Pages

Jun 4, 2008

LEBIH MATANG DARIPADA USIA

USIA tidak seharusnya menjadi titik penentu kematangan seseorang itu. Usia hanyalah penanda tempoh hayat yang sudah dilalui seseorang manusia. Tetapi kematangan adalah cara berfikir, cara bertindak dan cara berinteraksi dengan orang lain di persekitarannya.

Remaja biarpun semuda 15 tahun, tetapi jika cara berfikirnya, cara bertindaknya serta cara berinteraksinya menunjukkan sikap terpuji, dia sebenarnya sudah matang. Serupa juga seorang dewasa berusia 40 tahun yang cara-cara berfikir, bertindak dan berinteraksi masih belum memuaskan, dia sebenarnya masih belum matang.

Orang dewasa lazim menilai remaja sebagai golongan yang kurang matang. Namun di dalam beberapa sesi ceramah saya dapati ada di kalangan remaja yang jauh lebih matang daripada usia mereka. Cara berfikir dan bertindak mereka sudah cukup membanggakan. Meskipun cara berinteraksi mereka masih perlu diperbetulkan.

Namun, di dalam lingkungan usia 15-17 tahun, remaja masih memerlukan banyak bimbingan daripada golongan dewasa. Memperbetulkan cara berfikir mereka supaya lebih positif dan kreatif. Membimbing mereka bertindak dan membuat keputusan yang lebih baik, tepat dan memberi manfaat. Golongan dewasa yang matang harus memainkan peranan ini.

Di dalam beberapa buah kem PLKN yang saya hadiri saya dapati keadaan ini berlaku. Remaja yang ditempatkan mengikuti program berkenaan terlalu dahagakan bimbingan dan pembentukan siasah diri yang lebih mantap. Tetapi sekiranya golongan dewasa yang ditugaskan menjadi pembimbing itu sendiri masih belum matang, bagaimana mungkin mereka mampu mematangkan remaja-remaja berkenaan?

Cara berinteraksi pembimbing dengan remaja pelatih itu sendiri sudah jelas menggambarkan kurang matangnya pembimbing itu. Gaya percakapan dan cara bertindak mereka tidak langsung mencerminkan kematangan sewajarnya.

Lantas remaja itu tidak akan menjadi matang.

No comments:

Post a Comment