Pages

Jul 29, 2008

MENGHADAPI TEMUDUGA

DUA hari lepas, anak perempuan saya telefon. Di maktabnya akan diadakan sesi Latihan Menghadapi Temuduga (Mock-up Interview). Saya terkejut juga kerana tidak pernah mendengar latihan seumpama itu diadakan di sekolah sebelum ini. Atau mungkin kerana saya tidak pernah ada anak yang belajar di maktab seperti anak perempuan saya sekarang ini. Itu yang membuatkan saya terpinga-pinga beberapa ketika.

Rasa terpinga-pinga itu ialah kerana saya tidak dapat memberi jawapan sebaiknya bila anak saya bertanya, "Apa soalan yang selalu ditanya semasa temuduga, ayah?"

Tanpa mengetahui latar belakang dan matlamat mock-up interview yang akan diadakan itu, saya tidak dapat memberi jawapan yang tepat kepada anak saya. Menurutnya, mock-up interview itu nanti berupa latihan menghadapi temuduga di mana ada beberapa orang penemuduga yang akan mengendalikan sesi tersebut. Oleh sebab itulah, anak saya merasa risau apakah bentuk soalan yang akan diajukan nanti.

Saya pernah bertugas sebagai Pengurus Pentadbiran dan Sumber Manusia selama hampir 3 tahun dengan sebuah syarikat korporat sekitar tahun-tahun 1997-1999. Salah satu daripada tugas saya ialah mengenal pasti keperluan sumber manusia untuk mengisi mana-mana kekosongan di dalam bahagian-bahagian tertentu di dalam organisasi. Setelah itu saya perlu menjalankan sesi temuduga calon-calon yang disenaraipendekkan untuk sebarang jawatan.

Pengalaman saya menemuduga calon-calon yang dipanggil untuk temuduga banyak mengajar saya mengenali kewibawaan seseorang calon. Lazimnya setiap calon yang datang untuk ditemuduga akan bersiap sedia dengan sijil-sijil akademik, sijil kokurikulum dan segala macam sijil lain yang diperolehi sepanjang masa pengajian mereka. Sijil kelahiran dan kad pengenalan tidak pernah dilupakan kerana itulah dua dokumen peribadi yang amat penting.

Calon-calon itu juga bersiap sedia dengan maklumat-maklumat tentang organisasi serta bidang tugasan yang akan dipikul nanti, jika berjaya di dalam temuduga. Masing-masing akan memberikan maklumat-maklumat tersebut sebaik mungkin, walaupun ramai yang kurang mengerti apa yang mereka sampaikan. Manakala aspek tugasan pula, rata-rata calon hanya mampu bercerita tentang bidang pekerjaan itu berdasarkan pendapat serta pengalaman orang lain, sama ada ayah, ibu atau ahli keluarga mereka.

Saya kurang memberi perhatian serius kepada aspek itu. Saya lebih menumpukan kepada tiga perkara lain yang jarang diberi perhatian oleh calon-calon. Pertama ialah gaya dan penampilan diri mereka. Lazimnya calon-calon akan datang dengan berpakaian sebaik mungkin. Calon-calon lelaki akan memakai baju kemeja lengan panjang bertali leher serta berseluar panjang. Calon-calon perempuan pula akan memakai baju kurung atau kebaya atau pakaian yang sesuai. Saya tidak gemar jika ada calon perempuan yang berpakain berlebihan dengan fesyen keterlaluan. Gaya pemakaian mencerminkan keperibadian mereka sama ada mereka itu bersikap positif atau sebaliknya.

Memakai baju berwarna cerah dan lembut dengan tali leher berwarna gelap akan lebih menonjolkan keterampilan positif calon itu berbanding berbaju belang atau jalur dengan tali leher berwarna lembut. Saya juga perhatikan warna seluar yang dipakai sama ada warna cerah atau gelap, sama ada sepadan dengan warna baju atau pun tidak. Malah bukan itu sahaja, warna stokin dan kasut juga saya berikan tumpuan. Semua itu menggambarkan keperibadian seseorang.

Keduanya, saya perhatikan gaya calon berkomunikasi sama ada secara tertekan atau secara kebiasaannya. Boleh berhujjah jika diprovokasi atau tidak dapat mempertahankan pendapat apabila dihujani soalan-soalan. Selain daripada itu saya juga bertanya soalan-soalan bersifat peribadi kerana itu akan memberi gambaran kejujuran calon itu. Kadang-kadang soalan yang telalu peribadi. Ada juga ketikanya saya sengaja menyoal calon-calon dengan soalan-soalan sindiran yang tajam bagi menduga ketabahan mereka.

