Pages

Jan 8, 2011

REMAJA DIBURU!

TAJUK muka hadapan akhbar Utusan Malaysia hari ini amat menggemparkan! "9,000 remaja diburu". Terkedu seketika sewaktu aku menatap tajuk muka hadapan akhbar tersebut.

Menurut berita itu, kira-kira 9,000 remaja berdepan tindakan undang-undang ekoran kegagalan mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sepanjang lapan tahun pelaksanaannya.

Senarai nama mereka telah dihantar kepada pihak polis untuk disiasat sebelum kes dibawa ke mahkamah. Selanjutnya jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan hukuman mengikut Akta Latihan Khidmat Negara 2003 yang dipinda tahun lalu iaitu perlu melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam.

Berita ini amat mengguris perasaan. Apakah nasibmu 9,000 remaja yang telah disenaraikan nama-nama mereka dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan? Adakah kesemua mereka akan menerima hukuman mengikut Akta yang dinyatakan itu?

Menurut Ketua Pengarah JLKN, "bagi mereka yang tidak mempunyai alasan kukuh, kita akan siasat dan kenakan tindakan undang-undang".

Ini bermakna di antara 9,000 remaja yang diburu itu akan ada yang terlepas daripada hukuman sekiranya mereka mempunyai alasan yang kukuh dan boleh diterima oleh JLKN. Jika tanpa sebarang alasan ataupun alasan yang tidak kukuh, mereka itu akan menerima hukuman seperti yang dinyatakan di dalam Akta berkenaan.

Sedih rasanya apabila para remaja tersebut akan berhadapan dengan situasi diburu pihak berkuasa. Kehidupan mereka sudah tentu tidak akan merasa tenteram akibat tindakan mereka atau tindakan para waris mereka sewaktu menerima panggilan mengikuti PLKN dahulu. Apatah lagi jika ada di antara para remaja tersebut yang kini sudah berkerjaya, berumah tangga ataupun masih belajar di pusat pengajian tinggi.

Menurut Ketua Pengarah JLKN selanjutnya, "walaupun dikenakan hukuman melakukan khidmat masyarakat, mereka tetap perlu mengikuti PLKN, tiada sebarang pengecualian terhadap mereka".

Ini bermakna para remaja yang didapati bersalah akan menjalani hukuman dan juga perlu mengikuti PLKN. Lalu, kenapakah mereka itu perlu dibawa ke mahkamah? Bukankah lebih baik mereka itu dibawa terus ke kem-kem PLKN untuk menjalani latihan?

Para remaja yang diburu itu kini adalah di dalam lingkungan usia 18 hingga 26 tahun, yang rata-rata merupakan aset penting negara. Alangkah malangnya nasib mereka nanti setelah dihadapkan ke muka pengadilan, didapati bersalah dan menerima hukuman, nama mereka akan tercalar. Akan ada titik hitam tercatat pada nama mereka yang memungkinkan perjalanan hidup mereka seterusnya menghadapi kesulitan.

Tidakkah ada cara atau kaedah lain yang lebih sesuai selain daripada menjadikan para remaja tersebut sebagai buruan?

Jan 7, 2011

ADAB MEMASUKI RUMAH ORANG


DALAM ajaran agama kita ada diajar tentang adab-adab tertentu di dalam setiap aspek. Kita diajar adab di dalam solat, semasa berpuasa, sewaktu menunai haji dan sebagainya. Malah di dalam pergaulan sesama manusia juga terdapat adab-adab yang perlu diikuti supaya perhubungan sesama manusia menjadi lebih baik dan dipandang mulia. Begitu juga adab di antara manusia dengan haiwan, juga di antara manusia dengan alam. Begitu indah sekali ajaran agama Islam yang menitik beratkan tentang aspek adab.

Malah di dalam budaya Melayu juga, adab mempunyai kedudukan yang signifikan, lebih-lebih lagi di dalam menjaga perhubungan sesama manusia. Jika tidak masakan masyarakat Melayu mempunyai berbagai adab dan tata susila yang diamalkan sejak zaman bezaman.

Umpamanya ketika kita mahu memasuki rumah orang, walaupun penghuni rumah itu adalah penyewanya sahaja, kita wajib memberi salam terlebih dahulu. Apatah lagi jika kita tahu penghuni rumah itu beragama Islam. Itu yang diajarkan oleh Rasullullah s.a.w.

Di dalam adat budaya pula, kita tidak boleh terus memasuki ke dalam rumah tersebut tanpa mengetuk pintu dan meminta keizinan terlebih dahulu. Kita perlu menghormati penghuni rumah tersebut kerana sikap hormat menghormati itu akan mengukuhkan lagi ukhuwah dan persahabatan.

Apa akan jadi jika kita tidak memberi salam atau mengetuk pintu rumah itu, tetapi terus sahaja memasukinya tanpa mendapat keizinan penghuni rumah tersebut? Itu bermakna kita sudah melanggar ajaran agama dan adab bermasyarakat. Dari segi undang-undang kita boleh dituduh sebagai penceroboh, memasuki ke dalam rumah orang tanpa izin penghuninya terlebih dahulu.

Bagaimana perasaan penghuni rumah tersebut jika ada orang tiba-tiba memasuki rumahnya tanpa mendapat izinnya terlebih dahulu? Tentu sekali penghuni rumah itu akan merasa dia tidak dihormati dan kehadiran orang itu sebagai kehadiran yang tidak diundang. Ada kemungkinan orang yang masuk itu dianggap penceroboh lalu penghuni rumah itu akan menghalau atau mencederakan orang itu. Penghuni itu beralasan bahawa dia mempertahankan haknya sebagai penghuni rumah tersebut. Tentu sekali dia tidak rela haknya dicabuli sedemikian rupa.

Jika kejadian itu berlaku, siapakah yang akan dipersalahkan oleh undang-undang? Dalam ajaran Islam, orang yang memasuki rumah orang tanpa izin dianggap melakukan kesalahan. Begitu juga mengikut adab budaya Melayu, orang itu dianggap kurang ajar dan tidak sopan. Dari segi undang-undang orang itu boleh dituduh penceroboh dan boleh dijatuhkan hukuman. Ini bermakna ia adalah satu kesalahan dari segi undang-undang.

Namun tidak ramai orang yang mahu mengikuti adab-adab yang telah diajarkan oleh agama ataupun dipraktikkan oleh budaya bangsa serta yang dicegah oleh undang-undang. Lalu terjadilah berbagai kesalahan yang walaupun kecil di mata manusia tetapi memberi kesan yang mendalam kepada orang yang menjadi mangsanya.

Apakah salahnya jika kita sama-sama berusaha menghormati hak setiap manusia? Berikan haknya kepada yang empunya hak. Jangan menidakkan hak mereka dan jangan memperkecilkan ajaran agama, budaya bangsa serta undang-undang negara.

Semoga hidup kita akan lebih bahagia selamanya.

Dec 31, 2010

SELAMAT PERGI DAN SELAMAT DATANG

31 DISEMBER 2010 - Selamat pergi. Tidak mungkin kembali lagi. Pergi membawa 360 hari seluruhnya bersama manis-masam-pahit peristiwa yang telah berlaku. Pergi membawa kehidupan yang telah dilalui. Pergi membawa detik waktu yang tidak akan berputar kembali.

Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun 2010. Hari penutup tahun 2010 yang telah mencatatkan pelbagai peristiwa dan kejadian. Ada peristiwa-peristiwa sedih, malang, menakutkan, cemas dan sebagainya yang telah berlaku. Ada juga kejadian-kejadian jenayah, peperangan, pembunuhan, pembuangan bayi, pengkhianatan dan sebagainya yang telah mencoretkan berbagai warna sepanjang tahuun 2010. Yang baik ambillah untuk dijadikan pedoman tetapi yang tidak baik harus dibuang sejauh-jauhnya supaya kita tidak dihinggapi badi petaka itu.

Apakah segala azam peribadi kita untuk tahun 2010 telah tercapai? Berapa peratus yang sudah dicapai? 100% atau 80% atau 60%? Masih banyak lagikah azam kita sepanjang tahun 2010 yang belum tercapai?

Jika banyak lagi yang belum tercapai, tanyalah kenapa masih belum tercapai azam yang diidamkan pada awal tahun 2010 itu? Apakah sudah cukup usaha dilakukan untuk mencapai azam tersebut? Benarkah ada usaha yang telah dilakukan? Atau azam itu hanya azam yang tidak disusuli usaha?

1 Januari 2011 - Selamat datang hari pertama. Selamat datang tahun baharu 2011 dengan 360 hari-hari baharu yang bakal menjelang setiap berlalunya 24 jam. Selamat datang 8,640 jam untuk diisi dengan segala tugas dan tanggung jawab.

Dengan apakah mahu diisi 360 hari atau 8,640 jam yang akan ditempuhi nanti? Kita perlu mengisi hari-hari serta setiap jam yang akan tiba nanti. Isilah dengan penuh rasa ikhlas, jujur dan bertanggung jawab kerana setiap pengisiannya akan disoal kemudian hari oleh Allah s.w.t.

Biarlah pada akhir tahun 2011 nanti kita boleh berbangga dengan pencapaian dan kecemerlangan yang dapat dicapai.

Dec 29, 2010

HADIAH TERBAIK


MARILAH sama-sama kita merenung kata-kata hikmah berikut, semoga ada pengajaran yang dapat dikutip dan dapat dipraktikkan di dalam kehidupan kita


Berikan Hadiah Terbaik


  • Kepada kawan - Kesetiaan

  • Kepada musuh - Kemaafan

  • Kepada ketua - Khidmat

  • Kepada yang muda - Contoh terbaik

  • Kepada yang tua - Hargai budi mereka dan kesetiaan

  • Kepada pasangan - Cinta dan ketaatan

  • Kepada manusia - Kebebasan

Dec 26, 2010

CINTA SELUAS LANGIT TUHAN

DI SAAT-SAAT kehidupan anda dipenuhi kebahagiaan, tiba-tiba dihempas oleh peristiwa yang mengejutkan, sama ada anda kehilangan orang yang dicintai atau kehilangan barang-barang yang berharga atau kehilangan punca rezeki ataupun kehilangan jawatan dan kedudukan. Lantas berbagai rasa memenuhi perasaan dan kebencian serta kemarahan tidak dapat dielakkan. Dendam pun menguat di dalam hati.

Tetapi pernahkah anda sedar bahawa peristiwa sebegitu sesungguhnya telah menghantarkan jiwa anda ke gerbang kemuliaan?. Dengan melalui berbagai penderitaan, ujian, kecemasan dan kesedihan sesungguhnya Allah telah meletakkan diri anda sebagai hamba-Nya yang memahami makna cinta dan kasih sayang.

Kebencian pada dasarnya wujud pada diri anda ketika anda sedang ditimpa ujian dan penderitaan. Membiarkan diri penuh kebencian akan menambahkan lagi penderitaan bagai menyiram luka dengan air garam. Menambah perih dengan keperihan yang lebih dalam. Air mata menetes tanpa muara.

Kebencian hasrus diolah menjadi cinta, dengan memahami sepenuhnya bahwa setiap peristiwa apapun yang terjadi pada diri kita adalah sebagai perwujudan kita sebagai seorang Mukmin. Nabi Muhammad s.a.w menyebutkan sebagai sesuatu yang menakjubkan pada diri seorang mukmin sebab peristiwa apapun yang terjadi pada dirinya semuanya terasa indah. Mendapat nikmat dia bersyukur, ditimpa musibah dia bersabar.

"Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Bila mendapatkan nikmat, ia bersyukur dan syukur itu baik baginya. Bila mendapatkan dugaan, ia bersabar dan sabar itu baik baginya". (Hadis Riwayat Muslim).

Tidak perlu ada kebencian. Tidak perlu ada kemarahan. Tidak perlu ada dendam kerana setiap orang mukmin wajib menyakini bahwa semua itu wujud kasih sayang Allah s.w.t. Lantas kenapa kita harus membenci sesama makhluk? Cinta itu adalah manifestasi wujud kasih sayang Allah kepada diri kita.

Nov 6, 2010

KASIH TIADA BEZANYA

SEDANG berehat selepas siap membersih ruang tamu dan bilik komputer yang sudah dua hari di tenggelami air banjir, aku sempat membuka akhbar di atas talian, HarianMetro, http://www.hmetro.com.my/ . Aku tertarik kepada tajuk utama hari ini: "16 cucu, 50 cicit urus mayat nenek. Islam kebumi Buddha" yang ditulis berlatar belakangkan sebilangan orang sedang melihat upacara pengkebumian. Aku terus membaca berita tersebut:-
JOHOR BAHRU - Perbezaan agama tidak menjadi halangan buat satu keluarga besar Islam untuk menyempurnakan mayat mendiang nenek mereka yang beragama Buddha di tanah perkuburan Cina Johor Jaya di sini, semalam.

Atas nama kasih sayang dan pertalian kekeluargaan yang kukuh, pengkebumian Liang Ho, 95, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Jalan Landak Batu, Century Garden di sini, kira-kira 3.30 petang kelmarin, diuruskan 16 cucu dan 50 cicitnya yang beragama Islam.

Upacara pengkebumian mengikut ada agama Buddha itu turut disaksikan satu-satunya anak perempuan Liang yang masih hidup dan beragama itu, Low Ah Oi, 62. Tiga anak Liang yang lain sudah meninggal dunia, masing-masing seorang perempuan dan dua lelaki memeluk Islam selepas berkahwin dengan pasangan masing-masing berketuruan Melayu manakala suaminya, Low Song meninggal dunia pada 1974.

Menurut cucu sulung mendiang, Hamidah Ahmad, 49, pemergian Liang amat dirasai berikutan hubungan kekeluargaan yang sangat rapat dengan nenek disebabkan sikapnya yang sangat mengambil berat hal keluarga.

