysia kat saya?".

Panas betul rasanya hati. Hotel di Malaysia tidak menggunakan perkakasan elektrik yang diluluskan SIRIM? Kenapa pihak berkuasa meluluskan penggunaannya? Hatiku makin membara. Tidak lama kemudian pintu bilik diketuk seseorang dari luar. Pantas aku membukanya, seorang lelaki muda berpakaian seragam tercegat di muka pintu. "Apa masalah dengan plug di bilik ni, encik?"

Aku menunjukkan plug yang ada di dalam bilik tersebut sambil menunjukkan juga 3-pin plug yang aku maksudkan. "Saya nak yang macam ni. Kalau yang macam tu, macam mana saya nak guna komputer saya?".

Pemuda tersebut dengan suara tenang memberitahu, "Hotel ni baru siap saja, encik. Alas lapiknya tak dibuka lagi". Sambil mengeluarkan sesuatu dari dalam poket seluarnya dia mencungkil plug di tepi dinding itu. "Ha, ni dah boleh guna, encik".

Sambil mengucapkan terima kasih kepada pemuda itu aku menahan rasa malu kerana tidak usul periksa terlebih dahulu sebelum membuat aduan tadi. Selepas menutup pintu dan mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada pemuda itu, aku ketawa sendirian. Kemudian baharulah aku menunaikan solat maghrib.

Dari tingkap bilik di tingkat 9, aku melihat wajah pekan Kuah yang semakin suram diselimuti waktu maghrib yang semakin lewat. Di jalan berhadapan hotel ada pasar malam, orang ramai sudah lama memenuhi kawasan berjualan di situ. Aku turun dan berjalan ke pasar malam itu, sambil mencari sesuatu untuk makan malamku. Dari satu gerai ke satu gerai, aku hanya berjalan tanpa ada sesuatu yang menarik perhatian. Kelihatan orang ramai, rasanya orang tempatan, mundar mandir sambil membeli keperluan masing-masing. Terlihat juga beberapa orang pelancong asing ikut serta memeriahkan suasana pasar malam tersebut. Namun, pasar malam itu tidaklah ramai pengunjungnya. Akhirnya aku membeli sebungkus nasi ayam berharga RM4.50 dan beredar pulang ke hotel yang terletak hanya 150 meter sahaja daripada pasar malam tersebut.

Aku tidak pasti berapa ramai penghuni hotel pada malam itu. Di kawasan letak kereta di hadapan hotel hanya terdapat 5 buah kereta sahaja. Adakah kereta-kereta penghuni atau pun kereta-kereta kakitangan hotel?. Aku tidak tahu, tetapi yang pastinya tidak kelihatan penghuni-penghuni lain di kawasan lobi. Aku juga tidak terserempak dengan sesiapa pun di dalam lif.

Selesai makan malam dan solat isyak, aku membuka komputer ribaku. Memasang kabelnya ke plug dan mahu memulakan kerjaku. Ada yang perlu aku tokok tambah kepada bahan ceramahku esok hari. Niat di hati mahu mencari bahan-bahan tersebut melalui internet. Aku mahu menambah unsur-unsur muzik dan animasi di dalam persembahanku esok supaya lebih menarik.

Ada signal capaian internet. Tetapi malangnya aku tidak dapat langsung melayari internet hingga jam 2.30 pagi. Hairan, kenapa terjadi begitu? Sepatutnya jika ada signal, mudah sahaja untuk melayari internet. Bukan malam itu sahaja, malam esoknya juga aku tidak dapat melayarinya lagi. Malang sungguh rasanya. Hotel yang baharu siap, tetapi kemudahan capaian internet terlalu lemah. Mungkin jika ada kesempatan lagi ke Langkawi, hotel ini bukanlah pilihanku.

Persembahan ceramahku tiada unsur muzik dan animasi seperti hajat awalku. Aku mematikan komputer dan TV tepat jam 2.30 pagi.

Sep 16, 2010

SELAMAT HARI MALAYSIA

HARI ini 16 September 2010 telah diproklamasikan sebagai Hari Malaysia, hari memperingati tertubuhnya negara Malaysia yang menggabungkan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak di kepulauan Borneo. Hari ini 47 tahun yang lalu penubuhan itu telah dimeterikan. Sehubungan dengan itu mulai tahun 2010 ini, 16 September telah diisytiharkan sebagai cuti umum di seluruh Malaysia. Hari ini adalah pertama kalinya sambutan Hari Malaysia diadakan.