Akhir sekali soalan yang sering saya tanya kepada calon-calon sepanjang tugas sebagai Pengurus Pentadbiran dan Sumber Manusia, ialah soalan yang membuat ramai calon terkedu.

"Berikan saya lima kelemahan diri anda".

Ramai calon yang gagal menjawab. Tetapi ada juga yang menjawab, "sukar untuk saya mengetahui kelemahan diri kecuali orang lain yang memberitahu saya".

Saya akan segera membalas, "Maaf, anda tidak layak bekerja dengan saya di dalam organisasi ini kerana anda tidak kenal diri anda sendiri".

Jika seseorang itu tidak tahu kelemahan dirinya, dia sebenarnya belum mengenali dirinya sendiri. Dia tidak akan dapat mengubah atau memperbaiki sikapnya dan selama itulah dia akan terus menjadi seorang yang tidak kenal dirinya siapa. Oleh itu bagaimana mungkin dia dapat memberikan khidmat terbaik kepada organisasi?

Jul 27, 2008

WARNA-WARNA KASIH SAYANG

HARI ini saya terima sms lagi. Pengirimnya saya kenali, seorang bekas pelatih PLKN yang pernah menjadi pelatih di dalam kumpulan urusetia yang saya kendalikan dua tahun yang lalu. Dia sorang pelajar perempuan keturunan India, kini sedang melanjutkan pelajaran di salah sebuah IPTA di Kuala Lumpur. Namanya Sree.

Sejak selepas latihan PLKN Sree kerap mengirimkan sms kepada saya. Kandungan smsnya di dalam bahasa Inggeris, kerana dia dahulunya bersekolah di SMK Convent. Beberapa kali smsnya saya balas, tetapi banyak yang tidak dibalas. Kali ini saya ingin berkongsi isi kandungan sms Sree di sini. Begini bunyi smsnya:


"The loveliest day comes when you can wake up each day and find that love still colours your world through people who truely care and never fail to remember you". Saya terjemahkan begini : "Hari yang paling indah ialah bila anda bangun setiap pagi dan mendapati cinta masih mewarnai dunia anda daripada orang yang benar-benar mengambil berat dan tidak pernah gagal mengingati anda".

Memang ada kebenarannya, kita pasti akan merasa cukup bahagia jika saban hari kita dicurahkan dengan kata-kaya kasih sayang oleh orang yang mengambil berat tentang kita. Anak-anak tentunya bahagia kerana mendapat kasih sayang dan cinta luhur daripada ibu bapa mereka. Ayah ibu juga akan bahagia, jika anak-anak mereka sentiasa mencurahkan kata-kata kasih sayang kepada mereka. Tetapi, bayangkan jika sehari dalam hidup anda tidak dipedulikan sesiapa. Tentulah tidak ada rasa bahagia yang menjelma.

Dua minggu yang lepas, saya mengikuti satu program motivasi di sekolah anak saya. Ia melibatkan pelajar dan waris di dalam satu slot akhir program tersebut. Setelah sehari semalam para pelajar disuntik dengan motivasi dan kesedaran, slot terakhir itu adalah program kemuncak. Para pelajar diminta berjumpa ibu bapa sambil meluahkan kata-kata yang tidak pernah disebut sebelum ini. Kata-kata "saya sayang ibu, saya sayang ayah" terbit dari hati anak-anak ketika bersalam, mencium dan memeluk erat kedua-dua orang tuanya.

Ayah dan ibu merasa amat bahagia dan ramai yang mengalirkan air mata. Rasa sebak dan sayu bersalut erat di dalam benak. Dan ketika ucapan sayang diucapkan bersama ikrar untuk berubah dan doa untuk ibu bapa, rasa sebak dan sayu itu memuntahkan air mata bahagia. Anak-anak juga menangis dan memohon agar segala kesalahan mereka selama ini dimaafkan ayah dan ibu masing-masing. Biarkan dalam esak tangis, ternyata kesemua peserta merasa amat bahagia.

Kebahagiaan akan berpanjangan jika orang-orang yang sama-sama sayang menyayangi tidak pernah melupai di antara mereka. Yang pasti, ibu bapa tidak akan melupai anak-anak mereka walaupun berjauhan. Namun, apakah anak-anak sentiasa mengingati kedua orang tua mereka ketika berpisah?