Apa yang menarik minat aku ialah bagaimana pertalian kekeluargaan itu dapat kekalkan walaupun masing-masing hidup dengan pegangan agama yang berbeza. Lazimnya seseorang ibu bapa bukan Islam tidak dapat menerima anak-anak mereka yang memeluk Islam, malah hubungan kekeluarga akan terputus. Kisah-kisah bagaimana seorang anak yang memeluk Islam disisihkan keluarga asal, terpaksa menumpang kasih sayang keluarga angkat dan sebagainya. Tetapi di dalam berita di atas, lain pula jadinya.

Pengajaran yang menarik ialah tentang bagaimana seorang ibu tidak membezakan kasih sayang anak-anaknya yang sudah bertukar pegangan daripada agama asal nenek moyang mereka. Malah sebagai seorang nenek Liang Ho sanggup memelihara cucu-cucunya dengan penuh kasih sayang.

"Ketika kecil saya dijaga nenek. Walaupun beragama Islam dan di Buddha, itu tidak menjadi halangan mencurahkan kasih sayang kepada seorang cucu", sambung Hamidah lagi.

"Nenek seorang yang tegas dan pernah beberapa kali memarahi saya kerana lambat menunaikan solat, menunjukkan dia amat prihatin dan menghormati agama lain. Dia sering menghantar saya mengaji Quran, jika malas nenek tidak teragak-agak merotan saya".

Sorang lagi cucu, Kalsom Ahmad, 43, berkata neneknya memiliki daya ingatan yang kuat walaupun sudah berusia 90-an dan dia masih boleh mengingati nama cucu-cucunya. Walau tiga daripada empat anaknya memeluk Islam, nenek sangat sayangkan kami malah tidak ada pilih kasih dalam melayan kami".


Aku dapat bayangkan betapa bahagianya anak cucu cicit Liang Ho yang beragama Islam kerana mereka dapat terus merasai kasih sayang seorang ibu, nenek dan moyang walaupun berlainan agama. Sikap toleransi sebegitu harus dipupuk di dalam minda dan jiwa setiap warga negara kerana itulah salah satu tonggak pemupukan rasa muhibah dan hormat menghormati sesama warga tanpa mengira pegangan agama.

Sementara cicit pertama mendiang, Marfuaah Mahfuz, 28, berkata dia dan keluarga lain tidak kekok membantu menguruskan pengebumian moyangnya itu selain turut mengiringi jenazah mendiang hingga ke tanah perkuburan.

Aku kagum dengan sikap Liang Ho serta cucu-cucu dan cicit-cicitnya yang beragama Islam kerana masing-masing menghormati pegangan dan amalan agama masing-masing.

Sayang sekali, Liang Ho tidak sempat mengecap nikmat hidup sebagai seorang beragama Islam, walaupun dia sudah melihat keindahan Islam yang diamalkan oleh tiga orang anaknya serta 16 cucu dan 50 cicitnya. Hidayah tidak sempat sampai kepada Liang Ho sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya.

Alangkah indahnya jika anak-anak serta cucu cicitnya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum tiba ajalnya.

Nov 5, 2010

BANJIR DI KEDAH





KEJADIAN banjir bukanlah sangat menjadi berita penting, lebih-lebih lagi pada 4 November 2010. Berita lebih banyak tentang pertarungan merebut kerusi di DUN Galas, Gua Musang, Kelantan dan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sabah.

Di Kedah kejadian banjir kali ini adalah paling buruk jika dibandingkan kejadian yang sama dalam tahun 2007 yang lalu atau beberapa tahun sebelumnya. Ketika ini bandaraya Alor Setar direndam air. Banyak jalan yang ditutup untuk kenderaan. Banyak pejabat dan sekolah serta rumah kediaman yang dimasuki air banjir. Ada yang hingga paras tengkok, paras dada, paras pinggang. Ada juga yang hanya di paras buku lali.

Rumah-rumah di Taman Bayu, Taman Muhibbah, Taman Uda dan sekitarnya tidak pernah mengalami banjir semenjak lebih 30 tahun yang lalu. Kata jiran-jiranku mereka belum pernah mengalami kejadian banjir seperti hari ini.

Seawal 9.00 pagi suasana banjir sudah mula dirasai. Di hadapan Sekolah Taman Uda dan Masjid Rofeah air sudah melintasi jalan. Di Taman Muhibbah juga air sudah melintasi jalan di beberapa kawasan rendah. Di hadapan Sek Men Sultanah Bahiyah berhadapan dengan stesen minyak sudah berendam air yang agak dalam. Kenderaan sudah mula bersusun-susun mencari laluan yang kering. Malah sudah ada kenderaan persendirian yang mula diletakkan di bahu jalan kerana bimbang ditenggelami air banjir.

