Pages

Sep 8, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI LEBARAN

AIDILFITRI akan tiba dua hari lagi. Insya Allah, Jumaat 10 September umat Islam akan menyambut serta merayakan Aidilfitri, sebagai tanda berakhirnya Ramadhan. Seluruh umat Islam di seluruh dunia pasti akan merayakan ketibaan hari penuh bermakna itu.

Setelah sebulan menjalani ibadah puasa yang diwajibkan, umat Islam akan merayakan ketibaan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan mengikut kemampuan masing-masing. Mereka yang berada dan kaya akan menyambut mengikut skala kemampuan mereka dengan pelbagai juadah di sediakan serta pakaian serba baharu, cantik serta bergaya. Bagi yang kurang berada pula akan menyambutnya dengan kadar kemampuan mereka, dengan juadah serta pakaian semampu yang dapat disediakan.

Tetapi bagi golongan miskin serta tidak berkemampuan, sambutan hari raya bagi mereka tidak banyak bezanya dengan hari-hari biasa. Mereka akan beraya ala kadar sahaja, kemungkinan dengan mengenakan pakaian tahun lepas ataupun pakaian terpakai yang disedekahkan orang kepada mereka. Juadah makanan sudah pasti tidak sehebat golongan kaya dan berada. Semuanya hanya ikut apa yang termampu sahaja.

Begitulah keadaan umat Islam yang akan menyambut ketibaan Syawal nanti. Berbeza cara mengikut perbezaan tahap sosio ekonomi masing-masing. Penghuni bandaraya yang mewah akan berbelanja untuk menyambut Syawal dengan bangga sekali. Manakala penghuni bandaraya yang daif dan miskin akan menyambut seadanya. Begitu juga warga desa akan menyambut hari raya dengan cara dan kemampuan mereka sendiri.

Di dalam suasana meriah menyambut detik kemenangan itu, marilah sama-sama kita melihat bagaimana sepatutnya kita menyambut ketibaan Syawal nanti. Sebaik sahaja terbenam matahari akhir Ramadhan, umat Islam digalakkan bertakbir, bertasbih dan bertahmid, iaitu memuji kebesaran dan keagungan Allah s.w.t yang telah mencucuri rahmat yang tidak terhingga banyaknya kepada kita di dunia ini. Itulah suatu penyataan yang perlu dizahirkan sepanjang malam 1 Syawal nanti.

Pada masa yang sama, elaklah daripada melakukan perkara-perkara yang tidak dituntut oleh agama pada malam itu nanti. Tidak perlulah melakukan perkara-perkara negatif atau meniru cara sambutan perayaan kaum serta agama lain kerana menyambut Syawal adalah ibadah. Tuntutan agama wajar didahulukan dan diutamakan.

Ketibaan Aidilfitri adalah masa yang amat sesuai untuk menghubungkan semula jalinan silaturrahmi dengan cara bermaaf-maafan sesama ahli keluarga, sahabat handai, rakan taulan serta seluruh umat Muslimin. Anak-anak perlu memohon kemaafan daripada kedua ibu bapa, adik-adik dengan abang serta kakak. Ahli keluarga yang muda memohon maaf daripada ahli keluarga yang lebih tua. Sesama sahabat pun begitu juga. Di tempat kerja pun seharusnya diamalkan, kaki tangan memohon maaf daripada ketua masing-masing.

Hikmah yang besar melalui bermaaf-maafan itu akan dapat melenyapkan segala rasa tidak senang yang timbul di hati masing-masing. Dengan cara itu secara tidak langsung akan mengeratkan kembali perhubungan kedua-dua insan tersebut, sama ada suami dan isteri, anak-anak dan ibu bapa, sahabat dan sahabat ataupun kakitangan dengan ketua mereka. Alangkah indahnya jika silaturrahmi itu kekal sepanjang masa tanpa ada sebarang rasa kurang senang di antara satu sama lain. Oleh itu Islam menggalakkan umatnya melawat dan mengunjungi kaum keluarga dan sahabat handai sempena Syawal ini supaya dapat bermaaf-maafan sesama mereka.

Selain itu menziarahi pusara kaum keluarga yang telah dahulu kembali menemui Allah s.w.t juga digalakkan. Di perkuburan nanti, digalakkan kita membaca doa khusus untuk arwah-arwah dengan harapan akan membantu roh-roh mereka di alam barzakh. Di samping itu dengan mengunjungi pusara akan menimbulkan kesedaran bahawa setiap yang hidup akan menemui kematian supaya dengan itu yang masih hidup ini akan sentiasa berusaha meningkatkan lagi kualiti ibadah kepada Allah s.w.t.

Namun ada pendapat yang mengatakan menziarah pusara adalah haram bagi kaum wanita tetapi ada juga pendapat yang mengatakan harus, yakni boleh tetapi tidak digalakkan. Jika kaum wanita menziarahi pusara mereka perlulah menjaga adab-adab dengan sewajarnya.

Amalan bersedekah juga amat digalakkan sepanjang menyambut Aidilfitri. Memberi sedekah kepada orang-orang miskin supaya mereka juga dapat sama-sama menikmati sambutan Aidilfitri adalah amalan yang mulia. Dengan itu golongan yang miskin dan tidak berada itu akan tidak merasa tersisih atau ditinggalkan oleh golongan masyarakat yang kaya dan berada. Oleh itu marilah sama-sama kita bersedekah mengikut kemampuan masing-masing.

Namun di dalam kita ghairah menyambut ketibaan Syawal, jangan lupa satu lagi tanggung jawab yang wajib ditunaikan, iaitu membayar zakat fitrah. Zakat fitrah wajib ditunaikan sebelum solat sunat Aidilfitri dimulakan. Ia diwajibkan ke atas semua individu sama ada tua atau muda, lelaki atau perempuan, dewasa atau kanak-kanak yang hidup sebelum berakhirnya Ramadhan. Membayar zakat fitrah ini adalah tanggung jawab yang wajib ditunaikan. Janganlah kerana terlalu ghairah membuat persiapan menyambut raya sehingga terlupa membayar zakat fitrah.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita menyambut ketibaan Syawal nanti dengan cara yang diizinkan serta digalakkan oleh ajaran agama supaya sambutan itu nanti dikira sebagai ibadah oleh Allah s.w.t. Janganlah kita menyambutnya mengikut adat atau budaya yang tidak termasuk di dalam ajaran agama apatah lagi menyambutnya dengan mengikut cara ajaran agama lain.

Semoga Aidilfitri kali ini menjadikan kita lebih hampir kepada keampunan Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment