Pages

Dec 4, 2014

SETELAH SETAHUN MENGHILANG

ALHAMDULILLAH, akhirnya saya dapat kembali ke sini setelah seorang rakan mengingatkan saya supaya terus menulis di blog ini.

Sebenarnya saya bukan menghilangkan diri, cuma saya kehilangan kata laluan.

Setelah bersusah payah mencari arah, akhirnya saya dapat kembali ke sini sekali lagi.

Insya Allah selepas ini, jika diizinkan-Nya saya akan terus menulis di sini.

Doakan saya.

May 4, 2013

ESOKLAH HARINYA YANG DITUNGGU-TUNGGU


YA, ESOK adalah harinya yang ditunggu-tunggu sekalian rakyat Malaysia. Hari yang akan menentukan masa depan negara, sekurang-kurangnya untuk lima tahun yang akan datang. Esok hari penentuan sama ada Barisan Nasional (BN) akan terus berkuasa atau Pakatan Rakyat (PR) pula yang akan mengambil alih tampok pemerintahan. Soalan dan teka-teki ini akan terjawab secara rasminya esok setelah selesai pilihanraya ke-13 (PRU13). Debaran hati setiap rakyat Malaysia semakin berdegup kencang. Peluh sejuk semakin memercik di dahi setiap calon yang bertanding.

Esok adalah hari untuk rakyat. Rakyat yang akan membuat keputusan itu. Rakyat yang berkuasa sepenuhnya. Rakyat yang akan menentukan siapakah yang akan memerintah Malaysia selepas ini. Segala-galanya di tangan rakyat kerana esok rakyatlah yang paling berkuasa. Parti-parti politik hanyalah simbol-simbol bagi memudahkan rakyat membuat keputusan. 

Melihat kepada senarai calon-calon yang bertanding mewakili parti masing-masing, menggerakkan hati saya untuk membuat sedikit ramalan. Ya, hanya ramalan. Ia bukan sesuatu yang pasti berlaku, tetapi tidak mustahil boleh berlaku. Meskipun saya bukanlah seorang pakar bidang politik, tetapi tergerak hati untuk saya membuat ramalan ini. Entah kenapa perasaan ini tiba-tiba menghantui saya.

Saya berdoa supaya saya tidak membuat ramalan mengikut emosi dan kehendak saya sendiri, tetapi  berdasarkan pemerhatian serta alasan yang logik dan munasabah selain senario semasa sepanjang musim berkempen. Kebangkitan rakyat yang inginkan perubahan tidak dapat disangkal, malah menjadi pendorong utama menentukan keputusan PRU13 kali ini. Bilangan pengundi muda dalam usia 21 hingga 40 tahun yang pertama kali mengundi juga turut memainkan peranan penting penentu arah tuju dan masa depan Malaysia. Peralihan kesetiaan pengundi-pengundi di saluran 2 dan 3, sama ada kaum Melayu ataupun Cina, juga menambahkan lagi debaran menunggu keputusan. Isu-isu yang diketengahkan di dalam manifesto parti perlu diberikan pemerhatian serius kerana ia amat mempengaruhi sikap para pengundi, terutama pengundi-pengundi 'atas pagar'. 

Saya berpendapat isu-isu peribadi calon yang digembar-gemburkan tidak begitu melekat di hati majoriti pengundi. Tetapi kewibawaan dan kesungguhan para calon mengangkat isu-isu rakyat telah dapat menawan hati pengundi sekalian. Isu-isu video lucah, LBGT dan seumpamanya sudah tidak memberikan sebarang kesan lagi, malah penggundi menganggap semua itu adalah fitnah yang direka-reka. Ini terbukti melalui kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaya tidak lama dahulu. Malah isu TG Nik Aziz memiliki 4.4 ekar tanah di Kota Bharu, Kelantan juga tidak mencalarkan langsung perasaan rakyat Kelantan. Begitu juga dengan isu-isu remeh yang cuba dipalitkan kepada PAS yang memerintah Kedah pada masa ini, tidak sedikitpun memberi apa-apa kesan kepada rakyat Kedah. Malah dilihat usaha BN untuk 'merampas' Selangor daripada PR adalah usaha 'ganas' yang tidak mendapat restu majoriti rakyatnya.

Kebangkitan rakyat amat membingungkan BN kerana selama ini suasana tersebut tidak pernah diduga akan berlaku. Kebangkitan 'reformasi' tahun 1998 dahulu tidak sehebat kebangkitan rakyat pada masa kini berdasarkan kepada suasana yang berlaku di beberapa tempat sepanjang musim berkempen. Di Putrajaya, Gelang Patah, Seremban, Ipoh, Tawau, Sibu dan beberapa tempat lain telah menyaksikan puluhan ribu rakyat menghadiri ceramah-ceramah PR yang sebelum ini tidak pernah berlaku. Hal ini amat menggerunkan BN. Itu belum lagi melihat rakyat Kelantan memenuhi Stadium Sultan Mohamad IV di Kota Bharu beramai-ramai bersolat hajat dan bermunajat pada pukul 3.30 pagi, memohon supaya Kelantan terus kekal di perintah oleh PAS dan PR. Begitu juga dengan kehadiran lebih 100,000 rakyat Pulau Pinang membanjiri Padang Kota Lama mendengar ceramah DAP dan PR. Semua ini memang memeningkan kepala pemimpin-pemimpin BN.

Calon-calon yang menawarkan diri juga menarik perhatian pengundi. BN yang sebelum ini menguar-uarkan akan meletakkan calon-calon boleh menang (winnable candidates) sahaja, telah memeranjatkan banyak pihak. Rakyat berpendapat BN akan memberi perhatian mendalam terhadap kriteria 'calon-calon boleh menang' seperti calon yang bersih dan bebas daripada isu-isu integriti, bebas rasuah, bukan kroni dan seumpamanya. Namun pada 20 April 2013, iaitu hari penamaan calon, harapan rakyat ternyata meleset. Sebilangan calon BN yang diketengahkan ternyata tidak menerpati aspirasi dan harapan rakyat. Apa tidaknya, ada dalam kalangan calon BN yang pernah disabitkan kesalahan politik wang dinamakan sebagai calon PRU13. Begitu juga ada calon-calon 'kitar semula' yang diberikan watikah. Justeru, ramailah dalam kalangan anggota BN yang tidak puas hati dan memilih bertanding sebagai calon bebas menentang calon-calon yang dinamakan secara rasmi. Perpecahan sudah berlaku, cuma jurangnya sahaja yang tidak digambarkan dengan jelas sama ada lebar ataupun sempit!

Berdasarkan  kepada beberapa perkara lain yang saya perhatikan, maka saya cenderung untuk meramalkan pertarungan paling sengit akan berlaku. Kemenangan pada mana-mana pihak, BN atau PR, adalah kemenangan yang tipis dan tidak akan dapat menguasai 2/3 kerusi Parlimen. Tetapi tidak mustahil sejarah akan tercipta!


RAMALAN KEPUTUSAN PRU13
PARLIMEN MALAYSIA
NEGERI-NEGERI
PAKATAN RAKYAT
BARISAN NASIONAL
PERLIS
2
1
KEDAH
12
3
KELANTAN
13
1
TERENGGANU
4
4
PULAU PINANG
13
0
PERAK
16
8
PAHANG
2
12
SELANGOR
21
1
WILAYAH PERSEKUTUAN
13
0
NEGERI SEMBILAN
2
6
MELAKA
2
4
JOHOR
10
16
SABAH
10
15
SARAWAK
10
21
JUMLAH
130
92

Wallahu'alam.

May 3, 2013

DALAM DEBAR MENANTI


DALAM DEBAR MENANTI adalah jodol salah sebuah puisi saya yang memenangi Sayembara Puisi Kebangsaan ESSO-GAPENA 1989. Ia diterbitkan bersama puisi-puisi pengarang lain yang memenangi sayembara tersebut di dalam antologi Di Atas Mimbar Merdeka (DBP, 1989) dan antologi tersebut telah dilancarkan pada 14 Ogos 1989 di Hotel Shangri-la, Kuala Lumpur (kini nama hotel tersebut sudah ditukar kepada nama baharu). Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan semasa acara pelancaran antologi berkenaan, TPM telah memilih puisi saya untuk dibacakannya di atas pentas. Saya amat teruja dan memberanikan diri bertemu TPM selepas itu meminta autografnya. Dengan rela hati beliau menurunkan tanda tangannya pada puisi saya itu. Saya masih menyimpan puisi itu dengan baik sehingga kini.

Tetapi kali ini saya bukan bermaksud untuk menulis tentang puisi itu. Saya ingin menyentuh perasaan yang menghurung benak saya (juga jutaan rakyat Malaysia) pada ketika ini. Apa tidaknya, tarikh yang ditunggu sudah semakin hampir, hanya dua hari sahaja lagi. Tentulah debaran semakin kencang berdegup. Apatah lagi bagi tokoh yang membaca puisi saya pada 14 Ogos 1989 dahulu kini menanti detik untuk melihat keputusan rakyat; sama ada beliau akan dapat menawan Putrajaya ataupun sebaliknya. Tokoh tersebut ialah Datuk Seri Anwar Ibahim, yang memimpin Pakatan Rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) pada Ahad, 5 Mei 2013 nanti.

PRU13 kali ini diibaratkan sebagai ibu segala pilihanraya Malaysia semenjak kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957 yang silam. Semenjak kemerdekaan hanya parti Perikatan (kemudiannya menjadi Barisan Nasional=BN) sahaja yang memenangi 12 kali pilihanraya terdahulu. Parti-parti lain hanya merupakan duri-duri kecil yang tidak meninggalkan sebarang rasa sakit sedikitpun di tubuh BN. Tetapi gelombang perubahan telah dirasai pada PRU12 tahun 2008 yang lalu, apabila BN diberi tentangan sengit sehingga parti pemerintah itu gagal memperolehi majoriti 2/3 di Parlimen. Hal itu telah menjadikan BN terlalu gelabah apabila menghadapi PRU13 pada Ahad nanti.

Bagi saya kemenangan parti-parti pembangkang (PAS, PKR dan DAP) di dalam PRU12 yang lalu hanyalah sekadar taufan, bukan lagi tsunami seperti yang disebut-sebut banyak pihak sebelum ini. Bagi saya tsunami politik Malaysia sebenarnya masih belum tiba. Apabila PAS, PKR dan DAP sudah bersatu di dalam satu wadah perjuangan yang sama, ia menepati ramalan saya sejak tahun 2000 yang lalu bahawa politik Malaysia menjurus kepada sistem dua parti. Kini terbukti, PRU13 kali ini adalah pertarungan antara BN dan Pakatan Rakyat (PR) sahaja. Tiada lagi parti-parti kerdil yang mendapat simpati rakyat walaupun parti-parti seperti Berjasa, Bersama, KITA, PCM dan lain-lain turut memperjudikan nasib calon-calon mereka pada PRU kali ini, selain calon-calon bebas. Namun saya berpendapat kehadiran parti-parti tersebut hanya sekadar memeriahkan lagi suasana 'raya' yang disambut setiap lima tahun sekali ini sahaja!

Melihat kepada peperangan poster dan ceramah umum di seluruh negara, rakyat sudah dapat mengagak kemenangan akan memihak kepada siapa. Bagi anggota dan penyokong BN pasti sekali mengatakan BN akan menyapu bersih kerusi-kerusi Parlimen dan akan membentuk kerajaan. Begitu juga dengan anggota dan penyokong PR, mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa PR akan mencipta sejarah di dalam arus politik Malaysia. PR yakin akan dapat memenangi 2/3 kerusi Parlimen dan akan membentuk kerajaan baharu. Inilah debaran yang sebenarnya.