Pukul 2.30 petang, Lebuh raya Sultanah Bahiyah sudah ditutup untuk kenderaan ringan. Di persimpangan Jalan Langgar di lampu isyarat sebaik keluar dari Tol Alor Setar Utara sudah diawasi oleh beberapa orang anggota polis yang mengarahkan kenderaan tidak memasuki ke jalan tersebut. Di hadapan rumah aku masih kering, belum ada air lagi.

Semasa pukul 5.00 petang, air sudah mula mengalir melintasi jalan di hadapan rumahku. Sedangkan derhadapan rumah Hj Rashidi, air sudah laju melintasi jalan. Di dalam longkang air sudah penuh dan di bahu-bahu jalan sudah dipenuhi kereta-kereta yang diletakkan pemilik-pemilik di kawasan berhampiran. Hampir sejam kemudian air sudah memasuki 'porch' rumahku. Aku sudah pun memindahkan keretaku keluar sejak awal lagi.

Mulai 8.00 malam ruang tamu rumahku yang telah dikosongkan lebih awal mula dimasuki air banjir. Tetapi sehingga 10.00 malam ruang tamu masih tidak dipenuhi air sepenuhnya, cuma mulai 12.30 malam barulah ruang tamu ditenggelami air banjir sepenuhnya. Air semakin naik dan perlahan-lahan ruang tamu serta bilik komputer sudah tiada ruang kering lagi!

Jam 6.30 pagi air masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk surut.

Oct 25, 2010

WAJIB LULUS SEJARAH MULAI SPM 2013

TERSENYUM aku menatap tajuk akhbar Mingguan Malaysia 24 Oktober 2010. Hati kecilku berbisik, "akhirnya Kerajaan bersetuju dengan pendapat aku".

Aku pernah menyuarakan pendapat suatu waktu dahulu ketika heboh tentang PPSMI. Aku menentang mata pelajaran Matematik dan Sains diajar menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi aku menyokong sekiranya bahasa Inggeris itu diajar secara lengkapnya melalui mata pelajaran Bahasa dan Sastera Inggeris (English Language & Literature) di sekolah-sekolah.

Tetapi aku mencadangkan bagi memantapkan lagi semangat patriotik di kalangan remaja di negara kita, Kerajaan mesti mewajibkan tiga mata pelajaran, yang mana sekiranya pelajar gagal salah satu daripadanya mereka dikira gagal di dalam SPM mereka. Tiga mata pelajaran tersebut adalah tambahan kepada mata-mata pelajaran wajib sedia ada seperti, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan lain-lain. Aku menyarankan tiga mata pelajaran wajib tambahan tersebut ialah Sejarah, Sastera dan Pendidikan Agama Islam/Moral.

Rasionalnya, remaja masa kini sudah tidak lagi mengenal sejarah bangsanya sendiri. Mereka sudah jauh dihanyutkan oleh berbagai bidang pendidikan yang tidak berteraskan jati diri bangsa Melayu. Lalu remaja kita sudah tidak dapat membezakan yang mana sejarah bangsa yang sebenar dengan sejarah bangsa yang dipinjamkan dari sejarah-sejarah lain. Mereka perlu dikembalikan kepada akar sejarah bangsa yang sebenarnya, sejarah yang menjadi tulang belakang dan tonggak kekuatan bangsa.

Pendidikan Agama Islam pula adalah asas kepada pegangan dan kepercayaan yang utuh yang perlu ada di dalam jiwa setiap remaja supaya dengan itu akidah mereka tidak tergelincir dari landasan sebenarnya. Ajaran agama yang berteraskan Al-Qur'an serta Sunnah Rasulullah s.a.w perlu diterapkan ke dalam jiwa setiap remaja mulai di peringkat persekolahan lagi. Jika pegangan ajaran agama mendarah daging di dalam diri mereka, sudah tentu mereka lebih bijak membuat keputusan dan mencatur kehidupan masa depan mereka supaya tidak terpesong atau dipesongkan oleh anasir-anasir jahat. Bagi remaja bukan Islam pula, mereka perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni yang boleh membina sahsiah diri yang lebih baik. Menghormati kepercayaan dan adat resam orang Islam di negara ini sekaligus akan mengelak sebarang prasangka di kalangan rakyat.

