Pages

Sep 16, 2010

SELAMAT HARI MALAYSIA

HARI ini 16 September 2010 telah diproklamasikan sebagai Hari Malaysia, hari memperingati tertubuhnya negara Malaysia yang menggabungkan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak di kepulauan Borneo. Hari ini 47 tahun yang lalu penubuhan itu telah dimeterikan. Sehubungan dengan itu mulai tahun 2010 ini, 16 September telah diisytiharkan sebagai cuti umum di seluruh Malaysia. Hari ini adalah pertama kalinya sambutan Hari Malaysia diadakan.

Berbeza dengan 31 Ogos yang disambut saban tahun sebagai Hari Kebangsaan (dulunya dikenali sebagai Hari Kemerdekaan) yang memperingati peristiwa bersejarah Persekutuan Tanah Melayu bebas daripada penjajahan British. Tidak lama selepas itu Persekutuan Tanah Melayu dikenali sebagai Malaya.

Langkah awal penubuhan Malaysia bermula dalam tahun 1961 apabila Tunku Abdul Rahman mengusulkan gagasan pembentukan sebuah persekutuan yang lebih luas merangkumi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei. Cadangan tersebut mendapat sokongan padu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Rakyat di Sabah dan Sarawak walau bagaimanapun kurang bersetuju dan curiga dengan gagasan berkenaan. Manakala Filipina dan Indonesia menyanggah cadangan tersebut.

Sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan pada 1962 dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold yang dipertanggung jawabkan untuk membuat penyelidikan di seluruh Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan pandangan rakyat berhubung dengan gagasan penubuhan Malaysia. Meskipun mendapat tentangan yang kuat daripada Filipina dan Indonesia, Suruhanjaya Cobbold telah melaporkan bahawa majoriti rakyat di Sabah dan Sarawak bersetuju untuk bergabung di bawah sebuah persekutuan iaitu Malaysia. Pada tahun 1963 satu misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula telah dihantar ke Sabah dan Sarawak untuk mempastikan laporan Suruhanjaya Cobbold. Misi PBB tersebut akhirnya mendapati laporan tersebut adalah benar malah misi berkenaan juga mendapati cadangan penubuhan Malaysia diterima secara menyeluruh oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

Lalu pada 16 September 1963 dengan secara rasminya terbentuklah sebuah negara Malaysia yang meliputi Persekutan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Walaubagaimana pun, Brunei telah menolak dan tidak menyertai persekutuan tersebut. Namun, pada tahun 1965 Singapura telah menarik diri dan keluar daripada Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang merdeka secara bersendirian.

SELAMAT HARI MALAYSIA dengan iringan doa semoga kekallah sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, seluruh rakyatnya bersatu padu dengan semangat kekitaan yang utuh demi untuk kesejahteraan dan keharmonian bersama buat selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment