Pages

Jun 10, 2008

REMAJA DAN CINTA

SAYA terima satu kiriman pesanan ringkas daripada seorang kenalan, berbunyi "apa pendapat anda tentang remaja bercinta?". Saya membaca sms tersebut sambil tersenyum. Fikiran saya melayang jauh ke zaman saya bersekolah dahulu, iaitu zaman remaja saya.

Sewaktu peperiksaan akhir tahun di tingkatan dua, keputusan peperiksaan saya amatlah tercorot. Maka apabila masuk ke tingkatan tiga, saya ditempatkan di kelas terakhir. Kesemuanya, 44 orang kami di dalam kelas itu adalah pelajar lelaki, kecuali guru kelas sahaja seorang perempuan, Miss Lim.

Pada tahun itulah saya mula bercinta. Ada seorang pelajar perempuan yang cantik, manis dan pintar. Dia mendapat tempat pertama di dalam tingkatan dua pada peperiksaan akhir tahun tersebut. Wajahnya dengan senyuman manis sentiasa memenuhi ruang ingatan saya dan setiap kali dia melintasi di hadapan kelas saya, atau saya melintasi di hadapan kelasnya, kami sering berpandangan. Hati saya berdegup kencang.

Tetapi terus terang saya katakan, kami tidak pernah bertemu dan melafazkan perasaan masing-masing. Kami hanya berpandangan dan melepaskan senyuman dari kejauhan sahaja. Gelagat kami itu dikesan rakan-rakan sekelas saya yang nakal-nakal belaka. Saya sering ditempelak setiap kali pelajar itu melintasi kelas kami. Anehnya, saya tidak pula merasa malu atau tersinggung dengan tempelakan rakan-rakan sekelas saya itu.

"Kalau dia boleh dapat nombor satu dalam tingkatan, aku juga mahu dapat nombor satu!".

Dari hari ke hari saya bajai rasa cinta itu di dalam hati. Semakin hampir peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) iaitu seperti PMR sekarang ini, hati saya semakin membara. Setiap kali terpandangnya, hati saya semakin memberontak. Keinginan saya semakin melonjak naik. Secara tidak langsung saya menjadi lebih rajin ke sekolah kerana mahu melihatnya setiap hari.

"Satu hari nanti, aku mahu berdiri di sebelahnya dalam satu majlis sambutan paling meriah dan bersejarah di dalam hidup aku!".

Hari pertama peperiksaan LCE benar-benar membuak perasaan. Dan perasaan itu tidak pernah kendur setiap hari sehinggalah peperiksaan berakhir. Apabila tamat peperiksaan kertas terakhir, saya sempat menjeling ke arahnya dan dia juga seperti terpandang gelagat saya itu. Mata kami bertentangan. Saya melemparkan senyuman kepadanya walaupun sebelum itu saya tidak pernah senyum. Dia membalas senyuman saya.

Pada hari keputusan diumumkan, saya pergi ke sekolah berseorangan. Dari kampung menaiki bas seawal 6.00 pagi dan tiba di sekolah jam 7.30 pagi. Hampir sejam kemudian baharulah nampak kelibat rakan-rakan sekelas saya yang lain. Waktu itu saya sudahpun menerima keputusan LCE saya.

Di papan kenyataan, terpampang senarai keputusan LCE. Nama saya berada di tempat kelapan daripada sepuluh pelajar cemerlang. Dan nama pelajar perempuan itu di tempat kesembilan.

"Aku berjaya! Aku berjaya! Aku berjaya!!!".

Di majlis meraikan pelajar-pelajar cemerlang LCE, saya berdiri di sebelahnya dengan penuh bangga. Daripada pelajar tercorot saya melonjak ke tempat kelapan, satu tempat lebih baik daripadanya. Itulah hasil rasa cinta yang saya alami.

Sebenarnya saya tidak menyintai pelajar perempuan itu dengan cinta asmara. Saya menyintai kecemerlangannya. Saya menyintai kepintarannya. Saya bukan mahu memiliki dirinya, tetapi saya mahu memiliki kecemerlangan sepertimana yang dia miliki.

Para pelajar seharusnya memiliki rasa cinta kepada kecemerlangan dan terus menyintainya. Bukannya cinta asmara yang penuh nafsu semata-mata. Saya sudah merasai nikmatnya.



No comments:

Post a Comment