Pelajaran Sastera juga amat penting kerana melaluinya banyak pengajaran yang dapat dikutip untuk dijadikan sendi kehidupan masa hadapan remaja sekalian. Pelajaran sastera akan mengungkap nilai-nilai murni yang diamalkan masyarakat silam yang dizahirkan melalui ungkapan-ungkapan puitis mereka. Di dalam sastera banyak terkandung nasihat dan pedoman yang boleh dijadikan asas membina kehidupan, mengajar remaja berfikir secara kritis dan kreatif untuk menyelesaikan permasaalahan di samping mendidik mereka sifat-sifat luhur yang selari dengan ajaran agama.

Aku rasa Kerajaan masih belum terlewat untuk menjadikan ketiga-tiga mata pelajaran tersebut sebagai mata pelajaran wajib di dalam peperiksaan SPM 2013 nanti. Janganlah apabila keadaan menjadi semakin parah barulah mahu berubah. Sebaik-baiknya mulai dari sekarang, atau secepat mungkin, ketiga-tiga mata pelajaran tersebut diwajibkan supaya parah yang dirasai kini dapat diubati dengan sesegera mungkin. Janganlah ditunggu sehingga nasi menjadi bubur kerana tidak mungkin bubur bertukar menjadi nasi semula.

Kepada penggubal dasar di peringkat Kementerian Pelajaran, aku sarankan supaya anda semua segera memikirkan dengan lebih serius terhadap cadangan aku yang kerdil ini.

____________________________________________________________

"Sejarah adalah pengalaman. Sastera membentuk jati diri bangsa. Agama penegak keutuhan iman"
____________________________________________________________

Oct 3, 2010

BENGKEL APRESIASI PUISI LANGKAWI 2010

JAM 7.30 pagi aku tersedar selepas tidur semula sebaik selesai solat subuh jam 6.30 tadi. Bergegas ke bilik air, gosok gigi dan terus mandi. Kemudian bersiap-siap untuk ke tempat bengkel diadakan. Tidak lama kemudian, telefon tanganku bergegar, ada panggilan. Aku kenal pemanggilnya, cikgu Bahari.

"Saya pi ambil abang Din di hotel jam 8.20 sat lagi", suara cikgu Bahari jelas kedengaran di hujung talian. Aku bersetuju. Cikgu Bahari adalah fasilitator PPSB yang bersama-samaku dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mengendalikan Program Penghayatan Sastera dan Budaya di kem-kem PLKN. Memang kami sudah saling kenal mengenali sejak tahun 2009 dahulu lagi.

Tepat 8.30 pagi aku dan cikgu Bahari tiba di Sekolah Menengah Mahsuri. Aku dibawa ke kantin untuk bersarapan. Nasi ayam lagi!. Kemudiannya tepat 9.00 pagi aku dibawa cikgu Bahari ke Dewan Pandak Mayah, Sekolah Menengah Mahsuri untuk memulakan acara bengkel tersebut.

Sewaktu aku tiba, para peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar beberapa buah sekolah menengah di sekitar Langkawi sudah memenuhi separuh dewan. Beberapa orang guru juga berada di dalam dewan itu. Cikgu Hizam diperkenalkan kepada aku oleh cikgu Bahari. Beliau adalah guru yang bertanggung jawab mengendalikan program pada hari ini dengan mendapat kerja sama DBP Wilayah Utara.

Selepas ucapan aluan oleh cikgu Bahari selaku Guru Kanan Bahasa di SMK Mahsuri, aku dijemput memulakan bengkel.

Di hadapanku 120 orang pelajar yang sedang menanti untuk aku luahkan pengalamanku. Aku bahagikan bengkel tersebut kepada dua bahagian. Pertama tentang teknik penulisan puisi dan kedua tentang apresiasi puisi melalui deklamasi.

Pada peringkat awal nampak seperti aku keseorangan di dalam dewan yang luas itu. Para pelajar seperti tidak dapat mengikuti ceramah yang aku sampaikan. Mereka seperti takut-takut dan tidak membuka minda menerima penerangan yang aku sampaikan itu. Namun perlahan-lahan setelah beberapa ketika, aku dapat kesan mereka sudah dapat menerimanya. Syukurlah.

Selepas satu jam berceramah, aku pecahkan para peserta ke dalam 10 kumpulan kecil seramai 10 - 12 orang yang terdiri daripada pelajar-pelajar mewakili berbagai sekolah. Tugas ini aku serahkan kepada cikgu Hizam, ketua urusetia bengkel. Tugasan yang aku berikan ialah setiap peserta dikehendaki menghasilkan sebuah puisi.

Selesai rehat dan minum ringan, bengkel diteruskan jam 11.00 pagi dengan bahagian kedua iaitu apresiasi puisi melalui deklamasi. Sekali lagi aku persembahkan kepada para peserta perkara-perkara penting untuk mendeklamasikan sesebuah puisi. Beberapa contoh aku sampaikan termasuk juga teknik pengawalan pernafasan yang betul supaya tekanan suara menjadi lebih menarik. Para peserta memberikan perhatian dan melibatkan diri sepenuhnya pada peringkat ini.