Senario politik Malaysia masakini sudah berbeza daripada senario tahun-tahun 1960-an hingga 1990-an kerana arus perubahan sudah dapat dirasai dengan jelas sekali. Sejak tahun 2000, lebih tepat lagi sejak 2004 hingga kini ramai dalam kalangan rakyat sudah berani menyuarakan pendapat dan pandangan kritis terhadap pemerintah. Rakyat sudah berani bangun menentang ketidakadilan sosial, kepincangan ekonomi, kerakusan penggunaan dan pembaziran wang rakyat, cengkaman rasuah, kehakisan integriti, keutamaan kroni dan sebagainya yang bermaharajalela. Rasa muak di jiwa rakyat sudah tidak dapat dibendung lagi. Lalu, apabila PAS, PKR dan DAP sudah dapat duduk semeja, melenditkan kekusutan baju masing-masing serta membina keyakinan diri yang cukup tinggi, rakyat menjadi semakin berani bersuara serta tampil menolak BN. Oleh sebab itulah pada PRU12 yang lalu, selain Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor telah dapat ditawan oleh PR. BN melompat seperti cacing kepanasan dan terus mengalami 'meroyan' yang tidak keruan apabila suara mereka di Parlimen merosot dengan teruk sekali. Sejarah ini tidak akan terpadam sampai bila-bila.

Keputusan PRU12 menjadi tanda aras menentukan keputusan PRU13. Hubungan PAS, PKR dan DAP semakin mantap. Hal-hal remeh sudah diketepikan, perkara-perkara dasar dipersetujui bersama. Ternyata pakatan ketiga-tiga parti ini mendapat restu rakyat yang menyatakan sokongan yang kuat dan padu. Sehari ke sehari senario ini menjanjikan keyakinan yang semakin mantap. Kejayaan sudah di ambang. 

BN juga tidak kurang melipat gandakan usaha mereka untuk meyakinkan rakyat tentang keupayaan mereka untuk terus memerintah. Pelbagai janji dihamburkan kepada rakyat termasuklah 'gula-gula' yang sudah tidak semanis mana lagi kerana kemanisan yang sebenarnya sudah disedut terlebih dahulu oleh kroni-kroni. Usaha tersebut adalah semata-mata untuk mengaburi mata rakyat, terutama rakyat yang sudah tidak dapat melihat dan membezakan antara ilusi dan kenyataan. Akibatnya rakyat yang termakan 'gula-gula' tersebut tidak akan berganjak daripada menyokong 'tuan' mereka itu walaupun tahu mereka hanyalah digula-gulakan sahaja!

Tetapi saya amat terasa kebijaksanaan rakyat Malaysia yang sudah jauh berbeza daripada zaman-zaman 1960-an hingga tahun 1990-an yang lalu. Rakyat sudah terbuka minda mereka, sudah dapat membezakan antara hitam dan kelabu. Sudah tahu yang mana sogokan palsu dan yang mana pemberian ikhlas. Sudah cepat membuat pendirian, parti mana yang akan diberikan undi pada PRU nanti. Ramai rakan saya yang dahulunya bersembunyi di sebalik pelbagai alasan kini sudah berani menyatakan pendirian politik mereka secara terbuka, terutama rakan-rakan keturunan Cina. Kebanjiran maklumat yang diperolehi dengan mudah di hujung jari sahaja turut memainkan peranan membijaksanakan rakyat. Pelbagai maklumat melalui internet telah mempengaruhi minda mereka meskipun mereka adalah pengundi-pengundi saluran 2.

Rakyat Malaysia kini menanti dengan penuh debaran dan harapan menggunung.  

Mar 30, 2013

LETIH MENUNGGU

RATA-RATA orang bercakap tentang tarikh pilihan raya ke 13 yang masih lagi menjadi tanya tanya. Sehingga kini tiada siapa yang tahu bila tarikhnya akan diumumkan. Seluruh negara ternanti-nanti pengumuman pembubaran Parlimen Malaysia.

Telah beberapa kali telahan dibuat pelbagai pihak, namun telahan tersebut meleset. Perdana Menteri yang memegang kuasa untuk membubarkan parlimen masih terus membisu seribu bahasa. Entahlah kenapa belum diumumkan, adakah belum ada keberanian dan keyakinan? Atau mungkinkah masih ada masalah dalaman yang belum selesai sehingga kini? Tiada siapa yang tahu.

Dua hari lepas, saya terserempak dengan dua situasi yang agak melucukan berhubung dengan PRU13 yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Situasi 1 -
Saya berkesempatan bertemu seorang rakan di kawasan perumahan tempat tinggal lama saya. Rakan tersebut berusia lingkungan awal 50-an, berumah tangga dan bekerja sendiri.

"Tangan terketar-ketar dah ni!" Ujar rakan tersebut selepas bersalaman dengan saya.

"Eh, tak kan terkena penyakit parkinson kot?" soal saya sambil tersenyum. Saya tahu rakan tersebut masih sihat sejahtera.

"Bukan! Tangan terketar-ketar tak sanggup nak tunggu untuk 'memangkah'," jawabnya sambil melabuhkan punggung ke atas kerusi konkrit di hadapan rumah seorang rakan lain, jiran terdekatnya.

Saya faham sejak awal lagi maksud yang tersirat. Tetapi sengaja saya buat-buat tidak faham untuk menguji pendiriannya dalam memilih calon yang bertanding dalam PRU13 nanti. Melalui perbualannya saya sudah dapat meneka di sebalik mana dia berdiri.

Tetapi mendengar kenyataan dia seterusnya membuatkan saya tersenyum.

"Ibarat menunggu pesanan di kedai kopi. Kopi sudah sampai, dah hirup separuh cawan, tetapi roti canai belum sampai-sampai. Oleh sebab terlalu lama menunggu, selera jadi mati. Akhirnya terpaksa angkat punggung. Pergi ke warung lain dan apa yang pasti, pilihan akan berubah mengikut selera yang baru."

Situasi 2 -
Saya terdengar perbualan beberapa orang di taman rekreasi tempat saya bersenam dua kali seminggu. Hanya cuti hujung minggu sahaja saya berkesempatan bersenam untuk menyihatkan tubuh badan.

Semasa saya sudah hampir selesai bersenam, saya bertembung dengan beberapa orang tersebut yang sedang berbincang hangat.

"Saya baru balik dari Kelantan. Dah habis tanah di bandar-bandar telah dimajukan. Rumah kedai dan rumah kediaman berharga beratus-ratus ribu ringgit. Orang Melayu sudah tak mampu nak beli. Orang Cina pakat beli ramai-ramai." Suara salah seorang daripada mereka agak keras dan tinggi.

"Orang luar dari Kelantan tak boleh beli tanah di sana. Hanya untuk orang Kelantan saja. Semua tanah di Kelantan adalah Tanah Rezab Melayu!" tingkah salah seorang yang lain.

"Alaah, kuasa di tangan siapa? Kerajaan sekarang boleh ubah apa saja undang-undang," seorang yang lain pula menyimbah minyak ke bara yang panas.

"PRU13 nanti Kelantan akan tumpas!" suara orang pertama tadi masih meninggi.

"Tak mungkin!! Dengan kepimpinan Kerajaan yang ada sekarang ni, jangan mimpi Kelantan akan dirampas," suara orang ketiga tadi mencelas pantas dengan penuh yakin. "Aku berani berbogel dan meniarap di atas batu refleksologi ni, kalau Kelantan jatuh ke tangan parti lain dalam PRU13 nanti!"

Ternyata tahap keyakinannya terhadap keupayaan Kerajaan Negeri Kelantan kini amat utuh. Tiada sedikitpun ada rasa goyah di hatinya.

Sebenarnya seluruh pelosok tanah air dan seluruh rakyat yang layak mengundi memang ternanti-nanti bilakah PRU13 akan dijalankan. Namun, masing-masing dah letih menunggu pengumuman pembubaran parlimen membuatkan rakyat menjadi jemu!

Jun 6, 2012

SAYONARA PIALA THOMAS

SUDAH agak lama saya tidak menulis di blog ini. Masa terlalu suntuk di tambahi bebanan tugas dan tanggung jawab yang semakin menggunung. Lagi pula tidak ada perkara yang benar-benar menyentuh hati saya untuk saya tuliskan.

Tetapi hari ini ada sesuatu yang menyentuh perasaan saya. Suatu perasaan yang tidak semena-mena menggetar perasaan, yang bagai diminta-minta supaya saya luahkan. Saluran lain sudah tentu tidak akan mendapat perhatian, melainkan di blog ini sahajalah.

Saya ingin menulis tentang sukan badminton. Ia satu jenis sukan yang mendapat tempat di hati rakyat negara Malaysia sejak sekian lama. Walaupun saya sendiri tidak begitu berminat dengan sukan ini malah jarang mengikuti perkembangannya, tetapi hari ini terasa ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama-sama pembaca. Apatah lagi apabila saya membaca komentar seorang bekas pemimpin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai kemerosotan sukan tersebut sejak akhir-akhir ini.

Bekas Presiden BAM Tan Sri Elyas Omar telah menyuarakan rasa terkilannya di dalam akhbar Harian Metro pada hari ini (Metro Edisi Utara: m/surat 60 : Arena), bahawa BAM tidak layak diberi peluang kedua kerana sudah terlalu kerap mengulangi kegagalan. Beliau yang memimpin BAM sehingga menjulang Piala Thomas tahun 1992 mengatakan BAM seharusnya bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan (responsible and accountable) terhadap prestasi pasukan yang semakin tidak ketahuan sekarang ini.

Saya dapat rasakan betapa kecewanya Elyas melihat prestasi pasukan badminton Malaysia yang dihambat kegagalan demi kegagalan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Sudah tentu sebagai orang kuat BAM suatu ketika dahulu, beliau tidak puas hati dengan apa yang berlaku. Setidak-tidaknya beliau merasakan apa yang pernah dirancangkan dahulu tidak dilaksanakan sekarang.

Saya sendiri melihat kemelut di dalam sukan ini semakin meruncing. Malaysia yang suatu ketika dahulu merupakan kuasa dunia (world power) kini semakin tergugat. Bilangan kemenangan sudah beransur kurang dan yang lebih menyedihkan pemain-pemain Malaysia tewas kepada pemain-pemain negara lain yang jauh lebih rendah 'rangking'nya di dunia.

Apa yang sudah terjadi sebenarnya? Hanya orang-orang di dalam BAM yang dapat memberitahu apakah sebenarnya yang melanda persatuan sehingga menyebabkan prestasi permainan semakin merudum. Orang luar hanya dapat menelah dan mengandaikan apa-apa sahaja, termasuklah bekas Presiden BAM sendiri!

Tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya juga ingin tahu hal yang sebenarnya yang menyebabkan kemerosotan sukan badminton sejak akhir-akhir ini. Sebagai rakyat yang mahu melihat Malaysia merangkul kejayaan demi kejayaan di pentas dunia, sudah tentu saya tidak dapat menerima alasan-alasan yang remeh dan meloyakan!

Malaysia sudah terlepas peluang untuk merampas Piala Thomas pada kali ini. Ini bermakna harapan rakyat untuk melihat Malaysia muncul kembali di persada dunia sebagai pasukan rasaksa turut terkubur. Malaysia tewas di peringkat suku akhir sahaja! Dan yang lebih malang pemain utama negara Lee Chong Wei (Datuk) tersadai akibat kecederaaan pada kaki kanannya. Alangkah malangnya Malaysia!

BAM harus membuka mata, membuka minda dan menerima teguran-teguran daripada pelbagai pihak yang cintakan sukan badminton serta mahukan Malaysia bangkit semula sebagai pasukan elit yang terkemuka. Perancangan perlu dilakukan dengan segera. Bukan itu sahaja BAM perlu menggunakan apa sahaja sumber yang ada untuk memperkemaskan lagi pasukan negara.

Pemain-pemain muda yang berpotensi tidak perlu diperap atau disimpan lebih lama. Mereka perlu diberikan pendedahan di peringkat antara bangsa yang lebih mencabar. Jangan dibiarkan potensi mereka terbuang dengan sia-sia. BAM perlu bertindak dengan lebih pro-aktif dan agresif lagi untuk mencungkil bakat-bakat baharu sebagai persediaan di masa hadapan. Lihat sahaja pasukan China contohnya, barisan pemain mereka silih berganti. Ada sahaja pemain-pemain muda yang diketengahkan dan itu membina keyakinan diri pemain-pemain tersebut. Sedangkan Malaysia seperti ketandusan pemain-pemain muda yang berpotensi. Atau pemain-pemain itu disimpan di dalam peti sejuk beku?

Lihat apa yang berlaku sekarang, apabila Chong Wei sudah tidak dapat bermain, pasukan Malaysia seperti kehilangan arah. Sampai bila BAM mahu mengharapkan tenaga dan kederat Chong Wei? Tidak berapa lama lagi pasti dia akan menggantung reketnya. Apakah pada masa itu baharu BAM mahu mencari dan menggilap bakat-bakat baharu?