Berbeza dengan 31 Ogos yang disambut saban tahun sebagai Hari Kebangsaan (dulunya dikenali sebagai Hari Kemerdekaan) yang memperingati peristiwa bersejarah Persekutuan Tanah Melayu bebas daripada penjajahan British. Tidak lama selepas itu Persekutuan Tanah Melayu dikenali sebagai Malaya.

Langkah awal penubuhan Malaysia bermula dalam tahun 1961 apabila Tunku Abdul Rahman mengusulkan gagasan pembentukan sebuah persekutuan yang lebih luas merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Cadangan tersebut mendapat sokongan padu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Rakyat di Sabah dan Sarawak walau bagaimanapun kurang bersetuju dan curiga dengan gagasan berkenaan. Manakala Filipina dan Indonesia menyanggah cadangan tersebut.

Sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan pada 1962 dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold yang dipertanggung jawabkan untuk membuat penyelidikan di seluruh Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan pandangan rakyat berhubung dengan gagasan penubuhan Malaysia. Meskipun mendapat tentangan yang kuat daripada Filipina dan Indonesia, Suruhanjaya Cobbold telah melaporkan bahawa majoriti rakyat di Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bergabung di bawah sebuah persekutuan iaitu Malaysia. Pada tahun 1963 satu misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula telah dihantar ke Sabah dan Sarawak untuk mempastikan laporan Suruhanjaya Cobbold. Misi PBB tersebut akhirnya mendapati laporan tersebut adalah benar malah misi berkenaan juga mendapati cadangan penubuhan Malaysia diterima secara menyeluruh oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

Lalu pada 16 September 1963 dengan secara rasminya terbentuklah sebuah negara Malaysia yang meliputi Persekutan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Walaubagaimana pun, Brunei telah menolak dan tidak menyertai persekutuan tersebut. Namun, pada tahun 1965 Singapura telah menarik diri dan keluar daripada Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang merdeka secara bersendirian.

SELAMAT HARI MALAYSIA dengan iringan doa semoga kekallah sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, seluruh rakyatnya bersatu padu dengan semangat kekitaan yang utuh demi untuk kesejahteraan dan keharmonian bersama buat selama-lamanya.

Sep 8, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI LEBARAN

AIDILFITRI akan tiba dua hari lagi. Insya Allah, Jumaat 10 September umat Islam akan menyambut serta merayakan Aidilfitri, sebagai tanda berakhirnya Ramadhan. Seluruh umat Islam di seluruh dunia pasti akan merayakan ketibaan hari penuh bermakna itu.

Setelah sebulan menjalani ibadah puasa yang diwajibkan, umat Islam akan merayakan ketibaan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan mengikut kemampuan masing-masing. Mereka yang berada dan kaya akan menyambut mengikut skala kemampuan mereka dengan pelbagai juadah di sediakan serta pakaian serba baharu, cantik serta bergaya. Bagi yang kurang berada pula akan menyambutnya dengan kadar kemampuan mereka, dengan juadah serta pakaian semampu yang dapat disediakan.

Tetapi bagi golongan miskin serta tidak berkemampuan, sambutan hari raya bagi mereka tidak banyak bezanya dengan hari-hari biasa. Mereka akan beraya ala kadar sahaja, kemungkinan dengan mengenakan pakaian tahun lepas ataupun pakaian terpakai yang disedekahkan orang kepada mereka. Juadah makanan sudah pasti tidak sehebat golongan kaya dan berada. Semuanya hanya ikut apa yang termampu sahaja.

Begitulah keadaan umat Islam yang akan menyambut ketibaan Syawal nanti. Berbeza cara mengikut perbezaan tahap sosio ekonomi masing-masing. Penghuni bandaraya yang mewah akan berbelanja untuk menyambut Syawal dengan bangga sekali. Manakala penghuni bandaraya yang daif dan miskin akan menyambut seadanya. Begitu juga warga desa akan menyambut hari raya dengan cara dan kemampuan mereka sendiri.