INI RUMAH KITA

andai aku menjadi api
akan kubakar segala sampah
biar bersih laman ini.

andai aku menjadi air
akan kubersihkan segala kotoran
biar jernih kolam ini.

rumah ini rumah kita
jangan dibiarkan usang
dengan sampah bersepah
dan kotoran bertaburan.


Pinggiran Taman Bayu
27 Julai 2008

Jul 22, 2008

PENTINGNYA PERSEFAHAMAN

KISAH waris menyerang guru sudah kerap kedengaran. Ada sesetengah waris yang tidak puas hati dengan guru-guru di sekolah sering mengambil tindakan menyerang guru-guru berkenaan, sama ada di dalam kawasan sekolah ataupun di luar kawasan sekolah. Peristiwa sebegini memang sudah kita dengar, bukan sahaja di sekolah-sekolah luar bandar, malah sekolah-sekolah di bandar termasuklah sekolah-sekolah berstatus elit atau premier.

Kelmarin, saya terbaca satu kejadian yang sama tersiar di dalam tabloid harian. Kisah seorang bapa yang menampar seorang guru disiplin di sekolah tempat anaknya belajar. Kejadian itu berlaku hanya kerana rasa tidak puas hati si bapa gara-gara seorang guru menahan anaknya di dalam kelas. Punca guru menahan anaknya itu tidak dinyatakan dengan jelas di dalam tabloid berkenaan. Cuma hari ini di dalam tabloid yang sama, si bapa tampil membuat penjelasan.

Semasa saya belajar di sekolah rendah dan menengah dahulu, saya tidak pernah dengar kejadian yang sebegitu berlaku. Ibu bapa terlalu menghormati guru-guru dan begitulah juga guru-guru menghormati ibu bapa. Hal-hal yang berlaku di sekolah jarang dapat diketahui oleh masyarakat luar, semuanya cuba diselesaikan secara dalaman.

Pernah saya dirotan guru kerana ponteng satu waktu mata pelajaran. Rakan saya juga pernah ditahan di dalam bilik guru kerana tidak berpakaian kemas. Kedua-dua kesalahan tersebut adalah kesalahan melanggar disiplin sekolah. Tetapi kedua-dua peristiwa itu tamat di kawasan sekolah sahaja, tanpa melibatkan waris dan guru.

Seperkara lagi ialah waris yang tidak cepat menerima aduan anak-anaknya tanpa mencari punca berlakunya kejadian itu. Pernah seorang rakan bercerita pada zaman dia bersekolah dahulu, kalau dia dirotan guru, dia tidak berani beritahu ayahnya. Jika diberitahu, ayahnya pasti akan merotannya pula. Alasan yang diberikan oleh ayahnya, "kalau guru menghukum kamu, tentu ada sebabnya dan sebab yang jelas, kamu yang buat salah terlebih dahulu. Mustahil seorang guru akan menghukum pelajarnya yang tidak membuat kesalahan". Kini rakan saya itu adalah seorang pensyarah di sebuah IPT tanah air.

Begitulah sikap ibu bapa zaman saya bersekolah dahulu. Sekarang ini pun, saya mengambil sikap yang serupa. Jika anak-anak balik ke rumah mengadu sesuatu hal tentang gurunya, cepat-cepat saya mengajak anak-anak saya memberi fokus kepada kebaikan guru selama ini. Kita tidak boleh mengambil satu kesilapan guru untuk menilai keseluruhan sikap guru tersebut.

Perbincangan amat penting. Guru-guru dan para waris mesti sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang hal-hal berkaitan anak-anak semasa di sekolah sama ada menggunaka platform yang sedia ada, iaitu PIBG, ataupun para waris boleh datang sendiri ke sekolah. Tidak ada kekusutan yang tidak boleh dileraikan jika kita sama-sama tenang dan berbincang secara orang dewasa yang matang.


Jul 15, 2008

DIRGAHAYU TUANKU







HARI ini, genaplah 50 tahun DYMM Tuanku Abdul Halim Mua'zam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah Darul Aman, bersemayam sebagai sultan di atas tahta kerajaan negeri Jelapang Padi ini. Baginda ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke 25 pada 15 Julai 1958 yang lampau.

