Pages

Jun 16, 2008

UCAPAN HARI AYAH

TENGAH HARI kelmarin 15 Jun jam 11.30 pagi tiba-tiba saya terima satu panggilan telefon. Melihat nombor yang tertera di skrin telefon bimbit saya, tiada nama yang kelihatan, cuma nombornya sahaja. Lazimnya saya tidak mengangkat panggilan tanpa nama. Tetapi kelmarin saya tekan juga butang terima setelah melihat nombor itu sekitar utara.

"Assalamu'alaikum Ayah....", kedengaran suara seorang gadis di hujung telefon. Suara anak perempuan saya yang sedang belajar di tingkatan lima. Dia tinggal di asrama sejak tahun lepas lagi.
"Wa'alaikum salam. Kakak telefon dari mana ni?", saya pantas bertanya kerana nombor yang tertera tadi bukannya daripada nombor telefon bimbit.

"Kakak kat Kolej ni. Saja nak ucapkan Selamat Hari Ayah kat ayah. Terima kasih kerana membesarkan kakak dengan penuh kasih sayang. Kakak sayang kat ayah". Lancar ucapannya dengan nada riang seperti dia sedang tersenyum atau ketawa di hujung sana.

"Terima kasih....terima kasih", balas saya.

Begitulah anak-anak zaman sekarang tidak macam anak-anak remaja zaman saya dahulu. Mereka kini didedahkan dengan segala macam tarikh peringatan dan sambutan. Ada Hari Ibu, Hari Ayah, Hari Kekasih, Hari Guru, Hari Belia, Hari Pekerja dan macam-macam lagi. Kesemuanya itu menambahkan lagi kegembiraan di hati para remaja.

Memanglah remaja zaman ini lebih bertuah daripada remaja zaman saya dahulu. Kami tidak pernah mendengar sambutan Hari Ayah, Hari Ibu dan sebagainya. Tidak pernah memberikan apa-apa ucapan pun kepada ayah dan ibu. Tetapi saya sempat merayakan sambutan Hari Guru yang pertama 16 Mei 1970 (kalau tidak silap). Masa itu saya di Tingkatan 1 dan kami semua berbaris panjang mengucapkan ucapan selamat hari guru kepada guru-guru kami di sekolah.

Namun, bukan semua remaja yang peka dengan tarikh-tarikh sambutan seperti itu. Ada yang tidak tahu atau tidak pernah ambil tahu langsung. Meskipun tarikh-tarikh itu tidaklah begitu bermakna sangat di dalam kehidupan kita, tetapi ucapan ikhlas daripada anak-anak amat berkesan di jiwa.

Bagi saya, ucapan yang ringkas itu sudah cukup memberi semangat kepada saya untuk terus berusaha menjadi seorang ayah yang lebih baik.


No comments:

Post a Comment