Di dalam suasana meriah menyambut detik kemenangan itu, marilah sama-sama kita melihat bagaimana sepatutnya kita menyambut ketibaan Syawal nanti. Sebaik sahaja terbenam matahari akhir Ramadhan, umat Islam digalakkan bertakbir, bertasbih dan bertahmid, iaitu memuji kebesaran dan keagungan Allah s.w.t yang telah mencucuri rahmat yang tidak terhingga banyaknya kepada kita di dunia ini. Itulah suatu penyataan yang perlu dizahirkan sepanjang malam 1 Syawal nanti.

Pada masa yang sama, elaklah daripada melakukan perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama pada malam itu nanti. Tidak perlulah melakukan perkara-perkara negatif atau meniru cara sambutan perayaan kaum serta agama lain kerana menyambut Syawal adalah ibadah. Tuntutan agama wajar didahulukan dan diutamakan.

Ketibaan Aidilfitri adalah masa yang amat sesuai untuk menghubungkan semula jalinan silaturrahmi dengan cara bermaaf-maafan sesama ahli keluarga, sahabat handai, rakan taulan serta seluruh umat Muslimin. Anak-anak perlu memohon kemaafan daripada kedua ibu bapa, adik-adik dengan abang serta kakak. Ahli keluarga yang muda memohon maaf daripada ahli keluarga yang lebih tua. Sesama sahabat pun begitu juga. Di tempat kerja pun seharusnya diamalkan, kaki tangan memohon maaf daripada ketua masing-masing.

Hikmah yang besar melalui bermaaf-maafan itu akan dapat melenyapkan segala rasa tidak senang yang timbul di hati masing-masing. Dengan cara itu secara tidak langsung akan mengeratkan kembali perhubungan kedua-dua insan tersebut, sama ada suami dan isteri, anak-anak dan ibu bapa, sahabat dan sahabat ataupun kakitangan dengan ketua mereka. Alangkah indahnya jika silaturrahmi itu kekal sepanjang masa tanpa ada sebarang rasa kurang senang di antara satu sama lain. Oleh itu Islam menggalakkan umatnya melawat dan mengunjungi kaum keluarga dan sahabat handai sempena Syawal ini supaya dapat bermaaf-maafan sesama mereka.

Selain itu menziarahi pusara kaum keluarga yang telah dahulu kembali menemui Allah s.w.t juga digalakkan. Di perkuburan nanti, digalakkan kita membaca doa khusus untuk arwah-arwah dengan harapan akan membantu roh-roh mereka di alam barzakh. Di samping itu dengan mengunjungi pusara akan menimbulkan kesedaran bahawa setiap yang hidup akan menemui kematian supaya dengan itu yang masih hidup ini akan sentiasa berusaha meningkatkan lagi kualiti ibadah kepada Allah s.w.t.

Namun ada pendapat yang mengatakan menziarah pusara adalah haram bagi kaum wanita tetapi ada juga pendapat yang mengatakan harus, yakni boleh tetapi tidak digalakkan. Jika kaum wanita menziarahi pusara mereka perlulah menjaga adab-adab dengan sewajarnya.

Amalan bersedekah juga amat digalakkan sepanjang menyambut Aidilfitri. Memberi sedekah kepada orang-orang miskin supaya mereka juga dapat sama-sama menikmati sambutan Aidilfitri adalah amalan yang mulia. Dengan itu golongan yang miskin dan tidak berada itu akan tidak merasa tersisih atau ditinggalkan oleh golongan masyarakat yang kaya dan berada. Oleh itu marilah sama-sama kita bersedekah mengikut kemampuan masing-masing.

Namun di dalam kita ghairah menyambut ketibaan Syawal, jangan lupa satu lagi tanggung jawab yang wajib ditunaikan, iaitu membayar zakat fitrah. Zakat fitrah wajib ditunaikan sebelum solat sunat Aidilfitri dimulakan. Ia diwajibkan ke atas semua individu sama ada tua atau muda, lelaki atau perempuan, dewasa atau kanak-kanak yang hidup sebelum berakhirnya Ramadhan. Membayar zakat fitrah ini adalah tanggung jawab yang wajib ditunaikan. Janganlah kerana terlalu ghairah membuat persiapan menyambut raya sehingga terlupa membayar zakat fitrah.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita menyambut ketibaan Syawal nanti dengan cara yang diizinkan serta digalakkan oleh ajaran agama supaya sambutan itu nanti dikira sebagai ibadah oleh Allah s.w.t. Janganlah kita menyambutnya mengikut adat atau budaya yang tidak termasuk di dalam ajaran agama apatah lagi menyambutnya dengan mengikut cara ajaran agama lain.

Semoga Aidilfitri kali ini menjadikan kita lebih hampir kepada keampunan Allah s.w.t.

Aug 31, 2010

MERDEKA : MAKNA, PENGHAYATAN DAN SAMBUTAN

HARI ini, 31 Ogos. Hari ulang tahun kemerdekaan negara. Hari yang disambut setiap tahun dengan berbagai acara. Sambutan sebagai mengenang kemerdekaan yang dicapai 53 tahun lalu. Saban tahun tarikh ini pasti tidak akan dilupai.

Tahun ini sama seperti tahun-tahun sebelumnya, ulang tahun kemerdekaan negara tetap disambut. Meskipun dalam bulan Ramdhan, sambutannya tidak dibatalkan. Cuma, skala sambutannya sahaja yang dikecilkan.

Namun, apabila memperkatakan tentang kemerdekaan, tidak dapat tidak kita pasti akan menyentuh tentang makna kemerdekaan serta penghayatan kemerdekaan. Dua perkara yang perlu diperjelaskan dengan secara mendalam. Kedua-duanya amat penting kepada warga negara merdeka ini.

Seluruh warga negara, khususnya para remaja dan generasi muda masa kini amat perlu memahani makna merdeka. Mereka tidak boleh ambil ringan untuk memahaminya. Mereka perlu faham dengan sebenar-benarnya apakah yang dimaksudkan merdeka bagi sebuah bangsa dan sebuah negara seperti Malaysia. Jika tidak mereka tidak mungkin akan dapat menghayati kemerdekaan yang dinikmati ini.

Di dalam perutusan Hari Kemerdekaan Ke-53, Perdana Menteri mengungkapkan: "Segala yang kita capai, segala apa yang kita bina dan segala apa yang kita hargai boleh hancur berkecai dan musnah dalam sekelip mata. Oleh itu, kita perlu menghargai keamanan, keharmonian dan kestabilan yang ada".

Dari petikan ucapan itu, Perdana Menteri menyatakan kerisauannya jika segala yang telah dibina oleh generasi silam tidak dipelihara oleh generasi masa kini, akan mengakibatkan kehancuran kepada bangsa ini. Alangkah ruginya bangsa kita jika keadaan sedemikian berlaku.

Walau bagaimanapun, kita perlu bertanya secara jujur, apakah generasi masa kini benar-benar mengerti makna kemerdekaan itu sebenarnya? Apakah mereka benar-benar tahu susah payah generasi silam memperjuangkan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini?

Sejak kebelakangan ini ada suara-suara risau kedengaran di sana sini bahawa semangat patriotik di jiwa remaja dan generasi masa kini semakin menipis. Generasi masa kini tidak kuat semangat cintakan negara dan bangsa sendiri. Mereka seakan hilang jati diri sebagai anak Malaysia yang sudah menikmati kemerdekaan selama 53 tahun!

Kenapa hal ini terjadi? Bukankah ada kata pujangga yang menyebut: "Remaja hari ini adalah pemimpin masa hadapan". Jika remaja hari ini tidak punya jati diri yang teguh, kukuh dan ampuh, bayangkan apa akan terjadi kepada bangsa dan tanah air kita dua puluh tahun atau lima puluh tahun atau seratus tahun akan datang?

Remaja kita pada hari ini tidak didedahkan kepada sejarah tanah air dan bangsa sendiri. Tidak ramai yang mengetahui salur galur sejarah bangsa yang menjadi teras perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Tanyalah kepada anak-anak sekolah, berapa ramai yang tahu siapa itu Mat Kilau, Dato' Bahaman, Tok Janggut dan ratusan malah ribuan lagi pejuangan bangsa zaman silam.