Hari ini telah mencatat satu sejarah besar dan agung bagi negeri Kedah khasnya dan Malaysia amnya. Baginda merupakan sultan yang kedua merayakan 50 tahun pemerintahan selepas Raja Perlis, Almarhum Tuanku Syed Putera Jamalullail.

Sebagai seorang rakyat negeri Kedah, saya merasa amat bertuah kerana dapat meraikan detik bersejarah ini. Walaupun sepanjang usia saya, saya tidak pernah menjejaki istana Tuanku tetapi saya telah berkesempatan beberapa kali bertemu dengan Tuanku Sultan di dalam beberapa majlis yang berbeza.

Pertama kalinya saya bersua wajah dengan Tuanku Sultan ialah pada 31 Ogos 1990 sewaktu saya dijemput mendeklamasikan puisi di acara Jamuan Rakyat Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di Seri Mentaloon. Saya sempat berjabat salam dengan baginda pada hari itu.

Saya pernah juga bersalaman dengan Tuanku semasa saya masih bekerja dengan sebuah syarikat korporat dan sebuah yayasan kebajikan sekitar tahun 2002-2004 dahulu. Sewaktu Tuanku Sultan mencemar duli berangkat ke satu majlis yang dianjurkan oleh yayasan berkenaan, saya mengepalai staf telah sempat bersua wajah dan bersalaman mesra dengan Tuanku.

Tetapi pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah sewaktu saya diberikan tugas membuat pembentangan tentang pembinaan sebuah masjid kepada Tuanku. Di dalam majlis tersebut saya berhadapan dengan Tuanku serta pembesar-pembesar negeri yang lain. Puluhan pasang mata tertumpu kepada saya seorang di hadapan majlis. Rasa gugup dan takut bersimponggang. Namun daripada kemesraan yang terpancar di wajah Tuanku sepanjang majlis tersebut membuatkan rasa gugup dan takut itu perlahan-lahan hilang. Dan saya berjaya mempersembahkan taklimat tersebut dengan jayanya.

Apa sekalipun, saya merasa bangga kerana bersultankan seorang Sultan yang berperibadi mulia serta berhemah tinggi.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku.




APAKAH YANG DICARI?

SAYA amat terkejut. Perasaan marah, geram, kesal dan segala macam lagi perasaan bagai dikocak sewaktu saya membaca berita utama sebuah tabloid kelmarin. Ia amat memalukan dan menjijikkan. Apa tidaknya ia melibatkan sekumpulan remaja, pelajar IPT.

Sekumpulan remaja tersebut dicekup semasa asyik berpesta seks di sebuah pangpapuri. Malah yang lebih menjijikkan, sewaktu serbuan tersebut, sepasang remaja sedang asyik melakukan hubungan seks di dalam bilik air tanpa menyedari pangsapuri tersebut sudah diserbu pasukan pencegah maksiat.

Saya mengucap panjang. Apakah petaka yang melanda remaja masa kini sehingga segala kejadian seperti itu terbongkar. Jika sehari sebelum itu kisah dua remaja perempuan yang ingin hidup bebas dengan melarikan diri daripada keluarga sudah cukup menyendat perasaan saya, berita kelmarin tambah menyesakkan lagi.

Sebenarnya apakah yang dicari oleh remaja tersebut? Mengikut laporan tabloid berkenaan, sewaktu soalan itu diajukan kepada mereka, dengan selamba mereka menjawab bahawa mereka mencari 'syurga dunia'.

Melihat daripada pencapaian akademik mereka, ternyata mereka daripada golongan remaja yang mempunyai IQ yang tinggi. Sudah tentu mereka itu telah berjaya di dalam SPM jika tidak mana mungkin mereka diterima melanjutkan pelajaran ke IPT. Ini jelas bahawa mereka berkebolehan di dalam bidang akademik.

Namun, apakah kejayaan akademik itu sudah cukup menjamin seseorang itu menjadi insan yang cemerlang? Walaupun kayu ukur kecemerlangan seseorang remaja ialah pencapaian akademiknya, tetapi jika sahsiahnya tidak dibentuk seiringan, dia belum tentu dapat menjadi insan yang cemerlang.