Kata Tan Sri Elyas Omar lagi, "pemergian Rexy dan Yong-sung adalah satu petanda buruk. Apa yang berlaku sebenarnya? Situasi ini berlaku ibarat api dalam sekam, siapa yang merancang kita tidak tahu, mereka bersembunyi".

Jelas tokoh yang menjulang badminton Malaysia suatu waktu dahulu amat kesal apabila beliau menyelar sikap BAM mengenai isu kejurulatihan sehingga dua orang jurulatih bertaraf dunia itu meletak jawatan menjelang saingan Sukan Olimpik, London pada bulan hadapan. Harapan untuk membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik juga turut terjejas. Tidak lama dahulu jurulatih Misbun Sidek (Datuk) juga turut meletak jawatan.

Sehingga kini kita sudah ucapkan Sayonara Piala Thomas. Apakah pingat emas Olimpik juga akan turut terlepas?

Apr 20, 2012

PTPTN DAN MASA DEPAN BANGSA


ISU PTPTN kini hangat diperdebatkan. Ada pihak yang sanggup menganjurkan sesi debat di antara wakil-wakil parti pemerintah dan parti pembangkang untuk berhujah tentang isu berkenaan. Pada ketika saya menulis ini, sebilangan mahasiswa sedang berkhemah di Dataran Merdeka, di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, sebagai menyatakan pendirian mereka mendesak kerajaan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Keadaan menjadi lebih hangat lagi apabila awal pagi semalam, diberitakan 40 orang individu tidak dikenali telah menyerang mahasiswa yang berkhemah di tempat berkenaan.

Tuntutan yang disuarakan mahasiswa tersebut adalah suara generasi masa kini yang merasa PTPTN perlu dimansuhkan dan kerajaan sepatutnya menyediakan pendidikan secara percuma kepada rakyat. Itu motif perjuangan mereka. Tetapi suara-suara politik begitu galak memberikan pelbagai tafsiran mengenai isu berkenaan. Pihak pembangkang menyatakan jika mereka menang pilihan raya akan datang, PTPTN akan dihapuskan. Manakala pihak kerajaan pula menegaskan jika PTPTN dihapuskan negara akan muflis.

Apabila dilihat menggunakan kaca mata politik, tentu sekali akan ada perbezaan pendapat. Masing-masing mempunyai alasan kenapa mereka menyokong atau membantah isu yang berbangkit. Namun, rakyat tidak sepatutnya dikelirukan tentang kedudukan sebenar PTPTN ini. Pihak kerajaan yang melahirkan institusi PTPTN ini perlulah memberikan penjelasan yang telus mengenainya. Tidak perlu berselindung di sebalik sebarang alasan kerana ini akan melibatkan masa depan bangsa.

Semantara itu pihak pembangkang juga harus membuat kajian mendalam sekiranya PTPTN dimansuhkan nanti, mampukah pendidikan diberikan secara percuma kepada anak bangsa?

Manakala rakyat pula seharusnya bijak membuat keputusan kerana pilihan rakyat akan menentukan masa depan bangsa sendiri.

Secara zahir apa yang dapat dilihat sejak PTPTN diwujudkan sehingga kini, seramai 1.9 juta pelajar telah menikmati manfaat pinjaman yang diberikan oleh PTPTN untuk mereka melanjutkan pengajian di institutsi pengajian tinggi di dalam negara, sama ada awam atau swasta. Jumlah 1.9 juta orang itu bukanlah satu bilangan yang kecil. Dengan itu bolehlah dikatakan bahawa dengan adanya pinjaman PTPTN itu 1.9 juta orang anak bangsa telah dapat melanjutkan pengajian mereka. Bilangan itu akan semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Apa tidaknya, sebaik sahaja keputusan SPM atau STPM diumumkan, para pelajar yang berjaya mendapat tawaran ke mana-mana IPT akan menerima sekeping cek RM1,500-00 sebagai bayaran pendahuluan bagi membolehkan urusan pendaftaran di IPT dilakukan. Dengan kemudahan yang sampai ke rumah masing-masing itu, tentulah tidak akan ditolak. Tetapi apabila surat perjanjian diserahkan untuk ditanda tangani, baharulah masing-masing sedar bahawa terdapat pelbagai syarat yang dikenakan, termasuklah tindakan undang-undang jika pinjaman itu tidak dilunaskan kemudiannya.

Surat cara itu bukan sahaja perlu ditanda tangani oleh para pelajar (peminjam) malah oleh dua orang penjamin yang lazimnya terdiri daripada ayah dan ibu atau ahli keluarga terdekat. Ini bermakna penjamin-penjamin tersebut juga terlibat bertanggung jawab sekiranya peminjam gagal melunaskan pinjamannya kelak. Hanya jika peminjam berjaya memperolehi kejayaan cemerlang di dalam pengajiannya, baharulah pinjaman itu ditukarkan menjadi biasiswa dan tidak perlu lagi dibayar balik kepada PTPTN.

Senario inilah yang perlu diperdebatkan. Jika pinjaman PTPTN itu tidak ditawarkan secara terus kepada para pelajar tetapi mereka perlu membuat permohonan, wajarlah dikenakan pelbagai syarat tersebut. Tetapi oleh kerana tawaran itu dihulurkan tanpa sebarang permohonan, ia seolah-olah menyuapkan 'racun' yang disalut manisan ke dalam mulut para pelajar. Tentu sekali sukar untuk mereka dan para ibu bapa menolaknya. Keadaan hanya bertukar menjadi perit setelah manisan itu habis dan meninggalkan 'racun' di dalam kerongkong. Mahu tidak mahu pada ketika itu, ia sudah tidak dapat diluah lagi kecuali menelannya.

Seperkara lagi yang perlu diperdebatkan ialah, bebanan yang harus dipikul oleh para graduan selepas mereka tamat pengajian. Bagi mereka yang mudah mendapat tawaran pekerjaan dengan pendapatan lumayan, tidak sukar untuk melangsaikan hutang pinjaman PTPTN tersebut. Tetapi bagi mereka-mereka yang tidak mendapat pekerjaan tetap dengan pendapat lumayan, membayar balik pinjaman tersebut amatlah memeritkan. Kos sara hidup semakin meningkat saban waktu. Bagi mereka yang baharu hendak memulakan kehidupan akan terasa bebanan untuk menjelaskan hutang. Mereka sudah menanggung hutang seawal mereka bergelar graduan! Siapakah yang membuatkan mereka terjebak ke dalam kancah hutang itu? Tentulah PTPTN! Dan hal ini tidak mungkin dapat disangkal lagi.

Benar, hutang mesti dilunaskan. Bukan sahaja ia termaktub di dalam perjanjian pinjaman, malah di dalam ajaran agama sekalipun, hutang wajib dilangsaikan. Namun, keadaan yang begitu menekan para graduan menjadikan mereka tidak mampu melangsaikan hutang tersebut, walaupun secara beransur-ansur. Akibatnya nama mereka di'senaraihitamkan' pihak berwajib sekaligus menyekat kebebasan mereka pada masa hadapan. Siapakah yang rugi? Pastinya, bangsa kita akan rugi!

Bagi generasi terdahulu yang kini dalam usia emas, zaman mereka belajar dahulu tidak ada PTPTN. Mereka belajar sehingga ke peringkat universiti tanpa sebarang pinjaman. Malah kerajaan menyediakan biasiswa, baik biasiswa negeri atau pun biasiswa persekutuan. Mereka belajar dengan sempurna dan kini berjaya menjawat jawatan-jawatan tinggi baik di sektor kerajaan ataupun swasta. Mereka bebas daripada hutang sebaik sahaja tamat pengajian masing-masing. Mereka membina kehidupan dengan tenang dan bebas hutang. Kenapa keadaan seperti itu tidak boleh diwujudkan kembali di Malaysia?

Rasanya tidak ada siapa yang akan menuduh kita mundur jika berpatah balik kepada sistem pendidikan percuma untuk rakyat negara kita. Daripada peringkat pra-sekolah sehingga tamat pengajian ijazah sarjana muda di universiti sepatutnya diberikan secara percuma kepada semua anak bangsa yang layak. Pihak universiti pula tidak seharusnya mengenakan yuran pengajian yang tinggi sehingga menafikan para pelajar dari golongan miskin untuk mendapat peluang belajar. Pada masa kini, hanya UiTM sahaja yang mengenakan yuran pengajian yang rendah dan mampu dibayar, sedangkan univerisiti-universiti lain yurannya adalah jauh lebih tinggi. Itu tidak termasuk universiti-universiti swasta yang bercambah di negara kita pada masa ini yang mengenakan yuran pengajian yang berlipat kali ganda tingginya daripada universiti-universiti awam.

Apa yang menyedihkan ialah anak bangsa kita sudah ditambah dengan jerut hutang seawal usia mereka, lantas menjadikan mereka terikat dan terpasung tanpa banyak kebebasan. Bilangan mereka akan meningkat setiap tahun dan kerumitan ini akan lebih kusut jadinya. Ayuh, segeralah kita sedar perkara ini dan perbetulkan demi kelangsungan bangsa di hari muka.

Mar 17, 2012

RM700 UNTUK SATU TUGAS?

TERKEDU saya mendengar berita terkini tentang tuntutan bayaran gaji minima RM700 sebulan untuk pembantu rumah warga Indonesia yang mahu diambil bekerja di Malaysia. Tambahan pulan jumlah tersebut hanya untuk satu tugasan sahaja!

Maknanya, jika pembantu rumah tersebut diambil sebagai tukang masak, dia hanya akan memasak sahaja, tugas-tugas lain di rumah majikannya tidak akan dilakukan. Begitulah juga jika dia diambil bekerja sebagai penjaga bayi, anak-anak lain di dalam rumah majikannya tidak akan dijaganya. Kalau dia hanya ditugaskan sebagai pembasuh pakaian, pasti nanti kebersihan pakaian sahajalah yang akan dijaga, tempat-tempat lain tidak akan dibersihkannya.

Nampaknya sehingga kini pembantu rumah Indonesia sudah mula 'meletakkan harga' dan 'meletak syarat' kepada warga Malaysia yang terdesak dan amat memerlukan khidmat mereka. Ini sudah keterlaluan kerana 'harga' tersebut amatlah tinggi kerana kebanyakan warga Malaysia yang memerlukan khidmat 'bibik' adalah dari kalangan mereka yang berpendapatan sederhana. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi mungkin itu tidak menjadi masalah, kerana mereka berkemampuan menggaji beberapa orang 'bibik' pada satu-satu masa.

Bagi sepasang penjawat awam yang jumlah pendapatan bersama suami isteri lebih kurang RM7,000 sebulan misalnya, untuk membayar 10% daripada pendapatan mereka kepada seorang 'bibik' untuk satu tugasan sahaja, amatlah besar jumlahnya. Mereka sudah tentu tidak mampu menggaji seorang 'bibik' lain untuk menguruskan anak-anak mereka yang berkemungkinan di antara 3-4 orang ramainya.

'Harga' yang diletakkan oleh pihak berkuasa Indonesia itu terlalu tinggi dan perlu dikaji semula. Pihak Kementerian Sumber Manusia Malaysia juga perlu benar-benar mengkaji perkara ini dengan memikirkan bebanan yang akan ditanggung oleh rakyat jika 'harga' tersebut diterima pakai. Bukan itu sahaja, warga Malaysia juga perlu mengkaji semula menggaji 'bibik' dari Indonesia jika tawaran sedemikian tidak dapat dikompromikan.

Jika pada tahun-tahun 70-an dahulu, isu pembantu rumah tidak timbul malah tidak sesukar sekarang. Dahulu rata-rata pembantu rumah terdiri daripada rakyat tempatan dengan bayaran yang mengikut kesesuaian dan persetujuan bersama di antara majikan dan pekerja. Tidak ada sebarang cerita negatif tentang pembantu rumah ketika itu, sama ada kisah pembantu rumah melarikan diri, mencuri dan melarikan hakmilik majikan, melarikan anak majikan dan sebagainya. Kenapa sejak kebelakangan ini perkara-perkara sedemikan makin menjadi-jadi?

Serupa juga dengan kisah-kisah penderaan majikan ke atas pembantu rumah. Jika dahulu kisah-kisah sedemikan tidak kedengaran, kini kerap timbul laporan-laporan seumpama itu. Di mana silapnya? Siapa yang perlu disalahkan?

Mungkin kerana beberapa kes penderaan oleh majikan ke atas pembantu rumah yang berlaku dan telah dibesar-besarkan, ia menyebabkan pihak sebelah sana terpaksa 'meletakkan harga' sedemikian bagi menjaga kebajikan warga mereka yang bakal bekerja di sini. Sebenarnya semua pihak mengecam tindakan kejam segelintir majikan berhati binatang seperti itu. Tetapi dengan 'harga' sedemikian pasti akan membebankan majikan di sini yang benar-benar jujur memerlukan khidmat 'bibik'.

Walau bagaimanapun menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia pihak Kementerian masih belum menerima secara rasmi sebarang usul Kerajaan Indonesia berhubung gaji minima RM700 tersebut. Sehingga kini terma-terma di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua Kerajaan masih belum ada sebarang pindaan dan semua terma seperti yang dipersetujui pada bulan November tahun lepas masih kekal.

Bagi mengurangkan bebanan rakyat yang memerlukan pembantu rumah warga asing, rasanya sudah sampai masa dan ketikanya, Kerajaan menyediakan pusat asuhan bayi dan kanak-kanak di setiap pejabat kerajaan. Ini akan memudahkan penjawat awam mendapatkan khidmat penjagaan bayi dan kanak-kanak di tempat kerja masing-masing. Bagi mendapatkan kaki tangan berkelayakan mungkin tidak menjadi masalah lagi kerana dewasa ini sudah banyak institusi pengajian yang menyediakan kursus-kursus berkaitan seperti Diploma Penjagaan Awal Kanak-kanak atau Diploma Penjagaan Kanak-kanak. Bilangan pemegang sijil dan diploma sudah mula memenuhi pasaran tenaga kerja.

Kenapa tidak ditawarkan kerja kepada pemegang-pemegang sijil atau diploma berkenaan? Mereka semua adalah warga negara kita sendiri. Di samping memberikan peluang pekerjaan kepada mereka, ibu bapa yang merupakan penjawat awam juga akan lebih tenang bekerja kerana masalah penjagaan bayi dan anak-anak mereka lebih terjamin.

Perkara utamanya sekarang ialah kerajaan perlu menyediakan pusat penjagaan bayi dan asuhan kanak-kanak di setiap pejabat dengan segera.

Feb 8, 2012

TIDAK SESUKAR MANA

BUKANNYA sukar untuk mengenali seseorang. Tidak susah untuk anda mengetahui peribadi seseorang itu walaupun hanya mengenalinya dalam waktu yang singkat.

Mungkin orang akan berkata itu hanyalah kenyataan retorik semata-mata. Namun hakikatnya begitulah. Jika anda benar-benar mengetahui teknik dan caranya, anda pasti akan dapat mengenali kenalan baharu anda itu dalam tempoh yang singkat.

Peribadi seseorang akan terserlah melalui gerakan di beberapa bahagian tubuhnya. Ia dikenali sebagai 'Bahasa Tubuh' atau 'Body Langguage'. Perhatikan gerakan-gerakan tersebut dengan teliti, anda pasti akan dapat mengenalinya.

Sebetulnya tidak sesukar mana untuk memahami bahasa tubuh seseorang. Gerakan-gerakan yang berlaku atau dilakukan oleh orang itu mencerminkan sikapnya. Biar gerak tangan, gerak bibir, gerak mata atau gerak jarinya sekalipun, kesemua itu memberi gambaran terhadap sikapnya. Sikap diri itu memberi makna tentang peribadi orang tersebut.

Anda harus kerap melihat setiap gerak tubuh seseorang dengan penuh teliti, menghalusi dan mentafsirnya. Tafsiran yang diberikan tidak semestinya tetap seratus peratus, namun lebih daripada 80 peratus adalah benar.

Tetapi awas, jangan pula melihat susuk tubuhnya! Itu amat membahayakan!

Jan 6, 2012

AWAL TAHUN BAHARU

Gambar hiasan : Dipetik daripada portal rasmi JAKIM


AWAL Tahun 2012 ini telah ditandai dengan berita sedih, kematian salah seorang ahli keluarga. Dia adalah suami kepada anak saudaraku.

Tepat 6.45 pagi awal tahun dia menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar akibat penyakit kencing manis yang kronik. Dua hari sebelum itu aku bersama isteri dan dua orang anakku sempat melawatnya di rumahnya di Kampung Sakan, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar. Masa itu dia sudah tidak berdaya, hanya terbaring di atas katil di tengah rumahnya.

Dua bulan sebelum itu dia dimasukkan ke hospital berkenaan pada sama tarikh kereta Kancil milik isteriku dicuri. Beberapa hari di wad, doktor tidak dapat menyelamatkan keadaan kaki kanannya melainkan terpaksa memotong di paras pangkal paha kerana tahap penyakitnya yang terlalu serius. Setelah dua bulan terlantar di hospital, keadaannya menunjukkan tanda-tanda positif sehinggalah doktor membenarkan dia dikeluarkan daripada hospital. Tetapi hanya tiga hari di rumah, dia diserang sesak pernafasan dan dihantar semula ke hospital. Doktor terus memasukkannya ke Wad Rawatan Rapi (ICU). Dia hanya bertahan genap sehari.

Sesungguhnya pada setiap kematian itu ada iktibar yang dapat dikutip. Ada keinsafan yang dapat dirasai. Ada kesyukuran yang harus memenuhi jiwa.

Dia sudahpun tiba ke titik akhirnya di dunia fana ini. Dia sudah dijemput kembali ke kampung asalnya di sisi Allah s.w.t. Namun bagi kita yang masih lagi berkelana dan bermusafir harus segera insaf bahawa detik kita akan tiba jua akhirnya. Suatu hari suatu waktu akan datang entah bila, kematian akan tiba menamatkan hayat di dunia ini.

Persoalannya apakah kita sudah bersedia untuk menghadapi detik itu? Biar apa pun punca kematian kita nanti, itu hanyalah kebetulan. Sedangkan hakikatnya, detik kematian kita sudah ditentukan Allah s.w.t sejak Azali lagi. Ketentuan itu tidak mungkin dapat dirombak.