Malah, jangan terkejut jika ada di kalangan pelajar sekolah atau pelajar IPT yang tidak tahu siapa itu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Dr Ismail dan pemimpin-pemimpin seangkatan dan sezaman mereka itu. Ada juga di antara pelajar yang tidak dapat menyebut nama-nama pemimpin itu dengan tepat dan betul. Apatah lagi di kalangan para pelajar itu yang tidak tahu sejarah perjuangan dan sumbangan mereka itu kepada kemerdekaan Malaysia. Ini amat memalukan dan memilukan!

Lantas bagaimana dapat dipastikan lima puluh tahun akan datang, semangat patriotik di jiwa warga Malaysia akan kekal seutuh semangat generasi 50-an atau 60-an dahulu? Jika sejarah tidak disuburkan dan dititikberatkan, mana mungkin semangat patriotik dapat dipupuk dan disebarluaskan di kalangan warga negara?

Kata seorang tokoh sejarah Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, "untuk menghayati kemerdekaan generasi muda perlu faham mengenai sejarah negara, kedudukan diri sendiri, negara, masyarakat, rantau dan dunia. Mereka tidak harus ikut arus permodenan semata-mata sebaliknya perlu tahu bagaimana kita sampai kepada keadaan sekarang. Mereka perlu faham sejarah Malaysia kerana daripada situlah mereka tentu akan sayangkan negara".

Benar, sejarah itu amat penting dalam membentuk jati diri dan perpaduan bagi melahirkan masyarakat sejahtera dan sayangkan negara. Jika sejarah disisihkan daripada diajar dan dipelajari, percayalah jiwa warga sukar dibentuk untuk sayangkan bangsa dan negara! Padahnya warga akan hilang rasa patriotik!

Aug 29, 2010

MEMASUKI FASA KETIGA RAMADHAN

MULAI esok kita akan memasuki fasa ketiga Ramadhan tahun ini. Esok adalah hari ke-20 kita menjalani ibadah puasa pada tahun ini. Ini bermakna kita akan memasuki 10 hari terakhir bulan Ramadhan kali ini, untuk menuju ke akhirnya apabila Syawal menjelma.

Sepuluh hari akhir Ramadhan adalah hari-hari yang menjanjikan pengampunan oleh Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya yang melakukan ibadat dengan penuh keikhlasan. Oleh kerana itulah Allah s.a.w telah menyediakan satu malam yang paling istimewa iaitu Lailatul Qadar.

Walaupun Lailatul Qadar itu boleh berlaku bila-bila masa sepanjang Ramadhan kerana itu adalah hak Allah s.a.w untuk menganugerahkannya, namun sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. "Carilah Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam terakhir Ramadhan, iaitu pada malam ghasal". Oleh kerana sayangnya Rasulullah s.a.w kepada ummatnya, baginda menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam-malam ganjil, malam 21 atau 23 atau 25 atau 27 atau 29. Malah Rasulullah s.a.w juga mengatakan lazimnya ia berlaku pada malam 27 Ramadhan.

Rahsia berlakunya Lailatul Qadar tidak didedahkan secara jelas kepada manusia semata-mata kerana Allah s.w.t mahu supaya umat Islam sentiasa berlumba-lumba mengerjakan amalan sehingga akhir Ramadhan. Justeru barang siapa yang melakukan amal ibadat pada malam Lailatul Qadar, pahalanya adalah menyamai pahala seribu bulan! Masya Allah, hebatnya Kemurahan Allah s.w.t yang dicurahkan kepada hamba-hamba-Nya yang sentiasa berusaha mencari keredhaan-Nya.

Walau bagaimanapun, sering terjadi di kalangan umat Islam (Melayu) di Malaysia pada sepuluh hari terakhir Ramadhan masjid-masjid atau surau-surau yang pada awal Ramadhan melimpah-limpah dikunjungi para jemaah, akan beransur kurang bilangan jemaahnya. Ramai yang sudah mula tidak mengunjugi masjid atau surau untuk solat tarawih. Masjid dan surau mula terasa lengang, daripada berpuluh-puluh saf yang panjang kini beransur pendek dan berkurangan, baik jemaah lelaki mahupun jemaah wanita. Tak usahlah kita tanya kenapa terjadi begitu. Tentulah berbagai jawapan dan alasan yang diberikan mereka.