Pembentukan siasah remaja mesti bermula di usia awal remaja lagi. Sewaktu anak-anak dalam usia 7 - 10 tahun, mereka sudah perlu ditanam dengan ajaran agama yang membezakan antara suruhan dan tegahan. Apabila mereka meningkat usia, mereka mesti diajak mengamalkan ajaran-ajaran itu dengan lebih mendalam lagi. Itulah benteng yang akan menjadi penghalang kepada segala terjahan dan godaan nafsu apabila mereka semakin meningkat remaja.

Dan remaja sendiri haruslah sentiasa ingat bahawa untuk menjadi seorang remaja yang cemerlang, mereka mestilah menggabungkan kecemerlangan akademik dan kecemerlangan sahsiah diri. Jika tanpa salah satu daripadanya, pincanglah kehidupan masa depan.

Jul 13, 2008

REMAJA, HARGAILAH KEBEBASAN.

MEMBACA sebuah akhbar tabloid pagi ini benar-benar menyentak perasaan saya. Kisah dua orang remaja perempuan, dua beradik berusia 18 dan 19 tahun, yang gemar hidup bebas. Mereka lari dari rumah, semata-mata hanya ingin menikmati hidup bebas. Lantaran itu mereka sanggup hidup gelandangan di kota dengan menumpang di rumah lelaki-lelaki yang hanya mahu mempergunakan tubuh mereka sahaja. Mereka sanggup bertukar teman lelaki dan menjadi wanita simpanan silih berganti.

Mereka memaksan diri mereka diperlakukan sedemikian demi wang dan tempat tinggal. Sebagai balasannya, mereka menjadi hamba seks. Mereka pernah hamil, ditangkap dan dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak, tetapi sehingga kini masih belum insaf-insaf lagi. Itu hanya sekelumit cerita yang dibongkarkan tabloid terbabit. Namun saya percaya ramai lagi remaja yang sedemikian tetapi belum terbongkar hingga kini.

Cerita remaja tiba-tiba lari dari rumah mengikut kekasih yang baharu dikenali, atau yang merajuk dengan keluarga, sering terpampang di akhbar-akhbar. Ia seakan satu penyakit yang semakin merebak di dalam masyarakat masa kini. Semakin negara menikmati pembangunan fizikal semakin banyak cerita keruntuhan akhlak yang berlaku. Ini amat menyedihkan sekali.

Persoalannya, apakah sebenarnya yang diinginkan oleh remaja itu? Apakah mereka mahu melarikan diri daripada kongkongan keluarga semata-mata? Atau apakah mereka terlalu ingin menikmati kebebasan? Hakikatnya, pemikiran antara remaja dan orang dewasa kini terlalu luas jurangnya. Orang dewasa yang sudah melewati zaman hidup sebagai remaja telah melihat gerak laku sedemikian sebelum ini. Pastinya mereka tidak mahu melihat remaja masa kini terus terjebak. Tetapi pada masa yang sama, remaja masa kini menganggap apa yang diperkatakan oleh orang dewasa hanyalah tidak lebih daripada sekatan untuk mereka hidup sebebas-bebasnya.

Lantas mereka mengambil jalan mudah: keluar dan lari dari rumah. Mereka tidak memikirkan risiko dan akibat daripada perbuatan mereka itu. Apa yang mereka cari hanyalah kebebasan semata-mata, seperti apa yang diceritakan oleh dua orang remaja di dalam tabloid hari ini.

Namun, para remaja seharusnya mengambil iktibar dari pengalaman yang dilalui dua remaja tersebut. Kebebasan yang bagaimanakah yang harus dicari oleh remaja masa kini? Remaja jangan hanya melihat kepada keseronokan dan kenikmatan sementara sahaja. Remaja harus melihat jauh ke hadapan dan memikirkan kesan yang akan diterima jika tidak menghargai kebebasan yang dikecap sekarang ini.

Merdekanya negara bukan bererti bebas sebebas-bebasnya! Kebebasan tidak seharusnya melangkaui batas-batas agama, susila, budaya dan adat resam harus disemai di dalam jiwa para remaja. Para remaja harus faham bahawa kita masih punya agama. Pegangan kukuh kepada ajaran agama adalah penting di samping tidak menyimpang daripada tata susila kehidupan bangsa kita yang kuat dengan budaya dan adat resamnya.

Para remaja, hargailah kebebasan itu. Jangan sekali-kali digadaikan!!

