Pages

Jun 6, 2008

SAYANGI ANAK BANGSA

KELMARIN aku bertemu dengan seorang guru muda dalam lingkungan awal 30-an. Dia baru 2 bulan bertukar balik ke negeri kelahirannya daripada negeri Pahang. Kini mengajar di sekolah rendah berhampiran kampungnya. Di Pahang dahulu dia mengajar di sebuah Sek Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Memang menjadi idaman ramai guru untuk balik mengajar di negeri asal, lebih-lebih lagi berhampiran dengan kampung halaman. Bagi guru muda ini, setelah berkhidmat di perantauan, mendapat peluang bertukar balik ke kampung halaman amatlah menggembirakannya. Tambahan ibu dan adik-adik perempuannya tinggal tanpa seorang lelaki pun di rumah setelah ayahnya meninggal dunia.

Saya sempat bertanya kepada guru muda ini, apa bezanya mengajar di SJKC dengan sekolah kebangsaan? Saya pernah juga bertanya soalan yang sama dengan beberapa orang guru yang pernah saya temui lama dahulu yang bertukar daripada SJKC atau sekolah menengah cina ke SK atau Sek Men Kebangsaan (SMK). Saya dapati jawapan mereka ada persamaannya.

"Jauh bezanya. Pertama dari segi sikap. Baik guru, murid malah ibu bapa. Sikap mereka terhadap pelajaran amat jauh bezanya dengan di sekolah kebangsaan". Itu jawapan pertama yang saya dengar daripada mulut guru muda yang saya temui kelmarin.

"Guru-guru yang mengajar di SJKC memang berdedikasi dan sentiasa bekerja keras. Tidak pernah sambil lewa. Sehinggakan saya yang mengajar di sekolah itu pun tidak berpeluang untuk bersambil lewa", sambungnya lagi.

"Semasa di sekolah itu Guru Besar berikan saya sebatang rotan. Dia minta saya gunakan rotan itu untuk menghukum murid-murid. Kalau rotan itu patah atau pecah, dia akan gantikan dengan yang baru. Mana-mana murid yang tidak selesaikan kerja rumah atau tidak berdisiplin pasti tidak terlepas daripada hukuman rotan".

"Guru Besar dan Penolong Kanan akan sentiasa memihak kepada guru-guru jika ada mana-mana waris yang membawa kes rotan ke peringkat atasan. Saya rasa terbela, tetapi di sini tiada siapa yang ambil peduli".

"Bila saya pulang bertugas di sekolah kebangsaan, budaya merotan tidak ada. Murid-murid menjadi kurang hormat kepada guru. Tidak berminat belajar dan tidak berdisiplin. Malah lebih menyedihkan, guru-guru sendiri kurang minat untuk memperbaiki keadaan".

"Di SJKC guru yang hampir bersara tidak langsung menunjukkan sikap ingin bersara. Mereka terus bekerja macam biasa malah lebih gigih lagi. Tetapi di sekolah kebangsaan guru-guru yang akan bersara, sudah kurang minat untuk mengajar".

Kasihan anak bangsa kita sendiri. Mereka terlalu dimanjakan. Guru-guru tidak boleh menjentik murid jauh sekali merotan. Jika itu berlaku pasti ibu bapa akan bertindak. PIBG pun tidak dapat berbuat apa-apa. Guru Besar juga tidak dapat berbuat apa-apa. Maka guru berkenaanlah yang akan menghadapinya bersendirian.

Akhirnya, anak bangsa menjadi mangsa. Siapa yang rugi??

No comments:

Post a Comment