Fenomena ini amatlah menegcewakan kerana umat Islam (Melayu) di Malaysia seakan tidak peka dengan janji Allah s.w.t serta Rasulullah s.a.w. Mustahil mereka tidak pernah mendengar firman Allah s.w.t serta sabda Rasulullah s.a.w tentang kelebiahan Lailatul Qadar yang dijanjikan pahala menyamai pahala beribadat 1,000 bulan. Tetapi kenapa umat Islam tidak berlumba-lumba mendapatkan 'bonus' yang dijanjikan Allah s.w.t itu?

Peliknya, pada hari-hari dan malam-malam penghujung Ramadhan, tempat-tempat berjualan, gedung membeli belah dan sebagainya semakin dikunjungi manusia. Penuh sesak berebut-rebut membeli pakaian dan perkakas persediaan menyambut ketibaan Syawal. Jalan raya juga mula dipenuhi kenderaan sehingga menyebabkan kesesakan di luar jangkaan. Kemeriahan Syawal mengatasi keistimewaan Lailatul Qadar!

Rugilah mereka yang tidak bijak memilih pelaburan. Mencari Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan adalah satu pelaburan yang dijanjikan ganjaran lumayan. Sedangkan pelaburan menyambut Syawal tidak ada jaminan ganjaran sehebat ganjaran Lailatul Qadar.

Tambahan pula, yakinkah kita akan berjumpa semula Ramadhan akan datang? Sepatutnya kita rebut apa yang tersedia sekarang daripada menanti peluang yang belum pasti akan datang bertandang.

Aug 23, 2010

TRAGEDI

SURAT KHABAR di Malaysia pada hari ini menyiarkan berita sedih itu.

UTUSAN MALAYSIA menyiarkan kepala beritanya berbunyi : Tragedi 12 Ramadhan.

Harian Metro pula memaparkan: Lihat mayat atas pokok

Sinar Harian (Utara) meletakkan berita di muka surat N10 dengan tajuknya: Tragedi letupan dahsyat.

Akhbar Kosmo! pula menulis: Mati ngeri letupan mercun raya.

Boleh dikatakan semua akhbar menyiarkan berita menyayat hati itu hari ini. Berita tentang seorang mayat kanak-kanak berumur 6 tahun, Khairul Arif Ayub, tanpa otak tersangkut di atas pokok tinggi manakala dua remaja berusia awal 20-an parah di kaki dan muka dipercayai akibat letupan berkenaan. Ini adalah tragedi di bulan Ramadhan, bulan mulia umat Islam sejagat.

Sedih membaca berita berkenaan kejadian letupan yang dipercayai berpunca daripada mercun yang disimpan dalam sebuah rumah tinggal di Kampung Seberang Baruh, Cabang Tiga, Kuala Terengganu itu kelmarin. Saksi yang melihat kejadian memberitahu kepala kanak-kanak malang itu hancur sama sekali.

"Dalam keadaan cedera parah salah seorang remaja yang cedera sempat meminta saya mencari seorang budak. Selepas 10 minit mencari, saya terkejut melihat budak itu berada di atas pokok dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya hancur". Demikian kata saksi kejadian, seperti yang ditulis di dalam Sinar Harian.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengahari kelmarin telah menggemparkan orang ramai kerana gegaran dan bunyi letupan yang dikatakan boleh didengari hingga sejauh kira-kira satu kilometer.

Inilah tragedi paling dahsyat yang berlaku akibat daripada mercun sepanjang tahun ini selain beberapa kejadian putus jari, cedera di muka dan sebagainya yang juga akibat bermain mercun. Kesemua petaka itu kebanyakannya melibat remaja dan kanak-kanak yang pasti terlalu ghairah menanti ketibaan Aidilfitri yang akan tiba tidak berapa lama lagi.

Persoalannya kenapa mercun masih mudah diperolehi walaupun pihak berkuasa berkali-kali memaklumkan memiliki atau menjual mercun tanpa kelulusan adalah salah di sini undang-undang. Sejak awal Ramadhan lagi beberapa tangkapan telah dibuat oleh pihak PDRM atau KDRM di beberapa lokasi tertentu. Berita tangkapan tersiar di dalam semua media tanah air. Amaran demi amaran telah dikeluarkan, namun penyeludupan mercun masih berterusan.