Kemudiannya, setiap kumpulan dikehendaki berbincang sesama ahli kumpulan untuk merangka satu persembahan berdasarkan puisi yang telah mereka hasilkan sebelum itu. Perbincangan itu berjalan sehingga waktu rehat dan diteruskan sehingga jam 3.00 petang. Komitmen yang ditunjukkan amat memberangsangkan dengan turut disertai oleh guru-guru yang terlibat.

Mulai jam 3.30 petang, persembahan kumpulan dimulakan. Pengacara majlis mempersilakan setiap kumpulan membuat persembahan masing-masing. Memang di luar dugaan aku sama sekali. Para peserta yang pada awalnya agak kurang berminat, tetapi apabila diberi peluang naik ke pentas sikap mereka berubah. Mereka cuba memberikan persembahan yang terbaik.

Pada jam lebih kurang 3.45 petang, Tuan Hj Marzukhi Hj Daud, Timbalan PPD Langkawi tiba untuk majlis penutup program. Beliau di dalam ucapannya selepas itu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kerana DBPWU telah sudi bekerja sama untuk menjadikan bengkel pada hari ini suatu kenyataan.

Akhir sekali aku ucapkan jutaan terima kasih kepada DBP Wilayah Utara, PPD Langkawi, Pengetua dan guru-guru SMK Mahsuri dan seluruh AJK yang telibat kerana telah memberikan peluang kepada aku untuk menyampai ceramah dan membimbing bengkel yang dijalankan. Paling tidak lupa ucapan terima kasih tidak terhingga kepada para peserta bengkel yang telah mengikutinya dengan sabar dan penuh komitmen. Semoga anda semua diberi kejayaan di dalam kehidupan oleh Allah s.w.t.

Semoga ada lagi pertemuan selepas ini.

Oct 2, 2010

DI SEBUAH HOTEL BAHARU DI LANGKAWI

TEPAT jam 7.15 malam 29 September 2010 aku tiba di jeti Kuah, Langkawi setelah hampir dua jam merentasi lautan dari jeti Kuala Kedah. Sudah agak lama aku tidak mengunjungi Langkawi, Pulau Seri Negeri, Pulau Lagenda Mahsuri. Dari jeti aku terus ke tempat penginapan yang sudah ditempah awal oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara untuk aku sebagai penceramah jemputan bagi mengendalikan Bengkel Apresiasi Puisi Langkawi 2010 yang bakal berlangsung keesokkannya.

Oleh kerana sudah masuk waktu maghrib, aku bergegas ke kaunter teksi. Seorang pemandu dengan pakaian seragam berbaju putih berseluar warna gelap, sudah siap menanti. Aku mengikutinya ke tempat letak kereta dan terus masuk ke dalam perut teksinya. Destinasi aku ialah ke MyHotel.

"Hotel ni hotel baru", jelas pemandu teksi berusia hampir sebaya dengan aku apabila aku bertanya tentang hotel tersebut.

"Patutlah saya tak dapat bayangkan di mana letaknya hotel tu", aku memberitahunya.

Tidak sampai 10 minit teksi itu sampai ke halaman MyHotel. Sebuah bangunan baru setinggi 13 tingkat terletak di tengah pekan Kuah bersebelah hotel Baron. Bangunannya tidaklah seindah mana dari segi reka bentuk dan nilai estetikanya. Dari luar tiada ada apa yang istimewa tentang bangunannya.

Aku terus mendaftar dan diberikan bilik 913 terletak di tingkat 9.

"Ada kemudahan internet dak di hotel ni?", aku bertanya kepada staf di kaunter. Dia mengaku ada kemudahan itu dan memberitahu tidak perlukan password untuk login. Sewaktu aku memasuki bilik 913 itu aku dapati bilik itu agak luas daripada kebanyak hotel yang pernah aku huni sebelum ini. Sebuah katil besar di tengahnya dengan meja tulis, televisyen, meja sisi dan sebuah kerusi tersusun kemas. Di antara katil dan tingkap gelungsur masih ada ruang untuk sebuah katil. Aku mengagak, bilik itu agak selesa untuk dihuni sebuah keluarga seramai enam orang. Lantainya tidak berkarpet, tetapi dipasang dengan tiles berwarna putih berlorek-lorek. Sejuk tapak kaki bila lama memijak lantai. Bagi orang-orang yang berumur dan ada masalah kesihatan, lantai sebegini tentulah kurang sesuai.