Sesudah kematiannya, isteri dan anak-anak tentu merasa kehilangan. Bersedih untuk sekian waktu sehingga keadaan kembali pulih. Namun, kehidupan mesti diteruskan. Yang meninggal sudah pasti tetapi yang hidup masih belum ada kepastiannya. Mereka harus segera menerima hakikat ketentuan Allah s.w.t selain bersyukur kerana kematian orang yang mereka sayang itu berlaku dengan mudah dan urusan pengkebumiannya berjalan dengan lancar.

Selepas ini mereka mesti bangkit daripada kesedihan dan berusaha meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa tulang belakang keluarga. Namun bagi Saodah, dia mesti bersyukur kerana masih mempunyai dua orang anak lelaki yang sudah dewasa untuk menjadi dahan semangat tempat dia berpaut.

Manakala untuk Syazwan dan Nazirul, mereka harus berubah. Mereka perlu segera menjadi dewasa dan matang di dalam setiap tindak tanduk. Berusaha dengan gigih untuk menyekolahkan adik bongsu mereka, Siti supaya dapat mengubah keadaan keluarga pada masa hadapan.

Anggaplah semua musibah adalah dugaan Allah s.w.t yang akan menjadikan kita lebih gigih, matang dan tabah.

Alfatehan buat Allahyarham Khalid bin Mat.

Dec 26, 2011

SEPAK TAKRAW PERMAINAN RAKYAT - Bhg 1


Gambar hiasan dipetik daripada asubja.wordpress.com



PERMAINAN sepak takraw pada tahun-tahun 1970-an adalah satu permainan yang diminati ramai. Boleh dikatakan di serata kampung ada pasukan sepak takraw masing-masing. Aku masih ingat, di kampung aku pun ada pasukan sepak takraw kami sendiri yang terdiri daripada remaja belasan tahun hingga berusia tiga puluhan. Hampir setiap petang kami akan bermain di gelanggang yang kami buat sendiri.

Sekitar tahun 1969-1970 gelanggang sepak takraw kami terletak di atas tanah rizab jalan, cukup-cukup sahaja luasnya untuk sebuah gelanggang sepak takraw. Kami dengan cara bergotong royong meratakan tanah, memasang tiang jaring serta membuat garisannya. Gelanggang tidak bersimen, hanya tanah merah yang kemudiannya dimampatkan dengan cara menghentakkan dengan batu-batu yang agak berat. Setelah beberapa hari kerja-kerja merata dan memampatkan gelanggang selesai, kami memasang tiang jaring dan membuat garisan di sekeliling gelanggang.

Tiang dibuat daripada kayu terpakai bersaiz 4" x 6" dan 7 kaki panjang. Tiang tersebut ditanam hampir 1 kaki supaya ketinggian tiang bagi memasang jaringnya lebih kurang 5 kaki 6 inci. Sementara garisan tepi gelanggangnya pula diperbuat daripada batang pinang yang dibelah kecil-kecil bersaiz 2" lebar. Batang pinang tersebut kemudiannya dipaku ke dalam tanah dengan cermat supaya batang pinang itu tidak pecah. Akhirnya siaplah sebuah gelanggang sepak takraw tempat kami bermain setiap petang.

Pada masa itu aku berusia lebih kurang 12 tahun, masih di bangku sekolah rendah. Aku bermain di dalam pasukan kedua, yang terdiri daripada rakan-rakanku berusia di antara 12 hingga 16 tahun. Manakala pasukan utama terdiri daripada remaja-remaja berusia melebihi 17 tahun hingga ke usia tiga puluhan seperti Dolah Tok Deris, Pakcik Udi, Daud Tok Man Dagu, Awang Tok Deris, Bakar Tok Leman, Mat Pin, Omar Tok Leman, Pak Ya Cu Che Dah, Pie Long Che'Ah, dan ramai lagi.

Kami bukan hanya bermain di kampung sendiri, malah kami berusaha mencari pasukan-pasukan dari kampung-kampung lain untuk mengadakan perlawanan persahabatan. Pasukan Bagan Sena, Jubai, Padang Bola, Bikan Ulu dan Malau adalah pasukan-pasukan kampung dan estet yang berhampiran dengan kampung kami. Malah pernah kami mengadakan perlawanan dengan pasukan dari Kampung Sedim, Bagan Sena Estet dan Bukit Sedim Estet.

Seronoknya pada masa itu ialah kami tidak pernah ada rasa iri hati antara satu sama lain. Kami bermain sebagai sebuah pasukan tanpa memperduli siapa Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Jurulatih ataupun Ketua Pasukan. Kami bermain sama rata, sama rasa. Kami sama-sama sumbangkan wang semampu mungkin jika ada perlawanan persahabatan, guna untuk membeli bola untuk berlatih sebelum tarikh perlawanan. Selebihnya kami simpan untuk digunakan membeli air minuman semasa perlawanan di adakan.

Meriah sungguh jika ada perlawanan persabahatan di gelanggang kampung kami. Seawal pukul 4.00 petang suasana di gelanggang sudah dipenuhi peminat. Baik tua atau muda pasti akan datang beramai-ramai memberi sokongan. Berbagai gelagat dapat disaksikan. Keadaan di tepi gelanggang dipenuhi 'kenderaan' yang diletakkan di situ. Kenderaan utama pada masa itu ialah basikal manakala motosikal jarang-jarang kelihatan. Pasukan yang datang pun kebanyakkannya dengan menunggang basikal sahaja, sama ada pemain ataupun penyokong.

Pak Su Mat Zin, Tok Haji Yaakob, Pak Long Mat Desa adalah di antara beberapa peminat yang tidak pernah ketinggalan menonton, sama ada semasa kami berlatih ataupun semasa perlawanan berlangsung. Mereka akan menjerit dan melaung memarahi kami di dalam gelanggang sekiranya kami tidak bermain dengan bersungguh-sungguh. Secara tidak langsung mereka memberi perangsang kepada kami dan sekaligus menjadi jurulatih tidak bertauliah!

Cerita ini akan aku sambung di bahagian seterusnya .... Tunggulah kemunculannya nanti.