Baru-baru ini 2 orang suri rumah tangga telah ditahan di dalam satu operasi oleh pihak berkuasa kerana percubaan menyeludup sejumlah mercun dari negara jiran, Thailand. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda dan penjara ke atas mereka akibat kesalahan tersebut. Sepatutnya itu menjadi iktibar kepada mana-mana orang yang masih bercita-cita mengaut keuntungan menjual mercun di musim perayaan nanti.

Tetapi apabila membaca berita tentang kematian ngeri kanak-kanak itu kelmarin, timbul beberapa persoalan. Bagaimana sebuah rumah tinggal di sebuah kampung boleh digunakan sebagai tempat menyimpan mercun? Siapakah pemilik mercun tersebut? Berapa banyakkah jumlah mercun yang disimpan di rumah itu? Dari mana datangnya mercun tersebut?

Jika mercun itu dalam jumlah yang sedikit kenapa perlukan sebuah rumah untuk menyimpannya? Kalaulah mercun itu jenis yang tidak berbahaya, kenapa letupan yang berlaku kelmarin itu dapat didengar hingga jarak 1 kilometer jauhnya?

Semua persoalan itu memerlukan jawapan. Tetapi siapakah yang boleh berikan jawapan kepada persoalan-persoalan itu? Di manakah disimpan semua mercun yang dirampas pihak berkuasa?

Malangnya semua petaka dan kejadian buruk akibat mercun itu menimpa remaja dan kanak-kanak Islam dari keturunan Melayu. Sedangkan budaya membakar mercun di musim perayaan adalah budaya masyarakat Cina sewaktu menyambut tahun baru mereka. Tetapi tidak pula tersiar berita kematian atau kecederaan atau letupan dahsyat akibat mercun di musim perayaan Tahun Baru Cina. Kenapa hanya berlaku pada musim perayaan Hari Raya?

Perlukah diperketatkan lagi undang-undang atau diberatkan lagi hukuman?

Aug 22, 2010

HARI KE - 12

HARI ini kita sudah memasuki hari ke-12 berpuasa. Sudah 11 hari bulan Ramadhan meninggalkan kita. Sudah 11 hari kita berjaya menjalani ibadah puasa yang diwajibkan Allah ke atas kita, umat Islam sekalian.

Sejak bermula Ramadhan sehingga ke hari ini, hampir setiap hari ada sahaja berita tentang orang Islam yang ditangkap kerana tidak menghormati kemulian Ramadhan. Ada tangkapan ke atas mereka yang makan minum sambil berjudi. Ada tangkapan ke atas peniaga kerana menjual makanan sebelum pukul 4.00 petang sepertimana yang disyaratkan pihak berkuasa. Ada tangkapan ke atas mereka yang makan di khalayak ramai sebelum tiba waktu berbuka puasa. Ada tangkapan ke atas pasangan berkhalwat. Yang amat menyedihkan semua yang ditangkap itu adalah orang Islam! Di mana maruah orang Islam?

Hari ini terpampang berita di muka hadapan Metro Ahad (edisi Utara) yang berbunyi 'Projek Rahsia Ayah'. Berita tentang segelintir golongan lelaki veteran yang tidak menghormati kemulian bulan Ramadhan kerana berhibur dan melayan nafsu di kelab-kelab dangdut. Lebih menjijikkan lagi pengunjung yang berhibur itu adalah golongan yang berusia 40 tahun dan ke atas termasuk yang bergelar Datuk. Mereka sanggup meninggalkan isteri serta anak-anak di rumah semata-mata mahu memuaskan nafsu serakah mereka. Mereka tidak langsung ingat untuk menunaikan solat sunat tarawih yang tidak dapat diamalkan melainkan hanya dalam bulan Ramadhan sahaja.

Mereka seakan lupa kepada perintah Allah, lupa kepada keberkatan bulan Ramadhan yang mulia, lupa untuk melakukan ibadah. Mereka lebih tertarik kepada liuk lentok GRO yang gebu dan mengiurkan di pusat-pusat hiburan. Mereka memuaskan nafsu mereka dengan meneguk arak (air kencing syaitan) dan melakukan berbagai maksiat lain setelah mabuk dan khayal.

Kenapa semua ini berlaku? Salah siapa?

Pusat-pusat hiburan dimiliki oleh mereka yang bukan Islam. Mereka tentu sekali tidak peduli tentang kemuliaan Ramadhan. Mereka tidak pernah berfikir untuk menghormati kemuliaan bulan ibadah umat Islam yang tiba setahun sekali ini. Mereka hanya memikirkan tentang laba, keuntungan yang boleh dikaut sebanyak mungkin. Dengan menyediakan GRO dari dalam dan luar negara mereka dapat melariskan perniagaan mereka semaksima mungkin. Peduli apa pada hukum hakam! Peduli apa pada undang-undang!

Lalu tidak hairanlah kita lihat (melalui TV atau berita di akhbar) berbondong-bondong gadis-gadis montok dari luar negara memasuki negara kita dan bekerja di pusat-pusat hiburan tersebut. Dan saban harilah pula kita dihebahkan dengan berita penangkapan pelacur-pelacur tersebut yang memperdagangkan tubuh montok mereka di tanah air kita. Pasukan polis semakin bertambah kerja mereka, bertambah berat tugas mereka. Serbuan demi serbuan dilakukan ke premis-premis hiburan tersebut dan yang ditangkap adalah gadis-gadis luar negara yang menyalahgunakan pas lawatan mereka. Malah ramai di kalangan mereka yang tiada mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Di mana silapnya? Siapa yang patut dipersalahkan?

Pihak berkuasa yang mengeluarkan lesen telah menetapkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Tetapi kesemua premis yang diserbu secara terang-terang tidak mengendahkan atau mematuhi syarat dan peraturan tersebut. Mereka bebas melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang seakan-akan tiada mata yang melihat atau tiada tangan yang menegah. Kemana perginya pasukan penguat kuasa yang diamanahkan menjalankan tugas mereka?

Apabila diserbu, terdapat GRO yang sedang melayan pelanggan tanpa sempat mengenakan pakaian lari lintang pukang takut diberkas. Sedihnya, si pelanggan itu adalah lelaki tempatan! Maksudnya permintaan amat tinggi di kalangan pelanggan tempatan maka itulah sebabnya penawaran juga tidak pernah berkurangan. Bukankah itu hukum asas ekonomi? Permintaan dan penawaran (demand and supply). Bukankah ekonomi itu kayu ukur kemajuan sesebuah negara?

Persoalannya, kenapakah kebanjiran gadis-gadis asing yang datang berpusu-pusu memasuki negara kita kemudiannya memperdagangkan tubuh badan mereka itu tidak dapat dibendung? Kenapa kurangnya pengawasan pihak berkuasa di pintu-pintu masuk di sempadan negara ini? Apakah proses kemasukan terlalu mudah? Atau proses itu dapat dipermudahkan untuk kumpulan-kumpulan tertentu? Atau apakah kerana promosi melancong ke Malaysia terlalu hebat?

Sedihnya semua ini sehingga kini, seperti tiada cara untuk menyekatnya. Baik menyekat kemasukan gadis-gadis pedagang tubuh ataupun menyekat penyelewengan pengusaha pusat-pusat hiburan daripada mengambil mereka bekerja dan melakukan kegiatan maksiat. Apakah sudah tidak ada lagi kreativiti dan inovasi pihak berkuasa untuk menangani permasaalahan yang semakin meruncing ini?

Aug 21, 2010

HARI ini terasa amat sunyi. Sepanjang waktu aku bersendirian, di ruang ini tiada siapa yang hadir bekerja. Di ruang sebelah hanya beberapa orang sahaja yang bertugas. Aku hanya mengadap komputer riba ini sahaja.

Tiba-tiba setelah hampir 3.30 petang aku teringat kepada blogku ini. Sudah lama aku tidak menulis di sini. Lalu aku buka blogku ini dan aku menulis di sini.

Aku biarkan sahaja mindaku disisir apa sahaja, aku biarkan sahaja jari-jariku menaip di kekunci. Biarlah apa sahaja yang tertulis, asalkan aku menulis di sini.

Ramadhan sudah memasuki fasa kedua: keampunan. Fasa pertamanya ialah keberkatan dan fasa terakhirnya dipelihara daripada api neraka. Sehebat manakah amalan puasaku tahun ini? Puasa pada peringkat pertama? Atau kedua? Atau ketiga?

Semoga Allah terima amalanku.