Setelah mengamati seluruh bilik itu termasuk bilik airnya, mataku segera melilau mencari soket punca elektrik di dinding. Cuma ada tiga sahaja, satu di tepi meja tulis, satu di tempat memasak air dan satu lagi di bawah meja TV. Aku amat-amatinya berkali-kali.

"Cisss....apa pasal macam ni?", aku melepaskan rasa kecewa yang segera mematikan rasa seronok sewaktu mula-mula memasuki bilik itu sebentar tadi. Aku segera ke meja telefon, mengangkat gagangnya dan menekan butang 1. Suara telefonis kedengaran dari hujung sana. "Boleh saya bantu, encik?".

"Di hotel ini tak ada plug jenis yang diluluskan SIRIM ka? Saya tengok semuanya seperti plug di Thailand saja?. Boleh tak you hantarkan satu plug buatan Malaysia kat saya?".

Panas betul rasanya hati. Hotel di Malaysia tidak menggunakan perkakasan elektrik yang diluluskan SIRIM? Kenapa pihak berkuasa meluluskan penggunaannya? Hatiku makin membara. Tidak lama kemudian pintu bilik diketuk seseorang dari luar. Pantas aku membukanya, seorang lelaki muda berpakaian seragam tercegat di muka pintu. "Apa masalah dengan plug di bilik ni, encik?"

Aku menunjukkan plug yang ada di dalam bilik tersebut sambil menunjukkan juga 3-pin plug yang aku maksudkan. "Saya nak yang macam ni. Kalau yang macam tu, macam mana saya nak guna komputer saya?".

Pemuda tersebut dengan suara tenang memberitahu, "Hotel ni baru siap saja, encik. Alas lapiknya tak dibuka lagi". Sambil mengeluarkan sesuatu dari dalam poket seluarnya dia mencungkil plug di tepi dinding itu. "Ha, ni dah boleh guna, encik".

Sambil mengucapkan terima kasih kepada pemuda itu aku menahan rasa malu kerana tidak usul periksa terlebih dahulu sebelum membuat aduan tadi. Selepas menutup pintu dan mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada pemuda itu, aku ketawa sendirian. Kemudian baharulah aku menunaikan solat maghrib.

Dari tingkap bilik di tingkat 9, aku melihat wajah pekan Kuah yang semakin suram diselimuti waktu maghrib yang semakin lewat. Di jalan berhadapan hotel ada pasar malam, orang ramai sudah lama memenuhi kawasan berjualan di situ. Aku turun dan berjalan ke pasar malam itu, sambil mencari sesuatu untuk makan malamku. Dari satu gerai ke satu gerai, aku hanya berjalan tanpa ada sesuatu yang menarik perhatian. Kelihatan orang ramai, rasanya orang tempatan, mundar mandir sambil membeli keperluan masing-masing. Terlihat juga beberapa orang pelancong asing ikut serta memeriahkan suasana pasar malam tersebut. Namun, pasar malam itu tidaklah ramai pengunjungnya. Akhirnya aku membeli sebungkus nasi ayam berharga RM4.50 dan beredar pulang ke hotel yang terletak hanya 150 meter sahaja daripada pasar malam tersebut.

Aku tidak pasti berapa ramai penghuni hotel pada malam itu. Di kawasan letak kereta di hadapan hotel hanya terdapat 5 buah kereta sahaja. Adakah kereta-kereta penghuni atau pun kereta-kereta kakitangan hotel?. Aku tidak tahu, tetapi yang pastinya tidak kelihatan penghuni-penghuni lain di kawasan lobi. Aku juga tidak terserempak dengan sesiapa pun di dalam lif.

Selesai makan malam dan solat isyak, aku membuka komputer ribaku. Memasang kabelnya ke plug dan mahu memulakan kerjaku. Ada yang perlu aku tokok tambah kepada bahan ceramahku esok hari. Niat di hati mahu mencari bahan-bahan tersebut melalui internet. Aku mahu menambah unsur-unsur muzik dan animasi di dalam persembahanku esok supaya lebih menarik.

Ada signal capaian internet. Tetapi malangnya aku tidak dapat langsung melayari internet hingga jam 2.30 pagi. Hairan, kenapa terjadi begitu? Sepatutnya jika ada signal, mudah sahaja untuk melayari internet. Bukan malam itu sahaja, malam esoknya juga aku tidak dapat melayarinya lagi. Malang sungguh rasanya. Hotel yang baharu siap, tetapi kemudahan capaian internet terlalu lemah. Mungkin jika ada kesempatan lagi ke Langkawi, hotel ini bukanlah pilihanku.

Persembahan ceramahku tiada unsur muzik dan animasi seperti hajat awalku. Aku mematikan komputer dan TV tepat jam 2.30 pagi.