Jul 9, 2008

TILAWAH AL-QUR'AN

TAHUN ini, Majlis Tilawah Al-Qur'an peringkat Kebangsaan kali ke 51 diadakan di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah Darul Aman, mulai 7 Julai, 2008. Inilah kali pertama Kedah menjadi tuan rumah majlis berkenaan dan rakyat Kedah tentu gembira kerana Kedah terpilih menjadi tuan rumah majlis gilang gemilang itu. Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dan disiarkan secara langsung melalui RTM 1.

Reka bentuk dan hiasan pentas yang menggambarkan Balai Besar, sebuah bangunan bersejarah di negeri Kedah, cukup memukau. Tahniah kepada perekanya. Tetapi yang lebih menarik perhatian saya ialah penglibatan qari dan qariah yang masih dalam usia muda. Mereka ini sudah dapat berdiri sebaris dengan qari dan qariah yang lebih tua daripada mereka di atas pentas yang sama. Ini memberikan satu gambaran positif bahawa remaja juga berkemampuan melangkah seiring dengan orang yang lebih berusia daripada mereka. Syabas diucapakan.

Lantas saya membuat kesimpulan, jika remaja diberikan bimbingan awal meminati Al-Qur'an, mereka akan dapat menjadi remaja yang baik akal budinya. Mereka pasti akan dapat bukan sahaja membaca ayat-ayat suci dengan baik dan lancar malah mereka dapat memahami serta menghayati maksud yang terkandung di dalamnya. Alangkah bertuahnya ayah ibu kepada remaja yang sedemikian itu. Bahagianya tentu tidak dapat diukur dengan apa sahaja.

Usaha TV9 melalui rancangan realiti Akademi Al-Qur'an amat baik dan harus diteruskan untuk melahirkan lebih ramai remaja mendekati dan mencintai Al-Qur'an. Supaya dengan itu, generasi akan datang lebih memahami dan menghayati ajaran-ajaran yang terkandung di dalam kitab suci itu. Bukan sahaja TV9 malah, saluran-saluran lain juga perlu memikirkan bagaimana untuk menarik minat remaja mendekati Al-Qur'an serta ajarannya.

Pernah beberapa tahun yang lalu, ada cadangan murni supaya murid-murid Islam di sekolah rendah mesti khatam Al-Qur'an sebelum tamat Tahun 6 dan melangkah ke Tingkatan 1 di sekolah menengah. Ia cadangan yang cukup baik. Persoalannya sehingga kini apakah cadangan itu sudah terlaksana sepenuhnya?

Manusia yang berpegang teguh kepada ajaran agama tidak akan tersesat dan tersasar. Al-Qur'an dapat membentuk manusia menjadi insan mulia baik di dunia atau di akhirat. Ayuh, marilah para ibu bapa sekalian, kita dibasahi rumah kita dengan siraman rahmat Allah melalui bacaan Al-Qur'an saban hari. Semoga anak cucu kita nanti tidak menjadi manusia yang jauh dari rahmat Ilahi.

ERTI PERSAHABATAN

ENTAH kenapa, sejak beberapa hari yang lalu, saya dipertemukan semula dengan kawan-kawan lama yang telah terpisah, sama ada oleh jarak geografi atau oleh jarak waktu. Rasanya tentu ada sesuatu makna yang tersimpan untuk saya terokai di sebalik pertemuan itu.

Petang dua hari yang lepas, sewaktu melewati sebuah restoran, tiba-tiba pandangan mata seperti bertembung dengan pandangan seseorang di meja makan. Benar, dia seorang rakan lama yang sama-sama merasai pahit manis sewaktu berpersatuan dahulu. Setelah dia berkahwin perhubungan kami terpisah. Memang sudah lama tidak pernah bersua wajah, tiba-tiba petang itu kami bertembung semula. Dia bersama ayahnya, adik-adik serta anak saudaranya sedang menikmati mee rebus petang itu. Saya dijemput duduk dan kami berbual beberapa ketika.

Dia bertanya khabar tentang rakan-rakan lama seperjuangan dahulu. Saya menceritakan tentang beberapa orang kawan yang masih berhubungan. Kemudian saya juga bertanya tentang adiknya yang sama-sama sepersatuan dahulu. Akhirnya kami bertukar nombor telefon termasuklah nombor telefon adiknya yang kini menetap di Kuala Lumpur.

"Kalau ada rancangan nak buat reunion, jangan lupa bagitau ya", pesannya sebelum saya melangkah meninggalkan mereka terus menikmati mee rebus yang masih berbaki di dalam pinggan.

Kemudiannya malam ini, sewaktu membuka emel saya dikejutkan dengan satu "off line message" yang ditinggalkan seseorang. Saya segera membalasnya kerana telah lama dia tidak mengirim sebarang mesej kepada saya. Perhubungan kami terhenti hampir tiga tahun yang lepas kerana sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Kami tidak bertemu lagi selepas itu dan tiada mesej yang diterima lagi.

Tetapi malam ini, kami berbual agak panjang, bertanya khabar tentang perkembangan kehidupan masing-masing setelah lama tidak bertemu dan berbual. Saya yakin pertemuan-pertemuan itu menyimpan seribu rahsia yang tidak dapat diteka. Mungkinkah Tuhan mahu memberi sesuatu pesanan?

Persahabatan tidak mungkin akan terputus selagi sahabat itu saling ingat di antara satu sama lain. Walaupun mereka dijarakkan oleh batas geografi atau batas waktu, suatu masa di dalam perjalanan hidup mereka akan dipertemukan kembali. Ingatan terhadap sahabat akan menjadi lebih kuat apabila mereka saling berhubungan dan memperkuatkan ikatan persahabatan itu.

Saya berdoa semoga saya tidak termasuk di dalam kelompok sahabat yang melupai sahabat.

Jul 8, 2008

PUISIKU

IZINKAN KUPETIK SECEBIS RINDU

izinkan kupetik secebis rindu
dari hujung daun waktu
menghiasi laman malamku
kerana bulan telah lama tidur
dan bintang mematikan sinarnya.


aku masih di gersang siang
menadah serpihan lembab angin
menjadi segumpal syahdu malam
menemani perjalananku
ke langit kasturi.

berikan aku sedikit ruang
di anjung rumah-Mu.

Pinggiran Taman Bayu,
8 Julai, 2008.


NILAI KEJUJURAN PEMIMPIN

SESEORANG pemimpin mempunyai nilainya tersendiri. Terserlah daripada ketokohannya, kecerdasan mindanya, penampilannya, kepetahannya berbicara, kemesraannya dan lain-lain aspek lagi. Namun keikhlasan adalah perkara utama untuk menilai seseorang pemimpin.

Aku memberi ceramah tentang kepimpinan kepada sekumpulan pelajar Politeknik bertempat di Dusun Minda Resort, Jitra pada 1 Julai yang lalu. Penekanan yang aku berikan ialah tentang kejujuran dan keikhlasan. Untuk menjadi seorang pemimpin, seseorang itu mesti mempunyai kejujuran dan keikhlasan yang tidak bersandarkan kepada motif atau tujuan-tujuan yang lain.

Tanpa kejujuran dan keikhlasan, tidak mungkin seseorang pemimpin itu akan dapat memimpin pengikutnya menjadi kelompok masyarakat yang berjaya. Melalui kepimpinan yang jujur dan ikhlas, pasti sekali akan lahir pengikut yang juga jujur dan ikhlas dan seterusnya masyarakat yang jujur dan ikhlas juga.

Walau bagaimanapun, oleh kerana kejujuran itu bukanlah sesuatu yang boleh dilihat dengan pandangan mata kasar, maka sukar untuk menilainya. Hanya kita sahaja yang dapat menentukan sejauh mana kejujuran yang kita miliki. Demikianlah seseorang pemimpin, dia harus menilai kejujurannya sendiri. Orang lain hanya boleh memberi penilaian berdasarkan kepada apa yang dilakukan pemimpin berkenaan. Orang ramai mungkin beranggapan pemimpin berkenaan bersikap jujur namun, jauh di sudut hatinya dia sendiri lebih mengerti sama ada dia jujur atau sebaliknya.

Aku tekankan betapa kejujuran melaksanakan tugas akan memberi hasil pulangan yang tidak disangka sama sekali. Harga sebuah kejujuran yang tulus ikhlas amat besar balasannya tetapi tidak ramai yang tahu hakikat tersebut. Justeru aku mengharapkan para pelajar yang mendengar ceramahku itu akan segera menilai kejujuran yang ada di dalam diri masing-masing.

Belajarlah mengenali diri sendiri, mengenali kejujuran, mengenali kekurangan diri. Andainya kita dapat mengenali diri sendiri lebih mudah untuk mengendalikan sebarang situasi.

Jika anda mahu menjadi pemimpin, belajarlah mengenal dan memimpin diri sendiri terlebih dahulu.